Showing posts with label Pilihanraya. Show all posts
Showing posts with label Pilihanraya. Show all posts

Monday, October 4, 2010

KU LI SETUJU JADI PENGARAH PILIHAN RAYA - TENGKU ADNAN

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini berkata sepanjang pengetahuan pengurusan BN, veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah bersetuju untuk menjadi pengarah pilihan raya BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Beliau berkata surat pelantikan itu telahpun ditandatangani oleh Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak, dan akan diserahkan kepada Anggota Parlimen Gua Musang itu sekembalinya beliau ke tanahair dijangka Jumaat ini.

"Bagi kita, pada masa ini, beliau (Tengku Razaleigh) telah bersetuju menjadi pengarah pilihan raya bagi DUN Galas.

"Beliau merupakan orang yang tepat memandangkan beliau adalah Ketua Bahagian, beliau tahu kawasan itu dengan lebih baik daripada orang lain. Jadi kita berharap beliau dapat membantu kita untuk mendapat balik Galas kepada BN," katanya selepas majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat Ibupejabat Polis Daerah Putrajaya 2010, di sini.

Tengku Adnan berkata tindakan pengurusan untuk melantik Tengku Razaleigh sebagai pengarah pilihan raya kawasan itu turut mendapat restu dan sokongan badan perhubungan negeri Kelantan.

Jumaat lalu, Tengku Razaleigh membuat kenyataan dalam laman sosial Twitternya bahawa beliau tidak menyatakan ya atau tidak apabila dilantik ke jawatan itu, dan akan menjelaskannya apabila beliau kembali ke Malaysia.

Ditanya mengenai kemungkinan untuk melantik Tengku Razaleigh sebagai calon BN bagi kawasan DUN itu, Tengku Adnan berkata pihak pengurusan akan mendengar apa sahaja cadangan daripada Tengku Razaleigh sebagai pengarah pilihan raya kecil itu.

Ditanya sama ada Umno selesa sekiranya Tengku Razaleigh dipilih sebagai calon, Tengku Adnan berkata Umno akan selesa dengan sesiapa sahaja yang dapat memenangi kerusi tersebut, dan dapat berkhidmat dengan baik kepada rakyat di kawasan itu.

Mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyifatkan cadangan untuk melantik Tengku Razaleigh sebagai calon adalah tidak wajar, Tengku Adnan berkata kenyataan seumpama itu dikeluarkan kerana mereka bimbang BN akan dapat merampas semula Galas.

Di PETALING JAYA, Ketua Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata BN yakin untuk merampas semula kerusi DUN Galas pada pilihan raya kecil nanti.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata beliau akan melawat kawasan itu minggu depan bagi menilai keadaan dan usaha bagi memastikan kemenangan BN pada pilihan raya kecil itu nanti akan diserahkan kepada Timbalan Ketua Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Kerusi kawasan itu kosong berikutan kematian wakil rakyatnya daripada PAS, Chek Hashim Sulaima, 46, akibat barah usus pada 27 Sept lalu.

Saturday, November 7, 2009

HADI UMPAMA 'PAK LAH VERSI PAS'

Daripada Malaysiakini

Bahagian Pertama:














Kepemimpinan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dianggap sangat lesu sehingga beliau boleh diumpamakan "Pak Lah versi PAS", kata ahli akademik Prof Dr Abdul Aziz Bari hari ini.

Tun Abdullah Ahmad Badawi dianggap seorang pemimpin lemah, tidak tegas, lembab dalam pelaksanaan dasar dan dipersalahkan atas kemerosotan teruk BN sehingga dipaksa melepaskan jawatan presiden Umno dan perdana menteri.

Dr Abdul Aziz berkata, kekalahan bertubi-tubi PAS di Terengganu – negeri Abdul Hadi sendiri – pada pilihan raya umum 2004, selepas menawannya pada 1999, dan tahun lepas serta kemerosotan dalam beberapa pilihan raya kecil menyebabkan beliau meyakini bahawa kritikan tersebut mempunyai asas.

"Kemudian di Bagan Pinang, maaflah, sudah banyak sangat (kalah). Kali ini mungkin betul, bila sudah ada orang sebut, kita ada versi Pak Lah dalam PAS sendiri," katanya.

"Dan memang, kalau tengok kenyataan dia (Abdul Hadi), sama ada yang terbaru ini atau beberapa bulan ini, sudah jelas. Maksudnya, kenyataan tentang UG (kerajaan perpaduan) itu, bukan macam orang politik."

Pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu menambah, oleh itu Abdul Hadi dianggap "beban" parti itu untuk terus mengembangkan pengaruhnya dan memainkan peranan lebih besar dalam “politik baru” Pakatan Rakyat.

"Kita tidak peduli sama ada kumpulan dia (Abdul Hadi) masih bercinta dengan Umno. Itu kita tidak peduli. Tetapi bagi saya, dalam politik, tidak ada peluang kedua.

"Kamu sudah buat, (kemudian) gagal, keluar (berundur). Hendak bertengkar tentang dia jumpa lagi (dengan Umno atau) tidak, imej itu sudah terpalit kepada dia dan kumpulan dia, terutamanya (timbalan presiden) Nasharuddin (Mat Isa)," tambahnya.

'Sudah hilang stim'

Dr Abdul Aziz juga berkata, walaupun pada 1980-an dan 1990-an tokoh agama itu berpengaruh luas khususnya melalui pidato tetapi kini presiden PAS itu "sudah hilang stim".

"Dia sudang hilang stim. Sebahagian daripada tindak-tanduknya tidak datang daripada dia atau cuma disuap dalam mulutnya. Contoh yang paling jelas, (idea) kerajaan perpaduan," katanya.

"Tengok, atau kita banding dengan apa yang dibuat sekitar tahun 1980-an dengan amanatnya (petikan ucapan yang dilabel 'Amanat Hadi'). Ini secara efektifnya mengkafirkan Umno. Sekarang kenapa hendak bekerjasama dengan Umno?"

Dalam wawancara dengan Malaysiakini hari ini, pakar undang-undang perlembagaan itu mendakwa, kegagalan Abdul Hadi bertindak sebagai "tokoh nombor satu" diburukkan lagi oleh peranan pemimpin lain seperti Nasharuddin dan setiausaha agung Datuk Mustafa Ali.

Diminta mengulas sejak bila tokoh PAS itu "hilang stim", Dr Abdul Aziz berkata: "Sebelum (era) reformasi (1998) dia tidak ada peranan yang penting, (sebagai) naib presiden saja atau timbalan presiden.

"Jadi, saya rasa, masalah atau isunya sekarang ini dia seorang timbalan yang bagus. Itu yang selalu disebutkan. Dan itu saya setuju.

"Kalau dia (pada jawatan) nombor dua, dia seorang yang setia dan dapat melaksanakan apa yang disuruh. Tetapi kalau letak dia (sebagai) kapten, setakat ini memang jelas tidak dapat.

"(Keadaan) itu menjelaskan kenapa dia tidak dapat membalas serangan terhadap 'Amanat Hadi' itu. Jadi, serangan itu sudah bersifat politik dan dia sudah tidak dapat main lagi."

Beliau juga mendakwa, Abdul Hadi tidak lagi mempunyai ciri seorang pemimpin dalam senario politik baru, hubungan awamnya pula tidak baik dan gagal berfungsi sebagai ideolog atau peneraju utama yang menjelaskan wawasan parti seperti "PAS untuk semua" dan "negara berkebajikan".

Abdul Hadi masih lagi berlegar di sekitar isu Melayu-Islam semata-mata seperti isu yang dijuarai parti itu sejak dulu, tambahnya.

'Ciuman maut'

Dr Abdul Aziz, yang kini semakin lantang mendesak pengunduran Abdul Hadi, diundang membentangkan analisis kemerosotan PAS dalam seminar politik parti itu di Gombak, esok.

Seminar sehari itu, yang dijangka melibatkan 1,000 pemimpin atasan dan akar umbi PAS, dianjurkan susulan desakan untuk mengadakan muktamar khas bagi membincangkan "beberapa pemimpin bermasalah".

Ditemui di pejabatnya di kampus Gombak pagi ini, Dr Aziz berkata kelemahan Abdul Hadi, yang juga ahli parlimen Marang, sudah diketahui oleh barisan pemimpin PAS tetapi tiada siapa yang berani menegurnya secara terbuka.

"Semua orang tahu (kelemahan ini), tetapi siapa berani cakap dalam parti yang tema wala'-nya (kesetiaannya) cukup kuat," katanya.

Mengulas isu kerajaan perpaduan, Dr Abdul Aziz menyifatkan ia sebagai "ciuman maut" dan perangkap musuh politiknya Umno untuk terus mengkucar-kacirkan parti Islam itu.

"Kalau yang berunding itu (penasihat PKR, Datuk Seri) Anwar Ibrahim, (mursyidul am, Datuk) Nik Aziz (Nik Mat) atau (tokoh popular DAP) Lim Kit Siang, tidak ada masalah.

"Tetapi kalau dia dengan Nasharuddin ataupun yang lain-lain, (mereka ini) akan dilipat, diduduk oleh Umno (kerana kelemahannya)," katanya.


SEDUTAN WAWANCARA BENARKAH HADI CEMBURUKAN ANWAR?



'Presiden boneka', Hadi cemburukan Anwar?

Berikut petikan wawancara eksklusif Malaysiakini dengan pensyarah undang-undang Dr Abdul Aziz Bari di pejabatnya di kampus Universiti Islam Antarbangsa pagi ini:

Tentang presiden PAS menggantikan Abdul Hadi

Apa yang saya lihat, ini telahan (saya) saja, (menteri besar Kedah) Datuk Seri Azizan Razak boleh diketengahkan. Dan saya fikir, perkara yang kita tidak harus lupa, PAS ini tidak macam parti lain. Ia ada kekuatannya sendiri. Yang perlu, pemimpin yang faham dan jelas, tidak semestinya karismatik seperti dalam kategori (Datuk Seri) Anwar Ibrahim.

Yang masalahnya, dia (Abdul Hadi) tidak jelas. Dia tidak dapat membaca dan bermain (politik) sepatutnya. Jadi dalam konteks Azizan ini, saya lihat pentadbirannya, caranya menjawab soalan wartawan jauh lebih baik daripada Abdul Hadi. Dia antara tokoh yang boleh diketengahkan walaupun tua sedikit daripada presiden yang ada sekarang.

Tentang Abdul Hadi tidak mempertahankan 'amanatnya'

Kita boleh katakan media tidak memberikan (dia) peluang. Tetapi kita boleh katakan, dia memang tidak mampu mempertahankannya. Kalau dibandingkan dengan (kepintaran) Nik Aziz pun berbeza walaupun media memutarbelitkan (kenyataannya).

Oleh kerana dia ada perwatakan macam magnet dan cakapnya pandai macam orang politik, (hasilnya) lain, dapat juga mesejnya disampaikan. Tetapi Abdul Hadi tidak dapat, itu satu lagi (ciri) dapat dilihat dalam menilai kepimpinan dia.

Tentang peranan Abdul Hadi sebelum reformasi 1998

Sebelum (era) reformasi, dia tidak ada peranan yang penting, naib presiden saja atau timbalan presiden. Jadi, saya rasa isunya sekarang ini, dia seorang timbalan yang bagus. Itu yang selalu disebutkan (pengamat politik) dan (kenyataan) itu saya setuju.

Kalau dia (sebagai) nombor dua, dia seorang yang setia dan dapat melaksanakan apa yang disuruh.

Tetapi kalau letak dia (sebagai) kapten, setakat ini memang jelas tidak dapat. Itu menjelaskan kenapa dia tidak dapat membalas serangan terhadap 'Amanat Hadi' itu. Jadi apabila serangan itu sudah bersifat politik, dia sudah tidak dapat main lagi.

Tentang pengaruh pemimpin PAS Terengganu lain terhadapnya

Itulah watak (kepemimpinan PAS) Terengganu berbanding Kelantan – dengan terbukanya, adventure-nya, dengan keberaniannya, dengan kelainannya, dengan keunikannya. Seolah-olah orang Kelantan ini “Cina Melayu”. Maknanya, watak Cina dalam masyarakat Melayu.

Bukan saya hendak kata, (tetapi pendapat) semua orang, kalau kita bandingkan dengan Nik Aziz, (Abdul Hadi) berbeza. Beliau dapat mempertahankan Kelantan dari tahun 1990. Dan musuhnya bukan kecil-kecil - musuhnya (bekas perdana menteri) Dr Mahathir (Mohamad), musuhnya (waktu itu, timbalan perdana menteri) Anwar pada satu ketika.

Dan pada satu ketika (selepas 2004), dia hanya (bertahan) dengan satu majoriti sahaja (kerusi dalam DUN), tetapi dapat bertahan berbanding dengan Terengganu dan Perak barangkali.

(Keadaan) ini melambangkan kejituan kepimpinan itu. Mengapa? Berbalik kepada (manifesto) parti, setahun lebih kita belum nampak lagi apa itu negara kebajikan yang PAS bawa ini. Apakah (slogan) 'PAS untuk Semua' itu. (Manifesto) itu memerlukan seorang pemimpin yang berwatak ideolog untuk menonjolkan apakah wawasan sebenarnya. (Manifesto) ini tidak dijelaskan.

Jadi isunya, bukan (kemerosotan di) Bagan Pinang (sahaja), isu yang lebih besar lagi, soal kelesuan parti dalam menterjemahkan gimik, slogan dalam wawasan yang ia sendiri bawa.

Tentang kemenangan tipis PAS di Manek Urai

Satu, Manek Urai memang sebelum pilihan raya (itu), ada sedikit kekecohan, (seperti) poster dia tidak dinaikkan atas alasan, di Kelantan ada strategi lokalisai. Tetapi akhirnya naik juga (poster Abdul Hadi). Dan mungkin kita tidak dapat menafikan, (PAS) hampir kalah itu isu jambatan (yang dijanjikan BN).

Rakyat di situ melihat, kalau (PAS) kalah pun tidak mengapa, (sebab) kerajaan (PAS) tidak ada kesan, yang penting dapat jambatan.

Di Bagan Pinang pun banyak lagi. Saya lihat, kalau tidak kena gaya, boleh jadi (pilihan raya kecil) Ijok juga (yang dirampas semula Pakatan), menyebabkan mereka (BN) berfikir, mereka telah menang.

Kalau daripada plihanraya umum sampai sekarang, ahli 100 (orang), tentu ada masalahnya. Seratus ahli (PAS) saja hendak lawan 3,000 (orang). Soalnya sekarang, kenapa (ahli) tidak bertambah selepas pilihan raya umum? Apakah itu tidak ada kaitan dengan imej lembab, imej monyok itu tadi?

Mungkin ada orang kata, di Bagan Pinang ini banyak undi pos. Memang betul, tetapi masalah dengan imej yang seperti ini boleh menarik orang masuk PAS? Dalam keadaan Kelab Penyokong PAS (KPP) masih tidak tahu di mana (nasibnya), itu pun tidak dijelaskan lagi di mana peranan mereka.

(Isu-isu) itu yang cuba hendak ditepis orang (pengikut) Hadi ini. Abdul Hadi tidak memimpin sebenarnya. Dia mengikut kata orang (di sekelilingnya).

Tentang Abdul Hadi sebagai presiden 'boneka'

Susah hendak menafikan begitu. Susah hendak menafikan bahawa beliau adalah boneka.

Dalam sidang akhbar selepas mesyuarat maraton itu (malam 28 Oktober lalu), seolah-olah dia tidak jelas apa yang dicakapkannya. Dan ada (pihak dalam PAS) yang mengatakan, dia bercakap lain daripada (keputusan) mesyuarat. (Keputusan) yang didakwa 75 peratus yang hadir mahukan tindakan diambil kepada Dr Hasan Ali (bukan seluruh PAS negeri).

Ini satu lagi (alasan) yang menunjukkan kepimpinannya tidak jitu.

Dan apa yang nampak di Selangor itu cukup penting dari segi imej. Memang BN hendak menggambarkan Pakatan tidak boleh bekerja, sentiasa hendak bergaduh. Itu tema yang mereka hendak bawa.

Dan Abdul Hadi membenarkan (tema) ini terus berlaku dengan tidak mengambil tindakan kepada Dr Hasan. Dan selepas itu, disebut dalam mesyuarat itu, dia masih mempertahankan (Dr Hasan). Dia masih menyebut (siasat PAS) Selangor, Selangor, Selangor, tanpa menyebut Dr Hasan. Kenapa?

Tentang penguasaan kumpulan Abdul Hadi dalam pemilihan PAS

Kalau dilihat daripada (segi) undi, mereka (penentang Nasharudin Mat Isa) menang sebenarnya. Tetapi saya tidak pasti kalau pemilihan sekali lagi, Nasharudin boleh menang. Sebelum ini pun ditimbulkan bahawa YB (Nasharuddin) tewas kalau digabungkan dua pilihan lain (Mohamad Sabu dan Datuk Husam Musa) yang sebenarnya sama (kuat) itu.

Tentang kerajaan perpaduan sebagai 'umpan' Umno

Kerajaan perpaduan ini umpan Umno kepada PAS yang dimakan Abdul Hadi, Nasharudin dan kawan-kawannya, yang tidak dimakan orang yang cerdik seperti Nik Aziz. Ahli tidak sokong. Tetapi mereka berterusan (ke arahnya).

Walaupun tidak lagi bercakap soal perpaduan, tetapi masih lagi (bercakap) soal Melayu Islam – isu yang sebenarnya tidak relevan sekarang. Umno tidak melakukan apa-apa pun untuk Islam dan Melayu, sebenarnya.

Kemudian, barangkali ini bukan soal umpan daripada Umno, tetapi soal ketidakmampuan Abdul Hadi dan kumpulanya bermain dalam politik baru yang mengetengahkan idea, (seperti) yang cuba dibawa "kumpulan Erdogan".

Mereka tidak dapat main. Jadi mereka lanyak kumpulan ini sebagai macai Anwar Ibrahim, sebagai golongan liberal, sekular dan sebagainya yang menguntungkan Umno.

Tentang Abdul Hadi 'cemburu' pada Anwar

Persepsi kecemburuan itu memang tidak dapat ditolak. Memang sukar hendak dinafikan, terutamanya kalau kita lihat semula muktamar di Ipoh tahun lalu di mana Abdul Hadi menyebut betapa PAS mempunyai banyak kerusi DUN, betapa PAS (lebih) besar dan sebagainya (berbanding PKR atau DAP).

Sepatunya sentimen itu (dimainkan), tetapi dalam menentukan perdana menteri dan sebagainya, itu bukan soal utama. Soalnya siapa yang boleh menjadi gam (yang mengikat Pakatan), ikon. Dan Abdul Hadi tidak begitu. Dalam parti pun tidak.

Dan apabila ketua Dewan Ulama mencadangkan nama Abdul Hadi, saya ingat semua orang ketawa tentang kelogikan cadangan itu.

Tetapi kita juga tidak harus lupa bahawasanya sekarang, orang Cina berkata, kalau mereka boleh mengundi, mereka akan undi Nik Aziz sebagai perdana menteri.

Bersambung…

Monday, October 12, 2009

JADIKAN BAGAN PINANG SEBAGAI MODEL PELAKSANAAN KPI GAGASAN 1MALAYSIA

Oleh Abu Nawas

1. Sejak Dato' Sri Najib mengambil alih pemerintahan negara pada 3 April 2009, iaitu dalam masa 6 bulan beliau menjawat jawatan presiden UMNO dan Perdana Menteri, dan dalam 7 pilihanraya kecil inilah julung-julung kalinya UMNO berjaya memenangi Pilihanraya kecil ke atas pakatan Rakyat. Kemenangan besar BN/UMNO dengan majoriti 5435 undi ke atas PAS di bagan Pinang cukup signifikan dengan kejayaan Gagasan 1Malaysia yang diutarakan oleh perdana menteri.

2. Kita kena ingat bahawa para pengundi di Bagan Pinang bukan semuanya rakyat tempatan, kebanyakan mereka adalah rakyat yang datang berhijrah dari pelbagai negeri di seluruh negara. Kebanyakan taman-taman perumahan baru di P.Dickson di diami oleh penduduk yang berhijrah dari negeri-negeri serata negara. Para pengundi POS pula yang seramai lebih 4500 orang itu juga adalah daripada rakyat negeri di luar negeri Sembilan yang bertugas di P.Dickson. Ini boleh kita jadikan ukuran bahawa rakyat di seluruh negara dari pelbagai negeri yang menetap di P.Dickson sudah mula meyakini UMNO dan gagasan 1malaysia.

3. Harus diingat bahawa mereka ini kebanyakannya masih mempunyai keluarga terdekat di kampung-kampung asal mereka sebelum mereka berhijrah ke P.Dickson. Jika BN gagal untuk melaksanakan janji-janji dalam kempen-kempen pilihanraya kecil ini, maka kesannya ialah para pengundi yang telah mengundi BN seramai 8013 ini akan menceritakan tentang janji manis BN yang gagal ditunaikan kepada keluarga mereka yang tinggal merata di seluruh negara.

4. Justeru, saya ingin memperingatkan Perdana menteri, khasnya kerajaan negeri Sembilan supaya buktikan kepada pengundi di bagan Pinang bahawa Kerajaan BN memang bersungguh-sungguh dan komited di dalam menjayakan 'Satu Malaysia, Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan'. Inilah masanya bagi BN untuk membalas jasa pengundi yang memberi mereka 'powerroot' untuk BN lebih bernafas selepas ini. Tunaikan amanah dengan baik. Buktikan bahawa masyarakat India di bagan Pinang tidak diabaikan. Begitu juga dengan masyarakat cina di sana, BN kena buktikan bahawa kerajaan BN membela untuk semua kaum dan agama. barulah mereka akan berpaut pada BN dan ianya akan menjadi kekuatan kepada BN di seluruh negara.

5. Nanti dalam masa 6 bulan daripada sekarang, kita boleh hebahkan kepada masyarakat umum di seluruh negara, bahawa kalau nak saksikan bagaimana BN melaksanakan konsep dan gagasan 1malaysia dengan jayanya maka datanglah ke P.Dickson, khasnya di DUN bagan Pinang. Ini bermakna bahawa BN mesti mmebuktikan pencapaiannya kepada Rakyat bagan Pinang dalam masa 6 bulan ini. kalau tidak, maka mereka akan menjadi duri dalam daging kepada rakyat di negeri-negeri lain selepas ini.

6. Buktikan juga kepada pengundi-pengundi POS, Khasnya warga tentera di sana bahawa pengumuman Perdana menteri untuk menjadi P.Dickson sebagai bandar Tentera darat akan dapat direalisasikan dalam masa 6-12 bulan akan datang. kalau ianya hanya tinggal ucapan dan pengumuman, maka ianya akanmemberi kesan negatif kepada keyakinan pengundi-pengundi POS tentera di negeri-negeri lain. Apa yang dapat dinikmati oleh warga tentera Darat dengan pengiytiharan PD sebagai bandar tentera darat..? Ini mesti dinyatakan serta dilaksanakan dengan jelas dan terancang.

7. Akhirnya, jadikanlah Bagan pinang sebagai model kepada pelaksanaan gagasan 1Malaysia seperti yang dinyatakan oleh BN di bawah kepimpinan Dato' Sri Najib sebelum ini. Ingat, semangat bagan Pinang akan merebak ke seluruh pelusuk tanah air. Ianya macam wabak H1N1 dan JE. Tahniah BN kerana menang besar di Bagan pinang. Benarlah seperti yang saya ungkapkan sebelum ini bahawa calonj BN, T.Sri Isa Samad adalah calon 'SUCI DALAM DEBU'.

Friday, May 29, 2009

‘MINAH RONGGENG’ VS PKR

(Agendadaily)

Kalau Aminah Abdullah melihat dirinya dalam cermin mungkin beliau akan mengakui dirinya macam kata orang Utara tak ada tanjak untuk pegang jawatan Timbalan ketua Menteri Pulau Pinang.

Naib Presiden PKR Azmin Ali tidak salah bila bagi gelaran ‘ Minah Ronggeng’ pada Aminah dalam mempersendakan dakwaan calon bebas pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri Penanti itu bahawa parti itu cuba menyogoknya dengan jawatan itu jika menang pilihanraya kecil itu.

Gelaran yang mencetuskan deraian ketawa hadirin di ceramah kempen pilihanrayanya di kawasan kubu bosnya Datuk Seri Anwar Ibrahim di Permatang Pauh itu adalah cara terbaik untuk cincang lumat kredibiliti mana-mana musuh yang mau bikin kacau.

Malah perwatakan Aminah yang macam mana-mana surirumah biasa tentu tidak terlawan bala tentera PKR yang berkampong di Penanti untuk mempertahankan kerusi DUN yang sengaja dikosongkan oleh bekas ADUN Fairus Khairuddin untuk beri laluan kepada orang kepercayaan Anwar yakni Dr Mansor Othman.

Ikut ceritanya bukan saja Azmin malah semua orang kanan PKR merasa tidak sedap badan kena melayan perang si Lone Ranger ‘Minah Ronggeng’ ini yang merupakan bekas Ketua Wanita Keadilan Pulau Pinang.

Aminah mungkin tidak dapat merasa jadi wakil rakyat di Penanti.Namun apa yang dikatakan sangat merisaukan PKR ialah karenahnya telah membuka banyak pekong yang terselindung dikacamata umum tentang hal dalaman parti itu.

PKR selama ini sentiasa mahu tampil sebagai parti yang steady dan cantik serba serbi.

Siapa saja yang berpeluang mendengar rakaman perbualannya tiga jam yang didedahkan oleh Aminah pasti tertarik tentang chit chat yang casual antaranya dengan Ahli MPT PKR Cheah Kah Peng dan pegawai khas Exco Pulau Pinang ,Lim Eng Nam pasal politiking dalaman parti itu selain isu dakwaan cubaan sogok untuk tarik diri sebagai calon pilihanraya kecil Penanti.

Ia bukan saja mengambarkan bagaimana kalangan pimpinan PKR saling tidak ngam antara satu sama lain malah Dr Mansor dicop sebagai pemimpin yang ‘ slow ’.

Ini nyata bertentangan dengan apa yang diwar-warkan oleh Anwar bahawa bekas professor di Universiti Sain Malaysia yang mempunyai ijazah berjela-jela itu dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan Ketua Menteri DAP Lim Guan Eng untuk mewakili orang Melayu dalam kerajaan Pulau Pinang sebagai Timbalan Ketua Menteri.

Disebalik usaha Anwar untuk mengambarkan bekas Setiausaha Politiknya itu adalah calon terbaik,sebenarnya Dr Mansor sendiri tidak mempunyai imej politik yang menyerlah.

Semua orang tahu beliau bukan sekali tetapi tiga kali pernah kalah pilihanraya.

Beliau tewas dalam pilihanraya tahun 1999 kawasan Parlimen Balik Pulau,2004 kerusi Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya dan 2008 kerusi Dewan Undangan Negeri Pulau Betong.

Lebih jauh lagi selain membuka pekong PKR,perang ‘ Minah Ronggeng’ ini membuka kembali ingatan orangramai kepada nasib ramai bekas pejuang asal PKR yakni semasa Parti Keadilan Rakyat dulu yang meninggalkan parti itu kerana berbagai sebab yang masih terpendam.

Antara nama nama besar ialah Dr Chandra Muzaffar,Ezam Mohd Noor,Abdul Rahman Osman,Annuar Shaari,Lokman Nor Adam,Zahid Md Arip,Zainur Zakaria,Ruslan Kassim dan Hamdan Taha.

Banyak lagi cerita yang tidak sedap mungkin dapat didengar jika setiap mereka tampil bersuara.

Seperti mereka, Aminah juga adalah salah seorang pejuang asal parti itu.Beliau sendiri melihat senario parti itu tidak macam dulu... apa lagi bila kuasa sudah terserlah di depan mata.

Orang-orang baru dalam parti itu yang tak tahu cerita mungkin tumpang ketawa bila Azmin gelarnya ‘ Minah Ronggeng’.

Ketawa itu sekurang-kurangnya dapat jadi pengubat geram melihat Aminah yang nak terus meronggeng hingga 31 Mei ini. -28/5/2009

Thursday, January 1, 2009

UNDI SIAPA BOLEH DAPAT PAHALA?

( hambali1.blogspot.com)

Semalam ketika berbual-bual sambil menikmati bihun goreng dan kopi-O pada ketika hujan renyai-renyai bersama beberapa rakan dari Kuala Lumpur di Kuala Terengganu - termasuk bekas ‘orang kuat’ Utusan Malaysia dan Kosmo, Haji Hamzah Sidek - antara perkara yang diperkatakan ialah apakah Amanat Haji Hadi masih terpakai.

Amanat Haji Hadi yang menyebabkan perpecahan besar umat Islam – kafir-mengkafir – di beberapa tempat di Kelantan dan Terengganu masih sebati dengan pemikiran dan tindakan orang Islam – sebenarnya semakin dilupakan oleh generasi baru.

Amanat yang merujuk kepada suatu sedutan ceramah umum yang disampaikan oleh Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang di Kampung Benggol, Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981 itu dicetak dalam bentuk poster dan ditampal di dinding markas PAS sekitar tahun itu.

Daripada bukti kertas putih mengenai Memali bertarikh 26 Februari 1986, Amanat Hadi telah dicetak dalam empat versi. Pertama dalam tulisan jawi, dicetak oleh bahagian Penerangan PAS Kelantan untuk sebaran pilihan raya kecil Selising, Kelantan pada tahun 1983.

Versi latar belakang hitam dengan tulisan rumi, dicetak oleh PAS Pusat dan dua versi lagi (rumi dan jawi) dicetak oleh Sekretariat Pemuda PAS Pusat. Versi latar belakang hitam dapat dilihat dalam rakaman video polis mengenai peristiwa Memali pada 19 November 1985.

Sedutan ucapan Hadi yang dijadikan Amanat adalah seperti berikut:

Saudara-Saudara Sekelian Percayalah,

Kita menentang UMNO, bukan kerana nama dia UMNO. Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah kerajaan. Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan Perlembagaan Penjajah, mengekalkan Undang-Undang Kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka.

Perjuangan kita adalah Jihad, ucapan kita adalah jihad, Derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (Menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah Syahid. Mati kita adalah Islam. Kita tidak perlu masuk Buddha, Kita tidak perlu masuk Hindu, Kita tidak perlu masuk Kristian, Tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan 'Politik Suku, Agama Suku'.


Namun, apakah ia akan kembali muncul pada pilihan raya kecil Kuala Terengganu ini?
Sejauh ini amanat berkenaan tidaklah menjadi perkara penting dalam ceramah PAS sebaliknya isu-isu semasa dan tempatan menjadi tumpuan, khususnya wang royalti minyak.
Dalam menilai apakah Amanat Haji Hadi akan timbul semula, tiba-tiba timbul perbincangan mengenai 'fatwa' sesiapa mengundi PAS mendapat pahala daripada Allah”.

Persoalannya, jika orang Melayu menolak Barisan Nasional (BN) berdasarkan 'fatwa' itu, bagaimana pula kedudukan orang Melayu di negeri lain yang menyokong DAP dan parti bukan Islam lain?

Perkara ini diperkatakan calon BN yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri, Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang meminta Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menjelaskan kedudukan orang Melayu yang menyokong DAP sedangkan ia secara terang-terangan menentang Islam.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu berkata, jika Menteri Besar Kelantan itu boleh mengeluarkan 'fatwa' sesiapa mengundi Pas mendapat pahala daripada Allah, maka beliau perlu menjelaskan kedudukan orang Melayu yang menyokong parti bukan Islam.
Wan Farid meminta penjelasan Nik Aziz bagi mengelakkan kekeliruan kerana selagi penjelasan itu tidak dibuat, maka 'fatwa' beliau mengenai dosa dan pahala terbukti semata-mata bertujuan untuk memancing undi.

''Saya fikir kenyataan Menteri Besar Kelantan itu tidak mungkin boleh mempengaruhi pengundi Melayu di sini kerana mereka semua tentunya berniat baik, mengundi BN kerana inginkan kebaikan dan kesejahteraan.

''Apakah mengundi BN mendapat dosa? Beliau harus buat penjelasan berhubung Melayu yang menyokong DAP," katanya selepas menziarahi penghuni Rumah Pangsa Seri Kolam di Kuala Terengganu semalam.

''Yang anehnya fatwa menghukum hanya dikeluarkan kepada Melayu di Kuala Terengganu tetapi di negeri lain tidak," katanya.

Dalam ceramahnya di mana-mana juga, Nik Abdul Aziz konsisten dalam mendakwa mana-mana pengundi yang mengundi PAS akan mendapat pahala daripada Allah.

Wan Ahmad Farid mempersoalkan adakah berdosa jika masyarakat Melayu mengundi BN yang sentiasa melaksanakan pelbagai program untuk kebaikan dan kesejahteraan umat.

''Apakah mereka yang menyokong kerajaan BN yang ternyata banyak melaksanakan pembangunan, sekolah, masjid dan kemudahan lain itu berdosa hukumnya," ujarnya.
Menurutnya, beliau tidak hairan dengan 'fatwa' berkenaan kerana pemimpin PAS sering mengeluarkan fatwa menjelang pilihan raya.