Wednesday, July 7, 2010

Menembak mati sipembawa berita

"Idris Jala pasti telah melihat data, angka dan statistik ekonomi negara dengan lebih teperinci. Angka dan statistik negara yang sulit-sulit juga pasti telah berada diatas meja Idris Jala. Dia juga pasti telah menghitung hutang negara, bond yang telah sampai masa untuk dibayar, duit simpanan negara dan emas negara...adalah tidak silap apabila Idris Jala membawa berita bahawa Malaysia boleh jadi macam Greece dalam masa beberapa tahun lagi."

http://tukartiub.blogspot.com

Idris Jala berkata bahawa dalam masa yang tidak lama lagi negara kita ini boleh jatuh bangkrap atau muflis. Sebenarnya ini satu kenyataan yang jujur.

Susuk yang bernama Idris Jala ini bukan orang politik. Susuk ini tidak diundi oleh orang ramai untuk dijadikan pemimpin. Susuk ini seorang birokrat. Justeru apa yang disuarakan adalah pandangan seorang professional birokrat bukan huh hah huh hah dari seorang politikus.

Tidak ada perhitungan politik dalam kenyataan Idris Jala. Apa yang di luahkan adalah hasil dari rumusan pembacaan angka dan fakta.

Angka dan fakta yang dianalisa untuk memberikan pandangan masa depan ke atas ekonomi negara ini. Pandangan Idris Jala ini tidak ada sangkut paut dengan kepentingan politik ketua Umno bahagian Bacok atau berkait dengan cita-cita bekas Mufti Perlis menghantar kuda-kudanya menyelam ke dalam Umno.

Kenyataan Idris Jala ini telah disangkal. Diperlekeh. Dipertikai. Ramai diantara kita kurang sedar bahawa kebenaran jika kita tidak menyedarinya tidak bermakna kebenaran itu tidak wujud. Kebenaran itu tetap wujud tanpa kita sedar atu tidak.

Banyak warga terlupa kenyataan Najib Razak ketika bahan bakar minyak petrol hendak dinaikkan empat tahun dahulu. Najib telah mengajukan agar kita mengubah gaya hidup. Tapi yang amat penting dalam kenyataan ini ialah negara Malaysia akan menjadi negara pengimpot minyak pada tahun 2016. Ini bererti ‘Puncak Minyak – Peak Oil’ telah melintasi Malaysia.

Saya telah menulis banyak tentang ‘ Puncak Minyak’ dan Hubbert Peak Oil Theory. Saya telah meneliti fakta, angka dan kenyataan dari orang-orang penting yang bersangkutan dengan minyak. Orang-orang ini juga mengendalikan risikan pertahanan, kelengkapan ketenteraan yang berkait rapat dengan pengeluaran bahan bakar petrol. Semua yang saya baca dan fakta yang ditemui telah meyakinkan saya bahawa dunia telah melintasi puncak minyak.

Melintasi puncak minyak bermakna bekalan bahan bakar minyak semakin susut dan berkurangan. Jumlah bekalan minyak ini kian susut hari demi hari. Satu demi satu negara pengeluar dan pengekspot minyak kini berubah menjadi negara pengimpot minyak. Pada tahun 2016 malah mungkin lebih awal lagi – kita juga akan menjadi negara pengimpot minyak.

Apa sangkut paut minyak, Hubbert Peak Oil Theory atau risikan perang dengan kenyataan Idris Jala yang mengatakan Malaysia akan jatuh bangkrap? Jawabnya: semua ini sangkut bersangkut dan kait mengait.

Memahami politik dan ekonomi sebenarnya adalah keupayaan kita untuk menyambungkait - fakta ekonomi, fakta politik, kenyataan resmi, babak politik dan ucapan ucapan dari ahli politik dan dari pakar ekonomi. Semua ini bukan fakta atau angka-angka rahsia. Kita boleh membacanya dan meneliti data-data dari media arus perdana. Memang betul kalau kita kurang arif maka kita akan melihat fakta ekonomi, kenyataan politik dan ucapan politikus ini terpisah-pisah, bersimpang siur tidak tentu hala. Sebenarnya tidak.

Apa yang wajib kita lakukan ialah menyambungkan semua ini - menyusun dan mengaturnya secara linear untuk menjadi satu cerita. Dalam keilmuan moden - naratif /cerita ini dipanggil political ekonomi - satu cabang ilmu dimana politik dan ekonomi tidak dapat dipisah-pisahkan. Malah politik itu dilihat sebagai jurumudi untuk ekonomi.

Dari pengamatan dan pembacaan – saya cukup yakin bahawa ekonomi kapitalis hari ini sedang mengalami satu krisis yang paling tenat. Bila saya katakan krisis ekonomi kapitalis ini yang menjadi jurutunjuknya ialah ekonomi Amerika Syarikat. Krisis yang melanda ekonomi Amerika Syarikat hari ini lebih tenat dari krisis di zaman ‘Depression’ atau zaman meleset tahun 1929 dahulu.

Semenjak September 2008 dahulu sistem ekonomi kapitalis telah diserang oleh satu demi satu permasaalahan. Bermula dengan bocornya dana cagaran – apabila si pehutang pembeli rumah tidak lagi sanggup membayar. Rumah-rumah dirampas oleh bank. Rumah-rumah yang dimiliki oleh bank ini bertimbun-timbun sehingga memufliskan bank. Ini dipanggil fenemona ‘sub-prime loans’.

Sesudah bank jatuh bankrap, diikuti pula dengan tertutupnya lembaga dana gergasi – Goldman Sachs - yang selama ini menjalar dan menelan keuntungan berbilion dollar. Kedudukan Wall Street menjadi goncang – bank pelaburan dan ‘hedge fund’ jatuh muflis. Tidak cukup dengan ini timbul pula masaalah bank tidak cukup kecairan ringgit dan sen untuk terus beroperasi dengan pelanggan.

Seorang Mamat telah dilanggar kereta , apabila dibawa ke hospital ambulan pula berlanggar, sesampai ke hospital – hospital terbakar. Cari tuan doktor tak jumpa-jumpa kerana semua tuan doktor telah membunuh diri. Metapora ini pun masih belum cukup penuh untuk menggambarkan betapa besarnya krisis ekonomi Amerika Syarikat hari ini.

Lihat dan baca - G8, G10, G 37, G200, G3000 dan pelbagai macam G telah dan sedang bersidang dalam usaha mencari jalan untuk menyelesaikan masaalah ekonomi kapitalis ini. Mesyuarat demi mesyuarat. Konferensi demi konferensi. Persidangan demi persidangan telah diadakan.

Pelbagai cadangan telah diajukan. Beberapa cadangan telah diterima dan dijalankan. Kongres Amerika telah meluluskan 700 bilion dollar untuk menutup hutang yang bocor. Banyak syarikat telah jatuh muflis. Duit sebanyak ini hanya menangguh kan bisul yang akhirnya akan meletus. Akhirnya masalah yang sama telah melimpah ruah ke Eropah.

Pada ketika ini Bank Dunia, IMF dan lembaga-lembaga pemikir puak kanan telah mencadangkan agar dasar - berjimat cermat – dijalankan untuk meredakan keadaan gawat ekonomi yang berpanjangn ini. Di Eropah, negara pertama yang jadikan ‘ tikus percubaan ‘ ialah Greece kerana negara ini dikatakan ekonominya hampir lungkup. Hutang negara telah bertimbun tambah dan Greece tidak ada keupayaan untuk membayar bukan ibu hutang tetapi bunga. Jika Greece tidak diselamatkan penyakit ini akan merebak ke Sepanyol dan Itali.

Apa sebenarnya dasar ‘berjimat cermat’ ini? Jimat cermat bermakna kaum buruh dan warga Greece yang bekerja tidak ada lagi ‘overtime’, tidak ada lagi cuti bergaji, bayaran insuran perubatan dinaikkan, duit pencen dipotong, sumbangan KWSP majikan dikurangkan, banyak sokongan ekonomi akan dilupuskan. Belanjawan negara akan dikurangkan – semaksimun yang boleh.

Bila ‘berjimat cermat’ ini diajukan jawapan rakyat Grece ialah turun ke jalan raya. Ini kerana rakyat biasa merasakan yang mereka telah dipaksa mengikat perut walhal bank-bank, syarikat besar dan gedung-gedung perniagaan tidak pula dinaikan cukai. Malah diketahui umum syarikat-syrikat ini ada pelbagai cara untuk mengelak dari membayar cukai. Malah syarikat-syarikat inilah yang sering melakukan pembocoran ekonomi.

Bila sampai ke babak ini maka kita bertemu kembali dengan al-kesah Idris Jala. Susuk yang bernama Idris Jalan ini sedia memahami bahawa bencana ekonomi yang sedang dihadapi oleh Greece akan sampai juga ke Malaysia. Hanya masa yang akan menentukan.

Seperti di Greece kita sedang melihat beberapa suara telah mencadangkan ajenda ‘berjimat cermat’ dan ‘mengikat perut’. Menteri Telor dan Gula Sabri Yacob telah beberapa kali menyatakan bahawa subsidi akan di tarik balik. Najib juga telah berkata bahawa berbilion ringgit duit yang digunakna untuk subsidi tidak baik untuk ekonomi negara. Suara suara sumbang menyokong langkah ‘berjimat cermat; ini telah mula kedengaran. Berkali-kali rakyat seluruh Malaysia dingatkan bahawa subsidi bahan bakar minyak akan menempangkan ekonomi negara.

Austerity atau dasar berjimat cermat adalah ajenda IMF dan Bank Dunia. Dasar ini diajukan - atau dipaksakan - kepada kerajaan. Kerajaan akan dipaksa untuk mengurangkan perbelanjaan negara. Mengikut sefer IMF dan Bank Dunia perbelanjaan kerajaan memberi subsisdi kepada rakyat ini tidak sehat untuk perkembangan ekonomi.

Dalam sistem ekonomi kapitalis tidak harus ada subsidi – subsidi merosakan pasaran. Mengikut IMF pasaran akan mencari harga dan memberi penilaian terhadap barang-barang – inilah apa yang dikenali sebagai perdagangan bebas atau ‘free trade’.

Idris Jala pasti telah melihat data, angka dan statistik ekonomi negara dengan lebih teperinci. Angka dan statistik negara yang sulit-sulit juga pasti telah berada diatas meja Idris Jala. Dia juga pasti telah menghitung hutang negara, bond yang telah sampai masa untuk dibayar, duit simpanan negara dan emas negara. Setelah meneliti semua ini maka adalah tidak silap apabila Idris Jala membawa berita bahawa Malaysia boleh jadi macam Greece dalam masa beberapa tahun lagi.

Sayangnya politikus akan menembak mati si pembawa berita – jika berita itu tidak sedap didengar. Atau jika berita itu menganggu keseronokan politikus yang sedang berpesta mengelentong orang ramai.

Tuesday, July 6, 2010

Huru-Hara Laksana Sistem Daftar Pengundi Automatik - SPR

Cadangan pelaksanaan sistem pendaftaran pengundi secara automatik akan menimbulkan huru-hara dan mengganggu kelancaran proses pilihan raya pada hari pengundian?

Setidak-tidaknya itulah pandanganPengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof semalam.

mStar yang memetik Abdul Aziz sebagai berkata, adalah mustahil kerana maklumat yang dibekalkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kepada suruhanjaya berkenaan tidak dikemaskini.

“Kita ada masalah untuk dapatkan maklumat terkini daripada JPN, kerana waris si mati tidak mengambi sijil kematian daripada JPN.

“Ini menyebabkan maklumat mengenai orang yang telah meninggal dunia tidak dapat dikemaskini dan dibersihkan daripada daftar pemilih yang dikeluarkan oleh SPR. Jadi kami tidak boleh dipersalahkan 100 peratus dalam hal ini,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan yang dikemukakan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menggesa SPR melaksanakan sistem daftar pemilih automatik bagi menggalakkan lebih ramai orang muda mendaftar sebagai pengundi pada PRU13.

Abdul Hadi berkata masalah tersebut dapat mengatasi masalah pengundi yang tidak seimbang mengikut pecahan kaum.

Mengulas lanjut Abdul Aziz berkata, SPR turut menghadapi kekangan untuk melaksakan sistem berkenaan kerana pihaknya menggunakan kad pengenalan sebagai dokumen rasmi untuk menentukan kawasan mana seorang pengundi itu layak mengundi.

“Jika pengundi tidak mengemaskini alamat tempat tinggal semasa mereka, bagaimana SPR hendak tentukan daerah mengundi yang sesuai.

“Apabila mereka tidak dapat mengundi kerana pusat mengundi jauh daripada tempat tinggal mereka ini sudah pasti akan menyalahkan SPR, sedangkan setiap kali kita bertukar alamat mereka perlu memaklumkan kepada JPN mengenainya,” katanya.

Oleh itu, beliau menyeru agar pengundi baru mendaftar awal dan mengemaskini alamat semasa mereka bagi mengelakkan keadaan huru-hara pada hari pengundian.

“Pihak kami sentiasa memberi peringatan melalui media elektronik, cetak mahupun secara atas talian untuk memaklumkan kepada orang ramai mengenai perlunya mereka mengemaskini alamat mereka.

"Namun masalah ini tetap berlaku, orang ramai masih lagi dengan sikap endah-tak endah dengan perkara ini. Jadi untuk mengatasi masalah ini SPR turut mendapatkan maklumat terkini pengundi daripada pihak polis, hospital dan pihak berkuasa tempatan,” ujarnya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai tarikh PRU13, Abdul Aziz berkata masih terlalu awal untuk menentukan tarikh yang sesuai untuk melaksanannya.

“Kita ada lebih kurang tiga tahun lagi sebelum Parlimen boleh dibubarkan. Masih terlalu awal untuk membuat ramalan mengenainya.

“SPR juga akan membuat pengumuman rasmi mengenai urusan persempadanan semula kawasan pilihan raya bermula pada 21 Mac tahun hadapan,” katanya.

Sebelum ini, timbul desas-desus yang menyatakan bahawa pilihan raya umum akan datang akan diadakan lebih awal daripada tahun 2013.

KAJI DULU SEBELUM MANSUH UPSR, PMR

SEBAHAGIAN murid yang menerima sagu hati pada majlis kecemerlangan UPSR Terengganu 2009 di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, 7 Januari lalu.

Oleh Dr Aminudin Mansor

Pemansuhan sesuatu peperiksaan besar yang melibatkan masa depan ramai bilangan murid dan pelajar wajar dikaji dahulu kebaikan dan keburukannya. Ia juga melibatkan dasar dan perubahan dalam sistem pendidikan sesebuah negara. Kajian terperinci oleh pakar-pakar dalam bidang pendidikan, pandangan ibu bapa dan juga pelajar hendaklah diambil kira.

Cadangan Kementerian Pelajaran supaya peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) mungkin dimansuhkan kerana sistem pembelajaran kini dilihat terlalu berorientasikan peperiksaan berbanding memberi pendidikan secara holistik kepada pelajar.

Sistem peperiksaan ini yang diwujudkan kira-kira 25 tahun lalu tentunya mempunyai beberapa kelemahan yang dilihat berorientasikan peperiksaan yang memberikan tekanan kepada dan pelajar, ibu bapa dan juga guru untuk mendapat keputusan cemerlang. Peperiksaan tentunya bertujuan menguji hasil pengajaran dan pembelajaran (P&P) kepada pelajar.

Rasionalnya kepada pelajar jika dimansuhkan, mereka tidak dibebankan dengan sistem pembelajaran berorientasikan peperiksaan. Peperiksaan yang dilakukan sebenarnya tidak banyak membantu dalam kehidupan masa depan pelajar, terutama bidang pekerjaan yang mereka ceburi. Tetapi jika tiada peperiksaan, pelajar tidak akan menumpukan perhatian kepada P&P di sekolah. Jika dimansuhkan bagaimana kita hendak mengetahui kebolehan dan pencapaian pelajar dalam setiap subjek dipelajari?

Bagi guru mereka akan dapat meningkatkan profesionalisme keguruan dan memanfaatkan P&P sepenuhnya tanpa terikat dengan peperiksaan. Guru juga dapat mendidik dan mengajar pelajar meliputi akal, akhlak dan budi pekerti dengan lebih berkesan lagi tanpa menumpukan kepada peperiksaan. Tetapi jika tiada peperiksaan UPSR dan PMR, mampukah penilaian di peringkat sekolah dipertahankan kewibawaannya?

Sementara bagi ibu bapa mereka tidak dibebankan dan menghadap tekanan apabila anak-anak tidak berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan UPSR dan PMR. Bagaimanapun, peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan dikekalkan sebagai satu-satunya peperiksaan awam di sekolah. Jika tiada UPSR dan PMR tiada lagi kesinambungan peperiksaan di sekolah yang dapat menguji tahap kebolehan pelajar.

Penulis berpandangan, peperiksaan UPSR dan PMR wajar diadakan tetapi formatnya perlu diubah lebih kepada matlamat kehidupan dan kemahiran, tidak terlalu berorientasikan peperiksaan. Adakan kerja kursus, modul, folio dan bagi beberapa pelajaran tertentu yang menjurus kepada cita-cita dan bidang pekerjaan pelajar pada masa depan mengikut minat dan kebolehan mereka. Kerja kursus ini mestilah dilakukan di sekolah melalui pemantauan guru dan tidak perlu dibantu ibu bapa yang kemudiannya dinilai dengan saksama.

Apa yang paling penting pelajar dapat dan benar-benar menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) bagi mengelakkan fenomena buta ilmu dalam kalangan pelajar pada masa depan. Kajian terperinci dan mendalam tentang kebaikan dan keburukannya, jika peperiksaan ini dimansuhkan wajar dilakukan sebelum dilaksanakan. Persediaan dari segi mental dan fizikal kepada pelajar mestilah dipersiapkan sebelum sesuatu perubahan dilakukan.

Pandangan dan reaksi orang ramai, terutamanya ibu bapa juga wajar diambil kira. Perubahan ini mestilah dapat memberikan kebaikan dan manfaat masa depan pelajar. Perubahan yang dilakukan mestilah menjurus kepada acuan kita sendiri dan tidak terlalu mengikut pendidikan di Barat. Tujuan utama pendidikan adalah untuk mendidik akal budi, memberikan ilmu dan kemahiran secara kreatif dan kritis kepada pelajar bagi kesejahteraan hidup mereka pada masa depan.

Matlamat pendidikan haruslah diutamakan, iaitu melahirkan bangsa Malaysia yang taat setia dan bersatu padu, berilmu beriman, berakhlak mulia, berketerampilan dan sejahtera. Selain itu, menyediakan sumber tenaga manusia untuk keperluan dan pembangunan negara serta menyediakan peluang-peluang yang sama bagi semua warga negara Malaysia.

* Penulis ialah bekas pendidik. PhD Persuratan Melayu, UKM, Bangi.