Tuesday, August 9, 2016

Gelek Puteri – Penjajahan Hiburan, ‘Hedonisme’ Di Kalangan Wanita Muda


"Cukuplah dengan remaja yang bagaikan sudah tenggelam dengan segala macam hiburan dari televisyen,  FACEBOOK dan yang terbaru aplikasi permainan Pokemon Go hingga lalai dan terleka."

Oleh Zuraida Mohd Nor
Pengerusi Ameerah Terengganu

Mutakhir ini viral satu video yang memaparkan 4 orang ahli Puteri UMNO yang mempersembahkan tarian gelek dalam sebuah majlis perasmian persidangan sayap itu di Kota Bharu kelmarin.

Ia merupakan perkara yang sangat memalukan bagi muslimah yang bermaruah apabila dipersembahkan di hadapan seorang timbalan menteri lelaki bertaraf pusat.

Gelak tawa disorak-sorak oleh kaum lelaki di belakang dan di depan menimbulkan rasa sedih dan simpati terhadap penari tarian gelek berkenaan.

Zuraida...sedih dan simpati
Kita baru sahaja “lelah” melihat situasi remaja negara kita dihidangkan persembahan Selena Gomez dalam bulan Syawal yang lalu.

Apakah persamaan Selena dan Puteri UMNO itu? Kedua-duanya dikatakan berpakaian sopan tetapi menimbulkan aksi mengghairahkan.

Aksi tarian gelek serta persembahan artis remaja yang seksi dan liar itu jelas gambaran “candu” hedonisme yang telah lama dipaksa telan umat Islam di Malaysia.

UMNO selaku parti memerintah serta sayapnya Puteri UMNO sentiasa menjadikan hiburan sebagai agenda utama untuk meraih sokongan dan perhatian rakyat terutamanya golongan muda.

Sepatutnya sebuah sayap parti yang dikatakan membawa Islam, tunjukkanlah contoh yang terbaik buat ahli dan rakyat.

Islam sebagai agama fitrah tidak menghalang kecenderungan semula jadi manusia untuk ketawa dan berseronok.

Sebaliknya, Islam suka kepada setiap perkara yang menjadikan kehidupan manusia itu baik. Hiburan dalam Islam adalah suatu yang menenangkan dan mendidik jiwa.

Bahkan melakukannya bukan hanya semata-mata untuk mencari keseronokan dan memenuhi tuntutan nafsu tanpa batasan. Rasulullah SAW juga bergurau dan bergelak ketawa bersama-sama para sahabat dan keluarga Baginda.

Ameerah Terengganu merasa amat kesal kerana persembahan tersebut dijayakan oleh wanita-wanita muda yang bakal menjadi peneraju negara. Ia sangat tidak bersesuaian dengan imej wanita Islam dan melayu yang seharusnya sopan dan beradab.

Kami merasakan pihak Puteri UMNO sangat tidak prihatin akan sensitivi masyarakat serta golongan wanita muda yang menjadi aspirasi organisasi mereka.

Firman Allah SWT :
وقل للمؤمنت يغضضن من أبصرهن ويحفظن فروجهن ولا يبدين زينتهن إلا ما ظهر منها وليضربن بخمرهن على جيوبهن
 Maksudnya: Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman itu supaya menyekat pandangan mereka (daripada yang diharamkan) dan memelihara kehormatan mereka, dan janganlah mereka menzahirkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya. (Surah An-Nur: ayat 31)

Justeru itu , kami mewakili wanita muda Islam menyeru semua pihak menolak budaya hedonisme yang semakin menular dalam masyarakat. Jangan biarkan hiburan menjajah kehidupan kita hingga tidak mampu dipisahkan.

Cukuplah dengan remaja yang bagaikan sudah tenggelam dengan segala macam hiburan dari televisyen , FACEBOOK dan yang terbaru aplikasi permainan Pokemon Go hingga lalai dan terleka.
  
Pemimpin seharusnya menjadi contoh tauladan buat semua. Semoga semua pimpinan parti politik bersikap matang dan berhati-hati dalam semua tindakan.

Tidak cukup sekadar permohonan maaf, seharusnya disusuli dengan tindakan yang efektif dan membuktikan kesungguhan membawa kebaikan kepada rakyat. Jangan pula permohonan maaf setelah segalanya viral dan mendapat kecaman.

Wanita Muslimah itu dimuliakan. Jagalah maruahmu. Jangan sampai mencalar maruah agamamu.

Tajuk asal - Gelek Puteri VS Selena Gomez (Tue, Aug 9th, 2016)

Sunday, August 7, 2016

Kemelut Terengganu - Tiada Kata Putus Pertemuan Najib, ADUN UMNO...


‘All I Want Is MB To Resign’. Demikian tegas Datuk Seri Ahmad Said mengenai kemelut politik ketika ini seperti dilaporkan oleh The Star Online hari ini.

Bukan sehari, selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) esok (8 Ogos) atau sebulan lagi, tetapi perletakan jawatan itu mesti berkuat kuasa serta merta.

Itu sahaja yang dimahukan oleh Ahmad Said dalam isu politik di Terengganu.

Yang lain, datang kemudian. Nampaknya beliau tidak mengubah pendiriannya.

Kenyataan ini amat nyata, menjelaskan kepada rakyat Terengganu bahawa selagi Ahmad Razif Abdul Rahman tidak meletakkan jawatan, tiada penyelesaian kemelut politik negeri itu dalam masa terdekat.

Ahmad Said jelas memberi isyarat bahawa selagi Ahmad Razif menjadi Menteri Besar, beliau tidak akan mengundur walau setapak pun.

Ketua UMNO Kemaman itu yang dikatakan sebagai ‘duri dalam daging’  pentadbiran Ahmad Razif dipersalahkan kerana  prestasi buruk Terengganu pada pilihan raya umum 2013 yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) memenangi hanya 17 kerusi berbanding 14 oleh PAS dan satu lagi oleh PKR.


Semalam, Ahmad Razif berkata kemelut politik di Terengganu seperti perbalahan  ‘adik-beradik’ atau ‘suami-isteri’ dan semuanya akan kembali tenang.

Menurutnya semuanya akan ‘OK’ selain memberi jaminan bahawa persengketaan dalaman Umno negeri itu telah diselesaikan dan tidak ada sebarang perkara luar biasa yang akan berlaku semasa persidangan DUN esok.

Beliau berkata keadaan telah reda dan semuanya telah diselesaikan selain tiada apa yang luar biasa akan berlaku semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) esok.

Yang paling penting menurut beliau mesti bergerak ke hadapan bersama-sama untuk menggerakkan agenda pembangunan di Terengganu.

Ahmad Razif dengan penuh keyakinan mengatakan beliau sentiasa berhubung dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memaklumkan mengenai perkembangan terbaru itu.

"Saya telah memberitahu beliau bahawa semuanya di bawah kawalan di Terengganu. Ia adalah perkara biasa (berhadapan masalah) seperti suami dan isteri mempunyai sedikit ketegangan.

"Kami percaya bahawa ia adalah perkara biasa dan hanya akan membantu mengukuhkan perpaduan di antara kami," katanya.

Benarkah demikian?

Apakah yang diceritakan oleh Menteri Besar itu kepada Najib? Kebaikannya dan keburukan Ahmad Said?

Banyak perkara mengenai apa yang disebut oleh Ahmad Razif ini mengenai penjelasannya kepada Perdana Menteri masih boleh diperkatakan.

Sudah pasti yang tahu perkara sebenar mengenai perbincangan dan pertemuan dengan Najib adalah ADUN Terengganu sendiri.

Apakah Ahmad Razif dipanggil pada pertemuan dengan Perdana Menteri di Putrajaya pagi semalam?

Benarkah beliau tidak dijemput pun? Mengapa?

Dan mengapa pula beberapa ADUN tidak hadir, selain ADUN Kota Putera yang kini berada di Vietnam dan ADUN Jabi yang menghadiri mesyuarat Pemuda UMNO?

Siapa arah mereka tidak hadir walaupun pada pertemuan dengan Perdana Menteri. Apakah ADUN yang tidak hadir itu berani melanggar permintaan Perdana Menteri berjumpa beliau?

Boleh main tidak perlu hadir ker kalau Perdana Menteri dan Presiden UMNO panggil. Siapa besar?

Menteri Besar dikatakan memberitahu beberapa pihak kononnya Perdana Menteri akan hadir majlis jamuan Hari Hari Raya untuk Anak Terengganu di Putrajaya semalam tetapi bayang Najib pun tidak nampak.

Amat nyata penggunaan nama Perdana Menteri digunakan sewenang-wenangnya di Terengganu dan bukan sahaja Pejabat Perdana Menteri tahu perkara ini tetapi Setiausaha Agong UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Datuk Seri Rauf Yusoh, Setiausaha Kerja UMNO juga maklum mengenai perkara ini.

Walaupun Ahmad Razif berusaha menunjukkan kekuatan yang ada padanya bagi membolehkannya kekal sebagai Menteri Besar tetapi dia tetap akan berdepan dengan desakan Ahmad Said berterusan.


Memanglah esok pada sidang DUN, Ahmad Said dijangka tidak akan melakukan sesuatu yang mengejutkan.

Ini  kerana ‘menghormati permintaan Perdana Menteri semalam’ agar urusan mesyuarat berjalan dengan licin. Ahmad Said dikatakan ada berjanji dengan seseorang untuk menyebabkan berlakunya kekecohan pda sidang DUN berkenaan.

Tetapi pasti ada tempoh tertentu yang Ahmad Said tetapkan. Bila tempoh itu?

Dengan kenyataannya semalam bahawa tidak berminat dengan pilihan raya negeri dan mahu Ahmad Razif meletakkan jawatan serta merta. itu sudah cukup untuk difahami oleh rakyat dan Ahmad Razif sendiri.

"Saya seorang yang tenang dan telah bersabar selama dua tahun. Tetapi apa yang berlaku sudah melampau. Ia mula memberi kesan kepada rakyat dan pemimpin yang tidak bersalah.

Kerosakan itu telah dilakukan dan Ahmad Razif telah mengejutkan harimau yang sedang tidur. Sekarang beliau perlu pergi. Saya tidak mahu pilihan raya negeri tetapi apa yang saya mahu ialah beliau digantikan oleh orang lain," kata bekas menteri besar itu.

Ahmad Said berkata keadaan mungkin berbeza jika Menteri Besar itu mendapatkan nasihat beliau terutamanya mengenai pelantikan dan pemecatan orang Umno di Kijal dan Kemaman.

Perkara terbaik yang perlu dilakukan Ahmad Razif adalah meletakkan jawatan kerana jika diadakan pilihan raya negeri sekalipun , BN dan UMNO diyakini  tidak akan dapat membentuk kerajaan.

Saturday, August 6, 2016

Hujah Jawablah Dengan Hujah, Bukan Dengan ‘Spin Fitnah’...BODO!!!


Benarkah Datuk Seri Ahmad Said yang dikenali dengan ‘Mad Said’ memang kaki temberang  yang sering menarik perhatian  bermodalkan air liur dan pengalaman berpolitiknya?

Juga benarkah Mad Said berjaya menarik perhatian musuh politiknya termasuk PAS dengan ayat-ayat seperti  ‘saya tahu banyak rahsia’, ‘jangan cabar saya’, ‘jangan sampai saya dedahkan semuanya’ dan banyak lagi.

Inikah sifat dan ciri-ciri Mad Said yang sebenar?

Siapa kata begi tu?
  
Itu kata blog Terengganu Daily dengan tajuk “Mat Said Ugut Bergabung Dengan Parti Ajaran Sesat Jatuhkan BN Terengganu’ yang diposkan semalam.

Juga,  itu kata pengongsi viral di Facebook melalui seseorang yang memetik posting blog berkenaan.


Menurut Terengganu Daily, Mad Said sekali lagi membuat ugutan untuk keluar parti semalam dan akan bekerjasama dengan PAS atau  ‘Parti Ajaran Sesat’ bagi menumbangkan Kerajaan BN di Terengganu.

‘Parti Ajaran Sesat’ itu merujuk kepada gelaran yang diberikan oleh Mad  Said sendiri kepada parti berkenaan ketika beliau menjadi Menteri Besar sehingga lahirnya ‘Wacana PAS : Parti Ajaran Sesat’ pada 11 April 2012 di Taman Tamadun Islam.

Memetik sumber (tong sampah UMNO Gong Badak  dekat Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin lah tu...)  ugutan keluar UMNO itu diulangi bagi memenuhi ‘jadual program’ membalas dendam terhadap Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman.

Balas dendam? Balas dendam apa?

Faham atau tidak faham Terengganu Daily ini mengenai apa yang dicakapkan oleh Mad Said, sama ada ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) atau pada majlis tertentu mengenai beberapaperkara besar membabitkan kepentingan rakyat Terengganu.

Isu-isu seperti duit royalti minyak yang sewenang-wenangnya digunakan oleh Putrajaya, penggunaan wang rakyat Terengganu untuk pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur2 sehingga RM1.8 bilion, menggunakan wang royalty bagi pembinaan pembangunan di luar Terengganu, isu telaga minyak Bertam dan lain-lain ia bukan dendam.

Mad Said lantang bukan untuk dirinya tetapi untuk rakyat Terengganu.

Kalau dia nak bodek Perdana Menteri, dia boleh berdiam diri dalam isu berkenaan dan selamatlah kedudukannya.


Apa untungnya beliau bising? Bukankah itu menjadi antara sebab Putrajaya berang dengannya.

Malah mengaitkan Mad Said kononnya mahu bergabung dengan PAS juga tidak benar.

Sekali lagi maklumat Terengganu Daily dari ‘tong sampah’ di kawasan perumahan berdekatan stadium di Gong Badak.on) terhadap beliau.

“ Siapa yang kata saya akan bergabung dengan PAS? Saya masih anggota Umno hingga hari ini,” tanya Mad Said

ADUN Kijal menafikan beliau akan bekerjasama dengan PAS sekiranya Ahmad Razif tidak berundur dan gagal menyelesaikan kemelut politik yang melanda negeri ini.

Ahmad Said berkata beliau masih anggota Umno dan tidak pernah membuat kenyataan seperti yang dilaporkan akhbar pada Jumaat.

"Tidak...saya tidak pernah membuat kenyataan tersebut. Siapa yang kata saya akan bergabung dengan PAS? Saya masih anggota Umno hingga hari ini," katanya.

Sebaliknya Terengganu Daily menegaskan, Mad Said sebagai memberi kata dua kepada Ahmad Razif agar berundur, sebelum beliau mengambil langkah susulan, yang akan merubah keadaan politik di Terengganu.

Bekas menteri besar itu juga dilaporkan sebagai berkata jika apa yang dihasratkan tidak berlaku, beliau tidak menolak kemungkinan meninggalkan Umno, dan bekerjasama dengan PAS untuk membentuk kerajaan baharu.

Terengganu Daily turut mempercayai bahawa ADUN Kijal itu akan terus berlagak ‘pendekar’ di pentas politik Terengganu bagi mengekalkan imejnya sebagai seorang yang ‘nelang’ walaupun BN tinggal 17 daripada 32 kerusi DUN pada PRU ke-13 semasa beliau menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Terengganu.

Dengan membuat fitnah sedemikian, Terengganu Daily kalaupun mahu menyokong Ahmad Razif, janganlah bertindak sedemikian.

Ia bukan sahaja dilarang oleh Islam tetapi perbuatan mempertahankan Ahmad Razif melalui cara sebegini tidak bijak dan tidak menampakan ‘kecerdikan’.

Janganlah tunjuk kebodohan diri dengan melakukan gerakan ‘bodo’ yang kelak bukan sahaja akan mengusutkan suasana tetapi juga akan merugikan Ahmad Razif sendiri.

Lakukan cara lebih bijak jika mahu mempertahankan Ahmad Razif.

Jawab dengan baik dan berhujahlah di atas fakta terhadap apa yang dibangkitkan oleh Mad Said di DUN atau di mana-mana juga.

Malah Pesuruhjaya PAS Terengganu, Saiful Bahri Mamat juga menafikan PAS ada menawarkan jalinan kerjasama dengan Ahmad Said bagi menyelesaikan kemelut politik di negeri ini.


"Kami tidak pernah menawarkan sebarang kerjasama dengan ADUN Kijal. Cuma apa yang kita mahu masalah politik ini harus diselesaikan segera. Jika dua pihak saling berbalas kenyataan media, mu kata aku, aku kata mu, ia tidak menyelesaikan masalah," katanya semalam.

Katanya PAS Terengganu tidak berhasrat mahu 'campur tangan' dengan masalah dalaman Umno.

Namun, katanya, jika kemelut itu masih gagal diselesaikan, adalah lebih baik sekiranya kuasa diserahkan semula kepada rakyat melalui pilihan raya negeri.

"Jika ada dua ADUN daripada UMNO yang lompat parti, barulah boleh diadakan pilihan raya negeri. Sekiranya tiada, dan hanya asyik berbalas kenyataan di media, isu ini tidak akan selesai dan terus berpanjangan," kata Saiful Bahri.

Jadi kepada Terengganu Daily dan mereka yang menyokong fitnah terhadap Mad Said itu fahamilah bahawa hujah lawan fitnah tidak akan mendatangkan kenaikan walaupun laporan Terengganu Daily ini diviralkan di Facebook dan mendapat like serta share yang baik.

Malah yang like dan share itu turut menabur dan menyokong fitnah kepada Mad Said dan tanggunglah dosa sekiranya tidak meminta maaf kepada ‘tuan badan’ yang difitnahkan itu.

Dan kepada Terengganu Daily dan ‘bapa viral’, berhujahlah dengan fakta yang kukuh bagi mematahkan hujah bekas Menteri Besar itu bukan menggunakan modus operandi  ‘spin fitnah’ melawan hujah yang akhirnya menonjolkan kebodohan dan kelemahan sendiri.

Kesian dengan askar siber Ahmad Razif yang baru belajar menembak dan peluru yang digunanya pula ‘hanya peluru gabus yang hanya sesuai digunakan untuk menutup botol kicap dan minuman...