Wednesday, September 7, 2011

Mat Sabu, Bukit Kepong dan Pas

Oleh DATUK IRMOHIZAM IBRAHIM
(Fellow Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (Impak), Universiti Teknologi Mara dan Naib Presiden Majlis Belia Malaysia)


Pendapat Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu (Mat Sabu) bahawa gerombolan pengganas komunis yang menyerang Balai Polis Bukit Kepong adalah pejuang kemerdekaan dan hero sebenar peristiwa tersebut dan bukannya anggota polis yang mempertahankan balai itu dengan nyawa mereka bolehlah disifatkan sebagai satu usaha untuk menulis semula sejarah negara.

Dalam rangka yang lebih besar ia merupakan percubaan bagi mengabsahkan perjuangan Parti Komunis Malaya (PKM) dan melakar perjuangan komunis sebagai perjuangan yang mulia.

Taktik Mat Sabu tidak menyebut perkataan komunis dan sebaliknya hanya menyebut nama Mat Indera dalam ceramahnya adalah suatu taktik halus sama seperti kaedah yang pernah diguna pakai PKM dalam mengumpan sokongan masyarakat Islam satu ketika dahulu.

Strategi diguna pakai PKM ini berasaskan kesedaran bahawa jika wajah sebenar komunisme yang menolak kewujudan Tuhan dan menganggap agama sebagai candu masyarakat didedahkan kepada orang Melayu, maka amat sukar bagi mereka untuk menerima atau menyokong ideologi tersebut.

Lantas untuk mengaburi mata umat Islam maka golongan Marxis-Leninist-Maoist menjadikan retorik perjuangan kemerdekaan daripada penjajahan British sebagai umpan utama untuk menarik sokongan orang Melayu.

Dalam hal ini, matlamat besar Mat Sabu adalah untuk merenggangkan hubungan parti UMNO dan sejarah perjuangan merebut kemerdekaan daripada penjajah British. Sebagai alternatif kepada peranan UMNO maka peranan PKM dipilih sebagai hero dan pejuang sebenar kemerdekaan dan oleh kerana komunisme itu sensitif di kalangan umat Islam maka Mat Indera digunakan sebagai contoh perlambangan yang perjuangannya disamakan dengan perjuangan Tok Janggut, Haji Abdul Rahman Limbong malah yang lebih dahsyat perjuangan Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW sendiri. Sejarah yang ada pada hari ini pula dimomokkan sebagai sejarah yang dilakarkan oleh penjajah dan parti pemerintah.

Bagi mengetahui sama ada tuduhan ini benar atau tidak, kita perlu melaksanakan satu ujian sejarah alternatif. Berdasarkan fakta, kita boleh melukis hala tuju sejarah jika dikatakan PKM yang berjaya menghalau pihak British dari Tanah Melayu.

Mat Sabu menyembunyikan hakikat bahawa jika PKM berjaya 'membebaskan Malaya' maka ia akan mendatangkan tiga kesan utama. Pertamanya corak pemerintahan Malaya tidak mungkin berasaskan pemerintahan Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen, di sebaliknya Malaysia akan berubah menjadi sebuah republik dengan kediktatoran satu parti manakala Raja-Raja Melayu dinyahtakhtakan.

Kedua, kehidupan beragama akan dihapuskan seperti mana lazim di negara-negara komunis, Islam tidak mungkin menjadi agama rasmi sebaliknya fahaman ateisme-sekular akan menjadi pegangan negara. Dalam situasi ini Parti Pas tidak mungkin wujud.

Ketiga, Tanah Melayu akan dipimpin oleh Setiausaha Agung PKM kerana sebagai pemimpin tertinggi PKM sudah tentu beliau akan memegang jawatan sama ada sebagai Ketua Negara atau Ketua Kerajaan. Jika ketiga-tiga hakikat ini direnung, tidak mungkin ada orang Melayu yang akan sanggup menyertai atau menyokong Parti Komunis.

Adalah amat dangkal dan tidak bertanggungjawab bagi sesetengah pihak dalam usaha mempertahankan pendapat Mat Sabu menyamakan perjuangan komunis dengan perjuangan Tok Janggut di Kelantan atau Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu yang menentang penjajahan British. Perbezaannya amat ketara - kedua-dua mereka tidak pernah sekali-kali mahu mendirikan sebuah republik dan menurunkan Raja-Raja Melayu daripada takhta.

Tidak berniat sekalipun untuk menghapuskan agama Islam sebagai agama dominan Tanah Melayu dan tidak rela sama sekali menjadi daie kepada fahaman ateisme atau pernah terfikir untuk menjadikan bangsanya sendiri sebagai bangsa terpinggir.

Perjuangan komunisme menentang British di Tanah Melayu juga tidak boleh sama sekali disamakan dengan perjuangan Nabi Muhammad SAW menentang Arab Jahiliyah atau pembukaan Kota Mekah. Kenapa pihak-pihak tertentu mahu menyamakan 25 anggota polis dan keluarga yang terkorban dalam tragedi Bukit Kepong yang semuanya beragama Islam dengan Arab Jahilliyah yang tidak menerima malah memerangi agama tauhid.

Bukankah kesemua pengganas komunis kecuali Mat Indera (itu pun perlu dikaji sama ada beliau masih beragama Islam ketika itu) adalah ateis yang bencikan agama serta menafikan kewujudkan Tuhan.

Siapakah yang berfikiran waras yang mahu menyamakan perjuangan mulia Nabi Muhammad SAW dengan sifat kebinatangan Kompeni Bebas ke-4 yang membunuh wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa.

Pada awal tahun 1950-an satu-satunya parti yang mengerakkan usaha-usaha untuk mendapatkan kemerdekaan adalah UMNO. Ada yang mendakwa bahawa pemberontakan bersenjata PKM mempercepatkan pihak British memberikan kemerdekaan kepada Malaya.

Jika PKM benar-benar memperjuangkan kemerdekaan negara, kenapa apabila kita mencapai kemerdekaan pada tanggal 31 Ogos 1957, PKM tidak mahu meletakkan senjata. Malahan mereka terus mengganas dengan membunuh orang awam, polis dan tentera? Kenapakah Allahyarham Tan Sri Abdul Rahman Hashim mantan Ketua Polis Negara dibunuh oleh komunis 17 tahun selepas negara mencapai kemerdekaan. Bukankah beliau berkhidmat untuk sebuah kerajaan merdeka dan dipilih rakyat.

Hakikatnya kenapa menunggu sehingga Disember 1989 baru PKM mahu meletakkan senjata iaitu 32 tahun selepas merdeka. Kepada PKM, ia bukan soal menentang penjajah, bagi mereka kemerdekaan sebenar hanya dicapai apabila parti mereka berkuasa mutlak, apabila sebuah republik dengan kediktatoran satu parti didirikan di bumi ini dengan berkiblatkan ideologi komunisme dan apabila akidah Islam serta agama-agama lain dihapuskan dari hati sanubari rakyat.

Janganlah kita apabila memberikan pendapat cuba mengambil sikap tidak jujur dari segi intelektual dan cuba menulis semula sejarah untuk disesuaikan dengan agenda sempit.

UMNO dituduh parti berhaluan kanan yang disenangi penjajah, Presiden-Pengasas UMNO Allahyarham Dato' Onn dan Bapa Kemerdekaan Almarhum Tunku Abdul Rahman dituduh tali-barut Inggeris. Hakikatnya bukankah Dato' Onn telah meletakkan jawatan daripada perkhidmatan awam negeri Johor dan Tunku sebagai Timbalan Pendakwaraya untuk berjuang demi agama, bangsa dan negara.

Kedua-duanya telah mengorbankan kesenangan serta keselesaan peribadi demi pertiwi. Oleh itu jangan sekali-kali dihina sumbangan mereka, jangan dicerca khidmat bakti mereka. Pendek kata jangan jadi manusia yang tidak mengenang budi.

Ada pula yang mahu mendewa-dewakan perjuangan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) sebuah parti berhaluan kiri dalam usaha memperlekehkan parti UMNO. Tetapi siapa yang berani menceritakan kebenaran bahawa Presiden PKMM yang pertama iaitu Mokhtaruddin Lasso ialah seorang komunis. Begitu juga sebahagian besar ahli jawatankuasanya menganut fahaman komunisme. Bukankah dasar wahid PKMM dari lapan dasar yang diluluskan di kongres pertamanya di Ipoh dari tanggal 30 November hingga 3 Disember 1945 ialah mempersatu padukan bangsa Melayu, menanamkan semangat kebangsaan dalam sanubari orang Melayu dan bertujuan untuk menyatukan Malayadalam keluarga yang besar iaitu Republik Indonesia Raya.

Jika tercapai matlamat itu, maka hari ini agama Islam tidak akan menjadi agama rasmi negara, Raja-Raja Melayu akan diturunkan takhta dan assimilasi berbanding integrasi akan menjadi panduan kepada dasar perhubungan kaum di negara ini.

Percubaan historical revisionism oleh Mat Sabu ini perlu dilihat dari konteks yang lebih luas. Ia sebenarnya adalah percubaan fraksi 'Anwarisme' dalam Pas untuk menjadikan parti tersebut lebih diterima oleh orang bukan Islam, terutama oleh rakan pembangkangnya DAP.

Langkah pertama mereka telah berjaya dicapai apabila Mat Sabu menang jawatan Timbalan Presiden Pas mengalahkan penyandang dari kalangan ulama. Akibatnya dasar kepimpinan ulama yang dibawa generasi Allahyarham Yusof Rawa dan Fadzil Noor telah diketepikan. Mat Sabu sudah tentu bukan seorang ulama sama ada dari segi ilmu mahupun pembawaan.

Kedua, golongan ini telah berjaya menukar matlamat perjuangan Pas daripada negara Islam kepada negara berkebajikan. Sepatutnya umat Islam menitiskan air mata sebak mengenangkan selama 30 tahun akibat amanat Haji Hadi Awang, individu telah dikafirkan berdasarkan pendirian sama ada mereka menyokong konsep negara Islam yang dibawa Pas atau tidak.

Amanat ini telah memecahbelahkan umat Islam sehingga berlaku pertelingkahan antara ibu bapa dan anak-anak, antara suami dan isteri, antara adik-beradik, antara jiran tetangga dan antara ahli kariah.

Namun hari ini demi kepentingan politik dengan sekelip mata Pas tanpa segan silu ataupun memohon maaf kepada mereka yang dizalimi akibat amanat Haji Hadi dengan mudah menggugurkan perjuangan negara Islam dan sebaliknya digantikan dengan konsep negara berkebajikan yang telah dipelopori UMNO semenjak merdeka lagi.

Ketiganya apabila Pas sanggup menjadi Pak Turut dan Pak Sanggup DAP. Hari ini ukhuwah umat Islam tidak penting, DEB atau sebarang dasar afirmatif tidak adil, kedudukan bahasa Melayu tidak perlu, kedudukan agama Islam mampu dikompromi kerana yang penting adalah kuasa dan kedudukan.

Segala-galanya hatta prinsip serta teras perjuangan boleh dikorbankan demi matlamat rakus tersebut.

Utusan Malaysia

Sunday, August 21, 2011

Layakkah Artis Yang 'Insaf' Berdakwah, Berceramah Agama di Masjid?

Siapa yang suka-suka jemput individu berceramah dalam masjid di Selangor?

Banyak sungguh kejadian di Selangor yang pelik-pelik, khususnya penceramah individu yang mendakwa diri mereka ustaz dan pihak-pihak tertentu khususnya pemimpin PAS tempatan pula gila dan taksub terhadap mereka.

Apakah kerana mereka popular ketika menjadi artis maka kedudukan mereka itu wajar dipergunakan untuk menjadi penceramah dan mampu menarik minat orang ramai?

Benar ada kalangan artis yang sudah ‘insaf’, tetapi apakah layak mereka menjadi penceramah? Cukupkah ilmu di dada mereka untuk memperkatakan sesuatu yang amat mulia, khususnya perkara berkaitan Islam?

Apakah dakwah dalam Islam boleh dilakukan sesiapa sahaja?

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.berpendapat dakwah perlu dilakukan dengan penuh hikmah serta tidak boleh menggunakan perkataan yang boleh menimbulkan rasa sakit hati orang ramai.

Beliau berkata dakwah adalah untuk mengajak orang ramai melakukan kebaikan dan sekiranya penyampaian ilmu menerusi dakwah itu menyakitkan hati banyak pihak, secara langsung ilmu yang yang disampaikan itu tidak dapat diterima.

"Sepatutnya dakwah lebih daripada itu. Bukan untuk sakitkan hati orang tetapi dakwah untuk mengajak sebab dakwah berkaitan dengan hati. Bila soal hati, sekiranya hati disakiti macam mana ilmu dan ajakan ini hendak sampai," di Sungai Petani semalam.

Mengulas insiden seorang bekas pelakon lelaki yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong serta beberapa Sultan lain dan mengkafirkan kerajaan dalam tazkirahnya kepada hampir 300 jemaah Masjid An-Nur, Kampung Melayu Subang, Jamil Khir berkata kejadian itu sesuatu yang tidak wajar dilakukan.

Tambahan pula berlaku dalam masjid yang menjadi tempat untuk beribadat dan bukan sebagai tempat untuk berpolitik sehingga menghina orang lain.

Mungkin kerana kejadian ialah sekali lagi Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam bertitah supaya masjid di negeri itu tidak dijadikan gelanggang untuk berpolitik yang boleh memecah-belahkan perpaduan ummah.

Baginda berharap Jawatankuasa Masjid dapat mengaturkan pelbagai program yang dapat memberikan manfaat kepada seluruh kariah tanpa mengira usia dan status, titahnya pada majlis perasmian Masjid Desa Subang Permai.

Tuesday, August 16, 2011

PAS Semakin Sesat...UMNO, Perkasa Yang Dipersalahkan

Beginilah kalau parti yang sudah tidak berpendirian. Lebih jauh SESAT...

Takut pada bayang-bayang dan bimbang perpecahan dalaman berlaku!

Semalam, PAS mengaitkan operasi oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ada kaitan dengan UMNO.

Mengusutkan atau PAS memang sedang kusut.

Dah jelas PAS kini tersesat dan tidak fokus kepada isu sebenar yang diperkatakan oleh umat Islam negara ini, iaitu murtad.

Amat jelas PAS tertekan dan semakin tidak berani memperkatakan pendirian mengenai perbuatan memurtadkan orang Islam kerana bimbang kemarahan DAP dan PKR terhadapnya.

Beginilah keadaannya apabila pemimpin Islam semakin melihat kuasa dan kedudukan penting daripada segala-galanya.

Orang Islam di Malaysia sewajarnya melihat bagaimana PAS bersandiwara dan menyalahkan pihak lain pada ketika mereka sebenarnya sedang berbuat salah dan berada di pihak yang salah.

Di Kuala Terengganu semalam, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali “mendedahkan’ maklumat dalaman JAIS menyatakan bahawa ada elemen dan peranan UMNO dalam operasi JAIS, pada 3 Ogos terhadap majlis yang diadakan di kawasan gereja Methodist Petaling Jaya.

“Saya dapat maklumat ‘dalaman’ Jais semalam (14 Ogos), berkait dengan operasi Jais pada 3 Ogos 2011 lalu bahawa ada eleman dan peranan Umno dalam operasi Jais terhadap majlis yang diadakan di kawasan Gereja Methodist, Damansara Utama, Petaling Jaya itu,” jelasnya.

Jadi apa yang dilakukan oleh EXCO Selangor, Datuk Dr Hassan Ali itu sebagai menyokong usaha UMNO? Dewan Pemuda PAS juga menyokong UMNO?

Atau Mustafa menganggap Nasrudin Hassan kini bersekongkol dengan UMNO?

Menurut Mustafa, matlamat UMNO bertindak demikian untuk memperorak-porandakan (destabilize) kerajaan negeri Selangor kerana kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor ini mempunyai pelbagai komponen dan isu-isu sensitif ini mudah.

“Ada usaha hendak timbulkan konflik dalaman Pakatan Rakyat. Ini (isu) penting bagi UMNO. Walau pun tidak secara langsung, dia (Umno) guna Perkasa dan sebagainya,” ujarnya.

Berikutan itu, beliau mengingatkan ahli dan pemimpin PAS disemua peringkat agar tidak terpengaruh dengan “perangkap” UMNO dalam isu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dengan gereja.

Sedarlah wahai pemimpin PAS, jangan nak salahkan orang lain dalam isu murtad.
Kembalilah ke pangkal jalan dan jangan berterusan salahkan Dr Hassan dan hormatilah pendapat mereka yang tegas mengenai isu murtad ini seperti Dewan Pemuda PAS dan beberapa pemimpin lain.

Jangan kerana kepentingan politik dan kuasa, PAS cuba menyesatkan pengikut dan penyokong setianya.