Showing posts with label Najib. Show all posts
Showing posts with label Najib. Show all posts

Saturday, August 5, 2017

Straits Times - Tiada Yang Asli, Semua PM Malaysia Berketurunan Campuran


Akhbar Singapura, The Straits Times melaporkan semua perdana menteri Malaysia berketurunan campuran.

Menyusuli dakwaan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi yang kad pengenalan lama Tun Dr Mahathir Mohamad tertera “Mahathir a/l Iskandar Kutty”, laporan bertajuk “Malaysian PMs: Malay and more” (PM Malaysia: Campuran Melayu) itu menyenaraikan keturunan perdana menteri lain seperti berikut:

Tunku Abdul Rahman
Tunku Abdul Rahman (1957-1970)
“Bapanya raja Kedah ke-25 manakala ibunya kerabat Siam, menurut Bernama.”

Abdul Razak Hussein
Tun Abdul Razak Hussein (1970-1976)
“Berasal dari salah seorang bangsawan tertinggi Pahang. Menurut sejarawan William Linehan, para bangsawan mempunyai keturunan menerusi garis keturunan sebelah ibu dari ketua Bugis, To’ Tuan.”

Hussein Onn
Tun Hussein Onn (1976-1981)
“Anak pengasas Umno Datuk Sir Onn Ja’afar. Sebuah buku yang ditulis Leon Comber menyatakan neneknya seorang Sirkasia, satu kumpulan etnik yang kebanyakannya kini menetap di Turki.”

Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad (1981-2003)
“Bapanya Melayu Pulau Pinang yang mempunyai nenek moyang dari Kerala, India.”


Abdullah Ahmad Badawi
Tun Abdullah Ahmad Badawi (2003-2009)
“Berdarah Hadrami, menurut buku yang dicetak Utusan Publications. Hadrami sebuah kawasan yang diperintah seorang sheikh di Yemen. The Star sebelum ini melaporkan datuk sebelah ibunya seorang Hainan Islam.”

Najib Razak
Datuk Seri Najib Razak (2009- current)
“Menurut Utusan Malaysia, anak keapda perdana menteri kedua itu juga berketurunan Bugis dari sebelah ibunya, yang mana nenek moyangnya seorang ketua Bugis di Johor.”

Ahad lepas, dalam ucapannya semasa merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Kelana Jaya, Zahid mendakwa Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara Datuk Yazid Ramli memberikan maklumat mengenai kad pengenalan Dr Mahathir.

Zahid berkata Dr Mahathir “memperjuangkan agenda Melayu untuk menggunakan Melayu”.
Sejak membuat kenyataan itu, Zahid dikecam Pakatan Harapan dan PPBM, kedua-duanya organisasi yang dipengerusikan Dr Mahathir, termasuk ancaman saman terhadap beliau.

Pengikut setia Dr Mahathir Datuk Khairuddin Abu Hassan juga memfailkan laporan polis terhadap Zahid dan Yazid kerana menyalahi Akta Perlindungan Data Peribadi.

Bekas perdana menteri itu turut mencabar Zahid menunjukkan kad pengenalan lamanya.
“Kalau dia boleh tunjuk, saya nak tengoklah. Jangan nak sembunyi.”

Sumber - FMT & Straits Times


Sunday, April 2, 2017

Jelas Dan Nyata, Najib Kini Benar-Benar Takut Kepada Dr Mahathir


Apakah situasi negara pada hari ini dalam mewujudkan platform berhujah dengan terbuka sudah berubah berbanding apa yang disaksikan lima dekad yang lalu di bawah pentadbiran Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj?

Kira-kira 49 tahun lalu, pada 24 November 1968, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mengambil bahagian dalam debat awam enam jam dengan Profesor Naguib Alatas yang mewakili Parti Gerakan.

Pada hari itu hadirin padat di Auditorium MARA di Kuala Lumpur.

Sebaliknya, debat antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Nazri Aziz terpaksa dibatalkan selepas polis menarik balik permit bersyarat yang diberikan kepada pihak penganjur, Sinar Harian kelmarin.

Persoalannya, apakah kita mencapai kemajuan dalam demokrasi dan hak asasi manusia atau kita mundur atau mengambil langkah ke belakang dalam tempoh enam dekad ini?

Lim semalam turut menberi pendapat bahawa debat antara bekas perdana menteri dan menteri Kabinet di premis persendirian jika dianggap sebagai ancaman keselamatan dan perlu diharamkan oleh pihak polis, ia adalah (proses yang dilihat sebagai) penyalahgunaan kuasa.

Apakah laporan bimbang akan terjadinya huru-hara yang meenjadi punca debat antara Dr Mahathir dan Nazri dibatalkan,  boleh diterima pemimpin dan rakyat negara ini?


 Timbalan Ketua Polis Selangor, DCP Datuk Mohd Fuad Abdul Latiff memaklumkan, risikan pihak polis mendapati ada pihak tertentu mahu menimbulkan kekacauan sekiranya majlis debat diadakan.

Keadaan itulah yang memaksa polis membatalkan kelulusan terhadap penganjuran acara berkenaan yang dijadual diadakan di Shah Alam.

Bekas perdana menteri mempersoalkan keputusan polis itu dengan mendakwa  keputusan pihak polis tidak membenarkan debat Jumaat ini,  dibuat “kerana takut.”

“Petang tadi saya dapat maklumat, polis kata tak boleh, kononnya ada orang-orang di situ buat laporan, takut jadi huru- hara.

“Bukan ada siapa pun duduk di situ, yang ada kilang saja. Jadi sekali lagi dibatal. Dibatal kerana apa, kerana takut,” kata Dr Mahathir dipetik Malaysiakini.

Bercakap pada ceramah anjuran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Cheng, Melaka malam tadi, Dr Mahathir memetik pepatah Melayu , “Berani kerana benar, takut kerana salah”, Dr Mahathir berkata, kerajaan takut kerana tahu ia telah melakukan kesalahan.

“Yang tangguh nak bahas ini kerana dia tahu dia salah, dia mencuri. Ada bukti jelas dia mencuri tetapi tak berani nak cakap,” kata beliau.

'Dia' itu siapa? Siapa sebenarnya takut?

Apakah dia itu Datuk Seri Najib Razak? Apakah Najib bimbang banyak perkara akan 'dilondehkan' mengenai isu yang berlegar sekitar dirinya?


Mohd Fuad mengatakan sehingga kini, polis menerima 18 laporan yang dibuat orang awam dan penduduk sekitar lokasi debat itu akan diadakan.

“Inteligen (risikan) pihak polis menunjukkan ada pihak tertentu yang akan membuat kekacauan pada tarikh tersebut jika program ini diteruskan," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen Selangor hari ini.

Debat yang pada awalnya dijadual untuk diadakan pada 25 Mac di Maktab Rendah Sains Mara Kuala Kangsar ditukar ke hari dan tempat lain selepas polis Perak menolak permohonan penganjur kerana lewat menghantar permohonan dan tidaksesuaian kawasan.

Lim turut menyifatkan keputusan polis membatalkan permit debat n Dr Mahathir dan Nazri sebagai bukti pentadbiran Najib “semakin takut” dengan tuntutan rakyat yang mahukan akauntabiliti dalam isu 1MDB.

Lim mendakwa Najib sebagai perdana menteri dan menteri kewangan, tidak mempunyai jawapan kepada siri persoalan mengenai kontroversi yang menyelubungi firma pelaburan itu.

Ahli Parlimen Gelang Patah ini berkata, ramalan mereka yang pentadbiran Najib tidak akan membenarkan debat terbukti tepat kerana pihaknya telah dapat membaca dengan tepat “mood politik, watak dan kualiti pentadbiran Najib.”

“Jelas sekali, kerajaan Najib (semakin) takut dengan rakyat yang menuntut akauntabiliti terhadap skandal 1MDB,” katanya.


Ini kerana  Najib tidak mempunyai jawapan kepada tuntutan-tuntutan ini dan tidak dapat membersihkan Malaysia daripada siri kutukan, penghinaan dan azab yang dianggap di seluruh dunia sebagai “kleptokrasi global.
”
Beliau berkata, ini adalah sebab untuk “bersandiwara” dan satu tragedi apabila lokasi asal debat diubah dari Padang Rengas ke Shah Alam, dan kedua-duanya disekat oleh pihak polis.

Pembatalan debat dibuat selepas pihaknya menerima surat daripada ketua polis daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat, petang semalam, demikian menurut Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacob.

Kelmarin, beliau mengumumkan pihaknya mendapat kebenaran untuk mengadakan program itu dengan beberapa syarat.

Dalam surat dikeluarkan kelmarin, ketua polis daerah memberi keizinan dengan syarat memastikan peserta tidak melakukan apa-apa perbuatan membuat apa-apa penyataan yang akan mengganggu ketenteraman.

Karangkraf juga diberitahu agar memastikan debat tidak melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012.


Lewat petang semalam, dalam tweetnya, Hussamuddin berkata: “Pelik, dialog Tun M vs DS Nazri, semalam kami terima surat lulus permit. Petang ini terima surat batal permit. Payah!!”

Thursday, October 13, 2016

Cari Yang Buruk Dr Mahathir Demi Pertahankan Kedudukan Najib

Pelajar di Universiti Malaysia Utara
Semakin hari semakin gawat dan bercelaru pemikiran pemikiran pemimpin UMNO.

Selagi banyak usaha mempertahankan Datuk Seri Mohd Najib Razak sebagai Perdana Menteri selagi bingunglah rakyat dengan kenyataan pemimpin UMNO khususnya menteri.

Mereka jelas tidak mempertahakan UMNO tetapi individu yang dilihatnya amat berkuasa dan tidak melihat bagaimana parti UMNO yang suci  itu semakin dicemari oleh mereka sendiri.

Bolehkah Najib bertahan jika UMNO roboh?

Dan bolehkah mereka – termasuk menteri – kekal berkuasa sekiranya UMNO ditolak oleh rakyat hanya kerana perjuangan pemimpinnya kini hanya mempertahankan Najib?

Hari ini, namanya Menteri Komunikasi.

Tetapi mungkin dia tidak membaca dan melihat dengan jelas bagaimana punca timbulnya isu melenyapkan legasi Tun Dr Mahathir Mohamad.

Hari ini  Bendahari Umno itu, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata jika kerajaan mahu menghapuskan legasi Dr Mahathir, sudah tentu KLCC turut dirobohkan.


Pendapat seorang yang bergelar Dr (ijazah kedoktoran) dan menteri secetek ini?

Beliau menyatakannya sebagai menafi dakwaan Dr Mahathir bahawa pentadbiran sekarang cuba memadamkan legasi beliau dengan usaha membunuh industri kereta nasional Proton yang diilhamkannya.

Beliau yang juga adalah Menteri Komunikasi dan Multimedia,  berkata jika dakwaan itu benar, banyak legasi lain bekas perdana menteri itu boleh dihapuskan.

Mungkin kerana mahu mempertahankan bosnya dengan perasaan meruap-ruap, beliau lupa bahawa UMNOlah yang kini yang turun padang berkempen mahu menghapuskan legasi Dr Mahathir supaya beliau dilupakan.

Dengan harapan dapat dilenyapkan daripada ingatan rakyat Malaysia.

Dalam tulisan di blog semalam, Mahathir menuduh Perdana Menteri  mahu Proton bankrap dan menjualnya dengan murah kepada orang asing.

Di Kuala Terengganu 8 Oktober lalu, Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa bercakap mengenai legasi negatif Dr Mahathir yang terpaksa ditanggung oleh Perdana Menteri.

Katanya program penswastaan adalah legasi positif tetapi ada negatifnya apabila rakyat kena bayar tol, semakin lama semakin mahal, tetapi rakyat marah pada Najib sedangkan perjanjian dilakukan pada zaman Dr Mahathir.


"Tol naik tiga tahun sekali... ini legasi negatif pada zaman Tun Mahathir yang membebankan rakyat," katanya.

Cara beliau menjawab seolah-olah tiada cara menurunkan tol atau apakah selepas ini lebuh raya yang dibina tidak akan dikenakan tol?

Beliau berkata demikian berucap sempena Himpunan Jentera Penerangan UMNO Terengganu Jumaat lalu.

Berikutan itu, beliau berkata Najib harus mengubah dan merombak legasi itu kerana ia hanya menyusah dan membebankan rakyat.

"Banyak legasi negatif rakyat terpaksa tanggung hari ini...saya tak nafikan ada legasi positif yang ditinggalkan ketika saya menjadi menteri, tetapi legasi negatif perlu dirombak,” katanya.

"Ada lagi legasi negatif pada zaman Tun Mahathir termasuk penswastaan sisa pepejal yang kita juga ada bincang dalam Majlis Tertinggi. Melalui penswastaan ini, kerajaan tempatan perlu bayar banyak...bila kerajaan tempatan perlu bayar banyak, kita terpaksa naikkan cukai pintu dan yang terbebannya rakyat.


"Legasi-legasi negatif ini hanya memperkayakan beberapa pihak...tetapi saya tak nafikan legasi positif kerana saya juga menteri ketika itu, tetapi mana-mana legasi negatif yang menyusahkan rakyat saya harap ia dirombak supaya rakyat lebih hidup senang," kata Annuar.

Annuar mendedahkan betapa ‘bodohnya’ beliau ketika menjadi menteri, seolah-olah mengiakan sahaja pendapat Dr Mahathir. Kenapa tidak bantah?

Bimbang hilang kuasa dan kedudukannya, sudah pasti. Jadi?

Annuar selanjutnya berkata, sekiranya legasi negatif era Dr Mahathir dapat diselesaikan, pihaknya percaya sokongan rakyat akan terus berpihak kepada kerajaan.

Rakyat sebodoh itu menilai sumbangan Dr Mahathir kepada Malaysia sehingga menjadi salah sebuah negara maju, bukan sahaja di kalangan negara Islam tetapi juga pernah digelar “Harimau Asia’.

Annuar yang mudah lupa bukan Dr Mahathir!

Salleh pula hari ini berhujah, kerajaan hari ini berpaksikan kepada rakyat didahulukan iaitu membangunkan kemudahan yang dapat memanfaatkan rakyat secara keseluruhan dan bukan segelintir golongan sebagaimana berlaku di era pentadbiran beliau.

Pelabuhan Tanjung Pelepas
Ini pun cetek pemikiran dan hujahnya. Kerajaan 22 tahun di bawah Dr Mahathir hanya menyediakan kemudahan untuk segelintir golongan?

Apakah lebuh raya, jambatan Pulau Pinang, lapangan terbang, universiti, Putrajaya, perbankan Islam, insurans Islam dan pentadbiran ‘bercirikan Islam’ itu menyusahkan rakyat?

Laporan portal Majlis Ahli Parlimen BN (BNBBC) bagaimanapun mengatakan Salleh mengakui bahawa peranan Mahathir dalam Proton tidak dapat dinafikan.

Salleh turut mengingatkan bekas perdana menteri itu bahawa kerajaan menyediakan suntikan berjumlah RM1.5 bilion kepada syarikat yang bermasalah tersebut pada bulan April. “Malah, pinjaman mudah itu antara lain bagi membantu syarikat automotif itu membayar vendor,” kata Salleh.

Salleh tidak pula menyatakan kerana adanya Proton ramai orang muda, khususnya pelajar ramai yang mampu memiliki kereta,

Kalau tidak kerana ada kereta Malaysia, ramai rakyat tidak berpeluang memiliki kereta kerana cukai yang tinggi. Kenapa Najib tidak menurun cukai kereta import sampai sekarang?

Kenapa legasi Dr Mahathir ini dikekalkan?Bukan Proton sahaja wahai Salleh dan Annuar, banyak lagi sumbangan Dr Mahathir.
  
‘Legasi baik’ Dr Mahathir tidak cukup kertas untuk senaraikannya. Juga, bukan segelitir golongan sahaja yang mendapat manfaat daripada pentadbiran Dr Mahathir.

Bercakaplah yang benar dan jangan kerana mahu jawatan dan kedudukan dikekalkan, kerja hanya mencari ‘kelemahan dan yang buruk mengenai Dr Mahathir’ sahaja ditonjolkan.


Tuesday, September 27, 2016

Pemuda UMNO Memang ‘Bodoh’, Bangang Atau Takut Kena Saman?


Konon nak buat gempak satu Malaysia...

Semalam ‘geger satu Malaya’ kononnya Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mahu mendedahkan anak tokoh korporat dan proksi sebuah gergasi korporat membantu bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamd mahu menjatuhkan Perdana Menteri.

Kononnya akan berlaku satu pendedahan besar jam 11 pagi ini melalui satu laporan polis.

Bagaimanapun, selepas ditunggu hingga tengah hari ini, tiada apa pun yang berlaku.

Hampeh dan memalukan. Tidak berani pun!

Semalam heboh apabila EXCO pergerakan itu, Datuk Armand Azha Abu Hanifah menyatakan akan membuat  polis terhadap pihak yang  didakwa terlibat dalam gerakan menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak.

Armand berkata, laporan itu akan dibuat  berdasarkan maklumat diterimanya, kedua-dua pihak itu menjadi penaja untuk “gerakan” menyingkirkan Najib.


Walaupun ada media tidak mahu menyebut nama dua individu berkenaan, namun menyebut bahawa mereka diketahui rapat dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini menjadi antara pengkritik paling utama kepimpinan Najib.

Namun hari ini, selepas geger dengan tuduhan ke atas dua individu didakwa bersekongkol mahu menjatuhkan Perdana Menteri, Pemuda UMNO membatalkan niat mereka membuat laporan polis untuk mengelak pertubuhan itu dilihat "bodoh".

Kenapa takut dilihat ‘bodoh’ sedangkan semalam berdegar-degar?

Armand memberitahu media hari ini,  selepas mereka membuat semakan dan akhirnya mendapat maklumat yang dikatakan mereka itu tidak sahih.

"Apabila ada maklumat yang diberikan tak sahih, sebagai parti politik (yang membentuk) kerajaan menjadi tanggungjawab kami sebagai ahli parti untuk tidak melaporkan benda palsu," katanya.

Malah tukang promosi Pemuda UMNO bagi tujuan itu, Raja Petra Kamarudin turut diperbodohkan.

Nampak sangat beliau turut bodoh apabila dengan yakinnya memaparkan nama-nama mereka yang dikatakan terbabit.
  
Jelas, Raja Petra terperangkap dengan sikap gelojoh dan ‘kebencian’ yang amat sangat kepada bekas Perdana Menteri yang akhirnya turut memalukan dirinya sendiri.
Bukan sekadar promosi, Raja Petra turut mendedahkan namayang dijangka akan dimasukkan dalam laporan polis hari ini.

Armand memberi alasan bahawa mereka mahu menunjukkan contoh yang baik melalui pembatalan cadangan membuat laporan polis berkenaan.

"Kalau betul, kita lapor (dan) kalau tak betul (maklumat yang diterima) kita tak lapor. Kita tak mahu mahu jadi macam beri (kepada polis) dokumen palsu. Selepas tu polis check (semak, didapati ia adalah) palsu, nanti nampak bodoh.

Contoh yang baik? Tanpa pemeriksaan rapi, membuat kenyataan akhbar terlebih dahulu?

Bukankah ini juga mendedahkan diri kepada saman malu?

Soal repot polis tidak penting tetapi pihak yang dituduh sudah dipalitkan.

"Kita tak mahu pemimpin muda yang nampak tak bijak (sebab) nak jadi pemimpin (kita) kena bijak dan jangan keluarkan kenyataan kurang bijak," katanya.

Ditanya dari mana mereka memperoleh maklumat itu Armand Azha berkata dia tidak boleh mendedahkannya namun sekali lagi menegaskan ia adalah "dokumen palsu".

Namun, bukankah dengan membuat kenyataan semalam, Armand sudah menggunakan ‘dokumen palsu’ mendakwa seseorang atau dua orang untuk menjatuhkan Perdana Menteri?


Armand berkata  apabila menerima sebarang maklumat sebagai pemimpin pihaknya perlu menilai dan menyemak kesahikan 'bukti' tersebut.

Apabila bukti itu tidak sahih, kata Armand menjadi tanggungjawab untuknya tampil menyatakan dokumen yang diserahkan itu tidak benar.

"Dan saya juga memohon kepada mana-mana rakan yang ada berita gerakan tersirat nak jatuhkan presiden parti, sila serahkan kepada saya untuk saya semak betul atau tak betul," katanya.

Pemuda UMNO sebelum ini, iaitu pada 26 Julai lalu pernah membuat laporan polis berhubung isu sama membabitkan tiga tokoh berprofil tinggi.

Ketika itu laporan polis berkenaan dibuat sendiri naib ketuanya Khairul Azwan Harun.

Menurut Khairul Azwan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akthar Aziz, bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kasim Mohamed dan bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail bersubahat untuk menjatuhkan Najib dan kerajaan.

Yang nyata, apa yang dibuat oleh Exco Pemuda UMNO kali ini menggambarkan bahawa pergerakan itu tidak membuat siasatan terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan akhbar semalam.

Tindakan ini menggambarkan berapa Pemuda UMNO hari ini hanya jenis ‘burung kakak tua’ yang kononnya mahu mempertahakan Najib  tetapi tersilap tertelan ‘dedak’.

Akhirnya ia bukan sahaja terbatuk-batuk tetapi muntah!!!


Malah, ini juga menggambarkan bagaimana Ketuanya, Khairy Jamaluddin tidak dapat mengawal EXCOnya daripada bertindak sesuatu yang boleh memalukan pergerakan itu sendiri.

Kejadian ini bukan kali pertama dan ia mungkin akan berlaku lagi di masa hadapan. Apakah kepimpinan Khairy lemah dalam mengawal dan menerajui pergerakan itu?

Ternyata kini, walaupun mengelakkan untuk dikatakan ‘bodoh’, Pemuda UMNO sebenarnya bertindak ‘bodoh’ dan bangang.

Atau apakah mereka bimbang fakta yang tidak tepat itu akan menyebabkan disaman berjuta-juta ringgit?

Amat jelas Pemuda UMNO bukan jenis bermain politik yang ‘berani berumah di tepi pantai’.

Kenyataan ini membersihkan orang yang dituduh - dua individu yang dikatakan funder gerakan menjatuhkan Perdana Menteri adalah Robin Tan, iaitu anak jutawan Vincent Tan dan Tong Kooi Ong yang menjadi proksi kepada YTL (YTL Corporation Bhd ialah syarikat konglomerat Malaysia).

Namun, apakah mereka berpuas hati dengan tindakan Pemuda UMNO yang  tidak membuat laporan polis terhadap mereka?

Friday, September 23, 2016

Kenapa Persoal Apabila Najib Jawab Bagi Pihak Yang Di-Pertuan Agong?


Ada beberapa perkara menarik apabila pemimpin pembangkang mengemukakan pertanyaan, ‘Sejak bila Najib jadi jurucakap Agong?'

Malam kelmarin, Perdana Menteri  berkata Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah telah menjelaskan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa baginda tidak boleh mencampuri usaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam isu Deklarasi Rakyat.

Perdana Menteri berkata, beliau dimaklumkan oleh Seri Paduka bahawa baginda mengambil maklum perkara dibangkitkan tetapi menjelaskan tidak boleh mencampuri usaha itu.

Berikutan itu pembangkang  menyifatkan kenyataan Perdana Menteri itu sebagai pelik kerana kebiasaannya kenyataan Seri Paduka dikeluarkan oleh setiausaha sulit baginda atau istana.

Memburukkan keadaan, kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri tersilap fakta.

Berikutan itu, pemimpin pembangkang menyifatkan Datuk Seri Mohd Najib Razak sudah tidak layak menjadi perdana menteri Malaysia apabila membuat kenyataan dengan fakta yang salah.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Salahuddin Ayub mengemukakan pertanyaan: “Saya ingin bertanya, sejak bila Datuk Seri Najib menjadi jurucakap kepada Yang di-Pertuan Agong?”

Najib berkata, penolakan dibuat kerana  deklarasi itu tidak mengikut perlembagaan.

Selain itu tindakan sepatutnya diuruskan menurut amalan lazim melalui parlimen dan sistem pilihan raya.

Dr Mahathir mengadap Seri Paduka  di Istana Anak Bukit, Alor Setar pada 15 September lalu bagi  menyerahkan Deklarasi Rakyat dalam pertemuan empat mata kira-kira satu jam 15 minit.

Bekas Perdana Menteri itu dilapor turut membawa dokumen didakwa mengandungi tandatangan 1.3 juta rakyat Malaysia bagi menuntut Najib berundur sebagai perdana menteri.

Antara lain, Deklarasi Rakyat anjuran bekas pemimpin UMNO, pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa Najib terbabit dalam skandal kewangan melibatkan syarikat pelaburan negara, 1MDB serta bantahan terhadap kemasukan RM2.6 bilion ke akaun peribadinya.

Ada memperlekehkan pertemuan itu kononnya Dr Mahathir gagal menjawab pertanyaan Seri Paduka dalam isu tandatangan deklarasi berkenaan. Malah bekas Perdana Menteri itu agak terkejut dengan pertanyaan berkenaan. Kerana itu Dr Mahathir senyap untuk beberapa minit.

"Anda dapat melihat bahawa Mahathir sedang mencari kata-kata dan akhirnya, selepas senyap beberapa ketika, beliau kemudian membalas bahawa petisyen itu merupakan apa yang telah diberikan padanya.
  
"Dalam erti kata lain, Dr Mahathir tidak dapat menjamin apa-apa kerana bukan beliau yang mengumpulkan tandatangan tetapi orang lain yang lakukan dan ia telah diberikan kepadanya,” demikian kata Raja Petra Kamarudin melalui blognya.

Akibatnya, Seri Paduka kemudian hanya memberikan senyuman sinis kerana cara Mahathir menjawab tidak meyakinkan dan sudah tentunya berdalih.  Baginda kemudian melihat Mahathir hanya memandang ke bawah dan tidak bercakap lebih tentang Deklarasi Rakyat atau tandatangan sebanyak 1.4 juta itu.


Salahuddin yang mempertikaikan kenyataan Najib itu berpendapat, oleh kerana dalam keadaan Najib menjadi pihak berkepentingan berkaitan dalam protes pada kepimpinannya itu, tidak wajar beliau menjawab bagi pihak Seri Paduka.

“Mana mungkin Datuk Seri Najib yang menjadi subjek dalam Deklarasi Rakyat dan juga menjadi pihak berkepentingan, boleh mengeluarkan kenyataan mewakili Yang di-Pertuan Agong dalam isu melibatkan dirinya sendiri?

“Bagi saya, ianya suatu yang melanggari kebiasaan dan cuba memperbodohkan rakyat,” katanya.

Sementara pemimpin PAS yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata fakta Deklarasi Rakyat yang disebut oleh Najib dalam kenyataannya sebagai Deklarasi PBBM adalah menyimpang sama sekali.

Menurutnya, satu  dunia tahu Deklarasi tersebut diusahakan oleh Gerakan Selamatkan Malaysia (GSM) yang diketuai oleh Dr Mahathir dan disertai oleh individu rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang.

Ia bukan diusahakan oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) kerana ketika itu parti pun belum tubuh lagi.

Malah menurut Mahfuz, Tan Sri Muhyidin Yassin, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Shafie Apdal masih lagi ahli Umno pada waktu pelancaran Deklarasi Rakyat.


Menurutnya, kenyataan Najib seolah-olah Seri Paduka tidak faham fakta sebenar antara Deklarasi Rakyat dengan Deklarasi PBBM dan ia suatu penghinaan kepada Seri Paduka dengan menyatakan Yang di-Pertuan Agong tidak boleh mencampuri usaha yang lakukan oleh BERSATU dalam Deklarasi PBBM.

Najib meletakkan Seri Paduka sama taraf dengan Ahli Parlimen Langkawi yang mentafsirkan MO1 adalah Yang di-Pertuan Agong, tegas Mahfuz.

Beliau merujuk kepada kenyataan akhbar oleh Najib pada 21 September yang mengandungi maklumat salah.

Selain itu, Mahfuz mempersoalkan bagaimana , dalam kenyataan Najib itu, fakta tempat boleh jadi tidak betul?

Peristiwa pertemuan empat mata tersebut berlaku di Istana Anak Bukit. Yang peliknya Najib dalam kenyataannya menyebut pertemuan tersebut berlaku di Istana Bukit Malut.

Fakta berkaitan dengan sesuatu kejadian atau peristiwa yang berlaku tidak seharus salah, kerana ia dilaporkan oleh media. “Peristiwa tidak pernah berbohong di mana tempat berlakunya peristiwa,” katanya.

Beliau hairan kenapa Najib begitu ghairah untuk mengeluarkan kenyataan berkaitan peristiwa pertemuan empat mata antara Seri Paduka dengan Dr Mahathir.


“Kalaupun tujuan kenyataan Najib untuk memperlekehkan Mahathir tetapi tidak seharusnya menunjukan fakta yang salah. Kan berbeza antara Bukit Malut dengan Anak Bukit. Bukit Malut di Langkawi.Anak Bukit dalam kawasan Majlis Bandaraya Alor Setar. Bukit Malut dan Anak Bukit dipisahkan oleh laut,” katanya.

Malah, Mahfuz lebih jauh mendesak Najib mohon maaf pada Seri Paduka atas penghinaannya dan perlu sedari yang beliau sudah tidak layak menduduki kerusi perdana menteri.
.
“Saya harap Najib tahu cara untuk mengundur diri sebagai perdana menteri seperti mana yang di lakukan oleh Tun Abdullah Badawi dan Dr Mahathir,” tegas Mahfuz.

Kenyataan silap itu dikatakan sudah diperbetulkan oleh Pejabat Perdana Menteri, namun apakah persoalan yang dikemukakan oleh Salahuddin dan Mahfuz ini akan mendapat jawapan daripada Istana Negara?

Juga dalam isu yang dikatakan oleh Raja Petra mengenai pertemuan Dr Mahathir dan Seri Pasuka  itu, apakah benar  Dr Mahathir gagal menjawab soalan?

Apakah benar isu Deklarasi Rakyat dibincangkan sambil lalu dalam pertemuan satu jam 15 minit itu sebaliknya perbualan berkisar mengenai perkara lain?

Jika Raja Petra ‘boleh mendengar perbualan empat mata’ antara Seri Paduka dan Dr Mahathir,  apakah kenyataan Najib itu benar-benar menggambarkan sikap dan pendirian Yang Di-Pertuan Agong mengenai Deklarasi Rakyat?

Rakyat ingin tahu perkara sebenar!

Tuesday, September 6, 2016

Akurkah Najib Bahawa Taman Dan Tugu Suatu Dosa Besar, Pembaziran Besar?


Taman Tugu yang merupakan projek taman rimba kota di tengah-tengah ibu negara bakal menampilkan pelbagai kemudahan bertaraf dunia di beberapa zon khusus meliputi alam sekitar, rekreasi dan pembelajaran.

Menurut perancangannnya, Taman Tugu akan turut  meliputi pusat informasi hutan hujan, tapak perkhemahan, titian silara, kawasan permainan air, laluan joging, pejalan kaki serta basikal, gazebo, pelantar pemandangan dan kedai makanan.

Taman itu juga bakal menempatkan pusat pembelajaran dan inovasi termasuklah sebuah perpustakaan awam, auditorium dan galeri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir merasmikan pelancaran projek tersebut kelmarin. Yang turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa.

Projek Taman Tugu merupakan inisiatif tanggungjawab korporat yang bertujuan memulihara, meng­aktifkan dan menghubungkan taman hutan hujan seluas 26.7 hektar di tengah-tengah ibu negara.

Projek tersebut merupakan inisia­tif perkongsian yang diterajui oleh Khazanah Nasional Berhad dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta beberapa organisasi awam dan swasta.

Itu pandangan Perdana Menteri dan pihak kerajaan.

Namun semalam, Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria menganggap membina tugu adalah sebagai "dosa besar".
  

Harussani berpendapat peruntukan besar bagi projek pengindahan taman di sekitar Tugu Negara juga  pembaziran besar negara.

Harussani menjelaskan kesalahan itu menjadi lebih besar apabila binaan tugu itu mengundang manusia untuk memuja binaan tersebut.

“Dari awal dulu lagi kita tak bersetuju (dengan pembinaan Tugu Negara kerana kita adalah negara Islam. Kenapa kita nak memuja tugu? Tugu berbentuk manusia pula adalah haram," tegasnya semalam.

Mufti Perak sudah menyatakan pendiriannya dan kerajaan, khususnya Perdana Menteri jangan mengambil enteng dan melihat sebelah mata dengan pandangan ini.

Bagi Harussani, membina tugu menyerupai haiwan sebenar sudah haram, apatah lagi berbentuk manusia.

Tegas Mufti Perak itu, membina tugu berbentuk manusia memang jelas haram hukumnya dan suatu ketika nanti tuhan akan menuntut supaya binaan itu diberi nyawa.

Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam mengumumkan suntikan dana RM650 juta untuk projek Taman Tugu di atas kawasan seluas 66 ekar di sekitar Tugu Negara.

Sebahagian besar daripada peruntukan itu - atau RM500 juta - akan dibiayai Khazanah Nasional.

Malah Mufti Perak itu berhujah, suntikan dana itu sebagai satu pembaziran terbesar negara dan adalah lebih baik wang tersebut digunakan bagi tujuan pembangunan kehidupan rakyat di negara ini.

“Menyediakan sampai RM650 juta pula satu pembaziran. Ia sepatutnya ia boleh membantu membangunkan hidupan rakyat, malah itu lebih mudah dan baik daripada membina serta mencantikan tugu supaya orang ramai datang memuja tugu.

“Banyak lagi orang miskin di negara ini. Kalau dengan jumlah tersebut kita buat untuk perumahan atau bangunkan tanah-tanah yang (terbiar) ia lebih berfaedah serta hidup rakyat lebih bahagia,” tegas Harussani.


Sebenarnya isu ini mendapat perhatian rakyat ramai apabila banyak pertanyaan dikemukakan, “apa perlunya kerajaan dan  agensinya membelanjakan peruntukan yang besar untuk projek yang tidak berimpak tinggi tersebut?”

Penganalisis politik Dr Mazlee Malik menyifatkan tindakan kerajaan menyuntik dana sebanyak RM650 juta bagi memperindahkan Tugu Peringatan Negara tidak kena pada masanya.

Mazlee berkata ini kerana dalam keadaan ekonomi hari ini rakyat sedang bergelut dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

"Waktu kurang sesuai di kala rakyat sedang bergelut dengan kemelut ekonomi dan kos hidup yang semakin meningkat," kata Mazlee.

Pemimpin UMNO dan kerajaan sewajarnya perlu memberikan jawapan balas kepada Perdana Menteri dan kerajaan apakah projek ini benar-benar diperlukan ketika ini?

Tidakkah peruntukan itu jika diagihkan kepada sektor rangsangan ekonomi yang lebih besar akan mendatangkan manfaat kepada rakyat khususnya dalam konteks perbelanjaan kepada golongan miskin dan mudah terjejas ketika ini.

Kontroversi kepada projek Tugu Negara ini dijangka akan berpanjangan ketika isu mengenai kewajaran tugu menggambarkan makhluk hidup dianggap haram dalam Islam yang sedang diperkatakan sekarang.

Najib sewajarnya memikir semula projek ini yang nyata rakyat memberikan sambutan dingin.


Selain mengharapkan kerajaan menyediakan perancangan pembangunan yang lebih mendatangkan manfaat kepada mereka, jangan ambil mudah dengan pendapat alim ulama yang turut melihatnya sebagai projek pembaziran.

Monday, September 5, 2016

Patriotisme Rakyat Bukan Kerana Tugu Negara Indah Atau Sebaliknya....


Tanpa diperindahkan Tugu Negara menjadi Taman Tugu pun rakyat tetap sayang dan cintakan negara.

Patriotisme yang ada dalam diri rakyat bukan kerana ada Tugu Negara yang indah atau sebaliknya.

Malah, tanpa melawat Tugu negara pun rakyat tetap cintakan negara.

Sekadar yang ada sudah cukup. Jangan sampai ada pula pendapat yang mahu dirobohkan yang sudah ada itu.

Najib seperti tidak peka akan  timbulnya  kontroversi mengenai kewajaran tugu itu dikekalkan atau sebaliknya.

Ini  kerana Tugu Negara  menggambarkan makhluk hidup dianggap haram dalam Islam yang sedang diperkatakan.

Tugu Negara dibina bagi mengenang jasa pahlawan yang berjuang untuk keamanan dan kemerdekaan negara terutamanya sewaktu ancaman komunis. Berdiri megah di dalam kawasan Tugu Negara ialah salah sebuah arca tembaga berdiri terbesar di dunia. Ia diukir dalam tahun 1966 oleh Felix de Weldon yang juga merupakan pengukir monument Iwo Jima di Washington.

Terdapat tujuh ukiran tembaga manusia di atas batu asas berbentuk segi empat panjang. Setiap ukiran melambangkan satu dari tujuh kualiti: keberanian, kepimpinan, pengorbanan, kekuatan, kesengsaraan, perpaduan dan kewaspadaan.

Ukiran paling atas di bahagian tengah memegang bendera Malaysia. Ia diapit di kiri dan kanan oleh dua lagi askar yang kedua-duanya bersenjata. Ukiran di sebelah kiri bersenjata senapang mesin manakala sebelah lagi memegang rifel dan bayonet.

 
Isu tugu serta arca ini menjadi perhatian umum selepas timbalan mufti Perak Zamri Hashim menulis dalam sebuah akhbar mengenai binaan patung seperti burung helang di Langkawi adalah haram kerana menyerupai haiwan hidup.

Memetik hadis Nabi Zamri berkata ijmak seluruh ulama mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah menetapkan haram membina atau membuat replika patung yang lengkap bagi benda bernyawa seperti manusia atau binatang.

“Malah, jika sudah dibina wajib dirobohkan, manakala membinanya atau membuatnya adalah dosa besar,” tulisnya dalam sisipan “Ibrah” di Berita Harian pada 2 September lalu.


Tugu Negara adalah patung gangsa menyerupai sekumpulan tentera dengan satu daripadanya memegang tiang bendera mengibarkan Jalur Gemilang.

Seelok-eloknya kekalkan ia begitu jika mahu dikekalkan.

Malah, kalau diperindahkan pun,  tahap patriotisme rakyat tidak akan menjadi berlipat ganda.

Malah, jika dibelanjakan RM650 juta untuk mengindahkan Tugu Negara dan sekitarnya untuk menjadikan kawasan itu sebagai taman hutan hujan dalam bandar, ia akan mendatangkan perbahasan dan kesan yang berbagai.

Rakyat melihat kepada apa untungnya setiap sen perbelanjaan negara terhadap mereka.

Dalam keadaan negara berdepan cabaran ekonomi dan masalah kewangan yang gawat, perbelanjaan untuk perkara yang ‘kurang mendesak’ tidak wajar disebut pun.

Apalagi Perdana Menteri, Mohd Najib Razak kini yang dipalitkan dengan berbagai ‘skandal kewangan’, pengumumannya untuk memperindah kawasan sekitar Tugu Negara di Kuala Lumpur dengan belanja sebanyak RM650 itu juta itu ditafsirkan dalam berbagai bentuk.

Najib perlu mengelakkan membuat kenyataan yang menaikkan kemarahan rakyat dan ‘memualkan’.


Kata Najib, apabila taman itu siap nanti setiap pemimpin dunia yang mengadakan lawatan rasmi ke negara ini akan dipelawa menanam pokok sebagai sebahagian daripada jadualnya.

"Salah satu ciri global city (bandar raya global) ialah pembangunan masyarakat dalam sesebuah bandar raya menuju kepada kemudahan riadah. Kemudahan green lungs (kawasan hutan). Sebab itulah bandar raya London sinonim dengan Hyde Park, Central Park sinonim dengan New York.

"Jadi saya ingin suatu hari nanti, Taman Tugu ini sinonim dengan Kuala Lumpur yang bertarafglobal city," katanya.

Kata Najib walaupun Khazanah sudah menetapkan konsep taman itu agensi berkenaan masih terbuka kepada maklum balas orang ramai mengenai bagaimana hasilnya kesudahannya nanti.

Jadi, maklum balas daripada rakyat ialah jangan diteruskan projek yang dicadangkan oleh Perdana Menteri semalam.

Benar seperti kata Pemuda PAS Wilayah Persekutuan bahawa tiada keperluan untuk projek itu pada masa ini.

“Kitaran krisis ekonomi juga dijangka bakal berlaku pada tahun 2017/2018. “Maka, apa perlunya kerajaan dan agensinya membelanjakan peruntukan yang besar untuk projek yang tidak berimpak tinggi tersebut?” kata Ketuanya Khairil Nizam Khirudin.

Beliau turut bimbangan bahawa  ia akan mengulangi “kegagalan” projek dusun bandar di Jalan Bellamy yang berdepan masalah dan keraguan kewangan, seperti dilaporkan Laporan Ketua Audit Negara 2012.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan suntikan dana itu untuk projek di kawasan seluas 66 ekar itu semalam, yang sebahagian besarnya (RM500 juta) akan dibiayai Khazanah Nasional.

Sebahagian besar projek itu akan dibiayai Khazanah Nasional yang memperuntukkan dana sebanyak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata "hutan tropika mini dalam bandar raya" itu akan menjadi sebahagian daripada ikon utama Kuala Lumpur.

Berucap merasmikan projek Taman Tugu di Tugu Negara hari ini Najib berkata fasa pertama akan siap pada pertengahan 2018.

"Hutan tropika mini dalam bandar raya" itu akan menjadi sebahagian daripada ikon utama Kuala Lumpur dan fasa pertama akan siap pada pertengahan 2018.

Bagi Khairil Nizam, adalah baik peruntukan sama diagihkan kepada sektor rangsangan ekonomi yang lebih besar.

Berdasarkan kenyataan media,  projek itu akan melibatkan pemuliharaan 1,000 pokok dan penanaman lebih 5,000 lagi pohon dari hutan hujan Malaysia. Laluan pejalan kaki juga akan dibina untuk menawarkan akses kepada taman itu, termasuk melalui stesen KTM Komuter Bank Negara, dan melalui KL Sentral melalui beberapa mercu tanda.

Di samping itu, kemudahan lain seperti gerai makanan dan minuman, taman permainan kanak-kanak, tempat acara dan kemudahan pendidikan akan dibina serta terbuka kepada orang ramai. 

Selain Khazanah, beberapa rakan kongsi projek itu ialah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (Frim), Jabatan Alam Sekitar, Persatuan Pencinta Alam Malaysia dan lain-lain lagi.

Projek itu dijangka siap sepenuhnya pada 2020.

Hakikatnya, rakyat tidak memerlukan projek transformasi kawasan Tugu Negara kepada taman rimba kota atau akan dikenali sebagai Taman Tugu adalah antara usaha menjadikan ibu kota Kuala Lumpur setaraf bandar raya negara maju.

Tidak perlulah meyakinkan rakyat bahawa projek yang diterajui Khazanah Nasional Berhad itu bakal mengubah kawasan hutan terbiar seluas 26.7 hektar di belakang Tugu Negara menjadi taman rimba kota dengan pelbagai kemudahan.

Bukan itu prioriti rakyat ketika ini.

Dalam keadaan rakyat yang terhimpit kini, kerajaan Barisan Nasional sewajarnya meletakkan kepentingan rakyat terlebih dahulu bukan  untuk bersaing dengan bandar raya lain atau memuaskan hati pemimpin asing yang datang ke negara ini.

Najib tidak usah fikir atau berharap kedatangan pemimpin luar untuk menanam pokok di kawasan berkenaan.

Soal penting untuk ketika ini ialah apakah perut rakyat dapat di kenyangkan,  anak-anak boleh bersekolah dengan tenang selain keperluan harian berada dalam kawalan.

Untuk program mengindahkan bandar raya sebagai tarikan pelancongan, banyak lagi cara dapat dilakukan.

Selain itu apakah imej negara kita kini bersih dan apakah ekonomi kita mampu bersaing dalam keadaan dunia yang semakin gawat.

Cukup-cukuplah dahulu dengan projek mega yang boleh dipersoalkan oleh rakyat kerana jika BN kalah pilihan raya, projek yang dirancang dan tidak berfaedah akan tetap dihentikan.

Daripada berkhayal dengan perkara yang belum tentu mendapat sokongan rakyat, eloklah Perdana Menteri memikirkan projek yang boleh melegakan perasaan dan kehidupan rakyat, daripada membuat pengumuman yang menjemukan.


Najib bagaikan sengaja mengundang protes rakyat dan jangan menghukum rakyat tidak tentu pasal jika mereka turun ke jalan raya di bandar raya kerana memprotes pembangunan yang tidak mendatangkan keuntungan kepada mereka seperti taman hutan hujan dalam bandar sekitar Tugu Negara ini.