Wednesday, August 31, 2016

Mari Ke Kelantan, Kami Ada Budu, Ada Tugu


"Lupakan tentang berapa banyak rumah kos rendah yang boleh dibina dengan wang sebanyak itu. Itu semua komentar mereka yang busuk hati dan dengki dengan kerajaan Islam Kelantan yang telah terbukti bersih, cekap dan amanah."

(Anak jati Kelantan yang suka menjadi pemerhati politik nonpartisan dari Kuala Lumpur)
  
Menjelang Hari Merdeka negara kita yang ke-59, saya tiba-tiba didatangi rasa untuk menulis pelbagai perkara.

Pada seorang penulis, ia tentunya rahmat yang menyamai istilah merdeka iaitu terbebas daripada belenggu writer's block.

Dari sisi politik mungkin saya akan berminat untuk mengikuti perkembangan di Cyberjaya yang melibatkan seorang bekas pemimpin utama parti saya dulu dan mengikut jejak saya memakai jersi baru.

Atau lebih ringan sedikit, saya mungkin boleh memakai 'topi' pengkritik sastera lalu mengulas tentang sepucuk surat - dari segi seni, sastera dan dakwah, mungkin - seorang ustaz.

Tapi menjelang merdeka ini saya lebih berminat untuk menulis tentang tugu. Ya, salah satu sebabnya adalah kerana merdeka dan tugu seperti tidak boleh dipisahkan.

Tanpa tugu bagaimana kita mahu mengenang sejarah? Dan tanpa sejarah bagaimana kita mahu menghayati erti sebenarnya merdeka?

Cuma kali ini saya bukan bercerita tentang Tugu Peringatan Negara di Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur itu.

Saya mahu membawa anda semua ke Kuala Krai yang baru beberapa hari lalu secara rasminya menerima sebuah tugu peringatan banjir.

Banyak yang kita boleh banggakan dengan kewujudan tugu diberikan nama Tugu Peringatan Banjir Kuala Krai (TPBKK) itu.

Seperti yang telah dijelaskan oleh Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan, ia adalah satu mercu tanda penting untuk mengenang sejarah bah kuning yang berlaku pada penghujung 2014 yang lalu.

Sudah hampir dua tahun bencana itu berlalu dan sebahagian kita tidak lagi berbicara tentangnya. Sudah terlupakan nasib mangsa banjir yang berduyun-duyun kita kunjungi, salami dan selfie sebaik saja banjir surut ketika itu.

Pasti ramai bersyukur

Mujurlah ada tugu itu. Kita kembali teringat, dan kembali mengenang sejarah. Manusia sepatutnya tidak boleh tidak mengenang sejarah (dan hanya manusia bermasalah yang menganggap sejarah tidak penting.)

Kita selalu dengar orang bijak pandai sebut, "orang yang malas belajar dari sejarah akan ditipu berkali-kali". Mustahil kerajaan Kelantan pimpinan PAS tidak belajar dari sejarah. Mustahil mereka boleh ditipu berkali-kali. Justeru tidak hairanlah apabila kita lihat mereka sangat menghargai sejarah.

Rakyat Kelantan - terutamanya di Kuala Krai - pasti akan bersyukur dan sangat berterima kasih kepada semua mereka yang terlibat dalam pembinaan tugu itu.
  
Daripada yang memberi idea, penyumbang dana, kontraktor yang membina sehinggalah kepada penandatangan plak perasmian, - Menteri Besar Kelantan - sendiri sangat berjasa kepada negeri.

Kerajaan Kelantan tentulah kerajaan yang berwawasan. Dari segi dalamannya tentulah TPBKK ini akan mengingatkan penduduknya kepada kekuasaan Allah yang Maha Kuasa.

Ia tentunya akan menambahkan lagi nilai ketakwaan penduduk Kelantan yang telah terkenal dengan penghayatan Islam yang kuat.

Para pengunjung Kuala Krai atau sesiapa yang terpandang TPBKK pasti akan lebih mengingati Allah.

Ini satu bentuk dakwah yang sangat subtle, tidak perlukan kata-kata yang banyak atau surat panjang lebar (waima seperti surat seorang ustaz kepada selebriti itu).

Dari segi luaran pula, TPBKK tentu akan membantu menambahkan lagi kerencaman aktiviti ekonomi di negeri yang kaya dengan tarikan pelancongan ini.

Pada masa sama 2016 adalah Tahun Melawat Kelantan. Datanglah ke Kelantan; ada budu, ada juga tugu.

Tugu tarikan pelancongan itu tentunya bukan menjadi pendorong kedatangan orang luar

Kelantan saja, malah saya yang berasal dari Jeli, Kelantan pun juga teruja.


Jeli adalah jajahan berjiran dengan jajahan Kuala Krai dan Gua Musang. Jika kita masuk ke Kelantan melalui Gua Musang, ada satu jalan menghubungkan bandar ini dengan Jeli. Kita boleh sampai ke kawasan parlimen di bawah jagaan Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, hanya dalam tempoh kira-kira satu jam.

Malangnya bah kuning yang membawa balak-balak hanyut telah meranapkan sebuah jambatan utama di Kampung Setelu yang menghubungkan dua jajahan itu.

Kini, yang ada hanya ghetok sementara yang sempit dan diragui jaminan keselamatannya.

Struktur Rukun Islam

Tidak ada masalah pun. Dengan adanya TPBKK di Kuala Krai, kenapa saya mahu berkeluh-kesah tentang sebuah jambatan sempit?

Untuk balik ke kampung, saya boleh menggunakan laluan selesa Gua Musang - Kuala Krai - Machang yang jaraknya dan masanya mungkin tiga kali ganda berbanding laluan biasa.\

Sambil itu saya bolehlah menikmati keindahan tugu berpuncakkan wau bulan menghadap kiblat itu sambil meningkatkan keimanan saya kepada Allah Yang Maha Kuasa.

Nampak tak indahnya falsafah pembinaan tugu untuk memperingati banjir itu?

Lagipun, dengan kos pembinaan yang semurah RM60,000 ia tentulah pelaburan yang sangat berbaloi. Kita telah pun mendapat manfaat dari segi sejarah, agama, ekonomi dan pelancongan.

Itu kita belum lagi dibincangkan tentang falsafah dan nilai estetika tugu tersebut. Pedulikan komen-komen mereka yang buta seni bahawa tugu itu kelihatan seperti batang balak (pedulilah sama ada ia ditebang secara halal, patuh syariah atau haram).

Seorang pengguna Facebook yang bijak berjaya memecahkan 'kod rahsia' TPBKK itu. Selain wau itu mengarah ke Kaabah, bentuk bucu lima pada struktur itu juga melambangkan Rukun Islam yang sempurna.

Lupakan tentang berapa banyak rumah kos rendah yang boleh dibina dengan wang sebanyak itu. Itu semua komentar mereka yang busuk hati dan dengki dengan kerajaan Islam Kelantan yang telah terbukti bersih, cekap dan amanah.

Malah, orang-orang seni yang baru-baru ini berarak kerana perobohan Puncak Purnama di Kuala Lumpur perlu berasa gembira.

Mereka sepatutnya perlu segera menganjurkan perarakan ke Kuala Krai pula kerana meraikan naiknya tugu yang sangat bermakna ini. Patah tumbuh, hilang berganti.

MERDEKA, MERDEKA, MERDEKA!!!


Tuesday, August 30, 2016

Apakah Husam Akan Mulai 'Sarung Jersi' AMANAH Malam Ini?


Teka teki hala tuju politik Datuk Husam Musa bakal berakhir malam ini apabila beliau dijangka akan membuat pengumuman penting dalam satu majlis anjuran Parti Amanah Negara (AMANAH) di Cyberjaya.

Husam yang mengunci mulut mengenai masa depan politiknya selepas dipecat daripada PAS, dijangka akan menyertai AMANAH dalam satu majlis yang akan diadakan malam ini (Selasa).

Timbalan Presiden AMANAH, Salahuddin Ayub, bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai perkara ini ketika diminta mengesahkan sama ada ADUN Salor itu akan menyertai parti itu.

"Akan ada pengumuman khas. Mari kita tunggu," katanya..

Menurut jemputan yang dihantar kepada media pada Isnin, Husam akan membuat 'penampilan istimewa' pada majlis makan malam ambang merdeka yang dianjurkan oleh AMANAH Putrajaya di Cyberjaya.

Beliau akan disertai oleh Presiden AMANAH, Mohamad Sabu.


Jika Husam menyertai AMANAH, ia bukanlah satu kejutan kerana beliau sebelum ini telah berkempen secara terbuka untuk parti itu semasa PRK Sungai Besar Jun lalu dan bukannya untuk PAS.

Husam telah dipecat daripada PAS pada bulan Mei, berikutan aduan salah laku.

Sebelum itu, beliau lantang mengkritik Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung isu pembalakan berleluasa dalam kerajaan pimpinan PAS di Kelantan dan berhubung kerajaan perpaduan dengan Umno.

Dalam satu kenyataan pada malam Isnin, Husam berkata beliau akan 'memakai jersi baharu' pada Selasa.

Husam berkata sejak hampir empat bulan beliau dipecat daripada PAS, tidak ada sebarang petunjuk bahawa beliau akan diterima lagi oleh parti.

"Tidak ada sebarang kajian semula terhadap pemecatan saya. Surat penjelasan saya kepada presiden parti nampaknya sia-sia," katanya.

Husam dijangka umum sertai parti baru di majlis makan malam AMANAH malam ini.



"Malam esok, bertempat di Cyberjaya, sebagai tetamu makan malam sebuah pertubuhan, saya berhasrat menamatkan masa penantian saya," kata beliau dalam satu kenyataan yang diedarkan semalam.

Selepas hampir empat bulan menurut beliau, nampaknya tidak ada sebarang isyarat untuk diterima semula (oleh Pas).

"Tiada semakan atas pemecatan saya. Surat penjelasan saya kepada Presiden Pas tidak berguna apa-apa," katanya.

Menurut kaedah Islam katanya, berdiam diri bukan pilihan.

"Al Qur'an menggelarkan orang yang duduk-duduk tanpa berbuat apa-apa sebagai al Qa'idun.
"Ia disinonimkan dengan perempuan yang lemah atau orang tua yang uzur," katanya.

Berikut kenyataan penuh beliau yang telah viral dengan meluas dalam media soasial:

Esok, Saya Menyarung Jersi Baru
Kini, menghampiri empat bulan saya terpecat dari Pas.

Dalam tempoh itu, nampaknya tidak ada sebarang isyarat saya diterima semula. Tiada semakan atas pemecatan saya. Surat penjelasan saya kepada Presiden Pas tidak berguna apa-apa.

Saya menikmati tempoh bertenang. Sambil menemui anggota masyarakat untuk bertanya pandangan mereka. Terburu-buru adalah dari syaitan, kata Nabi s.a.w.

Memerhatikan apa yang berlaku. Merenung dan mencari petanda-petanda pedoman.

Nyata, negara menuju keadaan yang lebih kritikal dari sebelumnya.

Negeri kelahiran saya juga, tidak menjadi lebih baik selepas ombak pengislahan bermula 1990.

Wadah yang saya harapkan dulu, se akan telah 'terjual'. Tertambat dengan kejumudan tanpa inovasi, takwilan nas di luar relevansi, pelabelan dan syok sendiri, membelakangkan budaya argumentasi tetapi mengutamakan emosi, laungan tidak sama dengan aksi, terikat dengan umpan politik lawan dan gagal menerapkan agenda perjuangan yang lebih luas meliputi.

Berdiam diri bukanlah pilihan. Al Qur'an menggelarkan orang yang duduk-duduk tanpa berbuat apa-apa sebagai al Qa'idun.

Ia disinonimkan dengan perempuan yang lemah atau orang tua yang uzur.

Saya?

Mencari gua persembunyian dari kelelahan perjuangan akan sia-sia. Berpaling kerana kecewa belum diberikan kejayaan perjuangan, adalah sama dengan apa yang dialami Nabi Yunus a.s ketika ditelan ikan dalam lautan. Tiga kegelapan menyelubungi baginda sebagai pengajaran untuk kita.

Sesekali, ketika fikiran terlintas untuk berehat dari mendayung perjuangan kerana digempur keberatan bebannya, kebimbangan atas pedoman Al Qur'an melalui kisah Yunus a.s itu menerpa.

Dunia bukan tempat istirehat.

Bersendirian? Juga bukan pilihan.

Empat bulan bukan singkat tetapi tidak pula tersangat panjang.

Di penghujung empat bulan penantian, saya memilih untuk menyertai bahtera baru untuk sama berganding mencuba merealisasikan: Islam Adalah Penyelesaian.

Yang lama dilaungkan tetapi belum menjadi realiti. Yang pernah sebahagian menjadi realiti, tetapi kini kabur semula.

Saya mencapai ketetapan, perjuangan Islam bukan hanya milik satu pihak, apa lagi satu parti.
Malam esok, bertempat di Cyberjaya, sebagai tetamu makan malam sebuah pertubuhan, saya berhasrat menamatkan masa penantian saya.

Dan mengumumkan parti baru pilihan saya.

Husam Musa
29 Ogos 2016
26 Dzulkaedah 1437

Monday, August 29, 2016

Ibrahim Kepada Tajuddin – “Tak Payahlah Nak Tunjuk Hero, Terror...”


Datuk Sri Tajuddin Abdul Rahman yang terkenal dengan jolokan 'Six million Dollar Man' pernah dipecat daripada UMNO pada 1995 oleh Majlis Tertinggi UMNO.

Dia dituduh terlibat dalam politik wang RM6 juta bagi merebut jawatan Ketua Bahagian Pasir Salak yang ketika itu disandang oleh Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib.

Tidak cukup dengan itu, beliau turut didakwa menerima projek pembinaan UiTM di Tapah yang bernilai RM1.3 bilion menerusi syarikat miliknya Detik Utuh Sdn Bhd walaupun syarikatnya itu tidak mempunyai kelayakan dan rekod dalam pembinaan.

Selain itu, Tajuddin juga dikatakan bersikap samseng  apabila menampar beberapa individu yang terdiri dikalangan ahli Umno, pemandunya serta wartawan.

Didalam parlimen pula, keintelektualan beliau sering diragui dan pada masa sama pendapatnya banyak dipertikaikan ekoran kenyataan yang keluar dari mulut beliau selalunya bersifat kurang cerdik, jumud, porno dan seumpama dengannya.

Itu antara kenyataan dan tuduhan yang dibuat  terhadap Ahli Parlimen Pasir Salak yang kini  Timbalan Menteri Pertanian dan Asas Tani melalui beberapa blog.

Ibrahim...Dr Mahathir beri nyawa politik kepada Tajuddin.
Semalam pula beliau dikritik Datuk Ibrahim Ali yang menurut Ibrahim, Tajuddin tidak payahlah ‘tunjuk terror’.

Menurut Ibrahim yang juga Presiden PERKASA, Tun Dr Mahathir Mohamadlah  orang yang memberi nyawa politik kepada Tajuddin selepas tiga kali saya berjumpa beliau untuk merayu bagi pihaknya.

“Tak payahlah nak tunjuk hero secara tidak bertempat. Saya juga bangkit tiga kali di mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO agar Tajuddin diterima kembali menjadi ahli umno selepas beliau dipecat,: kata Ibrahim.

Menurut Ibrahim, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu timbalan presiden dan pengerusi pengurusan UMNO naik radang dengannya  kerana membela Tajudin semasa mesyuarat MT.

“Tidak ada sesiapa yang menyokong saya waktu membela Tajudin,” tegasnya.

Akhirnya Dr Mahathirlah yang berkata: "Kita terimalah Tajuddin Rahman" dan semua orang diam.

“Selepas itu menjelang pilihan raya umum 1999 (kalau tak silap saya), sekali lagi saya berjumpa Dr Mahathir untuk melobi agar Tajuddin dipilih menjadi calon PRU. Akhirnya Tajuddin dapat bertanding di DUN Sungai Manik,” kata Ibrahim melalui kenyataannya.


Tajuddin dikritik Ibrahim selepas kenyataan Timbalan Menteri itu bahawa penafian Dr Mahathir dalam isu menandatangani surat penahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)adalah satu pembohongan.

Ahli  Majlis Tertinggi UMNO itu berkata Dr Mahathir yang cuba membersihkan namanya berhubung isu berkenaan tidak boleh diterima kerana hanya Menteri Dalam Negeri, yang ketika itu disandang bekas perdana menteri itu, yang berkuasa mengeluarkan arahan penahanan tersebut.

Beliau berkata tindakan Dr Mahathir yang cuba mengalihkan tanggungjawab berkenaan kepada bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayob adalah tidak adil.

"Saya seorang tahanan ISA untuk disoal siasat pada 1987 ketika Operasi Lalang dan saya yakin Dr Mahathir yang mengeluarkan arahan untuk penahanan itu.

"Sebagai tahanan, saya diberitahu selagi Menteri Dalam Negeri tidak menandatangani surat perintah bebas dalam tempoh 60 hari, saya tidak boleh dibebaskan," katanya kepada pemberita selepas perasmian persidangan perwakilan Pergerakan Puteri dan Pemuda UMNO Bahagian Bayan Baru di Pulau Pinang semalam.

Pada Rabu lepas, Dr Mahathir menafikan dakwaan yang mengaitkan namanya sebagai pihak yang bertanggungjawab dalam isu menandatangani surat penahanan ISA.

Mengulas lanjut, Tajuddin yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, berharap Kementerian Dalam Negeri (KDN) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat membuka fail lama mereka bagi memberi pengesahan kepada isu tersebut sekiranya perkara itu berlarutan.

Merujuk kepada isu siapakan yang menandatangani perintah tahanan ISA, Ibrahim berkata perkara pokok atau asas bagi seseorang yang ditahan di bawah ISA adalah dibuat atas cadangan pihak keselamatan yang membuat pemantaun.

Hasil pemantauan itu dibincangkan di kalangan angota jawatan kuasa yang terdiri daripada pihak polis di bawah pengawasan Ketua Polis Negara adan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri.

Merekalah yang membuat cadangan dan secara formaliti, ianya ditandatangani menteri atau timbalannya, kata Ibrahim.

Sebaliknya Tauddin ]berkata orang yang menurunkan tanda tangan untuk arahan penahanan adalah Menteri Dalam Negeri.

“Siapa menurunkan tanda tangan hanya proses formaliti tetapi pembuat keputusan adalah pihak bertangung jawab kepada keselamatan.

“Seseorang kena faham, inilah prosedur atau operasinya. Kepada Tajuddin tak payahlah nak tunjuk terror atau nak mengutuk Dr Mahathir. Moral apabila saya bangkitkan perkara ini, biarlah ada rasa hormat Tajuddin pada orang tua yang sebelum ini menolongnya walaupun wujud perbezaan pendapat,” tegas Ibrahim.

Kerana itu bagi Ibrahim, Tajuddin tidak payahlah tunjuk hero secara tidak bertempat/


Menurut Ibrahim,  kenyataan itu sekadar keluhan dan rasa terkilannya dengan kenyataan Tajuddin.

Hakikatnya, kalau Ibrahim mahu jawab mereka yang 'tidak berterima kasih' atau lupa jasa Dr Mahathir bukan sekadar Tajuddin semata-mata.

Ramai lagi yang berkedudukan dalam UMNo dan kerajaan adalah kerana Dr Mahathir!

Friday, August 26, 2016

Kenapa 1MDB Tidak Nafikan RM40 Juta Ke Pemilik Kelab Malam?


Tidak dapat dipastikan apakah 'Jejak Dana' Sarawak Report semalam sebagai sesuatu yang benar atau tuduhan semata-mata.

Apakah pendedahan oleh laman itu akan ‘menjerut leher’ pemilik kelab berkenaan yang kini sudahpun ditahan di Emiriyah Arab Bersatu (UAE)?

Juga apakah ia akan mengusutkan lagi masalah yang terpaksa diharungi oleh 1MDB yang kini dibebankan dengan pelbagai tuduhan penyelewengan dan kecurian daripada dana milik mereka?

‘Jejak Dana’ itu menyanggah penafian rangkaian kelab malam milik Hakkasan Ltd (Hakkasan) bahawa mereka ada menerima wang yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Apapun, akibat siasatan yang berlanjutan lebih setahun terhadap pemilik kelab malam berkenaan, syarikat itu kini dikatakan terumbang-ambing.

1MDB pula membisu seribu bahasa mengenai isu ini.

1MDB seolah-olah  membiarkan sahaja pendedahan demi pendedahan serta mengharapkan pemilik dan syarikat Hakkasan  menjawab bagi pihak mereka.

Tidakkah ini akan mendatangkan persepsi buruk, sedangkan 1MDB perlu dibersihkan daripada sebarang tuduhan liar atau fitnah yang boleh mengaibkan pengurusannya?

Jika pendedahan oleh Sarawak Report semalam ternyata bertentangan dengan kenyataan pihak syarikat pada 19 Ogos lalu, bahawa ia  menafikan menerima dana daripada 1MDB, mahu tunggu apa lagi?

Nafi dan  ambil tindakan sewajarnya segera!


Naib Presiden Hal Ehwal Undang-undang Hakkasan Brandon Roos dalam surat kepada The Wall Street Journal (WSJ) minggu lalu,  berkata syarikat itu telah menjalankan kajian semula dalaman dan yakin tiada pembiayaannya dapat dikaitkan dengan 1MDB.

Dalam surat berasingan untuk WSJ, seorang peguam untuk Hakkasan berkata ketiadaan nama firma berkenaan dalam saman sivil DOJ itu adalah bukti jelas pihak berkuasa Amerika Syarikat  tidak dapat membuktikan ia menerima atau penyalur bagi penggubahan wang haram diperoleh Khadem al-Qubaisi dan sekutunya.

Hakkasan memiliki rangkaian restoran di seluruh dunia, selain banyak kelab malam utama di Las Vegas, Amerika Syarikat.

Malah,  dalam surat itu ditegaskan bahawa mereka tetap "yakin sepenuhnya bahawa Hakkasan menerima modal daripada dana yang sah di Asia Barat" yang tidak berkaitan dengan entiti yang terlibat dalam urusan 1MDB.

Roos juga berkata, DOJ Amerika Syarikat mengesahkan Hakkasan "bukan subjek atau sasaran penyiasatan mereka terhadap 1MDB."


Sarawak  Report sebaliknya semalam mendedahkan  penyata bank Vasco Investment Services SA yang memiliki akaun di Bank Edmond De Rothschild di Luxembourg sebagai sumber dakwaannya.

Dokumen itu menunjukkan Vasco Investment Services SA - pada 2 Oktober 2012  memindahkan AS$10 juta (RM40 juta) kepada syarikat Tasameem Real Estate LLC dimiliki Hakkasan.

Vasco Investment Services SA adalah syarikat milik hartawan Emiriah Arab Bersatu (UAE),  Khadem al-Qubaisi dan dia dinamakan dalam dokumen mahkamah difail DOJ Amerika Syarikat sebagai penerima dana diselewengkan daripada 1MDB pada fasa Aabar BVI (Genting/Tanjong).

Di bawah fasa itu sejumlah AS$1.367 bilion daripada AS$3.5 bilion bon 1MDB dilencongkan ke Aabar Investments PJS Ltd (BVI).

Selepas itu, AS$1.1 bilion dipindahkan ke Blackstone Asia Real Estate Partners yang kemudian memindahkan AS$472.75 juta kepada kepada Vasco Investments Services SA.


Minggu lalu Khadem seorang individu penting dalam siasatan 1MDB, dilaporkan ditangkap oleh pihak berkuasa UAE. Beliau sebelum ini menjadi pengerusi Hakkasan.
  
Dalam surat yang berasingan kepada WSJ, seorang peguam yang mewakili Hakkasan berkata ketidakterlibatan firma dalam saman sivil itu adalah bukti jelas bahawa DOJ tidak mendapati syarikat itu menjadi "benefisiari atau saluran bagi pengubahan wang yang diperolehi secara tidak sah oleh Qubaisi dan sekutunya."

Sumber-sumber juga memberitahu WSJ bahawa tidak ada dakwaan sebarang salah laku terhadap Hakkasan atau pekerjanya.

Mereka mengesahkan bahawa siasatan Amerika Syarikat itu hanya tertumpu kepada tindakan Khadem, yang kebanyakannya berlaku dalam bidang kuasa luar pesisir.

Siasatan kerajaan Amerika Syarikat itu bagaimanapun, berkaitan dengan pembiayaan yang diperolehil Hakkasan ketika atau selepas 2012, apabila sebahagian daripada dakwaan berlaku penipuan yang didakwa membabitkan 1MDB, yang dikatakan melibatkan Khadem.


Thursday, August 25, 2016

Arca Lat Ganti Puncak Purnama - Di Mana Kementerian Pelancongan?


 "Harap-harap Arca Lat ini dijaga dengan baik dan tidak menjadi 'hodoh' dan usang seperti Puncak Purnama dan tidak menerima nasib yang sama selepas 30 atau 40 tahun akan datang!"

Kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, untuk merobohkan artifak berkaitan seni atau warisan, ia sewajarnya diujuk kepada kementeriannya terlebih dahulu.

Bagaimana pula untuk mendirikan yang baru  dan memperkenalkannya?

Tidakkah ia juga perlu dirujuk atau berbincang dengan kementerian berkenaan?

Selepas hampir dua bulan Puncak Purnama ranap, hari ini Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor merasmikan arca baru berupa karektor kartun ciptaan Datuk Lat.

Sebelas arca yang dirasmikan hari ini adalah watak kartun ilham pelukis terkenal, Lat, atau nama sebenarnya Mohammad Nor Khalid.

Didirikan di 11 lokasi berbeza di sepanjang Jalan Melaka, Jalan Gereja dan Jalan Raja Chulan, beliah berkata arca itu tidak akan mengalami nasib sama seperti Puncak Purnama.


23 Ogos lalu,  Datuk Seri Nazri Aziz turut berkongsi rasa kecewa apabila Puncak Purnama diranapkan.

Nazri berkata tindakan itu "amat mengecewakan" dan kejadian sedemikian diharap tidak berulang lagi.

Pada 16 Ogos kira-kira 200 seniman, pencinta dan aktivis seni berarak ke pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) di Jalan Sultan Ismail untuk mengadukan perkara itu.

Antara mereka ialah bekas pengerusi Bank UMBC Zain Azahari Zainal Abidin, pengarah filem U-Wei Saari dan Sasterawan Negara Datuk Baha Zain.

Seorang lagi Sasterawan Negara Prof Dr Muhammad Salleh menganggap langkah DBKL merobohkan Puncak Purnama itu sebagai "buta seni dan memalukan".

Berikutan itu  Nazri menegaskan,  perlu ada penyelarasan dibuat antara pihak yang terlibat dalam hal sedemikian, khususnya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Apa yang lebih penting ialah pemilik tugu-tugu (atau arca) yang bertanggjawab, dia kena maklumkan pada kita (kementerian) kalau sesuatu nak dilakukan.

"Benda itu (perobohan Puncak Purnama) pun kita tak tahu," katanya kepada media di Putrajaya.


Puncak Purnama adalah sebuah arca hasil karya Seniman Negara Allahyarham Syed Ahmad Jamal yang dibina pada 1980-an melalui pembiayaan Bank UMBC.

Ia kemudian diserahkan kepada DBKL pada 1986. Di bawah kelolaan pihak berkuasa tempatan itu arca berkenaan pernah diubah suai tanpa mendapat kebenaran Syed Ahmad.

Syed Ahmad kemudian membawa perkara itu ke mahkamah dan memenangi kes berkenaan.

Arca di tengah Kuala Lumpur itu kemudian ranap pada 1 Julai lalu apabila DBKL memberi kebenaran untuk melakukan projek menaik taraf landskap di kawasan berkenaan.

Tengku Adnan sebelum ini menyatakan arca karya Syed Ahmad di Jalan Atap itu terpaksa dirobohkan kerana sudah usang dan tidak dapat diperbaiki lagi.

Apakah arca baru yang didirikan itu diberitahu atau dalam pengetahuan Nazri?

Jika Puncak Purnama disifatkan ‘hodoh’ oleh sesetengah pihak namun realitinya ia diwujudkan dengan ada makna dan tujuan.

"Mungkin pada pandangan kita (arca itu) hodoh tapi itu bukan masalahnya. Kita kena jaga warisan itu. Itu amat dukacita. Dia (Puncak Purnama) ada makna, ada nilai seni. Jadi sangat mengecewakan (perobohan arca itu). Kita harap supaya mesti ada koordinasi selepas ini," katanya.


Hari ini Tengku Adnan berkata DBKL akan menjamin Arca Lat itu akan dijaga dan diserahkan bawah penjagaan DBKL..

Projek arca kartun Lat itu adalah sebahagian daripada inisiatif DBKL untuk mengindah dan mewujudkan suasana ceria bandar raya Kuala Lumpur.

Ia juga sebahagian daripada usaha melengkapkan penyediaan elemen reka bentuk bandar bagi Laluan Jejak Warisan 2 yang bermula dari Jalan Melaka, Jalan Gereja dan Jalan Raja Chulan.

Menurut risalah majlis itu, inisiatif berkenaan menunjukkan kesungguhan dan komitmen DBKL menjayakan usaha kerajaan merealisasikan projek di bahawa peruntukan Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang bagi menjadikan ia bandar raya crita, unggul dan bertaraf dunia.


Lukisan Lat pula meninggalkan kesan yang besar di kalangan rakyat Malaysia dan luar negara kerana ia menggambarkan kisah lucu dalam kehidupan seharian rakyat di negara ini.

Harap-harap Arca Lat ini dijaga dengan baik dan tidak menjadi 'hodoh' dan usang seperti Puncak Purnama selain menteri atau agensi yang bertanggungjawab terhadapnya menjaga ia dengan baik dan tidak menerima nasib yang sama seperti Puncak Purnama selepas 30 atau 40 tahun akan datang!

Wednesday, August 24, 2016

Husam Kepada Agong – Adalah Aib Jika Tidak Dituntut Wang Negara...


"Seberapa banyak wang yang hilang itu, jika dapat dipulangkan kepada negara, tentulah sedikit sebanyak memberikan faedah kepada rakyat."

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor,  Datuk Husam Musa dalam suratnya kepada Yang Di-Pertuan Agong memaklumkan bahawa beliau memberanikan diri mengambil tindakan saman itu demi Malaysia.

Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dimaklumkan bahawa seberapa banyak wang yang hilang itu, jika dapat dipulangkan kepada negara, tentulah sedikit sebanyak memberikan faedah kepada rakyat.

“Memandangkan sebahagian dari wang itu telah dibelanjakan untuk bermewah-mewah dan berpoya-poya, ketika mana masih ada rakyat Malaysia yang memerlukan pembelaan dan bantuan negara - tentulah menimbulkan kekesalan dan kehibaan.

“Adalah aib pada hemat patik, jika tidak ada satu pun rakyat Malaysia bertindak mengunakan saluran undang-undang untuk mengesahkan laporan-laporan atas tindakan berkenaan dan seterusnya mengembalikan wang negara yang jumlahnya begitu besar itu,” katanya.

Dalam surat terbuka bertarikh 17 Ogos, Husam turut menyerahkan satu salinan saman saman tindakan perwakilan yang difailkannya bersama peguam, Matthias Chang di Amerika Syarikat.


Husam juga berharap bahawa Seri Paduka akan mendoakan kejayaan tindakan mereka demi Malaysia.

“Doakan jua supaya urusan ini dipermudahkan dengan segala bentuk pertolongan dari Allah SWT dan hamba-hamba dan makhluknya.

Berikutan itu ADUN Salor itu itu memohon perkenaan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berhubung saman tindakan perwakilan yang difailkannya bersama peguam, Matthias Chang di Amerika Syarikat.

Husam dan Chang, iaitu bekas setiausaha politik Tun Dr Mahathir Mohammad memfailkan saman berkenaan hampir dua minggu lalu bagi menuntut ganti rugi terhadap wang yang dicuri daripada 1MDB dan mendapatkan semula hartanah dan aset lain yang dibeli dengan dana yang diselewengkan itu.

“Patik suka menyembahkan, bahawa patik tahu ia sebuah usaha yang sukar tetapi tidak lah wajar rakyat Malaysia hanya berputih mata atas apa yang telah dan akan merugikan negara ini,” katanya dalam surat terbuka.

Salinan surat itu dilaporkan tersebar di media sosial dan apabila dibawa kepada perhatian Husam, bekas naib presiden PAS itu mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa beliau menulis surat itu dan telah menghantarnya ke pejabat Tuanku Abdul Halim.

Husam juga memaklumkan bahawa beliau dan Chang memfailkan saman itu di mahkamah daerah selatan New York, Amerika Syarikat pada Khamis lalu menerusi peguam Louis F Burke.

Lapan defendan yang dinamakan dalam asaman itu termasuk anak tiri perdana menteri, Riza Shahriz Abdul Aziz; ahli perniagaan kelahiran Pulau Pinang, Low Taek Jho; Goldman Sachs Group Inc, Timothy Leissner, Christopher Joey McFarland, Red Granite Pictures Inc, Debra Whelan Johnson dan Metropolis IX Capital Advisors, LLC.

Berikut surat penuhnya:-


17 Ogos 2016
14 ZulKaedah 1437

Mengadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XIV Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah

Yang bersemayam di atas takhta Kerajaan Malaysia dengan kebesaran dan kemuliaan yang dikurniakan Allah, Raja Segala Raja.

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Ampun Tuanku,
Dengan segala hormat dan takzimnya patik merafakkkan sembah dan berdoa ke Hadrat Allah Subhanahu Wataala, mudah-mudahan Tuanku Seri Paduka Baginda sentiasa berada dalam bimbingan, perlindungan, afiat dan kerahmatan dari Allah setiap masa dan berlanjutan sampai akhirat nanti.

Ampun Tuanku,

*MEMOHON SEMBAH MAKLUM TINDAKAN SAMAN 'CLASS ACTION' DI AMERIKA SYARIKAT ATAS KEHILANGAN WANG 1MDB*

Patik dengan penuh takzim menerusi warkah ini, ingin merafakkan sembah mengenai tindakan patik atas nama rakyat Malaysia dan mewakili rakyat Malaysia serta benefisiari-benefisiari yang berhak ke atas faedah-faedah dari 1MDB di negara ini, bersama bersama seorang lagi hamba rakyat Tuanku, Mathias Chang, telah memfailkan saman yang dipanggil 'class action' ke atas pihak yang dikira melarikan wang berkait 1MDB.

Saman ini telah difailkan di Mahkamah Daerah Selatan New York, Amerika Syarikat pada Khamis lalu, 11hb Ogos 2016.

Patik mengguna pakai khidmat Peguam Louis F Burke untuk tujuan ini.

Patik berdua telah menamakan lapan (8) Defendan yang terdiri daripada Riza Shahriz Bin Abdul Aziz, Low Taek Jho, Goldman Sachs Group Inc., Timothy Leissner, Christopher Joey McFarland, Red Granite Pictures Inc, Debra Whelan Johnson dan Metropolis IX Capital Advisors, LLC.

Secara ringkasnya, pemfailan tindakan saman tersebut adalah bertujuan untuk menuntut ganti rugi terhadap wang yang dicuri daripada 1MDB dan mendapatkan semula hartanah dan aset lain yang dibeli dengan menggunakan wang curi tersebut.

Bank pelaburan Goldman Sachs turut dinamakan bersama bekas pengurus banknya Timothy Leissner, yang mengatur bon dengan nilai berbilion dolar untuk 1MDB sebelum ini.

Ampun Tuanku,

Patik memberanikan diri mengambil tindakan ini Demi Malaysia.

Seberapa banyak wang yang telah hilang itu, jika dapat dipulangkan kepada negara kita, tentulah sedikit sebanyak memberikan faedah kepada rakyat kita sendiri.

Memandangkan sebahagian dari wang itu telah dibelanjakan untuk bermewah-mewah dan berpoya-poya, ketika mana masih ada rakyat Malaysia yang memerlukan pembelaan dan bantuan negara - tentulah menimbulkan kekesalan dan kehibaan.

Adalah aib pada hemat patik, jika tidak ada satu pun rakyat Malaysia bertindak mengunakan saluran undang-undang untuk mengesahkan laporan-laporan atas tindakan berkenaan dan seterusnya mengembalikan wang negara yang jumlahnya begitu besar itu.

Ampun Tuanku,

Senaskhah Palintif's Original Complaint berkenaan, patik sertakan bersama warkah ini untuk tatapan Tuanku jua.

Terdapat lima 'Course of Action' di bawah Claims for Relief yang patik pohon, seperti tertera pada muka surat 26 - 31.

Ampun Tuanku,

Patik pohon Ke Bawah Duli Tuanku mendoakan kejayaan tindakan patik ini Demi Malaysia.
Doakan jua supaya urusan ini dipermudahkan dengan segala bentuk pertolongan dari Allah s.w.t dan hamba-hamba dan makhlukNya.

Patik suka menyembahkan, bahawa patik tahu ianya sebuah usaha yang sukar tetapi tidak lah wajar rakyat Malaysia hanya berputih mata atas apa yang telah dan akan merugikan negara ini.
Ampun Tuanku,

Patik juga meminta diampunkan atas tindakan patik menjadikan warkah ini sebuah warkah terbuka untuk tatapan rakyat jelata Malaysia juga.

Ampun Tuanku,

Patik akhiri warkah yang tidak sepertinya ini dengan sekali lagi mempersembah pohonan ampun atas apa jua kekhilafan patik menerusi warkah ini.

Payungan Duli Yang Maha Mulia Tuanku berserta Duli-Duli Raja-Raja seluruhnya, akan meletakkan negara ini kekal merdeka, berdaulat, aman makmur dan diredhai Maha Pencipta.

Mudah-mudahan Allah Subhanahu Wataala melanjutkan usia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan seluruh kerabat Tuanku dan semoga sentiasa berada di dalam kesejahteraan dan kebahagiaan yang berkekalan.

Amin Ya Rabbal Alamin

Ampun Tuanku,

Patik dengan segala hormat takzimnya;

YB Dato Hj Husam bin Musa


#DEMIMALAYSIA

Friday, August 19, 2016

Penangkapan Khadem Abdulla al-Qubaisi ‘Membahangkan’ 1MDB, Perdana Menteri?


"Khadem, bekas Pengarah Urusan IPIC dinamakan pihak berkuasa Amerika Syarikat bersama-sama anak tiri Datuk Seri Najib Razak, Riza Aziz, dan Low Taek Jho, dituduh terlibat dalam komplot melarikan wang 1MDB."

Laporan media asing menyebut bahawa hartawan Khadem Abdulla al-Qubaisi (Khadem), individu penting dalam siasatan 1Malaysia Development Bank (1MDB), sudah ditangkap oleh pihak berkuasa Abu Dhabi.

Orang kanan Khadem, Mohamed al-Husseiny sudahpun ditahan oleh pihak berkuasa Abu Dhabi pada bulan Mac, dan akan dihantar ke Amerika Syarikat untuk membantu penyiasatan AS ke atas 1MDB.

Memetik sumber-sumber, akhbar Wall Street Journal (WSJ) melaporkan tangkapan Khadem itu dibuat berhubung dengan peranan beliau dalam urusan 1MDB.

Khadem dikatakan ditangkap minggu lalu.

Sebelum ini, Financial Times melaporkan, Khadem dituduh melakukan penipuan, pengubahan wang haram dan rasuah. Akhbar itu mendakwa, ia berdasarkan surat yang diperolehi mereka.

Selain itu, dilaporkan penyiasat Switzerland juga sedang mencari orang bawahan Khadem dan dua bekas pegawai 1MDB.

Siasatan Swiss itu diperhebatkan hanya beberapa minggu selepas Jabatan Kadilan (DOJ) Amerika memfailkan tindakan undang-undang bagi merampas aset yang diseleweng dari 1MDB berjumlah hampir AS$1 bilion.

Bulan lalu, Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat, memfailkan saman sivil untuk membekukan AS$100 juta hartanah yang didakwa Khadem membelinya dengan dana daripada 1MDB.

Khadem (kiri)  dan Mohamed...kini ditahan
Pada 20 Julai, DOJ Amerika Syarikat mengumumkan saman menyita aset 1MDB bernilai AS$1 bilion, susulan siasatan melibatkan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) yang mendapati kecurian dan salah laku dana syarikat milik Kementerian Kewangan itu.

Khadem adalah salah individu yang dinamakan dalam tindakan undang-undang itu, yang memaparkan laporan terperinci bagaimana dana 1MDB dipesongkan.

Khadem, bekas pengarah urusan International Petroleum Investment Company (IPIC), dinamakan pihak berkuasa Amerika Syarikat bersama-sama anak tiri perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, Riza Aziz, dan ahli perniagaan kontroversi Low Taek Jho, dan dituduh terlibat dalam komplot melarikan wang 1MDB.

Sejak April lalu, hartawan itu dilaporkan dihalang  daripada meninggalkan UAE dan asetnya di negara itu dibekukan. Penyiasat Amerika Syarikat sedang meneliti urusan hartawan itu dan dana yang didakwa diperolehi melalui penipuan.

Berita tangkapan Khadem masih laporan awal dan belum dapat disahkan.

Mungkin benar dan penyebaran berita itu hanya usaha memburukkan nama Malaysia, khususnya Perdana Menteri.

Media pro-kerajaan, tentera siber dan orang persaorangan yang diupah oleh parti pemerintah boleh membuat penafian dan menolak laporan ini dengan segera.

Sewajarnya mereka melakukannya!

Apapun,  nama Khadem yang dikaitkan dengan 1 MDB bukan asing lagi di Malaysia dan seluruh dunia.


Ramai daripada kita mungkin tidak kisah dengan siapa dan apa dilakukan Khadem, apa lagi bagi yang menganggap isu penipuan dalam 1MDB ini suatu konspirasi dan berniat jahat untuk menjatuhkan pemimpin utama negara.

Biarpun demikian, adalah baik untuk mengenali beliau lebih dekat dan apa peranannya menyebabkan beliau mebnjadi individu penting yang diburu oleh DOJ.

Isu 1MDB bercelaru selepas International Petroleum Investment Co (IPIC) dan Aabar Investment PJS menafikan kaitan mereka dengan firma Aabar yang menerima pembayaran dari 1MDB pertengahan April lalu.

Aabar BVI (British Virgin Islands), dikatakan menerima sekitar RM13.6 bilion atau AS$3.5 bilion daripada 1MDB.

1MDB berkata, pihaknya memindahkan dana itu kepada Aabar BVI selepas dimaklumkan oleh Pengarah Urusan IPIC, Khadem al Qubaisi dan Pengerusi Aabar, Mohamed Al Husseiny bahawa firma BVI adalah anak syarikat IPIC.

Khadem warganegara Emiryah Arab Bersatu (UAE) adalah pengarah urusan IPIC antara 2007 dan 2015. Beliau juga pengerusi Aabar bagi tempoh 2012 dan 2013, juga pengarah Aabar-BVI."

Khadem, 45,  menyertai Lembaga Pelaburan Abu Dhabi pada tahun 1993, tahun yang sama beliau memperolehi ijazah sarjana muda dalam bidang ekonomi, dan dipindahkan ke IPIC pada tahun 2000 untuk menjadi pengurus pelaburannya.

Menurut laman web peribadi yang sudah tidak berfungsi, dia mula bekerja di IPIC sebagai pengurus pelaburan pada tahun 2000 sebelum dilantik menjadi pengarah urusan (MD) tujuh tahun kemudian.

Seorang jutawan, Khadem dikatakan mempunyai kecenderungan terhadap hartanah Amerika Syarikat yang mahal termasuk rumah anjung paling mahal di Manhattan bernilai RM198 juta atau AS$50.9 juta, yang mana beliau tidak berjaya menjualnya.

Di bawah pengurusannya dilaporkan asas modal IPIC telah menyusut daripada RM272 bilion atau AS$70 bilion kepada kurang daripada RM58 bilion atau AS$15 bilion.

Kerjayanya di IPIC berakhir apabila beliau secara mengejut meninggalkan lembaga pengarah firma itu dan ditukarkan sebagai MD ekoran rombakan yang ditetapkan oleh Presiden UAE, Khalifa Zayed pada bulan April 2015.

Khadem kemudiannya meletakkan jawatan sebagai pengerusi hartanah Aabar dan anak syarikat IPIC yang lain seperti Cepsa dan Nova Chemicals.

Orang kanan Khadem, Mohamed yang lebih berprofil rendah, tidak kurang juga menarik perhatian berbanding bossnya.

Beliau dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Aabar Investment PJS pada 2010, dan memegang jawatan itu sehingga Ogos tahun lalu apabila meletakkan jawatan untuk mengetuai firma ekuiti swasta, Trustbridge.

Mohamed juga adalah pengarah Falcon Private Bank, dan merupakan ahli lembaga dari 2009 kepada 2013, dan dilantik semula pada April tahun lepas.

Menurut WSJ , Falcon, anak syarikat IPIC, sedang disiasat selepas para penyiasat mengesan pemindahan hampir RM2.7 bilion atau AS$700 juta pada tahun 2013 daripada akaun Falcon Private Bank di Singapura kepada akaun yang didakwa milik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak.


Beliau juga dilaporkan adalah pelabur utama dalam Red Granite, firma Hollywood yang dimiliki oleh anak tiri Najib, Riza Aziz. WSJ mendakwa lebih RM600 juta atau AS$155 million daripada dana-dana ini membiayai filem Hollywood terbitan Red Granite, The Wolf of Wall Street .

Kini, kedua-dua mereka - Khadem dan Mohamed – berdepan dakwaan Amerika Syarikat yang menubuhkan Aabar BVI pada bulan Mac 2012, dua bulan sebelum firma itu menerima RM2.2 bilion atau AS$576.94 juta daripada 1MDB sebagai deposit sekuriti.

Dari segi jumlah, firma itu dikatakan menerima sekurang-kurangnya RM23.6 bilion atau AS$3.5 billion.

Aabar BVI telah dibubarkan pada bulan Jun tahun lalu, pada ketika desakan ke atas Najib dan 1MDB dilihat semakin memuncak.

Kesmua ini mungkin berupa tuduhan dan spekulasi semata-mata dan rangkaian media kerajaan sewajarnya melakukan sesuatu untuk meranapkan persepsi buruk terhadap 1MDB dan kerajaan, khususnya Perdana Menteri.

Namun, persoalan tetap ada.

Apakah tangkapan Khadem ini akan lebih mebahangkan 1MDB dan Najib serta anak tirinya Riza serta  Jho Low yang diketahui rapat dengan Perdana Menteri?