Showing posts with label Husam. Show all posts
Showing posts with label Husam. Show all posts

Tuesday, July 4, 2017

Kerajaan PAS Kelantan Didakwa Terlibat Dengan Syarikat Kutip Wang Haram

\

Kerajaan negeri Kelantan didakwa terlibat dengan operasi sebuah syarikat yang mengutip wang orang ramai dengan menjual token atau apa yang didakwa cryptocurrency.

Rakyat berhak untuk mengetahui sama ada langkah Climate Protector yang beralamat di Berek 12, Kota Bharu menggunakan kelulusan sejuta ekar Hutan Simpan Kekal (HSK) itu dengan mengutip wang orang ramai dengan menjual token atau apa yang didakwa cryptocurrency dipersetujui oleh Kerajaan Kelantan atau tidak.

Melalui status FBnya semalam, Naib Presiden Amanah, Datuk Husam Musa mendakwa ketika berucap di majlis perjumpaan Aidilfitri, 2 Syawal (26 Jun), Menteri Besar Kelantan didakwa dengan bangganya sekali lagi bercakap mengenai projek 'bertaraf dunia' Kelantan - perniagaan karbon menerusi sejuta ekar HSK diluluskan kepada Climate Protector Sdn Bhd.

Menteri Besar dikatakan menyatakan perkara itu ketika berucap di majlis perjumpaan Aidilfitri, 2 Syawal (26 Jun)

“Sedangkan tiga hari sebelum itu katanya, iaitu pada 23 Jun, Bank Negara Malaysia (BNM) menerusi laman webnya, menyenaraikan Climate Protector dan sekutunya, EcoBit sebagai beroperasi tanpa kelulusan, “ katanya.

Husam yang juga ADUN Salor menegaskan, kerajaan negeri Kelantan perlu mendedahkan tindakannya selepas Bank Negara menyenaraikan sebuah firma yang memeterai perjanjian dengannya untuk melindungi kira-kira 396,000 hektar hutan sebagai syarikat yang beroperasi tanpa kelulusan.


Husam berkata syarikat, Climate Protector Sdn Bhd, adalah salah satu dari empat syarikat yang dinamakan oleh Bank Negara menerusi satu senarai pemerhatian atau amaran kepada pengguna pada 23 Jun.

Senarai syarikat dan laman sesawang berkenaan tidak diberi kebenaran atau kelulusan di bawah undang-undang dan peraturan berkaitan yang ditadbir oleh Bank Negara.

Climate Protector memeterai perjanjian dengan kerajaan negeri Kelantan pada 9 Jan, 2017. Perjanjian itu meliputi tempoh 30 tahun.

Climate Protector dilaporkan sebagai "syarikat kredit karbon" pertama di Malaysia yang mendakwa teras perniagaannya adalah “inisiatif melindungi alam sekitar daripada pemusnahan hutan dan degradasi (REDD)."

Lima bulan lalu, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata perjanjian dengan kerajaan negeri Kelantan itu bercanggah dengan syarat yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

"Mekanisme ini adalah berasaskan prinsip pembiayaan bagi jumlah pengurangan pelepasan gas rumah kaca dan tidak melibatkan mekanisme pasaran," kata Wan Junaidi.

Sehubungan itu, menurutya, semua kerajaan negeri digesa untuk mendapatkan keterangan lanjut mengenai inisiatif REDD daripada Bahagian Pengurusan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim di talian 03-88861140 atau melalui e-mel di aduannre@nre.gov.my bagi memastikan kesahihan maklumat mengenai inisiatif REDD.


Walaupun demikian, Husam berkata, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob, pada 26 Jun tidak memandang berat amaran Bank Negara itu.

Berikutan itu,  Husam berkata kerajaan negeri kini perlu tampil menyatakan tindakan seterusnya selepas Bank Negara mengeluarkan amaran itu.

Husam turut mengemukakan beberapa persoalan dalam isu ini:

Pertama, syarikat mengutip wang secara haram menggunakan kelulusan Kerajaan Negeri?

Kedua, orang ramai mungkin menjadi mangsa kepada skim penipuan?

Ketiga, syarikat mendapat untung percuma?

"Jika ya, adakah Kerajaan Kelantan turut menjadi mangsa atau bersubahat?," soal beliau.

Menurutnya selepas pendedahan ini, Kerajaan Kelantan perlu mengambil tindakan segera bagi menyelamatkan negeri dan rakyat.

"Kala perlu kerajaan harus membatalkan perjanjian atau memberitahu orang ramai jangan terpedaya. Bagi rakyat mereka tidak harus berdiam diri seperti biasa.

"Kalau perlu patut membuat laporan polis, BNM dan SPRM," katanya.

Apa yang penting katanya, aset HSK Kelantan tidak tergadai, rakyat tidak mengalami kerugian dan kepentingan negeri dipelihara secara jujur, amanah, profesional dan cekap.

Husam berkata beliau akan mengadakan sidang media khas di Wisma Amanah Negara, Kuala Lumpur hari ini (4 Julai 2017, Selasa, jam 11.00 pagi) mengenai perkara itu.

Sumber - Malaysiakini & Malaysia Dateline

Monday, February 13, 2017

Hadi Jangan Melalut, Nyatakan Mahu Saman Husam Atau Tidak?


Bijak dan matangkah ulasan Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa Datuk Husam Musa sengaja tidak mahu bertanding dalam PRU14 apabila Husam  mendakwa PAS menerima dana sebanyak RM90 juta?

Kenapa Hadi perlu berbelit-belit cakap sedangkan perkataan mudah untuk menyanggah kenyataan Husam ialah ‘mahu saman’ atau ‘tidak'?

Hadi tidak payah meramalkan Husam akan kalah di mahkamah dan tidak layak untuk bertanding pilihan raya.

Tergelak jika baca kenyataan apabila Hadi seolah-olah merasakan mahkamah akan berpihak kepadanya.

Kenapa ‘Tok Guru’ semakin melalut dan begitu bimbang dengan Husam?

Juga, jika ke  mahkamah, apa yang menyebabkan Hadi begitu yakin akan menang?

Akan mendapat bantuan guaman daripada UMNOkah dalam kes ini?

Apakah Datuk Seri Najib Razak (Perdana Menteri} sudah dapat yakinkan Hadi bahawa pihaknya akan memberikan pertolongan daripada beliau agar Hadi menang kes ini?

(Untuk rekod, Najib dikaitkan dengan dana RM90 juta kepada PAS).

Hadi semalam membuat ulasan yang memang kelakar dan tidak masuk akal.

Seseorang  berpengalaman seperti Hadi, presiden parti yang mendakwa mereka perjuangkan Islam tidak wajar berpusing-pusing dan bermain perasaan sendiri dalam ulasannya terhadap Husam.

Husam ketika berucap di Selising, Pasir Puteh.
Apakah Hadi bimbang atau ‘tidak rasional’ lagi untuk memberikan jawapan terhadap kenyataan Husam?

Hadi berkata sekiranya isu RM90 juta dibawa ke mahkamah dan Husam dijatuhkan hukuman, kelayakannya untuk bertanding akan hilang.

“Saya merasakan beliau (Husam) tidak mahu bertanding PRU akan datang. Jadi, beliau buat begitulah (bangkitkan isu RM90 juta). Kalau bawa ke mahkamah benda bohong, apabila kalah sudah tidak boleh bertanding dalam PRU.

“Kalau tidak mahu bertanding, beritahulah supaya senang,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Kebajikan PAS di Auditorium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), semalam.

Berikutan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor menyifatkan kenyataan Presiden PAS sebagai melucukan.

Berdasarkan Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, seseorang ahli Parlimen boleh dilucutkan kelayakan jika dijatuhi hukuman penjara lebih setahun atau didenda lebih daripada RM2,000 oleh mahkamah, demikian menurut Hadi.

Husam berkata semalam, beliau belum pernah mendengar mana-mana pihak yang kalah dalam saman sivil tidak layak untuk bertanding dalam pilihan raya umum (PRU).

“Kenyataan Hadi sangat melucukan. Saya tak pernah dengar orang yang kalah dalam sivil kes di mahkamah tidak dapat bertanding pilihan raya,” katanya kepada Malaysiakini.

Malah, kata Husam lagi, Hadi seolah-olah membuat kesimpulan beliau telah kalah dalam kes tersebut.

“Oleh kerana kes ini tidak dibawa ke mahkamah atau belum dibawa ke mahkamah, kita tidak tahu siapa yang akan menang atau kalah, jadi macam mana dia boleh boleh buat kesimpulan saya yang akan kalah kes,” katanya.

Sebaliknya, Hadi seolah-olah dapat meramalkan apa akan jadi kepada Husam jika didakwa dan dibawa ke muka pengadilan.

Malah Hadi membuat tuduhan bahawa “sekiranya perkara itu dibawa ke mahkamah dan mendapati Husam kalah, akibat berbohong boleh menyebabkan beliau tidak layak untuk bertanding dalam PRU14.

Husam berbohong? Itu kata Hadi.


Hadi memang berkeyakinan penuh apabila mengatakan “Kalau bawa mahkamah (jadi) benda bohong, (bila) kalah tak boleh tanding dalam PRU. (Kalau) tak nak tanding beritahu senanglah.”

Bagaimanapun ada pihak mengatakan undang-undang menyebut bahawa seseorang hanya hilang kelayakan untuk bertanding dalam pilihan raya jika disabitkan dengan kes jenayah dan dihukum denda lebih daripada RM2,000 atau penjara dua tahun.

Ia tidak termasuk saman fitnah yang diperkatakan Hadi, melainkan jika anggota parlimen Marang itu mengandaikan Husam diisytihar muflis jika kalah saman itu.

Undang-undang juga menyatakan bahawa individu yang diisytiharkan muflis tidak boleh bertanding pilihan raya.

Membidas kenyataan Hadi, Husam mengatakan seharusnya Presiden PAS itu hanya menggunakan satu perkataan sahaja dalam isu ini kerana kenyataannya sebelum ini sukar difahami.

Husam turut meminta Hadi menyatakan pendiriannya untuk meneruskan saman tersebut atau tidak.

“Pemimpin besar macam Ustaz Hadi sebagai Presiden PAS sepatutnya guna satu perkataan sahaja atau dalam bahasa Arab, kalam wahid bukan dua perkataan yang tidak dapat dibaca maksud sebenar.

“Oleh kerana itu dia perlu tegaskan nak teruskan saman ataupun langsung tidak menyaman saya,” katanya.

Sebelum ini, Husam dalam ceramahnya di pentas Parti Amanah Negara (AMANAH) di Selising, Pasir Puteh, mendakwa mempunyai butiran berkaitan dana RM90 juta yang didakwa ada kaitan dengan PAS.

Kata Husam, dana berkenaan disalurkan ke akaun di Affin Bank.

Husam yang dipecat daripada PAS pada Mei 2016 atas dakwaan melanggar disiplin,  membayangkan akan menjelaskan mengenai butiran dana itu menjelang PRU akan datang.

Jumaat lalu, Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata PAS menganggap kenyataan Husam mengenai dana itu adalah rantaian daripada fitnah dibuat Sarawak Report sebelum ini.


PAS menafikan sekeras-kerasnya tuduhan Husam itu.

Tuesday, August 30, 2016

Apakah Husam Akan Mulai 'Sarung Jersi' AMANAH Malam Ini?


Teka teki hala tuju politik Datuk Husam Musa bakal berakhir malam ini apabila beliau dijangka akan membuat pengumuman penting dalam satu majlis anjuran Parti Amanah Negara (AMANAH) di Cyberjaya.

Husam yang mengunci mulut mengenai masa depan politiknya selepas dipecat daripada PAS, dijangka akan menyertai AMANAH dalam satu majlis yang akan diadakan malam ini (Selasa).

Timbalan Presiden AMANAH, Salahuddin Ayub, bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai perkara ini ketika diminta mengesahkan sama ada ADUN Salor itu akan menyertai parti itu.

"Akan ada pengumuman khas. Mari kita tunggu," katanya..

Menurut jemputan yang dihantar kepada media pada Isnin, Husam akan membuat 'penampilan istimewa' pada majlis makan malam ambang merdeka yang dianjurkan oleh AMANAH Putrajaya di Cyberjaya.

Beliau akan disertai oleh Presiden AMANAH, Mohamad Sabu.


Jika Husam menyertai AMANAH, ia bukanlah satu kejutan kerana beliau sebelum ini telah berkempen secara terbuka untuk parti itu semasa PRK Sungai Besar Jun lalu dan bukannya untuk PAS.

Husam telah dipecat daripada PAS pada bulan Mei, berikutan aduan salah laku.

Sebelum itu, beliau lantang mengkritik Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung isu pembalakan berleluasa dalam kerajaan pimpinan PAS di Kelantan dan berhubung kerajaan perpaduan dengan Umno.

Dalam satu kenyataan pada malam Isnin, Husam berkata beliau akan 'memakai jersi baharu' pada Selasa.

Husam berkata sejak hampir empat bulan beliau dipecat daripada PAS, tidak ada sebarang petunjuk bahawa beliau akan diterima lagi oleh parti.

"Tidak ada sebarang kajian semula terhadap pemecatan saya. Surat penjelasan saya kepada presiden parti nampaknya sia-sia," katanya.

Husam dijangka umum sertai parti baru di majlis makan malam AMANAH malam ini.



"Malam esok, bertempat di Cyberjaya, sebagai tetamu makan malam sebuah pertubuhan, saya berhasrat menamatkan masa penantian saya," kata beliau dalam satu kenyataan yang diedarkan semalam.

Selepas hampir empat bulan menurut beliau, nampaknya tidak ada sebarang isyarat untuk diterima semula (oleh Pas).

"Tiada semakan atas pemecatan saya. Surat penjelasan saya kepada Presiden Pas tidak berguna apa-apa," katanya.

Menurut kaedah Islam katanya, berdiam diri bukan pilihan.

"Al Qur'an menggelarkan orang yang duduk-duduk tanpa berbuat apa-apa sebagai al Qa'idun.
"Ia disinonimkan dengan perempuan yang lemah atau orang tua yang uzur," katanya.

Berikut kenyataan penuh beliau yang telah viral dengan meluas dalam media soasial:

Esok, Saya Menyarung Jersi Baru
Kini, menghampiri empat bulan saya terpecat dari Pas.

Dalam tempoh itu, nampaknya tidak ada sebarang isyarat saya diterima semula. Tiada semakan atas pemecatan saya. Surat penjelasan saya kepada Presiden Pas tidak berguna apa-apa.

Saya menikmati tempoh bertenang. Sambil menemui anggota masyarakat untuk bertanya pandangan mereka. Terburu-buru adalah dari syaitan, kata Nabi s.a.w.

Memerhatikan apa yang berlaku. Merenung dan mencari petanda-petanda pedoman.

Nyata, negara menuju keadaan yang lebih kritikal dari sebelumnya.

Negeri kelahiran saya juga, tidak menjadi lebih baik selepas ombak pengislahan bermula 1990.

Wadah yang saya harapkan dulu, se akan telah 'terjual'. Tertambat dengan kejumudan tanpa inovasi, takwilan nas di luar relevansi, pelabelan dan syok sendiri, membelakangkan budaya argumentasi tetapi mengutamakan emosi, laungan tidak sama dengan aksi, terikat dengan umpan politik lawan dan gagal menerapkan agenda perjuangan yang lebih luas meliputi.

Berdiam diri bukanlah pilihan. Al Qur'an menggelarkan orang yang duduk-duduk tanpa berbuat apa-apa sebagai al Qa'idun.

Ia disinonimkan dengan perempuan yang lemah atau orang tua yang uzur.

Saya?

Mencari gua persembunyian dari kelelahan perjuangan akan sia-sia. Berpaling kerana kecewa belum diberikan kejayaan perjuangan, adalah sama dengan apa yang dialami Nabi Yunus a.s ketika ditelan ikan dalam lautan. Tiga kegelapan menyelubungi baginda sebagai pengajaran untuk kita.

Sesekali, ketika fikiran terlintas untuk berehat dari mendayung perjuangan kerana digempur keberatan bebannya, kebimbangan atas pedoman Al Qur'an melalui kisah Yunus a.s itu menerpa.

Dunia bukan tempat istirehat.

Bersendirian? Juga bukan pilihan.

Empat bulan bukan singkat tetapi tidak pula tersangat panjang.

Di penghujung empat bulan penantian, saya memilih untuk menyertai bahtera baru untuk sama berganding mencuba merealisasikan: Islam Adalah Penyelesaian.

Yang lama dilaungkan tetapi belum menjadi realiti. Yang pernah sebahagian menjadi realiti, tetapi kini kabur semula.

Saya mencapai ketetapan, perjuangan Islam bukan hanya milik satu pihak, apa lagi satu parti.
Malam esok, bertempat di Cyberjaya, sebagai tetamu makan malam sebuah pertubuhan, saya berhasrat menamatkan masa penantian saya.

Dan mengumumkan parti baru pilihan saya.

Husam Musa
29 Ogos 2016
26 Dzulkaedah 1437

Wednesday, August 24, 2016

Husam Kepada Agong – Adalah Aib Jika Tidak Dituntut Wang Negara...


"Seberapa banyak wang yang hilang itu, jika dapat dipulangkan kepada negara, tentulah sedikit sebanyak memberikan faedah kepada rakyat."

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor,  Datuk Husam Musa dalam suratnya kepada Yang Di-Pertuan Agong memaklumkan bahawa beliau memberanikan diri mengambil tindakan saman itu demi Malaysia.

Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dimaklumkan bahawa seberapa banyak wang yang hilang itu, jika dapat dipulangkan kepada negara, tentulah sedikit sebanyak memberikan faedah kepada rakyat.

“Memandangkan sebahagian dari wang itu telah dibelanjakan untuk bermewah-mewah dan berpoya-poya, ketika mana masih ada rakyat Malaysia yang memerlukan pembelaan dan bantuan negara - tentulah menimbulkan kekesalan dan kehibaan.

“Adalah aib pada hemat patik, jika tidak ada satu pun rakyat Malaysia bertindak mengunakan saluran undang-undang untuk mengesahkan laporan-laporan atas tindakan berkenaan dan seterusnya mengembalikan wang negara yang jumlahnya begitu besar itu,” katanya.

Dalam surat terbuka bertarikh 17 Ogos, Husam turut menyerahkan satu salinan saman saman tindakan perwakilan yang difailkannya bersama peguam, Matthias Chang di Amerika Syarikat.


Husam juga berharap bahawa Seri Paduka akan mendoakan kejayaan tindakan mereka demi Malaysia.

“Doakan jua supaya urusan ini dipermudahkan dengan segala bentuk pertolongan dari Allah SWT dan hamba-hamba dan makhluknya.

Berikutan itu ADUN Salor itu itu memohon perkenaan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berhubung saman tindakan perwakilan yang difailkannya bersama peguam, Matthias Chang di Amerika Syarikat.

Husam dan Chang, iaitu bekas setiausaha politik Tun Dr Mahathir Mohammad memfailkan saman berkenaan hampir dua minggu lalu bagi menuntut ganti rugi terhadap wang yang dicuri daripada 1MDB dan mendapatkan semula hartanah dan aset lain yang dibeli dengan dana yang diselewengkan itu.

“Patik suka menyembahkan, bahawa patik tahu ia sebuah usaha yang sukar tetapi tidak lah wajar rakyat Malaysia hanya berputih mata atas apa yang telah dan akan merugikan negara ini,” katanya dalam surat terbuka.

Salinan surat itu dilaporkan tersebar di media sosial dan apabila dibawa kepada perhatian Husam, bekas naib presiden PAS itu mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa beliau menulis surat itu dan telah menghantarnya ke pejabat Tuanku Abdul Halim.

Husam juga memaklumkan bahawa beliau dan Chang memfailkan saman itu di mahkamah daerah selatan New York, Amerika Syarikat pada Khamis lalu menerusi peguam Louis F Burke.

Lapan defendan yang dinamakan dalam asaman itu termasuk anak tiri perdana menteri, Riza Shahriz Abdul Aziz; ahli perniagaan kelahiran Pulau Pinang, Low Taek Jho; Goldman Sachs Group Inc, Timothy Leissner, Christopher Joey McFarland, Red Granite Pictures Inc, Debra Whelan Johnson dan Metropolis IX Capital Advisors, LLC.

Berikut surat penuhnya:-


17 Ogos 2016
14 ZulKaedah 1437

Mengadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XIV Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah

Yang bersemayam di atas takhta Kerajaan Malaysia dengan kebesaran dan kemuliaan yang dikurniakan Allah, Raja Segala Raja.

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Ampun Tuanku,
Dengan segala hormat dan takzimnya patik merafakkkan sembah dan berdoa ke Hadrat Allah Subhanahu Wataala, mudah-mudahan Tuanku Seri Paduka Baginda sentiasa berada dalam bimbingan, perlindungan, afiat dan kerahmatan dari Allah setiap masa dan berlanjutan sampai akhirat nanti.

Ampun Tuanku,

*MEMOHON SEMBAH MAKLUM TINDAKAN SAMAN 'CLASS ACTION' DI AMERIKA SYARIKAT ATAS KEHILANGAN WANG 1MDB*

Patik dengan penuh takzim menerusi warkah ini, ingin merafakkan sembah mengenai tindakan patik atas nama rakyat Malaysia dan mewakili rakyat Malaysia serta benefisiari-benefisiari yang berhak ke atas faedah-faedah dari 1MDB di negara ini, bersama bersama seorang lagi hamba rakyat Tuanku, Mathias Chang, telah memfailkan saman yang dipanggil 'class action' ke atas pihak yang dikira melarikan wang berkait 1MDB.

Saman ini telah difailkan di Mahkamah Daerah Selatan New York, Amerika Syarikat pada Khamis lalu, 11hb Ogos 2016.

Patik mengguna pakai khidmat Peguam Louis F Burke untuk tujuan ini.

Patik berdua telah menamakan lapan (8) Defendan yang terdiri daripada Riza Shahriz Bin Abdul Aziz, Low Taek Jho, Goldman Sachs Group Inc., Timothy Leissner, Christopher Joey McFarland, Red Granite Pictures Inc, Debra Whelan Johnson dan Metropolis IX Capital Advisors, LLC.

Secara ringkasnya, pemfailan tindakan saman tersebut adalah bertujuan untuk menuntut ganti rugi terhadap wang yang dicuri daripada 1MDB dan mendapatkan semula hartanah dan aset lain yang dibeli dengan menggunakan wang curi tersebut.

Bank pelaburan Goldman Sachs turut dinamakan bersama bekas pengurus banknya Timothy Leissner, yang mengatur bon dengan nilai berbilion dolar untuk 1MDB sebelum ini.

Ampun Tuanku,

Patik memberanikan diri mengambil tindakan ini Demi Malaysia.

Seberapa banyak wang yang telah hilang itu, jika dapat dipulangkan kepada negara kita, tentulah sedikit sebanyak memberikan faedah kepada rakyat kita sendiri.

Memandangkan sebahagian dari wang itu telah dibelanjakan untuk bermewah-mewah dan berpoya-poya, ketika mana masih ada rakyat Malaysia yang memerlukan pembelaan dan bantuan negara - tentulah menimbulkan kekesalan dan kehibaan.

Adalah aib pada hemat patik, jika tidak ada satu pun rakyat Malaysia bertindak mengunakan saluran undang-undang untuk mengesahkan laporan-laporan atas tindakan berkenaan dan seterusnya mengembalikan wang negara yang jumlahnya begitu besar itu.

Ampun Tuanku,

Senaskhah Palintif's Original Complaint berkenaan, patik sertakan bersama warkah ini untuk tatapan Tuanku jua.

Terdapat lima 'Course of Action' di bawah Claims for Relief yang patik pohon, seperti tertera pada muka surat 26 - 31.

Ampun Tuanku,

Patik pohon Ke Bawah Duli Tuanku mendoakan kejayaan tindakan patik ini Demi Malaysia.
Doakan jua supaya urusan ini dipermudahkan dengan segala bentuk pertolongan dari Allah s.w.t dan hamba-hamba dan makhlukNya.

Patik suka menyembahkan, bahawa patik tahu ianya sebuah usaha yang sukar tetapi tidak lah wajar rakyat Malaysia hanya berputih mata atas apa yang telah dan akan merugikan negara ini.
Ampun Tuanku,

Patik juga meminta diampunkan atas tindakan patik menjadikan warkah ini sebuah warkah terbuka untuk tatapan rakyat jelata Malaysia juga.

Ampun Tuanku,

Patik akhiri warkah yang tidak sepertinya ini dengan sekali lagi mempersembah pohonan ampun atas apa jua kekhilafan patik menerusi warkah ini.

Payungan Duli Yang Maha Mulia Tuanku berserta Duli-Duli Raja-Raja seluruhnya, akan meletakkan negara ini kekal merdeka, berdaulat, aman makmur dan diredhai Maha Pencipta.

Mudah-mudahan Allah Subhanahu Wataala melanjutkan usia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan seluruh kerabat Tuanku dan semoga sentiasa berada di dalam kesejahteraan dan kebahagiaan yang berkekalan.

Amin Ya Rabbal Alamin

Ampun Tuanku,

Patik dengan segala hormat takzimnya;

YB Dato Hj Husam bin Musa


#DEMIMALAYSIA

Sunday, August 14, 2016

Tebus Dana 1MDB - Husam, Chang Kemuka Saman Di New York


Datuk Husam Musa mengotakan janjinya untuk menyaman beberapa individu dan institusi kewangan yang bersekongkol dengan pihak yang melesapkan harta rakyat negara ini dalam skandal yang ada kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada Khamis lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)  Salor itu bersama-sama bekas setiausaha politik Tun Dr Mahathir Mohamad, Matthias Chang bergandingan memfailkan saman secara berkumpulan di Amerika Syarikat.


Saman ditujukan kepada beberapa individu yang dikaitkan dengan 1MDB seperti yang dinamakan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) baru-baru ini.

Saman itu bertujuan memohon ganti rugi bagi kecurian dana firma pelaburan strategic negara dan mendapatkan semula aset yang diperoleh dengan menggunakan dana berkenaan.

Pada 30 Julai lalu, Husam menyatakan  sedang berunding untuk mendapat nasihat daripada  peguam-peguam Amerika Syarikat bertujuan  meneliti langkah-langkah untuk menuntut pihak-pihak yang bekerjasama dengan pemain-pemain dalam skandal 1MDB di Amerika Syarikat.

Pada ceramah sempena rumah terbuka raya AMANAH  di Wakaf Bharu, Tumpat pada tarikh tersebut, Husam berkata berdasarkan pandangan peguam dari  negara berkenaan, beberapa pihak seperti bank dan broker-broker yang turut berperanan menjalankan transaksi haram ini harus mengambil tanggungjawab kepada rakyat negara ini.

Tindakan mengemukakan saman itu dibuat bagi pihak rakyat Malaysia dan difailkan pada Khamis di Mahkamah Daerah Amerika Syarikat di Daerah Selatan New York.

The Hollywood Reporter melaporkan semalam,  Husam dan Chang menamakan firma Red Granite, pengasas syarikat pengeluar dan pengedar filem Christopher Joey McFarland dan Riza Shahriz Abdul Aziz yang juga anak tiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai defendan.

Menurut pemfailan mahkamah, Husam dan Chang  mendakwa defendan sengaja menggunakan dana yang dicuri daripada  1MDB untuk kepentingan peribadi mereka termasuk mengadakan pesta untuk bintang Hollywood, Leonardo DiCaprio.

Turut dinamakan sebagai defendan ialah jutawan yang berasal dari Malaysia, Jho Low dan peguam percukaiannya, Debra Whelan Johnson serta firma miliknya, Metropolis IX Capital Advisors LLC.


Kumpulan perbankan iaitu Goldman Sachs Group dan bekas ‘orang besar bank berkenaan’ Timothy Leissner juga dinamakan.

Plaintif mendakwa individu-individu dan entiti yang dinamakan itu terlibat dalam urus niaga yang menjurus kepada kecurian dana 1MDB.

Menurut makluman yang diberitahu kepada Husam,  sebuah bank ternama Amerika Syarikat jelas melakukan kaedah transaksi wang 1MDB yang nyata salah di sisi undang-undang.

"Kita yakin dengan bantuan yang bakal diberi pelbagai pihak di Amerika Syarikat sendiri,  kita akan dapat kemukakan tuntutan ini termasuk menyaman sebuah bank ternama di sana.


"Kalau perlu saya sendiri akan ke AS untuk menjayakan tuntutan ini," katanya baru-baru ini.