Saturday, October 31, 2009

ISU PAS SELANGOR ATAU DR HASSAN ALI?

Lembaga Disiplin PAS akan bersidang buat pertama kalinya esok mulai jam 10.30 pagi selepas mendapat arahan menyelesaikan segera beberapa isu dalaman PAS, kata ketuanya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Namun, dimaklumkan bahawa, tidak akan ada sebarang sidang media atau kenyataan media berkaitan dengan hal ini sehinggalah keputusan diserahkan kepada Jawatankuasa Pusat, katanya.

"Kami akan bermesyuarat esok dan akan melihat dokumen-dokumen yang ada sebelum membuat apa-apa tindakan lanjut," kata Tuan Ibrahim kepada Harakahdaily.

Lembaga ini, katanya, mempunyai lima anggota termasuk beliau. Mereka terdiri dari peguam, tokoh agama dan anggota veteran PAS.

"Namun saya tidak bercadang untuk mendedahkan nama mereka," kata Tuan Ibrahim.

Lembaga Disiplin PAS telah diarahkan bersidang segera bagi menyiasat beberapa dakwaan kepada PAS Selangor.

Arahan ini dibuat oleh mesyuarat khas Jawatankuasa PAS Pusat baru-baru ini. Ia dimaklumkan kepada media oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam sidang medianya kira-kira jam 1.00 pagi 29 Oktober semalam.

Selain Lembaga Disiplin diminta bersidang segera, PAS juga akan mengadakan satu seminar khas yang bakal disertai lebih 1,000 pemimpin parti di semua peringkat 7 November nanti.

Ia akan diadakan di Dewan Datuk Fadzil Noor, Markas Tarbiyah PAS, Taman Melewar. Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub diamanahkan untuk menguruskan seminar ini.

Turut diputuskan dalam mesyuarat khas itu adalah, isu kerajaan perpaduan telah ditutup dan tidak akan dibicarakan lagi.

Menurut Tuan Ibrahim, beliau telah menerima beberapa dokumen yang disampaikan kepada beliau.

"Ada yang sampai melalui Setiausaha Agung. Dan ada yang disampaikan kepada saya melalui presiden sendiri," katanya kepada Harakahdaily.

Menurutnya, lembaga ini akan meneliti segala dokumen itu apakah ia bertentangan dengan didiplin parti atau ia hanya ijtihad peribadi individu berkenaan sahaja.

Dari situ, katanya, lembaga ini akan membuat cadangan kepada Jawatankuasa PAS Pusat apakah bentuk tindakan yang akan diambil.

Sementara itu menurut Malaysiakini tindakan menyeret PAS Selangor ke depan jawatankuasa disiplin belum dapat meredakan konflik dalaman apabila komen-komen negatif berhubung perjalanan mesyuarat khas parti itu kelmarin mula tersebar.

Beberapa blog yang mengamat perkembangan PAS menggambarkan seolah-olah terdapat sesuatu yang tidak kena dalam mesyuarat panjang sehingga jam 1 pagi di kalangan anggota-anggota jawatankuasa pusat dan barisan pesuruhjaya negerinya.

Penulis politik Mohd Sayuti Omar berkata mesyuarat khas PAS itu memberikan fokus kepada exco kerajaan Selangor, yang juga pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Dr Hassan Ali.

Katanya, ada cadangan meminta Dr Hasan dipecat daripada mengetuai PAS negeri dan juga exco hal-ehwal Islam kerajaan negeri.

"Alasannya, kerana terlibat untuk mengadakan pakatan dengan Umno.

"Bagaimanapun (presiden PAS Datuk Seri) Abdul Hadi (Awang) dikatakan telah mempertahankan Dr Hassan dengan meminta agar tuduhan itu disiasat," tulisnya di blog peribadi Merah Tinta sejurus selepas tamat mesyuarat itu.

"Alasan Abdul Hadi, kalau ada tuduhan, penyiasatan perlu dilakukan.

"Sehubungan itu jawatankuasa disiplin PAS yang diketuai (Datuk) Tuan Ibrahim Tuan Man akan menjalankan siasatan ke atas Dr Hassan bersama ahli jawatankuasanya."

Sumber-sumber dalaman PAS, yang hadir dalam pertemuan itu, memberitahu Malaysiakini, mesyuarat tersebut sebenarnya memutuskan hanya Dr Hassan dihadapkan ke jawatankuasa disiplin, bukannya seluruh barisan kepemimpinan PAS Selangor.

"(Keputusannya) ada lain sikit (daripada kenyataan Abdul Hadi). Dr Hassan yang dihadapkan ke jawatankuasa dispilin, bukan PAS Selangor," kata satu sumber.

Sementara satu lagi sumber berkata, walaupun presiden menyebut PAS Selangor akan disiasat, ia ditujukan kepada Dr Hassan, seperti diputuskan dalam mesyuarat.

"Bila (beliau) kata PAS Selangor, maksudnya Dr Hassanlah, sebab dia pesuruhjayanya," jelas sumber.

Sumber sama juga mengesahkan terdapat cadangan supaya Dr Hassan dipecat daripada mengetuai PAS Selangor, tetapi menafikan Abdul Hadi mempertahankannya.

Tiga lagi pemimpin PAS ketika dihubungi enggan mendedahkan butiran mesyuarat panjang tersebut.

Sementara blog Malaysian Waves pula mendakwa sebanyak 75 peratus ahli mesyuarat pada malam itu mahukan Dr Hassan digugurkan daripada jawatan pesuruhjaya PAS Selangor.

"Namun, permintaan majoriti ahli jawatankuasa pusat PAS ditolak begitu sahaja dan dibuat pengumuman bahawa keseluruhan PAS Selangor akan dihadapkan ke jawatankuasa disiplin," tulis Tulang Besi, penulis blog yang sering mendedahkan konflik dalaman parti.

"Keputusan yang diumumkan oleh Tuan Guru Presiden malam tadi bukan keputusan yang dipersetujui oleh para ahli jawatankuasa pusat PAS.

"75 peratus daripada keseluruhan ahli jawatankuasa yang hadir bercakap dan hanya Cikgu Pa (Setiausaha agung, Datuk Mustafa Ali) serta Datuk Abu Bakar Chik sahaja yang menyokong Dr Hassan.

"Yang lebih menyedihkan apabila Tok Guru (Mursyidul am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) yang membentangkan tulisan beliau dalam blog beliau jelas tidak mahu berganjak daripada apa yang dituliskan oleh beliau.

"Yakni, jelas beliau mahu ketiga-tiga yang dinamakan dalam blog beliau dibuang."

Selain Dr Hassan dan Mustafa, Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa juga disebut di Blog Tok Guru yang dianggap antara "beberapa kerat pemimpin bermasalah."

Kesemua sumber enggan mendedahkan jumlah sokongan terhadap pemecatan Dr Hassan sebagai pesuruhjaya Selangor.

Berhubung dakwaan Nik Aziz berkeras mahu PAS menggugurkan tiga pemimpin kontroversinya itu, Malaysiakini difahamkan perkara itu "tidak benar".

"Kita bincang banyak pasal EGM (muktamar khas). Nama Dr Hassan itu muncul sebab berkait keputusan pilihan raya kecil Bagan Pinang yang ditulis (pensyarah Universiti Islam Antarabangsa) Dr Aziz Bari.

"Tetapi perkara ini agenda nombor tiga, nombor empat," kata sumber.

Kesemua lima pemimpin PAS - daripada kedua-dua pihak, sama ada dianggap pro-kerajaan perpaduan dan juga "kumpulan Erdogan" - yang dihubungi enggan nama mereka didedahkan.

Sementara itu, sumber-sumber lain memberitahu, terdapat ahli jawatankuasa mesyuarat tersebut membawa surat yang mempertikaikan tindak-tanduk Dr Hassan di Selangor – yang didakwa diserahkan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Turut diserahkan kepada mesyuarat itu, rakaman audio perbualan dalam pertemuan sekumpulan penulis blog – sebahagiannya didakwa dekat dengan Umno – bersama Dr Hassan dan Nasharuddin, tambah sumber.

Bagaimanapun, seorang pemimpin PAS yang hadir dalam mesyuarat itu menafikannya kewujudan surat dan rakaman suara itu.

"Kita dalam PAS tidak sampai buat tindakan macam itu sekali," jelasnya.

Thursday, October 29, 2009

Muhyiddin semakin terpencil dalam UMNO?

TIMBALAN Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dilihat kemaruk publisiti sejak memegang jawatan nombor dua itu.

Di kalangan orang-orang UMNO, Muhyiddin digelar sebagai 'raja yang tiada rakyat' kerana dialah satu-satunya Timbalan Presiden UMNO yang menjadi Timbalan Perdana Menteri tanpa 'sesiapa di kiri dan di kanannya'.

Ketika semua orang sedang memperkukuhkan kedudukan dalam parti, Muhyiddin tetap keseorangan. Malahan, setiausaha-setiausahanya juga tidak tahu bergaul dengan orang ramai, hingga digelar 'angkuh' dan perasan.

Kini, terpancul dari mulutnya kononnya rundingan UMNO-PAS masih terbuka sedangkan kepimpinan PAS sudah memberitahu secara terbuka 'sudah tutup buku' hal tersebut.

Kenapa Muhyiddin bersikap demikian? Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad menyifatkan Muhyiddin sebagai hidung tidak mancung, pipi tersorong-sorong.

Ketika pemilihan UMNO Mac lalu, Muhyiddin secara jelas mahukan Mukhriz Tun Mahathir menang kerusi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO tetapi apabila Mukhriz tewas, khabarnya Muhyiddin kini mahu berdamping dengan Khairy Jamaluddin yang dikatakan cuba dikalahkan oleh Muhyiddin suatu ketika dahulu.

Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pagoh sendiri mencalonkan Mukhriz sebagai calon ketua Pemuda, membuktikan Khairy bukan pilihan Muhyiddin. Namun, kemenangan selesa Khairy merisaukan Muhyiddin kerana pengaruh Pemuda dalam UMNO sebenarnya tidak boleh dipandang sepi oleh calon Timbalan Presiden.

Membenarkan dakwaan beberapa pihak mengatakan Muhyiddin adalah 'raja yang tiada rakyat', hari ini pengaruh Naib Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Mohd Shafie Afdal merisaukan Muhyiddin.

Sejak sekian lama, Muhyiddin memang dikenali sebagai pemimpin UMNO yang keseorangan. Suatu ketika dia menang besar kerusi Naib Presiden (1993) tetapi kemudiannya dia kalah teruk (1996). Dia menang kembali kerusi Naib Presiden dalam tahun 2000 atas bantuan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang ketika itu menjadi Perdana Menteri dan Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu, apabila bahagian tersebut memberi pencalonan kepadanya.

Empat tahun kemudian, Muhyiddin menang di tempat ketiga sebagai Naib Presiden menyebabkan dia 'mengamuk'. Kemenangannya itu disifatkannya sebagai 'tidak menang tetapi terselamat' kerana walaupun mendapat pertolongan dari Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Muhyiddin hampir-hampir tewas di tangan dua muka baru, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Menjelang 2008, Muhyiddin tampil membuat desakan supaya Abdullah berundur dengan kata-kata 'kaji balik pelan peralihan kuasa' kerana Muhyiddin nampak Najib tidak mempunyai regu jika Abdullah berundur tahun 2009 dan dialah orangnya yang boleh menawarkan diri.

Dengan bantuan Najib, Zahid yang kepingin menjadi Timbalan Perdana Menteri terpaksa menarik diri dari persaingan kerusi Timbalan Presiden UMNO, manakala Lembaga Disiplin UMNO membantu Muhyiddin dengan menghalang Ali Rustam dari layak menjadi calon Timbalan Presiden.

Persaingan Muhyiddin dengan Tan Sri Muhammad Muhd Taib berlaku secara tidak sihat kerana Muhyiddin mendapat sokongan Najib secara senyap-senyap manakala Muhammad dilabelkan sebagai penyokong Abdullah yang sudah berada dalam 'zon senajakala'.

Khabarnya, kemahuan Zahid menawarkan diri bertanding kerusi Timbalan Presiden didesak oleh Abdullah yang tidak boleh menerima 'kehadiran' Muhyiddin tetapi disebabkan Zahid 'takut' dengan Najib, maka Zahid tidak meneruskan hajatnya itu kerana Najib memanggilnya ke pejabat sebelum Zahid mengumumkan hasratnya untuk menarik diri dan hanya menawarkan diri bertanding kerusi Naib Presiden.

Bagi orang-orang UMNO, mereka tahu populariti Zahid, Hishammuddin dan Mohd Shafie. Contoh paling ketara, jika ketiga-tiga Naib Presiden ini menganjurkan Rumah Terbuka Aidil Fitri serentak dengan majlis anjuran Muhyiddin, dipercayai, kehadiran di rumah Muhyiddin yang paling kecil jumlahnya.

Itulah sebabnya, Muhyiddin terpaksa mengejar publisiti kebelakangan ini dengan menyebut perkara-perkara yang orang UMNO lain tidak mahu menyebutnya, 'rundingan UMNO-Pas masih terbuka' sedangkan ia sebenarnya hanyalah 'ibarat buih-buih di lautan'.

Muhyiddin tidak perasan kenapa Najib melantiknya sebagai Menteri Pelajaran sedangkan kelazimannya Timbalan Perdana Menteri menjawat jawatan Menteri Dalam Negeri, Menteri Kewangan, Menteri Pertahanan atau Menteri Pembangunan Luar Bandar.

Bercakap dari sudut mana sekali pun, Najib sebenarnya 'menurun pangkat' Muhyiddin yang sebelum ini tidak pernah melalui Kementerian Pelajaran sedangkan semua Timbalan Perdana Menteri sebelum ini, kecuali Tun Ghafar Baba (Allahyarham), pernah menjadi Menteri Pelajaran.

Hari ini, ketika Najib beria-ia mahu mengambarkan bahawa Muhyiddin adalah regunya yang terbaik tetapi tiada siapa percaya Muhyiddin boleh pergi lebih jauh dari kedudukan yang dia sudah capai sekarang.

Dengan barisan Setiausaha Politiknya yang 'putus darah', Muhyiddin seperti tersilap langkah menyediakan pasukannya untuk terus berlari dalam persaingan UMNO.

Malahan, mereka yang menyokong Muhammad dan Ali Rustam masih tidak dapat memaafkan Muhyiddin hingga ada yang sanggup 'meninggalkan' UMNO secara senyap-senyap.

Ada seorang ketua bahagian sudah melepaskan jawatannya secara diam-diam kerana 'meluat' dengan Najib-Muhyiddin.

Jika sekarang Muhyiddin mahu belajar untuk 'buat-buat mesra' dengan ketua-ketua bahagian, perbuatannya itu dilihat begitu janggal.

Malahan, ada yang mengatakan Muhyiddin mengada-ngada dan 'kesombongannya' selama ini nampaknya diwarisi oleh pegawai-pegawai yang mengelilinginya.

Kata mereka, bukan sahaja Muhyiddin tidak boleh didekati, pegawai-pegawainya juga menjadikan pejabat dan kementerian yang didiaminya sebagai 'kawasan larangan' dan hanya mereka yang tertentu sahaja boleh mendatanginya.

Sebagai bekas Menteri Besar Johor untuk dua penggal berturut-turut dan sudah menjadi Menteri di empat kementerian sebelum menjadi Timbalan Perdana Menteri - Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Pertanian dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri - masih ada empat bahagian di Johor enggan memberi pencalonan untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO kepada Muhyiddin.

Bahagian-bahagian itu, Tenggara, Kota Tinggi, Johor Bahru dan Air Hitam telah membuktikan bukan semua ahli UMNO Johor dapat menerima Muhyiddin.

Harakahdaily

Wednesday, October 28, 2009

I CAN FORGIVE, BUT I CANNOT FORGET

Bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin berpendapat krisis dalaman PAS kini amat berkait dengan ‘bisikan halus’ yang dibisikkan oleh pihak tertentu kepada ‘telinga’ di kalangan pemimpin utama PAS.

Bisikan ini, katanya, datang dari satu pihak yang mempunyai kepentingan atau agenda tersendiri dan mempengaruhi pihak-pihak tertentu.

‘Pembisik’ itu, menurut Dr Asri, hanya menumpukan perhatian kepada agenda politiknya sahaja.

Jika dalam sejarahnya, pihak pembisik ini pernah hampir merebahkan parti lain, maka tidak mustahil ia akan berlaku kepada PAS.

Namun krisis kali ini, menurut pengamatan beliau, agak serius.

"Ia mungkin boleh didramakan seakan sudah tamat, tetapi bak kata “I can forgive, but I cannot forget”. Luka ini akan terbuka pula di masa hadapan dan akan mempengaruhi secara langsung dan tidak langsung perhubungan, tindakan, kepercayaan dan perasaan antara sesama PAS," katanya.

Jelas Dr Asri, meskipun beliau mempunyai perbezaan pendapat dengan PAS dalam perkara-perkara tertentu, namun beliau akur kewujudan PAS dalam kerangka negara demokrasi adalah satu keperluan politik.

Ini, katanya, bagi mengimbangi monopoli politik yang akhirnya akan mencetuskan pemerintahan yang tidak memperdulikan hasrat dan cita rakyat.

"Sekalipun saya mempunyai pandangan yang berbeza dalam beberapa persoalan asas dan pendekatan, namun sebagai rakyat Malaysia saya melihat kejatuhan atau kemusnahan PAS dalam keadaan semasa boleh mengundang impak negatif dalam percaturan politik negara.

"PAS jika berpegang dengan prinsip Islamnya, dapatlah melindungi identiti Islam yang sepatutnya sentiasa zahir atau mendominasi keadaan negara dan masyarakat Malaysia. Maka adalah dibimbangi adanya usaha menghancurkan PAS secara langsung atau tidak langsung," jelasnya dalam kiriman emel sebentar tadi.

Walaupun demikian, Dr Asri berharap antara hikmah kejadian yang berlaku ini adalah dapat membuang perasaan fanatik sesetengah pihak yang berlebihan atau melebihi patut kepada pemimpin tertentu.

"Pendapat atau pandangan seseorang pemimpin bukan dinilai dari segi nama, atau gelaran, atau peribadi semata, tetapi yang paling mustahak dilihat alasan dan hujah yang dikemukakan dalam setiap pendapat.

"Apabila bertembung antara pemimpin dengan pemimpin, ahli PAS mesti menggunakan kebijaksaan, ketajaman minda, penilaian seimbangan dalam membuat keputusan, bukan hanya dengan emosi semata," kata tokoh agama yang disegani ini.

Satu perkara yang wajar PAS akui, jelasnya, ialah ramai orang dalam PAS yang sangat sensitif jika ada teguran luar. Jika tidak disambut teguran itu dengan maki hamun pun, unsur-unsur mengutuk pemberi pendapat itu akan muncul.

"Bukan sahaja orang bawahan, bahkan pihak atasan PAS. Sebagai contoh yang terkini, lihatlah jawapan Ketua Penerangan PAS Pusat terhadap pandangan seorang tokoh akademik yang terkenal cenderung kepada PR, Prof Dr Aziz Bari.

"Dalam menjawab kritikan kekalahan PAS di Bagan Pinang, Ketua Penerangan PAS itu menulis: “Sebagai seorang Prof dan ahli akademik janganlah mengambil data di tepi jalan yang tidak ada kesahihan.

Biarlah tuduhan ini dibuat oleh mereka yang tidak bergelar Prof. Memanglah menjadi ahli akademik senang membuat hipotesis daripada bilik berhawa dingin.


"Tetapi menjadi ahli politik pembangkang berat lagi mata memandang maka berat lagi bahu memikul. Kita janganlah menjadi penganalisa politik yang tidak terjun medan, waktu kalah semua hendak menuding jari. Sewaktu menang di tujuh PRK tidak ada pula komen mengatakan pimpinan Pas cerdik, apabila kalah semua buat tuduhan. Prof Aziz tahu atau tidak keadaan demografi Bagan Pinang.


"Beliau pergi atau tidak ke kawasan pilihanraya tersebut. Berjumpa atau tidak dengan masyarakat pengundi Bagan Pinang.

Tahu atau tidak berapa ahli cawangan Pas dan dan ahli umno di kawasan itu. Keadaan di Bagan Pinang kalau Prof Aziz Bari bertanding pun akan kalah...”


"Inilah layanan terhadap kritikan yang saya kira jujur dari Prof Dr. Aziz Bari," kata Dr Asri.
Dr Asri berkata, ini tidak bermakna beliau setuju atau tidak dengan pandangan Dr. Aziz Bari, tetapi cuma beliau hairan melihat bahasa sindir dan kutuk yang digunakan ke atas Dr Aziz pada hal tokoh akademik itu boleh dikategorikan sebagai rakan mereka.

"Jika pun kita tidak bersetuju, gunakanlah uslub atau gaya bahasa yang lebih terhormat," katanya.

Soalnya lagi, "Bagaimanakah nanti jika PAS berjaya membentuk kerajaan, dan orang-orang awam, ahli akademik serta berkecuali ingin menyampaikan pandangan? Saya bimbang ruang demokrasi atau bersuara akan menjadi semakin sempit. Pun begitu, alhamdulillah dalam suasana krisis ini, sudah ada pihak dalam PAS juga yang cuba menilai pandangan luar."
Akhirnya, kata Dr Asri, PAS hendaklah benar-benar tahu siapakah musuhnya yang sebenar.

Dr Asri turut menggariskan beberapa perkara berikut yang patut difikirkan oleh PAS:

1. Siapakah yang boleh mengheret PAS melanggar prinsip-prinsip Islam yang holistik yang bukan sekadar isu tahalluf siyasi semata?

2. Siapakah yang ‘sebenarnya’ mencetuskan permusuhan dalaman secara langsung dan tidak langsung dalam PAS selama ini?

3. Jika PAS berfikir ada pemimpinnya yang patut disingkirkan, maka penyingkiran itu adakah atas alasan pelanggar prinsip, atau sekadar pelanggaran pendekatan?

4. Antara mengerat ‘orang dalam’ dan mengerat ‘orang menumpang’ yang menyusahkan; manakah yang patut diutamakan?

5. Adakah PAS yang memerlukan PR atau PR memerlukan PAS?

6. Adakah agenda Islamik itu yang lebih besar dalam PAS atau agenda politik PR?

7. Apa beza dari masa depan Islam antara kerjasama dengan DAP dan PKR dan kerjasama dengan UMNO?