Tuesday, June 29, 2010

HOSNI 'HIDUNG TAK MANCUNG PIPI TERSORONG-SORONG'?

Ulama muda Umno Fathul Bari Mat Jahaya - antara 40 ahli agama yang menyertai parti itu - menafikan terdapat antara mereka yang 'diperdaya' bagi menghadiri majlis serahan borang keahlian kepada Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini.

Menurut Fathul, pihak mereka, bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim sebagai pengelola majlis itu tidak pernah mengundang Hosni Mubarak Abdul Hamid bagi tujuan itu.


Jadi, Hosni sebenarnya ;pipi tak mancung, hisung tersorong-sorong'?

"Beliau (Hosni) tiada dalam senarai kami," katanya mengulas laporan Harakahdaily semalam yang memetik Hosni sebagai berkata beliau dan rakan-rakannya dijemput hadir untuk bertemu Najib dan bukannya hendak menyertai Umno.


Akhbar web PAS itu juga melaporkan Hosni (gambar kanan), 27, mendakwa beliau dan tiga lagi ulama lepasan universiti di Jordan diminta beratur menyambut Najib sebelum gambar mereka diambil bertalu-talu oleh jurugambar.

"Kemudian diumumkan kepada media bahawa inilah 40 ulama muda yang menyertai Umno, benar ada yang menyertai Umno tetapi ramai yang tertipu melihat kepada reaksi mereka yang asyik menunduk sahaja," Hosni dipetik sebagai berkata dalam sebuah ceramah.

Menurut Harakahdaily, empat ulama muda nafi menyertai Umno Jumaat lepas seperti dihebohkan media arus perdana sebaliknya mereka dijemput hadir kerana dikatakan Perdana Menteri ingin bertemu dengan lepasan Jordan.

Salah seorang daripada mereka, Ustaz Hosni Mubarak Abdul Hamid, 27, dari Sungai Buloh berkata demikian ketika berucap menafikan perkara itu di majlis Pentas Pemuda Pakatan Rakyat anjuran Pemuda PAS Shah Alam di TTDI, malam semalam.

Majlis tersebut turut disertai Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kayat, Ketua DAPSY, Anthony Look dan Exco Selangor, Dr Yaakob Sapari.

Kata Hosni: “Kami dibawa masuk melalui bangunan sebelah Mall, naik escalator, pusing-pusing tiba-tiba sudah berada di dalam Bangunan Umno di PWTC, diminta beratur menyambut Najib datang dan bersalaman, ketika itu gambar diambil bertalu-talu.
“Kemudian diumumkan kepada media bahawa inilah 40 ulama muda yang menyertai Umno, benar ada yang menyertai Umno tetapi ramai yang tertipu melihat kepada reaksi mereka yang asyik menunduk sahaja,” jelasnya ketika ditemui selepas berucap pada majlis itu.

Hosni menamatkan pengajiannya di Markaz Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat Negeri Selangor di Jugra pada 2003 dengan mendapat diploma dalam bidang itu.
Bermula 2004, beliau belajar di Universiti Al-Albayt, Mafraq, Jordan dan 2009 mendapat Ijazah Sarjana Muda Fiqh dan Usul di Kuliah Syariah dan kini bersedia menyambung pengajian Master di sebuah universiti tempatan.

Anak ketiga daripada empat beradik ini sangat kesal dengan kejadian menipu oleh Umno kerana masyarakat telah memandang serong dengan paparan media yang secara langsung menjatuhkan reputasinya sebagai pewaris ilmu.

“Saya dan tiga lagi sahabat lepasan Jordan, Mohd Fakhruzzaman, 37, dari Shah Alam, Mohd Akram An-Nazilin, 27, (Putrajaya) dan Mohd Jalaluddin Tahir, 26 (Sungai Petani) menafikan kami berbuat demikian sebaliknya Umno yang menipu,” tegasnya.

Fathul pula ketika dihubungi Malaysiakini semalam berkata pihaknya masih hairan dengan kehadiran Hosni dan rakan-rakannya.

"Kami tidak tahu siapa jemput," jelas anak bekas mufti Perlis itu.

Katanya, penafian pihaknya hari ini "bukanlah soal masuk Umno atau tidak" tetapi sebagai ulama, Hosni tidak harus membuat kenyataan sebegitu.

"Kami juga mahu nama Shahidan dibersihkan (daripada tuduhan itu)," kata anak kepada Mat Jaya Hussin yang berkhidmat sebagai mufti dalam era kepimpinan Shahidan di Perlis.

Mempersoalkan tindakan Hosni itu, Fahtul berkata: "Kalau ditipu, kenapa tidak balik terus? Kami tengok selepas program masuk dok makan."

Ditanya tentang dakwaan yang dilaporkan dalam akhbar sama bahawa seorang lagi ulama Wahab Abdullah yang mendakwa turut 'diperangkap', Fahtul bagaimanapun tidak tahu tentang status perkara itu.

"Yang ini saya kena semak dahulu," kata Fathul, ulama lulusan pengajian hadis daripada Jordan dan Madinah.

Friday, June 18, 2010

VIDEO ELI – ZAHRAIN, ZUL & WEE CABAR ANWAR BERSUMPAH

SUCIKAN DIRI...YB Elizabeth Wong tampil berbaju kurung diatas pentas ceramah PAS di Kelantan tidak lama selepas kehangatan isu gambar panas dalam rumahnya diambil oleh seorang lelaki Melayu aktivis PKR yang bersekedudukan dengannya. Lelaki itu yang dicari polis menghilang diri sampai hari ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mengadakan sidang akhbar lobi parlimen untuk menafikan dakwaan Datuk Seri Zahrain Hashim beliau memiliki atau pernah melihat video aksi seks Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Lanjan dan Exco Kerajaan Negeri Selangor,Elizabeth Wong.

Beliau cuba meremehkannya sebagai satu dakwaan yang bukan serius.


"Kenapa kita perlu pedulikannya.Kenapa nak pedulikan orang yang dibayar.Adakah awak fikir ini satu tuduhan serius."Nak layan apa, saya tidak ada video itu. Kalau saya ada saya akan dedahkan.Tetapi tiada buktipun bahawa saya ada. Dia tidak patut buat ini, ia tidak beretika dan tidak boleh diterima," kata Anwar .

"Saya tidak menonton .Saya tidak tahu jika dia menonton video lucah. Saya tidak tahu jika dia berbuat demikian," katanya.

Dalam sidang akhbar itu Anwar yang kurang senang dengan asakan seorang wartawan RTM agar memberi bukti dakwaannya Ahli Parlimen PKR yang lompat parti disogok RM 2 juta telah bertegang urat dengannya hingga menyebut 'shut up '.

Berikutan itu, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu disifatkan oleh Konsensus Bebas sebagai seorang 'kaki penipu' kerana mengatakan tidak pernah melihat video seks Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong.

Ahli Parlimen Bebas dari Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata, pada satu sesi taklimat di Pejabat Ketua Pembangkang itu, beliau melihat dan mendengar Anwar bercakap mengenainya dan akan mengambil tindakan terhadap Elizabeth.

Menurutnya, beliau sanggup bersumpah dan mencabar Anwar bersamanya membuat sumpah di masjid untuk membuktikan siapa bercakap benar.

"Saya tinggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana keraguan mengatasi keyakinan, kami bertindak kerana kami tidak mahu beliau (Anwar) bercakap sesuka hati beliau.

"Dalam kes Eli (Elizabeth), saya hanya memberikan satu contoh pembohongan Anwar, sama juga seperti isu 16 September dahulu dengan menipu wakil-wakil rakyatnya, jadi jika beliau menipu saya tidak terkejut kerana itulah kemahirannya," katanya pada sidang media di lobi Parlimen semalam.

Zahrain yang mempertahankan kenyataannya dengan Agendadaily, turut mempertahankan dakwaannya.

Katanya Anwar ada bercakap soal video seks itu dengan beberapa Ahli Parlimen PKR termasuk beliau di bilik Ketua Pembangkang di tingkat 14 bangunan Parlimen semasa isu Elizabeth hangat tidak lama dulu.

" To me very simple ...bukan saya seorang yang dengar...pi tanya semua MP PKR...kalau nak bersumpah mari kita lawan bersumpah,"katanya.

Ditanya apa yang diberitahu Anwar di situ beliau berkata," dia kata apa yang disiar dalam internet ( gambar Elizabeth sedang tidur ) is nothing ...dia kata ada video lagi teruk dari tu... I have proof .

"Biasalah dia tak mengaku... now he is cornered...the best now pi tanya semua MP yang hadir di bilik tu,"katanya.

Menurut Zaharin sebelum tulis mengenai perbualan Anwar tentang video Elizabeth Wong itu dalam ucapan perbahasani Rancangan Malaysia Ke 10 Isnin beliau terlebih dahulu periksa balik fakta agar tidak silap.

Antaranya ialah dengan Ahli Parlimen Bebas Kulim Bandar Bharu Zulkifli Nordin yang hadir sama masa perbualan itu.

"Kita bukan main lepas tak tentu hala...tak kan saya nak cakap benda tak wujud...kalau Anwar nak nafi dia boleh nafi."katanya.

Seorang lagi Ahli Parlimen Bebas dari Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Noordin berkata, beliau turut berada di tingkat 14 ketika Anwar menjelaskan mengenai isu Elizabeth tetapi kemudian membuat penipuan mengatakan tidak pernah melihat video itu.

"Saya mengesahkan bahawa saya ada sama ketika taklimat itu dibuat di tingkat 14 Parlimen...dia cuba meyakinkan kami untuk ambil tindakan memecat YB Elizabeth Wong...dan kalau siapa tengok selepas itu saya ada keluar kenyataan minta Menteri Besar Selangor agar memecat Elizabeth Wong....sebabnya dari situlah.

Ditanya apakah Anwar ada beri apa-apa arahan semasa itu,Zulkifli kata beliau akan dedahkan hal itu kemudian.

Ditanya apa yang Anwar cakap masa perbualan berkenaan,beliau berkata," dia tengok sendiri ...bukan sekadar gambar yang tersebar tapi ada benda lain...dia sebut benda lain itu video...dia Ketua Umum PKR (jadi kami percaya). "

Katanya ada beberapa orang Ahli Parlimen PKR lain turut hadir.

Mengenai penafian Anwar pula beliau memetik ucapan perbahasan Zahrain merujuk pada Ketua Pembangkang itu dalam ucapan perbahasannya... lying is speaking to him ." Apa yang dia cakap kena check dulu," tambahnya.

Zahrain,Zulkifli dan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong berkata mereka tidak hairan kalau Anwar menafikannya.

Anwar seorang yang 'cakap tak serupa bikin' kerana sering membuat tuduhan dan mengugut akan mendedahkan bukti tetapi akhirnya beliau akan cuba mengubah ke isu lain, kata Wee.

Kata Zahrain lagi, "kalau dia nak nafikan, biasalah itu kepakaran dia. Saya sanggup bersumpah yang dia pernah kata dalam satu taklimat bahawa dia bukan saja pernah tengok gambar malah video Elizabeth juga.

Beliau juga menjelaskan tujuannya membangkitkan soal perbualan Anwar tentang video seks Elizabeth itu semata-mata untuk memberi contoh tentang pembohongannya.

Katanya beliau sendiri tidak tahu samaada video itu benar-benar wujud atau tidak.

Menurut Zahrain ia hanya berdasarkan apa yang Anwar beritahu mereka tentang video itu.

Katanya isu sebenar dalam hal ini ialah pembohongan Anwar.

" Bila dia buat tuduhan yang melulu ( dakwa MP PKR yang lompat parti terima RM2 juta) yang saya rasa serius sebab itu persoal intregriti kami ..dia nak tunjuk kami ni tak ada intregriti... tapi yang sebenarnya pembohong dia.

"Kami bukan nak serang peribadi cuma balas hujah apa yang dia kata dan beri contoh...bukan saja isu Elizabeth Wong tapi juga 16 September...sampai hari ni kita tak tengok adanya pengakuan bersumpah oleh MP BN ( 30 Ahli Parlimen BN yang Anwar dakwa nak lompat parti).Ini adalah contoh dia suka bohong.

Wee pula mencelah, " inilah orang yang cakap tidak serupa bikin."

SENATOR ADALAH ‘SISA PEPEJAL & SAMPAH’

Dewan Negara bagaikan ‘pusat buangan sisa pepejal dan sampah’? Ini bermakna Ahli Dewan Negara adalah ‘sisa pepejal dan sampah’?

Siapa yang berkata begitu?

Ia tidak lain dan tidak bukan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, Ahli Parlimen Kubang Kerian Kelantan.

Beliau merujuk kepada tindajkan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak melantik Timbalan Presiden MIC, Datuk G. Palanivel menjadi senator dan Timbalan Menteri di Dewan Negara walaupun veteran MIC itu telahpun ditolak sendiri oleh kepemimpinan parti perkauman India untuk menjadi calon BN dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor yang lalu.

Baca kenyataan berikut seperti disiarkan oleh Harakahdaily Online:

Jangan jadikan Dewan Negara ‘pusat buang sampah’

KUALA LUMPUR, 18 Jun: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub (gambar) mendesak Perdana M
enteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya tidak menjadikan Dewan Negara sebagai ‘pusat pembuangan sisa pepejal dan sampah’ yang tidak berguna dari kilang Umno BN.

Desakan itu berikutan tindakan Najib melantik Timbalan Presiden MIC, Datuk G. Palanivel menjadi senator dan Timbalan Menteri di Dewan Negara walaupun veteran MIC itu telahpun ditolak sendiri oleh kepemimpinan parti perkauman India untuk menjadi calon BN dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor yang lalu.

"Bagaimana Najib boleh bertindak sedemikian dengan melantik Palanivel jadi senator dan Timbalan Menteri walhal masyarakat India dalam MIC sendiri tolak timbalan presiden itu di Hulu Selangor.

"Takkan Najib nak jadikan Dewan Negara ini sebagai tempat longgokan sampah sarap dan sisa-sisa dari kilang BN," ujar beliau yang juga Ahli parlimen Kubang Kerian di lobi Parlimen.

Pun begitu, beliau menyuarakan penghargaan kepada para senator Pakatan Rakyat kerana masing-masing berperanan memartabatkan Dewan Negara sebagai dewan yang mulia.

Beliau mendakwa pelantikan Palanivel menyertai kebinet baru Najib bukanlah berasaskan pada kebolehupayaan serta merit pemimpin pro Presiden MIC, Datuk Seri S.Samy Vellu.

Sebaliknya, katabeliau perlantikan itu sebagai 'pampasan politik' kepada MIC disebabkan kesediaan Samy menerima calon kesukaan Najib, iaitu P. Kamalanathan.

"Perlantikan ini sekadar pampasan politik buat MIC walaupun Najib memberitahu rakyat bahawa kebinetnya menggunakan KPI (aras tanda utama) dan pelbagai sistem merit yang lain," tambah beliau.

Sehubungan itu, tindakan Najib menurut beliau, mencerminkan bahawa jawatan senator serta jawatan menteri/timbalan menteri dalam kebinet semata-mata untuk menangani konflik kepentingan dalam parti-parti komponen BN semata-mata.

Tindakan Najib, menurut beliau, sekaligus langsung tidak mencerminkan wawasan Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Dalam pada itu, tindakan Najib mengetepikan Kamalanathan walaupun pemimpin MIC itu telahpun menjadi Ahli Parlimen Hulu Selangor seakan memberi isyarat bahawa Kamalanathan adalah calon proksi Najib.

"Kalau tidak, tentu dia (Kamalanathan) dilantik mengisi mana-mana jawatan menteri atau timbalan Menteri, mungkin dia calon proksi Najib atau Najib sendiri mungkin tidak yakin dengan dia untuk menyertai kabinetnya," ujarnya lagi.

Pada 1 Jun lalu, Palanivel dilantik menjadi Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi ekoran cadangan tidak langsung Samy kepada Perdana Menteri.

Perlantikan itu dibuat ekoran Samy sendiri bercadang untuk tidak bergiat aktif dalam kebinet demi memulihara tanggapan masyarakat India terhadap MIC yang dilihat kian terhakis sejak tsunami politik pada Pilihan Raya Umum ke-12 lalu.

Monday, June 14, 2010

AWAS BAHAYA DI DEPAN - BUKAN BUMIPUTERA MULAI MENUNTUT

Saya tidak mahu ulas panjang, baca kenyataan ini dan lu orang pikirlah!

Iktiraf bukan Melayu sebagai bumiputera, Pemuda Gerakan Kedah

Merdeka Review (Jun 13, 2010 06:22:05 pm)

Berdasarkan kenyataan Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Nazri Abdul Aziz (seperti dilaporkan Bernama), terdapat lebih kurang 60,000 warga Siam di semenanjung Malaysia yang dikategori sebagai Bumiputera dan menikmati hak status Bumiputera seperti kaum Melayu.

Mohamed Nazri turut berkata warga Siam telah menetap di sempadan Thailand dengan Kelantan, Kedah, Perlis dan Perak dan telah lama tinggal di negara.

Mohamed Nazri Abdul Aziz (gambar kiri) turut menyeru orang ramai untuk memahami pemberian taraf warganegara dan status Bumiputera kepada warga Siam.

Berhubung kenyataan tersebut, saya menyokong langkah kerajaan mengiktiraf hak dan status warga Siam di negara kita.

Pemberian status warganegara dan Bumiputera tersebut adalah adil memandangkan sumbangan warga Siam di dalam pembangunan negara setelah sekian lama.

Dalam isu yang sama, adalah diharap agar kerajaan menimbang untuk mengiktiraf semua rakyat yang dilahirkan di Malaysia sebagai "Bumiputera" dalam masa terdekat, tanpa
mengambil kira negara asal keturunan mereka.

Ramai keluarga rakyat Malaysia, seperti kaum Cina dan India, telah menetap di negara lebih daripada 100 tahun.

Mereka telah menyumbang kepada pembangunan negara, termasuk membantu negara kita mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 dari jajahan British.

Kebanyakan mereka juga tidak pernah menjejak negara asal keturunan mereka dan mungkin tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan sesiapa di negara asal keturunan mereka. Bagi mereka, Malaysia merupakan satu-satunya negara di dalam kehidupan mereka.

Oleh itu, saya berharap kerajaan menimbang untuk mengiktiraf semua rakyat Malaysia bukan Melayu sebagai "Bumuputera" sekiranya:-

1. Mereka dilahirkan di Malaysia, dan

2. Ibu-bapa dan datuk-nenek mereka adalah warganegara Malaysia.

Saya percaya bahawa cadangan ini adalah seiring dengan konsep "1Malaysia" oleh Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak. Pengiktirafan rakyat bukan Melayu sebagai "Bumiputera" adalah tanda penghargaan terbesar oleh kerajaan Barisan Nasional ke atas sumbangan kaum bukan Melayu terhadap pembangunan negara setelah sekian lama.

Kelak, perbezaan kaum antara rakyat Malaysia tidak akan lagi menyekat perpaduan di dalam negara. Malaysia tidak akan lagi menghadapi isu-isu diskriminasi rakyat berdasarkan kaum.


*Kenyataan media oleh Tan Keng Liang selaku Ketua Pemuda Gerakan Kedah.

POPULARITI NAJIB & RMK10

Oleh PROFESOR MADYA DR. SIVAMURUGAN PANDIAN (Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia)

April 2009, Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih teraju kepimpinan negara sebagai Perdana Menteri yang keenam menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi dan sejak itu, banyak tinjauan pendapat dilakukan untuk menguji gaya kepimpinan beliau yang berubah dengan landskap politik tanah air.

Seringkali kaji selidik oleh Merdeka Centre dijadikan rujukan kerana mengguna pakai metodologi yang cuba memberi gambaran dan melakar senario politik semasa arus perdana walaupun akan ada yang mengkritiknya jika keputusan kaji selidik tidak menyebelahi mereka.

Jika dinilai semula tinjauan pertama yang dilakukan pada Mac 2009, kadar peratusan rasa puas hati jauh meningkat hari ini. Ketika dilantik sebagai Perdana Menteri, Najib menerima sokongan sekitar sembilan peratus masyarakat Cina, 15 peratus masyarakat India dan 52 peratus masyarakat Melayu.

Kedudukan politik kebangsaan ketika itu amat sukar bagi mana-mana pemimpin sekalipun kerana berhadapan dengan pelbagai isu termasuk perpaduan, kegawatan ekonomi dan ketidakstabilan gabungan parti dalam Barisan Nasional (BN).
Tidak terkecuali pembunuhan karakter dalam kalangan mereka yang rakus mahu berkuasa baik di dalam mahupun luar parti.

Walaupun peratusan tersebut meningkat perlahan-lahan dan mengalami kejatuhan mendadak pada September 2009 dengan kadar masyarakat Cina 36 peratus, masyarakat India 68 peratus dan masyarakat Melayu 64 peratus, berbanding sebelumnya ia kekal sekitar 49 peratus dalam masyarakat Cina, 64 peratus masyarakat India dan 72 peratus masyarakat Melayu.

Kaji selidik terkini menunjukkan bahawa populariti Najib berada pada tahap selesa terutama dalam masyarakat Cina dengan kadar peratusan 58 peratus, masyarakat India 80 peratus dan masyarakat Melayu 77 peratus.

Keseluruhannya, gambaran yang diberikan adalah 72 peratus penduduk puas hati dengan gaya kerja kepimpinan Najib. Ia memberikan satu indikasi yang penting kepada BN kerana yang ketara adalah kesungguhan beliau untuk merapatkan barisan dengan pendekatan 'mesra rakyat' yang dikagumi masyarakat.

Walaupun begitu, ia tidak boleh memberi ruang keselesaan kepada BN kerana masih terlalu awal untuk membuat hipotesis bahawa populariti Najib adalah sama dengan populariti BN. Ramai yang suka dan gemar dengan kejujuran Najib untuk berdamping dengan rakyat jelata dan melihat keistimewaan beliau adalah motivasi untuk menterjemah gagasannya kepada bentuk pelaksanaan dan bukan retorik politik semata-mata.

Namun, jika semata-mata bergantung kepada populariti Najib, adalah sukar untuk meningkatkan penerimaan ke atas BN kerana BN adalah gabungan komponen 13 parti. Gabungan pengukuhan BN yang seiring dengan penerimaan ke atas Najib akan membolehkan trend pola pengundian dalam pilihan raya yang ke-13 berubah.

Yang penting adalah bagaimana untuk menterjemah keyakinan dan kepercayaan ke atas gaya Najib kepada gagasan atau agenda perdana Najib. Buat masa ini, keyakinan ke atas gagasan 1Malaysia, Model Baru Ekonomi (MBE) dan Pelan Transformasi Kerajaan (PTK) masih di tahap kesedaran dan pemahaman dan kejayaannya turut bergantung kepada pencapaian Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Ia dapat dipertingkatkan gaya Najib dikongsi oleh pasukan beliau. 'Kepimpinan Melalui Teladan' pasukan Najib boleh mempengaruhi persepsi politik umum. Malahan, Najib sendiri mengakui sewaktu pembentangan RMK-10, beliau memerlukan pasukan yang mantap berdasarkan analogi bola sepak yang bergantung kepada keseluruhan anggota pasukan dan bukan sekadar seorang penyerang yang berbisa dan popular.

RMK-10 merupakan pelantar transformasi yang akan menjadi jambatan ke arah merealisasikan Wawasan 2020 berstatus negara maju. RMK-10 bersifat holistik yang menekankan satu gagasan perdana ke arah pertumbuhan ekonomi yang pesat diiringi oleh keadilan sosial untuk semua anggota masyarakat dari pelbagai latar belakang keturunan, agama, kepercayaan, gender dan pegangan ideologi politik.
Baik swasta mahupun kerajaan, masing-masing harus membina tanggungjawab bertunjangkan kepada kelancaran sistem penyampaian. Baik golongan tua mahupun muda, masing-masing ada fungsi dan peranan; kelas atasan, pertengahan dan bawahan, baik pemimpin mahupun pengikut, masing-masing perlu komited dalam membina bangsa yang bertamadun, bangsa yang boleh bergelar 'masyarakat kelas satu di sebuah negara kelas pertama' dengan keseimbangan pencapaian fizikal dan bukan fizikal.

Modal insan bercirikan glokal yang memiliki bukan sahaja ilmu tetapi juga kemahiran dan kebolehan bukan hanya ada di bandar kosmopolitan akibat urbanisasi tetapi RMK-10 mahu merentasi luar bandar sepenuhnya; rumah panjang, desa, kampung, estet dan kampung baru, mengambil kira 40 peratus dalam stratifikasi masyarakat yang masih berada dalam lingkaran kemiskinan.

Tanpa mengira sama ada Melayu, Cina, India, Kadazan, Bidayuh, Melanau, Murut dan Orang Asli, RMK-10 adalah untuk semua meliputi kerangka kepelbagaian modal insan sebagai satu aset untuk diraikan. Talent Corporation merupakan pengisian kepada kerangka ini manakala NKRA dan NKEA menjadi percaturan berisiko dan langkah berani Najib.

Dilemanya, apakah pemantauan berterusan akan dilakukan sebagai satu 'perubahan' untuk memastikan pelaksanaan berjaya. Kejayaan RMK-10 bergantung kepada pendekatan, kaedah dan instrumen yang digunakan supaya kumpulan sasar dan pelaksana tahu peranan masing-masing. Kekangan, keterbatasan dan limitasi yang menyebabkan beberapa agenda di bawah RMK-9 gagal dilaksanakan perlu dianalisis supaya kesilapan yang sama tidak berulang.

Jika mahu menggapai kecemerlangan yang melengkapi populariti Najib adalah pasukan yang bercita-cita besar, bermotivasi dan memahami setiap perincian gagasan Najib kerana akhirnya, pencapaian dasar yang akan dinilai oleh rakyat. Barangkali penilaian dan pemantauan berterusan setiap enam atau 12 bulan boleh memastikan pencapaian tidak tersasar akibat desakan global dan persekitaran dalaman.

Dua tahun akan datang walaupun akan dipenuhi dengan pelbagai insiden luar biasa dunia politik, pasukan beliau mesti memberi tumpuan berlebihan ke atas pelaksanaan. Ini kerana tahap kepercayaan dan rasa puas hati akan meningkat jika ia diteliti.

Maka, para strategis Najib perlu memikirkan bagaimana untuk menggunakan sentimen Najib ke atas pelaksanaan memandangkan hasil akhir ini yang akan dijadikan rujukan dalam penentuan undi pilihan raya kelak.

Yang nyata, indikasi puas hati kepada Najib menunjukkan umum komited dengan usaha beliau tetapi dalam masa yang sama, ia mahu ditafsir dalam bentuk pelaksanaan supaya sokongan tersebut akan bersifat holistik, bukan kepada individu tetapi kerajaan ataupun parti secara khususnya.

Bagaimana untuk mengubah mindset masyarakat agar populariti Najib sebenarnya menggambarkan asas perjuangan parti? Apa pula reaksi apabila wujud fobia ke atas elemen tertentu parti dan individu yang menjadi dalang yang sering mencari kesalahan sendiri daripada memperbaiki diri.

Ini menyebabkan wujudnya cabaran ke atas hala tuju negara dalam kalangan responden yang ditemubual terutama masyarakat Cina yang beranggapan ia berada dalam landasan yang salah (51 peratus) berbanding dengan masyarakat Melayu (25 peratus) dan masyarakat India (34 peratus) walaupun secara keseluruhannya data menunjukkan 52 peratus bersetuju ia berada dalam landasan yang betul.

Turut wajar diberi keutamaan adalah kualiti kehidupan yang banyak bergantung kepada ekonomi, keseimbangan sosial dan nilai kepimpinan. Apabila keyakinan sudah diberikan ke atas kepimpinan Najib, memacu kecemerlangan dalam bidang lain boleh menjadi keutamaan dalam mewujudkan sekuriti politik, ekonomi dan sosial. Isu rasuah dan jenayah masih membelenggu pemikiran mereka dan jelas bersetuju Najib perlu membanteras isu ini dengan baik dan mampu melakukannya.

Peratusan yang tinggi di sebalik populariti Najib adalah keinginan untuk melihat penambahbaikan ke atas pertumbuhan ekonomi, kemiskinan tegar, perkhidmatan awam, polis, skim kemampuan untuk memiliki rumah, pengangkutan awam yang lebih baik, urusan perbelanjaan dana kewangan negara, mengurus kekayaan dan pendidikan serta mempertahankan hak warga.

Dalam meneropong RMK-10, kupasan isu ini akan membawa satu harapan baru kepada rakyat Malaysia, menunjukkan perubahan sebenar ke atas tanggungjawab pemimpin dalam mempertahankan hak rakyat dan membina legitimasi politik pemimpin mahupun parti berasaskan kepada hubungan pemimpin dan pengikut baru yang sebelum ini berprinsipkan kepada kesetiaan dan rasa terima kasih.
Apa yang harus dilakukan adalah melahirkan pemahaman ke atas usaha berterusan kerajaan supaya ia tidak dilihat bermusim. Secara konsisten, yang mahu dihalusi adalah apakah langkah yang diambil untuk menegah daripada berleluasa gejala yang tidak bermakna. Hakikatnya, rakyat mahu merasa selamat dengan sekuriti yang kukuh ke atas kehidupan mereka dalam persekitaran yang kondusif dalam negara ini.

Cabaran besar Najib bermula selepas ini apabila beliau perlu membuat keputusan berisiko tinggi dan tidak popular, tegas dengan pelan tindakan dan tidak membenarkan pindaan akibat tekanan luar, melainkan datangnya maklum balas umum.

Kadangkala keputusan tersebut penting bukan untuk meningkatkan populariti tetapi untuk merungkai masa depan generasi akan datang dan umum perlu memahami bahawa keputusan seperti itu adalah sangat penting.

Daripada Utusan Malaysia

Sunday, June 13, 2010

PAS AKUI SUKAR LAKSANAKAN UNDANG-UNDANG ISLAM

Oleh: ROSLI ISMAIL (Agendadaily)

Cakap memang senang begitu juga kalau setakat untuk retorik saja dan cara yang paling mudah untuk menutup kegagalan tuding jari salahkan orang lain.

Ini merujuk kepada pengakuan Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa PAS belum mampu untuk melaksanakan undang-undang Islam di negeri yang diperintah pakatan pembangkang.

Apa yang dinyatakan oleh Presiden PAS itu dalam ucapan dasar merasmikan Muktamar PAS ke-56 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK) di Kota Bharu Jumaat bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

Ini kerana di Kelantan sendiri yang ditabir oleh PAS dibawah Musyidul Am Datuk Nik Aziz Nik Mat selama lebih 20 tahun sistem pemerintahan yang dihajatkan oleh PAS belum dapat dilaksanakan.

Malah ada yang bertanya contohnya, apakah cara Menteri Besar itu melantik menantunya sendiri sebagai CEO Perbadanan Menteri Besar Kelantan dan tabir urusnya dipertikaikan sesuatu yang selaras dengan prinsip parti itu.

Haji Hadi tentu tahu kerana beliau mengetuai rombongan pimpinan PAS ke Kota Bharu untuk memujuk Nik Aziz supaya meminta Ariffahmi Abdul Rahman melepaskan jawatan itu.

Bagaimana pula dengan kenyataan taiko DAP, Karpal Singh langkah mayatnya jika PAS nak laksanakan pemerintahan Islam di negara ini yang belum ditarik balik sampai ke hari ini.

Kata Haji Hadi parti itu terpaksa mencuba sedaya upaya melaksanakan Islam mengikut bidang kuasa kerajaan negeri.

"PAS yang berjaya memerintah Kelantan, pernah di Terengganu dan Perak, dan terkini memimpin kerajaan di Kedah di samping menyertai kerajaan campuran di Selangor dan Pulau Pinang telah mencuba sedaya upaya melaksanakan Islam mengikut bidang kuasa kerajaan negeri," katanya.

Menariknya beliau menyalahkan kelemahan itu berpunca daripada tekanan daripada kerajaan pusat secara terbuka dan halus.

Bagaimanapun beliau tidak menjelaskan bagaimana bentuk halangan dan tekanan yang dilakukan kerajaan pusat.

Ucapan dasar Abdul Hadi pada muktamar itu, yang bertemakan "Islam Adil untuk Semua", dilihat lebih banyak retorik dengan banyak menuduh UMNO dan Barisan Nasional melakukan kesilapan dalam pentadbiran negara.

"PAS wajib berjuang mengembalikan martabat umat Islam ke atas landasan yang sebenar dalam segala lapangan, dan seterusnya memulihkan imej Islam walaupun terpaksa berdepan dengan rintangan," katanya.

Tolak sebelah Kelantan,ramai juga yang bertanya apalah sangat undang-undang Islam yang dilaksanakan di Kedah setelah dua tahun PAS perintah.

Bukan rahsia bahawa PAS juga gagal semasa perintah Terengganu selama satu penggal selepas pilihanraya umum ke 11 sebelum jatuh balik kepada BN dalam pilihanraya umum ke 12.

Di Perak pula sepanjang setahun Datuk Seri Nizar Jamaluddin mentabir dalam kerajaan negeri yang dikuasai oleh DAP itu ia lebih banyak diselubungi oleh kontroversi.

Ada pemerhati yang menilai halangan PAS untuk melaksakan apa yang dihajatinya ialah rakan dalam rakatan pembangkang sendiri yakni PKR dan DAP.

Yang pasti PKR dan DAP tidak mungkin mahu kehilangan pengaruhnya terpaksa tunduk kepada kehendak PAS.

Di Pulau Pinang jangan mimpilah.Cuba jenguk ke Selangor.Adakah sesuatu yang istimewa yang dibawa oleh PAS ke negeri itu?

Ada yang mungkin kata ini kerana pakatan pembangkang belum ada kuasa politik nasional kerana Putrajaya masih ditangan BN.

Soalnya mimpi PKR tetapi berbeza dengan mimpi PAS dan begitu juga DAP.

PKR dan DAP tahu mereka cari nahas jika setuju misalnya dengan undang-undang hudud yang nak dibawa oleh PAS.

Jika Haji Hadi tidak retorik dan lebih realistik beliau pasti sedar realiti politik.

Ia tidak perlu ditunggu sehingga dapat melangkah ke Putrajaya.

Kalau empat buah negeri masih belum apa-apa bagaimana pula bila dah ada 13 negeri.

Dalam keadaan semuanya berhajat untuk mencapai satu impian memang semuanya nampak indah belaka.Dalam politik siapa boleh tolak lain jadinya nanti.Maka ini belum mengambil kira lagi ' tanduk ' yang mungkin keluar dari kepala DAP dan PKR jika sudah berkuasa satu Malaysia.

Jangan nanti Presiden PAS itu terpaksa ulangi kenyataan yang dibuatnya pada muktamar PAS itu bersandarkan pada alasan baru pula.

Thursday, June 10, 2010

DR HASAN SAMAN RM20 JUTA TERHADAP ZAHID DAN 3 LAGI

Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali memfailkan saman fitnah berjumlah RM20 juta terhadap Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan tiga lain kerana didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya ketika menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Bukit Sentosa, Hulu Selangor, pada April lalu.

Selain Ahmad Zahid, turut dinamakan sebagai defendan ialah Utusan Melayu (M) Sdn Bhd, Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) Datuk Zainal Abidin Sakom dan portal suratkhabar elektronik Agenda Daily Dot Com Sdn Bhd.

Hasan, selaku plantif, memfailkan saman itu di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di Shah Alam pada pukul 12.30 tengah hari semalam melalui firma guaman Tetuan Nazri Saad.

Dalam pernyataan tuntutannya, beliau mendakwa pada 24 April lepas Utusan Melayu melalui kenyataan Ahmad Zahid telah menghasilkan empat artikel berunsur fitnah di dalam akhbar Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia Online bertajuk "Keghairahan Politik Terbawa Sehingga Ke Khutbah Jumaat", "Hassan Ali Salah Guna Masjid", "Pembangkang Ingkari Sultan" dan "Pemimpin Pas Ingkar Perintah Sultan".


Beliau juga mendakwa pada tarikh yang sama, Agenda Daily Dot Com melalui kenyataan Zainal Abidin telah menghasilkan artikel berunsur fitnah bertajuk "Laporan Polis Terhadap Nik Aziz dan Hassan Ali" dan Zainal Abidin didakwa turut mengeluarkan kenyataan secara lisan berunsur fitnah di dalam siaran Berita RTM pada tarikh yang sama.

Hasan mendakwa artikel berkenaan secara langsung merujuk kepada beliau dan membawa maksud antara lain bahawa beliau ialah seorang yang tidak jujur, tidak boleh dipercayai, tidak layak untuk memberi khutbah, telah menggunakan masjid untuk kepentingan politik dan seorang penderhaka terhadap titah Sultan.

Hasan, yang juga exco kerajaan Selangor, mendakwa tindakan kesemua defendan itu mempunyai niat untuk merosakkan reputasi dan kedudukan politik serta jawatan beliau dalam parti.

Selain menuntut ganti rugi RM10 juta daripada Ahmad Zahid dan Utusan Malaysia serta RM10 juta lagi dari Zainal Abidin dan Agenda Daily Dot Com, plaintif turut menuntut ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan yang akan ditafsirkan mahkamah, faedah, kos serta laion-lain relif yang difikirkan sesuai.

Plantif juga turut memohon injunksi bagi menghalang defendan atau ejennya daripada melafazkan atau menerbitkan kata-kata yang memfitnahnya.

Hasan juga merupakan Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Gombak Setia.