Showing posts with label Salahuddin. Show all posts
Showing posts with label Salahuddin. Show all posts

Tuesday, January 17, 2017

Petisyen PRU-13 - Benarkah Pemimpin PAS Bohong, Khianati Ahlinya?

 

Percayakah kita jika diberitahu bahawa parti Islam mengkhianti ahlinya sendiri?

Ini bukan parti 'kabir harbi' tetapi pemimpinnya mendakwa ia parti Islam dan mereka juga mengamalkan Islam tulen.

Namun apabila berjanji, pemimpin mereka tidak menepatinya. Salahkan jika yang menjadi mangsa berubah angin?

Ceritanya ialah seorang bekas ahli PAS yang tewas dalam petisyen mencabar keputusan pilihan raya umum ke-13 bukan sahaja tidak lagi diendahkan tetapi terpaksa meminta ehsan untuk menampung kos mahkamah.

Inilah yang berlaku terhadap Za’aba Ibrahim terkilan dengan sikap bekas partinya PAS yang langsung tidak menyatakan sokongan walaupun petisyen itu dibuatnya atas arahan parti.

Laporan FMT semalam menyebut, walaupun tidak dipedulikan oleh partinya sendiri, Za'aba terharu dengan sokongan masyarakat pelbagai latar belakang yang membantunya mengumpul wang bagi menampung kos mahkamah.

“Sebagai ahli, saya taat dengan arahan itu. Malah pemimpin sendiri berkata parti akan membayar setiap petisyen yang kalah,” kata Za’aba yang kini ahli AMANAH.

Pada 24 Januari 2014, mahkamah rayuan mengarahkan Za’aba membayar kos guaman sejumlah RM50,000 selepas petisyen mencabar keputusan PRU ke-13 bagi kerusi Parlimen Pulai, yang dimenangi Datuk Nur Jazlan Ahmad dari Barisan Nasional, ditolak.

Tarikh akhir bagi pembayaran itu adalah 17 Januari 2017.

Nur Jazlan memenangi kerusi itu mengalahkan calon PAS, Salahuddin Ayub yang kini timbalan presiden Amanah, dengan perbezaan 3,226 undi.

Salahuddin kalah kepada Nur Jazlan
“Saya terima panggilan daripada orang yang tidak dikenali, menyatakan sokongan dan ingin menyumbang wang,” kata Za’aba mengenai sokongan yang diterimanya.

“Ada seorang Punjabi yang menelefon lewat malam, kata ingin pindahkan wang esok pagi sebab bank sudah tutup,” katanya dalam wawancara bersama FMT baru-baru ini.

Za’aba, yang bekerja sebagai jurukimpal, berkata antara yang banyak membantu adalah wakil rakyat pembangkang terutama Amanah dan DAP negeri, selain gabungan Bersih 2.0 yang menurutnya antara yang memberikan sumbangan terbesar.

“Malah orang UMNO dan kariah surau di Kuala Lumpur juga ada yang menghulurkan wang, setakat termampu. Saya hargai semuanya.

“Saya doakan Allah memberikan rahmat dan kesihatan yang baik kepada mereka semua,” kata Za’aba yang juga imam sebuah surau di Perling, Johor Bahru.

Pada 10 Januari lalu, Za’aba terselamat daripada diisytiharkan muflis selepas kempen mengumpul dana oleh AMANAH berjaya mengumpul RM54,431.76.

“Terima kasih kepada masyarakat yang membantu. Semoga semangat tersebut menjadi petanda kita sudah bersedia membuat perubahan pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Za’aba berkata beliau terkejut apabila diarahkan ke mahkamah November lalu untuk kes tersebut, kerana selama ini menyangka PAS sudah membayarnya.

“Ketika mendapat surat arahan membayar dari mahkamah pada 2014, saya terus menghantarnya kepada PAS kawasan untuk disampaikan kepada peringkat negeri. Kepimpinan negeri kata akan menyampaikannya ke peringkat Pusat.

“Selepas itu senyap tanpa khabar berita. Saya fikir mereka sudah menguruskannya. Sehinggalah November tahun lalu apabila saya diarahkan ke mahkamah,” katanya kecewa.

Disember lalu, Pesuruhjaya PAS Johor Datuk Dr Mahfodz Mohamed dilaporkan berkata PAS tidak akan membayar jumlah itu kerana Za’aba bukan lagi ahli parti.

Za'aba menunjukkan kad ahli PAS yang masih disimpan.
Bagi Za’aba pula, ia tidak harus dijadikan alasan kerana petisyen dibuat atas arahan parti dan perintah bayaran dikeluarkan ketika beliau masih menjadi ahli.

“Tiada seorang pun pemimpin PAS menyumbang. Mereka hanya sumbang maki hamun. Dengan ahli PAS lagi teruk saya kena,” katanya yang menyertai PAS sejak 1994 dan keluar pada 2015, bersama-sama ramai pemimpin dan ahli lain, menubuhkan AMANAH.

Sepanjang keahliannya dalam PAS, Za’aba aktif menganjurkan program PAS di Johor selaku ahli jawatankuasa peringkat kawasan.

Menurutnya, beliau menjadi “wajah pertama” yang akan berhadapan dengan pihak berkuasa jika program parti berhadapan masalah permit.

“Saya keluar kerana akhlak kumpulan mereka tidak lagi menonjolkan akhlak Islam, terutama dengan kutuk-mengutuk terhadap kumpulan profesional menjelang muktamar pemilihan 2015.

“Tetapi saya tidak alergik dengan PAS, malah masih menyimpan kad keahlian sehingga sekarang,” katanya lagi.

Pada Muktamar 2015, pimpinan PAS berubah arah menyaksikan kesemuanya jawatan tertinggi parti itu diisi puak pro-Hadi, yang menyokong dasar presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Friday, June 18, 2010

SENATOR ADALAH ‘SISA PEPEJAL & SAMPAH’

Dewan Negara bagaikan ‘pusat buangan sisa pepejal dan sampah’? Ini bermakna Ahli Dewan Negara adalah ‘sisa pepejal dan sampah’?

Siapa yang berkata begitu?

Ia tidak lain dan tidak bukan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, Ahli Parlimen Kubang Kerian Kelantan.

Beliau merujuk kepada tindajkan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak melantik Timbalan Presiden MIC, Datuk G. Palanivel menjadi senator dan Timbalan Menteri di Dewan Negara walaupun veteran MIC itu telahpun ditolak sendiri oleh kepemimpinan parti perkauman India untuk menjadi calon BN dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor yang lalu.

Baca kenyataan berikut seperti disiarkan oleh Harakahdaily Online:

Jangan jadikan Dewan Negara ‘pusat buang sampah’

KUALA LUMPUR, 18 Jun: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub (gambar) mendesak Perdana M
enteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya tidak menjadikan Dewan Negara sebagai ‘pusat pembuangan sisa pepejal dan sampah’ yang tidak berguna dari kilang Umno BN.

Desakan itu berikutan tindakan Najib melantik Timbalan Presiden MIC, Datuk G. Palanivel menjadi senator dan Timbalan Menteri di Dewan Negara walaupun veteran MIC itu telahpun ditolak sendiri oleh kepemimpinan parti perkauman India untuk menjadi calon BN dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor yang lalu.

"Bagaimana Najib boleh bertindak sedemikian dengan melantik Palanivel jadi senator dan Timbalan Menteri walhal masyarakat India dalam MIC sendiri tolak timbalan presiden itu di Hulu Selangor.

"Takkan Najib nak jadikan Dewan Negara ini sebagai tempat longgokan sampah sarap dan sisa-sisa dari kilang BN," ujar beliau yang juga Ahli parlimen Kubang Kerian di lobi Parlimen.

Pun begitu, beliau menyuarakan penghargaan kepada para senator Pakatan Rakyat kerana masing-masing berperanan memartabatkan Dewan Negara sebagai dewan yang mulia.

Beliau mendakwa pelantikan Palanivel menyertai kebinet baru Najib bukanlah berasaskan pada kebolehupayaan serta merit pemimpin pro Presiden MIC, Datuk Seri S.Samy Vellu.

Sebaliknya, katabeliau perlantikan itu sebagai 'pampasan politik' kepada MIC disebabkan kesediaan Samy menerima calon kesukaan Najib, iaitu P. Kamalanathan.

"Perlantikan ini sekadar pampasan politik buat MIC walaupun Najib memberitahu rakyat bahawa kebinetnya menggunakan KPI (aras tanda utama) dan pelbagai sistem merit yang lain," tambah beliau.

Sehubungan itu, tindakan Najib menurut beliau, mencerminkan bahawa jawatan senator serta jawatan menteri/timbalan menteri dalam kebinet semata-mata untuk menangani konflik kepentingan dalam parti-parti komponen BN semata-mata.

Tindakan Najib, menurut beliau, sekaligus langsung tidak mencerminkan wawasan Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Dalam pada itu, tindakan Najib mengetepikan Kamalanathan walaupun pemimpin MIC itu telahpun menjadi Ahli Parlimen Hulu Selangor seakan memberi isyarat bahawa Kamalanathan adalah calon proksi Najib.

"Kalau tidak, tentu dia (Kamalanathan) dilantik mengisi mana-mana jawatan menteri atau timbalan Menteri, mungkin dia calon proksi Najib atau Najib sendiri mungkin tidak yakin dengan dia untuk menyertai kabinetnya," ujarnya lagi.

Pada 1 Jun lalu, Palanivel dilantik menjadi Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi ekoran cadangan tidak langsung Samy kepada Perdana Menteri.

Perlantikan itu dibuat ekoran Samy sendiri bercadang untuk tidak bergiat aktif dalam kebinet demi memulihara tanggapan masyarakat India terhadap MIC yang dilihat kian terhakis sejak tsunami politik pada Pilihan Raya Umum ke-12 lalu.