Showing posts with label MCA. Show all posts
Showing posts with label MCA. Show all posts

Friday, September 9, 2016

MCA Sudah Bosan Dengan Politik Perkauman, Agama UMNO?


"UMNO perlu beralih daripada taktik menakut-nakutkan kaum untuk mengelak daripada berlakunya kerenggangan pengundi tradisional BN...Sudah tiba masanya untuk UMNO menyemak dan menukar pelan permainan politiknya..."

Parti Pribumi Bersatu Malaysia sudah boleh mendaftar ahli dan borang akan mula diedar pada 14 September ini melalui wakil-wakil yang dilantik oleh parti.

Selain itu orang ramai juga boleh membuat pendaftaran ahli secara online mulai minggu ketiga September 2016 dan akan diumumkan selepas semuanya sudah bersedia.

Sekretariat parti itu mengucapkan terima kasih di atas segala sokongan dan dorongan dengan menganggap ia satu fasa baharu dalam menyelamatkan Malaysia dan membawa Malaysia kembali ke zaman kegemilangannya.

Kini BERSATU sudah boleh menyatakan wawasan perjuangannya secara rasmi dan kenapa ia berjuang menentang Barisan Nasional (BN), termasuk UMNO.

Kebetulan, serentak dengan kelulusan penubuhan parti baru itu semalam, MCA memberi peringatan kepada UMNO bahawa politik perkauman dan agama sudah tidak lagi berkesan untuk mendapat sokongan rakyat.

Berikutan itu, UMNO perlu beralih daripada taktik menakut-nakutkan kaum untuk mengelak daripada berlakunya kerenggangan pengundi tradisional Barisan Nasional (BN).

"Sudah tiba masanya untuk UMNO menyemak dan menukar pelan permainan politiknya," kata Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA Datuk Seri Ti Lian Ker.

Peringatan ini sama ada bersifat nasihat atau sindiran terhadap UMNO yang berterusan meletakkan kepentingan bangsa dan agama sebagai strategi perjuangan, membuktikan parti komponen dalam BN kini merasakan perlu ada pendekatan baru.

Dalam kesibukan pemimpin UMNO menyerang bekas Perdana Menteri, bekas Timbalan Perdana Menteri serta mereka yang dipecat daripada UMNO dan penubuhan parti baharu, MCA bagaikan tidak mengendahkan sama sekali perkembangan itu.


Lian Ker berkata jika bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad boleh berbaik semula dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim di mahkamah Kuala Lumpur baru-baru ini untuk satu perubahan, mengapa tidak UMNO?

Semalam Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, pihaknya tidak hairan dengan pertemuan antara Dr Mahathir dengan Ketua Umum PKR itu.

Malah, beliau berkata, apa yang lebih penting kini ialah UMNO meneruskan agenda untuk bertemu rakyat berbanding pertemuan antara dua bekas pemimpin berkenaan.

"Dia bertemu, bertemulah. Kita bertemu rakyat. Apa salahnya. Dia bertemu dia punya pasal lah.
"(UMNO) tak terjejas," katanya di Kuala Lumpur.

Selasa lalu, Mahathir yang juga bekas perdana menteri selama 22 tahun hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menyatakan sokongan terhadap permohonan Anwar bagi mencabar Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016.

Keadaan itu yang jarang-jarang berlaku terutamanya selepas Mahathir memecat Anwar sebagai timbalannya 18 tahun lalu.

MCA juga mahukan supaya UMNO menghentikan 'strategi lamanya' kerana cara itu tidak lagi berkesan dalam menyatukan undi Melau.


Dalam satu kenyataan semalam Lian Ker menegaskan jika UMNO berterusan dengan strategi lamanya, ia akan gagal dalam menyatukan satu undi Melayu yang kini sudah berpecah-belah.

Undi Melayu kini dibahagikan kepada beberapa parti termasuk PAS, PKR, Amanah dan Parti Pribumi Bersatu.

Selain itu, taktik menakut-nakutkan kaum boleh 'merenggangkan semua atau sebahagian besar pengundi tradisional kita di kalangan orang Cina, India, Kristian dan lain-lain'.

Beliau berkata zaman ketika UMNO boleh memilih golongan minoriti untuk memaparkan kekuatannya dan sebagai satu seruan untuk orang Melayu atau umat Islam bersatu telah lama berlalu.

Cara dan strategi itu sudah ketinggalan zaman dan tidak lagi berkesan.

Katanya orang Melayu kini tidak lagi akan 'termakan' dengan seruan itu.

Malah orang Melayu, menurut MCA, sudah melangkah keluar dari penghadang kaum atau agama untuk memerangkap mereka.

Walaupun ini suatu peringatan tetapi boleh dijadikan amaran.

Persoalannya apakah MCA juga kini turut bosan dengan perjuangan UMNO yang meletakkan kepentingan kaum dan agama mengatasi segala-galanya?

Tuesday, June 7, 2016

MCA Musuh Dalam Selimut Kepada Barisan Nasional?


"Wahai umatku, bersatulah mempertahankan Islam. Musuh wajib dikeluarkan daripada kerajaan. Musuh ini akan menjadi Umno lebih buruk dan hilang sokongan."


SAYA bersyukur kerana meninggalkan parti ultra kiasu yang anti Islam, tidak malu, berpura-pura menyokong kerajaan bagi mendapatkan projek, tetapi bila tiba musim pilihan raya, mereka sokong DAP menentang agenda Islam.

Dua puluh tahun lalu, saya mohon menjadi ahli MCA yang hanya diluluskan 5 tahun kemudian pada tahun 2000. Setelah sekian lama menunggu, saya dicampakkan ke Rawang, sedangkan saya tinggal di Ampang.

Presidennya berkata, MCA mempunyai keahlian 1.07 juta. Betul ke? Jika betul, kenapa tidak pernah menang di kawasan majoriti Cina menentang DAP? Kenapa mengemis kerusi di kawasan majoriti Melayu untuk menang?  

Melayu yang memenangkan MCA. MCA pula menjaga kebajikan dan perut bangsa sendiri. Masih tidak rasis? Adilkah? Berita akhbar bahasa Inggeris dan Cina mereka sudah menjadi suara DAP saban hari. Sama juga seperti parti Gerakan dan MIC.

Pemimpin MCA pula tidak tahu saya ahli seumur hidup. Kononnya tidak nampak muka saya dalam acara mereka. Perlukah kesemua 1.07 juta ahli menghadiri acara MCA? Dewan mana yang boleh memuatkan? Layakkah mereka memimpin negara?

Hampir 20 tahun saya berada dalam MCA, tidak pernah mereka menggunakan khidmat saya sebagai jambatan untuk memahami Islam. Pemimpinnya jahil tentang ahli mereka sedangkan saban kali saya menerima emel berita buletin MCA. Bagaimanakah saya rasis sehingga 20 tahun di MCA? Isteri saya Melayu lah. Siapa rasis?

Pemimpin MCA menghina saya kerana bersyukur bila saya keluar parti atas alasan saya rasis dan ekstrem. Saya keluar atas dasar prinsip. Sesiapa menentang Quran adalah musuh Islam. Akta 355 ini adalah kemuncaknya. Sebelum ini, apa juga perkara berkaitan dengan Islam, MCA tidak pernah bersetuju. Contohnya perihal mahkamah syariah, undang-undang pergaulan bebas lelaki perempuan dan lain-lain.

Selepas saya dan rakan lain menubuhkan Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) 1994, antara strategi dakwah saya adalah menjadi ahli parti Cina seperti MCA. Pertama, untuk membuktikan bahawa saya masih Cina meskipun memeluk Islam, supaya tidak dikonotasikan masuk Melayu. Kedua, ingin menyampaikan Islam dan menjadi jambatan sekiranya ada kekeliruan mengenai Islam.

Saya masih ingat pesanan Subky Latif, wartawan veteran Pas, supaya jangan menyertai MCA yang menjunjung perlembagaan kafir. Hari ini terbukti kenyataan Subky.

Ironinya, DAP lebih berterus terang daripada MCA, yang menjadi musuh dalam selimut. Tipulah, jika Umno tidak sedar.  

MCA sedang mengintai dan melobi kerusi kawasan majoriti Melayu untuk bertanding seperti Dun di Gua Musang. Sekiranya Umno melayan permintaan MCA, Umno akan kehilangan lebih banyak kerusi malah mengkhianati amanah Melayu Islam.

Adakah kebajikan Melayu terpelihara dengan memberi kemenangan kepada MCA? Mengapa tidak hanya melantik mereka menjadi senator untuk memenuhi kuota kaum? Jangan paksa orang Melayu terutama ahli Umno mengundi parti rasis ini!

Kenapa MCA sentiasa mahu bertanding di Dun dan Parlimen majoriti Melayu, meskipun kerusi senator adalah juga laluan mendapatkan kerusi menteri? Sebenarnya kuasa Senator terhad berbanding dengan ahli Dun atau wakil Parlimen yang seterusnya mudah membuncitkan perut.

MCA dan parti ultra kiasu lain, termasuk Sabah Sarawak, jangan ingat berjaya sekiranya Akta 355 gagal di Parlimen. Melayu dengan Islam sudah sebati, ibarat darah dan daging. Jika dicabar, pasti ada akibatnya. Inilah jiwa dan hati budi Melayu.

Sudah hampir 60 tahun merdeka, sensitiviti ini langsung tidak diendahkan. Kita terlalu memberi muka sehingga kaduk naik junjung. Seandainya saya seorang PM, agenda Islam sudah lama saya ketengahkan untuk dihayati oleh semua rakyat jelata tanpa mengira agama, kerana Islam adalah agama persekutuan dan agenda negara.

Ini tidak, sudahlah Islam masih tidak difahami, bahasa Melayu bahasa negara pun tidak dikuasai. Cakap tunggang-langgang.

Apa lagi MCA (bukan Islam) mahu? Apa yang mereka tidak dapat? Hak? Harta? Kekayaan? Hatta, di Kelantan, yang mahu melaksanakan hudud, terdapat patung Buddha, sebesar-besar patung berdiri di sana sini walaupun penyembah amat sedikit. Mana nak jumpa toleransi sebegini.

Tulisan saya selama ini menjelaskan, atas nama Cina, dan bukan Islam, ultra kiasu sentiasa bersatu menentang Islam. Wahai umatku, bersatulah mempertahankan Islam. Musuh wajib dikeluarkan daripada kerajaan. Musuh ini akan menjadi Umno lebih buruk dan hilang sokongan.

Bertindak tegas seperti bakal presiden Amerika, Donald Trump. Saya harap Trump menang. Trump lebih baik daripada parti demokrat dan ultra kiasu lain. Ya, walaupun ramai yang tidak suka Trump tetapi beliau bercakap benar dan berterus terang.

Beliau tidak menentang Islam, tetapi menentang ISIS.

Kepada Presiden Pas, janganlah gentar di hati. Hadapi musuh ini dengan semangat jihad yang tinggi. Jangan undur walau seinci, kerana ia perjuangan sejati.

Tajuk asal - Bahaya simpan musuh dalam selimut

Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Felo Utama, INSPIRE dan pensyarah PPI, UniSZA