Sunday, March 16, 2014

Pemimpin, Penyokong UMNO & BN Jangan Naik MAS....Bahaya!

  
"Kalaupun Saifuddin mahu mempertahan Anwar tidak mengapa tetapi jangan libatkan laporan akhbar Britian dengan BN atau UMNO kerana ia perbuatan yang sangat ‘kurang ajar’...pendedahan akhbar Daily Mail itu sedikit sebanyak turut memberikan maklumat penting, termasuk beberapa jam sebelum berlepas dengan pesawat Boeing 777-200ER (9M-MRO) untuk ke Beijing, Zaharie pergi ke mahkamah pada 7 Mac untuk menyatakan sokongan terhadap Anwar."

Daripada teganuku
(Tajuk asal - Pemimpin & Penyokong UMNO, BN Tidak Lagi Selamat Menaiki MAS?)

Menafikan Kapten Zaharie Ahmad Shah ‘terbabit dalam rampasan’ pesawat Pernerbangan Malaysia (MAS) MH370 demi Anwar sesuatu yang tidak masuk akal, kita boleh terima.

Memang sewajarnya kita menolak teori ini.

Tetapi mengatakan UMNO dan BN yang kehabisan modal, mencipta sesuatu yang bersifat khayalan mengaitkan dengan kehilangan pesawat boleh menjadi nyata, kita tidak boleh terima.

Bagaimanapun, kita juga boleh bertanya, kalaulah kelak teori ini benar kemudian hari ini, berapa ramai lagi juruterbang dan orang penting dalam MAS menyokong PKR?


Tidakkah kita merasa bimbang kalau pemimpin penting negara menaiki MAS akan menerima nasib seperti ‘penumpang MH370’ yang ‘lesap’ entah ke mana?

Patutlah ada pemimpin kita lebih suka menggunakan pesawat sewa atau jet peribadi bagi mengelakkan kemungkinan-kemungkin seperti ini.

Mungkin mereka sudah tahu ‘perangai’ atau ‘kemungkinan-kemungkinan’ yang akan berlaku jika menaiki pesawat MAS.

Bagi pemimpin PAS, PKR dan DAP, mereka sudah pasti terjamin ‘selamat’ jika menaiki MAS!

Malah dilaporkan penyiasat sedang mencari bukti mengaitkan teori pandangan politik Zaharie (kanan) sebagai sebahagian daripada faktor kontroversi kehilangan pesawat yang membawa 239 penumpang dan anak kapal pada 8 Mac.

Pemimpin PKRmengaku juruterbang MH 370  merupakan ahli parti itu tetapi meminta semua pihak tidak membuat spekulasi mengaitkan mereka dengan kehilangan penerbangan tersebut.

Ketua PKR Cabang Subang Sivarasa Rasiah berkata beliau menang mengenali Zaharie sejak beliau menyertai parti tersebut 23 Januari tahun lalu. Bagaimanapun, tambahnya, tidak adil sekiranya pihak media mengaitkan perkara itu dengan parti kerana ia “tidak relevan”.

Siapa yang buat spekulasi? UMNO? BN?

Yang terbitkan berita ini ialah akhbar tabloid Uniter Kingdom Daily Mail. Apakah UMNO dan BN mengupah akhbar berkenaan?

Apakah ada pemimpin BN yang rapat dengan akhbar itu seperti rapatnya pemimpin pembangkang dengan akhbar antarabangsa seperti dari Amerika Syarikat?

Sivarasa sendiri semalam mengakui: "Akhbar Daily Mail ialah sebuah tabloid, mereka langsung tidak merujuk mana-mana sumber."


Semalam juga, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution menyifatkan laporan menyatakan Zaharie rampas MH370 kerana kecewa Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalah dalam kes Liwat II dianggap sebagai khayalan luar biasa.

Katanya, PKR menganggap laporan akhbar Britain, Daily Mail itu sebagai mustahil berlaku kerana ia melibatkan nyawa ramai manusia yang tidak bersalah.

Saifuddin berkata walaupun Zaharie merupakan ahli seumur hidup parti itu, mngaitkan juruterbang dengan issu Anwar addalaah teori konspirasi politik yang tidak masuk akal.


Bagaimanpun, Saifuddin sendiri turut membuat kenyataan tidak masuk akal apabila mengatakan: "Semua dikaitkan dengan Anwar sangat unik dalam politik Malaysia. Namun mengenali UMNO dan BN, kalau mereka kehabisan modal, sesuatu yang bersifat khayalan boleh menjadi nyata."

Selain itu, Saifuddin berkata, isu sebenarnya adalah kerajaan Malaysia tidak kompeten dalam menguruskan kes pesawat MH370 yang hilang pada 8 Mac lalu dengan 239 penumpang termasuk anak kapal.

Saifuddin sendiri tersasar dalam andaiannya kerana laporan akhbar Daily Mail tidak ada kena mengena dengan UMNO, BN atau kerajaan yang memerintah.

Laporan tabloid itu mengenai kemungkinan teori pesawat tersebut dirampas sebagai protes terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mensabitkan Anwar bersalah atas tuduhan meliwat bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan pada 2008 adalah hak mereka.

Malah laporan itu secara tidak langsung menjerat kerajaan, UMNO dan BN yang tidak ada kena mengena dengan kehilangan pesawat MN370 itu.

Kalaupun Saifuddin mahu mempertahan Anwar tidak mengapa tetapi jangan libatkan laporan akhbar Britian dengan BN atau UMNO kerana ia perbuatan yang sangat ‘kurang ajar’.

Menariknya, pendedahan Daily Mail itu,  sedikit sebanyak turut memberikan maklumat penting, termasuk beberapa jam sebelum berlepas dengan pesawat Boeing 777-200ER (9M-MRO) untuk ke Beijing, Zaharie pergi ke mahkamah pada 7 Mac untuk menyatakan sokongan terhadap Anwar.

Ketua pembangkang itu dijatuhkan hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Rayuan kerana meliwat bekas pembantunya pada 2008.

Akhbar tersebut turut memetik sumber polis yang mengesahkan Zaharie, 53, merupakan seorang aktivis yang lantang dan berkemungkinan kecewa dengan keputusan mahkamah.


Dilaporkan, semalam, polis menyerbu rumah juruterbang berpengalaman itu di Laman Seri, Shah Alam yang mempunyai simulator penerbangan di rumah selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan fasa kedua pencarian pesawat MH370 pada satu sidang akhbar khas.

Daily Mail berkata, terlalu banyak masa dihabiskan menyiasat dua komputer riba yang diambil dari rumah Zaharie, yang dipercayai mengandungi data simulasi penerbangan, minggu lalu.

Akhbar tabloid itu melaporkan, meskipun pihak berkuasa Malaysia menafikan serbuan dilakukan di rumah Zaharie, dua komputer riba itu diambil semasa lawatan pihak polis awal minggu lalu.

Bagaimanapun, pihak berkuasa gagal mengesan komputer riba peribadi Zaharie dan dipercayai dibawa bersama dalam kokpit pesawat dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, lapor Daily Mail.

Saturday, March 15, 2014

MH370 - Berpatah Balik & Terbang Ke Arah Barat Laut Secara Sengaja Oleh Seseorang...


Berikut ialah kenyataan akhbar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu mengenai pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang:

Tujuh hari lepas, pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 hilang. Kami sedar ini merupakan detik-detik yang amat menyeksakan bagi keluarga penumpang yang menaiki pesawat itu. Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan keperitan yang sedang mereka alami. Sesungguhnya, perasaan simpati dan doa kami sentisa bersama mereka.

Saya meneliti operasi mencari pesawat itu sepanjang masa. Pada peringkat awal operasi, saya mengarahkan supaya kawasan mencari diperluaskan; saya mengarahkan pihak berkuasa Malaysia berkongsi semua maklumat berkenaan secara bebas dan telus dengan pasukan penyiasat yang semakin besar; dan saya meminta sahabat dan sekutu kami supaya menyertai operasi ini. Sehingga hari ini, sebanyak 14 negara, 43 kapal dan 58 pesawat terlibat dalam usaha ini.


Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua kerajaan yang memberi pertolongan dalam saat-saat yang amat getir ini. Sejak hari pertama lagi, pihak berkuasa Malaysia bekerjaama rapat dengan rakan kami di peringkat antarabangsa - termasuk negara jiran, pihak berkuasa penerbangan dan pasukan mencari dari pelbagai negara - kebanyakan mereka berada di sini sejak Ahad lepas.

Kami telah berkongsi maklumat secara tepat masa dengan pihak berkuasa yang memiliki pengalaman diperlukan bagi mentafsir data yang ada. Kami berusaha tanpa henti untuk membantu penyiasatan. Dan kami meletakkan kepentingan negara di tempat kedua dalam usaha mencari pesawat yang hilang itu.

Ramai yang faham bahawa situasi ini belum pernah terjadi sebelum ini.

Kami menjalankan operasi mencari di darat, di Laut China Selatan, Selat Melaka, Laut Andaman dan Lautan Hindi. Pada setiap peringkat, kami bertindak berdasarkan maklumat yang disahkan dan kami memberi tumpuan terhadap setiap petunjuk yang boleh dipercayai.

Memang wujud pelbagai spekulasi. Kami faham keperluan mendesak untuk mendapatkan maklumat bagi pihak keluarga terbabit dan mereka yang memerhati di seluruh dunia. Namun demikian, tanggungjawab kami kepada penyiasatan dan keluarga terbabit adalah untuk hanya mengeluarkan maklumat yang sudah disahkan. Dan perkara yang memberi motivasi kepada kami ialah untuk mencari pesawat berkenaan.


Dalam fasa pertama operasi mencari, kami melakukan pencarian berhampiran posisi terakhir MH370 yang diketahui iaitu di Laut China Selatan. Pada waktu yang sama, kami dimaklumkan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia bahawa menurut radar utama mereka, sebuah pesawat udara - yang identitinya tidak dapat disahkan - telah berpatah balik. Data radar utama ini menunjukkan bahawa pesawat udara berkenaan menggunakan laluan penerbangan yang membawanya ke satu kawasan di utara Selat Melaka.

Berdasarkan data yang boleh dipercayai ini, yang kemudiannya disahkan dengan pihak berkuasa antarabangsa berkaitan, kami meluaskan kawasan mencari hingga meliputi Selat Melaka dan kemudiannya Laut Andaman.

Awal pagi tadi, saya diberi taklimat oleh pasukan penyiasat - yang dianggotai FAA, NTSB, AAIB, pihak berkuasa Malaysia serta Pemangku Menteri Pengangkutan - mengenai maklumat baharu yang memberi lebih banyak petunjuk tentang apa yang berlaku kepada MH370.

Berdasarkan maklumat terbaharu satelit, kami boleh menyatakan dengan tahap kepastian yang tinggi bahawa Sistem Pengendalian Komuniksi dan Laporan Pesawat (ACARS) dimatikan sejurus sebelum pesawat berkenaan sampai ke pantai timur semenanjung Malaysia.

Sejurus selepas itu, berhampiran sempadan kawalan trafik udara antara Malaysia dan Vietnam, transponder pesawat itu dimatikan.

Mulai saat itu, radar utama Tentera Udara Diraja Malaysia menunjukkan sebuah pesawat, yang dipercayai - tetapi tidak disahkan - MH370 memang berpatah balik. Ia kemudian terbang semula ke arah barat melalui semenanjung Malaysia, sebelum membelok ke arah barat laut. Sepanjang tempoh itu, sehinggalah ia hilang daripada liputuan radar utama tentera, pergerakan yang berlaku menunjukkan ia adalah hasil tindakan secara sengaja oleh seseorang yang berada di dalam pesawat berkenaan.

Hari ini, berdasarkan data satelit belum proses yang diperoleh daripada penyedia perkhidmatan data satelit, kami boleh mengesahkan bahawa pesawat yang ditunjukkan di dalam radar utama itu adalah penerbangan MH370. Selepas banyak kajian forensik dibuat dan perbincangan mendalam diadakan, FAA, NTSB, AAIB dan pihak berkuasa Malaysia, yang mengkaji data itu secara berasingan, memberi pendapat yang sama.

Menurut data baharu itu, komunikasi terakhir yang disahkan berlaku antara peswat itu dengan satelit ialah pada pukul 8:11 pagi waktu Malaysia, Sabtu, 8 Mac. Pasukan penyiasat sedang membuat kiraan selanjutnya untuk mengetahui hingga sampai ke mana pesawat itu mungkin terbang selepas kali terakhir ia mempunyai hubungan. Ini akan membantu kami memperhalusi lagi usaha mencari.

Berikutan jenis data satelit yang ada, kami tidak dapat mengesahkan lokasi tepat pesawat itu berada ketika kali terakhir ia mempunyai hubungan dengan satelit.

Bagaimanapun, berdasarkan data baharu ini, pihak berkuasa penerbangan Malaysia dan rakan antarabangsanya memutuskan bahawa komunikasi kali terakhir antara pesawat itu dengan satelit berlaku di satu daripada dua koridor ini: koridor utara yang menjangkau lebih kurang dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga ke utara Thailand, atau koridor selatan dari Indonesia hingga ke selatan Lautan Hindi. Pasukan penyiasat sedang berusaha untuk memperhalusi lagi maklumat ini.

Berikutan perkembangan terbaharu ini, pihak berkuasa Malaysia mengalih fokus penyiasatan mereka kepada petugas dan penumpang pesawat berkenaan. Walaupun terdapat laporan media bahawa pesawat itu telah dirampas, saya ingin menegaskan dengan sejelas-jelasnya bahawa: kami sedang menyiasat semua kemungkinan yang boleh menyebabkan MH370 melencong daripada laluan asal penerbangannya.

Maklumat satelit terbaharu ini memberi kesan penting terhadap bentuk dan skop operasi mencari. Kami telah menghentikan operasi kami di Laut China Selatan dan menilai semula penggunaan aset kami. Kami sedang bekerjasama dengan negara berkaitan dan memohon mereka memberi semua maklumat berkenaan untuk digunakan dalam operasi mencari, termasuk data radar.

Oleh kerana dua koridor baharu itu melibatkan banyak negara, maka kedutaan negara berkenaan hari ini diundang menghadiri majlis taklimat bersama Kementerian Luar Negeri dan pakar teknikal berhubung maklumat yang baharu diperoleh itu. Saya juga telah mengarahkan Kementerian Luar Negeri memberi taklimat penuh kepada kerajaan-kerajaan asing, yang rakyat mereka menjadi penumpang pesawat itu. Pagi tadi, Malaysia Airlines memaklumkan kepada keluarga penumpang dan petugas pesawat mengenai perkembangan terbaharu ini.

Jelas sekali, usaha mencari MH370 kini memasuki fasa baharu. Sepanjang tujuh hari lepas, kami mengikuti setiap petunjuk dan mengkaji pelbagai kemungkinan. Kepada keluarga dan rakan-rakan mereka yang terlibat, kami berharap maklumat baharu ini akan membawa kami lebih dekat kepada menemui pesawat berkenaan.

BERNAMA

Tuesday, March 11, 2014

Pencarian Pesawat MAS...Jangan Sampai Bertentangan Dengan Islam


Kerajaan amat mengalu-alukan usaha semua pihak untuk membantu mengesan pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370 yang hilang, dalam apa jua cara selagi ia tidak bertentangan dengan syariat Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, keterbukaan itu tidak menghalang mana-mana pihak menggunakan kaedah masing-masing namun dari segi perbomohan, ia tidak boleh dilakukan sehingga melanggar batas agama.

"Kita alu-alukan semua untuk bantu, sekarang tidak timbul soal mistik kerana yang penting pencarian kita dan kalau hendak mencari mestilah bertepatan dengan landasan agama.

 "Saya minta mana-mana pihak jangan buat perlakuan yang bertentangan dengan syariat...dalam kaedah perbomohan, saya minta ia dilakukan tidak bercanggah dengan agama," katanya malam semalaam.

Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Perasmian Program Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan kali ke-35 di Shah Alam yang disempurnakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Petang semalam, muncul di KLIA seseorang  yang mendakwa dirinya Raja Bomoh Sedunia Nujum VIP, Ibrahim Mat Zin. Difahamkan dijemput seorang pegawai tertinggi negara, lapor Bernama.

Dia dilaporkan berpengalaman lebih 50 tahun. Dengan upacara yang dilakukan selama 30 minit, beliau mendapat alamat bahawa kesemua penumpang pesawat terbabit dipercayai masih berada dalam keadaan selamat di satu lokasi tertentu terletak antara Laut China Selatan, Filipina dan sebuah negara asing yang tidak dapat dipastikan.

"Saya nampak pesawat itu masih tergantung di ruang udara, di tengah -tengah ketiga-tiga lokasi terbabit.

"Saya tak dapat jelaskan secara terperinci soal keselamatan mereka tetapi percaya pesawat itu mungkin berada dalam dua keadaan sama ada diculik oleh pihak tertentu atau disembunyikan di alam ghaib", kata dipetik pemberita.

Upacara ritual dengan menggunakan peralatan khas iaitu teropong buluh serta bubu mata pancing sebagai simbolik untuk memperoleh alamat terkini berhubung keadaan pesawat terbabit. Bubu mata pancing terbabit sebagai simbolik penjara di mana pesawat itu dipercayai berada dalam cengkaman pihak tertentu atau ditawan di alam bunian, kata Ibrahim.

"Kita gunakan teropong sebagai simbolik meminta anasir-anasir terbabit untuk membebaskan pesawat terbabit secepat mungkin.

"Upacara yang kita buat turut menggunakan ayat-ayat suci al-Quran iaitu surah Nabi Yunus dan surah Yassin,"katanya.


Melalui upacara tersebut juga, Ibrahim turut mempelawa beberapa individu daripada pelbagai bangsa termasuk seorang wakil media untuk membuat ritual pembebasan dengan meletakkan bubu mata pancing di atas kepala mereka.

Bomoh yang mendakwa pernah menampar buaya tembaga sehingga mati itu, selain upacara terbabit, seramai 100,000 ahli Persatuan Silat Gayung Ghaib dan Selendang Merah turut melakukan solat hajat serta berdoa semoga pesawat yang hilang ditemui dalam minggu ini.

Pihaknya sudah melakukan perkara yang sepatutnya dilakukan dan selebihnya terserah kepada Allah SWT, kata lagi.

Sebelum ini Ibrahim mendakwa pernah terlibat dalam membuat ramalan untuk kes antaranya berkaitan kes tragedi Highland Tower serta membatalkan ilmu hitam Mona Fendy agar hakim dapat menjalankan tugas di Mahkamah Temerloh, Pahang.

Sehubungan pendedahan seorang bomoh bahawa pesawat MH370 yang hilang kini tergantung di alam ghaib, mantan Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin semalam membidas golongan tersebut.

Melalui posting Facebooknya semalam, bomoh yang mengamalkan amalan khurafat ini boleh mengelirukan golongan bukan Islam mengenai agama itu.

“Tak cukup dengan kehilangan MH370, muncul pula macam-macam bomoh khurafat dengan pelbagai aksi yang memperbodohkan diri sendiri, bahkan juga boleh menimbulkan salah sangka orang ramai terutama non-muslim terhadap Islam,”

Beliau turut menegaskan penggunaan ayat suci al-Quran oleh golongan ini tidak bermakna mereka melakukan perkara yang betul.

“Mereka mempergunakan ayat-ayat al-Quran secara salah dan selekeh. Ingatlah bahawa segala yang bodoh dan tahyul itu bukan ajaran Islam,” tambahnya lagi.

Ibrahim dilaporkan melakukan ritual tarian mencari pesawat di ruang legar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam dengan menggunakan bubu buluh dan dua teropong buluh.

Jamil Khir berkata, biarpun tidak semua rakyat dapat menghulurkan bantuan secara fizikal, namun doa yang berterusan supaya pesawat tersebut dijumpai adalah amat diperlukan.

Tambahnya, orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak mengeluarkan sebarang komen negatif ataupun kutukan berhubung insiden itu sehingga mampu mengguris hati keluarga penumpang pesawat malang tersebut.

Pesawat itu membawa penumpang terdiri daripada warga 14 negara dengan lebih separuh merupakan warga China dan 38 rakyat Malaysia. Sehingga kini, pesawat itu masih belum dikesan.