Showing posts with label Tengku Adnan. Show all posts
Showing posts with label Tengku Adnan. Show all posts

Thursday, August 25, 2016

Arca Lat Ganti Puncak Purnama - Di Mana Kementerian Pelancongan?


 "Harap-harap Arca Lat ini dijaga dengan baik dan tidak menjadi 'hodoh' dan usang seperti Puncak Purnama dan tidak menerima nasib yang sama selepas 30 atau 40 tahun akan datang!"

Kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, untuk merobohkan artifak berkaitan seni atau warisan, ia sewajarnya diujuk kepada kementeriannya terlebih dahulu.

Bagaimana pula untuk mendirikan yang baru  dan memperkenalkannya?

Tidakkah ia juga perlu dirujuk atau berbincang dengan kementerian berkenaan?

Selepas hampir dua bulan Puncak Purnama ranap, hari ini Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor merasmikan arca baru berupa karektor kartun ciptaan Datuk Lat.

Sebelas arca yang dirasmikan hari ini adalah watak kartun ilham pelukis terkenal, Lat, atau nama sebenarnya Mohammad Nor Khalid.

Didirikan di 11 lokasi berbeza di sepanjang Jalan Melaka, Jalan Gereja dan Jalan Raja Chulan, beliah berkata arca itu tidak akan mengalami nasib sama seperti Puncak Purnama.


23 Ogos lalu,  Datuk Seri Nazri Aziz turut berkongsi rasa kecewa apabila Puncak Purnama diranapkan.

Nazri berkata tindakan itu "amat mengecewakan" dan kejadian sedemikian diharap tidak berulang lagi.

Pada 16 Ogos kira-kira 200 seniman, pencinta dan aktivis seni berarak ke pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) di Jalan Sultan Ismail untuk mengadukan perkara itu.

Antara mereka ialah bekas pengerusi Bank UMBC Zain Azahari Zainal Abidin, pengarah filem U-Wei Saari dan Sasterawan Negara Datuk Baha Zain.

Seorang lagi Sasterawan Negara Prof Dr Muhammad Salleh menganggap langkah DBKL merobohkan Puncak Purnama itu sebagai "buta seni dan memalukan".

Berikutan itu  Nazri menegaskan,  perlu ada penyelarasan dibuat antara pihak yang terlibat dalam hal sedemikian, khususnya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Apa yang lebih penting ialah pemilik tugu-tugu (atau arca) yang bertanggjawab, dia kena maklumkan pada kita (kementerian) kalau sesuatu nak dilakukan.

"Benda itu (perobohan Puncak Purnama) pun kita tak tahu," katanya kepada media di Putrajaya.


Puncak Purnama adalah sebuah arca hasil karya Seniman Negara Allahyarham Syed Ahmad Jamal yang dibina pada 1980-an melalui pembiayaan Bank UMBC.

Ia kemudian diserahkan kepada DBKL pada 1986. Di bawah kelolaan pihak berkuasa tempatan itu arca berkenaan pernah diubah suai tanpa mendapat kebenaran Syed Ahmad.

Syed Ahmad kemudian membawa perkara itu ke mahkamah dan memenangi kes berkenaan.

Arca di tengah Kuala Lumpur itu kemudian ranap pada 1 Julai lalu apabila DBKL memberi kebenaran untuk melakukan projek menaik taraf landskap di kawasan berkenaan.

Tengku Adnan sebelum ini menyatakan arca karya Syed Ahmad di Jalan Atap itu terpaksa dirobohkan kerana sudah usang dan tidak dapat diperbaiki lagi.

Apakah arca baru yang didirikan itu diberitahu atau dalam pengetahuan Nazri?

Jika Puncak Purnama disifatkan ‘hodoh’ oleh sesetengah pihak namun realitinya ia diwujudkan dengan ada makna dan tujuan.

"Mungkin pada pandangan kita (arca itu) hodoh tapi itu bukan masalahnya. Kita kena jaga warisan itu. Itu amat dukacita. Dia (Puncak Purnama) ada makna, ada nilai seni. Jadi sangat mengecewakan (perobohan arca itu). Kita harap supaya mesti ada koordinasi selepas ini," katanya.


Hari ini Tengku Adnan berkata DBKL akan menjamin Arca Lat itu akan dijaga dan diserahkan bawah penjagaan DBKL..

Projek arca kartun Lat itu adalah sebahagian daripada inisiatif DBKL untuk mengindah dan mewujudkan suasana ceria bandar raya Kuala Lumpur.

Ia juga sebahagian daripada usaha melengkapkan penyediaan elemen reka bentuk bandar bagi Laluan Jejak Warisan 2 yang bermula dari Jalan Melaka, Jalan Gereja dan Jalan Raja Chulan.

Menurut risalah majlis itu, inisiatif berkenaan menunjukkan kesungguhan dan komitmen DBKL menjayakan usaha kerajaan merealisasikan projek di bahawa peruntukan Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang bagi menjadikan ia bandar raya crita, unggul dan bertaraf dunia.


Lukisan Lat pula meninggalkan kesan yang besar di kalangan rakyat Malaysia dan luar negara kerana ia menggambarkan kisah lucu dalam kehidupan seharian rakyat di negara ini.

Harap-harap Arca Lat ini dijaga dengan baik dan tidak menjadi 'hodoh' dan usang seperti Puncak Purnama selain menteri atau agensi yang bertanggungjawab terhadapnya menjaga ia dengan baik dan tidak menerima nasib yang sama seperti Puncak Purnama selepas 30 atau 40 tahun akan datang!

Wednesday, August 17, 2016

Rasuah: SPRM 'Hairan' Kenyataan, Sikap Tengku Adnan


"Seorang menteri sepatutnya tidak berkompromi dengan sebarang tindakan menyalahi undang-undang dan kenyataan (beliau) itu menampakkan seolah-olah kepentingan awam tidak terpelihara."

Kenapa ada menteri seperti mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang ‘Datuk Seri’, iaitu pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)?

Malah menteri berkenaan turut mengingatkan SPRM agar melakukan siasatan sedalam-dalamnya mengenai kes berkenaan. Dengan kata lain mahu diadakan siasatan penuh dan adil dijalankan ke atas pegawai itu.

Kenapa bimbang dengan siasatan SPRM?

Seorang menteri menyatakan kebimbangan terhadap siasatan sebuah suruhanjaya kerajaan sendiri? memang pelik!


Di sebalik peringatan itu, menteri berkenaan berkata pegawai kanan yang ditahan SPRM itu adalah 'pegawai yang bagus' sehingga dinaikkan pangkat dua kali dalam tempoh setahun.

Menurut menteri berkenaan, setakat yang diketahuinya,  pegawai itu ialah seorang pegawai yang bagus, komited dengan tugas dan penuh perhatian. Beliau berpindah dari Gred 54 ke Gred Khas C, dan kini beliau dalam Gred Khas B kerana beliau seorang yang bagus dan mempunyai potensi.

Malah beliau kenaikan  pangkat itu kerana berdedikasi terhadap tugas dan seorang pembuat keputusan yang baik.

Semalam SPRM mendapat kebenaran mahkamah untuk menahan reman suspek sehingga 22 Ogos ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (a) dan Seksyen 23 Akta SPRM.

SPRM juga merampas pelbagai aset bernilai jutaan ringgit.

Suspek berpangkat Datuk Seri itu adalah pegawai kanan DBKL dan dia turut disiasat mengikut Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Anehnya, pengurusn tertinggi Tenaga Nasional Berhad tidak  pula mempertahankan pegawainya dan begitu juga dengan kerajaan negeri Melaka yang mana pegawainya turut ditahan.

Kerana itu adalah wajar sekiranya seorang pegawai kanan SPRM pelik dengan sikap menteri berkenaan.

Menteri berkenaan sepatutnya menunjukkan sikap yang berul dan memberi pujian kepada pegawai yang ditahan dan berdepan dengan siasatan rasuah.

Menganggap sikap Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebagai "menghairankan" pegawai kanan SPRM itu  berkata, tiada kompromi wajar ditunjukkan bagi kes rasuah.

Beliau yang enggan namanya dipetik berkata, Menteri Wilayah Persekutuan itu menampakkan seolah-olah kerajaan tidak melindungi orang awam.

"Kenyataan menteri berkenaan memang amat menghairankan!" katanya.

"Seorang menteri sepatutnya tidak berkompromi dengan sebarang tindakan menyalahi undang-undang dan kenyataan itu menampakkan seolah-olah kepentingan awam tidak terpelihara," kata pegawai kanan SPRM berkenaan.

Laporan media kelmarin (15 Ogos) melaporkan tiga penjawat awam ditahan oleh pegawai SPRM atas kesalahan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penggubahan wang haram.

Seorang daripada mereka berpangkat Datuk Seri, manakala seorang lagi Datuk.


Pengarah Siasatan SPRM Datuk Azam Baki berkata suspek ditahan dalam operasi serentak di tiga tempat iaitu Kuala Lumpur, Melaka dan Kelantan.

Thursday, September 19, 2013

Tengku Adnan Bidas Media Cina Pertikai Agenda Memperkasa Ekonomi Bumiputera

"Janganlah ada orang mainkan cerita dalam akhbar khususnya akhbar Cina (yang) kononnya bila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengeluarkan kenyataan berkenaan Dasar Ekonomi Bumiputera, kita (kerajaan) tidak peduli kepada bangsa Cina.(Itu) tidak (benar)...Saya tidak boleh baca akhbar Cina tetapi daripada laporan yang saya terima, saya terkejut."
- Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada Khamis membidas media berbahasa Cina yang katanya cuba menimbulkan isu perkauman mengenai agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang dilaksanakan kerajaan.

Beliau kesal kerana tindakan media vernakular itu dan mendakwa ia boleh memecah-belahkan perpaduan kaum di negara ini, yang sedia terjalin erat.

"Janganlah ada orang mainkan cerita dalam akhbar khususnya akhbar Cina (yang) kononnya bila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengeluarkan kenyataan berkenaan Dasar Ekonomi Bumiputera, kita (kerajaan) tidak peduli kepada bangsa Cina.(Itu) tidak (benar).

"Bila kita bantu kaum Bumiputera, kita tidak pernah meminggirkan kaum Cina atau India, tidak pernah dalam sejarah kita," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perbarisan sempena Hari Penguatkuasa Ke-44 Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) 2013 di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr Loga Bala Mohan Jaganathan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib.

Tengku Adnan berkata sebenarnya pelaksanaan agenda itu ialah untuk mewujudkan keseimbangan ekonomi antara kaum di negara ini kerana kedudukan ekonomi Bumiputera lemah berbanding kaum Cina. 

"Keseimbangan ekonomi kaum penting untuk mengekalkan perpaduan dan keharmonian dalam negara," tambahnya.

"Saya tidak boleh baca akhbar Cina tetapi daripada laporan yang saya terima, saya terkejut," katanya.

Sabtu lepas, Najib melancarkan agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera bagi mencipta serta menjana kekayaan baharu agar nikmat dan kemakmurannya diraih dan dirasai semua rakyat Malaysia secara adil dan saksama.

Malah Najib dalam ucapan pelancarannya meminta rakyat supaya tidak salah sangka dan salah faham terhadap usaha Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera itu yang dilaksanakan bukan dengan jalan memintas atau mengambil hak orang lain mahupun menafikan kepentingan sesiapa.

Di bawah agenda itu, sebanyak lima strategi utama bagi memperkasa ekonomi Bumiputera turut diumumkan, meliputi modal insan, pemilikan ekuiti, pemilikan aset bukan kewangan, keusahawanan dan penyampaian perkhidmatan.