Monday, June 14, 2010

POPULARITI NAJIB & RMK10

Oleh PROFESOR MADYA DR. SIVAMURUGAN PANDIAN (Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia)

April 2009, Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih teraju kepimpinan negara sebagai Perdana Menteri yang keenam menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi dan sejak itu, banyak tinjauan pendapat dilakukan untuk menguji gaya kepimpinan beliau yang berubah dengan landskap politik tanah air.

Seringkali kaji selidik oleh Merdeka Centre dijadikan rujukan kerana mengguna pakai metodologi yang cuba memberi gambaran dan melakar senario politik semasa arus perdana walaupun akan ada yang mengkritiknya jika keputusan kaji selidik tidak menyebelahi mereka.

Jika dinilai semula tinjauan pertama yang dilakukan pada Mac 2009, kadar peratusan rasa puas hati jauh meningkat hari ini. Ketika dilantik sebagai Perdana Menteri, Najib menerima sokongan sekitar sembilan peratus masyarakat Cina, 15 peratus masyarakat India dan 52 peratus masyarakat Melayu.

Kedudukan politik kebangsaan ketika itu amat sukar bagi mana-mana pemimpin sekalipun kerana berhadapan dengan pelbagai isu termasuk perpaduan, kegawatan ekonomi dan ketidakstabilan gabungan parti dalam Barisan Nasional (BN).
Tidak terkecuali pembunuhan karakter dalam kalangan mereka yang rakus mahu berkuasa baik di dalam mahupun luar parti.

Walaupun peratusan tersebut meningkat perlahan-lahan dan mengalami kejatuhan mendadak pada September 2009 dengan kadar masyarakat Cina 36 peratus, masyarakat India 68 peratus dan masyarakat Melayu 64 peratus, berbanding sebelumnya ia kekal sekitar 49 peratus dalam masyarakat Cina, 64 peratus masyarakat India dan 72 peratus masyarakat Melayu.

Kaji selidik terkini menunjukkan bahawa populariti Najib berada pada tahap selesa terutama dalam masyarakat Cina dengan kadar peratusan 58 peratus, masyarakat India 80 peratus dan masyarakat Melayu 77 peratus.

Keseluruhannya, gambaran yang diberikan adalah 72 peratus penduduk puas hati dengan gaya kerja kepimpinan Najib. Ia memberikan satu indikasi yang penting kepada BN kerana yang ketara adalah kesungguhan beliau untuk merapatkan barisan dengan pendekatan 'mesra rakyat' yang dikagumi masyarakat.

Walaupun begitu, ia tidak boleh memberi ruang keselesaan kepada BN kerana masih terlalu awal untuk membuat hipotesis bahawa populariti Najib adalah sama dengan populariti BN. Ramai yang suka dan gemar dengan kejujuran Najib untuk berdamping dengan rakyat jelata dan melihat keistimewaan beliau adalah motivasi untuk menterjemah gagasannya kepada bentuk pelaksanaan dan bukan retorik politik semata-mata.

Namun, jika semata-mata bergantung kepada populariti Najib, adalah sukar untuk meningkatkan penerimaan ke atas BN kerana BN adalah gabungan komponen 13 parti. Gabungan pengukuhan BN yang seiring dengan penerimaan ke atas Najib akan membolehkan trend pola pengundian dalam pilihan raya yang ke-13 berubah.

Yang penting adalah bagaimana untuk menterjemah keyakinan dan kepercayaan ke atas gaya Najib kepada gagasan atau agenda perdana Najib. Buat masa ini, keyakinan ke atas gagasan 1Malaysia, Model Baru Ekonomi (MBE) dan Pelan Transformasi Kerajaan (PTK) masih di tahap kesedaran dan pemahaman dan kejayaannya turut bergantung kepada pencapaian Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Ia dapat dipertingkatkan gaya Najib dikongsi oleh pasukan beliau. 'Kepimpinan Melalui Teladan' pasukan Najib boleh mempengaruhi persepsi politik umum. Malahan, Najib sendiri mengakui sewaktu pembentangan RMK-10, beliau memerlukan pasukan yang mantap berdasarkan analogi bola sepak yang bergantung kepada keseluruhan anggota pasukan dan bukan sekadar seorang penyerang yang berbisa dan popular.

RMK-10 merupakan pelantar transformasi yang akan menjadi jambatan ke arah merealisasikan Wawasan 2020 berstatus negara maju. RMK-10 bersifat holistik yang menekankan satu gagasan perdana ke arah pertumbuhan ekonomi yang pesat diiringi oleh keadilan sosial untuk semua anggota masyarakat dari pelbagai latar belakang keturunan, agama, kepercayaan, gender dan pegangan ideologi politik.
Baik swasta mahupun kerajaan, masing-masing harus membina tanggungjawab bertunjangkan kepada kelancaran sistem penyampaian. Baik golongan tua mahupun muda, masing-masing ada fungsi dan peranan; kelas atasan, pertengahan dan bawahan, baik pemimpin mahupun pengikut, masing-masing perlu komited dalam membina bangsa yang bertamadun, bangsa yang boleh bergelar 'masyarakat kelas satu di sebuah negara kelas pertama' dengan keseimbangan pencapaian fizikal dan bukan fizikal.

Modal insan bercirikan glokal yang memiliki bukan sahaja ilmu tetapi juga kemahiran dan kebolehan bukan hanya ada di bandar kosmopolitan akibat urbanisasi tetapi RMK-10 mahu merentasi luar bandar sepenuhnya; rumah panjang, desa, kampung, estet dan kampung baru, mengambil kira 40 peratus dalam stratifikasi masyarakat yang masih berada dalam lingkaran kemiskinan.

Tanpa mengira sama ada Melayu, Cina, India, Kadazan, Bidayuh, Melanau, Murut dan Orang Asli, RMK-10 adalah untuk semua meliputi kerangka kepelbagaian modal insan sebagai satu aset untuk diraikan. Talent Corporation merupakan pengisian kepada kerangka ini manakala NKRA dan NKEA menjadi percaturan berisiko dan langkah berani Najib.

Dilemanya, apakah pemantauan berterusan akan dilakukan sebagai satu 'perubahan' untuk memastikan pelaksanaan berjaya. Kejayaan RMK-10 bergantung kepada pendekatan, kaedah dan instrumen yang digunakan supaya kumpulan sasar dan pelaksana tahu peranan masing-masing. Kekangan, keterbatasan dan limitasi yang menyebabkan beberapa agenda di bawah RMK-9 gagal dilaksanakan perlu dianalisis supaya kesilapan yang sama tidak berulang.

Jika mahu menggapai kecemerlangan yang melengkapi populariti Najib adalah pasukan yang bercita-cita besar, bermotivasi dan memahami setiap perincian gagasan Najib kerana akhirnya, pencapaian dasar yang akan dinilai oleh rakyat. Barangkali penilaian dan pemantauan berterusan setiap enam atau 12 bulan boleh memastikan pencapaian tidak tersasar akibat desakan global dan persekitaran dalaman.

Dua tahun akan datang walaupun akan dipenuhi dengan pelbagai insiden luar biasa dunia politik, pasukan beliau mesti memberi tumpuan berlebihan ke atas pelaksanaan. Ini kerana tahap kepercayaan dan rasa puas hati akan meningkat jika ia diteliti.

Maka, para strategis Najib perlu memikirkan bagaimana untuk menggunakan sentimen Najib ke atas pelaksanaan memandangkan hasil akhir ini yang akan dijadikan rujukan dalam penentuan undi pilihan raya kelak.

Yang nyata, indikasi puas hati kepada Najib menunjukkan umum komited dengan usaha beliau tetapi dalam masa yang sama, ia mahu ditafsir dalam bentuk pelaksanaan supaya sokongan tersebut akan bersifat holistik, bukan kepada individu tetapi kerajaan ataupun parti secara khususnya.

Bagaimana untuk mengubah mindset masyarakat agar populariti Najib sebenarnya menggambarkan asas perjuangan parti? Apa pula reaksi apabila wujud fobia ke atas elemen tertentu parti dan individu yang menjadi dalang yang sering mencari kesalahan sendiri daripada memperbaiki diri.

Ini menyebabkan wujudnya cabaran ke atas hala tuju negara dalam kalangan responden yang ditemubual terutama masyarakat Cina yang beranggapan ia berada dalam landasan yang salah (51 peratus) berbanding dengan masyarakat Melayu (25 peratus) dan masyarakat India (34 peratus) walaupun secara keseluruhannya data menunjukkan 52 peratus bersetuju ia berada dalam landasan yang betul.

Turut wajar diberi keutamaan adalah kualiti kehidupan yang banyak bergantung kepada ekonomi, keseimbangan sosial dan nilai kepimpinan. Apabila keyakinan sudah diberikan ke atas kepimpinan Najib, memacu kecemerlangan dalam bidang lain boleh menjadi keutamaan dalam mewujudkan sekuriti politik, ekonomi dan sosial. Isu rasuah dan jenayah masih membelenggu pemikiran mereka dan jelas bersetuju Najib perlu membanteras isu ini dengan baik dan mampu melakukannya.

Peratusan yang tinggi di sebalik populariti Najib adalah keinginan untuk melihat penambahbaikan ke atas pertumbuhan ekonomi, kemiskinan tegar, perkhidmatan awam, polis, skim kemampuan untuk memiliki rumah, pengangkutan awam yang lebih baik, urusan perbelanjaan dana kewangan negara, mengurus kekayaan dan pendidikan serta mempertahankan hak warga.

Dalam meneropong RMK-10, kupasan isu ini akan membawa satu harapan baru kepada rakyat Malaysia, menunjukkan perubahan sebenar ke atas tanggungjawab pemimpin dalam mempertahankan hak rakyat dan membina legitimasi politik pemimpin mahupun parti berasaskan kepada hubungan pemimpin dan pengikut baru yang sebelum ini berprinsipkan kepada kesetiaan dan rasa terima kasih.
Apa yang harus dilakukan adalah melahirkan pemahaman ke atas usaha berterusan kerajaan supaya ia tidak dilihat bermusim. Secara konsisten, yang mahu dihalusi adalah apakah langkah yang diambil untuk menegah daripada berleluasa gejala yang tidak bermakna. Hakikatnya, rakyat mahu merasa selamat dengan sekuriti yang kukuh ke atas kehidupan mereka dalam persekitaran yang kondusif dalam negara ini.

Cabaran besar Najib bermula selepas ini apabila beliau perlu membuat keputusan berisiko tinggi dan tidak popular, tegas dengan pelan tindakan dan tidak membenarkan pindaan akibat tekanan luar, melainkan datangnya maklum balas umum.

Kadangkala keputusan tersebut penting bukan untuk meningkatkan populariti tetapi untuk merungkai masa depan generasi akan datang dan umum perlu memahami bahawa keputusan seperti itu adalah sangat penting.

Daripada Utusan Malaysia

Sunday, June 13, 2010

PAS AKUI SUKAR LAKSANAKAN UNDANG-UNDANG ISLAM

Oleh: ROSLI ISMAIL (Agendadaily)

Cakap memang senang begitu juga kalau setakat untuk retorik saja dan cara yang paling mudah untuk menutup kegagalan tuding jari salahkan orang lain.

Ini merujuk kepada pengakuan Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa PAS belum mampu untuk melaksanakan undang-undang Islam di negeri yang diperintah pakatan pembangkang.

Apa yang dinyatakan oleh Presiden PAS itu dalam ucapan dasar merasmikan Muktamar PAS ke-56 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK) di Kota Bharu Jumaat bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

Ini kerana di Kelantan sendiri yang ditabir oleh PAS dibawah Musyidul Am Datuk Nik Aziz Nik Mat selama lebih 20 tahun sistem pemerintahan yang dihajatkan oleh PAS belum dapat dilaksanakan.

Malah ada yang bertanya contohnya, apakah cara Menteri Besar itu melantik menantunya sendiri sebagai CEO Perbadanan Menteri Besar Kelantan dan tabir urusnya dipertikaikan sesuatu yang selaras dengan prinsip parti itu.

Haji Hadi tentu tahu kerana beliau mengetuai rombongan pimpinan PAS ke Kota Bharu untuk memujuk Nik Aziz supaya meminta Ariffahmi Abdul Rahman melepaskan jawatan itu.

Bagaimana pula dengan kenyataan taiko DAP, Karpal Singh langkah mayatnya jika PAS nak laksanakan pemerintahan Islam di negara ini yang belum ditarik balik sampai ke hari ini.

Kata Haji Hadi parti itu terpaksa mencuba sedaya upaya melaksanakan Islam mengikut bidang kuasa kerajaan negeri.

"PAS yang berjaya memerintah Kelantan, pernah di Terengganu dan Perak, dan terkini memimpin kerajaan di Kedah di samping menyertai kerajaan campuran di Selangor dan Pulau Pinang telah mencuba sedaya upaya melaksanakan Islam mengikut bidang kuasa kerajaan negeri," katanya.

Menariknya beliau menyalahkan kelemahan itu berpunca daripada tekanan daripada kerajaan pusat secara terbuka dan halus.

Bagaimanapun beliau tidak menjelaskan bagaimana bentuk halangan dan tekanan yang dilakukan kerajaan pusat.

Ucapan dasar Abdul Hadi pada muktamar itu, yang bertemakan "Islam Adil untuk Semua", dilihat lebih banyak retorik dengan banyak menuduh UMNO dan Barisan Nasional melakukan kesilapan dalam pentadbiran negara.

"PAS wajib berjuang mengembalikan martabat umat Islam ke atas landasan yang sebenar dalam segala lapangan, dan seterusnya memulihkan imej Islam walaupun terpaksa berdepan dengan rintangan," katanya.

Tolak sebelah Kelantan,ramai juga yang bertanya apalah sangat undang-undang Islam yang dilaksanakan di Kedah setelah dua tahun PAS perintah.

Bukan rahsia bahawa PAS juga gagal semasa perintah Terengganu selama satu penggal selepas pilihanraya umum ke 11 sebelum jatuh balik kepada BN dalam pilihanraya umum ke 12.

Di Perak pula sepanjang setahun Datuk Seri Nizar Jamaluddin mentabir dalam kerajaan negeri yang dikuasai oleh DAP itu ia lebih banyak diselubungi oleh kontroversi.

Ada pemerhati yang menilai halangan PAS untuk melaksakan apa yang dihajatinya ialah rakan dalam rakatan pembangkang sendiri yakni PKR dan DAP.

Yang pasti PKR dan DAP tidak mungkin mahu kehilangan pengaruhnya terpaksa tunduk kepada kehendak PAS.

Di Pulau Pinang jangan mimpilah.Cuba jenguk ke Selangor.Adakah sesuatu yang istimewa yang dibawa oleh PAS ke negeri itu?

Ada yang mungkin kata ini kerana pakatan pembangkang belum ada kuasa politik nasional kerana Putrajaya masih ditangan BN.

Soalnya mimpi PKR tetapi berbeza dengan mimpi PAS dan begitu juga DAP.

PKR dan DAP tahu mereka cari nahas jika setuju misalnya dengan undang-undang hudud yang nak dibawa oleh PAS.

Jika Haji Hadi tidak retorik dan lebih realistik beliau pasti sedar realiti politik.

Ia tidak perlu ditunggu sehingga dapat melangkah ke Putrajaya.

Kalau empat buah negeri masih belum apa-apa bagaimana pula bila dah ada 13 negeri.

Dalam keadaan semuanya berhajat untuk mencapai satu impian memang semuanya nampak indah belaka.Dalam politik siapa boleh tolak lain jadinya nanti.Maka ini belum mengambil kira lagi ' tanduk ' yang mungkin keluar dari kepala DAP dan PKR jika sudah berkuasa satu Malaysia.

Jangan nanti Presiden PAS itu terpaksa ulangi kenyataan yang dibuatnya pada muktamar PAS itu bersandarkan pada alasan baru pula.

Thursday, June 10, 2010

DR HASAN SAMAN RM20 JUTA TERHADAP ZAHID DAN 3 LAGI

Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali memfailkan saman fitnah berjumlah RM20 juta terhadap Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan tiga lain kerana didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya ketika menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Bukit Sentosa, Hulu Selangor, pada April lalu.

Selain Ahmad Zahid, turut dinamakan sebagai defendan ialah Utusan Melayu (M) Sdn Bhd, Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) Datuk Zainal Abidin Sakom dan portal suratkhabar elektronik Agenda Daily Dot Com Sdn Bhd.

Hasan, selaku plantif, memfailkan saman itu di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di Shah Alam pada pukul 12.30 tengah hari semalam melalui firma guaman Tetuan Nazri Saad.

Dalam pernyataan tuntutannya, beliau mendakwa pada 24 April lepas Utusan Melayu melalui kenyataan Ahmad Zahid telah menghasilkan empat artikel berunsur fitnah di dalam akhbar Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia Online bertajuk "Keghairahan Politik Terbawa Sehingga Ke Khutbah Jumaat", "Hassan Ali Salah Guna Masjid", "Pembangkang Ingkari Sultan" dan "Pemimpin Pas Ingkar Perintah Sultan".


Beliau juga mendakwa pada tarikh yang sama, Agenda Daily Dot Com melalui kenyataan Zainal Abidin telah menghasilkan artikel berunsur fitnah bertajuk "Laporan Polis Terhadap Nik Aziz dan Hassan Ali" dan Zainal Abidin didakwa turut mengeluarkan kenyataan secara lisan berunsur fitnah di dalam siaran Berita RTM pada tarikh yang sama.

Hasan mendakwa artikel berkenaan secara langsung merujuk kepada beliau dan membawa maksud antara lain bahawa beliau ialah seorang yang tidak jujur, tidak boleh dipercayai, tidak layak untuk memberi khutbah, telah menggunakan masjid untuk kepentingan politik dan seorang penderhaka terhadap titah Sultan.

Hasan, yang juga exco kerajaan Selangor, mendakwa tindakan kesemua defendan itu mempunyai niat untuk merosakkan reputasi dan kedudukan politik serta jawatan beliau dalam parti.

Selain menuntut ganti rugi RM10 juta daripada Ahmad Zahid dan Utusan Malaysia serta RM10 juta lagi dari Zainal Abidin dan Agenda Daily Dot Com, plaintif turut menuntut ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan yang akan ditafsirkan mahkamah, faedah, kos serta laion-lain relif yang difikirkan sesuai.

Plantif juga turut memohon injunksi bagi menghalang defendan atau ejennya daripada melafazkan atau menerbitkan kata-kata yang memfitnahnya.

Hasan juga merupakan Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Gombak Setia.