Sunday, November 9, 2008

KALAH JE TINGGAL UMNO?

Amboi mudahnya ajak orang tinggalkan UMNO!

WFauzdin NS pada 3 November lalu melalui sebuah laman web pro-pembangkang berkata masanya sudah tiba untuk Kuli (Tengku Razaleigh Hamzah) dan Rais Yatim (Datuk Seri Rais Yatim) meninggalkan UMNO.

Beliau membuat ajakan itu selepas membaca pendedahan dan pengakuan yang dibuat oleh Ku Li bahawa sebanyak RM 2 juta diperlukan bagi mendapatkan pencalonon jawatan tertinggi di dalam UMNO, yang katanya sedikit pun tidak memeranjatkan sesiapa sahaja lebih-lebih lagi orang-orang UMNO sendiri.

Kata penulis berkenaan, rasuah di dalam UMNO tidak pernah dapat diubati, cuma rasuah itu berlaku di sekitaran berapa jumlah yang diberi dan kepada siapa untuk diberi. Nilai rasuah adalah terletak kepada jawatan yang ingin ditandingi. Justeru itu, tiada silap dan salahnya kalau Rais Yatim pernah berseloroh untuk diadakan tender bagi pemilihan UMNO.

Amatlah malang sekali setelah Ku Li dan Rais Yatim sedar dan mengetahui bahawa penyakit rasuah ini tidak dapat diubati setelah sekian lamanya, tetapi mereka berdua masih sama-sama setia berada di dalamnya.

Katanya, kedua-dua tokoh senior UMNO ini telah banyak membebel dan berleter tentang rasuah di dalam UMNO tetapi siapa yang mahu mendengar leteran orang tua seperti mereka? Saya pelik bila memikirkan mengapa Ku Li dan Rais Yatim begitu setia dengan UMNO yang terlalu banyak meminggirkannya.

Yang pasti dan WFauzdin NS sedar ialah, Ku Li sudah tewas dan tiada peluang untuknya bangkit melalui sistem pemilihan UMNO sekarang. Kesian, hanya dapat satu undi sahaja.

Rais pula masih terkial-kial untuk cukup pencalonan dan baru mengumpul kira-kira 20 pencalonan dan tinggal sehari lagi, iaitu hari ini membuat pencalonan, dengan harapan beliau dapat mengumpul 39 pencalonan untuk membolehkan beliau bertanding.

Tetapi sekiranya kedua-duanya tidak terpilih, apakah mahu disalahkan politik wang atau ahli UMNO di peringkat bahagian.

Hairan sungguh pendapat WFauzdin NS apabila berkata “Saya ingin tahu apakah sebenarnya yang membuatkan Ku Li dan Rais Yatim terlalu berat hatinya untuk keluar dari UMNO dan menyertai mana-mana parti dari Pakatan Rakyat? Jika dahulu kedua-dua mereka ini pernah keluar dari UMNO dan menubuhkan Parti S46 serta bekerjasama pula dengan PAS dan DAP, mengapa kali ini tidak?”

Tanya beliau: “Adakah kerana UMNO kelihatan semakin baik atau telah memberi peluang kepada mereka untuk memperbaiki UMNO? Pelik dan ajaib, ketika masih ramai yang menyokong UMNO dahulu, kedua-dua tokoh ini keluar dan menubuhkan parti baru, tiba-tiba disaat UMNO bukan sahaja semakin ditolak oleh orang-orang Melayu bahkan dipandang sebelah mata oleh rakan-rakan seperti MCA, Gerakan dan MIC, Ku Li dan Rais masih ingin berpaut pada UMNO.

Kedua-dua negeri tokoh lama UMNO ini pun telah subur dengan pembangkang lebih-lebih lagi di Kelantan. Di Negeri Sembilan, negeri Rais Yatim pun kini dalam keadaan nyawa-nyawa ikan. Alangkah bertuahnya kedua-dua negeri ini sekiranya kedua-dua tokoh UMNO yang berpengalaman luas ini kembali bersama bersatu hati dengan rakyat negeri masing-masing?”

Bagaikan lagak seorang pemimpin, WFauzdin NS percaya dan penuh yakin, Pakatan Rakyat sudah tentunya akan memberi ruang seluas-luasnya kepada Ku Li dan Rais Yatim atau sesiapa sahaja yang telah merasakan UMNO/BN bukan lagi berjuang untuk rakyat.

Pakatan Rakyat pastinya sedia memberikan peranan kepada kedua-dua tokoh ini untuk memberikan idea dan cadangan demi kesejahteraan rakyat. Sehubungan itu, kita menyeru kepada kedua-dua tokoh UMNO ini untuk kembali ke pangkuan rakyat dan buktikan kepada UMNO bahawa mereka mampu memberi kesejahteraan kepada rakyat tanpa berada di dalam parti yang semakin pupus ini.

Pertanyaan ialah, apakah Pas atau PKR parti melonggokkan mereka yang ‘lari meninggalkan UMNO’?

Apakah kedua-dua parti ini boleh subur dengan kedua pemimpin ini? Rekod menunjukkan kedua-duanya tidak setia kepada perjuangan apabila dari UMNO tubuhkan S-46 dan tinggalkan Gagasan Rakyat untuk kembali kepada UMNO.

Tidakkan kerana sikap mereka itu antara punca orang UMNO tidak mahu melantik mereka ke jawatan tinggi.

Jangan lupa, Ku Li beranggapan beliau hanya layak jawatan Perdana Menteri dan Rais Yatim memang berkebolehan tetapi jawatan yang dikecapinya sekarang kerana anugerah bekas Presiden UMNO dan Perdana Menteri yang berterima kasih kepada kembalinya mereka ke dalam UMNO.

Jadi kalau masuk Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Datuk Seri Hadi Awang akan memberikan laluan mudah untuknya?

Itu pun WFauzdin NS tak faham?

APA LAGI HUSAM?

Asyik bangkang dan bantah. Ada sahaja yang tidak kena dengan Kerajaan Pusat.

Kata Datuk Husam Musa, rakyat di negara ini sebenarnya tidak mendapat gambaran sebenar mengenai keadaan ekonomi negara biarpun kerajaan pusat berbangga dengan pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini.

Naib Presiden Pas, itu berkata, kerajaan pusat hari ini mengeluarkan pelbagai kenyataan yang mendakwa keteguhan ekonomi negara, sedangkan gambaran sebenar mengenai kedudukan ekonomi negara tidak diberikan secara jelas.

“Sebenarnya apa yang berlaku adalah sebaliknya yang mana negara sedang menghadapi krisis ekonomi dunia akibat kegawatan yang kronik. Sebelum ini pernah berlaku pinjaman bank tidak berbayar setelah berlakunya krisis ekonomi pada 1978 - 1979, di mana pada ketika itu pasaran saham jatuh merudum.

“Sekarang fenomena itu berlaku lagi di mana pasaran saham menjadi tidak menentu,” katanya seperti dilaporan Sinar Harian.

Apabaila Najib mengumumkan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM7 bilion Selasa lalu ia adalah usaha mengukuhkan lagi daya tahan negara dan mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi bagi menghadapi persekitaran global yang semakin mencabar.

Dengan kata lain, dalam penuh kesedaran kedudukan ekonomi negara ketika ini, pakej diperkenalkan semasa penggulungan Bajet 2009 di Parlimen.

Langkah kerajaan ialah mewujudkan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM7 bilion dalam Bajet 2009 adalah satu bentuk intervensi yang perlu dilakukan untuk mengelak kegawatan ekonomi.

Hakikatnya pakej itu akan mempercepatkan usaha membasmi kemiskinan tegar menjelang tahun 2010.

Ia adalah langkah wajar dalam menstabilkan ekonomi negara dengan usaha tersebut dilihat bercorak rangsangan ekonomi secara domestik.

Usaha tersebut dilihat mampu meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat dan membantu mengurangkan beban perbelanjaan yang kian meningkat.

Usaha pihak pembangkang yang ingin mengurangkan peruntukan Bajet 2009 sebanyak RM24 bilion merupakan satu usaha fiskal menguncup yang akhirnya akan membawa kepada permintaan domestik yang menguncup dan hal ini mungkin akan membuatkan rakyat makin tertekan dengan ekonomi domestik yang terhad.

Sememangnya idea pihak pembangkang adalah ingin memantau kadar defisit negara selaras dengan penurunan nilai ringgit, namun, strategi kerajaan dilihat lebih bijak kerana pembiayaan yang dilakukan melalui sumber domestik dan usaha tersebut lebih dekat dalam meningkatkan kebajikan rakyat. Sebagai pengeluar dan peniaga, sikap amanah dan bertimbang rasa perlu ada dalam menjalankan kegiatan ekonomi mereka.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, selain daripada itu tindakan memajukan kampung dan menambah baik kehidupan penduduk desa akan dilakukan dengan lebih cepat melalui dana tersebut.

''Pengumuman berkenaan akan membolehkan 15,000 keluarga miskin tegar memiliki rumah sendiri dan 74 projek jalan luar bandar disiapkan.

''Jalan kampung sepanjang 1,600 kilometer juga akan dibina di seluruh negara,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelas Muhammad, pengumuman berkenaan membawa kesan besar kepada pembangunan luar bandar kerana daripada RM7 bilion itu kira-kira RM2 bilion akan disalurkan ke luar bandar sama ada secara langsung atau tidak langsung.

''Antara pembangunan luar bandar yang dimaksudkan ialah pembangunan infrastruktur, program perumahan, program pendidikan awal kanak-kanak di Tabika atau Taska luar bandar dan langkah-langkah memperkasakan program sahsiah remaja,'' katanya.

Tambah Muhammad, dana berkenaan akan menyelesaikan hampir 90 peratus daripada keperluan rumah keluarga miskin tegar yang akan dibina di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Perdana Menteri sendiri mengakui pakej RM7 bilion itu adalah langkah terbaik yang difikirkan kerajaan mengambil kira senario kemelesetan ekonomi global masa ini.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badwi berkata krisis ekonomi 1997 memerlukan tindakan berbentuk mengikat ringgit kepada dolar Amerika Syarikat (AS) pada nilai tertentu tetapi krisis kali ini memerlukan intervensi dari segi pakej rangsangan.

Tambah Abdullah, walaupun asas ekonomi negara kukuh, tetapi campur tangan bagi mengelakkan kesan buruk ekonomi global daripada menyerap ke dalam asas itu perlu dilakukan.
"Dalam situasi seperti ini, kerajaan mesti ambil peranan untuk melaksanakan langkah-langkah terbaik bagi melindungi ekonomi kita daripada terjejas," katanya.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula semalam berkata pertumbuhan semasa ekonomi sejagat yang perlahan menyediakan peluang kepada sektor swasta dan awam untuk saling berkerjasama membentuk formula dan melaksanakan strategi bagi menghadapi cabaran yang mendatang.

Katanya, kerajaan akan terus mengambil langkah ke arah peningkatan persekitaran perniagaan.
Bagi sektor swasta pula, kata beliau, adalah penting kedua-dua sektor berkenaan dan peneraju perniagaan mengadaptasikan kedudukan strategik bagi mengemudi perniagaan masing-masing mengharungi kemelesetan.

Friday, November 7, 2008

BEKAS HAKIM BUKAN DIPECAT?

Bertuahnya mereka, dapat ex-gratia dan pencen. Itulah nasib enam hakim yang sebelum ini heboh dikatakan dipecat.

Ternyata mereka bukan dipecat tetapi ditamatkan perkhidmatan lebih awal dan layak mendapat pencen.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz mengotakan jaminan mendapatkan maklumat terperinci mengenai jumlah sebenar pembayaran ex-gratia kepada enam bekas hakim yang dikatakan dipecat pada 1988.

Pembayaran ex-gratia itu dibuat sebagai menghargai sumbangan bekas hakim-hakim berkenaan yang terlibat dalam krisis kehakiman dan merupakan langkah kerajaan memulihkan semula kewibawaan badan kehakiman.

Ex-gratia tersebut telah diserahkan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Zaid Ibrahim pada Jun lalu kepada hakim-hakim terlibat.

Bagaimanapun Zaid enggan mendedahkan jumlahnya atas alasan permintaan oleh hakim berkenaan sendiri. Zaid meletakkan jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 15 September lalu.

Pembayaran ex-gratia berkenaan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada April lepas sebagai menghargai sumbangan besar kepada bekas hakim yang ‘dipecat ‘dalam krisis kehakiman bagi memulihkan semula kewibawaan badan kehakiman yang tercemar sejak 20 tahun lalu.

Nazri mengumumkan semalam bahawa kerajaan telah membayar ex-gratia berjumlah RM10.5 juta kepada bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dan lima lagi bekas hakim kanan yang terlibat dalam krisis kehakiman, 20 tahun lalu.

Nazri menjelaskan, bekas hakim-hakim itu telah ditamatkan perkhidmatan lebih awal seperti saranan panel yang telah bersidang berhubung kes tersebut dan bukan dipecat oleh kerajaan.

“Sekiranya bekas hakim-hakim itu dipecat mereka tidak layak mendapat pencen tetapi kerana telah ditamatkan perkhidmatan, maka mereka layak dibayar pencen mengikut Akta Pencen,” katanya.

Kenyataan Nazri bahawa hakim bukan dipecat sudah pasti mengundang tanda-tanya kerana sebelum ini dihebohkan bahawa mereka dipecat.

Yang menjadi sasaran teruk ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan beliaulah punca hakim-hakim berkenaan dipecat.

Salleh menerima bayaran tertinggi dengan RM5 juta, Tan Sri Azmi Kamaruddin (RM2 juta), Tan Sri George Edward Seah Kim Seng (RM2 juta) manakala Tan Sri Wan Hamzah Mohd. Salleh, Allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdolcadeer dan Allahyarham Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh masing-masing mendapat RM500,000.

Nazri membuat pengumuman itu ketika menggulung perbahasan peringkat jawatankuasa Bajet 2009 bagi Jabatan Perdana Menteri pada persidangan Dewan Rakyat semalam.

Kata Nazri: ‘‘Saya pegang apa yang dikatakan sebelum ini bahawa kerajaan bersedia untuk menubuhkan sebuah panel lain untuk menilai kes bekas hakim-hakim tersebut sekiranya terdapat bukti-bukti baru, tetapi pada masa ini tidak ada maka tidak perlu kerajaan tubuhkan panel baru,” katanya.

Beberapa Ahli Parlimen pembangkang termasuk Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong sebelum ini telah mendesak kerajaan supaya mendedahkan jumlah pembayaran ex-gratia itu yang diumumkan pemberiannya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada April lalu.

Mohamed Nazri berkata, bayaran itu bukanlah jumlah yang sesuai kerana ia melibatkan harga diri dan maruah bekas hakim-hakim berkenaan.

‘‘Kerajaan tidak pernah mempertikaikan bayaran yang dibuat kepada bekas-bekas hakim itu tetapi Ahli Parlimen Wangsa Maju (Wee Choo Keong, PKR-Wangsa Maju) yang mempertikaikan jumlah bayaran tersebut.

‘‘Sebenarnya kita tidak boleh meletak berapa harga yang sebenarnya patut dibayar sebab ia soal harga diri, mana boleh letak harga, tetapi kita bayar dan anggap jumlah tersebut sesuai,” jelasnya.

Nazri menjawab celahan N. Gobalakrishnan (PKR-Padang Serai) yang menyatakan bayaran itu terlalu rendah berbanding jawatan Salleh yang merupakan Ketua Hakim Negara adalah satu jawatan lebih penting daripada Perdana Menteri.

Jawapan Nazri itu dibantah keras oleh Choo Keong yang turut mencelah dengan menyatakan ia adalah terlalu tinggi memandangkan bekas hakim-hakim itu menerima bayaran pencen.

‘‘Apa yang dikatakan oleh Choo Keong itu mempertikaikan jumlah bayaran. Gobalakrisnan menyatakan terlalu rendah dan Ahli Parlimen Wangsa Maju pula menyatakan terlalu tinggi, jadi tidak ada kesepakatan dalam jumlah bayaran yang harus diberikan, maka tindakan kerajaan adalah betul,” katanya.

Beliau berkata, lima bekas hakim itu turut menerima pencen bulanan iaitu Salleh sebanyak RM5,102.16, Wan Suleiman (RM4,815), George Seah (RM5,916.90) Eusoffe (RM4,815), Wan Hamzah (RM6,508.59) dan Azmi (RM5,916.90).
Nazri menambah, apa jua bentuk bayaran kepada bekas hakim-hakim itu, ia tidak bermaksud bahawa kerajaan bersalah.

Pada 29 Oktober lalu, Nazri yang baru mengambilalih portfolio perundangan, berkata beliau tidak mengetahui butiran lengkap mengenai jumlah pembayaran itu kerana pengiraan dibuat oleh Setiausaha Kabinet dan bahagian pencen.

Biarpun diasak beberapa wakil pembangkang yang membangkitkan perkara berkenaan seperti dari Ipoh Timur, Pokok Sena, Subang, Kubang Kerian, Balik Pulau dan Wangsa Maju, beliau tetap dengan jawapannya.

Malah beliau turut menyuruh Wee Choo Keong (PKR-Wangsa Maju) agar mencadangkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya memecatnya kerana tidak tahu jawapan kepada soalan itu.