Showing posts with label Dewan Rakyat. Show all posts
Showing posts with label Dewan Rakyat. Show all posts

Tuesday, November 8, 2016

Bincang & Bahas Isu Rakyat - Jika Tidak Di Dewan Rakyat, Di Mana Lagi?


Pelik dan aneh apabila Parlimen, khususnya Dewan Rakyat bukan lagi tempat untuk membincangan isu dan masalah negara.

Segala-galanya adalah kerana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kebetulan tiga Ahli Parlimen yang memperkatakannya baru-baru ini adalah daripada parti pembangkang. Mereka bekas Menteri yang pernah menjadi pemimpin UMNO.

Amat nyata parti pembangkang berkenaan, walaupun baru sangat ditakuti oleh Barisan Nasional (BN) dan UMNO ketika ini.

Mereka berpengaruh dan rakyat akan percaya kata-kata mereka, apalagi ucapan dan kata-kata itu dilafazkan di Dewan Rakyat.

Sepatutnya, isu yang membabitkan rakyat dan negara diberikan ruang untuk dibahaskan di Dewan Rakyat, tidak sebaliknya.

Malah, di Dewan Rakyat jugalah, Perdana Menteri dan Menteri-Menteri boleh menjelas dan menjawab isu yang dikemukakan. Di Dewan Rakyat, ahlinya tidak boleh berbohong dan setiap patah perkataan akan dipercayai oleh rakyat.

Namun sayang, medan ‘suci’ ini tidak mahu digunakan oleh pihak kerajaan untuk menjawab dan menjelaskan kepada kerajaan kedudukan sebenar 1MDB yang kini menghantui politik dan kerajaan yang memerintah hari ini.

Semua tahu bahawa Dewan Rakyat adalah tempat paling ‘suci’ untuk memperkatakan sebarang isu yang berkaitan dengan rakyat sejak institusi itu ditegakkan di negara ini.’

Juga ahli-ahli Parlimen tahu bahawa mereka mempunyai kebebasan dan keistimewaan untuk memperkatakan sesuatu perkara tanpa rasa gusar atau dikecam di luar dewan.

Di situlah ‘wakil rakyat’ yang dipilih oleh rakyat melalui sistem demokrasi menyatakan pendirian, membuat cadangan dan juga menetapkan pendirian mengenai sesuatu isu membabitkan rakyat dan negara.


Jika tidak di Parlimen, khususnya di Dewan Rakyat, di manakah lagi suara rakyat boleh diketengahkan?

Lagipun, Dewan Rakyat mempunyai imunitinya sendiri bagi membolehkan ‘wakil rakyat’ menyatakan apa yang dirasakan sesuai untuk kepentingan rakyat dan jika terbabas, sudah tentu mereka dikenakan tindakan.

Selalunya tindakan dikenakan kerana ‘menghina Dewan Rakyat’ dan sebab-sebab yang dikira sebagai bertentangan dengan peraturan Dewan Rakyat.

Namun dalam isu bertanya dan menyatakan pendirian mengenai isu yang sudah menjadi ‘isu rakyat’ dan ‘isu antarabangsa’ seperti isu penyelewengan, rasuah, salah guna kuasa serta pengubahan wang haram dalam kaitannya dengan 1MDB,  ia bukan sesuatu yang kekal sebagai rahsia dan memang berkepentingan umum.

Lebih memalukan, wang 1MDB itu bagaikan seketul kek yang dibahagi-bahagikan dengan sewenang-wenangnya oleh pihak tertentu di peringkat antarabangsa.

Ia adalah milik rakyat dan negara dan apabila ada yang mahu perkara ini diatasi, kerajaan bagaikan cuba melindungi pihak berkenaan apabila melarang ia dibincang dan diperkatakan di Dewan Rakyat.

Jadi apabila Dewan Rakyat juga mahu disekat daripada menjadi medan perbincangan awam demi kepentingan rakyat, apakah kerajaan Malaysia kini sudah tidak meletakkan kepentingkan rakyat sebagai keutamaan selain menghormati demokrasi?

Juga apakah kerajaan yang ada hari ini berusaha mengekang suara rakyat atau wakil yang membawa hasrat rakyat?

Apakah kerajaan yang memerintah sekarang – Barisan Nasional - sudah meletakkan Dewan Rakyat di bawah kuasa multaknya yang membolehkan mereka mengawal semua perkara, termasuk isu membabitkan rakyat jelata?

Hari ini, mesyuarat parti pembangkang membabitkan lima parti menghadirinya di Parlimen meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghentikan tindakan memanggil dan mengambil keterangan daripada mana-mana ahli parlimen yang berucap di Dewan Rakyat yang menyentuh isu 1MDB, Jabatan Keadilan Amerika (DOJ) dan wang RM2.6 billion yang dimasukkan dalam akaun peribadi ahli parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak merangkap menteri kewangan dan perdana menteri.


Mesyuarat dihadiri Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Presiden Tan Sri Muhyidin Yasin, Presiden Parti Pembangunan Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafei Apdal, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dan Naib Presiden Amanah Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa serta lebih 20 ahli parlimen pembangkang yang lain.

Melain itu, mesyuarat juga mengambil ketetapan untuk meminta Speakar Dewan Rakyat mengkaji semula ‘petua yang dikeluarkan beliau pada 20 Oktober 2016’ atas perkara: Tafsiran Sub Judice bagi Pertanyaan Jawab Lisan, Jawab Bukan Lisan dan Usul membabitkan Isu Tindakan Sivil in Rem oleh DOJ pada mesyuarat ketiga, Penggal Keempat, parlimen ke-13 ini.

Mengikut ‘petua’ yang dikeluarkan beliau, ahli parlimen telah tidak dibenarkan berbahas atas isu yang menyentuh 1MDB, DOJ, dan wang RM2.6 billion.

Menteri-menteri juga disekat dan terbatas dalam memberi jawapan kepada soalan-soalan berhubung perkara tersebut.

Pertemuan dan keputusan lima parti itu - PKR, DAP, AMANAH daripada Pakatan Harapan dan dua parti baharu – BERSATU dan Warisan - diumumkan pada sidang media selepas mesyuarat khas berkaitan hak-hak dan kekebalan anggota parlimen di parlimen hari ini.

Lima parti itu  mahu semua pihak mengiktiraf dan mengembalikan hak ahli parlimen sebagai wakil rakyat untuk berbahas.

Kelima-lima parti ini mengingatkan semua pihak agar tidak menyekat kebebasan ahli parlimen supaya rakyat dan negara mendapat faedah daripadanya dan kedudukan parlimen Malaysia dipandang tinggi oleh masyarakat antarabangsa.

Mesyuarat khas berkaitan hak-hak dan kekebalan anggota parlimen diadakan ekoran tindakan Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia menyifatkan tindakan tiga bekas menteri Kabinet membangkitkan isu 1MDB dan beberapa isu lain dalam parlimen adalah satu tindakan yang melanggar sumpah mereka sebagai menteri kabinet.

Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Datuk Seri Shafie Apdal disiasat atas dakwaan membocorkan rahsia kerajaan ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2017 di Dewan Rakyat, dua minggu lalu.

Siasatan itu dibuat mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 kerana mendedahkan rahsia kerajaan, termasuk berkaitan 1MDB.

Pertemuan hari ini besar maknanya yang membuktikan pada ketika pihak kerajaan cuba menyekat kebebasan bersuara demni isu rakyat dan negara, pembangkang bukan sahaja mahu isu berkenaan diperkatakan dengan sewajarnya tetapi juga menuntut agar demokrasi dikekalkan.

Memang kerajaan mempunyai berbagai kuasa melalui berbagai akta untuk bertindak tetapi sesuatu tindakan itu jika dilakukan dengan ‘tidak waras dan melenaggar peraturannya’ ia akan menjadi ‘boomerang’ yang akan  mencederakan tuan badan yang membalingnya!

Monday, October 17, 2016

Gagal Bentang RUU 355 – Presiden PAS, Penyokong Akan Meroyan Gila...

 
Sehari dua ini PAS, khususnya Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan ‘meroyan gila’ dan ‘mengamuk habis’.

Apa tidaknya,  kerana cita-citanya untuk membentangkan usul Rang Undang-Undang Persendirian iaitu Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 atau RUU 355 di Dewan Rakyat mungkin tidaK akan menjadi kenyataan.

Sedangkan riuh satu Malaysia - beliau dan pemimpin PAS sudah mengatakan RUU 355 akan dibentangkan pada minggu pertama. Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen Ke-13 bagi Dewan Rakyat akan berlangsung selama 25 hari bermula hari ini sehingga 24 November depan.

Berbagai pendapat dikemukakan, malah ada permintaan supaya Ahli Parlimen Melayu dan Islam menyokong rang undang-undang itu. Ada sehingga menghukum kafir sesama Islam.

Bagaimanapun bagi pihak yang menentangnya mereka menganggap ia suatu kaedah pintu belakang untuk secara rasmi menguatkuasakan enakmen hudud Kelantan.

Ini bermakna bahawa Hadi dan PAS terpaksa berdepan bantahan dan halangan banyak peringkat. Dan inilah yang dijelaskan oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang bahawa ada enam kemungkinan sekiranya Hadi membentangkan RUU 355 itu.



1.    Hadi akan datang untuk membentang dan membahas mengenainya pada minggu pertama pembukaan sidang Parlimen, sama ada pada hari Isnin (hari ini), Selasa atau Rabu dan diluluskan dengan sokongan majoriti mudah;

2.    RUU itu dibahaskan pada minggu pertama di Parlimen dan ditolak dengan undi majoriti mudah;

3.   Hadi tidak membahasakan RUU pada minggu pertama sidang Parlimen bermula dan ditangguhkan sehingga selepas perbahasan Bajet 2017, dan kemungkinan akan dibahaskan pada minggu akhir sidang Parlimen pada November nanti (21-24 November).

4.   Perbahasan diilakukan pada minggu terakhir dan diluluskan dengan keputusan majoriti mudah.

5.   Perbahasan dilakukan pada minggu terakhir dan ia ditolak dengan majoriti mudah; atau

6.   RUU ini tidak dibahaskan dan akan ditunda pada persidangan Parlimen tahun hadapan.

Hadi yang diberikan ruang pada persidangan Dewan Rakyat Mei lalu, membentangkan usul untuk meminda Seksyen 2 akta tersebut untuk menyebut Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa terhadap orang Islam dan dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara yang disenaraikan dalam Butiran 1 Senarai Negeri di bawah jadual kesembilan Undang-Undang Persekutuan.

Ia juga bagi memasukkan Seksyen 2A yang menyebut dalam melaksanakan undang-undang jenayah di bawah seksyen tersebut, Mahkamah Syariah mempunyai hak untuk menjatuhkan hukuman berkaitan kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen berkenaan selain hukuman mati.

Sejak 18 Julai lalu Hadi mengatakan beliau dan PAS bersedia membantangkan usul itu dan perlaksanaan Akta 355 hanya akan melibatkan orang Islam.

Menurutnya, Mahkamah syariah tidak melibatkan orang bukan Islam, jadi mereka tidak perlu menentang.


“Tapi (yang) lagi pelik (adalah) apabila melihat orang Islam sendiri menentang Akta 355 ini. Mereka (orang Islam) lebih menyokong bukan Islam,” kata Hadi.

Menurut Hadi, walaupun perkara dibentangkan itu melibatkan pindaan Akta 355 dan bukannya hudud, namun ia sekali gus memberi ruang kepada mahkamah syariah meningkatkan hukuman berbanding sedia ada.

Menarik sehari dua ini juga ialah timbul berbagai pendapat mengenai kemungkinan sama ada RUU 355 itu akan dibentangkan atau sebaliknya.

Sehingga hari ini pendirian UMNO dan Barisan Nasional (BN) masih tidak jelas. Yang menaruh harapan tinggi hanya pemimpin PAS yang sanggup menuduh pihak lain, terutamanya yang beragama Islam sebagai tidak faham dan yang tidak menyokongnya, menentang hukum Islam.

BN melalui Setiausaha Agung Umno mengatakan telah mencapai konsensus mengenai rang undang-undang  ahli persendirian bertujuan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, yang juga dikenali sebagai Akta 355.

Menurutnya, apa juga keputusan itu, ia dibuat secara konsensus, ia telah dibincangkan dan "kami telah mendapat keputusan, jadi anda tunggu dan lihat."

Tengku Adnan memberitahu "kesepakatan" yang dimaksudkannya ialah, sebarang keputusan yang dibuat mestilah atas dasar konsensus semua pihak dan turut mengakui BN belum membuat pendirian rasmi mengenai usul berkenaan.

Sedangkan, sebelum ini, parti-parti komponen BN, MCA, MIC dan Gerakan menentang keras RUU itu, dengan pemimpin tertinggi mereka berkata akan meletak jawatan jika RUU itu diluluskan.

Dengan kedudukan di mana Tengku Adnan enggan mendedahkan apakah keputusan yang dicapai melalui mesyuarat BN dan sekadar mengatakan mencapai consensus, sukar untuk diteka apakah pendirian sebenar.

Kelmarin (15 Oktober 2016) MCA menegaskan akan tetap menentang RUU hudud' sambil menafikn parti itu tidak akan menentang rang undang-undang dikemukan Presiden PAS itu.


Pengerusi Biro Publisiti parti itu Chai Kim Sen menegaskan, parti komponen BN secara konsisten menentang pembentangan rang undang-undang Hadi, yang biasanya dirujuk sebagai 'rang undang-undang hudud.
Malah menurutnya pendirian awal bahawa menteri-menteri kabinet MCA yang pernah mengumumkan bahawa mereka bersedia untuk melepaskan jawatan kabinet jika rang undang-undang itu diluluskan di Parlimen masih kekal.

Selain itu, Wanita MCA berkempen untuk sejuta tandatangan di seluruh negara dan Pemuda MCA juga telah menjalankan kempen 'Memartabatkan Perlembagaan Persekutuan' serta-merta.

Malah katanya,  Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai juga telah bertemu rakan sejawatannya dari parti-parti komponen lain untuk membantah rang undang-undang pada hari yang sama usul itu dibentang untuk dipercepatkan.

Mereka juga menimbulkan bantahan terhadap rang undang-undang dalam mesyuarat kabinet kerana mendukung Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi di negara ini, katanya.

Jika demikian, kenapa pula Presiden MIC Datuk Seri S Subramaniam tidak berterus terang terhadap pendirian MIC  semalam apabila berdolak-dalik dengan  berkata parti itu berharap agar BN dapat 'mengikuti' persetujuan yang disepakati semasa perbincangan parti itu berhubung Akta 355 yang akan dibentang di Dewan Rakyat.


Katanya: "Perkara itu kita ada dibincangkan dalam BN dan saya berharap apa yang dibincangkan di BN akan diikuti. BN dah bincang dan ada persetujuan macam mana ia akan ditangani dan akan dibuat. Itu sahaja komen saya," katanya ringkas pada sidang media selepas perasmian Perhimpunan Agung MIC ke-70 di ibu negara semalam.

Subramaniam bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut mengenai komennya itu.

Apabila MIC berkata pihaknya berharap BN patuh pada janji dan MCA pula menyebut, MCA jamin RUU Hadi tidak akan dibahaskan bermakna bahawa RUU 355 tidak akan sampai ke mana-mana?

Maknanya hasrat Presiden PAS untuk membentangkan usul rang undang-undang itu tidak akan jadi kenyataan?

Presiden MCA semalam mengesahkan akan memastikan rang undang-RUU meminda Akta 355 tidak akan dibahaskan di Parlimen walaupun telah disenaraikan sebagai perkara keempat dalam kertas aturan mesyuarat.

Tiong Lai, tidak mendedahkan sama ada sebarang langkah melambatkan 'RUU Hudud' itu adalah keputusan konsensus 13 parti komponen BN seperti yang diputuskan pada yang mesyuarat pra-majlis kelmarin.

"Ia adalah sangat jelas bahawa BN membuat keputusan konsensus RUU undang-undang kerajaan akan mendahului RUU persendirian.

"Kami akan memastikan RUU tersebut tidak akan dapat dibahaskan kerana kita tahu RUU kerajaan mesti didahulukan di Parlimen," ujar beliau kepada pemberita di Wisma MCA, Kuala Lumpur selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Wanita MCA Selangor.

Pendirian MCA yang ditegaskan semalam selari dengan hasrat DAP yang menolak pindaan Akta 355 untuk memperluaskan bidang kuasa mahkamah syariah kerana bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.



Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata di Ipoh semalam, perkara itu hanya akan terlaksana jika pindaan Perlembagaan dibuat menerusi sokongan dua pertiga ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Bagi DAP,  keputusan yang dibuat tidak melibatkan sentimen agama  sepertimana yang didakwa segelintir pihak sebelum ini. Ia  sengaja diperbesarkan bagi menerbitkan rasa kebencian masyarakat terhadap DAP.

"Isu ini sengaja dimainkan bagi memperlihatkan DAP ini merupakan parti yang tak hormati Islam. Sebenarnya tidak, kita tolak kerana ia bercanggah (Perlembagaan) bukan kerana sentimen," katanya.

Kerana itu DAP berharap rakyat memahami perkara sebenar yang menyebabkan DAP menolak pindaan berkenaan.

"Perkara ini berkaitan undang-undang dan secara automatik mesti dilaksanakan mengikut lunas perundangan yang tertakluk di bawah Perlembagaan. Kita tak boleh langgar sesuka hati kerana ia menjadi asas kepada pembentukan Malaysia hingga ke hari ini," katanya.

Di sebalik semua ini, sewajarnya semua pihak memahami bahawa apa yang cuba  dibentangkan Hadi adalah usul persendirian semata-mata untuk dibahaskan mendapat persetujuan Dewan Rakyat agar ia menjadi rang undang-undang untuk dibahaskan secara rasmi.

Selepas diterima usul, ia akan dijadikan rang undang-undang yang perlu dibentangkan secara rasmi dan baharulah dibahaskan. Itupun belum pasti diterima atau tidak.

Persoalan sekarang ialah, berdasarkan kata-kata Tiong Lai, selain bantahan parti-parti komponen terhadap rang undang-undang itu, bantahan juga ialah kenapa ia dipercepatkan.