Showing posts with label rasuah. Show all posts
Showing posts with label rasuah. Show all posts

Thursday, March 9, 2017

Najis Rasuah Penjawat Awam Serius, Keyakinan Rakyat Terhakis?

Azam...sbimbang rasuah dalam kalangan penjawat awam 
Sebanyak 665 kertas siasatan rasuah dibuka sepanjang 2016 hingga Februari tahun ini melibatkan penjawat awam.

Daripada 665 kertas siasatan itu, seramai 548 penjawat awam ditangkap dan 63 kes dituduh di mahkamah.

Ini menunjukkan betapa seriusnya rasuah dalam kalangan penjawat awam dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) khuatir jumlah ini akan terus meningkat sekiranya tidak dibendung dari sekarang.

Pengakuan ini dibuat oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki semalam pada majlis Kementerian Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Bersama SPRM di KKLW di Putrajaya.

Mungkin hanya Azam dan kakitangannya sahaja yang khuatir kerana jelas menteri dan ketua-ketua pentadbiran sama ada di Putrajaya atau di negeri-negeri melihatnya sebagai gejala biasa.

Apakah mereka tidak bimbang dengan gejala ‘najis rasuah ini’?

Diakui bahawa SPRM sudah mengorak langkah yang baik malah kekhuatiran SPRM itu jelas mempunyai asas yang turut mempersoalkan integriti penjawat awam.

Soalnya mereka ini adalah penjawat awam dengan kerajaan yang ada sekarang yang  menerima mandapt rakyat melalui pilihan raya umum ke-13 lalu.

Dzulkifli Ahmad berkata pihaknya akan terus melipatgandakan usaha 
Bermakna kerajaan Barisan Nasional (BN) perlu bertanggungjawab dalam kes ini.

Apabila didedahkan kedudukan ini apakah pemerintah di Putrajaya atau kerajaan pembangkang yang memerintah di Pulau Pinang dan Kelantan yang wajar dipersalahkan?

Rasuah yang sedang membarah ini bukan mudah untuk ditangani dan kerajaan BN perlu serius memeranginya.

SPRM  menetapkan tiga tahun untuk membersihkan perkhidmatan awam daripada gejala rasuah khususnya dalam kalangan agensi penguat kuasa, badan pengawal, pihak berkuasa negeri dan tempatan.

“Tempoh tiga tahun dipilih kerana pada 2020 Malaysia seharusnya sudah mencapai status negara maju,” kata beliau.

Azam turut merujuk kepada kes rasuah Jabatan Air Sabah sebagai indikator yang tidak baik apabila seorang penjawat awam boleh “tidur” dengan wang sebanyak lebih RM50 juta di rumahnya.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis berkenaan, Azam berkata sasaran membersihkan rasuah dalam kalangan penjawat awam dalam masa 3 tahun merupakan faktor utama SPRM lebih agresif menjalankan operasi sejak tahun lepas.

Ditanya mengenai faktor yang menyebabkan perlakuan rasuah dalam kalangan penjawat awam, beliau berkata keadaan negara yang semakin membangun dan banyak transaksi ekonomi berlaku membuka banyak peluang untuk rasuah.

“Dalam keadaan ini apabila seorang diberi kuasa, dia mudah terjebak dalam rasuah atau penyalahgunaan kuasa. Kalau tidak ada duit, orang tidak akan melakukan rasuah, mereka akan melakukan jenayah lain seperti merompak, jual dadah dan sebagainya,” katanya.

Apakah keadaan ekonomi yang berkembang wajar dipersalahkan?

Bagaimana dengan amalan integiriti kerajaan yang memerintah?

Kelnarin, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad berkata pihaknya akan terus melipatgandakan usaha memerangi penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa sebagaimana titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V kelmarin.

Agensi itu juga bertekad untuk membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan seiring dengan titah baginda.

"Sebagai satu-satunya agensi penguatkuasa yang dipertanggungjawabkan untuk memerangi rasuah di negara ini, SPRM akan memastikan titah Seri Paduka terlaksana sepenuhnya menggunakan segala kemampuan yang ada," katanya dalam kenyataan kelmarin.

Sultan Muhammad V dalam titah baginda ketika perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-13 di Dewan Rakyat, menzahirkan rasa dukacita kerana masih berlaku penyelewengan, ketirisan dan rasuah serta pembocoran maklumat kerajaan yang melibatkan penjawat dan bekas penjawat awam.

Seri Paduka bertitah walaupun kegiatan itu dilakukan segelintir mereka yang terbabit, namun ia menghakis kepercayaan rakyat kepada kerajaan.

Menurut Dzulkifli, SPRM menjunjung titah Seri Paduka sebagai satu cabaran untuk SPRM melaksanakan tugas memerangi rasuah dengan lebih komited dan efisien.

Sehubungan itu beliau berharap rakyat Malaysia khususnya seluruh jentera kerajaan untuk bersama-sama tanpa kompromi, berganding bahu bersama SPRM untuk melaksanakan titah baginda

Wednesday, August 17, 2016

Rasuah: SPRM 'Hairan' Kenyataan, Sikap Tengku Adnan


"Seorang menteri sepatutnya tidak berkompromi dengan sebarang tindakan menyalahi undang-undang dan kenyataan (beliau) itu menampakkan seolah-olah kepentingan awam tidak terpelihara."

Kenapa ada menteri seperti mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang ‘Datuk Seri’, iaitu pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)?

Malah menteri berkenaan turut mengingatkan SPRM agar melakukan siasatan sedalam-dalamnya mengenai kes berkenaan. Dengan kata lain mahu diadakan siasatan penuh dan adil dijalankan ke atas pegawai itu.

Kenapa bimbang dengan siasatan SPRM?

Seorang menteri menyatakan kebimbangan terhadap siasatan sebuah suruhanjaya kerajaan sendiri? memang pelik!


Di sebalik peringatan itu, menteri berkenaan berkata pegawai kanan yang ditahan SPRM itu adalah 'pegawai yang bagus' sehingga dinaikkan pangkat dua kali dalam tempoh setahun.

Menurut menteri berkenaan, setakat yang diketahuinya,  pegawai itu ialah seorang pegawai yang bagus, komited dengan tugas dan penuh perhatian. Beliau berpindah dari Gred 54 ke Gred Khas C, dan kini beliau dalam Gred Khas B kerana beliau seorang yang bagus dan mempunyai potensi.

Malah beliau kenaikan  pangkat itu kerana berdedikasi terhadap tugas dan seorang pembuat keputusan yang baik.

Semalam SPRM mendapat kebenaran mahkamah untuk menahan reman suspek sehingga 22 Ogos ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (a) dan Seksyen 23 Akta SPRM.

SPRM juga merampas pelbagai aset bernilai jutaan ringgit.

Suspek berpangkat Datuk Seri itu adalah pegawai kanan DBKL dan dia turut disiasat mengikut Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Anehnya, pengurusn tertinggi Tenaga Nasional Berhad tidak  pula mempertahankan pegawainya dan begitu juga dengan kerajaan negeri Melaka yang mana pegawainya turut ditahan.

Kerana itu adalah wajar sekiranya seorang pegawai kanan SPRM pelik dengan sikap menteri berkenaan.

Menteri berkenaan sepatutnya menunjukkan sikap yang berul dan memberi pujian kepada pegawai yang ditahan dan berdepan dengan siasatan rasuah.

Menganggap sikap Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebagai "menghairankan" pegawai kanan SPRM itu  berkata, tiada kompromi wajar ditunjukkan bagi kes rasuah.

Beliau yang enggan namanya dipetik berkata, Menteri Wilayah Persekutuan itu menampakkan seolah-olah kerajaan tidak melindungi orang awam.

"Kenyataan menteri berkenaan memang amat menghairankan!" katanya.

"Seorang menteri sepatutnya tidak berkompromi dengan sebarang tindakan menyalahi undang-undang dan kenyataan itu menampakkan seolah-olah kepentingan awam tidak terpelihara," kata pegawai kanan SPRM berkenaan.

Laporan media kelmarin (15 Ogos) melaporkan tiga penjawat awam ditahan oleh pegawai SPRM atas kesalahan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penggubahan wang haram.

Seorang daripada mereka berpangkat Datuk Seri, manakala seorang lagi Datuk.


Pengarah Siasatan SPRM Datuk Azam Baki berkata suspek ditahan dalam operasi serentak di tiga tempat iaitu Kuala Lumpur, Melaka dan Kelantan.

Sunday, May 15, 2016

Banjir Kilat: Reputasi Zahid Terjejas Teruk Jika Hanya Cakap Kosong


Minta-minta jangan hanya kenyataan politik. Atau hanya untuk sedapkan hati rakyat.

Kalau mahu siasat, biar ada kertas siasatan. Butiran siasatan dan keputusan juga perlu diumumkan.

Mesti ada hitam putih, sama ada ada pihak lakukan rasuah atau sebaliknya.

Kita mengalu-alukan kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa kerajaan akan menyiasat kemungkinan wujud unsur rasuah dalam pembangunan projek-projek di ibu negara.
  

Ini termasuk projek mega, sehingga menyebabkan kejadian banjir kilat pada 7 dan 13 Mei lalu.

Bukan sahaja di ibu negara, Kuala Lumpur. Di Putrajaya seminggu sebelum itu, iaitu pada Sabtu 7 Mei, juga berlaku banjir kilat.

Bagaimana pula di Putrajaya, apakah bukan kerana projek pembangunan yang dilaksanakan?.

Teliti apa kata  Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri TengkuAdnan Tengku Mansor:

Siasatan awal Perbadanan Putrajaya (PPj) mendapati banjir berlaku akibat laluan air tersumbat oleh daun yang jatuh ke dalamnya.

Selain itu, kadar curahan air hujan yang terlalu banyak iaitu 180 milimeter berterusan kira-kira sejam ketika kejadian yang dianggap fenomena luar biasa juga mendorong peningkatan air dalam longkang begitu cepat.


"Ini fenomena luar biasa untuk Putrajaya kerana hujan terlalu lebat berserta angin kencang yang turut menerbangkan daun kering masuk ke dalam longkang sehingga menyebabkan laluan air tersumbat.

"Hujan ini faktor semulajadi, kita tak boleh kawal ... walaupun perkara seumpama ini adalah di luar jangkaan sama sekali," katanya.

Tengku Adnan menolak kepesatan pembangunan sebagai faktor berlakunya banjir kilat di beberapa kawasan sekitar pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan  itu.

Sementara di Kuala Lumpur, berikutan hujan lebat selama dua jam 13 Mei lalu, mengakibatkan beberapa kawasan termasuk Jalan Tuanku Abdul Halim, Jalan Bangsar, Jalan Pantai Baru dan Jalan Pudu mengalami banjir kilat.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mengatakan banjir kilat ini berpunca daripada taburan hujan yang tinggi sebanyak 106.5 milimeter iaitu tiga kali ganda berbanding taburan hujan biasa, yang merupakan taburan hujan tertinggi bagi tahun ini.

DBKL sedang membuat pemeriksaan dan pembersihan keseluruhan sistem saliran di kawasan banjir serta beberapa kawasan lain yang dikenal pasti akan terbabit dengan bencana alam itu.

Selain itu, bilik gerakan bantuan bencana DBKL beroperasi 24 jam bagi memantau dan menyelaras tugas-tugas bantuan bencana banjir.

Rasanya, langkah itu dibuat selepas ‘serangan banjir kilat’ tetapi sebelum itu, apakah apa yang disebut oleh DBKL ini berfungsi?


Timbalan Perdana Menteri berkata pihak berkuasa yang berwajib akan  menjalankan siasatan itu dan menyediakan laporan lengkap mengenainya bagi membolehkan tindakan susulan diambil.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet mengenai Bencana Alam berkata pihak yang saling menuding jari dalam permasalahan itu juga akan diminta duduk bersama bagi mencari jalan terbaik untuk menangani isu berkenaan.

Amat nyata Dr Ahmad Zahid tahu bahawa ada pihak saling menyalahkan dan kenapa ia berlaku? Apa kepentingan kumpulan-kumpulan berkenaan?

"Yang terbaik ialah menyelesaikan masalah rakyat ini dalam jangka segera,” tegas Timbalan Perdana Menteri.

Ini suatu kenyataan yang kita perlu sokong tetapi jika tinggal kenyataan semata-mata, keyakinan rakyat akan terhakis kepada Dr Ahmad Zahid.

Yang penting, kerajaan perlu memastikan dalam jangka panjang banjir kilat dapat dikawal. Hujan lebat dan banjir kilat sukar dielakkan tetapi langkah mengawalnya perlu ada.

Benar kenyataan Dr Ahmad Zahid bahawa tidak sepatutnya banjir kilat berlaku di Kuala Lumpur kerana sistem dan infrastrukturnya cukup baik.

Namun kenapa berlaku juga?

Dr Ahmad Zahid turut menimbulkan persoalan kemungkinan ada permasalahan dari segi pengaliran air hujan berlebihan. Beliau berjanji akan membantu kementerian dan jabatan berkenaan untuk selesaikan masalah itu.

Bukan itu sahaja, Dr Ahmad Zahid sewajarnya turut melihat peranan DBKL yang nampaknya tidak mempunyai perancangan khusus mengatasi masalah ini apabila mengatakan akan mengkaji kesesuaian sistem saliran sedia ada.

Malah, selepas ini DBKL akan membuat penambahbaikan bagi mengelak kejadian banjir kilat pada masa depan.

Isu banjir kilat ini berlaku setiap tahun dan setiap kali berlaku DBKL akan memberikan jawapan lebih kurang serupa.

Tidakkah boleh dilihat daripada aspek rasuah terhadap DBKL, malah dalam Kementerian Wilayah Persekutuan sendiri?

Jelas sekali Tengku Adnan seperti tidak tahu apa mahu dibuat atau mempunyai cadangan mengatasi isu ini sma ada di Putrajaya mahupun Kuala Lumpur.

Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosio-Ekonomi DBKL, Datuk Mohd Sauffi Muhamad berkata baru-baru ini bagi membantu warga Kuala Lumpur menghadapi kemungkinan banjir kilat, DBKL akan menempatkan 59 anggota Unit Trafik Jabatan Penguatkuasaan di semua lokasi hotspot banjir di sekitar ibu negara.

Ia bertujuan untuk membantu kawalan lalu lintas dan membuat penutupan serta lencongan jalan sekiranya perlu bagi mengelakkan pengguna jalan raya melalui kawasan banjir.

Apa juga yang mahu dilakukan oleh Perbadanan Putrajaya atau DBKL, Dr Ahmad Zahid perlu menjamin kajian mendapat data dan fakta sebenar.

Soal rasuah sudah disebut dan pastinya kalau tidak ada info atau maklumat awal mengenainya, Timbalan Perdana Menteri tidak akan menyebutnya.

Yang pasti jika Dr Ahmad Zahid bercakap kosong atau siasatan tidak dijalankan dengan rapi, reputasinya akan terjejas teruk, malah mungkin akan menyebabkan orang ramai, khususnya wrga Putrajaya dan Kuala Lumpur tidak lagi akan mempercayainya.

Buktikan dan lakukan apa yang dijanjikan dengan sewajarnya,  Dr Ahmad Zahid!!!

Sunday, June 14, 2009

SPRM SELESAI SIASAT DUA DATUK

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah selesai melakukan siasatan dan akan memutuskan dalam tempoh terdekat sama ada untuk mendakwa dua 'Datuk' yang disyaki terbabit rasuah dalam pembinaan projek Lebuh raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, berkata SPRM melakukan siasatan secara adil dan bebas tanpa mengira individu itu menganggotai parti tertentu.

"Saya dimaklumkan siasatan sudah habis dan SPRM sudah mengumpul bukti dan kemungkinan untuk mendakwa kedua-dua pihak yang terbabit. Pada masa sama saya memberi jaminan kepada SPRM bahawa mereka hendaklah bertindak adil dan bebas tanpa mengira pihak yang didakwa datang daripada parti tertentu.

"Kalau cukup bukti dan siasatan sudah dibuat sepenuhnya serta ada keperluan untuk mendakwa, itu adalah keputusan yang bebas dibuat SPRM, malah baik kerajaan atau Umno tidak akan campur tangan dengan keputusan itu," katanya selepas merasmikan Program Hari Bersama Pelanggan Jabatan Perdana Menteri, di sini, semalam.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, mengulas desakan Setiausaha Agung Umno Tengku Adnan Tengku Mansor, kelmarin yang mahu SPRM mengambil tindakan segera ke atas dua anggota Umno bergelar Datuk yang disyaki terbabit dalam kes rasuah berhubung pembinaan MRR2.
Kelmarin, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mohd. Syukri Abdull mengesahkan siasatan ke atas dua lelaki bergelar Datuk telah siap dan sudah diserahkan kepada Bahagian Pendakwaan. Siasatan mengenai penyelewengan projek tersebut dijalankan selepas media pada Ogos 2004 mendedahkan mengenai keretakan MRR2 yang tidak selamat digunakan.

Isu ini dikaitkan dengan persepsi orang ramai terhadap UMNO, khususnya dalam konteks imej parti berkenaan.
Menurut blog hambali1.blogspot.com semalam, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, imej UMNO boleh dibersihkan jika tindakan dikenakan ke atas mereka yang melakukan rasuah politik dan rasuah membabitkan projek.
Menurut penulis blog berkenaan, baik dicadangkan, mana-mana ahli atau pemimpin yang pernah kena siasat kerana rasuah atau salah laku atau apa jugalah kesalahannya membabitkan awam, jangan diberikan kepercayaan memegang jawatan penting parti.
Takut nanti dipalitkan atau sedikit sebanyak akan tercemar atau tercalar imej mereka dan ini boleh menjejaskan imej parti.
Ini kerana Tengku Adnan sendiri berdepan dengan beberapa kes yang membabitkan kepentingan awam, malah penggendalian ibu pejabat UMNO olehnya turut dipersoalkan oleh beberapa bahagian yang bermasalah.

Hakikatnya bukan Tengku Adnan seorang sahaja pemimpin UMNO yang pernah berdepan dengan pelbagai tuduhan, ramai lagi yang berkedudukan serupa.

Tengku Adnan yang turut mengesahkan siasatan ke atas kedua-dua ahli parti UMNO bergelar Datuk yang disyaki terlibat dalam kes rasuah pembinaan projek Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) itu, mahu imej UMNO dibersihkan.
‘‘Kita tak nak ahli yang memburukkan imej parti. Kalau mereka kena dakwa, kita ikut prosedur biasanya kita akan gantung jawatan yang mereka pegang, itu kita akan lakukan.
‘‘Tapi SPRM kena ambil tindakan (terlebih dahulu), parti juga akan ambil langkah serupa seperti dilakukan ke atas Datuk Norza Zakaria dan Datuk Suhaili Abdul Rahman serta dua lagi pemimpin UMNO dari Seremban dan Perlis,” katanya kepada pemberita di Putrajaya semalam.

Beliau lantas mahukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu mengambil tindakan ke atas dua ahli UMNO bergelar Datuk yang disyaki itu.
Mengulas lanjut pembabitan kedua-dua ahli UMNO itu dengan kes rasuah, beliau berkata, UMNO tidak wajar dipersalahkan jika perbuatan itu dilakukan oleh mana-mana ahlinya.
‘‘Macam kita buka satu tin jus atau susu, apa ada dalam tin kita tak tau tapi dari luar kita tahulah ia tin susu, mungkin kandungannya itu busuk atau tak baik, kita tak tau,” katanya.

Mengenai tanggapan persepsi pihak tertentu bahawa SPRM kini dilihat lebih 'mensasarkan' pemimpin Umno berhubung kes rasuah, Mohamed Nazri berkata perkara itu tidak benar sama sekali.

"Persepsi itu tidak betul. Apa lebih penting, melawan rasuah atau hendak parti (Umno) membela seorang yang dituduh melakukan rasuah. Saya kira ini adalah satu usaha membersihkan parti daripada gejala rasuah, itu lebih penting daripada hendak menjaga nama parti atau cuba melindungi perbuatan itu."

Malah, katanya, usaha SPRM melakukan siasatan membabitkan rasuah disambut baik kerana apa yang dilakukan agensi itu adalah semata-mata untuk membersihkan parti.

"Saya kira ia tidak mendatangkan malu kepada kita (Umno) sekiranya SPRM mengambil tindakan terhadap mereka (ahli) yang melakukan rasuah.
"Saya rasa Umno akan dibersihkan daripada gejala rasuah dan sampai masanya esok kalau dapat kita membanteras rasuah dalam Umno ia akan mengembalikan kepercayaan rakyat kepada parti," katanya.

Sinar Harian melaporkan kelmarin, tiga pemimpin UMNO akan didakwa minggu depan berhubung suapan bernilai RM3 juta bagi projek Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) selepas keterangan pertuduhan ke atas mereka diambil dua hari lalu.
Difahamkan selain dakwaan di atas penyelewengan projek MRR2, Bendahari UMNO, Datuk Roslan Awang Chik dan Ketua UMNO Bahagian Dungun yang juga bekas Ahli Parlimen Dungun, Datuk Rosli Md Hassan akan didakwa dengan empat pertuduhan lain manakala tiga pertuduhan lain terhadap Ketua UMNO salah sebuah bahagian di Terengganu.
Konsortium Bumi Hijau kontraktor dikatakan memberi suapan kepada ketiga-tiga pemimpin berkenaan atas dasar sumbangan politik UMNO.