Friday, November 17, 2017

Wanita Pertama Zimbabwe Yang Gilakan Cincin Berlian, ‘Shopping’


Dia ini  umpama 'perdana menteri tidak rasmi' Zimbabwe.

Di Zimbabwe, wanita pertama itu kerap digelar dengan ejekan seperti “The First Shopper” dan “Gucci Grace”.

Beberapa bulan lepas, akhbar The Guardian melaporkan Grace Mugabe, isteri bekas presiden Zimbabwe, Robert Mugabe yang digulingkan tentera negara itu semalam, sangat berminat dengan kasut tumit berjenama Ferragamo, menghabiskan £75,000 (RM412 juta) hanya dalam sehari untuk membeli-belah di Paris.

Awal tahun ini, The Huffington Post edisi Afrika Selatan melaporkan Grace mengheret seorang ahli perniagaan Lubnan kerana gagal memenuhi tempahan cincin berlian berharga AS$1.35 juta (RM5.6 juta).

Menurut Grace, beliau sudah membuat bayaran pendahuluan pada 2015 untuk sebutir cincin berlian “sekurang-kurangnya 100 karat” sempena ulang tahun perkahwinannya. Bagaimanapun, Grace berkata apa yang diterimanya ialah cincin bernilai sekitar AS$30,000.

Anak-anak Mugabe juga tidak kurang hebat dengan cara hidup mewah, menurut The Guardian daam laporan Ogos lalu.


Sumber rapat dengan keluarga Mugabe memberitahu  akhbar The Guardian bahawa Grace merupakan watak yang sering dikaitkan dengan minatnya terhadap barangan berjenama mewah.

Kontroversi mengenai Grace bukan sekadar minatnya dengan kemewahan.

Grace juga terlibat dalam beberapa pergaduhan, termasuk dengan jurukamera Britain, Richard Jones.

Pada 2009, Jones cuba mengambil gambarnya di luar sebuah hotel di Hong Kong. Selepas dikejar dan ditahan pengawal peribadi Grace, Jones mendakwa wanita pertama itu menumbuk mukanya.

Insiden serupa juga dikatakan berlaku di Afrika Selatan, Singapura dan Malaysia, di mana keluarga Mugabe dipercayai memiliki beberapa hartanah.

Ogos lalu, beliau dituduh menyerang seorang model di Afrika Selatan menggunakan sebuah plag, tetapi terlepas disebabkan imuniti diplomatik.

Mugabe melamar Grace ketika isteri pertamanya, Sally, masih terlantar sakit dan meniti hari-hari terakhirnya selepas didiagnos dengan barah.


Ketika itu, Grace ialah jurutaip di sebuah pejabat kerajaan. Mugabe pernah secara terbuka mengaku mereka berdua mengadakan hubungan seks ketika isteri pertamanya terlantar sakit.

“Saya perlukan seseorang dan walaupun Sally meniti hari-hari terakhirnya, saya meniduri Grace. Ia mungkin nampak kejam kepada sebahagian orang.

Dia pada masa itu orang paling rapat dengan saya dan dia juga seorang janda,” Mugabe memberitahu wartawan Afrika Selatan, Dali Tambo dalam wawancara pada 2013.

Sally meninggal dunia pada 1992. Grace dan Mugabe, dengan jurang 40 tahun antara mereka, berkahwin pada 1996 dalam majlis serba mewah dihadiri lebih 40,000 tetamu termasuk Nelson Mandela, presiden Afrika Selatan ketika itu.

Mugabe pernah dikecam antarabangsa selepas melancarkan dasar merampas ladang dan tanah pertanian milik penduduk kulit putih, dengan alasan untuk memulangkan kepada rakyat tempatan.

Tetapi, Grace merupakan antara orang yang mendapat habuan daripada dasar tersebut. Beliau menjalankan beberapa aktiviti perlombongan, di samping 5 ladang yang pernah dimiliki penduduk kulit putih yang diusir.


Pengaruh Grace dikatakan semakin menular dalam lapangan politik. Pada 2014, beliau dilantik memimpin sayap wanita parti pemerintah, Kesatuan Kebangsaan Afrika Zimbabwe – Barisan Patriot (ZANU-PF). Grace sendiri tidak merahsiakan cita-citanya.

“Mengapa tidak? Saya pun rakyat Zimbabwe,” katanya ketika ditanya sama ada beliau mahu menjadi presiden.

Di saat Mugabe semakin tua dan lemah, Grace mengambil peluang daripada hubungan rapat dengan suaminya. Mesyuarat bersama ahli perniagaan diadakan di rumah mewah pasangan itu di sebuah kawasan kejiranan elit di Harare. Rumah itu mempunyai 2 tasik, dan dihiasi perabot Louis XIV.

Tetamu yang berkunjung untuk berbincang dengan Mugabe selalunya melihat Grace di sampingnya.

(sumber FMT)


Thursday, October 12, 2017

A Kadir Adil Apabila Menyifatkan Ekonomi Malaysia Semakin Lemah


Jangan kerana A Kadir Jasin kini bergerak dengan Parti Pribumni Bersatu Malaysia (PPBM) maka apa yang ditulisnya seolah-olah membangkang membabi buta.

Sebagai wartawan dan pengarang berpengalaman, beliau dapat membezakan antara fakta yang betul dan yang diputar-belitkan untuk memburukkan negara.

Apakah apabila seseorang berada di pihak pembangkang maka pandangannya buruk dan sewel belaka?

Yang menyokong kerajaan itu semuanya benar dan tidak ada yang tidak benar dan menyembunyi atau menyelewengkan fakta?

A Kadir melihat Malaysia dalam perspektif perkembangan ekonomi negara dengan merujuk kepada laporan Bank Dunia yang mengatakan: “Dalam laporan terbarunya Bank Dunia berkata, daripada 15 negara Asia yang ekonominya dianalisis, Malaysia adalah di antara beberapa buah negara yang ekonominya dijangka meruncing.


Ia meramalkan bahawa dalam keadaan yang sedang berlaku sekarang, ekonomi Malaysia tahun hadapan (2018) dijangka berkembang pada kadar lima peratus sahaja dan akan menguncup menjadi 4.8 peratus pada tahun 2019.”

Apakah A Kadir mereka-reka cerita?

Atau apakah A Kadir bagai seorang yang bersifat belatuk atau burung kakak tua yang hanya mengangguk atau mengulangi kata-kata memuji sahaja mengenai ekonomi Malaysia dan kepimpinan Najib Razak seperti ulasan oleh Salleh Said Keruak atau Annuar Musa?


Malah, kata A Kadir, ‘dalam apa pun tindakan ketua-ketua Umno/Barisan Nasional dan jentera diayah mereka, yang termasuk laskar siber K9, unsur putar-belit sentiasa ada dan amat jelas.’

A Kadir mempunyai sebab apabila mengatakan “kerajaan UMNO/BN nampaknya tidak mampu dan tidak bersedia untuk berterus terang dengan rakyat jelata bahawa ekonomi negara sedang mengalami masalah sistemik.”

A Kadir berhujah, kejatuhan harga minyak mentah, ketidakpercayaan terhadap kerajaan akibat skandal 1MDB dan hutang negara yang melambung menyebabkan nilai ringgit jatuh.

Kejatuhan nilai ringgit secara automatik menyebabkan kos mengimport makanan dan ubat-ubatan naik. Ini menyebabkan harga makanan dan ubat-ubatan melambung.

Seterusnya A Kadir menempelak kerajaan dengen mengatakan, “Kalau ini tidak cukup membebankan, pengguna dikenakan pula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST). GST dilaksanakan bagi menampung kekurangan hasil kerajaan akibat kejatuhan harga minyak mentah.”

Beliau memberi amaran, putaran ganas ini akan berterusan selagi kepercayaan pelabur dan pengguna tidak dipulihkan.

Keadaan kini ialah, Malaysia bukan sahaja mengalami masalah defisit belanjawan yang serius tetapi juga defisit kebolehpercayaan terhadap kerajaan yang teruk, demikian tegas A Kadir.

A Kadir seterusnya berhujah:

“Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengherdik pembangkang dan pengkritik kononnya mensabotaj ekonomi negara.

Menteri Kewangan itu mendakwa ekonomi negara kukuh, berkembang pesat dan asasnya kuat.

Tiupan sumbang trompet beliau itu berlaku pada saat-saat kehidupan rakyat jelata semakin terhimpit dan petanda-petanda harian menunjukkan ekonomi negara semakin meruncing dan kewangan kerajaan semakin longlai.

Menteri kabinet beliau sendiri bercakap mengenai pembinaan hospital kerajaan “sakit”, bekalan ubat di hospital kerajaan yang sering terputus dan pesakit yang dulu mampu berubat di klinik dan hospital swasta kini berpusu-pusu ke klinik dan hospital awam.

Najib seronok umpama budak-budak dapat aiskrim apabila ekonomi negara pada suku kedua tahun ini tumbuh 5.8 peratus dan agensi-agensi penarafan memberi markah yang baik kepada ekonomi Malaysia.

Tetapi seperti Sang Kelembai yang celopar mulutnya, puja dan puji Najib segera bertukar menjadi mimpi ngeri. Bank Dunia yang baru-baru ini memuji Malaysia kini memberi amaran bahawa ekonomi Malaysia sebenarnya semakin lemah.

Dijangka meruncing


Dalam laporan terbarunya Bank Dunia berkata, daripada 15 negara Asia yang ekonominya dianalisis, Malaysia adalah di antara beberapa buah negara yang ekonominya dijangka meruncing.

Ia meramalkan bahawa dalam keadaan yang sedang berlaku sekarang, ekonomi Malaysia tahun hadapan (2018) dijangka berkembang pada kadar lima peratus sahaja dan akan menguncup menjadi 4.8 peratus pada tahun 2019.

Harga komoditi yang tidak menentu, ketidaktentuan dasar ekonomi negara besar dan ketegangan antarabangsa adalah antara faktor yang melemahkan ekonomi Malaysia.

Bank Dunia berkata, manakala ekonomi negara Asia yang lain berkembang pesat, ekonomi Malaysia merosot kerana ia gagal menyesuaikan diri dengan suasana ekonomi dunia dan tempatan.

Laporan itu secara khusus menyebut mengenai masalah hutang isu rumah Malaysia yang terlalu tinggi, iaitu melebihi 70 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar.

Itulah realiti zaman Najib. Kerajaan berhutang kerana wang negara diboroskan. Rakyat jelata berhutang kerana pendapatan kais pagi makan pagi dimakan pula oleh GST, kejatuhan nilai ringgit dan inflasi.

Merata-rata kita dengar cerita hospital kerajaan ketiadaan atau kehabisan ubat. Rakyat jelata disuruh beli di luar dengan janji dibayar balik kemudian nanti.

Nampaknya kita sudah sampai ke peringkat di mana bukan sahaja kerajaan berhutang daripada China, tetapi juga daripada rakyat jelata.

Najib dan para pendiayah beliau akan terus membuat tipu-helah, tetapi sampai bila rakyat jelata akan terus menderita?

Kalau naratif daripada institusi bebas macam Bank Negara pun tidak konsisten lagi, sukarlah kita mempercayai bahawa perangkaan ekonomi kita adalah benar dan betul.
Hutang luar negara

Kita sering dimaklumkan oleh Bank Negara yang rizab antarabangsa kita tinggi sehingga mampu membiayai beberapa bulan import kekal.

Misalnya, sehingga 29 September lepas rizab antarabangsa Bank Negara naik kepada AS$101.2 bilion (bersamaan RM427.7 bilion). Jumlah ini mencukupi untuk membiayai 7.6 bulan import kekal.

Selama ini kita membandingkan kadar rizab dengan jumlah import kita. Tetapi kini kita diberitahu yang rizab itu juga dikaitkan dengan hutang jangka pendek luar negara.

Walaupun kadar tukaran ringgit naik 5.8 peratus sehingga 3 Oktober tahun ini, laporan Bank Dunia itu berkata Malaysia terus terdedah kepada risiko mata wang yang lebih tinggi berbanding negara-negara membangun lain di Asia Timur dan Pasifik. Indonesia dan Thailand turut menghadapi risiko yang serupa, tetapi tidak seteruk Malaysia.

Berkenaan rizab antarabangsa, Bank Dunia mendapati syarikat dan bank di Malaysia mempunyai hutang luar yang besar, tetapi rizab antarabangsa nampaknya mencukupi untuk menampung hutang itu.

Jadi adakah ini bermakna rizab antarabangsa kita bukan sahaja untuk menampung kos import, tetapi juga untuk membayar hutang luar?

Mana lebih utama?

Kalau begitu, dalam suasana krisis di mana hutang menjadi masalah, yang mana akan lebih diutamakan kerajaan – mengimport barang-barang, khususnya makanan, atau membayar hutang luar?

Pengalaman negara-negara yang mengalami krisis kewangan mendapati pembayaran hutang luar lebih utama daripada pengimportan barang-barang.

Ambil Greece sebagai contoh. Ketika krisis ekonominya memuncak pada tahun 2013, sehingga 90 peratus rakyat miskinnya bergantung kepada bantuan makanan kerana Greeca tidak mampu mengimport manakan dan harganya melambung. Sampai hari ini pun jualan makanan masih merosot.

Hal yang sama terjadi kepada Indonesia ketika Krisis Kewangan Asia 1997/98 apabila ia terpaksa berhutang daripada Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) dan mengutamakan bayaran balik hutang luar daripada mengimport makanan."

(Sumber - Malaysiakini)

Saturday, August 5, 2017

Straits Times - Tiada Yang Asli, Semua PM Malaysia Berketurunan Campuran


Akhbar Singapura, The Straits Times melaporkan semua perdana menteri Malaysia berketurunan campuran.

Menyusuli dakwaan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi yang kad pengenalan lama Tun Dr Mahathir Mohamad tertera “Mahathir a/l Iskandar Kutty”, laporan bertajuk “Malaysian PMs: Malay and more” (PM Malaysia: Campuran Melayu) itu menyenaraikan keturunan perdana menteri lain seperti berikut:

Tunku Abdul Rahman
Tunku Abdul Rahman (1957-1970)
“Bapanya raja Kedah ke-25 manakala ibunya kerabat Siam, menurut Bernama.”

Abdul Razak Hussein
Tun Abdul Razak Hussein (1970-1976)
“Berasal dari salah seorang bangsawan tertinggi Pahang. Menurut sejarawan William Linehan, para bangsawan mempunyai keturunan menerusi garis keturunan sebelah ibu dari ketua Bugis, To’ Tuan.”

Hussein Onn
Tun Hussein Onn (1976-1981)
“Anak pengasas Umno Datuk Sir Onn Ja’afar. Sebuah buku yang ditulis Leon Comber menyatakan neneknya seorang Sirkasia, satu kumpulan etnik yang kebanyakannya kini menetap di Turki.”

Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad (1981-2003)
“Bapanya Melayu Pulau Pinang yang mempunyai nenek moyang dari Kerala, India.”


Abdullah Ahmad Badawi
Tun Abdullah Ahmad Badawi (2003-2009)
“Berdarah Hadrami, menurut buku yang dicetak Utusan Publications. Hadrami sebuah kawasan yang diperintah seorang sheikh di Yemen. The Star sebelum ini melaporkan datuk sebelah ibunya seorang Hainan Islam.”

Najib Razak
Datuk Seri Najib Razak (2009- current)
“Menurut Utusan Malaysia, anak keapda perdana menteri kedua itu juga berketurunan Bugis dari sebelah ibunya, yang mana nenek moyangnya seorang ketua Bugis di Johor.”

Ahad lepas, dalam ucapannya semasa merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Kelana Jaya, Zahid mendakwa Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara Datuk Yazid Ramli memberikan maklumat mengenai kad pengenalan Dr Mahathir.

Zahid berkata Dr Mahathir “memperjuangkan agenda Melayu untuk menggunakan Melayu”.
Sejak membuat kenyataan itu, Zahid dikecam Pakatan Harapan dan PPBM, kedua-duanya organisasi yang dipengerusikan Dr Mahathir, termasuk ancaman saman terhadap beliau.

Pengikut setia Dr Mahathir Datuk Khairuddin Abu Hassan juga memfailkan laporan polis terhadap Zahid dan Yazid kerana menyalahi Akta Perlindungan Data Peribadi.

Bekas perdana menteri itu turut mencabar Zahid menunjukkan kad pengenalan lamanya.
“Kalau dia boleh tunjuk, saya nak tengoklah. Jangan nak sembunyi.”

Sumber - FMT & Straits Times


Wednesday, July 26, 2017

Apa Yang Susah Sangat Nak Jawab Mengenai Kos Lawatan Rosmah?


Jawapan lisan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said di Dewan Rakyat semalam berhubung lawatan program PERMATA ke London dipersoalkan.

Ia tidak memuaskan hati  Anggota Parlimen Kulai Teo Nie Ching dan mempertikaikan jawapan berkenaan.

Malah, anggota parlimen DAP itu turut menganggap jawapan yang diberikan oleh Azalina sebagai 'jawapan sampah' kerana tidak menjawab soalan.

Apa masalah untuk menjawab soalan yang begitu mudah?

"Soalan saya, saya ingin tahu berapa kos lawatan ke London, butiran perjalanan dan apakah hasil lawatan Datin Seri Rosmah Mansor dan dua menteri lain ke London pada 4 hingga 10 Mei.

"Tapi bila saya terima jawapan, saya hairan dengan jawapan yang diberi Azalina.

"Dia (Azalina) langsung tak sebut berapakah jumlah yang dipersetujui oleh jemaah menteri.
Ini contoh yang sangat teruk. Ini jawapan yang "rubbish"," kata Teo pada sidang media di Parlimen semalam.


Dalam soalan bertulis, Teo meminta perdana menteri menyatakan kos, butiran perjalanan dan hasil lawatan penaung program PERMATA Datin Seri Rosmah Mansor ke London pada 4 hingga 10 Mei 2017 dengan diiringi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Azalina.

Jawapan yang diberi Azalina kepada Teo berhubung soalan itu pula ialah, kos yang terlibat dalam lawatan rasmi Rosmah ke Londonn adalah seperti mana yang dipersetujui oleh jemaah menteri melalui Memorandum Jemaah Menteri yang telah dibentangkan pada 26 April 2017 dengan menggunakan peruntukan sedia ada Jabatan Perdana Menteri.

Dalam jawapan bertulis itu juga, Azalina turut menyenaraikan lima program semasa lawatan rasmi tersebut serta empat hasil dan manfaat yang diperolehi daripada lawatan berkenaan.

Sehubungan itu, Teo mempersoalkan anggota parlimen Pengerang berkenaan kerana tidak memberitahu kos lawatan tetapi mampu memberi senarai manfaat semasa lawatan berkenaan.

"Kalau Azalina cukup yakin lawatan ke London memberikan hasil dan manfaat, kenapa tak boleh beritahu rakyat berapa banyak kos yang telah dibelanjakan?

"Memang semua orang tahu segala perbelanjaan perlu dilulus oleh jemaah menteri. Soalan saya hanya nak tahu kos. RM1 juta ke? RM2 juta atau setengah juta?
"Soalan mudah pun tak boleh beri jawapan," katanya.


Isu lawatan Rosmah ini pada 11 Mei lalu, turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Tunku dari DAP, Lau Weng San apabila memohon pejabat perdana menteri untuk menjelaskan kos dan butiran perjalanan isteri perdana menteri, itu ke London.

"Khususnya antara 4 hingga 7 Mei kerana dua menteri kabinet yang sepatutnya mengiringi Rosmah dalam lawatan ke London tidak bersama dengan beliau dalam tempoh empat hari ini.

"Selain itu, tujuan saya menimbulkan soalan ini adalah kerana media Malaysia dan United Kingdom nampaknya kurang melaporkan aktiviti-aktiviti beliau selama seminggu di London.

"Maka, ada keperluan untuk pihak perdana menteri memberi penjelasan yang lebih lanjut terhadap kos perjalanan tersebut," kata Lau dalam kenyataannya.

Menurut kenyataan Kementerian Luar, antara aktiviti Rosmah di London ialah menyampaikan ucapan serta merasmikan Majlis Nobel Minda atau Nobelist Mindset.

Selain itu, Rosmah juga menyaksikan majlis menandatangani dua Surat Hasrat (LOI) iaitu antara PERMATA Pintar dan Cambridge University, dan PERMATA Insan dengan Oxford Centre for Islamic Studies, University of Oxford.

Mengulas lanjut, Lau berkata, carian di internet hanya melaporkan kenyataan Kementerian Luar Negara yang dikeluarkan sehari sebelum Rosmah bertolak ke London.

"Carian di laman web The Royal Society of London serta carian di beberapa akhbar dan media UK tidak memberi apa-apa hasil carian," jelasnya.

Kalau setakat itu sahaja yang boleh dilaporkan media dalam dan luar negara sepanjang lawatan seminggu itu, tambah Lau, ia sangat sedikit.

"Seharusnya isteri perdana menteri perlu menghadiri sekurang-kurangnya satu program rasmi setiap hari dan semestinya perlu ada laporan atau liputan media hampir setiap hari daripada London berkenaan dengan lawaran tersebut," ujarnya lagi.

Menjawab persoalan Lau sebelum ini, pembantu Rosmah, Datuk Rizal Mansor hari ini secara sinis berkata, selaku ADUN, Lau sepatutnya bertanggungjawab berhubung hal ehwal negeri dan bukan berkaitan Pusat.

"Anda seorang ADUN dan tanggungjawab anda adalah berkenaan hal ehwal negeri. Soalan-soalan yang anda tanya itu adalah berkaitan dengan Pusat dan boleh ditanya oleh anggota parlimen di Dewan Rakyat.

"Belajarlah mengenali tugas masing-masing, bukannya main sondol," kata Rizal. 

Tuesday, July 4, 2017

Kerajaan PAS Kelantan Didakwa Terlibat Dengan Syarikat Kutip Wang Haram

\

Kerajaan negeri Kelantan didakwa terlibat dengan operasi sebuah syarikat yang mengutip wang orang ramai dengan menjual token atau apa yang didakwa cryptocurrency.

Rakyat berhak untuk mengetahui sama ada langkah Climate Protector yang beralamat di Berek 12, Kota Bharu menggunakan kelulusan sejuta ekar Hutan Simpan Kekal (HSK) itu dengan mengutip wang orang ramai dengan menjual token atau apa yang didakwa cryptocurrency dipersetujui oleh Kerajaan Kelantan atau tidak.

Melalui status FBnya semalam, Naib Presiden Amanah, Datuk Husam Musa mendakwa ketika berucap di majlis perjumpaan Aidilfitri, 2 Syawal (26 Jun), Menteri Besar Kelantan didakwa dengan bangganya sekali lagi bercakap mengenai projek 'bertaraf dunia' Kelantan - perniagaan karbon menerusi sejuta ekar HSK diluluskan kepada Climate Protector Sdn Bhd.

Menteri Besar dikatakan menyatakan perkara itu ketika berucap di majlis perjumpaan Aidilfitri, 2 Syawal (26 Jun)

“Sedangkan tiga hari sebelum itu katanya, iaitu pada 23 Jun, Bank Negara Malaysia (BNM) menerusi laman webnya, menyenaraikan Climate Protector dan sekutunya, EcoBit sebagai beroperasi tanpa kelulusan, “ katanya.

Husam yang juga ADUN Salor menegaskan, kerajaan negeri Kelantan perlu mendedahkan tindakannya selepas Bank Negara menyenaraikan sebuah firma yang memeterai perjanjian dengannya untuk melindungi kira-kira 396,000 hektar hutan sebagai syarikat yang beroperasi tanpa kelulusan.


Husam berkata syarikat, Climate Protector Sdn Bhd, adalah salah satu dari empat syarikat yang dinamakan oleh Bank Negara menerusi satu senarai pemerhatian atau amaran kepada pengguna pada 23 Jun.

Senarai syarikat dan laman sesawang berkenaan tidak diberi kebenaran atau kelulusan di bawah undang-undang dan peraturan berkaitan yang ditadbir oleh Bank Negara.

Climate Protector memeterai perjanjian dengan kerajaan negeri Kelantan pada 9 Jan, 2017. Perjanjian itu meliputi tempoh 30 tahun.

Climate Protector dilaporkan sebagai "syarikat kredit karbon" pertama di Malaysia yang mendakwa teras perniagaannya adalah “inisiatif melindungi alam sekitar daripada pemusnahan hutan dan degradasi (REDD)."

Lima bulan lalu, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata perjanjian dengan kerajaan negeri Kelantan itu bercanggah dengan syarat yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

"Mekanisme ini adalah berasaskan prinsip pembiayaan bagi jumlah pengurangan pelepasan gas rumah kaca dan tidak melibatkan mekanisme pasaran," kata Wan Junaidi.

Sehubungan itu, menurutya, semua kerajaan negeri digesa untuk mendapatkan keterangan lanjut mengenai inisiatif REDD daripada Bahagian Pengurusan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim di talian 03-88861140 atau melalui e-mel di aduannre@nre.gov.my bagi memastikan kesahihan maklumat mengenai inisiatif REDD.


Walaupun demikian, Husam berkata, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob, pada 26 Jun tidak memandang berat amaran Bank Negara itu.

Berikutan itu,  Husam berkata kerajaan negeri kini perlu tampil menyatakan tindakan seterusnya selepas Bank Negara mengeluarkan amaran itu.

Husam turut mengemukakan beberapa persoalan dalam isu ini:

Pertama, syarikat mengutip wang secara haram menggunakan kelulusan Kerajaan Negeri?

Kedua, orang ramai mungkin menjadi mangsa kepada skim penipuan?

Ketiga, syarikat mendapat untung percuma?

"Jika ya, adakah Kerajaan Kelantan turut menjadi mangsa atau bersubahat?," soal beliau.

Menurutnya selepas pendedahan ini, Kerajaan Kelantan perlu mengambil tindakan segera bagi menyelamatkan negeri dan rakyat.

"Kala perlu kerajaan harus membatalkan perjanjian atau memberitahu orang ramai jangan terpedaya. Bagi rakyat mereka tidak harus berdiam diri seperti biasa.

"Kalau perlu patut membuat laporan polis, BNM dan SPRM," katanya.

Apa yang penting katanya, aset HSK Kelantan tidak tergadai, rakyat tidak mengalami kerugian dan kepentingan negeri dipelihara secara jujur, amanah, profesional dan cekap.

Husam berkata beliau akan mengadakan sidang media khas di Wisma Amanah Negara, Kuala Lumpur hari ini (4 Julai 2017, Selasa, jam 11.00 pagi) mengenai perkara itu.

Sumber - Malaysiakini & Malaysia Dateline

Thursday, June 29, 2017

Jangan Retorik - Apa 'Selling Point' AMANAH Untuk Yakinkan Pengundi?


Parti Amanah Negara (AMANAH) yang dikatakan bertujuan membawa Islam progresif dengan barisan kepimpinan yang alim dalam bidang atau kepakaran tertentu, wajar sekali menerangkan dasar atau polisi kenegaraannya yang punya identiti Islam yang inklusif.

Bukan ayat dengan perkataan ‘inklusif’ tetapi polisi bersifat (konsep) Islam inklusif.

AMANAH perlu membuktikan ia parti yang mempunyai polisi yang boleh menyatukan rakyat pelbagai bangsa, polisi yang boleh memurnikan ekonomi dan sosial.

Dengan kata lain, ia polisi yang praktikal dan releven.

Berikutan itu AMANAH tidak boleh terus menerus  beretorik serta  memaparkan diri mereka sebagai mangsa politik hubungan mesra antara PAS dan UMNO.

Jika setahun atau enam bulan lalu, mungkin retorik ini masih laku dijual. Tetapi sekarang dan pada masa hadapan, tidak boleh lagi.

Hentikan retorik bahawa AMANAH sebagai mangsa PAS demi memujuk sokongan rakyat.

Dalam isi suratnya kepada AMANAH, Pengarah Pendidikan Politik DAP Johor Mahadzir Ibrahim  berkata. beliau  belum mendengar  butiran itu dinyatakan secara jelas dan konsisten.

“Bagi saya ini penting dalam proses membina atau membentuk imaginasi penyokong dalam memposisikan parti mereka jauh daripada politik intrik PAS.
.
Polisi ini tidak harus menjadi kitab yang sukar dibaca atau diterjemahkan kepada rakyat. Jangan harap rakyat mahu membaca apa yang anda tulis atau menyelidik buku-buku ilmiah anda,” kata beliau seperti di petik Malaysiakini semalam.

Menurutnya, polisi itu  harus menjadi zikir di setiap bibir pemimpin AMANAH dalam menghadapi kritikan mahupun membuat kritikan terhadap masalah negara, setiap masa.

Jika polisi-polisi ini sudah ada, ia perlu diterangkan secara lebih berkesan.

Surat Ahli DAP Untuk AMANAH

(Pengarah Pendidikan Politik DAP Johor )


Parti Amanah Negara (AMANAH) ditubuhkan pada September 2015. Sejarah bagaimana ia tertubuh, semua yang mengikuti perkembangan politik sudah tahu. Tak perlu saya catatkan lagi.

Kita dapat lihat bagaimana sukarnya sesebuah parti mahu dibentuk. Bukan setakat masalah teknikal sebaliknya yang lebih sukar ialah untuk mengumpul pengaruh dan kekuatan.

Apatah lagi, AMANAH bukan diketuai oleh tokoh seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bukan soal Abang Mat Sabu tak popular, tetapi keterampilannya berbanding bekas PM dan TPM tidak ada padanya. Namun, dalam politik, itu bukan syarat mandatori untuk sesebuah parti itu berjaya.

Namun, sedikit sebanyak ia penting bagi mewujudkan faktor yang boleh menarik perhatian dan sokongan orang ramai untuk menyertai AMANAH.

Justeru, pada aspek ini AMANAH tidak perlu bersaing atau dibandingkan dengan parti seperti PKR (dengan ketokohan Anwar) atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dengan ketokohan Dr Mahathir atau Muhyiddin.


Maka, aspek apa yang sesuai bagi AMANAH untuk menapak kukuh dalam persaingan politik hari ini?

Apa perlunya hal ini dipersoalkan? Bukankah ini hal AMANAH? Kenapa saya sebagai ahli DAP menyibuk?

Hari ini AMANAH sudah tidak boleh memaparkan diri mereka sebagai mangsa politik hubungan mesra antara PAS dan UMNO. Jika setahun atau enam bulan lalu, mungkin retorik ini masih laku dijual. Tetapi sekarang dan pada masa hadapan, tidak boleh lagi.

Bergantung wala' dan retorik

Contoh terbaik, Anwar. Lebih 10 tahun imej Anwar sebagai mangsa kekejaman BN laku dijual atau berjaya mengolah sokongan rakyat. Tetapi hari ini, generasi yang lahir pada era 1990-an yang kini sudah layak mengundi, tidak dapat membeli imej tersebut.

Dr Mahathir bersama pembangkang pada hari ini, bukan kerana imej Anwar Ibrahim sebagai mangsa politiknya, tetapi sebab masalah korupsi kerajaan UMNO Najib Razak. Ini relevennya.

Maka, aspek ini juga tidak boleh lagi digunakan oleh parti AMANAH. Lupakan. Hentikan retorik anda sebagai mangsa PAS demi memujuk sokongan rakyat.

Justeru apa lagi yang boleh diprojekkan untuk menarik sokongan buat AMANAH?

Dari gaya (trend) politik PAS hari ini, parti mereka hanya bergantung dengan wala’ ahli-ahlinya dan juga retorik Islam yang mesra regim kleptokrasi atau ringkasnya Islam Kleptokrasi ala PAS.

Bagi saya inilah kelemahan PAS yang boleh menjadi kekuatan bagi AMANAH jika dapat dirumuskan dengan lebih cermat.


Saya belum mendengar konsep politik AMANAH yang dikatakan Islamnya lebih progresif berbanding PAS. Saya tidak mengambil hujah-hujah di ceramahnya kerana ceramah lebih bersifat retorik. Sesiapa pun boleh beretorik jika hari-hari berlatih depan cermin.

AMANAH yang dikatakan membawa Islam progresif dengan barisan kepimpinan yang alim dalam bidang atau kepakaran tertentu, wajar sekali menerangkan dasar atau polisi kenegaraannya yang punya identiti Islam yang inklusif.

Bukan ayat dengan perkataan ‘inklusif’ tetapi polisi bersifat (konsep) Islam inklusif.

Mengapa AMANAH penting

Polisi yang boleh menyatukan rakyat pelbagai bangsa, polisi yang boleh memurnikan ekonomi dan sosial. Polisi yang praktikal dan releven.

Saya belum dengar butiran ini dinyatakan secara jelas dan konsisten. Bagi saya ini penting dalam proses membina atau membentuk imaginasi penyokong dalam memposisikan parti mereka jauh daripada politik intrik PAS.

Polisi ini tidak harus menjadi kitab yang sukar dibaca atau diterjemahkan kepada rakyat. Jangan harap rakyat mahu membaca apa yang anda tulis atau menyelidik buku-buku ilmiah anda.

Sebaliknya polisi ini harus menjadi zikir di setiap bibir pemimpin AMANAH dalam menghadapi kritikan mahupun membuat kritikan terhadap masalah negara, setiap masa.

Jika polisi-polisi ini sudah ada, ia perlu diterangkan secara lebih berkesan.

Saya tidak tahu atau tidak mampu menjawab pertanyaan rakan-rakan, mengapa kita perlu berkawan dengan AMANAH dan mengapa ia penting.

Selain daripada jawapan dan hujah saya bahawa AMANAH menolak UMNO, GST dan regim kleptokrasi Najib, saya tidak mampu memberikan jawapan yang lebih jelas dan apakah selling point untuk meyakinkan pengundi atas pagar di kalangan orang Cina dan Melayu agar menyokong AMANAH kuat-kuat.

Balik kepada soalan tadi - ini adalah hal parti AMANAH dan kenapa saya sebagai ahli DAP nak menyibuk?

Naratif ini telah menjawab, mengapa saya "menyibuk" tentang hal parti AMANAH.

Dalam konteks Pakatan Harapan (PH) secara holistiknya, DAP, PKR atau PPBM memerlukan wakil AMANAH yang kuat dan cukup untuk membentuk kerajaan baru. Tanpa kekuatan yang cukup, perimbangan politik dalam PH akan terganggu.

Maka, dasar-dasar parti AMANAH yang jelas dengan identiti politik yang jitu, sangat-sangat diperlukan ketika ini. Bukan untuk PH sahaja, sebaliknya untuk AMANAH sendiri, malah semestinya untuk para pengundi.

Tidak semua pengundi akan memangkah HARAPAN kerana kebencian mereka kepada Najib Razak dan UMNO, sebaliknya saya yakin, lebih ramai daripada mereka mengundi kerana suka dan yakin dengan dasar dan identiti serta matlamat parti politik itu.

Pandangan saya tidak penting, yang  penting identiti politik AMANAH harus lebih jelas.

Sunday, June 25, 2017

Hadi Jadi ‘Pembela Najib’ – Insiden Paling Tidak Dapat Dilupakan


Insiden yang paling tidak dapat dilupakan di Malaysia pada bulan Ramadan yang berakhir semalam sudah pasti perubahan yang diperlihatkan oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang, menjadi lebih juara dan pembela Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan skandal 1MDB berbanding mana-mana orang lain dalam UMNO.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menyifatkan Presiden PAS itu kini muncul “lebih juara dan pembela” Najib berbanding mana-mna pemimpin dalam UMNO.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan media petang ini sebagai respons kepada kenyataan Hadi.

Kata Kit Siang, DAP tidak menyokong sebarang campur tangan asing dalam hal ehwal domestik Malaysia tetapi “kita juga tidak boleh membenarkan Malaysia menjadi kleptokrasi global.”

“DAP berpegang teguh dalam pendirian ini kerana tidak ada agama yang menyokong rasuah atau kleptokrasi,” katanya.

Pengarah Komunikasi Amanah turut menyangkal kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sambil mendakwa presiden PAS itu ternyata “silap” apabila mengeluarkan kenyataan kononnya pihak tertentu mengundang kuasa asing untuk campur tangan dalam isu dalaman negara dengan matlamat mahu menguasai Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Khalid Samad berkata: “Saya percaya tidak ada seorang pun dari pihak pembangkang yang meminta kuasa asing untuk menjajah negara atau meminta mana-mana tentera asing untuk masuk (ke dalam Malaysia).”

“Kenyataan Hadi tidak relevan dan beliau tidak diberi nasihat yang betul sebelum mengeluarkan kenyatannya,” kata Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam kepada FMT mengulas kenyataan Hadi.

Terdahulu, Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, beliau bimbang Malaysia akan jatuh ke tangan negara lain disebabkan tindakan pihak tertentu cuba mempelawa pihak luar campur tangan dalam masalah dalaman demi mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Saya yakin mereka yang mengundang pihak asing mencampuri urusan negara semata-mata untuk menang pilihan raya, di mana moral mereka paling tidak beriman dan budiman, apabila kemenangannya nanti juga tanpa iman dan budiman,” katanya dalam kenyataan bertajuk “Surat Terbuka Kepada Parti Politik Malaysia”.

Sehubungan itu, presiden PAS mengingatkan semua parti politik tidak mengulangi sejarah dengan menjemput pihak asing untuk menyelesaikan masalah negara seperti kes Bumiputera Malaysia Finance (BMF), Perwaja Steel, Tabung Haji dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Katanya, negara asing akan bersorak gembira supaya diberi ruang penyelesaian oleh mahkamah di negara mereka.


Kenyataan itu dipercayai merujuk tindakan terbaru Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) memfailkan saman sivil di California untuk menyita aset berjumlah AS$540 juta (RM2.3 bilion), termasuk karya seni, kapal layar, barang kemas dan hak cipta 2 filem komedi yang didakwa dibeli dengan dana diseleweng daripada 1MDB.

Semalam, bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menepis dakwaan pembangkang mampu mempengaruhi DoJ untuk memfailkan tuntutan mengenai jenayah yang dilakukan di negara terbabit, melibatkan bank dan harta di sana.

Kit Siang menyifatkan bulan Ramadan 2017 menjadi bulan Ramadan yang tidak dapat dilupakan ekoran perkembangan luar biasa dalam arena antarabangsa dan nasional.

Dalam ulasannya, Khalid Samad, wakil rakyat sejak 2008 berkata, parti pembangkang hanya menjalankan tugas mereka dalam menonjolkan salah laku pihak-pihak yang terlibat dalam urusan 1MDB.

“Orang ramai perlu sedar negara-negara lain sudah pun mengambil tindakan terhadap 1MDB,” kata beliau sambil menambah, usaha yang sama tidak dilaksanakan di Malaysia.

Beliau juga berkata, Hadi membuat rujukan yang tidak tepat mengenai kejatuhan Islam di Sepanyol pada abad ke-15 apabila membandingkannya dengan senario yang dikatakan di Malaysia.

Hadi berkata, kerajaan Islam purba di Sepanyol jatuh selepas pemerintahnya menjemput orang asing membantu menyelesaikan krisis dalaman mereka.

Khalid berkata, kejatuhan Islam di Sepanyol disebabkan perpecahan dan pertelingkahan di kalangan empayar orang Islam pada masa itu.


“Bagaimana ia boleh dikaitkan dengan keadaan kita sekarang?” soal Khalid.

Sumber asal - FMT

Friday, June 23, 2017

Menteri Sarawak - Jangan Guna Cukai Pelancongan Untuk Bayar Hutang


Kerajaan Sarawak mengingatkan Putrajaya supaya hasil kutipan cukai pelancongan tidak dilencongkan untuk perkara lain,  seperti membayar hutang.

Pendapatan daripadanya perlu disalurkan terus ke kantung kerajaan negeri.

“Kami mahu bahagian cukai pelancongan ini disalurkan terus ke kerajaan negeri dan bukannya disalurkan ke agensi atau pihak lain.

“Selagi hasil dari kutipan cukai itu tidak digunakan untuk kegunaan lain seperti membayar hutang, maka baguslah,” katanya Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Hamzah.

Menurut portal The Borneo Post, Abdul Karim menyifatkan pendirian itu sebagai “menang-menang” selepas Kabinet negeri semalam  tiada pilihan melainkan menerima pelaksanaan cukai itu.

Menurut Abdul Karim, pendirian itu dinyatakan kepada kerajaan persekutuan dalam mesyuarat antara Ketua Menteri Datuk Abang Johari Openg dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini.

Dalam pertemuan itu, perdana menteri memberi jaminan dana dari hasil kutipan cukai pelancongan akan diagihkan antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

FMT yang memetik Borneo Post hari ini menyebut, berdasarkan pertemuan ketua menteri dan perdana menteri, turut dinyatakan warga tempatan akan dikecualikan dari membayar cukai pelancongan jika mereka menginap di hotel bertaraf 3 bintang dan ke bawah, termasuk “BnB” dan “homestay”.

Bagaimanapun Abdul Karim tidak yakin cukai itu dapat dilaksanakan sepenuhnya 1 Julai depan memandangkan pelaksanaannya masih perlu diperhalusi.

“Bermula hari ini, hanya tinggal seminggu sahaja lagi sebelum bermula bulan Julai. Untuk melaksanakan cukai itu mungkin tidak praktikal,” katanya.