Showing posts with label DOJ. Show all posts
Showing posts with label DOJ. Show all posts

Saturday, June 17, 2017

Rampas Aset Berkaitan 1MDB - Pembangkang Sokong Tindakan DoJ


Pembangkang menyokong dan menyifatkan tindakan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) memfailkan permohonan untuk merampas aset dikaitkan dengan penyalahgunaan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai wajar.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Wan Azizah Ismail menuntut sidang tergempar parlimen diadakan segera. Ini susulan saman sivil pelucuthakan terbaru DoJ Amerika Syarikat (AS) bagi merampas aset-aset berkaitan 1MDB.

Beliau mengingatkan bahawa Malaysia pernah mengadakan sidang tergempar pada Julai 2014 bagi membincangkan insiden pesawat MH17 yang ditembak di Ukraine serta sidang khas mengenai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) pada Januari 2016.

Beliau menggesa perdana menteri mengemukakan usul itu kerana hanay Datuk Seri Najib Razak boleh berbuat demikian, berdasarkan peraturan dewan.

“Tambah memeranjatkan apabila timbul dakwaan terbaru bahawa sebanyak RM17 bilion telah diseleweng oleh 'pegawai tertinggi negara' untuk membiayai kehidupan serba mewah,” katanya.


Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata, perkara itu berlaku di Amerika Syarikat dan tindakan DoJ selaras perlembagaan negara itu demi keadilan dan melindungi kepentingan kepentingan umum.

“Ia di bawah bidang kuasa Amerika Syarikat, maka untuk kepentingan umum, sepatutnya perkara itu dilakukan bila Malaysia mengambil sikap buat tak tahu,” katanya ketika dihubungi FMT semalam.

DoJ dalam saman sivil terbaru lebih 200 muka surat yang difailkan di sebuah mahkamah di California pada Khamis, mahu menyita pelbagai aset dan hartanah mewah, dalam usaha mendapatkan kembali AS$540 juta wang yang dikaitkan dengan dana dicuri daripada 1MDB.

Ia termasuk sebuah lukisan mewah dan hasil hak cipta 2 filem komedi Hollywood, “Dumb and Dumber To” dan “Daddy’s Home” yang diterbitkan sebuah syarikat diketuai anak tiri perdana menteri, Riza Aziz.

DoJ dalam siasatannya turut mendapati kecurian lebih AS$4.5 bilion (RM19 bilion) berlaku dalam 1MDB melibatkan pegawai atasan dan sekutu mereka.

Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dalam reaksinya berkata, pejabatnya “belum diberikan bukti” mengenai dakwaan kecurian dana daripada 1MDB dan mengulangi kenyataannya tahun lalu yang mendapati tiada jenayah dilakukan dalam siasatan beberapa agensi tempatan terhadap syarikat milik Kementerian Kewangan itu.

“Mana boleh peguam negara membiarkan perkara itu berlaku depan mata mereka, tapi mereka tak ambil apa-apa tindakan. Apa istimewa sangat 1MDB itu?” soal Salahuddin.


Ketua Penerangan PPBM, Datuk Kamaruddin Md Noor pula menyifatkan peguam negara sebagai “memalukan”.

“Jabatan Peguam Negara apabila diminta bekerjasama tak nak. DoJ minta pun dia tak nak bagi kerjasama. Switzerland minta (kerjasama) pun dia tak bagi kerjasama.

“Kemudian dia ‘menyalak’ kata tak ada bukti. Orang nak bagi bukti dia tak nak terima. Tak tahulah apa ‘class’ peguam negara kita ini. Bikin malu sahaja,” kata Kamaruddin.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen menyifatkan tindakan DoJ menunjukkan AS tidak boleh dipengaruhi dan berharap mereka akan terus bertindak secara profesional dalam perkara itu walaupun Malaysia langsung tidak mempedulikan isu 1MDB.

Beliau yang mengetuai Biro Pelaburan PKR berkata, tindakan DoJ itu turut memberikan implikasi mendalam dari segi ekonomi dan pelaburan asing di negara ini.

“Ramai pelabur apabila dengar nama Malaysia, mereka ingat 1MDB, maka mereka tidak mahu melabur lagi di Malaysia,” katanya.

Sumber - Malaysiakini & FMT


Friday, July 29, 2016

Obama, DOJ, FBI Percaya ‘DR M & THE GANG’ Gara-Gara ‘TEORI LEMBU’...


(Menjawab Tulisan Raja Petra Kamarudin Bertajuk ABU KASSIM CAUGHT IN HIS OWN WEB OF DECEIT)

“The first thing that came to mind is that the US was acting based on the complaint lodged by Tun Dr Mahathir Mohamad’s hirelings, Khairuddin Abu Hassan and Matthias Chang. After all they did travel to the US to lodge a complaint about 1MDB losing RM42 billion. That was no secret.

“But then would the US not have to first check with the Malaysian authorities whether the complaint is legitimate before taking action? There may be a complaint lodged by Khairuddin and Matthias but they still need to check the veracity of this complaint.”

“...a police report was lodged against ex-MACC Chief Abu Kassim Mohamed, ex-Bank Negara Governor Zeti Akhtar Aziz, and ex-Attorney General Abdul Gani Patail. These are the three people said to have been secretly working with the US authorities to try to bring down the Malaysian Prime Minister.”

Itu kata Raja Petra melalui tulisannya bertajuk di atas.

Tidak pula diketahui rupa-rupanya pentadbiran  Presiden Barack Obama dan juga Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ), termasuk Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat  ini bodoh dan mudah dutarik hudingnya ‘macam lembu’.

Boleh ditarikke mana-mana arah yang 'tuannya' suka.Siapa tuannya? Tun Dr Mahathir Mohamadlah, siapa lagi?

Itulah keadaannya terjadi dengan Amerika Syarikat sekarang. Mungkinkah apabila presiden negara itu berganti nanti, akan terus ada orang Malaysia yang terus berpengaruh dan mampu ‘menarik hidung’ pemimpin Amerika Syarikat itu.


Ada pendapat mengatakan tindakan yang diambil oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) yang mengumumkan langkahnya mahu menyita atau merampas harta ‘tiga serangkai’ Rabu lalu, kerana Amerika Syarikat terpengaruh dengan usaha kumpulan yang mahu menjatuhkan Perdana Menteri.

Secara khususnya ia kumpulan lima atau enam orang diketuai oleh 'orang tua yang baling pinggan pun sudah tidak pecah'.

Maknanya Washington tertarik dengan rancangan menjatuhkan Datuk Seri Mohd Najib Razak daripada mengekalkan hubungan intim mereka untuk berpengaruh di Asia Tenggara dan negara Islam?

Untuk atau kerana apa?

Apakah kerana Najib ‘penglima negara Islam’ yang menentang Yahudi?

Apakah dengan duit RM2.6 bilion yang katanya tidak habis dipakai dan dipulangkan itu  mampu melawan Yahudi, seperti yang disebut oleh Datuk Aziz Kaprawi, orang kuat Najib dalam UMNO?

Apakah Washington bimbang dengan kekuatan Najib yang boleh menghancurkan Yahudi, khususnya di Amerika Syarikat di mana ‘lobi Yahudi’ menjadi penentu dasar dalam negara dan dasar luarnya?

Sedangkan hakikatnya Malaysia kini sedang bersama-sama dengan negara Islam lain, termasuk Arab Saudi sedang berusaha memerangi Tentera Negara Islam (ISIS). Ini dibuktikan dengan kehadiran tentera Malaysia pada latihan bersama di Asia Barat baru-baru ini.
  

DOJ dikatakan bersengkongkol dengan Dr Mahathir,  Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan and Datuk Matthias Chang yang menyebabkan jabatan itu membuat pendirian untuk menyita harta, termasuk milik anak tiri Najib, Reza Aziz.

Malah, FBI pun ikut jadi lembu – bodoh - percaya dengan Dr Mahathir bahawa Najib mesti dijatuhkan.

Cara terbaik ialah dedahkan penyelewengan dan pengubahan wang secara haram.

Selama 20 bulan Dr Mahathir bercakap mengenai 1MDB, akhirnya Obama, DOJ, FBI dan yang sewaktu dengannya,  akhirnya minggu lalu baharu mereka percaya cakap Dr Mahathir.

Bagus benar ‘teori lembu’ ini. Mudah difahami dan dipercayai...

Dr Mahathir berjaya mempengaruhi DOJ kerana adanya tiga serangkai yang membantunya iaitu bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz,  Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kasim Mohamed yang akan bersara pada usia 55 tahun serta bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail.


Ketiga-tiga mereka menjadi perhatian apabila Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun semalam (26 Julai 2916) membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi dengan mendakwa Zeti terlibat dalam satu konspirasi menjatuhkan Perdana Menteri serta kerajaan.

Ketiga-tiga mereka mereka didakwa memberi dokumen dan maklumat sulit kepada agensi luar negara, termasuk kepada FBI.

Mereka ini sanggup menjadi ‘barua’ Dr Mahathir -  kalau mengikut teori lembu yang dicipta oleh pihak yang berusaha mempertahankan Najib - tanpa boleh membezakan antara isu pemindahan wang secara haram dengan ‘kuasa politik’.

Mereka tidak boleh menjadi rasional kerana melihat 1MDB dalam konteks kuasa politik dan bekerja keras mempertahankan Perdana Menteri, walaupun nama Najib tidak disebut langsung oleh DOJ.

Apa yang diperkatakan oleh DOJ semata-mata isu kewangan – pengubahan wang secara haram, songlap dan ‘bergumbira’.

Pada 25 Julai lalu, Abu Kassim mengesahkan agensi berkenaan menjalin kerjasama dengan FBI Amerika Syarikat berhubung siasatan terhadap 1MDB. Katanya lagi, pihaknya sedang menyiasat seorang ahli perniagaan yang dikatakan menipu 1MDB, dan turut terlibat dengan pengubahan wang haram sebelum membawanya ke Amerika Syarikat.

“Pihak Amerika Syarikat meminta pertolongan dan kita hanya menjalankan kerja sepertimana digalakkan dalam Konvensyen Pencegahan Rasuah Pertubuhan Bangsa Bersatu. (Di bawah konvensyen itu)…mana-mana agensi perlu memberi kerjasama dan sokongan apabila berhadapan dengan jenayah melibatkan beberapa negara,” katanya.

Bagaimanapun, kerjasama itu hanya ditumpukan kepada kemungkinan perbuatan penyelewengan dan pengubahan wang haram oleh seorang ahli perniagaan yang dikatakan menipu 1MDB.

Berdasarkan kenyataan Abu Kassim mengakui ada berhubung dengan , Pemuda UMNO  jadikan alsan untuk membuat laporan polis.

Jika Obama dan DOJ sanggup jadi lembu kepada Dr Mahathir, FBI juga tidak terkecuali nampaknya.

Seolah-olah Dr Mahathir yang menjadi ‘tuan lembu-lembu Amerika Syarikat’ itu begitu berkuasa dan boleh mempengaruhi mereka untuk menyita harta mereka yang rapat dengan Najib.

Walaupun Dr Mahathir tidak bermain golf dengan Obama pada musim banjir di Malaysia pada 2014, dia mampu mempengaruhi Presiden Amerika Syarikat itu.

Mungkin Obama sudah lupa bahawa Dr Mahathir antara pemimpin yang lantang mengkritik dasar luar negara itu.

Malah pertelingkahan bekas Perdana Menteri itu dengan Najib Presiden Al Gore pada 1998 dikatakan era terburuk hubungan Malaysia-Amerika Syarikat.

Lembu-lembu Amerika Syarikat ini juga mungkin lupa bahawa Dr Mahathir mengkritik  Yahudi pada persidangan Kemuncak Pertubuhan Negara Islam kali ke -10 yang diadakan di Putrajaya pada 16 Oktober 2003, yang mengejutkan banyak negara Arab yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.

Cepat sungguh lupa, bukan hanya ‘Melayu Mudah Lupa’ tetapi lembu-lembu Amerika Syarikat itu juga mudah lupa ‘ropanye’ (rupanya).

Kita bernasib baik sebab tidak ada ‘lembu’ di Malaysia. Sebab itu kita tidak dicucuk hidung oleh Dr Mahathir.

Ramai pemimpin UMNO, termasuk Pemuda UMNO, mereka tidak mudah diheret seperti Obama, DOJ dan FBI yang ‘bodoh macam lembu’ itu.

Dan kalau ada pun lembu di Malaysia, mereka berlainan sedikit kerana memakai kaca mata hijau (istilah yang digunakan oleh Tan Sri Sanusi Junid ketika menjadi Menteri Pertanian).

Walaupun memakan rumput  (bukan dedak) sudah mati atau kering yang berwarna kelabu tetapi mereka tetap sendawa panjang kerana kenyang.

Kenyang? Kerana bukan kerana DEDAK tetapi  ‘memakan RUMPUT BERWARNA HIJAU’!!!!! 

Saturday, July 23, 2016

Reaksi Tindakan DOJ - Sewajarnya Tuan Ibrahim, Idris, Mintalah Kebenaran Hadi Dahulu...


Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man tidak payah berteori atau bertanya “BagaimanaAmerika Syarikat Jumpa Bukti Tapi Malaysia Tak?”
  
Merujuk kepada pengumuman Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat  bahawa pendakwa raya negara itu  percaya lebih daripada AS$ 3.5 bilion telah disalahgunakan daripada 1MDB dan kira-kira AS$ 1 bilion telah 'dicuci' melalui sistem perbankan negara kelmarin, walaupun sebagai Timbalan Presiden Pas, beliau tidak layak menggunakan nama PAS dalam mengulas isu ini.

Dah minta izin Presiden PAS dan Ulamak PAS ker buat kenyataan mengenai kes ini?

DOJ juga kelmarin  mengumumkan akan  merampas 17 aset termasuk hartanah, jet dan karya seni berharga.

Saman sivil itu dilihat berpotensi menyentuh isu hubungan antara kedua negara yang telah berkembang rapat dalam  pentadbiran Presiden Barack Obama.

Tuan Ibrahim...pahlawan PAS?
Kelulusan Presiden PAS mesti didapati dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan.

Begitu juga dengan Idris Ahmad, Naib Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang. Tidak payahlah membuat usul dalam isu ini secara spontan. Ingat, minta izin Presiden dulu.

Memang mereka berdua kelihaan seperti bersama-sama dengan rakyat Malaysia yang prihatin berharap ada penyelesaian tuntas kepada perkara yang disebut oleh DOJ itu.

Tetapi kalau belum dapat izin, jangan memandai-mandai buat kenyataan sendiri. Dapatkan restu atau  kebenaran daripiada ‘Penasihat kerajaan Barisan Nasional’ itu terlebih dahulu.

Sebagai pemimpin parti Islam, mereka berdua kena berhati-hati. Jangan buat tuduhan melulu dan jangan aibkan orang.

Siasat empat saksi (penjuru) yang boleh dipercayai dan selepas bersetuju melalui perundingan baru ulas.

Tuan Ibrahim dan Idris kena ingat, PAS dan seluruh pemimpin dan jemaahnya adalah penasihat ‘Kerajaan Barisan Nasional’. Ingat tu Penasihat, bukan Punahsihat atau Penat Sihat...

Hadi...Penasihat kerajaan Barisan Nasional
Jika tidak dapat consent Presidennya, Tuan Ibrahim sendiri  silap-silap kan macam isu ‘’gencatan senjata” hari tu. Akhirnya dia kena belasah dek kawan-kawan dalam PAS sendiri. Dari gencatan senjata jadi ‘senjata makan tuan’.

Apapun,  kita ucapkan terima kasih sebab Tuan Ibrahim memahami bahawa  rakyat sedang melihat sama ada institusi-institusi berkenaan bekerja untuk rakyat atau individu tertentu sahaja.

Dengan kata lain, Tuan Ibrahim bersetuju bahawa pendapat umum di negara ini kini mahu tahu apa kedududan sebenar isu 1MDB ini.

Dia turut menasihatkan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy supaya memikirkan apa langkah terbaik seterusnya buat dirinya dan negara.

Ini sesuai dengan kedudukan PAS sebagai ‘parti penasihat’.

Semalam,  Tuan Ibrahim tanya sama ada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga adalah menteri kewangan wajar berdiam diri berikutan pengumuman Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat untuk mengambil tindakan undang-undang dengan merampas aset yang dikaitkan dengan dana pelaburan negara itu?

Dia juga tertanya-tanya bagaimana DOJ berjaya menemui bukti salah laku oleh firma yang berpangkalan di Malaysia manakala pihak berkuasa negara ini gagal berbuat demikian.

Beliau berkata  PAS (guna juga nama parti tu...) menggesa agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang terdiri daripada ulama yang pakar dalam ekonomi dan kewangan Islam ditubuhkan untuk menyiasat skandal 1MDB.

Idris...turut guna nama PAS
Berapa ramai ulama dalam PAS yang pakar? Apapun, katanya, siasatan perlu membabitkan dua perkara:

1.      Pengurusan pelaburan dan kewangan yang silap, iaitu strategi dan jangkaan pelaburan yang salah.“Perkara ini dalam ekonomi konvensional adalah biasa, tetapi dalam ekonomi Islam ada hukum berbeza”, dan

2.      Aspek penyelewengan seperti tuduhan DOJ yang gagal disiasat pihak berkuasa negara, melibatkan pengubahan dana haram iaitu perpindahan wang tanpa saluran yang betul dan pemilikan harta atas nama peribadi.”

Risiko besar tu Datuk. Buat kenyataan pada ketika belum dapat kelulusan Datuk Seri Abdul Hadi Awang?

Nanti dia minta saksi susah. Kalau ada pun tiga empat saksi, mereka tu bukan Islam. Tak boleh percaya kepada ‘kafir harbi’. Mereka semua penipu...

Apapun dalam isu ini, walaupun Tuan Ibrahim berdepan risiko, dia nampaknya betul-betul pahlawan dalam PAS, sesuai dengan pakaiannya baru-baru ini.

Tuan Ibrahim tanya:

1.      “Apakah status siasatan Ketua Polis Negara terhadap 1MDB?
2.      Apakah Ketua Polis Negara akan bekerjasama dengan DOJ untuk mendapatkan bukti-bukti yang gagal diperolehi selama ini dalam penyiasatannya ke atas 1MDB?
3.      ”Bagaimana pula dengan Ketua Audit Negara? Apakah beliau kini dapat melengkapkan laporan auditnya yang kini di bawah OSA dengan maklumat-maklumat baru ini?
4.      “Apa pula tindakan Peguam Negara dan SPRM selepas ini? Apakah masih tetap bahawa dengan pendirian yang ada?
5.      “Bagaimana pula dengan Gabenor Bank Negara Datuk Muhammad Ibrahim yang telah menutup kes terhadap 1MDB? Apakah dengan maklumat terkini, kes 1MDB akan dibuka semula?”

Idris pula juga mengguakan nama PAS menyatakan memandang serius dakwaan tentang adanya penyelewengan melibatkan 1MDB  seperti DOJ  melibatkan ‘money laundering’ iaitu pengubahan dan pemindahan wang tanpa saluran yang betul dan pemilikan harta atas nama peribadi.

Idris kata pendirian PAS (pendirian beliau???)  sejak daripada awal kes 1MDB ini ialah siasatan telus dan menyeluruh perlu dijalankan dan disegerakan. Ini bagi memastikan jika benar ada penyelewengan dan salahguna kuasa, pihak yang bertanggungjawab dan terlibat perlu dihadapkan ke muka pengadilan.

“Jika ia melibatkan pengurusan pelaburan dan kewangan yang silap dan jangkaan pelaburan yang salah, maka penambahbaikan dan kebertanggungjawaban pihak yang berkenaan perlu diberikan perhatian,” katanya dalam satu kenyataan.

Jadi, selaras dengan prinsip Islam dan terma universal iaitu ‘innocent until proven guilty’ (tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah), maka PAS menuntut penubuhan Suruhanjaya DiRaja bagi menyiasat kes yang semakin mendapat perhatian umum dalam dan luar negara ini. Inilah pendirian dan pegangan PAS dalam semua kes yang berlaku tanpa ada dwi-standard.

Pendapat Idris sama dengan Tuan Ibrahim iaitu Suruhanjaya DiRaja hendaklah dianggotai oleh pakar yang berautoriti dan berkecuali termasuk ‘ulamak yang pakar dalam bidang perundangan, ekonomi dan kewangan Islam.

PAS  (Idris?) juga menolak campur tangan asing dalam urusan negara ini. Kita berharap Suruhanjaya ini akan dapat menyelesaikan kes ini yang sudah bertahun-tahun menjadi polemik.

Soalnya, apakah pemimpin PAS lain, khususunya Hadi bersedia menerima apa yang dikatakan oleh Tuan Ibrahim dan Idris ini?

Tidakkah mereka bersikap berdiam itu mempunyai keraguan terhadap siasatan antarabangsa?

Apakah mereka juga bersependapat dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak yang meminta orang ramai supaya tidak terus membuat kesimpulan berhubung dakwaan yang dibuat ke atas 1MDB di Amerika Syarikat.

Salleh berkata, dana pelaburan negara itu menjadi mangsa serangan bermotifkan politik yang tidak pernah berlaku sebelum ini yang bertujuan menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang dipilih secara demokrasi.

Menurutnya, banyak tuduhan seperti kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya RM42 bilion lesap, yang kemudian dibuktikan tidak benar.

"Dalam hal ini, pengesahan itu dibuat oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang dwipartisan. Ini bermakna mana-mana dakwaan berhubung 1MDB perlu ditangani dengan berhati-hati mengikut proses undang-undang dan mematuhi prinsip tidak bersalah sehingga terbukti bersalah,” katanya.

Salleh masih mengulangi  siasatan menyeluruh pihak berkuasa negara ini serta Menteri Luar Arab Saudi Adel Al-Jubeir juga mengesahkan Najib tidak bersalah dan wang di akuan banknya adalah sumbangan dari keluarga diraja Saudi.

Salleh dah melalut entah ke mana dan tidak menjawab isu dibangkitkan oleh DOJ itu dan benar-benar seperti ‘burung keruak’ dan ‘burung kakak tua’.

Namun, Salleh tidak ulas mengenai seorang individu yang tidak dinamakan, tetapi digelar sebagai 'Malaysian Official 1' telah menerima ratusan juta dolar dana milik 1MDB.

Antara transaksi itu termasuk deposit AS$681 juta dari 1MDB yang dimasukkan dalam akaun rasmi orang itu pada tahun 2013.

Bukan PAS sahaja, malah seluruh rakyat Malaysia komited dalam membina Malaysia Sejahtera yang menjadikan ‘good governance’ (pemerintahan yang telus dan cemerlang) sebagai asas utama dan teras negara.

Namun dengan kes yang disebutkan oleh DOJ ini, apakah ia akan dapat dicapai?