Sunday, June 13, 2010

PAS AKUI SUKAR LAKSANAKAN UNDANG-UNDANG ISLAM

Oleh: ROSLI ISMAIL (Agendadaily)

Cakap memang senang begitu juga kalau setakat untuk retorik saja dan cara yang paling mudah untuk menutup kegagalan tuding jari salahkan orang lain.

Ini merujuk kepada pengakuan Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa PAS belum mampu untuk melaksanakan undang-undang Islam di negeri yang diperintah pakatan pembangkang.

Apa yang dinyatakan oleh Presiden PAS itu dalam ucapan dasar merasmikan Muktamar PAS ke-56 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK) di Kota Bharu Jumaat bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

Ini kerana di Kelantan sendiri yang ditabir oleh PAS dibawah Musyidul Am Datuk Nik Aziz Nik Mat selama lebih 20 tahun sistem pemerintahan yang dihajatkan oleh PAS belum dapat dilaksanakan.

Malah ada yang bertanya contohnya, apakah cara Menteri Besar itu melantik menantunya sendiri sebagai CEO Perbadanan Menteri Besar Kelantan dan tabir urusnya dipertikaikan sesuatu yang selaras dengan prinsip parti itu.

Haji Hadi tentu tahu kerana beliau mengetuai rombongan pimpinan PAS ke Kota Bharu untuk memujuk Nik Aziz supaya meminta Ariffahmi Abdul Rahman melepaskan jawatan itu.

Bagaimana pula dengan kenyataan taiko DAP, Karpal Singh langkah mayatnya jika PAS nak laksanakan pemerintahan Islam di negara ini yang belum ditarik balik sampai ke hari ini.

Kata Haji Hadi parti itu terpaksa mencuba sedaya upaya melaksanakan Islam mengikut bidang kuasa kerajaan negeri.

"PAS yang berjaya memerintah Kelantan, pernah di Terengganu dan Perak, dan terkini memimpin kerajaan di Kedah di samping menyertai kerajaan campuran di Selangor dan Pulau Pinang telah mencuba sedaya upaya melaksanakan Islam mengikut bidang kuasa kerajaan negeri," katanya.

Menariknya beliau menyalahkan kelemahan itu berpunca daripada tekanan daripada kerajaan pusat secara terbuka dan halus.

Bagaimanapun beliau tidak menjelaskan bagaimana bentuk halangan dan tekanan yang dilakukan kerajaan pusat.

Ucapan dasar Abdul Hadi pada muktamar itu, yang bertemakan "Islam Adil untuk Semua", dilihat lebih banyak retorik dengan banyak menuduh UMNO dan Barisan Nasional melakukan kesilapan dalam pentadbiran negara.

"PAS wajib berjuang mengembalikan martabat umat Islam ke atas landasan yang sebenar dalam segala lapangan, dan seterusnya memulihkan imej Islam walaupun terpaksa berdepan dengan rintangan," katanya.

Tolak sebelah Kelantan,ramai juga yang bertanya apalah sangat undang-undang Islam yang dilaksanakan di Kedah setelah dua tahun PAS perintah.

Bukan rahsia bahawa PAS juga gagal semasa perintah Terengganu selama satu penggal selepas pilihanraya umum ke 11 sebelum jatuh balik kepada BN dalam pilihanraya umum ke 12.

Di Perak pula sepanjang setahun Datuk Seri Nizar Jamaluddin mentabir dalam kerajaan negeri yang dikuasai oleh DAP itu ia lebih banyak diselubungi oleh kontroversi.

Ada pemerhati yang menilai halangan PAS untuk melaksakan apa yang dihajatinya ialah rakan dalam rakatan pembangkang sendiri yakni PKR dan DAP.

Yang pasti PKR dan DAP tidak mungkin mahu kehilangan pengaruhnya terpaksa tunduk kepada kehendak PAS.

Di Pulau Pinang jangan mimpilah.Cuba jenguk ke Selangor.Adakah sesuatu yang istimewa yang dibawa oleh PAS ke negeri itu?

Ada yang mungkin kata ini kerana pakatan pembangkang belum ada kuasa politik nasional kerana Putrajaya masih ditangan BN.

Soalnya mimpi PKR tetapi berbeza dengan mimpi PAS dan begitu juga DAP.

PKR dan DAP tahu mereka cari nahas jika setuju misalnya dengan undang-undang hudud yang nak dibawa oleh PAS.

Jika Haji Hadi tidak retorik dan lebih realistik beliau pasti sedar realiti politik.

Ia tidak perlu ditunggu sehingga dapat melangkah ke Putrajaya.

Kalau empat buah negeri masih belum apa-apa bagaimana pula bila dah ada 13 negeri.

Dalam keadaan semuanya berhajat untuk mencapai satu impian memang semuanya nampak indah belaka.Dalam politik siapa boleh tolak lain jadinya nanti.Maka ini belum mengambil kira lagi ' tanduk ' yang mungkin keluar dari kepala DAP dan PKR jika sudah berkuasa satu Malaysia.

Jangan nanti Presiden PAS itu terpaksa ulangi kenyataan yang dibuatnya pada muktamar PAS itu bersandarkan pada alasan baru pula.

Thursday, June 10, 2010

DR HASAN SAMAN RM20 JUTA TERHADAP ZAHID DAN 3 LAGI

Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali memfailkan saman fitnah berjumlah RM20 juta terhadap Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan tiga lain kerana didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya ketika menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Bukit Sentosa, Hulu Selangor, pada April lalu.

Selain Ahmad Zahid, turut dinamakan sebagai defendan ialah Utusan Melayu (M) Sdn Bhd, Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) Datuk Zainal Abidin Sakom dan portal suratkhabar elektronik Agenda Daily Dot Com Sdn Bhd.

Hasan, selaku plantif, memfailkan saman itu di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di Shah Alam pada pukul 12.30 tengah hari semalam melalui firma guaman Tetuan Nazri Saad.

Dalam pernyataan tuntutannya, beliau mendakwa pada 24 April lepas Utusan Melayu melalui kenyataan Ahmad Zahid telah menghasilkan empat artikel berunsur fitnah di dalam akhbar Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia Online bertajuk "Keghairahan Politik Terbawa Sehingga Ke Khutbah Jumaat", "Hassan Ali Salah Guna Masjid", "Pembangkang Ingkari Sultan" dan "Pemimpin Pas Ingkar Perintah Sultan".


Beliau juga mendakwa pada tarikh yang sama, Agenda Daily Dot Com melalui kenyataan Zainal Abidin telah menghasilkan artikel berunsur fitnah bertajuk "Laporan Polis Terhadap Nik Aziz dan Hassan Ali" dan Zainal Abidin didakwa turut mengeluarkan kenyataan secara lisan berunsur fitnah di dalam siaran Berita RTM pada tarikh yang sama.

Hasan mendakwa artikel berkenaan secara langsung merujuk kepada beliau dan membawa maksud antara lain bahawa beliau ialah seorang yang tidak jujur, tidak boleh dipercayai, tidak layak untuk memberi khutbah, telah menggunakan masjid untuk kepentingan politik dan seorang penderhaka terhadap titah Sultan.

Hasan, yang juga exco kerajaan Selangor, mendakwa tindakan kesemua defendan itu mempunyai niat untuk merosakkan reputasi dan kedudukan politik serta jawatan beliau dalam parti.

Selain menuntut ganti rugi RM10 juta daripada Ahmad Zahid dan Utusan Malaysia serta RM10 juta lagi dari Zainal Abidin dan Agenda Daily Dot Com, plaintif turut menuntut ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan yang akan ditafsirkan mahkamah, faedah, kos serta laion-lain relif yang difikirkan sesuai.

Plantif juga turut memohon injunksi bagi menghalang defendan atau ejennya daripada melafazkan atau menerbitkan kata-kata yang memfitnahnya.

Hasan juga merupakan Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Gombak Setia.

Sunday, April 4, 2010

PELAN 16 SEPT : PENGAKUAN ANWAR DI DEWAN RAKYAT JERAT DIRI

Oleh: ROSLAN BIAN (Agendadaily.com)

Pengakuan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat Khamis malam mengenai pelan 16 September 2008 akhirnya menjerat dirinya sendiri.

Ketika Ketua Pembangkang itu beria-ria mahu tebus malu ekoran pendedahan Ahli Parlimen Bebas Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim baru-baru ini beliau gunakan nama Yang Di Pertuan Agong dan Panglima ATM, tanpa disedarinya pekongnya sendiri terlondeh.

Antaranya, Anwar mengaku ada menulis surat kepada yang Dipertuan Agong , mempelawa Ahli-ahli parlimen BN menyertai pembangkang dan berbual telefon dengan Datuk Seri Zambry Abdul Kadir untuk tujuan itu.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu nyata ‘ sangkut’ bila Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz mempertikai kenapa beliau hanya menghantar surat mohon untuk menghadap yang Dipertuan Agong tanpa menyertakan senarai Ahli parlimen BN yang kononnya mencukupi bagi membolehkan pembangkang ambil alih kerajaan.

Semua ini bermula apabila Nazri yang menggulung perbahasan menjunjungi kasih titah Yang Di Pertuan Agong di Dewan Rakyat menyentuh soal pelan 16 September Anwar menggunakan nama Agong dan ATM seperti didedahkan Zahrain.

Pengulungan menteri itu selama sejam telah mencuri tumpuan para Ahli Parlimen dan pemerhati yang hadir.

Menurut Nazri, dakwaan Ahli Parlimen BN beramai-ramai ingin melompat parti adalah tidak benar.

Beliau juga bertanya bilakah masanya kerajaan merampas dan mencuri Ahli Parlimen pembangkang sedangkan Ahli Parlimen PKR yang keluar menjadi Bebas dan tiada yang menyertai BN.

Katanya, tuduhan bahawa BN memberi imbuhan atau sogokan kepada mereka juga tidak berasas dan rakyat boleh menilai sendiri pembohongan itu selepas Ahli Parlimen PKR yang keluar parti membuat pendedahan.

Katanya, dengan pendedahan oleh Ahli Parlimen Bebas Bayan Baru dan beberapa orang lain yang keluar PKR serta Menteri Besar Perak semalam akhirnya terbongkarlah bahawa pembangkang sendiri yang mahu mencuri Ahli Parlimen BN.

“Ini termasuk usaha rombongan pembangkang ke Taiwan memburu ahli parlimen BN babitkan (ahli parlimen) Batu (Tian Chua), (ADUN) Bukit Lanjan (Elizabeth Wong) dan Machang (Saifuddin Nasution Ismail),” katanya.

Ketika ini Ahli Parlimen PAS Shah Alam, Khalid Samad bangun mencelah mempersoalkan kenapa Dr Zambry membuat pendedahan itu selepas dua tahun sedangkan ada wakil rakyat BN pernah mengaku dihubungi Ketua Pembangkang tetapi mengatakan tidak pernah ditawarkan apa-apa jawatan.

Menjawab perkara itu, Nazri berkata, beliau membangkitkan soal itu kerana hanya dikatakan sekarang.

Mengenai tawaran yang dimaksudkan, Nazri berkias mengatakan ada perkara-perkara yang beliau tahu dan pernah bercakap dengan Anwar tetapi tidak perlu disebut kerana menghormatinya sebagai kawan.

Jawapan beliau mengundang rasa tidak puashati Khalid yang mendakwa kononnya Nazri takut bercakap benar apabila memberi jawapan sedemikian.

Timbalan Speaker Datuk Wan Junaidi Tengku Jaafar terpaksa mententeramkan keadaan.

Apabila keadaan Dewan tenang, Nazri memberi laluan kepada Anwar mencelah.

Kata Anwar “merujuk kepada kenyataan Menteri Besar (Dr Zambry), saya buat pelawaan terbuka, bukan rahsia, Saya kata memandangkan apa yang ada pada pakatan rakyat (jumlah ahli parlimen) , saya pohon kerjasama rakan-rakan termasuk teman-teman saya (dalam BN) untuk bersama (Pakatan Rakyat).”

“Saya buat secara terbuka. Bukannya rahsia atau janji wang.” .

Beliau cuba mengungkit kisah dua ADUN PKR Perak (Osman Jailu dan Jamaluddin Mohd Radzi) serta Adun BN Bota (Datuk Nasaruddin Hashim) yang didakwanya ‘hilang’ dan menimbulkan misteri .

Anwar juga mendakwa tiada pertemuan antaranya dengan Zambry.

Katanya yang ada hanyalah perbualan telefon beberapa minit bertanya khabar.

“Saya tidak bincang hal-hal sedemikian (tawar jawatan Menteri Besar). Apabila beliau (Zambry) sedia berbicara di telefon, saya tak umumkan apa yang dikatakan (tawar jawatan), tegasnya.

Ketika ini Dewan Rakyat diam tanpa sesiapa bangun mencelah kerana kedua-dua barisan Ahli Parlimen sama ada BN dan pembangkang mahu mendengar jawapan Anwar.

Menurut Anwar, Zambry tidak tuntut jawatan atau wang daripadanya mahupun apa-apa perbincangan.

Nazri yang menyambung hujah berkata, yang dimaksudkan (pujuk Zambry) bukan Anwar dan minta jangan bersikap ‘siapa makan cili berasa pedas’.

“Saya tak kata Yang Berhormat. Ini kerja-kerja Little Napoleons dalam PKR,” katanya.

Zahrain kemudian turut bangun mencelah membidas Anwar kerana buat pembohongan dan cerita-cerita dongeng 16 Sptember termasuk menggunakan nama Yang Di Pertuan Agong dan ATM.

“Sekarang (pembangkang) tuduh kita ambil duit, imbuhan. Kalau ada buktilah. Kita hilang kepercayaan sebab tindak tanduk Ketua Pembangkang,” tegasnya.

Nazri kemudian menyokong kenyataan Zahrain dengan mengatakan, mereka yang sudah keluar (PKR) adalah kerana sudah hilang keyakinan terhadap pemimpin parti itu.

Anwar sekali lagi meminta laluan menjawab dakwaan Zahrain dan menjelaskan mengenai pelan 16 Septembernya.

Beliau mengaku ada menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 19 Sept 2008 untuk memohon menghadap bagi memaklumkan sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat terhadap pakatan pembangkang bagi membentuk kerajaan.

Katanya, adalah mustahil beliau berani menulis surat kepada Yang Di Pertuan Agong jika tidak cukup bilangan ahli parlimen untuk ambil alih kerajaan.

"Pada 18 September, saya mendapat persetujuan pimpinan tiga parti pembangkang iaitu Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Lim Kit Siang untuk menulis kepada Perdana Menteri (Tun Abdullah Ahmad Badawi) supaya diadakan sidang khas Parlimen bagi membincangkan usul dewan sudah hilang kepercayaan terhadapnya dan kepimpinan beliau.

"Mustahil jika saya berani menulis surat itu jika saya tidak mendapat perakuan Ahli Parlimen lain dan selepas surat itu ditolak, saya menulis pula kepada Speaker tetapi turut ditolak dan kemudian kepada Tuanku Mizan," katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak pula menyebut nama-nama Ahli Parlimen BN yang didakwanya telah membuat perakuan untuk menyokong pakatan pembangkang ketika itu.

Pengakuan Anwar itu menyebabkan Dewan Rakyat riuh seketika dan beberapa Ahli Parlimen menyifatkannya sebagai satu pembohongan.

Nazri yang meneruskan penggulungan mempertikaikan kebenaran dakwaan Anwar beliau sudah ada cukup bilangan Ahli Parlimen BN yang nak melompat itu.

Nazri berkata Anwar sudah pasti akan menghantar surat tersebut terus kepada yang Dipertuan Agong jika beliau berjaya "menarik" antara 20 hingga 30 anggota Parlimen BN tanpa perlu bersusah-payah mengikut saluran pertama ( Perdana Menteri) dan kedua (Speaker Dewan Rakyat) itu.

"Sepatutnya Anwar membawa tandatangan 20 atau 30 orang yang berjaya ditariknya dari BN kepada Yang di-Pertuan Agong, tetapi dia tidak ada. Pembangkang ada 82 dan BN ada 140, bagaimana nak buat undi tak percaya itu," katanya.