Showing posts with label saman. Show all posts
Showing posts with label saman. Show all posts

Monday, February 13, 2017

Hadi Jangan Melalut, Nyatakan Mahu Saman Husam Atau Tidak?


Bijak dan matangkah ulasan Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa Datuk Husam Musa sengaja tidak mahu bertanding dalam PRU14 apabila Husam  mendakwa PAS menerima dana sebanyak RM90 juta?

Kenapa Hadi perlu berbelit-belit cakap sedangkan perkataan mudah untuk menyanggah kenyataan Husam ialah ‘mahu saman’ atau ‘tidak'?

Hadi tidak payah meramalkan Husam akan kalah di mahkamah dan tidak layak untuk bertanding pilihan raya.

Tergelak jika baca kenyataan apabila Hadi seolah-olah merasakan mahkamah akan berpihak kepadanya.

Kenapa ‘Tok Guru’ semakin melalut dan begitu bimbang dengan Husam?

Juga, jika ke  mahkamah, apa yang menyebabkan Hadi begitu yakin akan menang?

Akan mendapat bantuan guaman daripada UMNOkah dalam kes ini?

Apakah Datuk Seri Najib Razak (Perdana Menteri} sudah dapat yakinkan Hadi bahawa pihaknya akan memberikan pertolongan daripada beliau agar Hadi menang kes ini?

(Untuk rekod, Najib dikaitkan dengan dana RM90 juta kepada PAS).

Hadi semalam membuat ulasan yang memang kelakar dan tidak masuk akal.

Seseorang  berpengalaman seperti Hadi, presiden parti yang mendakwa mereka perjuangkan Islam tidak wajar berpusing-pusing dan bermain perasaan sendiri dalam ulasannya terhadap Husam.

Husam ketika berucap di Selising, Pasir Puteh.
Apakah Hadi bimbang atau ‘tidak rasional’ lagi untuk memberikan jawapan terhadap kenyataan Husam?

Hadi berkata sekiranya isu RM90 juta dibawa ke mahkamah dan Husam dijatuhkan hukuman, kelayakannya untuk bertanding akan hilang.

“Saya merasakan beliau (Husam) tidak mahu bertanding PRU akan datang. Jadi, beliau buat begitulah (bangkitkan isu RM90 juta). Kalau bawa ke mahkamah benda bohong, apabila kalah sudah tidak boleh bertanding dalam PRU.

“Kalau tidak mahu bertanding, beritahulah supaya senang,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Kebajikan PAS di Auditorium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), semalam.

Berikutan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor menyifatkan kenyataan Presiden PAS sebagai melucukan.

Berdasarkan Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, seseorang ahli Parlimen boleh dilucutkan kelayakan jika dijatuhi hukuman penjara lebih setahun atau didenda lebih daripada RM2,000 oleh mahkamah, demikian menurut Hadi.

Husam berkata semalam, beliau belum pernah mendengar mana-mana pihak yang kalah dalam saman sivil tidak layak untuk bertanding dalam pilihan raya umum (PRU).

“Kenyataan Hadi sangat melucukan. Saya tak pernah dengar orang yang kalah dalam sivil kes di mahkamah tidak dapat bertanding pilihan raya,” katanya kepada Malaysiakini.

Malah, kata Husam lagi, Hadi seolah-olah membuat kesimpulan beliau telah kalah dalam kes tersebut.

“Oleh kerana kes ini tidak dibawa ke mahkamah atau belum dibawa ke mahkamah, kita tidak tahu siapa yang akan menang atau kalah, jadi macam mana dia boleh boleh buat kesimpulan saya yang akan kalah kes,” katanya.

Sebaliknya, Hadi seolah-olah dapat meramalkan apa akan jadi kepada Husam jika didakwa dan dibawa ke muka pengadilan.

Malah Hadi membuat tuduhan bahawa “sekiranya perkara itu dibawa ke mahkamah dan mendapati Husam kalah, akibat berbohong boleh menyebabkan beliau tidak layak untuk bertanding dalam PRU14.

Husam berbohong? Itu kata Hadi.


Hadi memang berkeyakinan penuh apabila mengatakan “Kalau bawa mahkamah (jadi) benda bohong, (bila) kalah tak boleh tanding dalam PRU. (Kalau) tak nak tanding beritahu senanglah.”

Bagaimanapun ada pihak mengatakan undang-undang menyebut bahawa seseorang hanya hilang kelayakan untuk bertanding dalam pilihan raya jika disabitkan dengan kes jenayah dan dihukum denda lebih daripada RM2,000 atau penjara dua tahun.

Ia tidak termasuk saman fitnah yang diperkatakan Hadi, melainkan jika anggota parlimen Marang itu mengandaikan Husam diisytihar muflis jika kalah saman itu.

Undang-undang juga menyatakan bahawa individu yang diisytiharkan muflis tidak boleh bertanding pilihan raya.

Membidas kenyataan Hadi, Husam mengatakan seharusnya Presiden PAS itu hanya menggunakan satu perkataan sahaja dalam isu ini kerana kenyataannya sebelum ini sukar difahami.

Husam turut meminta Hadi menyatakan pendiriannya untuk meneruskan saman tersebut atau tidak.

“Pemimpin besar macam Ustaz Hadi sebagai Presiden PAS sepatutnya guna satu perkataan sahaja atau dalam bahasa Arab, kalam wahid bukan dua perkataan yang tidak dapat dibaca maksud sebenar.

“Oleh kerana itu dia perlu tegaskan nak teruskan saman ataupun langsung tidak menyaman saya,” katanya.

Sebelum ini, Husam dalam ceramahnya di pentas Parti Amanah Negara (AMANAH) di Selising, Pasir Puteh, mendakwa mempunyai butiran berkaitan dana RM90 juta yang didakwa ada kaitan dengan PAS.

Kata Husam, dana berkenaan disalurkan ke akaun di Affin Bank.

Husam yang dipecat daripada PAS pada Mei 2016 atas dakwaan melanggar disiplin,  membayangkan akan menjelaskan mengenai butiran dana itu menjelang PRU akan datang.

Jumaat lalu, Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata PAS menganggap kenyataan Husam mengenai dana itu adalah rantaian daripada fitnah dibuat Sarawak Report sebelum ini.


PAS menafikan sekeras-kerasnya tuduhan Husam itu.

Sunday, August 14, 2016

Tebus Dana 1MDB - Husam, Chang Kemuka Saman Di New York


Datuk Husam Musa mengotakan janjinya untuk menyaman beberapa individu dan institusi kewangan yang bersekongkol dengan pihak yang melesapkan harta rakyat negara ini dalam skandal yang ada kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada Khamis lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)  Salor itu bersama-sama bekas setiausaha politik Tun Dr Mahathir Mohamad, Matthias Chang bergandingan memfailkan saman secara berkumpulan di Amerika Syarikat.


Saman ditujukan kepada beberapa individu yang dikaitkan dengan 1MDB seperti yang dinamakan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) baru-baru ini.

Saman itu bertujuan memohon ganti rugi bagi kecurian dana firma pelaburan strategic negara dan mendapatkan semula aset yang diperoleh dengan menggunakan dana berkenaan.

Pada 30 Julai lalu, Husam menyatakan  sedang berunding untuk mendapat nasihat daripada  peguam-peguam Amerika Syarikat bertujuan  meneliti langkah-langkah untuk menuntut pihak-pihak yang bekerjasama dengan pemain-pemain dalam skandal 1MDB di Amerika Syarikat.

Pada ceramah sempena rumah terbuka raya AMANAH  di Wakaf Bharu, Tumpat pada tarikh tersebut, Husam berkata berdasarkan pandangan peguam dari  negara berkenaan, beberapa pihak seperti bank dan broker-broker yang turut berperanan menjalankan transaksi haram ini harus mengambil tanggungjawab kepada rakyat negara ini.

Tindakan mengemukakan saman itu dibuat bagi pihak rakyat Malaysia dan difailkan pada Khamis di Mahkamah Daerah Amerika Syarikat di Daerah Selatan New York.

The Hollywood Reporter melaporkan semalam,  Husam dan Chang menamakan firma Red Granite, pengasas syarikat pengeluar dan pengedar filem Christopher Joey McFarland dan Riza Shahriz Abdul Aziz yang juga anak tiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai defendan.

Menurut pemfailan mahkamah, Husam dan Chang  mendakwa defendan sengaja menggunakan dana yang dicuri daripada  1MDB untuk kepentingan peribadi mereka termasuk mengadakan pesta untuk bintang Hollywood, Leonardo DiCaprio.

Turut dinamakan sebagai defendan ialah jutawan yang berasal dari Malaysia, Jho Low dan peguam percukaiannya, Debra Whelan Johnson serta firma miliknya, Metropolis IX Capital Advisors LLC.


Kumpulan perbankan iaitu Goldman Sachs Group dan bekas ‘orang besar bank berkenaan’ Timothy Leissner juga dinamakan.

Plaintif mendakwa individu-individu dan entiti yang dinamakan itu terlibat dalam urus niaga yang menjurus kepada kecurian dana 1MDB.

Menurut makluman yang diberitahu kepada Husam,  sebuah bank ternama Amerika Syarikat jelas melakukan kaedah transaksi wang 1MDB yang nyata salah di sisi undang-undang.

"Kita yakin dengan bantuan yang bakal diberi pelbagai pihak di Amerika Syarikat sendiri,  kita akan dapat kemukakan tuntutan ini termasuk menyaman sebuah bank ternama di sana.


"Kalau perlu saya sendiri akan ke AS untuk menjayakan tuntutan ini," katanya baru-baru ini.

Saturday, March 31, 2012

Zulkifli Nordin Cabar Anuar Saman Karpal Singh

"DAN yang paling tidak masuk akal, bukan sahaja Anwar tidak mengheret Karpal ke Mahkamah, malahan Anwar melantik Karpal menjadi peguamnya di Mahkamah dalam kes yang sama jenisnya iaitu meliwat stafnya sendiri! Pada teman, sebelum nak menyaman Datuk Nallakarupan, sebelum nak menyaman Datuk Eskay Shazryl, sebelum nak menyaman Umi Hafilda, teman cabar Anwar supaya menyaman Karpal Singh!"

Oleh Zulkifli Nordin (26 Mac 2012)

Teman tertarik dengan cabaran-cabaran yang dibuat oleh beberapa tokoh yang punya hubungan rapat dengan Anwar Ibrahim dahulu. Pendedahan oleh rakan karib Anwar iaitu Datuk Nallakarupan bahawa Anwar adalah seorang pengamal seks bebas "biseksual" sangat menggemparkan. Ini diikuti dengan pendedahan demi pendedahan oleh Umi Hafilda, Datuk Eskay Shazryl Abdullah, Anuar Shaari, Senator Ezam Mohd. Nor, dan ramai lagi tentang kegiatan seksual luar tabie Anwar sangatlah membimbangkan.

Apa yang menarik perhatian teman ialah pendedahan mereka diikuti dengan cabaran supaya Anwar menyaman mereka jika ianya tidak betul. Malah ada yang mencabar supaya Anwar membuat sumpah mubahalah, mahupun sumpah la'nat untuk menafikan pendedahan mereka.

Isu ini penting kerana Anwar mahu menjadi Perdana Menteri. Dia nak jadi pemimpin negara. Kalau Anwar setakat nak jadi Presiden Kelab LBGT teman tak peduli pun. Kalau Anwar setakat nak jadi Pengerusi Badan Kebajikan Mak Nyah Sedunia teman tak kisah. Tetapi Anwar nak jadi PM! Dia nak memimpin umat Islam, rakyat Malaysia dan negara ini! Jadi soal moral, akhlak, integriti dan kewibawaan Anwar sangat penting. Kalau calon menantu pun kita sangat berkira akhlaknya, inikan pulak calon Perdana Menteri yang diwar-warkan oleh pakatan pembangkang.

Bercakap soal saman menyaman dan kredibiliti Anwar ini dalam isu seksual ini, teman rasa orang yang pertama Anwar patut saman ialah Karpal Singh. Ini kerana Karpal lah orang yang mendedahkan perlakuan seks luar tabi'e Anwar. Jangan lupa pada 22 Oktober 1997, Karpal lah yang mendedahkan Anwar sebagai peliwat didalam Parlimen. Dan Karpal lah yang mendesak Kerajaan supaya membuuat siasatan tuduhan liwat terhadap Anwar.

Karpal pada masa itu adalah peguam yang telah berjumpa dengan mangsa liwat Anwar iaitu pemandunya sendiri Azizan Abu Bakar dan juga Umi Hafilda Ali. Bukan sahaja dalam Parlimen, malah Karpal mengulangi dakwaan dia punya bukti Anwar peliwat didalam ceramah. Kata YB Wee Choo Keong, beliau mendengar sendiri ucapan Karpal Singh mendakwa Anwar peliwat di Federal Hotel.

Malahan kata YB Wee Choo Keong, disebabkan pendedahan Karpal itu lah PAS mengadakan ceramah di Taman Melewar. Beliau yang hadir diatas pentas dalam ceramah itu mendengar sendiri bagaimana pemimpin PAS mengisytihar dan melabel Anwar dengan gelaran Al-Juburi (tapi hari ni mereka pulak yang mengangkat Al-Juburi ni sebagai pemimpin agong mereka).

Bukan itu sahaja, Karpal tetap konsisten mempertikaikan kredibiliti Anwar. Ini terbukti apabila pembohongan 16 Sept terbongkar, Karpal adalah satu-satunya pemimpin pembangkang yang menegaskan Anwar tidak layak menjadi pemimpin dan Karpal mendesak Anwar supaya bertaubat dan mengundur diri daripada politik.

Tetapi yang peliknya sampai hari ni Anwar tidak pernah menyaman Karpal. Sedangkan pendedahan Karpal lah yang menyebabkan Kerajaan mengambil tindakan, menyebabkan pihak polis membuat siasatan, menyebabkan pihak pendakwaraya mendakwa Anwar, dan membawa kepada Tun Dr. Mahathir memecat Anwar. Pendekkata, pendedahan Karpal lah yang menyebabkan Anwar tersungkur.

Jadi adalah sangat tidak logik bagi Anwar jika dia langsung tidak mengambil tindakan terhadap Karpal. Amat tidak masuk aqal bagi Anwar tidak mengheret Karpal ke Mahkamah. Amat menghairankan Anwar tidak menyaman Karpal.

DAN yang paling tidak masuk akal, bukan sahaja Anwar tidak mengheret Karpal ke Mahkamah, malahan Anwar melantik Karpal menjadi peguamnya di Mahkamah dalam kes yang sama jenisnya iaitu meliwat stafnya sendiri!

Pada teman, sebelum nak menyaman Datuk Nallakarupan, sebelum nak menyaman Datuk Eskay Shazryl, sebelum nak menyaman Umi Hafilda, teman cabar Anwar supaya menyaman Karpal Singh!

So Anwar, the ball is in your hand! Now let us see whether you have the balls to sue Karpal Singh that leads to your disgraced and downfall.

Thursday, November 10, 2011

MB Terenganu Mahu Saman Fitnah Blog Guanopulok, MSO Melayu

Daripada teganuku


Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said akan memfailkan saman ke atas dua pemilik laman blog yang menyebar fitnah kononnya dia ditangkap basah sebelum ini.

Ahmad berkata, dua pemilik blog yang mengendalikan blog http://msomelayu.blogspot.com dan guanopulok.blogspot.com telah memfitnah beliau sejak tiga bulan lalu.

"Kita kenal pasti pemilik blog msomelayu dan pemilik blog guanopulok masih disiasat kerana blog tersebut dipercayai didaftar di California," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Yayasan Pembangunan Keluarga dan SME Bank di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu, semalam.

Dalam laporan 4 Oktober lalu, pemilik blog guanopulok.blogspot.com mendakwa Menteri Besar itu telah 'ditangkap' oleh seseorang di Hilton Sentral.

Ahmad menyifatkan penulis blog tersebut seperti manusia bertopengkan khinzir kerana sanggup mengaibkan orang lain demi kepuasan diri sendiri.

Jelasnya, sebelum ini beliau hanya mendiamkan diri kerana tidak mahu memperbesarkan isu tersebut yang nyata tidak menjejaskan kepimpinannya.

Bagaimanapun, ujarnya, beliau kesal apabila isu tersebut memberi kesan mendalam kepada ahli keluarga.

"Apa yang menyedihkan, ketika sambutan Aidiladha baru-baru ini, anak saya menangis ekoran fitnah itu kerana tidak tahan dengan kata-kata orang.

''Itu membuatkan saya tampil membuat laporan polis dan menyaman individu berkaitan,'' katanya.

Beliau menambah, sebagai ahli politik, dia mampu bertahan dengan apa jua tuduhan tetapi tidak bagi ahli keluarganya yang terlalu kecewa dan sedih.

Ahmad berkata, beliau menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat dan berharap undang-undang sedia ada dipinda bagi memberikan hukuman lebih berat kepada mereka yang menyalahgunakan media baru.

Thursday, May 7, 2009

MOHD NIZAR REKA CERITA DONGENG

(Utusan Malaysia, 7 Mei 200)

KUALA LUMPUR 6 Mei - Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin disifatkan hanya mereka cipta cerita dongeng dalam usahanya mengekalkan jawatan meskipun beliau telah hilang kepercayaan daripada majoriti anggota Dewan Undangan Negeri (DUN), Februari lalu.

Peguam Datuk Cecil Abraham yang mewakili Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir ketika berhujah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini berkata, ia bagaimanapun hanyalah versi cerita Mohammad Nizar yang dilihat hanya mempunyai ingatan terpilih bagi rentetan kejadian itu.
Justeru, katanya, mahkamah seharusnya meneliti kepada dokumen-dokumen termasuk keterangan serta afidavit-afidavit yang telah difailkan oleh semua pihak terlibat dalam semakan kehakiman itu sebelum membuat keputusan berhubung kes tersebut.

Jelas beliau, fakta dalam kes itu jelas menunjukkan bahawa tiga ADUN iaitu ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd. Radzi, ADUN Changkat Jering, Kapten (B) Mohd. Osman Jailu dan ADUN Jelapang, Hee Yit Foong telah menarik balik surat peletakan jawatannya walaupun Mohammad Nizar mendakwa tidak mengetahuinya semasa menghadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Malahan, katanya, ketiga-tiga ADUN itu telah memaklumkan sendiri keputusan mereka kepada Sultan Perak dan ini sekali gus membuktikan Barisan Nasional (BN) mendapat sokongan 31 ADUN.

''Semua fakta tersebut terkandung dalam dokumen yang ada di hadapan Yang Arif,'' katanya ketika berhujah dalam semakan kehakiman dikemukakan oleh Mohammad Nizar, 52, pada 13 Februari lalu untuk mencabar kesahihan pelantikan Zambry sebagai Menteri Besar Perak.

Dalam permohonan itu, Mohammad Nizar mendakwa beliau masih Menteri Besar yang sah berdasarkan kepada perlembagaan negeri itu kerana beliau yang bertindak menasihati Sultan untuk membubarkan sidang DUN.

Selain itu, Mohammad Nizar mendakwa, beliau tidak pernah meletak jawatan mahupun terdapat sebarang undi tidak percaya dibuat terhadapnya supaya melepaskan jawatan.

Mohammad Nizar sebelum ini turut memberi keterangan selama dua hari mulai Isnin lalu bagi prosiding permohonan beliau untuk membuat pemeriksaan balas terhadap Penasihat Undang-Undang Negeri Perak, Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid yang didakwa tidak konsisten dalam afidavitnya.

Dalam hujahannya, Cecil juga menyatakan bahawa berdasarkan kepada Perkara 16(6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak (UTKP), Sultan Perak mempunyai hak untuk menolak permintaan Mohammad Nizar bagi membubarkan DUN.

Menurutnya, setelah Sultan Perak melaksanakan prerogatif Baginda untuk tidak membubarkan Dewan mengikut perlembagaan negeri itu, Mohammad Nizar seharusnya meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar pada waktu itu.

Justeru, katanya, tidak timbul isu bahawa Mohammad Nizar selaku pemohon dalam semakan kehakiman itu menggunakan budi bicaranya sendiri atau cuba kekal sebagai Menteri Besar kerana jawatan itu telah pun dikosongkan.

Ekoran kekosongan jawatan itu, hujah Cecil, Sultan Perak mengikut Perkara 16(2) UTKP yang mempunyai budi bicara untuk mengisi kekosongan tersebut berdasarkan pengadilannya terhadap pihak yang telah mendapat kepercayaan majoriti anggota DUN.

Beliau juga menegaskan bahawa pelantikan Zambry sebagai Menteri Besar pada 6 Februari lalu dibuat mengikut Perkara 12 dan Perkara 16(2) UTKP.

''Pelantikan responden (Zambry) sebagai Menteri Besar adalah sah dan mengikut undang-undang. Apatah lagi, responden telah pun mengangkat sumpah di hadapan Sultan Perak dan menerima surat yang mengesahkan pelantikannya,'' katanya.

Prosiding di hadapan Hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim bersambung esok.