Showing posts with label Hishamuddin. Show all posts
Showing posts with label Hishamuddin. Show all posts

Sunday, June 12, 2016

Kenapa Sampai Mahu 'Berjihad' Menentang Dr Mahathir?

"Dia tidak boleh bangun, tetapi dia masih ingat segala-galanya dan semua orang," isteri Abdul Shukur, Datin Dzan Mansor memberitahu Dr Mahathir.
Tidak payah gelabahlah dengan Tun Dr Mahathir Mohamad kalaupun dia turun ke Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

‘Orang tua’ itu sudah tidak pengaruh. Bandingkan dengan pengaruh pemimpin UMNO sekarang – dari Perdana Menteri hingga kepada pemimpin tempatan seperti Tan Sri Noh Omar atau juga pemimpin UMNO di Perak, khususnya di Kuala Kangsar -  Dr Mahathir sebenarnya tiada apa berbanding mereka.

Dr Mahathir bukan presiden parti, ketua bahagian atau menteri yang boleh mengumum atau menarik peruntukan, juga tidak boleh mengugut atau memberi amaran.

Beliau hanya boleh menyatakan pendirian dengan harapan ada yang menyokong beliau.

Sebelum ini ramai pemimpin UMNO mengatakan pengaruh Dr Mahathir sudah tidak sebesar mana kerana sudah tidak berkuasa.

Jadi untuk berdepan dengan cakap-cakap atau pendapat bekas Perdana Menteri itu, tidak payahlah hingga mahu ‘berjihad’.

Apakah Dr Mahathir dilihat sebagai musuh penting yang memerlukan ‘jihad’ untuk menentangnya?

Berucap di depan jentera UMNO PDM Kampung Masjid, Manong, petang semalam Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishamuddin Hussein mengatakan PRK Kuala Kangsar merupakan PRK yang bersifat peribadi, malah satu jihad buatnya.


“Memang saya anggap ia jihad saya sendiri. Saya tidak akan duduk diam sehingga tiba hari mengundi, sehingga majoriti kita lebih tinggi daripada pilihan raya lalu,” katanya.

Hishammuddin meminta pengundi di kawasan PRK Parlimen Kuala Kangsar agar tidak terpengaruh dengan pelbagai dakwaan tidak berasas oleh Dr Mahathir terhadap kepimpinan negara.

Menurutnya, banyak isu yang dibawa Dr Mahathir tidak konsisten. Pengundi kena nilai isu beliau bawa. “Perlu ada hujah, ada asas, ada kaitan," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Masjid, Ketior Luar di Kuala Kangsar semalam.

Amat nyata, Hishamuddin yang juga Menteri Pertahanan awal-awal lagi memberi ingatan kepada rakyat di Kuala Kangsar bahawa  Dr Mahathir akan membangkitkan isu yang menurut beliau tiada kaitan dengan PRK Kuala Kangsar, dan lebih tertumpu kepada serangannya terhadap Perdana Menteri.

Malah, beliau turut menegaskan “Saya sudah beritahu, PRK ini personal buat saya. Jadi sesiapa yang tidak buat kerja kena menjawab dengan ‘menteri perang’ (pertahanan) ini,” katanya.

Apakah kata-katanya itu menggambarkan Hishamuddin sebenarnya bimbang dengan pengaruh Dr Mahathir?

Di Sungai Besar semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menganggap ucapan Dr Mahathir ketika turun padang berkempen untuk Pakatan Harapan di Sekinchan pada sebelah pagi  sebagai ‘kontroversi’ dan percubaan untuk membakar kelambu Barisan Nasional (BN).


Ucapan yang diviralkan di media sosial itu diharapkan tidak mempengaruhi sikap dan pengundi-pengundi kerana masyarakat dan pengundi di Sungai Besar tahu bahawa hati dan jiwa mereka yang tetap bersama BN  akan terus memilih BN.

“Terdapat gelombang perubahan untuk ramai pengundi di atas pagar yang mahu bersama BN pada kali ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Media Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar semalam.

Malah Naib Presiden itu berkata, Dr Mahathir berada di persimpangan jalan politik untuk menguji populariti dirinya apabila bersama orang yang pernah menjadi musuh politiknya, semata-mata untuk menolak kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.


Mengenai kempen Dr Mahathir yang menyokong calon Parti Amanah Negara (AMANAH), Azhar Abdul Shukur pada PRK Sungai Besar semalam Hishammuddin berkata: "Najib tidak bertanding di Sungai Besar. Perkara yang disentuh Dr Mahathir hanyalah bersifat peribadi," katanya yang juga anggota Parlimen Sembrong.

Nilai sendirilah pendapat Hishamuddin apabila mengemukakan pertanyaan kenapa kaitkan Najib sedangkan Perdana Menteri tidak bertanding pada kedua-dua PRK ini?

Soalan untuk Hishamuddin ialah apakah PRK hanya untuk pemimpin dan rakyat setempat? Jika demikian kenapa ada jentera pilihan raya dan Perdana Menteri turut turun padang jika ia hanya peristiwa tempatan?

Apakah Hishamuddin buat-buat lupa bahawa jika sudah turun padang, kena ‘tahan’ lah jika diserang. Apalagi lagi dengan kedudukan sekarang di mana Deklarasi Rakyat itu sendiri banyak menumpukan kepada isu negara yang turut mengaitkan dikaitkan dengan isu Perdana Menteri.

Hishamuddin tidak boleh mengatakan perkara yang disentuh oleh Dr Mahathir itu bersifat peribadi.

Daripada menganggapnya isu peribadi, lebih baik Hishamuddin menjelaskan kepada rakyat dan pengundi di Sungai Besar dan Kuala Kangsar bahawa isu 1MDB tidak akan memberikan apa-apa kesan kepada rakyat. Juga, tiada salah laku oleh pemimpin negara dalam isu berkenaan.

Buktikan dengan HUJAH dan ASAS bahawa laporan wujudnya siasatan oleh pihak antarabangsa sebagai ‘konspirasi peringkat global’ untuk menjatuhkan Najib dan BN.

Bagi Dr Mahathir, beliau mengakui nampak agak ganjil sikit kerana berada bersama musuh kuatnya, Lim Kit Siang. Bagaimanapun beliau menjelaskan, beliau kini bukan sebagai ahli mana-mana parti, bukan Umno, bukan pembangkang.

Menurutnya, beliau berucap di pentas di Sungai Besar itu sebagai rakyat yang prihatin dan bertanggungjawab terhadap negara.

Malah, kehadirannya tidak dapat mengumumkan apa-apa bantuan atau projek untuk rakyat di tempat yang beliau lawati.

Cuma menghairan, kenapa kehadriannya ke pekan Sekinchan, pagi Sabtu tetap tetap mendapat perhatian ramai penduduk setempat di kalangan masyarakat nelayan dan petani.

Dalam ucapannya, Dr Mahathir menjelaskan, kos sara hidup rakyat yang makin tinggi, selain masalah ekonomi negara mendorong beliau bekerjasama dengan pimpinan Pakatan Harapan.

Pada majlis itu, beliau menyaksikan ikrar yang dibuat oleh calon Amanah, Azhar Ab Shukur yang menyatakan sokongan terhadap Deklarasi Rakyat.

Malah, berucap kira-kira 30 minit itu, beliau banyak menyentuh tentang skandal 1MDB berbanding isu tempatan.

Selain itu turut menarik ialah beliau turut menziarahi ahli politik Barisan Nasional (BN) Datuk Abdul Shukur Siraj, 82 yang juga bapa kepada Azhar.

Dr Mahathir meluangkan masa kira-kira lima minit berbual dengan bekas ahli Parlimen Tanjung Karang selama satu penggal itu yang kini sedang terlantar sakit.

Menurut laporan mStar online, ini adalah perjumpaan memilukan bagi dua veteran Umno yang tidak pernah bertemu antara satu sama lain selama beberapa dekad.

Selain pernah menjadi ahli Parlimen, Abdul Shukur juga pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Burung selama dua penggal.

Apakah seramai-ramai pemimpin UMNO yang ada atau tiba di Sungai Besar itu boleh melupakan jasa bekas Ahli Parlimen dan ADUN berkenaan? Atau memang pemimpin dan ahli UMNO jenis mudah lupa kepada sumbangan seseorang terhadap parti dan kerajaan?

Saya dapat bayangkan bagaimana jika pemimpin penting  UMNO termasuk Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri, atau calon Barisan Nasional, Budiman melawat bapa calon AMANAH berkenaan.

Tidakkah ini akan memberikan suatu kelebihan dalam kempen BN?

Namun kini selepas Dr Mahathir sudah melakukannya, tiada lagi istimewa jika pemimpin UMNO membuat lawatan.

Wednesday, September 1, 2010

MENG CHEE - KAMI DAH JEMU DENGAN CELOTEH HISHAM

Untuk kali pertamanya kita mahu melihat ketegasan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan undang-undang terhadap Wee Meng Chee atau dikenali sebagai Namewee.

Dakwalah dia. Seretnya ke mahkamah. Perbuatannya amat keji dan memualkan. Jadikan iktibar untuk semua pihak yang menyemarakkan api perkauman.

Malam semalam, Meng Chee ini hadir di Balai Polis Taman Tun Dr. Ismail dipercayai untuk memberi keterangan berhubung klip video kontroversi terbarunya.

Pemuda berusia 27 tahun dan berasal dari Muar, Johor itu, tiba bersama peguamnya pukul 9.20 malam.

Sebelum memasuki balai, dia menegaskan bahawa dirinya bukan rasis dan menyokong gagasan 1Malaysia.

Dengan mengatakan dia menyokong gagasan 1 Malaysia cukup untuk membebas dan membiarkan dia meneruskan kegiatannya?

Kita sudah jemu dengan janji-janji Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang asyik menegaskan akan mengambil tindakan terhadap mereka yang bangkitkan perkara sensitive.

Sudahlah, kita tidak mahu dengar lagi celoteh Hishamuddin yang mengatakan perbuatan sebegini tidak boleh dibiarkan kerana perbuatan Meng Chee itu ‘satu langkah yang silap serta tidak boleh dimaafkan’.

Kalau tidak boleh dimaafkan bertindaklah. Kita tahu Meng Chee tidak bersaorangan. Dia akan cuba ‘dilindungi’ oleh peguamnya. Tetapi tak kanlah kerajaan tidak boleh memerangi perbuatan seperti ini.

Sejauh ini Hishamuddin hanya menegaskan: “Saya telah mendapat taklimat daripada Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mengenai perkara tersebut dan sehubungan itu mengarahkan siasatan menyeluruh dibuat dengan mengambil kira segala aspek.

“Perbuatan seumpama itu tidak boleh dimaafkan jika terbukti dia mempersendakan isu berkaitan kaum sehingga mencetuskan rasa tidak senang di kalangan rakyat.’’ tegasnya.

Tolonglah, sampai bila orang yang dihina dan agamanya dicerca mahu dibiarkan marah dan geram bersendirian.

Kepercayaan kepada pemimpin dan kerajaan akan terhakis jika kes seperti yang dilakukan oleh Meng Chee ini dibiarkan.

Sudah jelas bahawa seni persembahan tidak boleh dijadikan alasan kononnya Meng Chee memperjuangkan kebebasan bersuara, hak atau kesaksamaan.

“Jika Meng Chee sengaja mencetus kontroversi dan mempermainkan agenda kaum, ini menunjukkan sikap angkuh dan memualkan. Rakyat tanpa kira kaum sama ada Melayu, Cina atau India dan sebagainya di negara ini menolak sikap ekstrem yang tidak berkesudahan seperti ini,’’.

Ini kata-kata Meng Chee. Jadi tolonglah Hishamuddin, orang Melayu dan Islam benar-benar marah.

Empat laoran polis sudah dibuat kelmarin ekoran penerbitan klip video Namewee itu.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar berkata, laporan polis pertama dibuat pada pukul 3.20 petang, Sabtu lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulaijaya manakala tiga lagi di Balai Polis Johor Jaya, Pasir Gudang dan Masai semalam.

Beliau berkata, satu pasukan khas yang diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Amer Awal telah ditubuhkan bagi menyiasat kes tersebut di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Monday, July 19, 2010

HISHAMUDDIN GAGAL LAKSANAKAN TANGGUNGJAWAB

Jangan nak berkokok atau mendabik dada.

Pemimpin yang pernah menghunus keris tetapi kemudian menyatakan kesal dengan tindakannya sambil menyarung kembali kemas-kemas kerisnya itu, sebenarnya gagal melaksanakan amanah yang diserahkan oleh Presiden UMNO dan Majlis Tertinggi.

“Usahkan kemelut politik Terengganu, kemelut UMNO Setiu pun Hisham tak boleh selesai.”

Itu komen seorang pemerhati politik Terengganu yang merasakan Datuk Seri Hishamuddin Hussein sebenarnya gagal berperanan secara berkesan sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Terengganu.

Sejak beliau memegang tampuk Pengerusi Perhubungan, tidak banyak perkara yang dilakukan oleh beliau walaupun pada umumnya, politik Terengganu yang bergelora sedikit tenang.

Tapi jangan lupa, usaha Menteri Besar, Datuk Ahmad Said yang juga Timbalannya turut memainkan peranan besar dengan berusaha merapatkan kembali pemimpin yang bertelegah dengannya ke arus perdana politik Terengganu.

Hishamuddin dengan bangganya di Lobi Parlimen Khamis lalu mendakwa semua Pengerusi Perhubungan UMNO ‘sementara’ di lima negeri berkemampuan menjalankan tugas mereka dengan baik.

Beliau menyangkal dakwaan bahawa Pengerusi-Pengerusi Badan Perhubungan UMNO lima negeri dilihat tidak 'berkemampuan' menyelesaikan perpecahan dalaman parti.

Hishammuddin pada sidang media di lobi Parlimen petang Khamis menegaskan bahawa tidak timbul soal tidak ada kemampuan kerana keadaan di Badan Perhubungan UMNO berkenaan sudah dilihat stabil.

"Kalau tidak ada kemampuan, saya rasa perhubungan masing-masing sudah lama berada dalam keadaan masalah berbanding sebelum ini yang boleh dilihat dalam keadaan tertekan," tambahnya.

Hishammuddin memberi contoh keadaan di Terengganu yang mana beliau selaku Pengerusi telah berdepan dengan pertembungan dua pihak tetapi keadaan sekarang tidak timbul berpecah dua pihak lagi.

Persoalannya, apakah benar keadaan sedemikian berlaku, atau memang kemelut politik Terengganu semakin pudar kerana tujuh daripada Kumpulan 10 sudah kembali menyokong atau rela berdiam diri selepas mengetahui mereka berjuang tanpa haluan.

Jika benar Hishamuddin berpengaruh, kenapa beliau tidak mampu memujuk ‘anak buahnya’ sendiri iaitu Datuk Din Adam untuk tidak terus ‘keras kepala’ menentang Menteri Besar?

Selain itu, Hishamuddin juga gagal memujuk ADUN Alor Limbat, Alias Abdullah untuk tidak menentang Ahmad Said secara terang-terangan?

Ternyata, kononnya apabila Hishamuddin dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan – menurunkan pangkat Ahmad Said ke Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO – masalah dan kemelut politik Terengganu akan dapat diselesaikan.

Lihat sahaja masalah UMNO di Setiu. Kenapa empat ADUN menghilangkan diri pada hari mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Jumaat lalu?

Siapa mahu malukan siapa atau untuk siapa ditujukan tindakan itu?

Kepada Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin?

Tidak sama sekali. Keempat-empat ADUN berkenaan sudahpun menghantar pekhidmatan pesanan ringkas (SMS) kepada Muhyiddin terlebih dahulu sebelum mereka ‘menghilangkan diri’.

Lagipun, keempat-empat ADUN berkenaan tidak menghalang anak buah mereka menghadiri mesyuarat berkenaan. Mesyuarat berjalan lancar tanpa keempat-empat mereka!

Ini diakui oleh Ketua Bahagian UMNO Setiu, Datuk Mohd Jidin Shafie sendiri bahawa tanpa keempat-empat mereka, mesyuarat berjalan dengan licin.

Amat jelas, perbuatan menghilangkan diri itu ditujukan kepada Hishamuddin yang gagal mengatasi kemelut serta rasa tidak puas hati mereka.

Rahsia terbuka di Setiu ialah penentangan empat ADUN ini – Jabi, Batu Rakit, Permaisuri dan Langkap kerana empat atau lima isu utama.

Seperti digariskan melalui www.hambali1.blogspot.com isu-isunya membabitkan soal perlantikan Penyelaras DUN, anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, anggota Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu serta penubuhan Pejabat Parlimen dalam DUN berkenaan.

Ada pihak mengatakan isu perlantikan Ahli Majlis Daerah juga sedikit sebanyak mempengaruhi kemarahan empat ADUN berkenaan kepada Mohd Jidin.

Persoalannya, jika Hishamuddin tahu – malah, pernah ‘turun padang’ di Setiu beberapa bulan lalu – masalah itu berlaku, kenapa beliau membiarkan keadaan berterusan?

Atau memang beliau gagal atau tidak mampu untuk meleraikan kekusutan kerana bimbang beliau akan hilang pengaruh dengan pemimpin tertentu di Terengganu?

Ternyata taktik ‘ rambut jangan putus, tepung jangan tumpah’ di Setiu memakan diri Hishamuddin sendiri apabila ternyata ‘bom jangka’ akhirnya meletup juga pada mesyuarat perwakilan UMNO Setiu, Jumaat lalu.