Friday, July 22, 2016

Kaitkan Nama Najib - Kenapa AG, Salleh, Annuar dan Rahman Meracau?


Panik semacam. Bagai dirasuk hantu dan ‘meracau’...

Tiada siapa sebut atau kata bahawa nama Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dikaitkan dengan keputusan Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat untuk membuat sitaan terbesar dalam sejarah negara kuasa besar itu.

Jadi kepada anda semua – Apandi, Salleh, Annuar dan Rahman,  kenapa begitu bimbang? Kenapa bermatian-matian mempertahankan Perdana Menteri?

Memang  Najib tidak dinamakan sebagai defendan atau didakwa melakukan sebarang salah laku. Yang disebut ialah mereka yang rapat dengan beliau sahaja.

Tidakkah dengan penafian yang spontan  ini memungkinkan orang semakin bersyak-wasangka bahawa wang daripada dana 1MDB yang  dikatakan “dicuri” dan pembabitan individu yang dinamakan sebagai “Malaysian Official 1” itu sebagai Perdana Menteri?

Kerana mahu ‘membodek Perdana Menteri’, tidak pasal-pasal Najib dilihat menggunakan mereka ini untuk mempertahankannya.

Persetan dengan pembangkang kerana Najib ‘di pihak yang benar’ dan tidak perlulah beria-ia membuat penafian.

Dengan membuat penafian spontan dan beria-ia sedemikian, rakyat semakin tertanya-tanya kenapa kumpulan ini  cuba melindungi Perdana Menteri daripada...daripada apa ya?
  
Apandi...lebih bimbang daripada Najib
Peguam Negara,  Tan Sri Apandi Ali seperti dilaporkan Malaysiakini dengan tajuk ‘Tiada bukti wang digelapkan, PM tidak disebut' beria-ia mempertahankan bahawa tiada nama disebut oleh DOJ.

Isunya, memang semua tahu nama Perdana Menteri tidak disebut. Kenapa beliau kelihatan lebih bimbang daripada Perdana Menteri sendiri?.

DOJ semalam mengumumkan mahu menyita aset berbilion ringgit yang dikaitkan dengan 1MDB selepas didakwa terlibat dengan salah guna dan pengubahan wang haram.

Ia bakal mencatat sejarah sebagai sitaan terbesar dalam sejarah negara kuasa besar itu.

Yang diminta ialah sebagai ketua pentadbiran negara, atau orang nombor satu dalam pentadbiran, berusaha menyelesaikan isu ini dengan sebaik-baiknya.

Kalau Najib tidak bersalah, apa pula yang AG nak takutkan? Tolong tunjukkan takut bagi pihak PM? Untuk apa?

Perdana Menteri tidak kelihatan takut pun, sebaliknya AG dan rakan-rakannya yang meracau pula yang berlebih-lebih.

Najib sendiri memandang berat mengenai laporan disiarkan DOJ dengan menganggapnya  tindakan sivil dan bukan tindakan jenayah, malah menerima baik nama yang telah disebutkan di dalam laporan DOJ itu.

Perdana Menteri menegaskan kerajaan akan memberi kerjasama sepenuhnya dengan semua pihak siasatan, termasuk badan siasatan antarabangsa.

"Oleh itu, proses perlulah dihormati, maknanya seseorang itu ada peluang untuk membela diri sendiri atau pun menggunakan proses kehakiman di mahkamah. Kita tidak sewajarnya membuat apa-apa kesimpulan selagi proses itu belum selesai.

Tapi maknanya kita pandang serius perkara ini dan kita tidak ingin ada mana-mana pihak menyalah anggap bahawa kerajaan tidak mahu prinsip 'good governance'. "Urus tadbir yang baik menjadi satu yang akan sentiasa diperjuangkan oleh Malaysia," katanya.

Selain itu, Perdana Menteri turut menyatakan bahawa  anak tirinya, Riza Aziz yang turut dinamakan dalam saman sivil DOJ untuk merampas aset-aset 1MDB perlu melalui proses kehakiman sama seperti orang lain.

Riza Aziz bertali leher merah...
“Sama seperti orang lain, beliau mempunyai hak beliau dan biarlah proses itu berjalan,” katanya.

Sebuah syarikat penerbitan filem yang diketuai Riza hari ini menafikan ia menerima dana AS$64 juta (RM256 juta) secara tidak sah daripada 1MDB bagi membiayai filem “The Wolf of Wall Street” yang dibintangi Leonardo DiCaprio.

Berasaskan kepada kenyataan Perdana Menteri itu, jelas beliau lebih relaks sama sekali berbanding ‘pembodek dan pengampunya’ yang terlalu bimbang nama Perdana Menteri dikaitkan sedangkan ia tidak berlaku.

Semalam, AG selain menegaskan tiada bukti menunjukkan wang daripada 1MDB digelapkan turut menzahirkan kebimbangan terhadap dakwaan dan sindiran terhadap Perdana Menteri terhadap dakwaan salah laku dalam kes langkah sivil in rem yang difailkan oleh DOJ.

“Peguam negara ingin jelaskan bahawa tiada dalam tuntutan sivil difailkan oleh DOJ AS yang perdana menteri dinamakan sebagai defendan atau didakwa melakukan sebarang salah laku,” katanya.

Rahman...nama PM tidak disebut
DOJ, dalam saman untuk menyita aset yang diperoleh menggunakan dana 1MDB, tidak sama sekali menamakan Najib. Mereka merujuk "Malaysian Official 1" didakwa menerima AS$781 juta wang yang disalah guna  dirujuk sebagai “pegawai tinggi dalam kerajaan Malaysia yang juga memegang jawatan autoriti dengan 1MDB”.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan turut menunjukkan beliau diracau apabila menegaskan bahawa Najib tidak dilibatkan dalam siasatan pihak berkuasa Amerika Syarikat itu  terhadap 1MDB.

"Kalau ada mana-mana pihak yang bersalah dalam siasatan ini, mereka perlu dihukum, tetapi yang paling penting ialah dalam dokumen yang telah dikeluarkan itu, perdana menteri tidak dilibatkan dalam siasatan itu.

"Malah, nama perdana menteri langsung tidak disebut," katanya pada satu sidang media di Petaling Jaya.

Bagaimana Abdul Rahman mengakui DOJ menyiasat aset-aset yang dikatakan dibeli dengan menggunakan wang yang tidak halal.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak pula menegaskan kenyataan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat itu lelas menyatakan Perdana Menteri tidak disiasat oleh pihak berkuasa negara itu.

Jadi, jika dah tahu tidak disebut, buat apa mahu beria-ia mempertahankan Perdana Menteri?
Salleh...tiada kaitan dengan Najib
 "Ia (siasatan) tiada kaitan dengan Najib. Apa yang disiasat adalah berkaitan 'money laundering' (pengubahan wang haram) ke atas tiga individu," katanya .

Semua tahu Peguam Negara Amerika Syarikat Loretta Lynch dengan jelas menyatakan bahawa mereka hanya menyiasat tiga individu yang dinamakan dalam kenyataan dikeluarkan oleh Jabatan Kehakiman.

Jika tiada apa yang mahu disembunyikan oleh kerajaan Malaysia berkaitan dengan apa yang telah dilakukan dalam 1MDB, relakslah da tidak payah bermati-matian mempertahankan Perdana Menteri.

Annuar...PM tidak berkait
Ketua Penerangan UMNO pun ikut celaru apabila mengucapkan “selamat berjaya” kepada pihak yang cuba memalitkan perdana menteri selepas pihak berkuasa di Amerika Syarikat  memulakan usaha menyita aset 1MDB.

“Sekali lagi kita ucap selamat berjaya pada pembangkang. Mereka boleh terus mencubanya dengan cara mereka. Kerajaan ada cara kerajaan,” kata Tan Sri Annuar Musa.

“Ia bukan merupakan saman jenayah tetapi saman sivil yang kena melalui proses-proses tertentu. Dan secara jelas di situ 1MDB ataupun PM tidak terkait dengan apa yang sedang mereka cuba lakukan,” katanya.

Yang cakap seperti ini ialah AG dan Menteri UMNO. Mana pemimpin BN Sarawak dan pemimpinan pati komponen komponen BN yang lain?

Tidak mahu mempertahankan Najib ker?

Atau mereka tahu, tidak guna membuat kenyataan apa-apa kerana ini buka kes politik tetapi lebih kepada isu sivil membabitkan pengubahan wang haram yang tiada kena mengena dengan Perdana Menteri.

Lagipun memang nama Najib tidak disebut dan tidak perlulah dirisaukan.

Yang menunjukkan kerisauan, bercelaru dan meracau ialah mereka yang sebelum ini ‘menerima habuan besar’ daripada Perdana Menteri.

Itu sahaja sebab dan faktanya!


Thursday, July 21, 2016

Siapa ‘Malaysian Official One’ - Barua Penjawat Awam Dalam Pemindahan RM14B?


"Orang itu sebagai “who is described in court papers as 'a high-ranking official in the Malaysian government who also held a position of authority with 1MDB.'" - Reuters

Bagi peminat José Mário dos Santos Mourinho Félix, yang dikenali dengan panggilan mudah, José Mourinho  yang kini menjadi penggendali Manchater United bermula musim 2016-2017, gelaran  istimewa untuknya ialah ‘Special One’.

Gelaran yang diberikan itu ketika beliau menjadi jurulatih Chelsea,  oleh media Britain pada  2004,  selepas menyebut dirinya dengan berkata "...I think I'm a special one" dalam satu temubual.

Di Malaysia,  kini kita juga sudah ada ‘special one’ tetapi berbeza sedikit bunyi gelarannya, iaitu ‘Malaysian Official One’.

Malaysia Official One’ ini bukan gelaran untuk ahli sukan sebaliknya pegawai kerajaan atau lebih tepat penjawat awam yang terbabit secara terus dengan pengubahan wang haram membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Siapa itu ‘Malaysia Official One’?


Sehingga siasatan dan tindakan oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat dilakukan,  mungkin siapa orangnya dirahsiakan. Tetapi ‘musang berbulu ayam’ itu akan diketahui juga akhirnya.

Yang sah dan nyata,  dia menjadi ‘barua’ kepada pihak-pihak tertentu yang terbabit dalam pengubahan wang haram yang turut melibatkan International Petroleum Investment Company (IPIC).

Mungkin ‘orang itu’ sudah diketahui oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat.

Ini kerana seperti yang dilaporkan oleh media antarabangsa, Reuters dan New York Times  (NYT) sejak dua hari lalu, jabatan itu dengan jelas menyebut mengenai seseorang atau mungkin beberapa individu dikaitkan dalam pemindahan wang haram sebanyak RM14 bilion (AS$3.5 Bilion).


Isu ini juga mendapat liputan agak detail di blog hambali1 semalam dan hari ini.

Reuters melaporkan, orang itu sebagai “who is described in court papers as "a high-ranking official in the Malaysian government who also held a position of authority with 1MDB."

Laporan media antarabangsa itu berkata pendakwaan yang dibuat Jabatan Keadilan Amerika Syarikat di Miami (pagi hari ini waktu tempatan), kesalahan yang dilakukan oleh mereka ialah dalam tempoh empat tahun.


Secara khusus, memetik dokumen pendakwaan, pegawai kerajaan itu berkomplot menipu bagi memindahkan berbilion daripada 1MDB.

Sejauh ini, tindakan undang-undang tersebut, tiada satu pun menamakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak secara khusus walaupun hari ini The Wall Street Journalcuba mengaitkan pendakwaan itu dengan Perdana Menteri.

 
Namun, tindakan yang diambil oleh Jabatan Keadilan itu secara khusus  menamakan mereka yang rapat dengan Najib, termasuk anak tiri Perdana Menteri iaitu Riza Aziz sebagai 'individu berkaitan' dalam kes itu.

Mereka juga menamakan pembiaya Malaysia, Low Taek Jho atau Jho Low serta pegawai kerajaan Abu Dhabi, Khadem al-Qubaisi dan Mohamed Ahmed Badawy Al- Husseiny.

Sebelum ini NYT mengatakan al-Qubaisi, ialah bekas eksekutif syarikat Emiriah Arab Bersatu (UAE), IPIC.

Pendakwa Amerika Syarikat berkata dana disalahgunakan daripada 1MDB dipindah kepada mereka yang menubuhkan Petrosaudi, iaitu syarikat yang menjalankan usaha sama dengan 1MDB

Selepas itu dana kemudian dipindahkan semula kepada seseorang atau pegawai tinggi dalam kerajaan Malaysia yang hanya dikenali sebagai "Malaysian Official One".

Aset di kenal pasti membabitkan penthouse, kediaman mewah, hasil seni dan lukisan, malah juga jet peribadi.

Dana yang disalahguna itu membeli Aset Defenden, selain membiayai kehidupan mewah mereka yang terbabit  seperti membeli barang kemas, hasil seni  dan lukisan mahal serta membeli hartanah mewah.

Juga digunakan untuk tujuan berjudi, membayar sewa ahli muzik dan selebriti bagi menghadiri parti dan majlis-majlis mewah anjuran mereka.

Tuesday, July 19, 2016

Pelajar Sarjana Beri 20 Sebab Najib Tak Layak Jadi PM (Versi 2)


(Pelajar Ijazah Sarjana Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia).

Untuk artikel ‘20 Sebab Najib Tidak Layak Menjadi PM’sebelum ini, di sini dinyatakan penjelasannya.

Pertama, kepada sesiapa yang mengatakan pelajar universiti tidak patut mengeluarkan pendapat, anda adalah orang yang menyokong kepada matinya demokrasi di Malaysia.

Kedua, ada yang mengatakan layak atau tidak, Najib sudah jadi PM Malaysia. Ya, memang benar Najib PM Malaysia. Persoalannya, adakah Najib masih dikatakan layak menjadi PM walaupun 20 sebab umum ini masih tidak dapat dijawab dengan benar hingga kini?
  
Ketiga, timbul persoalan adakah dengan hanya 20 sebab ini sahaja beliau terus dilabel tidak layak menjadi PM Malaysia? Sebaiknya, kita perlu melihat apa yang tersirat di sebalik 20 sebab ini.

Derida (1960) sarjana dari Perancis pernah mengatakan sesuatu idea itu perlu kita lihat apa yang tersirat di sebaliknya, bukan sekadar melihat teks semata-mata.

Daripada 20 sebab ini, kita boleh rangkumkan kepada 6 akar utama mengapa beliau dikatakan tidak layak menjadi PM Malaysia iaitu 1. Menyingkirkan orang yang ingin mengetahui kebenaran (sebab 2, 5, 13, 17, dan 18), 2. Najib tidak boleh ditegur (sebab 1, 6, 8, 9 dan 11), 3. Lemah pengurusan kewangan (sebab 3, 10, 14, 15, dan 19), 4. Kedudukan sebagai pemimpin Islam (sebab 4), 5. Lemah dalam mempertahankan hak negara (sebab 7, 12 dan 16) dan 6. Sokongan rakyat semakin menurun (sebab 20).


Bagi isu menyingkirkan orang yang ingin mengetahui kebenaran, adakah dengan sebab ini beliau terus dilabel tidak layak menjadi PM Malaysia? Ya kerana ia melibatkan integriti seorang pemimpin.

Misalnya beliau menyingkir pihak-pihak yang ingin melakukan penyiasatan terhadap 1MDB.
Jika benar, apa yang perlu ditakutkan? Adakah layak beliau menjadi PM jika pihak yang ingin menyiasat kepincangan yang berlaku disingkirkan?

Seharusnya seorang ketua yang baik dan berintegriti mesti berani disoal siasat dan mampu mengemukakan bukti yang kukuh jika berada pada pihak yang benar (Mahathir 2016).

Bagi isu Najib tidak boleh ditegur, persoalan yang timbul adakah dengan sebab ini beliau terus dilabel tidak layak menjadi PM Malaysia? Jawapannya adalah ya kerana jika sikap ini berterusan, sebuah pasukan akan musnah dengan sikap sebegini.

Prof Dr Muhaya (2015) menyatakan untuk menjadi seorang ketua yang baik, seharusnya ketua boleh ditegur oleh orang bawahan. Jika tidak boleh ditegur, akan muncul menteri-menteri di bawah PM yang hanya angguk sahaja walaupun PM buat salah.

Pada akhirnya, akan muncul budaya ‘mengampu, membodek, dan yes man’ yang akan merosak pemimpin hingga ke akar umbi.

Bagi isu lemah pengurusan kewangan, kita dapat melihat ketidakcekapan Najib dalam menguruskan hal ehwal kewangan dalam pentadbirannya.


Misalnya, beliau menjanjikan harga barangan akan turun selepas GST dilaksanakan. Malangnya perkara ini tidak berlaku.

Harga barangan juga naik mendadak sehingga membebankan rakyat. Malah cukai ini dikenakan kepada semua golongan termasuk golongan berpendapatan rendah dan miskin.

 Adakah layak beliau menjadi PM jika golongan sebegini juga dikenakan cukai? Dari laporanThe Economist, hutang luar negara Malaysia juga telah meningkat tiga kali ganda, iaitu 196 bilion pada 2014 meningkat kepada 740 bilion pada 2015 (The Economist Intelligence Unit 2015).

Bagi isu lemah dalam mempertahankan hak negara, sewajarnya Najib tidak perlu takut dengan kuasa luar demi kepentingan rakyat. Bagi sebuah negara merdeka, tunduk kepada kuasa luar melambangkan kita masih belum merdeka dalam erti kata yang sebenar.

Bagi isu sokongan rakyat semakin menurun pula, pilihan raya adalah medium terbaik untuk melihat sokongan daripada rakyat. Setelah melihat sokongan rakyat terhadap beliau menurun pada PRU 13, rakyat mengharapkan beliau berubah.

Malangnya, perkara ini tidak berlaku. Tidak akan wujud lebih 300 ribu individu dalam BERSIH di seluruh dunia menentang beliau sekiranya kepimpinannya ditadbir dengan baik (Ahmad Athory Hussain 2009).

Daripada kelima-lima isu di atas, John C Maxwell (2006) pakar kepimpinan dunia menyatakan adalah tidak layak seseorang menjadi ketua tertinggi apabila menyingkirkan orang yang ingin mengetahui kebenaran, tidak boleh ditegur, lemah pengurusan kewangan, lemah mempertahankan hak institusi/negara yang dipimpin dan kurang mendapat sokongan daripada orang bawahan.


Bagi isu kedudukan sebagai pemimpin Islam, memetik kata-kata Datuk Kazim Elias (2012), beliau secara terus terang menegur Rosmah kerana tidak bertudung. Bagi beliau, ini bukan isu peribadi kerana ianya melambangkan imej beliau sebagai pemimpin Islam.

Sebagai pemimpin Islam, jika isteri tidak dipimpin dengan baik mengikut Islam, bagaimana pula dengan rakyat di bawahnya?

Hujah ini selaras dengan hadis nabi yang berbunyi, "Sebaik-baik kamu adalah orang yang terbaik kepada ahli keluarganya” (Riwayat Ibnu Majah).

Keempat, ada pihak yang mengatakan beliau banyak memberi kebaikan kepada rakyat dan kebaikan tersebut boleh menutup 20 sebab umum ini.

Sekiranya ada seorang individu selalu memberi derma kepada orang ramai setiap seorang RM500, dalam masa yang sama beliau juga mengutip cukai daripada rakyat yang miskin, adakah individu ini seorang manusia yang berintegriti?

Ustaz Zaharuddin dan Dr Maza (2015) juga menyatakan cukai adalah haram dikenakan kepada orang miskin kerana melambangkan tindakan pemimpin yang tidak berintegriti dan membebankan rakyat.


Di akhir analisis, sekiranya 20 sebab umum ini masih tidak dapat dijawab dengan benar, adakah beliau layak memegang jawatan sebagai PM Malaysia?