Tuesday, January 3, 2017

TMJ Ingatkan Annuar - Jangan Jadi Liabiliti, Khianti Amanah UMNO...


Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam catatan terbaharu di Facebook Johor Southern Tigers secara berterus terang mendedahkan bahawa Tan Sri  Annuar Musa tidak menjalankan amanahnya ketika zaman Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri.

Tunku Ismail yang turut dikenali sebagai TMJ melondehkan ‘perkara yang banyak orang tahu’ tetapi mahu atau berani bercakap mengenainya.

Namun pendedahan Tunku Ismail itu memberikan pukulan hebat kepada Annuar yang sebelum ini sudah beberapa kali bertelagah dengan beliau dalam banyak perkara.

Pada 17 Disember lalu,  Tunku Ismail berkata beliau tidak perlu terimanasihat pemimpin gagal (merujuk kepada Annuar).

Kenyataan Tunku Ismail itu merujuk bekas Annuar yang dilapor mempertikaikan pendirian Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) supaya FAM ditadbir secara proksi.

Annuar berkata, cadangan MUSA bagi melantik Tan Sri Aseh Che Mat sebagai presiden badan induk itu untuk membolehkan Tunku Ismail terbabit dalam FAM adalah sama sekali tidak boleh diterima kerana melanggar statut badan induk berkenaan.

Pada entri Facebook Johor Southern Tigers kelmarin (bertarikh 1 Januari 2017) itu,  Tunku Ismail mendakwa Dr Mahathir menyediakan peruntukan yang banyak ( bagi awak duit yang banyak)  untuk menangkan kembali Kelantan, demi kebajikan rakyat tetapi sebaliknya yang berlaku.

Tunku Ismail juga mendakwa Annuar yang pernah menjadi Timbalan Ketua Perhubungan UMNO Kelantan ketika Dr Mahathir menjadi Ketua Perhubungan UMNO telah menyalahgunakan peruntukan, termasuk menggunakan wang tersebut dengan  membeli sebuah kereta Porsche Panamera.

Mungkin juga Tuanku Ismail mengetahui lebih banyak perkara mengenai Annuar tetapi sekadar memberikan satu contoh bagaimana ‘kepercayaan Dr Mahathir’ dikhianti oleh Annuar.

Malah Annuar turut digambarkan telah mengkhianati harapan dan hak  rakyat Kelantan kerana ‘penyalahgunaan peruntukan itu.

Kata Tunku Ismail: “Pandangan ikhlas dari saya, dulu masa Tun Dr Mahathir (Mohamad) bagi awak duit yang banyak untuk menangkan kembali Kelantan, untuk anda gunakan wang tersebut sebaiknya demi kebajikan rakyat, bukan untuk beli sebuah kereta Porsche Panamera.”
.
Teguran Tunku Ismail  itu rentetan daripada tindakan Anuar yang mempertikaikan mengenai fasiliti milik  Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta'zim (JDT).

Tunku Ismail turut mengingatkan bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) bahawa pilihan Raya Umum (PRU) semakin hampir supaya tidak menjadi liabiliti kepada parti pemerintah.

Ahli Parlimen Ketereh  itu diingatkan bahawa Johor adalah sebuah kubu kuat Umno dan olrh kerana tarikh untuk rakyat negara keluar mengundi sudah hampir, jangan cuba menjolok sarang tebuan kerana kelak buruk padahnya.

"Kepada Tan Sri, jangan jadi liabiliti kepada parti anda. Anda sendiri jelas mempunyai kepentingan diri sendiri dalam parti. Ingatlah bahawa anda berkhidmat kepada rakyat," kata Tunku Ismail .

Mengenai bolasepak, Tunku Ismail menegaskan ramai sedia maklum bahawa Annuar telah membina KAFA sejak awal lagi. Oleh itu, Annuar perlu bertanggungjawab ke atas kegagalan dan ketidak urus KAFA hari ini. 


Merujuk kegagalan pasukan Kelantan dalam berdepan masalah kewangan ketika diterajui Annuar, Tunku Ismail measihatkan bekas Presiden KAFA itu sepatutnya melupakan hasrat untuk menerajui bola sepak Malaysia, apabila beliau menjadi orang pertama meninggalkan pasukannya apabila berdepan masalah.

"Janganlah Tan Sri bagaikan nakhoda bertempiaran lari meninggalkan bahtera bila berhadapan ombak besar. Sedangkan KAFA pun Tan Sri tak boleh nak urus, elok Tan Sri lupakan hasrat menerajui bola sepak negara," katanya.

Mengenai komen Annuar bahawa JDT  telah merosakkan pasaran bola sepak Malaysia dengan membayar gaji pemain terlalu tinggi, beliau berkata perkara ini 'terpulang kepada JDT'.

"Sistem bola sepak negara kita kini sudah berdaya maju, dan tidak wujud mengenai pasukan lain tidak mampu untuk bersaing atau beraksi dalam liga.


"Ianya berkenaan dari kebijaksanaan mengurus wang. Ianya satu perkiraan yang mudah, JDT paling ramai boleh mendaftar dalam 27 hingga 30 orang pemain tempatan sahaja dalam satu masa.

"Berapa ribu pemain yang ada dalam negeri ni? Jikalau anda nak menandatangani pemain yang sama memanglah duit anda akan habis.

"Terpulang kepada JDT untuk membayar berapa tinggi sekalipun gaji pemain kami. Masih ada ramai lagi pemain lain yang boleh bermain dan tidak perlulah bersaing dengan JDT untuk mendapatkan pemain yang terbaik.

"Ikutlah kemampuan dan jangan sibuk bersaing dengan cara JDT," katanya.

Tunku Ismail juga berkata Annuar perlu memberi fokus kepada pengurusan KAFA terlebih dahulu sebelum memberi komen mengenai kelab dan negeri-negeri lain.

"Tidak payah buang masa untuk sibuk mengenai urusan pasukan atau kelab lain. Selesaikan dulu hutang piutang sebanyak RM6.7 juta terlebih dahulu sebelum bercakap hal-hal yang lain.

Janganlah sibuk mencari kudis di kaki orang lain sedangkan tokak di kaki sendiri tidak mampu diubati, tegas Tunku Ismail.

Thursday, December 29, 2016

Siapa ‘Jantan’ Yang DiAnggap ‘Sampah Yang Bertaburan’ Oleh Anina?

 

Apakah Anina Saadudin menjadi mangsa 'lelaki' yang mengkhianatinya?

Daripada kenyataan amaran Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia(PPBM) itu, ia jelas melibatkan pertelingkahannya dengan seseorang.

Namun sayang seribu kali sayang, kini ia dikaitkan dengan kedudukannya dalam parti yang sekalgus menyulitkan kedudukan dan hubungan beliau dengan beberapa pemimpin dalam parti yang dianggotainya.

Lebih memburukkan keadaan, ada pula yang kononnya membela Anina selepas beliau diumumkan tidak dipilih oleh Majlis Presiden untuk menjadi Ketua Srikandi (Wanita), sayap penting PPBM.

Dengan nada keras, Anina yang minggu lalu dipalitkan  dengan dakwaan ‘skandal mesej seks’ apabila 'screenshot' perbualan intim dalam aplikasi WhatsApp yang didakwa antara beliau dan seorang lelaki yang tidak dinamakan, seakan menjelaskan pendiriannya bahawa jika benar beliau mahu mencari kebahagian, beliau akan memilih lelaki budiman, bukan 'jantan sampah'.

Mesej seks yang tersebar itu menyebabkan beliau menjadi tumpuan ramai, sebaliknya Anina menegaskan jika benar beliau mahu kebahagiaan, beliau akan pilih lelaki budiman, bukan ‘jantan sampah yang bertaburan' apabila tidak dapat apa yang dihajati.

"Ingatlah kepada Allah kerana Allah itu Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Manusia yang budiman tidak akan meroyan apabila bertepuk sebelah tangan.

"Siang malam melalak kerana dendam hajat tak kesampaian, itu bukan manusia yang baik. Saya sendiri yang tentukan siapa raja yang ingin saya pilih untuk bertakhta di hati saya. Saya ingin menjadi permaisuri di hati lelaki budiman, bukan perempuan kepada lelaki bersifat peribadi seperti binatang yang mengamuk umpama serigala gila yang gagal mendapat bunga di taman larangan," ujarnya.

Kenyataanya itu jelas seperti ditujukan kepada seseorang, sama ada kepada orang yang ‘bertukar mesej seks’ dengannya atau orang lain dalam kepimpinan PPBM.

Beliau  dijangka akan mengadakan sidang media minggu hadapan untuk menjelaskan krisis yang melanda dirinya mengenai dakwaan skandal seks dan jawatan Ketua Srikandi.

Menurut Anina,  beliau bersikap mendiamkan diri terhadap tomahan itu tidak bererti beliau kalah. Malah, menurutnya, “diam tidak bererti saya kalah. Kalah juga tidak bererti saya hilang semuanya. Begitu juga jika saya menang, tidak bererti saya dapat semuanya.”

Menurutnya, jika sebelum ini beliau berdiri di hadapan Presiden kepada sebuah parti yang berkuasa tanpa gentar, beliau juga akan berdiri di hadapan sesiapa sahaja yang kencing kepada perjuangan beliau.

Menarik untuk mengetahui siapa yang Anina maksudkan kerana jika ada individu tertentu yang berminat dengannya, apa lagi menjadi antara pemimpin PPBM, ini akan mengucar-kacirkan lagi parti baru itu.

Apalagi Anina sudah memberi amaran bahawa "jangan sampai saya fikir anda di atas sana lebih teruk daripada  apa yang ada di sebelah sinun”.

Tegasnya: “Kuncinya ada pada saya. Anda perlu tahu bahawa sekiranya saya tekan butang kunci ini, ledakannya akan menghancurkan semua.”

Katanya beliau sudah cukup baik selama ini. Beliau tidak melayan isu sampah, namun pada masa yang sama anda masih sumbatkan sampah ke mulut rakyat.

"Kuncinya ada pada saya. Anda perlu tahu bahawa sekiranya saya TEKAN butang kunci ini, ledakannya akan menghancurkan semua," ujar ibu tunggal kepada tiga orang cahayamata ini di laman facebooknya petang semalam.

Malah, daripada kata-katanya, "jika anda tidak tahu erti keadilan, pembelaan dan sifat keperimanusiaan, anda tidak layak duduk di sebelah saya," membayangkan seseorang yang ditujukan itu adalah ‘orang penting’.

Kelmarin, penganalisis politik dari Universiti Malaya Prof Madya Azman Awang Pawi berkata jika “skandal mesej seks” benar-benar punca di sebalik penyingkiran Anina daripada jawatan ketua wanita PPBM, beliau mungkin boleh kehilangan kedudukan sebagai ahli Majlis Pimpinan Tertinggi.

Azman berkata masyarakat umum tidak sepatutnya terlalu menghakimi, kerana ahli politik tempatan biasa dilempar dengan tuduhan fitnah di kedua-dua bahagian pembangkang dan Barisan Nasional.

Sejauh ini, Setiausaha Agung PPBM sudah pun memberi penjelasan yang jawatan ketua wanita parti itu masih belum diwujudkan lagi, jadi tindakan ini mungkin hanya sementara.


Menurut  Datuk Shahruddin Md Salleh kelmarin, isu ketua Srikandi parti itu tidak seharusnya wujud kerana majlis pimpinan tertingginya belumpun menubuhkan sayap berkenaan.

Justeru, kata beliau, kedudukan Anina Saadudin yang sering dirujuk oleh pelbagai pihak sebagai ketua srikandi BERSATU tidak timbul sama sekali.

"Menurut Perkara 21 Perlembagaan BERSATU, penubuhan sayap-sayap parti di semua peringkat adalah di bawah bidang kuasa MPT.

"Justeru, kedudukan Anina yang dirujuk oleh pelbagai pihak sebagai Ketua Srikandi PPBM tidak seharusnya timbul," ujar beliau dalam kenyataannya.

Anina mendakwa  dirinya dipecat daripada jawatan ketua wanita PPBM namun dakwaan itu dipertikaikan ketua penerangan, Datuk Kamarudin Md Nor.

Anina berkata, beliau sudah tanya Timbalan Presiden PPBM Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan yang mengesahkan keputusan menyingkirkan beliau daripada jawatan itu.


Kamarudin sebelum ini  berkata, Anina tidak pernah dilantik dan angkat sumpah beliau merupakan “kesilapan teknikal”.

Saturday, December 24, 2016

FELDA – Saham FGV, Isa Samad, Hutang & Perumahan Ancam Peneroka


Membaca pendapat Naraza Muda - Pengerusi Hal Ehwal FELDA PAS dan Mazlan Aiman mendekatkan kita kepada masalah dan perkembangan sebebenar dalam agensi itu mutakhir ini.

Walaupun kedua-duanya berada dalam dua gerakan berlainan – Naraza dalam PAS dan Mazlan, iaitu Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) pula berjuang melalui AMANAH, namun mereka menuju ke satu arah – memperbaiki dan menjamin masa depan FELDA yang lebih baik.

Nazara menyentuh isu berkitan perkembangan perkembangan terkini Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melupuskan semua pegangan saham FELDA Global Ventures Holdings Berhad (FGV) yang menurut beliau menambahkan lagi keluh resah terhadap kedudukan saham syarikat itu yang mula diniagakan sejak 2012 .

ANAK pula  menuntut  lima perkara kepada kerajaan  untuk diberikan perhatian yang dikatakan menyumbang kepada berlakunya kepincangan, salah urus dan penyelewengan membabitkan projek FELDA seperti terkandung dalam Laporan Jabatan Audit Negara.

KWSP kini dilaporkan terpaksa melupuskan pemilikan saham dalam FGV berdasarkan prinsip mereka mengamalkan tahap piawaian tadbir urus korporat yang tinggi menerusi dasar yang teguh pada kawalan risiko dan peruntukan aset strategik.

Walaupun peneroka FELDA memiliki hanya sekitar 2.5 peratus kedudukan dalam keseluruhan saham FGV, ia  sudah pasti akan memberi kerugian dan kebimbangan masa depan saham mereka berikutan langkah itu.

Prestasi saham FGV sejak dilancarkan
Peneroka FELDA hanya ditawarkan 800 unit saham dengan terpaksa membuat pinjaman daripada intitusi kewangan.

Kini  masuk empat tahun di mana mereka masih membayar pinjaman setiap bulan secara potongan daripada hasil pendapatan jualan buah sawit atau getah mereka gara-gara saham ini.

Mana janji Perdana Menteri untuk menjadikan peneroka FELDA menjadi sebahagian golongan yang berpendapatan tinggi setanding dengan negara maju setelah penyenaraian FGV?

Pertanyaan dikemukakan Naraza juga ialah, apakah  durian runtuh RM15,000 setiap peneroka FELDA sebelum penyenaraian FGV dulu satu langkah mengunci peneroka FELDA untuk membiarkan FELDA dibuat sesuka hati oleh pemimpin negara?

Naraza...RM15,000 untuk kunci peneroka?
Berikutan KWSP terpaksa menjual semua ekuiti FGV yang mereka miliki secara beransur-ansur sehingga tidak memilikinya lagi, kesannya sudah pasti amat besar kepada mereka yang memiliki saham berkenaan.

KWSP sudah mengesahkan bahawa ia tidak lagi memegang apa-apa kepentingan saham dalam FGV, malah kenyataan Jabatan Hal Ehwal Korporat KWSP -  dana persaraan - itu memantau prestasi ekuiti FGV sejak beberapa tahun dan secara beransur-ansur menjual pegangan sahamnya.

Datuk Seri Najib Razak yang menjaga FELDA walaupun tugas itu seperti diuruskan  oleh Datuk Razali Ibrahim, iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, persoalannya ialah ialah jika KWSP sudah hilang kepercayaan kepada FGV, bagaimana pula nasib peneroka FELDA?

Tidakkah masalah yang berlaku sekarang turut mengaitkan Najib?

Hakikatnya, kesemua mereka bimbang bimbang mengenai kedudukan keseluruhan FGV, tanah seluas 360,000 hektar milik FELDA sebelum ini yang sudah diserahkan kepada FGV.

Sedangkan sebelum ini peneroka FELDA banyak mendapat faedah daripada hasil tanah ini, antaranya peruntukan pembangunan sosial berjumlah RM60 juta setahun.

Tanah ini juga mendatangkan hasil kepada kumpulan RM1.2 hingga RM1.8 bilion setiap tahun. Namun selepas  diserahkan kepada FGV, FELDA dan peneroka sudah hilang satu aset yang bernilai buat mereka.

Apakah kerajaan peduli? Apakah pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) peduli?

Naraza berbepndapat, kesannya kepada kumpulan sangat ketara, juga kepada peneroka, menyebabkan ada kumpulan mereka terpaksa berdemonstrasi di hadapan pejabat pengurusan kerana menuntut bayaran hasil jualan sawit mereka.

Sebelum ini mereka merasai bayaran itu secara tunai dan tidak tertangguh, tetapi kini pengurusan terpaksa meminta penangguhan dua minggu sehingga sebulan untuk melunaskan bayaran.

Isa Samad...Pengerusi FELDA.
Urus tadbir pengurusan tanam semula banyak juga menghadapi masalah. FELDA sebelum ini mengaku 60 peratus pokok sawit mereka sudah tua dan perlu urusan penanaman semula segera bagi mengekalkan pengeluaran hasil sawit dan getah. 

Mazlan menyentuh pengumuman kerajaan mengenai Pelan Memperkasa FELDA yang bakal di umum Perdana Menteri hujung bulan ini,
Menurutnya, ANAK menggesa dan merayu ketegasan Perdana Menteri khususnya mengenai langkah langkah segera ekoran Laporan Jabatan Audit Negara berkaitan isu-isu kepincangan, salah urus dan dakwaan penyelewengan dalam projek FELDA seperti dibangkitkan.
Berikutan itu, ANAK menuntut perkara berikut:
1.    Agar kontrak Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi FELDA yang akan berakhir 31 Dis 2016 ini tidak di sambung lagi. Juga siasatan terhadap Isa sepanjang menjadi Pengerusi FELDA, Pengerusi FGV, Pengerusi FELDA Holding dan pengerusi anak-anak syarikat seperti yang dilaporkan kepada Polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mesti diteruskan dan tindakan undang-undang dilaksanakan.
2.   Perlu ditubuhkan Suruhanjaya Diraja mengenai kedudukan FELDA dan FELDA Global Venture Holding selain audit bebas di wujud dan menjalankan pemeriksaan rapi kepada perjalanan FELDA, FGV dan semua anak syarikatnya. Suruhanjaya ini diminta mengumumkan hasil siasatan mereka setelah mendapat perkenan Yang Di Pertuan Agong. Ia bagi memudahkan pihak berotoriti untuk melakukan pendakwaan dan mengheret mereka terbabit ke muka pengadilan. 
3.    Kerajaan mesti mengotakan janji menyiapkan 11,000 unit perumahan Gen erasi Kedua FELDA yang terbengkalai. Ini  selaras dengan janji Perdana Menteri ketika membentangkan bajet beberapa tahun lalu untuk projek 20,000 unit rumah Gen 2. 
Selain itu, ANAK mahu diwujudkan tender terbuka untuk menyiapkan rumah terbengkalai, bukan runding terus kepada 'kroni' yang membuka ruang kepada amalan rasuah dan penyelewengan. Malah, ANAK sedia mendedahkan maklumat dalaman ada syarikat diberi projek ini secara runding terus.


Apakah laporan polis dan SPRM diambil tindakan?
4.  Amalan membayar pendapatan hasil sama ada peneroka yang bersama FELDA atau mengusahakan kebun secara persendirian tapi masih menjual hasil di Kilang FELDA, di buat segera atau seperti dahulu. Pada ketika ini, ujarnya lagi, pembayaran bukan sahaja lambat tetapi memberi kesan teruk terhadap kehidupan seharian peneroka.
5.    Kerajaan perlu mengkaji dengan serius isu Hutang Peneroka dan Kos Tanam Semula yang mencecah RM100,000 ke atas. Perkara ini menjadi pertanyaan serta menimbulkan rasa tidak puas hati di kalaangaan penerika. Persoalannya, bagaimana angka hutang begitu tinggi? 
Berikutan itu, suatu panel khas dan bebas mesti dibentuk untuk membuat siasatan dan mengemukakan mekanisme terbaik menangani hutang peneroka. 
Pada ketika ANAK mengalu-alaukan Pelan Memberkasakan FELDA hasil pembentangan interim makmal pemantapaan FELDA Oktober lalu yang sudah memasuki memasuki fasa kedua kepada aspek pengurusan dan perladangan, ANAK berharap masalah yang membelenggu agensi ini dapat dimatasi dengan baik.
Apapun, seperti kata Naraza, apakah jaminan kerajaan untuk menyelesaikan masalah yang melanda FELDA, FGV dan peneroka?
Apakah pelan yang diumumkan itu akan berjaya mengatasi masalah agensi dan peneroka FELDA?
Apakah kerajaan akan bertegas untuk mengekalkan Isa selama beberapa tahun lagi menerajui FELDA? Apakah dengan mengekalkan beliau UMNO dan kerajaan berkeyakinn Isa boleh menyelesaikan semua masalah yang sedang melanda?
Bagaimana dengan laporan Polis dan SPRM terhadap Isa? Apakah akan diumum dan diadakan tindakan undang-undang?
“Peneroka FELDA yang kebanyakannya sudah berumur hanya mampu melihat pemimpin mereka menguruskan FELDA. Dulu dengan harapan agar pemimpin mereka mampu mengekalkan kecemerlangan FELDA tetapi kini harapan itu sudah terhakis, “ tegas  Naraza.

Siapa pemimpin yang menguruskan FELDA kalau bukan Perdana Menteri dan orang yang dipercayainya?

Ternyata mereka sejauh ini mengecewakan, malah ada yang mengatakan mereka ini pengkhianat kepada hasrat dan nasib peneroka.