Showing posts with label Rafizi. Show all posts
Showing posts with label Rafizi. Show all posts

Tuesday, August 16, 2016

Lewat Pampasan Pencen - Kenapa Pesara Tentera DiPerlakukan Seperti Bola?


“Kenapa harus sekat duit saya. Saya berkhidmat lama, tak pernah langgar peraturan semasa saya berkhidmat. Saya ada anak bini. Kerja setakat menoreh, berapa sahaja (pendapatan) yang saya ada.” - Pesara Tentera

Wajarkah mereka yang pernah berbakti dan mempertahankan negara dikecewakan perasaan mereka?

Kenapa pesara tentera diperlakukan seperti bola pada ketika mereka menuntut hak mereka demi diri dan keluarga?

Apa yang tidak kena dengan Jabatanarah Urusan Gaji Angkatan Tentera (UGAT)?

Hari ini, Ahli Parlimen Pandan,   Rafizi Ramli menyifatkan pesara tentera tidak ubah diperlakukan seperti bola dan apabila beliau menimbulkan isu kelewatan bayaran pampasan pencen kepada pesara tentera.

Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) turut dikaitkan, walaupun menafikan kelewatan bayaran berkenaan.

"Apabila pesara menghubungi UGAT untuk mendapat jawapan, mereka menghadapi kesukaran untuk berhubung kerana telefon tidak diangkat.


"Jika pun mereka hadir sendiri ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengan pegawai UGAT, kosnya terlalu mahal dan menambahkan beban mereka sedangkan pampasan pencen itu adalah wang mereka yang mereka carum selama ini.

"Akhirnya pesara tentera tidak ubah diperlakukan seperti bola apabila disepak dari LTAT ke UGAT balik ke LTAT dan berpusing ke UGAT," ujar Rafizi.

Menurut komen yang ditinggalkan di laman Facebook UGAT, bekas anggota tentera diberitahu menyemak dengan agensi itu untuk menuntut bayaran mereka, namun ia tidak dapat dihubungi.
Sekiranya ada jawapan, mereka membuat janji-janji palsu, kata seorang bekas anggota tentera yang menunggu bayaran itu sejak 2015.

"Bila saya call UGAT, diorang tak angkat pun (telefon). Lepas tu bagi janji palsu.

"Kemudian call lagi sebab bila check duit tak masuk, diaorang abaikan. Bila pergi MINDEF (Kementerian Pertahanan) diaorang cakap bulan lima ni (duit) masuk. Kenapa harus sekat duit saya. Saya berkhidmat lama, tak pernah langgar peraturan semasa saya berkhidmat.

"Saya ada anak bini. Sekarang kerja saya tak stabil, saya duduk rumah mentua saya. Kerja setakat menoreh, berapa sahaja (pendapatan) yang saya ada," tulisnya yang meminta kerjasama dari pihak berkenaan.

Posting itu ditulis tiga bulan lalu. Satu lagi posting dibuat tiga minggu lalu berkenaan perkara serupa.

Menurut Rafizi, pesara tentera tidak ubah diperlakukan seperti bola dan apabila beliau menimbulkan isu itu, LTAT menafikan kelewatan bayaran berkenaan.


Malah Ahli Parlimen Pandan itu berkata beliau akan mula menjelajah ke kem-kem tentera sekiranya Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein tidak menyelesaikan isu kelewatan bayaran pampasan pencen kepada pesara tentera.

Ini berikutan terdapat bekas anggota tentera yang berterusan membuat aduan mengenai kelewatan berkenaan di laman Facebook UGAT.

"Saya membuat permohonan terbuka untuk berjumpa pengarah UGAT agar saya dapat mendengar sendiri masalah yang dihadapi UGAT sehingga menyebabkan kelewatan ini.

"Saya juga mendesak Hishammuddin Hussein memberi kenyataan segera dan mengambil tanggungjawab untuk menyelesaikan perkara ini dengan berjanji bahawa segala proses dan prosedur akan diperkemaskan secepat mungkin dan semua pesara yang belum menerima pampasan dibayar dalam tempoh seminggu.
"Jika ini tidak berlaku saya akan mula menjelajah ke kem-kem tentera di seluruh negara untuk “menghasut” angkatan tentera dan pesara tentera mengenai kegagalan Hishamuddin dan UMNO menjaga kebajikan mereka," katanya.


LTAT sebelum ini mengambil tindakan undang-undang terhadap Rafizi kerana mendakwa lembaga itu lewat membayar gratuiti kepada pesara tentera.

Sunday, June 26, 2016

Tutup Kilang High5 Buktikan Tabung Haji Memang Hilang RM100 Juta?


"Tabung Haji perlu menyatakan statusnya dalam syarikat ini dan buktikan dakwaan Rafizi itu tidak benar sama sekali kerana jika benar mengalami kerugian dan menggunakan duit pencarum untuk melabur, ia suatu perbuatan khianat dan tidak bertanggungjawab."

Kilang roti jenama High 5 ditutup serta merta mulai kelmarin tanpa sebarang makluman awal dan tiada pampasan serta baki gaji dilunaskan.

Pekerja dikatakan diberikan cek gaji setengah bulan dan diberitahu mereka tidak perlu melaporkan diri untuk bekerja mulai 24 Jun dan seterusnya.

Pekerja Melayu-Islam di syarikat ini sedang menjalankan ibadah puasa dan akan menyambut Hari Raya dengan hanya setengah bulan gaji.


Apa perasaan mereka dengan keputusan ini?

Jika faktor ekonomi menjadi alasan, apakah ini menggambarkan sesuatu tidak kena dengan ekonomi negara?

Bagaimana nasib kira-kira 1,00 perkerja dan keluarga mereka akibat tindakan syarikat berkenaan?

Roti jenama High 5 ini adalah jenama syarikat Siverbird Group Berhad yang merupakan syarikat pelaburan Tabung Haji (TH). Diulangi, Tabung Haji.

Wakil pekerja Mohd Rosnizam Abu Said mendakwa 60 pekerja telah menerima surat dari syarikat itu pada 22 Jun, memaklumkan kepada mereka bahawa syarikat itu akan menghentikan operasi pada 23 Jun.

Surat tanpa tarikh itu, bagaimanapun, menyatakan ia memberi mereka sebulan notis.
Ini, dakwa Rosnizam, adalah satu pembohongan.

"Kami mahu tahu apa yang akan berlaku kepada kami. Bagaimana dengan pampasan kami, hak kami sebagai pekerja?" kata Rosnizam.

Pemberhentian mereka dibuat tanpa dimaklumkan terlebih dahulu.

Pekerja amat tidak berpuashati kerana hanya ditawarkan gaji 1/2 bulan tanpa apajua jaminan bahawa pampasan berhenti kerja dan baki gaji akan dibayar.

Isu ini bakal mengundang kontroversi kerana TH membeli saham-saham di dalam Siverbird Group yng kini telah gulung tikar dan mengalami kerugian hampir 100 juta.

Mungkin juga kini hanya nama TH digunakan tetapi hakikatnya ia bukan lagi milik syarikat berkenaan kerana sudah menjual sahamnya pada 2014.

Namun mengapa membiarkan TH terus dikaitkan dengan syarikat ini jika tidak lagi memilikinya?

Banyak kemungkinan – ia juga mungkin strategi bisnes pihak tertentu yang memungkinkan kepada pembelian semula asset syarikat  oleh pihak tertentu (tentunya bukan Melayu-Islam).  Kebanyakan pekerja Melayu-Islam dibuang  itu akan digantikan dengan pekerja asing, kemungkinan Bangla.

Juga apakah ini bukti sayarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebenarnya ‘tak reti berniaga’?

Bak kata Syed Akbar Ali melalui blognyanya bertajuk  “Hi5 Bubuh Pasir Dalam Periuk Nasi Pekerja Melayu - 2 Minggu Sebelum Raya”:   “Its just  another example that the GLCs tak tahu niaga.  Tabung Haji bought this company from the Chinese (part of the psycho-stupid "buying up Chinese businesses" strategy). Folks, this is what I think will happen.  Someone will buy this Hi5 company. It is a super hi tech bread factory in Shah Alam.  The people who buy it back will make a success of it.”  

Why? Because they have to pay only 4 sen to buy one share in this company.   Their acquisition cost will be so cheap - they will be able to turn things around. I hope so.”

Apabila timbulnya isu mengenai pembuangan pekerja oleh High 5 ini, teringkat kita kepada kenyataan Rafizi Ramli pada 23 Februari lalu yang mengatakan ‘Tabung Haji rugi hampir RM100 juta kerana terlibat dalam perniagaan roti’.

Lantas Rafizi mempersoalkan mengapa Tabung Haji mengambil keputusan agresif dengan pelaburan terhadap syarikat ini pada 2007.

Beliau juga mahu tahu bagaimana berlakunya kesilapan pelaburan sedemikian dan sesiapa yang dipertanggungjawabkan.

Menurut Setiausaha Agong PKR itu:


“Pembelian aktif saham Silverbird Group Berhad oleh Tabung Haji secara meluas di antara September dan Oktober 2007, menyaksikan kenaikan saham syarikat membuat roti itu daripada 39 sen (awal September 2007) kepada RM1.08 pada 16 Oktober 2007.

Langkah agresif Lembaga Tabung Haji melabur dalam syarikat membuat roti pada 2007 menyebabkan kerugian hampir RM100 juta.

Pembelian aktif saham Silverbird Group Berhad (kini dikenali sebagai Hi-5 Conglomerate Berhad) Tabung Haji secara meluas di antara September dan Oktober 2007, yang menyaksikan kenaikan saham syarikat membuat roti itu daripada 39 sen (awal September 2007) kepada RM1.08 pada 16 Oktober 2007.

Tabung Haji kemudian muncul sebagai pemegang saham terbesar pada akhir tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2007. Dana jemaah haji itu melabur kira-kira RM98 juta bagi 90.483 juta saham, atau 28.81% dalam syarikat itu.

Apakah  usaha itu wajar dilakukan kerana ketika Tabung Haji mengeluarkan pelaburan pada 2014, harga saham menurun kepada antara RM0.07 dan RM0.08 sesaham.

Pada Februari 2016,  saham Hi-5 Conglomerate Berhad berharga RM0.04 sesaham.

Syarikat itu menghadapi masalah (selepas 2007) dan Tabung Haji hilang pelaburan, tetapi bertahan (pelaburan) sehingga pertengahan 2014 sebelum menjualnya.

Ini memberikan idea jika Tabung Haji melakukan usaha yang wajar, ia akan menjadi lebih berhati-hati kerana tindakan wajar akan menekankan kemungkinan ini. Jelas sekali ia tidak dilakukan.

Silverbird terkeluar daripada senarai Bursa Malaysia pada 2011 adalah disebabkan beberapa insiden termasuk pertuduhan Jenayah Pelanggaran Amanah terhadap pengurusan atasan.

Pertama, 3 pengurusan kanan diseret ke mahkamah kerana didakwa menggelapkan RM167 juta wang syarikat."

Kemudian pada 2015, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mengheret syarikat itu ke mahkamah berhubung dakwaan penyelewengan kontrak Koperasi Permodalan Felda Malaysia.

Mereka juga terlibat sebagai pembekal logistik untuk program Felda, melalui satu lagi anak syarikat."
  
Lebih memalukan dalam isu High5 ini ialah. pekerja tidak menerima komisen mereka sejak dua bulan lalu.

Rosnizam mendakwa walaupun caruman Kumpulan Wang SimpananPekerja (KWSP) telah ditolak daripada gaji mereka, tetapi akaun KWSP mereka merekodkan bayaran tertunggak sejak lapan bulan lalu.

Beliau kesal tunggakan caruman KWSP mereka telah menyebabkan pekerja menghadapi masalah untuk mendapatkan pinjaman bank, kerana bank enggan memberikan sebarang pinjaman kerana rekod pembayaran caruman KWSP.

Beliau juga mendakwa ini berlaku kepada pekerja High 5 di semua 12 cawangan syarikat itu seluruh negara.

Terdapat kira-kira seribu pekerja High 5 di seluruh negara.


Kerajaan, khususnya Kementerian Sumber Manusia untuk mengambil tindakan segera bagi pihak pekerja-pekerja berkenaan.

Juga dalam isu KWSP ini, tindakan segera perlu dilakukan oleh pihak berwajib agar pekerja High 5 ini tidak mengalami 'sudah jatuh ditimpa tangga'.

Lebih penting, TH perlu menyatakan statusnya dalam syarikat ini dan buktikan dakwaan Rafizi itu tidak benar sama sekali.

TH perlu ingat, jika benar mengalami kerugian dan menggunakan duit pencarum untuk melabur dan rugi seperti ini, ia suatu perbuatan khianat dan tidak bertanggungjawab.

Friday, May 20, 2016

Rafizikah Yang “Jijik”, “Jahat”, “Semberono” & Merancang Serangan Terhadap Azmin?


Permainan apa dalam PKR sekarang?

Ada pihak tidak berpuashati dengan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang kelihatan rapat dengan Tun Dr Mahathir Mohamad melalui Deklarasi Rakyat?

Tuduhan 'wujud permintaan perempuan apabila berurusan dengan kerajaan negeri'  Selangor bagaikan isu yang sengaja dilemparkan ke muka Azmin.

Dakwaan meegejutkan itu disebut dalam perbualan Whatsapp yang bocor, apabila Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli didakwa berkata beliau menerima aduan mengenai perkara itu.

Ia berlaku selepas surat dari penjara Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengingatkan pemimpin PKR supaya berhati-hati dengan Dr Mahathir. Ada melihat surat itu sebagai kebimbangan Anwar bahawa pengaruhnya semakin merosot.

Azmin hari ini (20 Mei 2015)menganggap  dakwaan 'wujud permintaan perempuan apabila berurusan dengan kerajaan negeri' itu satu tuduhan jijik dan kempen fitnah terancang.
"Menuding jari kepada kerajaan negeri tanpa sebarang bukti sokongan dan kemudiannya menjaja tuduhan tersebut kepada semua pihak adalah satu tindakan bacul, tidak bertanggungjawab dan berniat jahat," tegasnya dalam satu kenyataan, Jumaat.

Azmin yang juga timbalan presiden PKR berkata orang yang menuduh itu telah mencemarkan nama baik, maruah serta integriti perkhidmatan awam negeri kerana melakukan serangan jahat dan semberono.

Rafizi menyatakan dalam perbualan itu bahawa beliau lebih mengambil berat tentang dosa berbanding strategi politik.

“Saya bukan kisah sangat mengenai strategi politik dan lain-lain.

“Selama ini tidak pernah sekali pun saya pergi ke SUK sejak saudara Azmin jadi MB untuk minta atau bincang sesuatu,” katanya.

Isu terbaru itu berlaku ketika kemunculan warkah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengingatkan pemimpin PKR mengenai bahaya bekerjasama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam Deklarasi Rakyat.

Ini mencetuskan spekulasi mengenai keretakan dalam PKR.

Bekas pemimpin PKR Datuk Zaid Ibrahim juga mengaitkan surat itu dengan perebutan yang dikatakan antara isteri Anwar yang juga Presiden PKR Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya, Azmin.


Pada Azmin, dalam mewujudkan sebuah kerajaan bersih dan bebas rasuah, pentadbiran negeri mengalu-alukan pemberi maklumat tetapi ia perlu disertakan dengan sekurang-kurangnya 'sekelumit bukti'.

"Sikap kita amat jelas. Pentadbiran ini mengalu-alukan pemberi maklumat yang berhasrat untuk melihat kerajaan yang bersih dan bebas daripada rasuah. Pada masa yang sama, mereka yang membuat tuduhan ini perlu membawa hatta sekelumit bukti sekali pun kepada pihak berkuasa yang berkenaan untuk tindakan.

Azmin sebagai ketua pentadbir negeri berkata semua pihak bertanggungjawab untuk memelihara nama baik dan maruah kakitangan awam serta eksekutif daripada sebarang tuduhan liar yang tidak bertanggungjawab.

Rafizi sebelum ini dikatakan membuat dakwaan melalui mesej WhatsApp bahawa PKR yang diterajui kerajaan negeri Selangor telah menggunakan wang dan seks dalam urusan pentadbirannya. Rafizi didakwa berkata demikian dalam kumpulan perbualan WhatsApp 'Solidarity For Anwar'.

Rafizi berkata ada 'orang bona fide' datang kepadanya dengan aduan itu dan beliau kini sedang mengumpul semua maklumat dan bukti.

“Semalam saya mendapat laporan dan aduan daripada orang bona fide bahawa selain wang, sekarang ini ada juga permintaan 'perempuan' bila berurusan dengan kerajaan negeri (tidak perlulah saya hurai saudara/i tahu apa yang saya maksudkan).

“Saya bukan kisah sangat mengenai strategi politik. Selama ini tidak pernah sekalipun saya pergi ke SUK sejak sdr. Azmin jadi MB untuk minta atau bincang sesuatu,” katanya.

Rafizi mengakui wujud unsur-unsur tidak baik dalam PKR yang mempunyai potensi untuk memusnahkan parti tetapi enggan mengulas lanjut.

Hari ini Rafizi   mengesahkan beliau menulis mesej yang dihantar kepada perbualan kumpulan tertutup menggunakan aplikasi komunikasi WhatsApp berhubung dakwaan habuan wang dan wanita ketika berurusan dengan kerajaan negeri Selangor.

Pada masa sama, beliau juga mengakui didatangi oleh beberapa individu yang melahirkan kebimbangan mengenai beberapa isu bersabit amanah dan tata kelola secara umum dengan memberi contoh tuduhan salahlaku.

"Tuduhan itu bukan individu yang menjawat kerusi wakil rakyat (baik di Dewan Negeri, Dewan Rakyat atau Dewan Negara sama ada yang masih berkhidmat atau telah bersara) atau mana-mana kakitangan kerajaan di mana-mana jabatan di bawah Kerajaan Selangor," jelas beliau dalam kenyataan.

Bagi Razifi sebagai Pengarah Eksekutif Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (Now), beliau menerima ribuan maklumat dan aduan setiap tahun berkaitan salah laku dan penyelewengan di pelbagai institusi awam dan swasta.

"Hanya sebahagian kecil dari maklumat atau aduan ini yang akhirnya akan sampai kepada rakyat kerana sebahagian besar dari aduan ini tidak melepasi keperluan bukti minimum yang ditetapkan oleh Now sebelum dibawa kepada rakyat," ujar ahli parlimen Pandan itu.

Amat nyata, kini wujud pertelingkahan di kalangan kepimpinan tertinggi PKR, malah kemarahan Azmin tidak dapat dibendung lagi.

Kenyataan Menteri Besar Selangor yang  menyifatkan dakwaan yang menyebabkan pentadbirannya berdepan fitnah “jijik”, “jahat”, “semberono” dan terancang bagi melemahkan semangat penjawat awam negeri pastinya akan berlanjutan.

Azmin bengang kerana jelas Rafizi sudah menjaja tuduhan tersebut kepada semua pihak yang diaggap tindakan bacul, tidak bertanggungjawab dan berniat jahat, menyerlahkan pertelingkahan puak-puak dalam PKR.

Nyata sekali  dalam PKR kini wujud kumpulan meempertahankan Anwar dan yang mahu membebaskan diri daripada pengaruh Anwar ketika suasana politik ngara semakin berubah kepada kekuatan dan keberkesanan Deklarasi Rakyat.

Friday, May 13, 2016

Hutang 1MDB - Kenapa Rakyat Didera Dengan Jumlah RM48.65 Bilion???


Oleh RAFIZI RAMLI (Anggota Parlimen Pandan)
Tajuk asal - Hutang 1MDB RM27.8b: Negara korbankan 2 IPTA, 3 hospital

Saya agak terkejut dengan kenyataan Gabenor Bank Negara yang baru, Datuk Muhammad Ibrahim yang dipetik berkata bahawa beliau yakin kerajaan akan memastikan semua hutang 1MDB akan dibayar.

Walaupun saya faham amaran tersirat beliau kepada Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kedudukan ekonomi dan kewangan negara hanya boleh pulih sekiranya beban kewangan akibat 1MDB diselesaikan segera, ia seolah-olah melupakan bahawa sebarang hutang 1MDB yang diselesaikan kepada kerajaan sebenarnya mendera rakyat lebih teruk dari sekarang.

Hutang-hutang 1MDB

Hakikat bahawa hutang-hutang 1MDB akhirnya akan ditanggung oleh rakyat bukanlah satu perkara yang baru diketahui.

Rakyat sudah tahu bahawa jika pun hutang-hutang ini tidak dibayar terus oleh Kerajaan Persekutuan melalui pengambilalihan anak syarikat 1MDB seperti yang berlaku dengan SRC International Sdn Bhd dan Bandar Malaysia Sdn Bhd, hutang-hutang itu akan ditampung oleh suntikan aset negara, kontrak-kontrak besar, pemberian geran dan lain-lain oleh Kerajaan Persekutuan.

Jumlah hutang 1MDB yang kini telah dan berkemungkinan diambil alih oleh Kerajaan Persekutuan adalah terlalu besar, seperti berikut:


HUTANG YANG TELAH DIAMBIL ALIH

i. Hutang SRC sebanyak RM4 bilion dari Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) melalui pemindahmilikan SRC dari 1MDB kepada Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

ii. Hutang Bandar Malaysia sebanyak RM2.4 bilion dari Tabung Haji melalui pemindahmilikan Bandar Malaysia dari 1MDB kepada Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

HUTANG YANG BERKEMUNGKINAN TERPAKSA DIAMBIL ALIH

i. Hutang dalam bentuk bon berjumlah US$1.75 bilion (bersamaan RM7 bilion) yang dijamin IPIC tetapi telah melanggar syarat pinjaman apabila 1MDB gagal membayar faedah bulan lalu.

ii. Hutang dalam bentuk bon berjumlah US$1.75 bilion (bersamaan RM7 bilion) yang juga dijamin IPIC dan faedah perlu dibayar hari ini. Jika tidak dibayar oleh 1MDB, sekali lagi ia melanggar syarat pinjaman.

iii. Hutang dalam bentuk terbitan sukuk/bon patuh shariah berjumlah US$1.83 bilion (bersamaan RM7.4 bilion) yang boleh dituntut serta merta akibat pelanggaran syarat pinjaman hutang-hutang (i) dan (ii) akibat dari “cross defaults”.

Ini bermakna, jumlah hutang-hutang 1MDB yang telah dan berkemungkinan besar akan diambi alih oleh Kerajaan Persekutuan adalah RM27.8 bilion.

Hutang-hutang ini juga menyebabkan Kerajaan Persekutuan terpaksa membayar faedah tahunan (dipanggil bayaran kupon) sepanjang tempoh hutang itu belum dilangsaikan.

Untuk membuat anggaran tanggungan hutang 1MDB yang rakyat sedang berdepan, saya menganggarkan kadar faedah 5% bagi kesemua hutang-hutang itu dan tempoh matang purata 15 tahun.

Maka jumlah tanggungan sebenar hutang-hutang 1MDB yang berkemungkinan dibayar oleh rakyat Malaysia adalah:

Hutang pokok yang telah diambilalih dan berkemungkinan diambilalih (seperti di atas) RM27.8 bilion

Bayaran faedah pada 5% setiap tahun bagi 15 tahun RM20.85 bilion

JUMLAH KESELURUHAN RM48.65 bilion

Untuk mengenal pasti kesan tanggungan hutang sebanyak ini kepada kehidupan harian rakyat Malaysia, kita perlu pecahkan tanggungan ini kepada peruntukan tahunan yang terpaksa dibelanjakan oleh Kerajaan Persekutuan bagi menanggung hutang ini seperti berikut:

Bayaran faedah tahun pada kadar 5% RM1.4 bilion

Simpanan tahunan untuk bayaran pokok dalam 15 tahun RM1.9 bilion

PERUNTUKAN TAHUNAN DIPERLUKAN RM3.3 BILION

Maknanya, rakyat Malaysia mesti menyedari bahawa setakat ini, jumlah peruntukan tahunan yang terpaksa dipotong atau tidak dibelanjakan bagi tujuan rakyat akibat hutang 1MDB (yang kita ketahui setakat ini) adalah dianggarkan RM3.3 bilion.

Kesan kepada rakyat Malaysia

Saya cuba membayangkan kesan ini kepada rakyat dengan menterjemahkannya kepada 2 perkara yang kosnya cukup membebankan setiap keluarga di Malaysia: kos menanggung pendidikan tinggi dan kos kesihatan/perubatan.

Sebuah universiti awam yang baik dan mampu menawarkan pendidikan pada kos yang berkali ganda lebih murah dari IPTS kepada sekitar 5,000 pelajar pada satu-satu masa dianggarkan memerlukan pelaburan awam sebanyak RM750 juta (mengambil kira pembinaan IPTS seperti Kampus Lakeside Taylor’s University yang jauh lebih murah dari itu).

Pada masa yang sama, sebuah hospital besar di peringkat daerah yang boleh memberi perkhidmatan kesihatan/perubatan yang baik kepada sekitar 100,000 orang penduduk dianggarkan berjumlah RM500 juta (mengambil kira kos hospital sedia ada).

Ini bermakna, apabila peruntukan sebanyak RM3.3 bilion terpaksa dilencongkan setiap tahun untuk membayar hutang 1MDB, jumlah itu bersamaan dengan pembinaan dan operasi 2 universiti awam (IPTA) dan 3 hospital awam SETIAP TAHUN. Bagi tempoh matang purata selama 15 tahun, ini bermakna rakyat Malaysia akan kerugian 30 universiti awam (IPTA) dan 45 hospital awam akibat menanggung hutang 1MDB setakat ini.

Sebab itu, skandal 1MDB ini tidak boleh dilupakan begitu sahaja dan rakyat berputus asa hanya kerana Dato’ Seri Najib Tun Razak masih kekal sebagai Perdana Menteri.

Pimpinan politik dan masyarakat turut sama perlu memikirkan langkah mengelakkan tanggungan hutang ini dan mengambil tindakan secepat mungkin (bukan hanya tertumpu kepada persoalan menjatuhkan Dato’ Seri Najib Tun Razak seperti mana fokus Deklarasi Rakyat akhir-akhir ini).

Saya akan berbincang dengan rakan-rakan pimpinan Pakatan Harapan dan ahli-ahli Parlimen untuk mencari jalan mengelakkan hutang-hutang ini diambilalih oleh rakyat.

Thursday, May 31, 2012

Shahrizat Bersih...Rafizi, Zuraida Semakin Gelabah

 

Dua pemimpin kanan Parti Keadilan Rakyat (PKR) memang ‘tak reti bahasa’.

Panel Penilaian Operasi (PPO) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggugurkan penglibatan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dalam memberikan projek Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) bernilai RM250 juta kepada syarikat yang dikendalikan ahli keluarganya.

Namun Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dan Ketua Wanitanya, Zuraida Kamaruddin mempersoal dan kesal dengan keputusan SPRM yang mengisytiharkan Shahrizat bersih daripada tuduhan isu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) manakala kes rasuah 17 tahun lalu Azmin Ali mahu dibuka semula.

Pengerusi PPO Tan Sri Dr Hadenan Abdul Jalil berkata hari ini, siasatan terhadap penglibatan Shahrizat dalam NFC kini ditutup.

Keputusan itu berikutan beliau didapati tidak terlibat dalam proses pemberian pinjaman atau kontrak kepada syarikat tersebut.

Rafizi dan Zuraida berkata : “Kami berasa kesal dengan dua keputusan penting yang dibuat SPRM pada hari ini berhubung kes NFC dan penglibatan Shahrizat serta tuduhan terhadap Azmin Ali.”

"Rakyat boleh menilai tindakan tangkas SPRM berhubung tuduhan terhadap Azmin walaupun laporan dan siasatan Badan Pencegah Rasuah (kini SPRM) telah menyatakan bahawa tidak ada unsur rasuah ketika siasatan dibuat dalam tahun 1995.

"Berbeza pula dengan pelbagai dolak dalih yang diberikan SPRM dalam kes NFC dan Shahrizat walaupun NFC dan menteri bertanggungjawab membuat keterangan di Parlimen mengenai proses pemberian tender kepada sebuah syarikat milik keluarga beliau," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Kedua-dua mereka berkata, sungguhpun rata-rata rakyat Malaysia sudah menjangkakan bahawa SPRM akan melepaskan Shahrizat dari tuduhan rasuah bersabit NFC, keputusan SPRM membuka siasatan terhadap Azmin benar-benar mendedahkan wajah sebenar SPRM.

Memang menghairan sikap Rafizi dan Zuraida ini kerana hari ini juga SPRM turut mengisytiharkan kes membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Muda, Mat Suhaimi Shafiei dan rakan sejawatannya kerusi Batu Caves, Amirudin Shari, yang disiasat berhubung isu penyelewengan pasir di Selangor, dengan rasminya telah ditutup. Kedua-dua merupakan wakil rakyat PKR di Selangor.

Kenapa Rafizi dan Zuraida tidak melihat kes ini?

SPRM berpendapat walaupun sebelum ini kes itu telah dibuka semula namun hasil siasatan terkini mendapati kedua-dua Adun tersebut tidak bersalah di bawah undang-undang SPRM.

Sepatutnya dua pemimpin PKR itu memberikan pujian dan menghargai keputusan SPRM ini apabila dua wakil rakyat PKR dibersihkan.

Shuhaimi telah didakwa kononnya beliau terlibat dalam penyelewengan pasir bermula pada 23 Mei 2009 apabila Adun Sri Muda itu bertemu wakil syarikat yang terlibat dalam pembinaan Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE) di Hotel Sunway, Seberang Prai.

Sikap ‘tak reti bahasa’ Rafizi dan Zuarida sewajarnya mendapat reaksi Shahrizat apabila meminda pernyataan tuntutan samannya di Mahkamah Tinggi berikutan tiada bantahan daripada Zuraida dan Rafizi.

Pada 19 Januari lalu, Shahrizat memfailkan saman terhadap Zuraida dan Rafizi berhubung kenyataan yang didakwa memfitnah beliau berhubung isu projek NFC.

Shahrizat menuntut ganti rugi am sebanyak RM50 juta dan RM50 juta lagi bagi ganti rugi teladan dan teruk daripada kedua-dua defendan.