Ramai rakyat Malaysia yang menunggu apa jawapan Rosmah Mansor
kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selasa ini.
Mereka menunggu apa reaksi Rosmah terhadap soalan SPRM di
mana sesi kali ini adalah sebahagian daripada siasatan ke atas SRC
International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB.
Ia dikatakan membabitkan aliran wang sebanyak RM42
juta yang melalui satu akaun bank atas nama suaminya, Datuk Seri Najib Razak,
pada 2012.
Tenang atau berpeluh-peluhkah Rosmah nanti? Berapa jam pula beliau akan disoal?
Siasatan ini menarik kerana minggu lalu, SPRM menyoal-siasat Najib dua kali berhubung kes SRC International itu.
Najib disoal SPRM mengenai SRC International 2 minggu lalu. Dia kemudian disoal lagi oleh SPRM selama 7 jam 2 hari kemudian.
Najib pada 2016 menafikan sebarang salahlaku dan menafikan duit dimasukkan ke akaun banknya.
SRC International sekarang diletakkan secara terus bawah
Menteri Kewangan (Diperbadankan), yang turut memiliki 1MDB, syarikat cetusan
idea Najib semasa menjadi perdana menteri dan menteri kewangan dan pengerusi
lembaga penasihat 1MDB.
Pada 2015, SPRM telah mengendalikan kes yang berkaitan
dengan SRC International berhubung dana yang mengalir masuk ke akaun bank
peribadi Najib.
Pada masa itu, laman web Sarawak Report mendakwa terdapat
beberapa kad kredit yang digunakan berkait dengan akaun peribadi tersebut.
SRC International telah memperoleh dua pinjaman RM2
bilion berasingan daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP
pada tahun 2011 ketika SRC masih lagi menjadi anak syarikat 1MDB dan pada tahun
2012 selepas ia diserap oleh Kementerian Kewangan.
Dana pinjaman tersebut dibelanjakan untuk pelbagai
pelaburan di luar negara.
Pentadbiran Najib tidak mengumumkan jika mana-mana pelaburan
ini telah menghasilkan hasil.
Apakah Rosmah atau keluarganya ada kaitan dengan perbelanjaan wang oleh SRC itu?
Malaysiakini melaporkan pada Rabu lalu, SRC International
tidak mampu membayar hutang dan asetnya tidak dapat menghasilkan pulangan yang
diperlukan bagi membayar pinjaman RM4 bilion daripada KWAP.
Oleh itu, Kementerian Kewangan telah membuat pembayaran
tetap kepada KWAP.
Menurut sumber, notis perintah agar Rosmah hadir ke ibu
pejabat SPRM diserahkan oleh pegawai suruhanjaya berkenaan di kediaman beliau
di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur semalam.
Sumber itu berkata pegawai SPRM meninggalkan kediaman itu
dengan membawa sebuah beg dipercayai mengandungi dokumen yang diambil dari
kediaman itu.
“Semua pegawai berkenaan meninggalkan kediaman itu pada
jam 5.30 petang (1 Jun 2018),” kata sumber.
Najib minggu lalu
memberikan keterangan selama lebih kurang 11 jam di ibu pejabat SPRM di
Putrajaya dalam rentas dua hari pada 22 dan 24 Mei.
Siasatan terhadap pasangan ini dibuka semula beberapa
hari selepas Najib hilang kuasa setelah Barisan Nasional tersungkur dalam
pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei lepas.
Beberapa hari selepas Najib hilang jawatan, polis turut menyerbu
beberapa premis yang ada kaitan dengan pasangan itu dan menyita 72 bagasi
berisi wang tunai dan barangan kemas serta 284 kotak mengandungi beg tangan
berjenama mewah.
Selepas pihak polis membuat pengiraan dengan bantuan
pegawai Bank Negara Malaysia dan sebuah bank komersial, wang tunai yang
dirampas dianggarkan bernilai RM114 juta dalam pecahan 26 mata wang pelbagai
negara, kebanyakannya dalam ringgit Malaysia dan dolar Singapura.
Pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, melalui Majlis Penasihat
Kerajaan yang dipengerusikan oleh bekas menteri kewangan Daim Zainuddin,
menubuhkan dua jawatankuasa bagi meneliti dan menyiasat pelbagai aspek
berhubung dengan 1MDB.
Pasukan tersebut juga mendapat kerjasama Biro
Penyiasatan Persekutuan dan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat serta penyiasat
Singapura bagi menyempurnakan siasatan ke atas kes berkenaan.
Najib dan Rosmah kini disekat ke luar negara dan bekas
perdana menteri itu disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram,
Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2011.
(sumber Malaysiakini & FMT)