Friday, August 5, 2016

Ahmad Razif Nafi Tandatangan Dokumen Telaga Minyak Bertam P307...


Hujan tidak, rebut tidak, tiba-tiba semalam Menteri Besar Terengganu memperkatakan mengenai isu tandatangan dokumen mengenai telaga minyak Bertam.

Ahmad Razif Abdul Rahman menafikan beliau ada menandatangani sebarang dokumen berkenaan untuk diserahkan kepada Pahang dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Inilah kali pertama, isu ini diketahui ada berkaitan dengan Menteri Besar berkenaan. Kebetulan beliau sendiri yang menafikan pada sidang media di Kuala Terengganu semalam.

Siapa yang memperkatakan isu tandatangan sebelum ini?

Ia bukan sesuatu yang menjadi perbualan ‘kedai kopi’ atau ‘lobi’. Tidak tahulah kalau peringkat gosip politik.

Atau mungkinkah isu tandatangan ini sudah menjadi perbualan umum yang sudah dibuat di kalangan ‘orang politik’ di Terengganu sebelum ini?

Jika ditandatangani untuk 1MDB, untuk apa lagi syarikat pelaburan strategik negara itu berkehendakkan telaga minyak berkenaan? Untuk dicagar?


Tidak cukup lagikah dengan ‘harta’ dan pemilikannya sejauh ini?

Ahmad Razif mengulas kenya­taan Datuk Seri Ahmad Said kelmarin yang meminta beliau memberi penjelasan mengenai isu telaga minyak Bertam 307 itu dan beliau didakwa telah menandatangani serta menyerahkannya kepada Pahang.

Dakwaan itu merupakan salah satu yang dijadikan alasan mengapa Ahmad Said tidak lagi berkeyakinan terhadap kepe­mimpinan Ahmad Razif.

Ini sesuatu yang baru mengenai isu Bertam ini.

Cerita 1MDB mahu menggadai telaga minyak ketika mula-mula ditubuhkan (ketika Terengganu Investment Authority atau TIA) telah didedahkan oleh Ahmad Said belum ‘terjawab dengan jelas’.

Merasmikan mesyuarat UMNO di Kemaman tahun lepas, Ahmad Said bersumpah bahawa ia cerita betul, bukan rekaan seperti yang dituduh oleh ADUN Air Puteh, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar.

Kini ada pula cerita baru mengenai telaga minyak dan dikaitkan dengan 1MDB sekali lagi?

Apabila Ahmad Razif menyebut perkara ini walaupun dalam keadaan menafikan, persoalannya apakah ada pihak yang meminta atau mendesak beliau berbuat demikian bagi pihak kerajaan Terengganu?

Jika tidak ada permintaan, masakan beliau terpaksa menafikan menandatangani dokumen berkaitannya.

Menteri Besar itu mengatakan beliau tidak melakukan sebarang tandatangan mengenai telaga minyak Bertam kerana kawasan itu bukan milik kerajaan negeri dan ia dikendalikan oleh Petronas.

Apa yang ditegur oleh Ahmad Said sebelum ini pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ialah sikap Kerajaan Negeri Terengganu dalam isu telaga minyak Bertam PM307 yang terletak kira-kira 130km dari Pantai Geliga, Kemaman.

Ketika membuat teguran itu, bekas Menteri Besar itu mengatakan semuanya ada 15 telaga minyak, namun pengeluaran hanya empat atau lima  telaga sahaja dengan nilai pengeluaran ialah RM100 juta setahun.


Ahmad Said bertanya kenapa Terengganu tidak mendapat sebarang hasil daripadanya dan bagaimana Perdana Menteri menggunakan kuasaya dengan menyerahkannya kepada Pahang?

Bagaimana boleh kerajaan UMNO Terengganu di pimpin Oleh Ahmad  Razif  serta Petronas diam membisu megenai perkara ini?

Tidak pula disebut di sidang DUN mengenai isu telaga minyak itu mahu diserahkan kepada pihak tertentu.

Tiba-tiba Ahmad Razif  menafikan kenyataan bekas Menteri Besar Terengganu itu yang dikatakan menuduhnya sudah menandatangani dan menyerahkan medan telaga minyak Bertam 307 di perairan Terengganu kepada Pahang dan 1MDB.

Sebelum ini Ahmad Said tidak mengatakan perkara sedemikian atau bertanya secara terbuka.

Tetapi tidak tahulah kalau melalui ‘bisik-bisik’ atau diceritakan kepada mereka yang rapat dengannya?

‘This is news’. Ini sesuatu yang baru dan kali pertama didengar secara rasmi dan juga penafian secara rasmi untuk julung-julung kalinya oleh Menteri Besar berkenaan dalam isu ini.

 

Tegas Ahmad Razif, beliau tidak layak menandatangani sebarang surat menyurat kerana Bertam bukan hak milik negeri ini.

"Dalam hal ini, tiada berlaku tandatangan, tiada  surat menyurat, yang kita sedia ada pun bukan diisytiharkan milik Terengganu kerana telah melebihi tiga batu nautika, itu sudah jadi milik persekutuan," tegasnya.

Malah, apa yang diperoleh daripada hasil telaga minyak lain adalah hasil 'pemberian' dan perjanjian Menteri Besar terdahulu bersama Tun Abdul Razak bagi membantu negeri yang paling hampir dengan telaga minyak yang dijumpai.

"Sebenarnya tiada isu telaga minyak kerana ia bukan hak kerajaan negeri tetapi Persekutuan. Jadi kenapa kita dapat lima peratus?

Yang Bertam itu kepunyaan Petronas, kita tiada hak. Saya telah jelaskan dalam sidang Dewan Undangan Negeri yang lalu," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Hari Koperasi Negara 2016 di Kuala Terengganu semalam.

Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Apakah isu menandatangani dokumen ini ada kaitan dengan penarikan semua pingat Ahmad Razif oleh Istana Terengganu?

Ada pihak membuat spekulasi sedemikian. Jika tidak ada kaitan dan jika bukan kerana isu menyerahkan telaga minyak, isu apa lagi yang menyebabkan pingat beliau ditarik balik oleh Istana Terengganu?

Apakah ada isu lebih besar daripada ini? Lagi ‘rahsia besar’.

Berkaitan desakan Ahmad Said itu, Ahmad Razif menjelaskan semalam, sehingga kini pihaknya masih berusaha membuat permohonan rasmi kepada kerajaan Persekutuan agar Terengganu memperoleh pendapatan daripada telaga minyak terbabit.

Menurut Ahmad Razif,  tiada sebarang hasil dari Bertam diagihkan kepada mana-mana negeri dan ia adalah hasil negara.

Menurut Menteri Besar itu, telaga minyak Bertam tidak berada dalam lingkungan tiga batu nautika yang membolehkan ia menjadi hak milik penuh kerajaan negeri namun pihaknya masih cuba mendapatkan hasilnya demi kebaikan rakyat negeri ini.

Ini pun memeningkan juga. Kalau benar tidak menjadi hak milik kerajaan negeri, apa kewajaranya untuk menuntut hasil? Jika ia milik Pahang, tidak wajar kerajaan negeri meminta apa-apa.

Jawapan ini jauh berbeza dengan apa yang disebut oleh Ahmad Said pada sidang DUN menjawab soalan ADUN Batu Burok pada pertengahan Disember 2012 apabila mengatakan :"Kita (Kerajaan Terengganu) menerima surat dari syarikat Lundin Oil (syarikat carigali yang berpangkalan di Sweden) yang melaksanakan kerja-kerja carigali di kawasan berkenaan (dengan kerjasama Petronas Carigali) mengesahkan bahawa ia adalah di kawasan perairan Terengganu...

Dengan penemuan rizab tambahan ini, Terengganu dijangka memperoleh tambahan royalti sebanyak RM100 juta setahun atau bergantung kepada anggaran pengeluaran."

Medan minyak itu terletak kira-kira 160 kilometer di luar pesisiran pantai Semenanjung Malaysia bertentangan dengan sempadan Terengganu dan Pahang, pada kedalaman air 76 meter.

Ahmad Said juga turut mengesahkan bahawa kerajaan negeri ada menulis surat kepada Petronas mengenai status penemuan minyak itu, namun sehingga tarikh itu belum lagi menerima jawapan.

Perdana Menteri Datuk Sri Najib Tun Razak terlebih dahulu mengistiharkan pada 30 Oktober 2012 bahawa negeri Pahang dan bukannya Terengganu berhak menerima royalti di medan minyak Bertam tersebut. Perdana Menteri juga menegaskan bahawa negeri Pahang dijangka menerima royalti sekitar RM100 juta setahun, bergantung kepada anggaran pengeluaran, apabila pengeluaran bermula pada suku ketiga tahun 2014.

Menurut Ahmad Razif, beliau telah membuat permohonan rasmi supaya kerajaan Persekutuan meneliti semula ketetapan sebelum ini mengenai hak milik telaga minyak tersebut namun masih dalam peringkat perbincangan.
     
"Kerajaan negeri telah membuat permohonan rasmi kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) selaku Menteri Kewangan untuk membuat pertimbangan agar digunakan balik asas kepada komitmen (lebih tiga batu nautika milik kerajaan Persekutuan) yang telah diberi sebelum itu tetapi saya belum dapat keputusan daripada Perdana Menteri.

"Kita sendiri telah tubuhkan satu jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh saya sendiri dan dianggotai oleh beberapa pihak termasuk wakil pemetaan kerana kita nak tengok balik dan melihat semula peraturan dan ia bukan proses yang cepat yang kita boleh ambil keputusan,” kata Ahmad Razif.

Permohonan itu perlu dibuat mengikut peraturan. "Permohonan kita adalah cara yang terbaik, bukan minta dengan cara kekerasan, beri peluang kepada saya kerana kita masih dalam perundingan dan doakan agar ia dipermudahkan,” katanya.


Ahmad Razif menegaskan, beliau perlu diberi peluang menyelesaikannya. ia masih dalam proses rundingan.

Thursday, August 4, 2016

Kalau Kamu Letak Jawatan, Aku Boleh Jadi EXCO...Semudah Itu?


Dah mula haru-biru jadinya. Kenyataan kebudak-budakan pun mula keluarlah. Bukan sahaja ‘bodo’ tetapi tidak cerdik. Sama ker tu???

Yakin ker boleh dilantik jadi Exco kalau ada yang letak jawatan.

Kenyataan ini bukan daripada mulut budak-budak UMNO tetapi Ketua Penerangan UMNO Negeri Terengganu sendiri, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar.

Wan Hakim hari ini  menasihatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ghazali Taib supaya meletakkan jawatannya sebagai exco negeri.

Kan betul ada teori mengatakan bahawa kedudukan Ghazali akan ‘dikacau’.

Kini terserlah. Pemimpin UMNO Terengganu boleh beca siapa ‘master-mind’ di belakang Wan Hakim untuk membuat kenyataan itu. Tidak semestinya daripada Menteri Besar.


Orang itu ialah yang baru dapat kedudukan selepas lama menyepikan diri akibat tindak-tanduknya sendiri dalam krisis istana melibatkan penolakan Datuk Seri Idris Jusoh menjadi Menteri Besar selepas pilihan raya umum 2008.

Dia ini pun bercita-cita menjadi Menteri Besar sebelum ini tapi pintu sudah tertutup. Pagar istana pun tertutup untuknya.

Wan Hakim pun memang bercita-cita mahu menjadi Menteri Besarpun. Di Kuala Lumpur, dia bercerita dialah hebat, boleh gantikan Ahmad Razif Abdul Rahman. Dulu ceritanya, boleh ganti Datuk Seri Ahmad Said.

Malah dia naik tocang apabila pada 7 Mei 2014 ada laporan mengatakan Putrajaya telah meminta dua ADUN Terengganu bersiap-sedia untuk menggantikan Menteri Besar Terengganu.

Menurut akhbar The Star itu, Datuk Seri Ahmad Said dijangka berundur antara 15 hingga 18 Mei 2014. Berikutan itu, dua nama yang disebut-sebut akan dilantik sebagai menteri besar yang baru ialah ADUN Seberang Takir, Datuk Abdul Razif Abdul Rahman dan ADUN Air Putih, Wan Hakim Wan Mokhtar.

Abdul Razif ialah Exco Kerajaaan Negeri Terengganu manakala Wan Hakim ialah Pengerusi Backbencher Terengganu.

Berbalik kepada tugasnya sebagai Ketua Penerangan, Wan Hakim septutnya tidak menghangatkan suasana.Wan Hakim sepatutnya menjadi pendamai dan dalam situasi sekarang jangan hangatkan suasana.

Kalaupun bercita-cita tinggi, sifir yang tepat kena pakai. Jangan gelojoh nanti hilang semuanya.

Bagaimana kalau Ahmad Said dan Ghazali buat keputusan tinggalkan UMNO, tidak terlopong kamu. Kerajaan negeri pun gugur.

Usahkan jawatan Menteri Besar, jawatan EXCO pun ranap. “Bodo mikir gitu’.

Sepatutnya Wan Hakim menjadi orang tengah. Ketua dalam UMNO Bahagian dia ialah Ahmad Said tetapi kerana dia berpihak kepada Ahmad Razif, sambil-sambil itu berusaha untuk ‘menangguk di air keruh’.

Mungkin dia nampak inilah peluang untuknya menonjolkan diri.

Dia lupa siapa meletakkannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Puteh, iaitu kerusi yang sebelumnya dipegang oleh Datuk Wan Ahmad Nizam Abdul Hamid.

Dia tidak tahu bahawa Ahmad Said berterima kasih kepada ayahnya dan untuk balas budi dan bagi kerusi ‘selamat’ untuknya di mana Wan Ahmad Nizam diminta tidak bertanding di kerusi itu pada 2008.

Wan Ahmad Nizam kemudian dilantik Setiausaha Politik kepada Menteri Besar.

Memang Idris memilih calon tetapi kalau Ketua Bahagian membantah pencalonannya di Dewan Undangan Air Puteh, bagaimana?. Kerana kawasan selamat, dia memang lagi pada pilihan raya umum 2013.

Mungkin marah kerana selepas dua penggal dia tidak jadi EXCO tetapi sebaliknya Ahmad Said pilihan jurutera muda, Ir Rosli Othman, ADUN Kemasik yang terpilih dari Bahagian UMNO Kemaman. Sebelum itu Datuk Mohamed Awang Tera, ADUN Cukai menjadi EXCO.

Hari ini dengan megah dan sombongnya menasihat (siapa kamu?) ADUN Ajil Letak Jawatan Exco.

Apakah kamu yang melantik Ghazali melalui persetujuan istana yang dengan begitu mudah meminta Ghazali meletakkan jawatan EXCO.

Tidak tahulah kalau Ahmad Razif main ‘baling batu sembunyi tangan’. Kalau begitu pengecut dan penakutlah Ahmad Razif dengan Ghazali.

Wan Hakim mengakui tindakannya akan menjadi langkah drastik di pihak Ghazali.

Tetapi bagi Wan Hakim, ia merupakan jalan terbaik bagi memastikan kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman berjalan lancar.

Berjalan lancer? Betulkah? Tanya kawan2 ADIN Terengganu tu, berapa ramai yang ketika ini berpihak kepada Ahmad Razif?

"Ghazali merupakan exco kerajaan negeri, dalam kumpulan utama bagi pembuat dan pelaksana dasar. Mengapa kritik kerajaan di bawah kepimpinan Ahmad Razif sebagai tidak berfungsi sedangkan beliau sendiri di dalam kerajaan?

"Ia bermakna beliau juga gagal. Beliau perlu menjelaskan apakah ia, yang tidak berfungsi kerana beliau berkata secara umum yang memang mengelirukan," katanya kepada pemberita malam semalam.

Pada Rabu, Ghazali memang membuat kenyataan mengkritik kerajaan negeri dan kepimpinan Ahmad Razif menerusi media sambil mendedahkan terdapat dakwaan krisis dalaman kerajaan negeri.

Kalau benar Ketua Penerangan UMNO itu ‘anak jantan’ kenapa tidak tanya Ghazali secara berdepan tetapi menggunakan media.

Lebih baik Wan Hakim bertanyakan semua 14 ADUN lain  dan buat kenyataan berapa ramai yang sokong Ahmad Razif.

Juga usahakan mereka berdamai serta menyatukan mereka daripada berperang sesama sendiri.

Jika berjaya beliau dilihat sebagai penyelemat dan barulah ada ‘ummph’ untuk difikirkan sebagai ketua untuk pemimpin UMNO di Terengganu. Itupun kalau mereka nak ikut. Wan Hakim bukan ketua atau timbalan ketua Bahagian UMNO ponggg!

Selain itu Wan Hakim ADUN biasa dan yang diminta letak jawatan itu EXCO.


‘Besar kepala’ sungguh Ketua Penerangan UMNO negeri Terengganu  ini.

Monday, August 1, 2016

Isu Pecat Mad Said Daripada UMNO – ‘Dah Jadi Perang Besar You See’

 
"Ahmad Razif perlu sedar diri, ‘peperangannya dengan Mad Said’ akan meletakkan dirinya di keadaan KALAH JADI ABU, MENANG JADI ARANG...soalnya apakah Mad Said yang tidak berketurunan Bugis itu akan menjadi dayus serta  ‘lesu dan layu’?"

Bugis bukan sebarang Bugis.

Kalau Naib Razak berketurunan Bugis, Ahmad Razif Abdul Rahman juga  keturunan Bugis. So, jangan main-main dengan mereka berdua.

Seperti ditegaskan Menteri Besar Terengganu sebelum ini, beliau tidak takut dan tidak akan tunduk kepada gerakan memburuk dan menjatuhkannya.

Kini pertempuran semakin sengit antara Ahmad Razif dan bekas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said (Mad Said) bagaikan sukar untuk didamaikan lagi.

Terbaru, khabarnya pada Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO kelmarin (29 Julai 2016), Ahmad Razif menimbulkan persoalan kenapa Mad Said masih kekal dalam UMNO. Bagi Menteri Besar itu, Mad Said kini tidak boleh dibiarkan dalam UMNO Terengganu. Ini kerana akan menjadikan UMNO negeri semakin parah.

Ahmad Razif mahu Mad Said ‘ditendang keluar’ walau apa cara sekali ponggggg!!!
Lagi cepat lagi bagus. Banyak menyusahkannya. beliau tidak boleh berkompromi lagi dengan feil (perangai)_ Mad Said.


Ahmad Razif bengang apabila laporan Perhubungan UMNO Terengganu yang dihantar kepada Majlis Tertinggi melalui Ibu Pejabat UMNO Malaysia tidak mendapat perhatian sewajarnya. Sama ada tersangkut di Ibu Pejabat, di tangan Setiausaha Kerja atau sudah di tangan Presiden UMNO tetapi terperap.

Apa tidak bengangnya Ahmad Razif kerana sebelum ini, apabila Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman minta Majlis Tertinggi UMNO pecat Datuk Seri Shafie Afdal, Majlis Tertinggi UMNO ikut dengan mudah. Namun apabila tiba  giliran cadangannya untuk pecat Mad Said, Majlis Tertinggi buat ‘don’t know’ jer.

Ahmad Razif berang sebab laporan yang dihantar menyatakan dengan jelas bahawa Mad Said menganggunya dan mengacau UMNO Terengganu acap kali.

Selain itu Mad Said bercakap macam-macam untuk ‘peteh keting’ Barisan Nasional (BN) Terengganu dan kepimpinan Ahmad Razif melalui soalan-soalan di Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kemudian dijadikan modal oleh pembangkang untuk menyerang kembali BN negeri  dan Ahmad Razif sendiri.

Ahmad Razif juga bengang dengan tindakan Mad Said mahu beliau letak jawatan sebagai Menteri Besar melalui usul yang digagalkan oleh Speaker kerana usul dikatakan tidak mengikut peraturan mesyuarat.

Bukan sikit sebab-sebab atau aduan kenapa Mad Said perlu dipecat tetapi Majlis Tertinggi seperti ada ‘mainan sendiri’.

Rauf....jangan bercakap
Malah, ada khabar mengatakan Ahmad Razif juga bengang dengan Setiausaha Kerja UMNO yang dipanggil ‘Si Gemuk’– Datuk Seri Ab Rauf Yusoh - yang dikatakan bersekongkol dengan Mad Said.

Pada mesyuarat Majlis Tertinggi terbaru, ada ker patut ‘Si Gemuk’ ini menasihati  Ahmad Razif supaya jangan bercakap atau bertanya mengenai pemecatan Mad Said pada mesyuarat Majlis Tertinggi.

Ini kerana kononnya Presiden UMNO dan Naib Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengatakan ‘TIDAK PAYAH’ dan ‘kurang gemar mendengar mengenainya’.

Ahmad Razif kehairanan kenapa ‘Si Gemuk’ ini menasihatnya sedemikian rupa?

Apakah ada konspirasi di Ibu Pejabat UMNO dalam isu Mad Said?

Lantas kerana peristiwa itu ada pendapat mengatakan Najib sepatutnya menendang keluar ‘Si Gemuk’ itu dari Ibu Pejabat UMNO kerana cuba melindungi ADUN BN mengemukakan undi tidak percaya kepada MB BN sendiri.

Malah kerenah ‘Si Gemuk’ ini ramai yang sudah bersungut tetapi Najib tidak berbuat apa-apa. Ini boleh merosakkan UMNO.

Pada mesyuarat itu, Ahmad Razif pada ruang berkaitan perkara atau hal-hal lain, membentangkan kesnya dengan harapan ada ahli atau anggota Majlis Tertinggi lain menyokongnya.

Beliau hampa apabila Ahli Majlis Tertinggi dari Kemaman yang juga Timbalan Ketua Bahagian Kemaman, Datuk Seri Ahmad  Shabery Chik membisu. Datuk Seri Idris Jusoh dari Bahagian UMNO Besut pun berdiam diri.

“Panas’ dibuatnya Ahmad Razif dan beliau bertanya apakah adil untuk dirinya diganggu-gugat oleh Mad Said sedemikian.


Bagi Ahmad Razif, sepatutnya apabila dia mengemukakan kes penting seperti ini demi UMNO Terengganu, ahli Majlis Tertinggi menyokongnya, termasuk Idris sendiri yang bagaikan lupa apa yang ADUN Kijal itu lakukan kepada beliau ketika Mad Said jadi Menteri Besar antara tahun 2008 dan 2014.

Menteri Besar sangat berharap mereka yang kedudukannya begitu kuat di Pusat menyokong beliau kerana mencadangkan untuk melenyapkan pengaruh Mad Said yang mensabotaj kerajaan negeri dan BN Terengganu.

Ini tidak, Shabery dan Idris main ‘play safe’ yang dianggap sangat merugikan UMNO dan BN Terengganu.

Persoalannya kenapa berlaku demikian? Apakah Idris dan Shabery tahu kedudukan ‘sebenar’  bahawa Ahmad Razif sebenarnya semakin tidak mendapat sokongan daripada beberapa Ketua Bahagian dan pemimpin lain di bahagian-bahagian UMNO Terengganu?

Hakikatnya UMNO Pusat mungkin ada pandangan wajar takut-takut  kalau tinggal 16  vs  16 atau ada kejadian ‘katak lompat’ di DUN Terengganu, kerajaan BN akan lebur.

 Ahmad Razif sendiri banyak kali mengatakan mahu bubar DUN untuk dapatkan mandat baru tetapi tiada apa yang berlaku. Mungkin UMNO Posit tidak mahu ‘membeli idea karutnbya’ itu.

Bagi Ahmad Razif, kudis dan pekong Mad Said sudah membusuk dan tidak boleh diubati lagi.


Kerana itu Ahmad Razif, sama ada secara sinis atau mengugut, mengingatkan Majlis Tertinggi, kalau UMNO tidak mahu atau tidak berani bertindak terhadap Mad Said, jangan pula salahkan beliau (Ahmad Razif) jika kemusnahan lebih besar berlaku selepas ini. Sementara pentadbiran BN di negeri Terengganu terus diganggu-gugat.

Akhirnya mesyuarat majlis tertinggi kelmarin itu dikatakan  mengambil keputusan menangguhkan pemecatan Mad Said sehingga selesai mesyuarat Lembaga Disiplin UMNO bulan hadapan.

Dr Ahmad Zahid dikatakan mencadangkan supaya pemecatan Mad Said hendaklah mengikut prosedur.

Sekali lagi Ahmad Razif bengang.

Menghairankan sedikit, pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir tidak mengikut prosidur pun. Apakah UMNO boleh dikatakan  mengamalkan ‘pilih kasih’ serta  double standard dalam menjatuhkan hukuman kepada Mad Said,   selain ada agenda tertentu kerana terhutang budi dengan bekas Menteri Besar itu?

Ada laporan mengatakan ‘Si Gemuk’ atau Rauf beria-ia menyekat Ahmad Razif daripada membincangkan secara terbuka pada mesyuarat Majlis Tertinggi kerana ada sebab tersendiri yang bersifat ‘udang di sebalik megi’.

Dituduh bahawa Rauf sejak beberapa bulan tidak memaklumkan laporan UMNO Terengganu kepada pihak atasan di Ibu Pejabat UMNO. Kenapa?

Ada laporan menyebut, ‘Si Gemuk’ pernah mendapat kawasan balak ketika Mad Said jadi menteri Besar Terengganu. Malah dikatakan, Rauf juga pernah menyertai rombongan lawatan rasmi Mad Said ke luar negara.

Bijak sungguh pakar strategi bekas Menteri Besar Terengganu itu. Di sini ada kebijaksanaan satu ‘Wan Ahamad’ Mad Said berbanding lima atau enam ‘Wan Ahamad’ milik Ahmad Razif yang dilihat tidak menjalankan kerja untuk bosnya. Sebaliknya mempunyai agenda untuk mengkayakan diri sendiri.

Patutlah Mad Said sayang sangat dengan ‘Wan Ahamad’. Sebaliknya ‘Wan Ahamad’ milik Ahmad Razif menayangkan kekayaan di Terengganu dan mengumpul harta sendiri. Tidak mempunyai rancangan strategic mempertahan Menteri Besar itu.

Ada mengatakan, ketegasan dan kelantangan Ahmad Razif dalam mesyuarat kelmarin itu mengejutkan ramai ahli Majlis Tertinggi UMNO dengan hujahnya bahawa tindakan ADUN Kijal itu mengemukakan usul undi tidak percaya kepada MB Terengganu itu,  tidak boleh dimaafkan.

Sudah lebih tiga bulan Majlis Tertinggi UMNO bagaikan enggan mengambil tindakan terhadap Mad Said kerana kekebalannya.  Badan Perhubungan UMNO Terengganu menyedia dan menghantar laporan lengkap mengenai ‘feil buruk Mad Said’ tetapi ia tidak ke mana=mana.

Kelantangan dan keberanian Ahmad Razif dikaitkan dengan keturunan dan darah pahlawan Bugis seperti Najib dan sebelum ini Ahmad Razif membuktikan keberaniannya ketika berucap di Kerteh dua bulan lalu dengan menghentam lawannya.

Malah Ahmad Razif turut mengingatkan Mad Said bahawa:  “Kepada mereka yang ingin menjatuhkan saya, dengar baik-baik pesan ini, saya tidak takut dan tidak akan tunduk! Biar mati berkalang tanah, biar ada yang berpaling tadah, saya tidak akan sekali-kali mengalah,” katanya dalam sesi penggulungan Sidang DUN, pada 9 Mac 2016.

Sebelum ini ramai  menganggap MB Terengganu sebagai ‘budak baik’ dan pendiam. Namun kini terserlah jangan sekali-kali mengandaikan Ahmad Razif pengecut.

Namun dalam keberanian itu, Ahmad Razif mungkin lupa atau buat-buat tidak faham bahawa beliau kini menjadi Menteri Besar di negeri yang paling terumbang-ambing.

Mungkin perkiraaan Ibu Pejabat UMNO dan kepimpinan tertinggi UMNO ialah sekiranya Mad Said dipecat, kerajaan negeri dan UMNO perlu berdepan dengan akibatnya yang teruk.

Malah kemungkinan akan berlaku DUN tergantung. Kini BN mempunyai 17 kerusi DUN, berbanding PAS dengan 14 kerusi dan satu oleh PKR.

Mad Said beri amaran :"Jika mereka fikir mereka mahu meneruskan keputusan untuk pecat saya, mereka boleh melakukannya. Dan akan berlaku DUN tergantung dan kemudian menteri besar perlu menghadap Sultan sama ada meletakkan jawatan atau membubarkannya," katanya kelmarin.

Hakikatnya, Ahmad Razif perlu sedar diri, ‘peperangannya dengan Mad Said’ akan meletakkan dirinya di keadaan KALAH JADI ABU, MENANG JADI ARANG!

Tinggal kini, apakah Mad Said yang tidak berketurunan Bugis itu akan menjadi dayus serta  ‘lesu dan layu’ berikutan  keberanian Ahmad Razif mendesak Majlis Tertinggi UMNO memecatnya?

Banyak medan di Terengganu sedang menunggu kedua-duanya bertembung di gelanggang, khususnya di Terengganu.

Dan paling hampir 8 Ogos ini apabila sidang DUN Terengganu bersidang.

Walaupun sidang satu hari tetapi mungkin digunakan ‘sebaik-baiknya’ oleh Mad Said untuk ‘menyerang hendap pahlawan keturunan Bugis’ agar setidak-tidanya Ahmad Razif menjadi ‘arang’.