Friday, May 29, 2009

‘MINAH RONGGENG’ VS PKR

(Agendadaily)

Kalau Aminah Abdullah melihat dirinya dalam cermin mungkin beliau akan mengakui dirinya macam kata orang Utara tak ada tanjak untuk pegang jawatan Timbalan ketua Menteri Pulau Pinang.

Naib Presiden PKR Azmin Ali tidak salah bila bagi gelaran ‘ Minah Ronggeng’ pada Aminah dalam mempersendakan dakwaan calon bebas pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri Penanti itu bahawa parti itu cuba menyogoknya dengan jawatan itu jika menang pilihanraya kecil itu.

Gelaran yang mencetuskan deraian ketawa hadirin di ceramah kempen pilihanrayanya di kawasan kubu bosnya Datuk Seri Anwar Ibrahim di Permatang Pauh itu adalah cara terbaik untuk cincang lumat kredibiliti mana-mana musuh yang mau bikin kacau.

Malah perwatakan Aminah yang macam mana-mana surirumah biasa tentu tidak terlawan bala tentera PKR yang berkampong di Penanti untuk mempertahankan kerusi DUN yang sengaja dikosongkan oleh bekas ADUN Fairus Khairuddin untuk beri laluan kepada orang kepercayaan Anwar yakni Dr Mansor Othman.

Ikut ceritanya bukan saja Azmin malah semua orang kanan PKR merasa tidak sedap badan kena melayan perang si Lone Ranger ‘Minah Ronggeng’ ini yang merupakan bekas Ketua Wanita Keadilan Pulau Pinang.

Aminah mungkin tidak dapat merasa jadi wakil rakyat di Penanti.Namun apa yang dikatakan sangat merisaukan PKR ialah karenahnya telah membuka banyak pekong yang terselindung dikacamata umum tentang hal dalaman parti itu.

PKR selama ini sentiasa mahu tampil sebagai parti yang steady dan cantik serba serbi.

Siapa saja yang berpeluang mendengar rakaman perbualannya tiga jam yang didedahkan oleh Aminah pasti tertarik tentang chit chat yang casual antaranya dengan Ahli MPT PKR Cheah Kah Peng dan pegawai khas Exco Pulau Pinang ,Lim Eng Nam pasal politiking dalaman parti itu selain isu dakwaan cubaan sogok untuk tarik diri sebagai calon pilihanraya kecil Penanti.

Ia bukan saja mengambarkan bagaimana kalangan pimpinan PKR saling tidak ngam antara satu sama lain malah Dr Mansor dicop sebagai pemimpin yang ‘ slow ’.

Ini nyata bertentangan dengan apa yang diwar-warkan oleh Anwar bahawa bekas professor di Universiti Sain Malaysia yang mempunyai ijazah berjela-jela itu dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan Ketua Menteri DAP Lim Guan Eng untuk mewakili orang Melayu dalam kerajaan Pulau Pinang sebagai Timbalan Ketua Menteri.

Disebalik usaha Anwar untuk mengambarkan bekas Setiausaha Politiknya itu adalah calon terbaik,sebenarnya Dr Mansor sendiri tidak mempunyai imej politik yang menyerlah.

Semua orang tahu beliau bukan sekali tetapi tiga kali pernah kalah pilihanraya.

Beliau tewas dalam pilihanraya tahun 1999 kawasan Parlimen Balik Pulau,2004 kerusi Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya dan 2008 kerusi Dewan Undangan Negeri Pulau Betong.

Lebih jauh lagi selain membuka pekong PKR,perang ‘ Minah Ronggeng’ ini membuka kembali ingatan orangramai kepada nasib ramai bekas pejuang asal PKR yakni semasa Parti Keadilan Rakyat dulu yang meninggalkan parti itu kerana berbagai sebab yang masih terpendam.

Antara nama nama besar ialah Dr Chandra Muzaffar,Ezam Mohd Noor,Abdul Rahman Osman,Annuar Shaari,Lokman Nor Adam,Zahid Md Arip,Zainur Zakaria,Ruslan Kassim dan Hamdan Taha.

Banyak lagi cerita yang tidak sedap mungkin dapat didengar jika setiap mereka tampil bersuara.

Seperti mereka, Aminah juga adalah salah seorang pejuang asal parti itu.Beliau sendiri melihat senario parti itu tidak macam dulu... apa lagi bila kuasa sudah terserlah di depan mata.

Orang-orang baru dalam parti itu yang tak tahu cerita mungkin tumpang ketawa bila Azmin gelarnya ‘ Minah Ronggeng’.

Ketawa itu sekurang-kurangnya dapat jadi pengubat geram melihat Aminah yang nak terus meronggeng hingga 31 Mei ini. -28/5/2009

Tuesday, May 26, 2009

HAKIM MAHKAMAH RAYUAN BOLEH ‘DITARIK TELINGA’?

Tidak habis-habis pertikai keputusan mahkamah pada Jumaat, 22 Mei lalu. Sebabnya kerana tidak berpihak kepada Dato' Seri Ir Nizar Jamaluddin selaku MB yang sah.

Walaupun lapan peguam mewakili Mohd Nizar dan hujah ditolak, mereka tidak dapat menerimanya dengan hati terbuka.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan keputusan Mahkamah Rayuan sebagai sesuatu yang mengecewakan dan memperlihatkan badan kehakiman negara hancur dan perlu diperbetulkan.
Malah Anwar menyifatkan penghakiman kemelut di Perak dibuat mengikut selera politik dan arahan. Mengikut selera politik dan ada arahan?
Tidakkah kata-kata ini merendahkan peribadi dan taraf profesional hakim-hakim dan mahkamah Rayuan itu sendiri?
Apakah ketiga-ketiga hakim yang membuat keputusan secara konsensus itu boleh ‘ditarik telinga’?

Perdana Menteru menjelaskan semalam, keputusan Mahkamah Rayuan yang menetapkan Datuk Dr. Zamry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak diterima sebagai berada di landasan yang betul oleh pihak Queen's Counsel dari United Kingdom.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, salah seorang ahli Queen's Counsel, Lord Lester yang diminta pandangan perundangan berhubung krisis di negeri itu berpendapat bahawa sistem kehakiman Malaysia berada di landasan yang betul.

"Pendapat oleh Mahkamah Rayuan itu dikongsi oleh pakar undang-undang peringkat antarabangsa seperti seorang Queen's Counsel bernama Lord Lester yang kita telah terima pendapat perundangannya.

"Kalau Queen's Counsel seperti Lord Lester boleh keluarkan pendapat kita berada di atas landasan yang betul seperti mana keputusan Mahkamah Rayuan, janganlah disalah-ertikan atau diberi pandangan negatif terhadap badan kehakiman negara," katanya.

Jauh di sudut hati mereka yang mempertikaikan keputusan itu rasanya bukan kerana faktor mahkamah semata-mata. Mereka mahukan DUN Perak ddibubarkan dan diadakan pilihan raya baru.

Memberikan semula kuasa kepada rakyat untuk menentukan, kata mereka.
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat Sabtu lalu, menempelak UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai sebuah parti yang tidak bermoral dan bertamadun kerana menguasai Perak melalui cara tidak terhormat.

Beliau turut menyifatkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir sebagai 'Menteri Besar mahkamah' dan bukannya mewakili seluruh penduduk Perak.

“Kenapa pakatan pembangkang yang telah dipilih oleh rakyat secara sah melalui undi, tetapi dirampas oleh UMNO dan BN secara melarikan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri untuk menyokong mereka," katanya.

Naib Presiden PAS, Mohammad Sabu pula berpendapat, keputusan Mahkamah Rayuan yang memberi kemenangan 3-0 kepada Dr Zamry adalah satu keputusan yang telah diskripkan.
Mohamad Sabu berkata, keputusan yang telah diskripkan itu menandakan matinya demokrasi di negara ini.

Beliau turut mendakwa keputusan ini sangat pelik kerana ia telah bocor dahulu, seluruh media BN telah menanti hanya untuk umumkan sahaja, satu lagi tanda sebelum keputusan dibuat ramai Adun dan pemimpin BN hadir, tidak seperti ketika keputusan di Mahkamah Tinggi,
Dalam keputusannya, panel tiga hakim yang telah mendengar hujah kedua-dua pihak di Putrajaya seharian pada 21 Mei sebulat suara menerima rayuan Zambry.

Dalam penghakimannya, ketiga-tiga mereka berhujah bahawa hakim mahkamah tinggi Datuk Abdul Aziz Abd Rahim membuat kesilapan dalam keputusannya dan Sultan Perak layak melantik Zambry apabila Mohamad Nizar hilang majoriti dalam DUN.

Panel tiga hakim yang mendengar rayuan tersebut ialah Dato' Md Raus Sharif, Dato' Zainun Ali dan Dato' Ahmad Maarop.

Nizar diwakili oleh sepasukan lapan peguam yang diketuai oleh Sulaiman Abdullah, manakala peguam Cecil Abraham mewakili Zambry.

Bukan Datuk Seri Najib Razak sahaja yang kesal tetapi mereka yang menghormati mahkamah dan demokrasi pasti merasa kesal dengan sikap parti pembangkang yang menuduh kerajaan Barisan Nasional (BN) mengatur keputusan Mahkamah Rayuan dalam menentukan Menteri Besar Perak yang sah.

Adalah tidak adil untuk menuduh badan kehakiman negara mengikut telunjuk kerajaan hanya kerana penghakiman yang dibuat itu memihak kepada kerajaan.

Sedangkan apabila sesuatu keputusan itu memihak kepada pihak berkenaan, maka mereka katakan sistem kehakiman kita bebas, sikap seperti ini tidak boleh diamalkan.

Aneh sungguh kerana pembangkang menetapkan label kebebasan terhadap mahkamah di negara ini mengikut faedah yang diperoleh mereka.

Seperti dikatakan oleh Najib, jika krisis di Perak dimuktamadkan segera, kerajaan dapat memulakan usaha yang lebih fokus untuk membantu membangunkan rakyat Perak.
Malah, beliau bersifat positif dengan berkata, pihak pembangkang masih berhak membawa kes mereka ke Mahkamah Persekutuan tetapi berharap ia dilakukan dengan pantas demi memastikan krisis di Perak diselesaikan segera.

"Kita harap ada penamat dari segi proses ini, saya difahamkan kemungkinan besar mereka (pembangkang) akan buat rayuan di Mahkamah Persekutuan, mereka ada hak buat rayuan.
"Kita terimalah apa keputusan mahkamah yang tertinggi sekali, dari segi kerajaan kita berharap ada penyudahnya atau 'finality' dalam proses ini agar kerajaan dapat berkhidmat untuk rakyat," jelasnya.

Monday, May 25, 2009

PKR TIDAK SELESA DENGAN AMINAH

Agendadaily/Utusan Malaysia

Walaupun hanya berhadapan dengan calon Bebas, PKR nampaknya tidak boleh duduk senang kerana ‘serangan’ awal salah seorang calon bebas, Aminah Abdullah mengundang reaksi daripada pimpinan kanan parti tersebut.

Aminah selepas penamaan calon berkata, beliau akan mendedahkan bukti ada pemimpin PKR yang telah menemuinya dengan membuat pelbagai tawaran asalkan beliau sedia menarik diri daripada bertanding pada pilihan raya kecil DUN Penanti.

Aminah yang merupakan bekas Ketua Wanita Parti Keadilan, adalah antara kumpulan awal yang berjuang bersama Parti Keadilan dan menerajui kepimpinan di peringkat negeri Pulau Pinang di samping aktif dalam pergerakan wanita di peringkat pusat.

Difahamkan, Aminah akan membuat sidang media bagi mendedahkan dakwaannya itu kerana menurut beberapa sumber rapat dengannnya, beliau mempunyai gambar dan rakaman perbualan yang melibatkan salah seorang pemimpin PKR.

Cumanya, jika Aminah tampil mengemukakan bukti, kita lihat apa pula ‘pencak silat’ yang akan digunakan oleh PKR. Selalunya pemimpin PKR membuat pelbagai tuduhan dan dakwaan terhadap pemimpin kerajaan tetapi tiada bukti yang dikemukakan. Itu tidak apa bagi mereka. Kalau orang lain kemukakan bukti, apa agaknya jawab mereka.

Berikutan itu semalam, PKR menafikan dakwaan seorang daripada calon Bebas pada pilihan raya kecil DUN Penanti bahawa parti itu memujuk atau memberi ganjaran kepada calon Bebas supaya menarik diri daripada bertanding dalam pilihan raya kecil itu 31 Mei ini.

Ketua Penerangan PKR Tian Chua mencabar mana-mana calon Bebas yang bertanding, termasuk Aminah Abdullah yang membuat dakwaan itu supaya mengemukakan bukti kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jika benar wujud penyelewengan sedemikian.

“Jika ada sebarang bukti bahawa ada pemimpin atau mana-mana daripada kami (PKR) menawarkan ganjaran kewangan, laporkan kepada SPRM atau SPR,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Aminah semalam yang mendakwa akan mendedahkan bukti bahawa PKR cuba memberi ganjaran kepadanya supaya menarik diri daripada bertanding pada pilihan raya kecil itu yang akan menyaksikan pertandingan empat penjuru.

Aminah, 57, bekas Ketua Wanita Parti Keadilan Nasional (KeAdilan) Pulau Pinang, adalah seorang daripada tiga calon Bebas yang akan bertanding. Dua calon lain ialah Pengurus syarikat yang juga bekas Ketua Pemuda Gerakan Cawangan Telok Wang, Penanti, Nai-Khan Ari a/l Nai Keow, 41 dan pakar motivasi Kamarul Ramizu Idris, 42.

Manakala Pengarah Pilihan Raya PKR, Saifuddin Nasution Ismail pula ketika mengulas dakwaan Aminah tersebut mengaitkannya dengan kemungkinan Aminah mempunyai rasa tidak puas hati dengan mana-mana pihak dalam PKR.

Wednesday, May 20, 2009

MAMPUKAH PUTRAJAYA ATASI KEMELUT POLITIK TERENGGANU?

hambali1.blogspot.com (Wednesday, May 20, 2009)

Hari ini yang ada di negeri Terengganu rakyat sahaja.

Semua orang ‘berpolitik’ di Terengganu - ada di Kuala Lumpur. Semua orang politik - ADUN, Ketua Bahagian dan Menteri Besar ada di Kuala Lumpur. Mesyuarat mingguan Exco juga diadakan di Kuala Lumpur.

Malam ini mereka ke Putrajaya. Agenda kemuncak akan berlaku di Putrajaya.

Ramai yang menunggu pengumuman yang akan dibuat oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu malam ini. Selain kedudukan Menteri Besar, siapa akan menduduki Setiausaha Perhubungan, Bendari dan Ketua Penerangan UMNO Terengganu. Begitu juga dengan jawatan-jawatan lain.

Apa tidaknya. Sesetengah menganggap mesyuarat malam ini yang akan menghimpunkan semua ADUN Terengganu dan Ketua-Ketua Bahagian dengan Datuk Seri Hishamuddin Hussein itu sebagai ‘jalan terakhir’ menentukan kedudukan Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar.

Dengan kata lain, teka teki bila dan siapa akan menggantikan Ahmad Said, dikatakan bergantung kepada keputusan mesyuarat malam ini.

Kerana itu tidak pelik kalau ada di kalangan 18 ADUN BN Terengganu yang sebelum ini mahu Ahmad Said disingkirkan, kecewa dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Menteri Besar itu, dikekalkan.

Menurut mereka, kenyataan tersebut "terlalu awal" kerana perjumpaan dengan Datuk Seri Hishammuddin Hussein belum diadakan.

Menurut laporan Malaysiakini semalam, seorang ADUN yang enggan namanya disiarkan berkata, sepatutnya kenyataan itu dibuat selepas perjumpaan dengan Hishamuddin diadakan malam ini.

Hishammuddin dijadualkan mengadakan perjumpaan dengan ADUN dan ketua Umno bahagian Terengganu itu, di pejabatnya di Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya malam.

Malah, kata ADUN berkenaan, beliau dan rakan-rakannya akan cuba menimbulkan isu sebenar dalam perjumpaan dengan Hishammuddin tersebut, iaitu Ahmad Said mesti diganti.

"Ini fokus sebenar 18 ADUN berkenaan. Kami berjuang untuk kepentingan parti, negeri Terengganu dan rakyat negeri itu. Walau apapun, kumpulan kami tetap patuh kepada arahan pucuk pimpinan parti," katanya tanpa mengulas lanjut.

Bercakap kepada wartawan di Kuala Terengganu sempena pelancaran hari guru peringkat kebangsaan Sabtu lalu, dilaporkan berkata, Ahmad kekal sebagai menteri besar.

Muhyiddin dikritik oleh sesetengah ADUN kerana membuat kenyataan mempertahankan kedudukan Ahmad Said mendahului Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu.
Tidak tahulah SIAPA BESAR dalam konteks membuat kenyataan mengenai kedudukan Ahmad Said antara Timbalan Presiden UMNO berbanding Naib Presiden UMNO yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu.
Yang pasti Ahmad Said yang telah diturun pangkat dari jawatan pengerusi Umno Terengganu kepada timbalan pengerusi akan terlebih dahulu bertemu Hishamuddin sebelum mesyuarat penuh membabitkan semua ADUN.
Bagi yang waras, mesyuarat ini dilihat sebagai ‘mendengar’ daripada ‘menghukum’. Mendengar ialah memberikan ruang kepada ADUN dan pemimpin UMNO, termasuk Ketua-Ketua Bahagian menyatakan pendirian mereka.
Biarkan mereka menghentam apa sahaja. Dengan kata lain Putrajaya akan menjadi medan di mana Ahmad Said akan ‘dibelasah’ habis-habisan.
Persoalannya, apakah Hishamuddin akan membiarkan medan itu untuk membenarkan Ahmad Said dibelasah sedemikian rupa?
Persoalannya juga, sejauh mana luahan itu akan dijadikan asas untuk memutuskan untuk mengguggurkan Ahmad Said?
Pada pengamatan saya, Hishammuddin boleh mengambil apa-apa tindakan berhubung urusan parti, tetapi pelantikan Ahmad Said sebagai menteri besar bukan ditentukan oleh parti sahaja.
Kalau parti sahaja menentukan perlantikan Menteri Besar, sudah pasti Datuk Seri Idris Jusoh boleh menjadi Menteri Besar.
Dalam politik Terengganu, Barisan Nasional dan UMNO perlu bertindak bagai ‘menarik rambut dalam tepung’ – Rambut Jangan Putus, Tepung Jangan Tumpah.

Saya tertarik dengan kata-kata Exco kerajaan negeri, Datuk Mohd Zaabar Adib baha kemelut politik Terengganu kelihatan semakin reda sejak kebelakangan ini namun saya melihat rasa tidak puas hati -kenapa Datuk Ahmad Said yang masih terpacak di situ - tetap membara.

Kata Mohd Zaabar, kemelut yang berlaku sejak lebih sebulan lalu tidak akan selesai jika ada pihak yang berkeras mahu mempertahankan prinsip masing-masing.

"Kalau ada yang tidak memikirkan keutamaan bersama kemelut ini akan berlanjutan. Kemelut ini merugikan rakyat, saya berharap ia dapat diredakan segera. Tetapi sudah nampak ia semakin reda.

"Kita serahkan kepada pimpinan UMNO untuk menyelesaikan kemelut tersebut," katanya.

Persoalannya, bolehkah Putrajaya selesaikan kemelut politik Terengganu. Bolehkah UMNO melalui Hishamuddin meredakan kemelut ini?

SALAHUDDIN PERTIKAI KREDIBILITI LIMA HAKIM

Inilah perangai orang Islam PAS.

Bila memenuhi kehendak dan sesuai dengan keinginan mereka, hakim dan keputusan dianggap adil. Apabila bertentangan atau tidak mengikut kehendak mereka, keputusan hakim dipertikai.
Amat menghairankan sekali apabila Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayob mengatakan lima hakim yang akan mendengar rayuan Dato' Seri Mohd Nizar Jamaluddin hari ini sewajarnya terdiri daripada mereka yang berintegriti.

Apakah Salahuddin menganggap Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Ramly Ali tidak berintegriti?

Apakah Salahuddin menganggap Ramly sebagai ‘berpihak kepada Barisan Nasional’?

Salahudin menyatakan perkara ini sebagai respon kepada permohonan Mohd Nizar kelamrin yang mahu mendapatkan panel lima hakim Mahkamah Rayuan untuk mendengar permohonannya mengetepikan keputusan mahkamah itu minggu lepas yang membenarkan penangguhan pengisytiharan Mahkamah Tinggi bahawa beliau adalah Menteri Besar Perak yang sah.

"Bukan hanya lima hakim sebaliknya hakim-hakim tersebut perlulah mereka yang mempunyai intergriti dan juga telus dalam menjalankan tugas mereka. Jika tidak kita bimbang keputusan Khamis nanti akan berpihak kepada Barisan Nasional (BN) kerana hakim yang mendengar rayuan itu,” kata Salahuddin.

Jelas awal-awal lagi Salahuddin mempersoalkan kredibiliti lima hakim berkenaan, walaupun menyokong penuh permohonan Mohd Nizar yang mahu mendapatkan panel lima hakim Mahkamah Rayuan untuk mendengar permohonannya.

Adilkah berbuat demikian? Saya fikir Salahuddin tidak wajar mempertikai atau cuba menghukum hakim-hakim berkenaan dengan tuduhan sedemikian.

Pada Isnin lalu, Peguam Leong Cheok Keng, yang mewakili Mohammad Nizar mengesahkan telah menghantar surat permohonan itu melalui faks ke pejabat Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan.

Alasan permohonan itu ialah kerana kes tersebut, yang ditetapkan pendengarannya hari ini, membabitkan kepentingan awam, selain melibatkan isu dan persoalan perlembagaan, katanya.

Pada 11 Mei, Hakim Mahkamah Tinggi Dato' Abdul Aziz Ab Rahim mengisytiharkan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah kerana mendapati Mohammad Nizar tidak pernah mengosongkan jawatan sebagai Menteri Besar kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota Dewan Undangan Negeri.

Maka riuh rendahlah orang PAS bersorak dan mengatakan demokrasi telah ditegakkan.
Berikutan keputusan itu, Dato' Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengemukakan permohonan penangguhan pelaksanaan pengisytiharan itu yang telah didengar dan dibenarkan Hakim Mahkamah Rayuan Dato' Ramly Ali.

Mohammad Nizar kemudian memfailkan permohonan Rabu lalu untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan itu dan didengar hari ini.

Yang pasti apa yang disebutkan Salahuddin ini, kalaupun bukan berniat mempersoalkan kredibiliti hakim-hakim berkenaan, juga mempunyai cirri-ciri mempengaruhi apa juga keputusan hakim berkenaan terhadap permohonan Mohd Nizar hari ini.

Thursday, May 14, 2009

AHMAD MASLAN - JANGAN TAKBUR, BUKTIKAN DULU

MalaysiaHariIni (Friday, 01 May 2009)

AKUAN Ketua Penerangan UMNO baru, Ahmad Maslan bagaikan bergegar bumi. Paling memetirkan ialah mahu bekerja siang dan malam untuk memastikan UMNO kukuh dan dapat membantu BN mengembalikan dua pertiga dalam pilihan raya umum akan datang.

Selain meneruskan seminar, ceramah, kursus, Ahmad juga akan mengadakan program bermalam di rumah peneroka, mahu memperkenalkan Indeks Prestasi Utama (KPI) di semua peringkat serta berhasrat besar menjadikan kawasan gelap kepada samar dan samar menjadi terang.

Beliau juga bersedia untuk mendekati empat aspek media merangkumi media bersemuka, media elektronik, bercetak dan maya. Begitulah besar hasrat Ahmad yang berkobar-kobar di peringkat awal ini. Sedap benar bunyinya.

Tapi persoalan lain juga timbul apakah Ahmad juga seorang Ahli Parlimen Pontian yang memerlukan kehadirannya. Bagaimana dengan kerja hakikinya sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri?

Sepatah kata pujangga tak ternama, angan-angan dan cakap-cakap itu adalah percuma. Selalunya rakyat tidak mudah terperangkap dengan hanya cakap tanpa tindakan yang belum tentu mudah diterima oleh semua orang di semua peringkat.

Mungkin tidak ramai yang suka dengan ikatan Indeks Prestasi Utama (KPI) untuk jawatan Ketua Penerangan di perngkat Negeri, Bahagian dan Cawangan yang bukan kerja hakiki yang dibayar gaji, elaun atau sebarang bentuk habuan dari UMNO.

Ada yang gelakkan saja bila Ahmad kata mahu bekerja siang dan malam dan mengadakan program tidur di rumah peneroka kerana cakap-cakap itu tidak mudah dilakukan. Di peringkat awal atau sesekali bolehlah lakukan. Tetapi tidak boleh selalu.

Macamlah Ahmad tidak tahu perangai orang UMNO. Mereka bukan boleh dikerah atau dipersoalkan dengan sistem KPI yang sesuai untuk wakil rakyat yang bergaji dan mempunyai peruntukan dari kerajaan untuk melayan karenah rakyat.

Berbunyi juga di sana-sini, angan-angan Ahmad itu bagaikan satu dendangan yang sebelum ini sudah ramai pemimpin sebelum beliau sudah katakan dan ia tetap berakhir dengan ungkapan ‘cakap tak serupa bikin’.

Yang penting ialah tugas Ahmad itu tidaklah nanti dilihat hanya mendapatkan publisiti sahaja tetapi tidak memenuhi kehendak rakyat yang menuntut lain dari apa yang disogokkan iaitu lebih berbentuk masalah setempat seperti kekurangan yang melibatkan banyak pihak lain.

Umpamanya, rakyat mahu saliran di sekitar mereka tidak lagi tersumbat, tidak mahu jalan raya keliling mereka berlubang-lubang tidak bertampal, kemudahan pengangkutan awam yang lemah seperti bas tidak hadir sekerap yang dikehendaki, disiplin kontraktor yang membangunkan persekitaran tidak menghiraukan alam sekitar, kemudahan belia tempatan berekreasi diabaikan, sistem pungut sampah tidak memuaskan, tahap keselamatan kian kurang menjaminkan, lampu jalan yang tidak berfungsi, tempat-tempat ibadat dan banyak lagi karenahnya.

Rakyat hari ini semuanya sudah tidak lagi macam zaman sebelum ini di mana rakyat mahu mendengar cerita indah semata-mata. Mereka mahu tindakan. Pihak pembangkang juga akan mengunjungi mereka dalam banyak cara terus mengkritik kerajaan yang secara langsung membidas UMNO dan BN.

Rencana ini bukanlah untuk melemahkan semangat Ahmad yang sedang berkobar-kobar, tetapi terimalah untuk dibuat renungan sedalam-dalamnya betapa orang Melayu hari ini menerima cabaran dan menimbangkan pilihan mereka siapa yang lebih lojik dalam menjalankan tugasnya tidak hanya kepada cakap pemimpin.

RPK DIHENTAM RAKAN-RAKAN PEMBLOG

CUBIT-CUBIT
13 Mei 2009

SEORANG pembaca telah memanggil perhatian Si Keldai kepada beberapa tulisan blog yang mempertikai kewibawaan RPK (Raja Petra Kamaruddin).

Mengetuai tulisan mengkritik RPK ialah Ahiruddin Atan atau Rocky, pengasas Bloggers United yang sekarang jadi CEO akhbar Malay Mail dan Presiden Press Club. Komennya berjudul RPK my enemy?

Pemblog Big Dog menulis pada 11 Mei 09 dengan tajuk Raja Petra that I know: A friend and cyber anarchist

Dua hari kemudian Big Dog menghentam RPK sekali lagi dalam tulisannya berjudul Raja Petra the compulsive liar

Blog My Anger, It May be Yours Too mengandaikan RPK sudah mengalah dengan tulisannya bertajuk Is RPK offering a surrender?

Adat dan resam kehidupan ...jika anda selalu menghentam orang lain, bersedialah untuk kena hentam pula.

RPK sekarang sedang bersembunyi entah di mana. Ada yang mengatakan dia berada di luar negara. Dari tempat persembunyian dia terus melontarkan pelbagai tuduhan yang mengocak ketenteraman politik negara. Benar kata Big Dog bahawa RPK adalah anarkis siber (cyber anarchist) atau seorang penulis siber yang tidak memperdulikan undang-undang.

Bayangkan betapa besarnya ego seorang anarkis.

SI KELDAI

Nota:

Pada 23 April lalu, Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur mengeluarkan waran tangkap terhadap pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamaruddin kerana gagal hadir perbicaraan kes penerbitan artikel berunsur hasutan yang dihadapinya.

Hakim Rozina Ayob turut memerintahkan penjamin Raja Petra iaitu isterinya, Marina Lee Abdullah yang turut tidak hadir memberi surat tunjuk sebab.

Terdahulu, ketika kes berkenaan disebut kira-kira pukul 9.20 pagi, Rozina bertanyakan ketidakhadiran tertuduh kepada kumpulan peguam mewakili Raja Petra.

Seorang daripada peguam belanya, J. Chandra memberitahu, mereka tidak dapat menghubungi tertuduh atau isterinya mengenai kegagalan mereka berdua hadir ke mahkamah.

Bagaimanapun, Chandra memaklumkan, Raja Petra ada menyatakan alasan kenapa dia tidak hadir ke mahkamah hari ini melalui laman webnya.

‘‘Jadi kamu mahu mahkamah melayari laman web tertuduh untuk mengetahui alasan tersebut,’’ kata Rozina dengan sinis.

Chandra kemudian memberitahu, antara alasan Raja Petra dalam laman web tersebut ialah dia telah meletakkan dirinya dalam buangan dan tidak boleh menjejakkan kaki di Selangor kerana mendakwa telah menderhaka kepada keturunan diraja Selangor.

‘‘Dan disebabkan mahkamah ini terletak di dalam negeri Selangor maka sebab itu, anak guam kami tidak dapat hadir,’’ kata Chandra.

Pendakwaan yang diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya, Shahidani Aziz memohon agar satu waran tangkap dikeluarkan ke atas Raja Petra yang gagal hadir tanpa alasan munasabah.

Mahkamah hari ini sepatutnya mendengar sambungan perbicaraan kes Raja Petra yang dituduh menerbitkan satu artikel bertajuk Let‘s Send the Altantuya Murderers to Hell yang mengandungi ayat-ayat menghasut di laman web http://www.MalaysiaToday.com.

Raja Petra yang merupakan pengendali blog pertama didakwa atas kesalahan seumpama itu dituduh melakukannya di alamat No. 5, Jalan BPR5/5, Bukit Rahman Putra Sungai Buloh dekat sini pada 25 April 2008.

Thursday, May 7, 2009

MOHD NIZAR REKA CERITA DONGENG

(Utusan Malaysia, 7 Mei 200)

KUALA LUMPUR 6 Mei - Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin disifatkan hanya mereka cipta cerita dongeng dalam usahanya mengekalkan jawatan meskipun beliau telah hilang kepercayaan daripada majoriti anggota Dewan Undangan Negeri (DUN), Februari lalu.

Peguam Datuk Cecil Abraham yang mewakili Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir ketika berhujah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini berkata, ia bagaimanapun hanyalah versi cerita Mohammad Nizar yang dilihat hanya mempunyai ingatan terpilih bagi rentetan kejadian itu.
Justeru, katanya, mahkamah seharusnya meneliti kepada dokumen-dokumen termasuk keterangan serta afidavit-afidavit yang telah difailkan oleh semua pihak terlibat dalam semakan kehakiman itu sebelum membuat keputusan berhubung kes tersebut.

Jelas beliau, fakta dalam kes itu jelas menunjukkan bahawa tiga ADUN iaitu ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd. Radzi, ADUN Changkat Jering, Kapten (B) Mohd. Osman Jailu dan ADUN Jelapang, Hee Yit Foong telah menarik balik surat peletakan jawatannya walaupun Mohammad Nizar mendakwa tidak mengetahuinya semasa menghadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Malahan, katanya, ketiga-tiga ADUN itu telah memaklumkan sendiri keputusan mereka kepada Sultan Perak dan ini sekali gus membuktikan Barisan Nasional (BN) mendapat sokongan 31 ADUN.

''Semua fakta tersebut terkandung dalam dokumen yang ada di hadapan Yang Arif,'' katanya ketika berhujah dalam semakan kehakiman dikemukakan oleh Mohammad Nizar, 52, pada 13 Februari lalu untuk mencabar kesahihan pelantikan Zambry sebagai Menteri Besar Perak.

Dalam permohonan itu, Mohammad Nizar mendakwa beliau masih Menteri Besar yang sah berdasarkan kepada perlembagaan negeri itu kerana beliau yang bertindak menasihati Sultan untuk membubarkan sidang DUN.

Selain itu, Mohammad Nizar mendakwa, beliau tidak pernah meletak jawatan mahupun terdapat sebarang undi tidak percaya dibuat terhadapnya supaya melepaskan jawatan.

Mohammad Nizar sebelum ini turut memberi keterangan selama dua hari mulai Isnin lalu bagi prosiding permohonan beliau untuk membuat pemeriksaan balas terhadap Penasihat Undang-Undang Negeri Perak, Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid yang didakwa tidak konsisten dalam afidavitnya.

Dalam hujahannya, Cecil juga menyatakan bahawa berdasarkan kepada Perkara 16(6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak (UTKP), Sultan Perak mempunyai hak untuk menolak permintaan Mohammad Nizar bagi membubarkan DUN.

Menurutnya, setelah Sultan Perak melaksanakan prerogatif Baginda untuk tidak membubarkan Dewan mengikut perlembagaan negeri itu, Mohammad Nizar seharusnya meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar pada waktu itu.

Justeru, katanya, tidak timbul isu bahawa Mohammad Nizar selaku pemohon dalam semakan kehakiman itu menggunakan budi bicaranya sendiri atau cuba kekal sebagai Menteri Besar kerana jawatan itu telah pun dikosongkan.

Ekoran kekosongan jawatan itu, hujah Cecil, Sultan Perak mengikut Perkara 16(2) UTKP yang mempunyai budi bicara untuk mengisi kekosongan tersebut berdasarkan pengadilannya terhadap pihak yang telah mendapat kepercayaan majoriti anggota DUN.

Beliau juga menegaskan bahawa pelantikan Zambry sebagai Menteri Besar pada 6 Februari lalu dibuat mengikut Perkara 12 dan Perkara 16(2) UTKP.

''Pelantikan responden (Zambry) sebagai Menteri Besar adalah sah dan mengikut undang-undang. Apatah lagi, responden telah pun mengangkat sumpah di hadapan Sultan Perak dan menerima surat yang mengesahkan pelantikannya,'' katanya.

Prosiding di hadapan Hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim bersambung esok.