Tuesday, July 26, 2016

Akta 355 PAS 'Haram', Tidak Harus Dibentang Di Dewan Rakyat


"Adalah lebih baik untuk kerajaan terus membatalkan RUU kerana ia tidak sah dan jika diteruskan MPM tidak teragak-agak untuk bawanya ke mahkamah."
 - Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman

Rang undang-undang (RUU) persendirian yang akan dibawa anggota Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang adalah tidak sah serta tidak berperlembagaan.

Justeru, ia tidak menjadi keperluan dan tindakan presiden PAS itu adalah satu pembaziran masa dan tenaga.

Bahkan, menurut Majlis Perundingan Melayu (MPM) , Parlimen tidak seharusnya membenarkan ia dibentangkan sama sekali.

Jika demikian, kenapa Perdana Menteri dan timbalannya mengarahkan Hadi membentangkan RUU itu secara tergesa-gesa sebelum ini?

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, yang kini dipertanggungjawabkan dengan soal undang-undang berkata pada 4 Jun lalu di Sungai Besar,  beliau menerima arahan itu selepas melaporkan maklumat yang disampaikan oleh Speaker Dewan Rakyat, bahawa kerajaan tidak membantah usul itu dibahaskan.

Apakah Datuk Seri Mohd Najib Razak dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak dimaklumkan bahawa RUU itu ‘haram’?
 
Azalina...Jamil Khir yang bertanggungjawab
Azalina menjelaskan,  “Dalam tugas saya sebagai menteri menjaga urusan Parlimen, saya bertanggungjawab kepada pemimpin majoriti, iaitu Perdana Menteri dan ketua whip, iaitu Timbalan Perdana Menteri.


“Justeru, arahan untuk membawa ke depan (usul RUU Persendirian) dari nombor 15 ke nombor satu sudah pasti daripada pemimpin majoriti dan ketua whip kerana itulah prosedur yang diperlukan di Parlimen,” katanya.

Menurutnya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom  adalah Menteri  yang bertanggungjawab terhadap kandungan usul dan memberi kebenaran untuk usul itu dibahaskan.

Apakah Jamil Khir tidak memaklumkan kedudukan rang undang-undang ini sebagai tidak sah serta tidak berperlembagaan?

Hadi pada satu majlis di Pusit Islam 17 Julai lalu membidas sebilangan orang Islam yang menolak undang-undang persendirian yang dibawanya sebagai ‘sangat pelik’.

Hadi...tanggungjawab semua orang Islam
“Mahkamah syariah hanya berkait dengan orang Islam sahaja, tak ada kena mengena dengan orang bukan Islam. Kenapa orang bukan Islam menentang, ini saya rasa pelik. Mengapa ada (orang) Islam menyokong bukan Islam, lagi pelik,” katanya.

Hadi  berpendapat, sudah menjadi tanggungjawab setiap orang Islam di negara ini untuk menyokong RUU itu dalam usaha memperkasakan bidang kuasa mahkamah syariah setanding mahkamah sivil.

“Tanggungjawab yang sangat penting pada hari ini adalah untuk meminda (Akta) 355 (mengenai) bidang kuasa mahkamah syariah. Kalau dia (orang Islam) tak nak naikkan taraf mahkamah dia, apa guna dia jadi orang Islam,” tegasnya.

Berbeza dengan kesemua pandangan di atas, Penasihat Majlis Perundingan Melayu (MPM) Tan Sri Abdul Aziz Rahman sebaliknya menegaskan semalam, ramai individu dan badan tertentu telah memberikan komen mengenainya..

Ini termasuklah mantan Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid dan Majlis Peguam tetapi mereka hanya menyentuh isu yang berlainan.
  
Terdapat tiga undang-undang melibatkan hudud seperti Rang Undang-undang Persedirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah, Akta Mahkamah Syariah (bidangkuasa jenayah) 1965 (Akta 355) dan Enakmen Jenayah Syariah (II) 1993 (Kelantan).

Bercakap pada sidang media di Kuala Lumpur semalam, Abdul Aziz berkata ketiga-tiga undang-undang ini adalah tidak sah kerana tidak konsisten.

Ia juga bercanggah dengan beberapa bahagian dalam Perlembagaan Persekutuan dan Parlimen tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.

Kata Abdul Aziz, dalam Fasal 74 Perlembagaan Persekutuan, jadual 9 senarai 1 Parlimen tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang berkaitan Islam dan Mahkamah Syariah di bawah jadual 9 serta 8, senarai 4(a) dan (b).

Malah, beliau berhujah seterusnya bahawa Enakmen Jenayah Syariah (II) bercanggah dengan Fasal 7 dan 8 Perlembagaan Persekutuan serta jadual 9 senari 1 I (4) 9h) Perlembagaan Persekutuan dan Kanun Keseksaan.

Boleh dihujahkan bahawa Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah) 1965 (Akta 355) diluluskan oleh Parlimen mengikut Fasal 76A(1) Perlembagaan Persekutuan tidak terpakai di dalam kes ini.

“Ia memandangkan parlimen tidak mempunyai kuasa dalam hal berkaitan Islam sekali gus tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang berkaitan Mahkamah Syariah,” katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata undang-undang yang cuba dilaksanakan di Kelantan itu juga jelas bertentangan dengan perlembagaan.
  
DUN Kelantan...pernah bincang Hudud
“Undang-undang hudud yang diluluskan Kelantan termasuk kesalahan di dalam Perlembagaan Persekutuan seperti membunuh, merogol, mencuri sebab itu saya katakan ia tidak sah dan bertentangan dengan perlembagaan.

“Pesalah tidak boleh dihukum lebih dari sekali dan hanya boleh dihukum sekali sahaja, lebih dari itu tidak sah dan negeri hanya boleh buat undang-undang bagi kesalahan yang tiada dalam perlembagaan,” kata Abdul Aziz.

Sehubungan itu, Abdul Aziz mempersoalkan apakah Hadi telah merujuk majlis agama negeri bagi memperjelaskan perkara tersebut.

“Apa saja pindaan yang hendak dibuat perlu melalui majlis agama negeri tetapi apa yang saya difahamkan Majlis Agama sendiri tak maklum akan perkara itu,’ kata Aziz.

Abdul Aziz berkata sekiranya pihak yang terlibat masih lagi berminat untuk meneruskannya mereka haris mengkaji perlembagaan persekutuan dan mencadangkan pindaan tersebut sebelum diluluskan.

Bagaimanapun Abdul Aziz berkata adalah lebih baik untuk kerajaan terus membatalkan RUU tersebut. Malah, Abdul Aziz menegaskan  beliau tidak teragak-agak untuk membawa perkara berkenaan ke mahkamah untuk tindakan lanjut.

Beliau mahu RUU itu dibatalkan saja sebab ia tidak sah dan majlis itu tidak teragak-agak untuk bawanya ke mahkamah.

RUU Hadi mengenai Akta 355 itu dibentangkan di Parlimen pada 26 Mei, hari terakhir persidangan, setelah dilangkau dalam dua persidangan sebelumnya.

RUU itu, jika diluluskan di Parlimen, dilihat akan membolehkan Kelantan melaksanakan hudud sebahagiannya apabila mahkamah syariah kemudiannya akan dibenarkan untuk mengenakan semua hukuman hudud kecuali hukuman mati.


Pada masa ini, kuasa-kuasa mahkamah syariah terhad kepada menjatuhkan hukuman penjara maksimum tiga tahun, denda RM5,000 dan enam sebatan.

Sunday, July 24, 2016

Baju Merah Turun Gelanggang Untuk Menentang ‘Dajjal’ - Dr Mahathir Dajjal?


Himpunan Baju Merah akan menentang Baju Kuning di Kuala Lumpur?

Ia terpaksa melakukan demi menentang Dajjal sambil menunjukkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Ketua UMNO Sungai Besar Datuk Jamal Md Yunos semalam menyamakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah serta  bekas pengerusi BERSIH Datuk Ambiga Sreenevasan sebagai DAJJAL.

Faham sendirilah apa maknanya ‘Dajjal’.

Ia satu lagi gelaran sebagai hadiah kepada Dr Mahathir selepas Mahazalim dan Maha Firaun pada akhir 1990-an.

Jika pada ketika itu kumpulan Reformasi yang memberikan gelaran untuknya, kini anugerah gelaran Dajjal dianugerahkan oleh penyokong UMNO.

Tidak perlu diulas sama ada ia wajar atau tidak kerana perkataan atau gelaran itu sudahpun dibuat oleh Jamal.

Jamal....Dr M, Maria dan Ambiga adalah  Dajjal
Dia bukan sembarangan. Jamal ialah ketua UMNO Bahagian dan pergerakannya mendapat restu pemimpin UMNO Selangor dan UMNO Pusat.

Dr Mahathir dan penyokongnya tidak perlu bersedih atau menggaru kepala dengan anugerah gelaran itu kerana suasana politik kini sudah dipengaruhi oleh sentimen mempertahankan Perdana Menteri dalam keadaan dan cara mana sekali pun.

Tidak perlu tanya kenapa tetapi ‘kesetiaan’ yang ditunjukkan penyokong UMNO membuktikan bahawa Dr Mahathir kini bukan sahaja ditolak oleh rakyat tetapi parti yang pernah dipimpinnya sendiri.

Mungkin itulah nasib bekas Presiden UMNO seperti yang berlaku kepada Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn sebelum ini.

Demi berdepan dengan Dajjal, Himpunan Baju Merah bersedia untuk turun ke gelanggang bagi menentang kemungkinan perhimpunan Bersih 5 yang diuar-uarkan akan diadakan tidak lama lagi.

Semalam pun  sekumpulan kecil penyokong berbaju merah berhimpun di depan pasaraya Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman selama kira-kira sejam sebelum bersurai.

Kumpulan yang mendakwa ‘mempertahankan demokrasi berperlembagaan itu’ diketuai oleh Jamal sendiri yang sebelum ini mengepalai Perhimpunan Baju Merah pada September lalu.

Jamal mendakwa perhimpunan semalam bagi membantah tindakan bekas Perdana Menteri serta Ambiga Sreenevasan yang menyarankan supaya rakyat negara ini mengadakan perhimpunan jalanan bagi mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan.

Berbeza dengan perhimpunan sebelum ini, ia lebih tenang dan pesertanya bersama orang ramai yang biasanya memenuhi kawasan berkenaan pada setiap hujung minggu. Tiada  anggota polis kelihatan di sekitar kawasan pasaraya itu ketika perhimpunan itu berlangsung.

Jamal mencabar tokoh terbabit mengadakan perhimpunan berkenaan untuk membuktikan mereka memiliki sokongan orang ramai. Bagi Jamal, keputusan pilihan raya kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar (pada bulan lalu) membuktikan Dr Mahathir tidak memiliki sokongan seperti yang didakwanya.

Bagi Jamal,  orang ramai perlu bangkit menyokong Datuk Seri Najib Razak seperti rakyat Turki mempertahankan Presiden Recep Tayyip Erdogan yang berdepan cubaan rampasan kuasa minggu lalu.

“Kita akan menjadikan jalanan merah lagi dengan Himpunan Baju Merah 2.0 jika mereka meneruskan himpunan anti Najib,” katanya pada sidang media di Dataran Sogo semalam.

Jamal juga berkata pendekatan yang diambil itu tidak menunjukkan negara demokrasi.


“Jika mereka hendak singkirkan perdana menteri, buat menerusi PRU yang tidak lama lagi. Tidak faham bagaimana seseorang yang menjadi perdana menteri selama lebih 20 tahun kini menjadi orang yang mengetuai pemberontakan terhadap demokrasi perlembagaan kita.”

Tiga hari lalu, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa demonstrasi awam untuk menyingkirkan Najib selepas jabatan kehakiman AS memfailkan tuntutan saman untuk menyita aset yang dikatakan dibeli menggunakan duit daripada 1MDB.

Bekas pengerusi BERSIH  Ambiga  juga ada menyebut mengenai rancangan untuk mengadakan perhimpunan aman atas alasan sama.

Kelmarin, Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah menyatakan kumpulan itu sedang mempertimbangkan cadangan mengadakan perhimpunan massa
ekoran saman sivil dikemukakan pihak berkuasa AS ke atas 1MDB.
Maria...pertimbang cadangan

Kata pemimpin badan reformasi pilihan raya itu sekarang adalah masa yang tepat untuk satu lagi perhimpunan, namun mengakui ia masih di peringkat perbincangan.

Setakat ini sudah empat siri himpunan BERSIH diadakan di Kuala Lumpur.

Jamal turut menegaskan, dia percaya Dr Mahathir adalah orang yang ada di belakang saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat ke atas 1Malaysia Development Bergad (1MDB).

Jamal sudah menegaskan, jika BERSIH 5 diadakan, Himpunan Baju Merah versi kedua kan turun gelanggang untuk berdepan dengan mereka. Beliau berjanji, jika ia berlaku dianggarkan lebih 300,000 orang akan turun dan "memerahkan Kuala Lumpur" pada hari berkenaan.


Perhimpunan itu akan diadakan pada tarikh dan waktu sama dengan program BERSIH.

Saturday, July 23, 2016

Reaksi Tindakan DOJ - Sewajarnya Tuan Ibrahim, Idris, Mintalah Kebenaran Hadi Dahulu...


Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man tidak payah berteori atau bertanya “BagaimanaAmerika Syarikat Jumpa Bukti Tapi Malaysia Tak?”
  
Merujuk kepada pengumuman Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat  bahawa pendakwa raya negara itu  percaya lebih daripada AS$ 3.5 bilion telah disalahgunakan daripada 1MDB dan kira-kira AS$ 1 bilion telah 'dicuci' melalui sistem perbankan negara kelmarin, walaupun sebagai Timbalan Presiden Pas, beliau tidak layak menggunakan nama PAS dalam mengulas isu ini.

Dah minta izin Presiden PAS dan Ulamak PAS ker buat kenyataan mengenai kes ini?

DOJ juga kelmarin  mengumumkan akan  merampas 17 aset termasuk hartanah, jet dan karya seni berharga.

Saman sivil itu dilihat berpotensi menyentuh isu hubungan antara kedua negara yang telah berkembang rapat dalam  pentadbiran Presiden Barack Obama.

Tuan Ibrahim...pahlawan PAS?
Kelulusan Presiden PAS mesti didapati dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan.

Begitu juga dengan Idris Ahmad, Naib Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang. Tidak payahlah membuat usul dalam isu ini secara spontan. Ingat, minta izin Presiden dulu.

Memang mereka berdua kelihaan seperti bersama-sama dengan rakyat Malaysia yang prihatin berharap ada penyelesaian tuntas kepada perkara yang disebut oleh DOJ itu.

Tetapi kalau belum dapat izin, jangan memandai-mandai buat kenyataan sendiri. Dapatkan restu atau  kebenaran daripiada ‘Penasihat kerajaan Barisan Nasional’ itu terlebih dahulu.

Sebagai pemimpin parti Islam, mereka berdua kena berhati-hati. Jangan buat tuduhan melulu dan jangan aibkan orang.

Siasat empat saksi (penjuru) yang boleh dipercayai dan selepas bersetuju melalui perundingan baru ulas.

Tuan Ibrahim dan Idris kena ingat, PAS dan seluruh pemimpin dan jemaahnya adalah penasihat ‘Kerajaan Barisan Nasional’. Ingat tu Penasihat, bukan Punahsihat atau Penat Sihat...

Hadi...Penasihat kerajaan Barisan Nasional
Jika tidak dapat consent Presidennya, Tuan Ibrahim sendiri  silap-silap kan macam isu ‘’gencatan senjata” hari tu. Akhirnya dia kena belasah dek kawan-kawan dalam PAS sendiri. Dari gencatan senjata jadi ‘senjata makan tuan’.

Apapun,  kita ucapkan terima kasih sebab Tuan Ibrahim memahami bahawa  rakyat sedang melihat sama ada institusi-institusi berkenaan bekerja untuk rakyat atau individu tertentu sahaja.

Dengan kata lain, Tuan Ibrahim bersetuju bahawa pendapat umum di negara ini kini mahu tahu apa kedududan sebenar isu 1MDB ini.

Dia turut menasihatkan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy supaya memikirkan apa langkah terbaik seterusnya buat dirinya dan negara.

Ini sesuai dengan kedudukan PAS sebagai ‘parti penasihat’.

Semalam,  Tuan Ibrahim tanya sama ada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga adalah menteri kewangan wajar berdiam diri berikutan pengumuman Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat untuk mengambil tindakan undang-undang dengan merampas aset yang dikaitkan dengan dana pelaburan negara itu?

Dia juga tertanya-tanya bagaimana DOJ berjaya menemui bukti salah laku oleh firma yang berpangkalan di Malaysia manakala pihak berkuasa negara ini gagal berbuat demikian.

Beliau berkata  PAS (guna juga nama parti tu...) menggesa agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang terdiri daripada ulama yang pakar dalam ekonomi dan kewangan Islam ditubuhkan untuk menyiasat skandal 1MDB.

Idris...turut guna nama PAS
Berapa ramai ulama dalam PAS yang pakar? Apapun, katanya, siasatan perlu membabitkan dua perkara:

1.      Pengurusan pelaburan dan kewangan yang silap, iaitu strategi dan jangkaan pelaburan yang salah.“Perkara ini dalam ekonomi konvensional adalah biasa, tetapi dalam ekonomi Islam ada hukum berbeza”, dan

2.      Aspek penyelewengan seperti tuduhan DOJ yang gagal disiasat pihak berkuasa negara, melibatkan pengubahan dana haram iaitu perpindahan wang tanpa saluran yang betul dan pemilikan harta atas nama peribadi.”

Risiko besar tu Datuk. Buat kenyataan pada ketika belum dapat kelulusan Datuk Seri Abdul Hadi Awang?

Nanti dia minta saksi susah. Kalau ada pun tiga empat saksi, mereka tu bukan Islam. Tak boleh percaya kepada ‘kafir harbi’. Mereka semua penipu...

Apapun dalam isu ini, walaupun Tuan Ibrahim berdepan risiko, dia nampaknya betul-betul pahlawan dalam PAS, sesuai dengan pakaiannya baru-baru ini.

Tuan Ibrahim tanya:

1.      “Apakah status siasatan Ketua Polis Negara terhadap 1MDB?
2.      Apakah Ketua Polis Negara akan bekerjasama dengan DOJ untuk mendapatkan bukti-bukti yang gagal diperolehi selama ini dalam penyiasatannya ke atas 1MDB?
3.      ”Bagaimana pula dengan Ketua Audit Negara? Apakah beliau kini dapat melengkapkan laporan auditnya yang kini di bawah OSA dengan maklumat-maklumat baru ini?
4.      “Apa pula tindakan Peguam Negara dan SPRM selepas ini? Apakah masih tetap bahawa dengan pendirian yang ada?
5.      “Bagaimana pula dengan Gabenor Bank Negara Datuk Muhammad Ibrahim yang telah menutup kes terhadap 1MDB? Apakah dengan maklumat terkini, kes 1MDB akan dibuka semula?”

Idris pula juga mengguakan nama PAS menyatakan memandang serius dakwaan tentang adanya penyelewengan melibatkan 1MDB  seperti DOJ  melibatkan ‘money laundering’ iaitu pengubahan dan pemindahan wang tanpa saluran yang betul dan pemilikan harta atas nama peribadi.

Idris kata pendirian PAS (pendirian beliau???)  sejak daripada awal kes 1MDB ini ialah siasatan telus dan menyeluruh perlu dijalankan dan disegerakan. Ini bagi memastikan jika benar ada penyelewengan dan salahguna kuasa, pihak yang bertanggungjawab dan terlibat perlu dihadapkan ke muka pengadilan.

“Jika ia melibatkan pengurusan pelaburan dan kewangan yang silap dan jangkaan pelaburan yang salah, maka penambahbaikan dan kebertanggungjawaban pihak yang berkenaan perlu diberikan perhatian,” katanya dalam satu kenyataan.

Jadi, selaras dengan prinsip Islam dan terma universal iaitu ‘innocent until proven guilty’ (tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah), maka PAS menuntut penubuhan Suruhanjaya DiRaja bagi menyiasat kes yang semakin mendapat perhatian umum dalam dan luar negara ini. Inilah pendirian dan pegangan PAS dalam semua kes yang berlaku tanpa ada dwi-standard.

Pendapat Idris sama dengan Tuan Ibrahim iaitu Suruhanjaya DiRaja hendaklah dianggotai oleh pakar yang berautoriti dan berkecuali termasuk ‘ulamak yang pakar dalam bidang perundangan, ekonomi dan kewangan Islam.

PAS  (Idris?) juga menolak campur tangan asing dalam urusan negara ini. Kita berharap Suruhanjaya ini akan dapat menyelesaikan kes ini yang sudah bertahun-tahun menjadi polemik.

Soalnya, apakah pemimpin PAS lain, khususunya Hadi bersedia menerima apa yang dikatakan oleh Tuan Ibrahim dan Idris ini?

Tidakkah mereka bersikap berdiam itu mempunyai keraguan terhadap siasatan antarabangsa?

Apakah mereka juga bersependapat dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak yang meminta orang ramai supaya tidak terus membuat kesimpulan berhubung dakwaan yang dibuat ke atas 1MDB di Amerika Syarikat.

Salleh berkata, dana pelaburan negara itu menjadi mangsa serangan bermotifkan politik yang tidak pernah berlaku sebelum ini yang bertujuan menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang dipilih secara demokrasi.

Menurutnya, banyak tuduhan seperti kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya RM42 bilion lesap, yang kemudian dibuktikan tidak benar.

"Dalam hal ini, pengesahan itu dibuat oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang dwipartisan. Ini bermakna mana-mana dakwaan berhubung 1MDB perlu ditangani dengan berhati-hati mengikut proses undang-undang dan mematuhi prinsip tidak bersalah sehingga terbukti bersalah,” katanya.

Salleh masih mengulangi  siasatan menyeluruh pihak berkuasa negara ini serta Menteri Luar Arab Saudi Adel Al-Jubeir juga mengesahkan Najib tidak bersalah dan wang di akuan banknya adalah sumbangan dari keluarga diraja Saudi.

Salleh dah melalut entah ke mana dan tidak menjawab isu dibangkitkan oleh DOJ itu dan benar-benar seperti ‘burung keruak’ dan ‘burung kakak tua’.

Namun, Salleh tidak ulas mengenai seorang individu yang tidak dinamakan, tetapi digelar sebagai 'Malaysian Official 1' telah menerima ratusan juta dolar dana milik 1MDB.

Antara transaksi itu termasuk deposit AS$681 juta dari 1MDB yang dimasukkan dalam akaun rasmi orang itu pada tahun 2013.

Bukan PAS sahaja, malah seluruh rakyat Malaysia komited dalam membina Malaysia Sejahtera yang menjadikan ‘good governance’ (pemerintahan yang telus dan cemerlang) sebagai asas utama dan teras negara.

Namun dengan kes yang disebutkan oleh DOJ ini, apakah ia akan dapat dicapai?