Friday, January 6, 2017

Individu, Syarikat Kontroversi Dapat Kepercayaan Ahmad Razif?

Menteri Besar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Monspace Multinasional Corp, Datuk Seri Jessy Lai (dua dari kanan) pada majlis di Stadium Tertutup Gong Badak, malam 2 Januari lalu.
Apa sudah jadi dengan kerajaan dan rakyat Terengganu?

Apakah kes penipuan yang dihadapi hampir 4,000 guru akibat ‘skim umrah tipu’ yang diperkatakan mutakhir ini,  akan menimpa pula kepada kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dan rakyat negeri ini?

Sebuah syarikat dikatakan memainkan peranan untuk menarik kedatangan pelancong China dan negara Asean sempena Visit Beautiful Terengganu 2017 (VBT 2017).

Kerajaan negeri dengan bangganya memberi kepercayaan kepada individu dan syarikat berkenaan untuk membawa pelancong asing ke Terengganu, sedangkan sayarikat itu penuh kontroversi.

Malah pada pelancaran VBT 2017, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Monspace Multinasional Corp, Datuk Seri Jessy Lai turut memberi keyakinan kepada  Ahmad Razif bahawa pihaknya akan mengatur kedatangan pelancong  dari China, Asean, Asia Barat dan Afrika Utara.

Jessy Lai adalah pengasas Mon Space Group yang merupakan bekas pembantu Zhang Jian yang mendakwa dirinya lelaki terkaya di dunia.

Jessy Lai adalah pengasas syarikat jualan langsung, YSLM, yang dikatakan menjalankan perniagaan sekitar 2014 di Malaysia dan Thailand dan disahkan tidak berdaftar dengan SSM.

Ia juga  menjalankan perniagaan tanpa lesen Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Jessy Lai kembali menjadi perhatian media tahun ini susulan syarikat penerbangan baru, Suasa Airlines yang didakwa beroperasi secara komersil tanpa permit disiasat oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom).

Tidak diketahui bagaimana syarikat ini mendapat kepercayaan yang sebegitu tinggi oleh kerajaan negeri sehinggakan ia turut diraikan pada majlis makan malam Meraikan Pelancong ASEAN di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus, malam 2 Januari lalu.

Lebih mengelirukan, pada Facebook syarikat itu, ia menyebut 'The MonSpace Visit Terengganu Year 2017', apakah ia penaja bersama?


Berapakah  peruntukan disumbangkannya untuk menjayakan program negeri ini jika melabelkan tagline sedemikian?

Bukan mengkritik atau mahu merendahkan kerjasama ini namun, apakah kerajaan negeri khususnya Ahmad Razif yang kini memegang portfolio pelancongan sudah menapis syarikat berkenaan untuk dijalinkan kerjasama?

Dengan memberikan tanggungjawab itu, syarikat negeri sanggup menanggung risikonya?

Tidak pedulilah sama ada kesemua yang hadir pada majlis makan malam itu pelancong luar negara atau yang dibawa dari Kuala Lumpur itu sebahagian kecil sahaja pelancong asing. Matlamatnya walaupun yang lain dibayar tujuannya adalah untuk menunjukkan ramainya pelancong Luar negara  ke Terengganu.

Kebimbangan yang nyata ialah syarikat ini  - Kumpulan Monspace Multinasional Corp, dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk  Seri Jessy Lai, sebelum ini menimbulkan banyak kontroversi.

1.       Moonspace Airlines


Pada 24 Julai 2016 – Kementerian Pengangkutan mengatakan pihaknya tidak tahu wujudnya sebuah syarikat penerbangan yang dikenali dengan MonSpace Sky Airline, di sebalik pelancarannya yang gilang gemilang di Subang dua hari sebelum itu.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai menegaskan kerajaan tidakpun meluluskan sebarang lesen untuk syarikat penerbangan baharu.

Selain itu syarikat berkenaan tidak mempunyai lesen untuk pesawatnya membuat penerbangan.

Monspace Sky Airlines tidak sepatutnya dibenarkan terbang. "Ini adalah kesalahan yang sangat serius. Bagaimana anda boleh terbang tanpa lesen?," kata Tiong Lai

Monspace Sky Airlines, yang didakwa beroperasi di bawah Suasa Airlines Sdn Bhd dikatakan melancarkan penerbangan sulungnya dari Lapangan Terbang Subang ke Langkawi pada 22 Julai 2016 .
  
Bagaimanapun pada 10 August 2016, kerajaan mengatakan Suasa Airlines tidak bersalah menggunakan pesawatnya bagi tujuan mengiklan MonSpace Sky Airline bagi pihak Mon Space Sdn Bhd.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata iklan itu sah dan penerbangan Kuala Lumpur ke  Langkawi PADA 22 Julai itu diluluskan oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

Sebuah pesawat dipunyai oleh Suasa Airline membawa logo dan ikan Mon Space terbang sebagai pesawat bukan perniagaan dari Kuala Lumpur ke Langkawi itu menimbulkan berbagai spekulasi kononnya wujud satu lagi syarikat penerbangan baru tanah air.

Walaupun  siasatan berhenti setakat itu tetapi pertanyaan tetap wujud mengenai "Mon Space Sky Airlines" kerana tidak ada syarikat sedemikian didaftarkan dan bagaimana Suasa Air boleh mengiklankannya bagi pihak  Mon Space Sdn Bhd.

2.      Syarikat MLM Mon Space


Pada Jumaat  8 Januari 2016,  DAP membuat satu laporan kepada Bank Negara mengenai sebuah syarikat skim cepat kaya terhadap Mon Space (M) Sdn Bhd.

Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng yang membuat laporan itu mendakwa syarikat berkenaan menggunakan strategi MLM bagi tujuan berkenaan.

Dilaporkan oleh The Star, pada 2014 Jessy Lai, iaitu pengedar kanan dan pegawai media Yun Shu Mao – lebih dikenali sebagai YSLM atau CDTUP di Malaysia – memulakan  sebuah syarikat pemasarab multi-level  yang diasaskan di China oleh Zhang Jian.

Zhang mendapat perhatian selepas adanya papan iklan besar yang dipasang di Pulau Pinang menagung-agungkan dirinya sendiri kononnya ‘orang paling kaya di masa hadapan di dunia’ dua tahun lalu.

Jessy Lai dilaporkan berkata YSLM sudah ‘menukar kehidupannya’ dan berterima kasih kepada “big brother Zhang” yang membantunya mengecapi kekayaan dan nasib bertuah.

Zhang Jian
Bagaimanapun Kementerian Perdagangan, Koperasi dan Pengguna mengatakan syarikat di bawah Zhang tidak pernah berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat dan siasatan mendapati Zhang datang ke Malaysia untuk membina syarikat skim pyramid cepat kaya melalui YSLM.

Berikutan itu, kementerian melakukan tindakan penguatkuasaan di mana pada Julai  2014 dengan meramas semua aset dan menutup cawangan YSLM di negara ini.

Di sebalik itu, Jessy Lai tetap mengatakan YSLM adalah perniagaan halal dan menyalahkan media kerana wujudkan serangan bersepadu ke atas syarikat miliknya.

Beliau memberitahu China Press jika mereka menipu, tidak akan memulangkan wang kepada ahli yang mahu keluar daripada skim pelaburan itu.

Langkah tegas kementerian itu bagaimanapun gagal mengesan di mana Zhang dan melalui satu panggilan oleh Jessy Lai pada 1 Ogos 2014, mereka bercakap dengan Zhang yang mengatakan beliau di Bangkok dan tidak akan kembali ke Malaysia.

YSLM diisytiharkan haram di China tetapi terus beroperasi di Thailand dan Malaysia.

Zhang kemudian ditahan oleh pihak berkuasa Thailand di Phuket pada Oktober 2014 kerana berjaya memperdaya pelabur Malaysia dan China berjumlah hampir RM1 bilion.

Malah, melalui mesej Whatsapp, ramai juga rakyat Terengganu yang terlibat dan menyumbang sebanyak RM600 seorang untuk skim pelaburan ini.

Sama ada duit itu sudah ‘terbang’ atau dikembalikan tidak diketahui, cumanya yang nyata Jessy Lai masih bebas.

Dia kini begitu rapat dengan Menteri Besar Terengganu hasil daripada VBT 2017.

Ternyata Jessy Lai  yang  bergelut dengan berbagai kontroversi sebelum ini berjaya memboloskan dirinya dengan bijak dan kini menempatkan dirinya di kalangan orang penting untuk projek menarik pelancong ke Terengganu.

Laporan The Star pada Khamis, 28 Julai 2016, bertajuk Owner of airline no stranger to controversy menceritakan segala-galanya tetapi hairan bagaimana Menteri Besar sebagai Exco Pelancongan negeri boleh terpengaruh dan mempercayai individu ini.

3. Syarikat sekadar rangka kosong


Jika berasaskan laman rasmi Mon Space Group, perniagaan yang dijalankan kumpulan itu termasuk sektor kewangan, makanan dan minuman, hartanah, telekomunikasi, hiburan, e-dagang dan sebagainya.

Maklumat SSM menunjukkan kumpulan itu mendaftarkan pelbagai perniagaannya antara 2014 hingga 2015 dengan kesemua syarikat itu tidak mempunyai sebarang dana simpanan atau wang tunai.

Bukan itu sahaja, kelima-lima syarikat itu juga mempunyai nama lain sebelum ini yang bermakna ia adalah syarikat lama yang diubah nama.

Satu laporan China Press yang dipetik FMT pada 27 Julai 2016 mendedahkan lima syarikat yang didaftarkan di bawah Mon Space adalah syarikat kosong yang tidak mempunyai sebarang aset mahupun modal.

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengesahkan lima syarikat itu adalah Mon Space (M) Sdn Bhd, Mon Space City Sdn Bhd, Mon Space Media Entertainment Sdn Bhd, Mon Space F&B Sdn Bhd dan Mon Space Synergy Power Sdn Bhd.

Perniagaan yang diceburi lima syarikat itu termasuk hartanah, bon dan sekuriti, jual beli produk, sektor pembinaan, import serta eksport pelbagai barangan.

Pegawai SSM memberitahu akhbar berbahasa Cina itu, kebiasaannya ia akan menyatakan jenis perniagaan dikendalikan sesebuah syarikat itu, seperti import eksport, jualan langsung atau jual beli dan sebagainya.

Bagaimanapun, jelasnya, sesetengah pengendali akan menubuhkan syarikat terlebih dahulu dan menjadikan ia “dormant” sebelum arah tuju perniagaan ditentukan dan diubah dalam maklumat pendaftaran.
  

Pendedahan ini dibuat kerana ada beberapa mesej Whatsapp mengatakan yang menghadiri majlis makan malam di Stadium Tertutup Gong Badak beberapa malam lalu,  bukan semuanya pelancong dari luar Malaysia.

Oleh kerana masalah mendapatkan kecukupan jumlah pelancong asing dijanjikan, dikatakan turut diselitkan orang tempatan.

Mereka turut dibayar dan datang ke Terengganu dengan bas percuma, menetap percuma dan makan percuma.

Persoalannya siapa bayar untuk mereka?

Apakah Menteri Besar sudah di ‘kong-kali-kong’ dan apakah kerajaan Terengganu mengeluarkan belanja untuk membayar kesemua itu?

Biarkah yang bertanggungjawab menjawab.

Yang diharapkan kerajaan negeri lebih berhati-hati dan mencemarkan imejnya dengan menjadikan individu dan syarikat penuh kontroversi menjadi penganjur, penasihat atau yang membantunya demi maruah dan integriti kepimpinan dan kerajaan negeri.

No comments: