"Hanya orang sewel atau tidak betul sahaja boleh melakukan kerja seperti itu – menghantar SMS Ugut Bunuh dan kemudian menuduh atau memftinah orang lain pula melakukan kerja gila yang dibuat olehnya..."
Dari awal lagi saya memang tidak percaya dengan tuduhan bahawa bekas Setiausaha Sulit Kanan Mad Said (Datuk Seri Ahmad Said), Menteri Besar Terengganu dituduh menyebarkan SMS Ugut Bunuh.
Tidak terfikir di benak kepala saya, orang macam Wan Ahamad Wan Muda boleh melakukan sedemikian. Saya memang tidak percaya.
Walaupun banyak cerita saya dengar mengenai Wan Ahamad mengenai peribadinya tetapi untuk menuduh beliau sebagai orang yang mencipta dan menghantar SMS Ugut Bunuh itu ‘jauh panggang dari api’.
Dan saya juga terkejut apabila terbukti Setiausaha Politik bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohd Zubir boleh melakukan finah terhadap Wan Ahamad yang kini Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) kononnya menghantar SMS Ugutan itu melalui nombor telefon bimbit 019-9158369 milik Wan Ahamad sendiri.
Bagi saya…hanya orang sewel atau tidak betul sahaja boleh melakukan kerja seperti itu – menghantar SMS Ugutan dan menuduh atau memftinah orang lain pula melakukan kerja gila yang dibuat olehnya.
Apakah Dr Ramzi ini gila? Apakah dia sewel?
Menurut Hakim Mahkamah Sesyen, M Bakri Abd Majid, Dr Ramzi dijatuhi hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu selepas didapati bersalah menghantar SMS ugutan kepada tiga wakil rakyat Nasional (BN) dan SMS fitnah kepada bekas setiausaha sulit menteri besar Terengganu.
Bekas setiausaha politik Datuk Seri Idris Jusoh itu dijatuhi hukuman penjara masing-masing tiga bulan untuk kesalahan mengugut Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Paka Mohd Ariffin Abdullah, Adun Permaisuri Abd Halim Jusoh dan Adun Ajil Datuk Rosol Wahid di E726, Kampung Kubang Parit antara 11.21 malam dan 11.25 malam, pada 13 April 2009.
Dia juga dijatuhi hukuman penjara tiga bulan kerana memfitnah Wan Ahamad dengan menghantar SMS ugutan melalui nombor telefon bimbit 019-9158369 milik Wan Ahamad.
Kalau dia orang berakal dan fikirannya tidak bercelaru masakan dia melakukan perkara seperti itu.
Patutnya Dr Ramzi ini kena hantar ke doktor atau pakar jiwa untuk ujian otaknya kerana melakukan sesuatu yang tidak pernah dilakukan orang sebelum ini – hantar SMS Ugutan dan kemudian menuduh orang lain melakukannya.
Memang dia benar-benar ‘tidak betul’.
Apapun kesian dengan Dr Ramzi yang jelas bersendirian ketika hadir di mahkamah semalam. Tidak ada sahabat politik atau orang terkenal yang selama ini mendampinginya.
Hanya beberapa anggota keluarga Dr Ramzi termasuk isterinya dilihat hadir di mahkamah semalam.
Persoalannya, apakah dia melakukan kerana ‘gilanya’ atau kerana mahu berbakti atau membalas jasa kepada seseorang?
Orang Terengganu semua tahu, Idris Jusoh dilucutkan jawatan begitu sahaja (tidak dilantik semula) dan sebagai orang yang menjaga kepentingan politik Idris Jusoh, Dr Ramzi mungkin melakukan perkara ini dengan niat sama ada mahu menjejaskan reputasi Ahmad Said dan dengan cara itu orang lain dilantik ke jawatan Menteri Besar.
Saya pun tidak boleh fikir atau percaya kalau ada yang mengatakan Idris Jusoh merencanakan itu semua dan akhirnya Dr Ramzi jadi ‘kambing hitam’.
Tak mungkin, tak mungkin. Lama kena geleng kepala kalau sebut Idris Kusoh terbabit dalam kes ini.
Atau ia sebagai perbuatan membalas dendam dengan menggunakan nombor telefon Wan Ahamad kerana kalau ‘jalan Wan Ahamad’ akan ‘jalanlah juga Mad Said’?
Sebab lain tidak ada siapa boleh fikir. Melainkan benar teori mengatakan Dr Ramzi ini sewel.
Walaupun penghakiman dijatuhi semalam, saya sudah meihat kegagalan pihak pembelaan membuktikan keraguan munasabah terhadap semua pertuduhan terhadap Dr Ramzi sudah terbayang pada prosiding kedua terakhir.
Ada mengatakan pada ketika pihak pendakwaan menyediakan kertas ‘bertimbun-timbun’, pihak pembelaan tidak mampu menyediakan kertas yang boleh membela Dr Ramzi.
Ternyata Hakim Mahkamah Sesyen menjatuhi hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap empat pertuduhan berkenaan.
Kesian Dr Ramzi - begitulah nasib seorang pejuang yang berjuang pada orang, lorong dan matlamat yang salah!
Kita tunggulah selama mana Dr Ramzi akan merengkok dalam penjara selepas rayuannya di Mahkamah Tinggi.
Ketika ini Dr Ramzi diikat jamin RM15,000 dengan dua orang penjamin.