Thursday, September 22, 2011

BN Peralat Mahkamah Untuk Membuli Pihak Lawan?

"Sekiranya Mat Sabu didapati bersalah, beliau akan dihukum masuk penjara selama dua tahun dan didenda. Sekiranya ini berlaku, beliau boleh ditegah dari bertanding dan berkempen di dalam pilihanraya umum yang akan datang. Adakah ini taktik BN untuk mengelak dari menghadapi Mat Sabu di dalam pilihanraya yang akan datang memandangkan perbicaran beliau dijadualkan pada Disember 2011?" - Teresa Kok

Jauh panggang dari api untuk mengharapkan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu (Mat Sabu) mengaku beliau membuat tohmahan yang memburukkan nama baik anggota polis dan keluarga mereka dalam ceramahnya di Padang Menora, Tasek Gelugor, 21 Ogos lalu.

Tidak mungkin dan tidak akan berlaku apa yang diharapkan kerana Mat Sabu jenis tidak mengaku apa yang dilakukan.

Ingatklah kembali dalam kes khalwatnya dulu, mana dia nak mengaku.

Bukan itu sahaja, Mat Sabu semalam mendapat sokongan apabila lebih 100 penyokongbya berkumpul di luar pekarangan mahkamah sejak jam 8 pagi, Turut kelihatan Timbalan Pesuruhjaya PAS 1 Negeri, Khalid Man dan Pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow.

Kerana tidak mengaku, hakim pada perbicaraan semalam, menetapkan 27 Oktober sebagai tarikh sebutan semula dan 5 hingga 9 Disember sebagai tarikh perbicaraan kes.

Malah, bagi Teresa Kok iaitu Exco Kanan Kerajaan Negeri Selangor menyifatkan kes Timbalan Presiden Pas yang didakwa memfitnah anggota polis yang terbunuh ketika serangan komunis ketika zaman British menunjukkan Kerajaan Barisan Nasional (BN) sekali lagi mempergunakan mahkamah sebagai saluran politik.

Ia bertujuan menakut-nakutkan, membuli dan memenjarakan lawan politik mereka.
Sekiranya Mat Sabu didapati bersalah, beliau akan dihukum masuk penjara selama dua tahun dan didenda.

Sekiranya ini berlaku, beliau boleh ditegah dari bertanding dan berkempen di dalam pilihanraya umum yang akan datang. Adakah ini taktik BN untuk mengelak dari menghadapi Mat Sabu di dalam pilihanraya yang akan datang memandangkan perbicaran beliau dijadualkan pada Disember 2011?

Pada Khamis lepas, Perdana Menteri Najib Razak telah mengumumkan reformasi politik di Malaysia dengan kata-kata manis seperti “mana-mana individu tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik” dan “Malaysia menjadi lebih terbuka lagi dinamik demokrasinya."

Tidak sampai seminggu telah berlalu, lawan politik beliau Mat Sabu telah pun didakwa di mahkamah atas pendapat perbadinya mengenai sejarah. Kebebasan bersuara dan meluahkan pendapat tidak dipedulikan begitu sahaja.

Kata Teresa, Perdana Menteri yang benar-benar berfikiran terbuka dan dinamik haruslah sedar bahawa perbezaan pendapat mengenai penterjemahan sejarah tidak sesuai dibahaskan di bilik mahkamah tetapi haruslah diselesaikan melalui dialog dan perbahasan di dalam ruang akademik.

“Lebih-lebih lagi, kenyataan Mat Sabu tidak memfitnah sesiapa. Beliau juga tidak mengapi-apikan sebarang isu perkauman ataupun agama, berbeza sekali dengan Utusan Malaysia dan Perkasa yang telah berulang kali mengeluarkan kenyataan yang mengapi-apikan sentimen perkauman, rasa benci and berbohong tanpa dikenakan sebarang tindakan oleh kerajaan. Mereka dibiarkan menyemai benih-benih ketakutan dan kebencian secara bebas. Pendakwaan Mat Sabu membuktikan kerajaan bersifat berat sebelah dan mengamalkan pendakwaan secara pilih kasih. Saya mengutuk serangan bomb petrol ke atas kediaman Mat Sabu semalam. Saya juga mengutuk ugutan simbahan asid yang diterima oleh beliau melalui SMS sebelumnya, “ demikian kata Teresa Kok seperti dipetik Sinar Harian 22 September 2011.

Menurutnya, ugutan sebegini terhadap beliau dan keluarga beliau adalah jenayah dan harus didakwa di mahkamah. Saya mengulang seruan saya kepada Polis DiRaja Malaysia untuk menyiasat kes ini, menangkap orang yang bertanggungjawab dan menyediakan pelindungan sewajarnya kepada beliau dan keluarganya.Saya juga menggesa pemimpin Barisan Nasional supaya mengeluarkan kenyataan akhbar untuk mengutuk ugutan terhadap Mat Sabu agar menunjukkan pendirian mereka menentang keganasan di dalam bidang politik,” tegas Teresa.

Semalam, Mat Sabu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Butterworth atas dakwaan membuat tohmahan yang memburukkan nama baik anggota polis dan keluarga mereka dalam ceramahnya di Padang Menora, Tasek Gelugor, , 21 Ogos lalu.

Mat Sabu didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan. Selain itu, beliau turut berdepan dengan pertuduhan pilihan mengikut seksyen sama dengan memfitnah tiga anggota polis yang mempertahankan diri dalam serangan komunis di Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950.

Mat Sabu didakwa memfitnah anggota-anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Feb 1950, dengan mengetahui bahawa tohmahan yang dibuat akan merosakkan nama baik anggota polis dan keluarga mereka.

Mohamad didakwa melakukan kesalahan itu dalam ucapan kepada orang ramai pada 10 malam hingga 12 tengah malam 21 Ogos di hadapan Pusat Asuhan Tadika Islam ) Al-Fahmi, Markas Tarbiyah Pas, Padang Menora, Tasek Gelugor.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau didenda atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan alternatif, Mohamad didakwa telah memfitnah anggota-anggota polis iaitu Konstabel Marin Abu Bakar Daud, Konstabel Jaafar Hassan dan Konstabel Yusoff Rono serta ahli keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Feb 1950, dengan membuat tohmahan dalam ucapan kepada orang ramai pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau didenda, atau kedua-duanya.

Pertuduhan dibuat selepas aduan daripada tiga orang ahli keluarga anggota polis yang terkorban dalam serang pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong, iaitu Jamilah Abu Bakar, Azlas Jaafar dan Nazir Yusoff.

Mohamad yang memakai baju kemeja hijau dengan jaket berwarna biru dan berseluar hitam kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ikmal Hishan Mohd Tajuddin.

Terdahulu, tiga Timbalan Pendakwa Raya yang diketuai Mohamad Hanafiah Zakaria, memohon mahkamah menetapkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin kepada tertuduh.

Namun selepas rayuan oleh peguam Hanafiah Maidin dan Aminuddin Zulkifli, yang mewakili pemimpin PAS itu, Hakim Ikmal Hishan menetapkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.

Ikmal Hishan juga menetapkan 27 Oktober sebagai tarikh sebutan semula dan 5 hingga 9 Disember sebagai tarikh perbicaraan kes.

Wednesday, September 7, 2011

Mat Sabu, Bukit Kepong dan Pas

Oleh DATUK IRMOHIZAM IBRAHIM
(Fellow Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (Impak), Universiti Teknologi Mara dan Naib Presiden Majlis Belia Malaysia)


Pendapat Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu (Mat Sabu) bahawa gerombolan pengganas komunis yang menyerang Balai Polis Bukit Kepong adalah pejuang kemerdekaan dan hero sebenar peristiwa tersebut dan bukannya anggota polis yang mempertahankan balai itu dengan nyawa mereka bolehlah disifatkan sebagai satu usaha untuk menulis semula sejarah negara.

Dalam rangka yang lebih besar ia merupakan percubaan bagi mengabsahkan perjuangan Parti Komunis Malaya (PKM) dan melakar perjuangan komunis sebagai perjuangan yang mulia.

Taktik Mat Sabu tidak menyebut perkataan komunis dan sebaliknya hanya menyebut nama Mat Indera dalam ceramahnya adalah suatu taktik halus sama seperti kaedah yang pernah diguna pakai PKM dalam mengumpan sokongan masyarakat Islam satu ketika dahulu.

Strategi diguna pakai PKM ini berasaskan kesedaran bahawa jika wajah sebenar komunisme yang menolak kewujudan Tuhan dan menganggap agama sebagai candu masyarakat didedahkan kepada orang Melayu, maka amat sukar bagi mereka untuk menerima atau menyokong ideologi tersebut.

Lantas untuk mengaburi mata umat Islam maka golongan Marxis-Leninist-Maoist menjadikan retorik perjuangan kemerdekaan daripada penjajahan British sebagai umpan utama untuk menarik sokongan orang Melayu.

Dalam hal ini, matlamat besar Mat Sabu adalah untuk merenggangkan hubungan parti UMNO dan sejarah perjuangan merebut kemerdekaan daripada penjajah British. Sebagai alternatif kepada peranan UMNO maka peranan PKM dipilih sebagai hero dan pejuang sebenar kemerdekaan dan oleh kerana komunisme itu sensitif di kalangan umat Islam maka Mat Indera digunakan sebagai contoh perlambangan yang perjuangannya disamakan dengan perjuangan Tok Janggut, Haji Abdul Rahman Limbong malah yang lebih dahsyat perjuangan Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW sendiri. Sejarah yang ada pada hari ini pula dimomokkan sebagai sejarah yang dilakarkan oleh penjajah dan parti pemerintah.

Bagi mengetahui sama ada tuduhan ini benar atau tidak, kita perlu melaksanakan satu ujian sejarah alternatif. Berdasarkan fakta, kita boleh melukis hala tuju sejarah jika dikatakan PKM yang berjaya menghalau pihak British dari Tanah Melayu.

Mat Sabu menyembunyikan hakikat bahawa jika PKM berjaya 'membebaskan Malaya' maka ia akan mendatangkan tiga kesan utama. Pertamanya corak pemerintahan Malaya tidak mungkin berasaskan pemerintahan Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen, di sebaliknya Malaysia akan berubah menjadi sebuah republik dengan kediktatoran satu parti manakala Raja-Raja Melayu dinyahtakhtakan.

Kedua, kehidupan beragama akan dihapuskan seperti mana lazim di negara-negara komunis, Islam tidak mungkin menjadi agama rasmi sebaliknya fahaman ateisme-sekular akan menjadi pegangan negara. Dalam situasi ini Parti Pas tidak mungkin wujud.

Ketiga, Tanah Melayu akan dipimpin oleh Setiausaha Agung PKM kerana sebagai pemimpin tertinggi PKM sudah tentu beliau akan memegang jawatan sama ada sebagai Ketua Negara atau Ketua Kerajaan. Jika ketiga-tiga hakikat ini direnung, tidak mungkin ada orang Melayu yang akan sanggup menyertai atau menyokong Parti Komunis.

Adalah amat dangkal dan tidak bertanggungjawab bagi sesetengah pihak dalam usaha mempertahankan pendapat Mat Sabu menyamakan perjuangan komunis dengan perjuangan Tok Janggut di Kelantan atau Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu yang menentang penjajahan British. Perbezaannya amat ketara - kedua-dua mereka tidak pernah sekali-kali mahu mendirikan sebuah republik dan menurunkan Raja-Raja Melayu daripada takhta.

Tidak berniat sekalipun untuk menghapuskan agama Islam sebagai agama dominan Tanah Melayu dan tidak rela sama sekali menjadi daie kepada fahaman ateisme atau pernah terfikir untuk menjadikan bangsanya sendiri sebagai bangsa terpinggir.

Perjuangan komunisme menentang British di Tanah Melayu juga tidak boleh sama sekali disamakan dengan perjuangan Nabi Muhammad SAW menentang Arab Jahiliyah atau pembukaan Kota Mekah. Kenapa pihak-pihak tertentu mahu menyamakan 25 anggota polis dan keluarga yang terkorban dalam tragedi Bukit Kepong yang semuanya beragama Islam dengan Arab Jahilliyah yang tidak menerima malah memerangi agama tauhid.

Bukankah kesemua pengganas komunis kecuali Mat Indera (itu pun perlu dikaji sama ada beliau masih beragama Islam ketika itu) adalah ateis yang bencikan agama serta menafikan kewujudkan Tuhan.

Siapakah yang berfikiran waras yang mahu menyamakan perjuangan mulia Nabi Muhammad SAW dengan sifat kebinatangan Kompeni Bebas ke-4 yang membunuh wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa.

Pada awal tahun 1950-an satu-satunya parti yang mengerakkan usaha-usaha untuk mendapatkan kemerdekaan adalah UMNO. Ada yang mendakwa bahawa pemberontakan bersenjata PKM mempercepatkan pihak British memberikan kemerdekaan kepada Malaya.

Jika PKM benar-benar memperjuangkan kemerdekaan negara, kenapa apabila kita mencapai kemerdekaan pada tanggal 31 Ogos 1957, PKM tidak mahu meletakkan senjata. Malahan mereka terus mengganas dengan membunuh orang awam, polis dan tentera? Kenapakah Allahyarham Tan Sri Abdul Rahman Hashim mantan Ketua Polis Negara dibunuh oleh komunis 17 tahun selepas negara mencapai kemerdekaan. Bukankah beliau berkhidmat untuk sebuah kerajaan merdeka dan dipilih rakyat.

Hakikatnya kenapa menunggu sehingga Disember 1989 baru PKM mahu meletakkan senjata iaitu 32 tahun selepas merdeka. Kepada PKM, ia bukan soal menentang penjajah, bagi mereka kemerdekaan sebenar hanya dicapai apabila parti mereka berkuasa mutlak, apabila sebuah republik dengan kediktatoran satu parti didirikan di bumi ini dengan berkiblatkan ideologi komunisme dan apabila akidah Islam serta agama-agama lain dihapuskan dari hati sanubari rakyat.

Janganlah kita apabila memberikan pendapat cuba mengambil sikap tidak jujur dari segi intelektual dan cuba menulis semula sejarah untuk disesuaikan dengan agenda sempit.

UMNO dituduh parti berhaluan kanan yang disenangi penjajah, Presiden-Pengasas UMNO Allahyarham Dato' Onn dan Bapa Kemerdekaan Almarhum Tunku Abdul Rahman dituduh tali-barut Inggeris. Hakikatnya bukankah Dato' Onn telah meletakkan jawatan daripada perkhidmatan awam negeri Johor dan Tunku sebagai Timbalan Pendakwaraya untuk berjuang demi agama, bangsa dan negara.

Kedua-duanya telah mengorbankan kesenangan serta keselesaan peribadi demi pertiwi. Oleh itu jangan sekali-kali dihina sumbangan mereka, jangan dicerca khidmat bakti mereka. Pendek kata jangan jadi manusia yang tidak mengenang budi.

Ada pula yang mahu mendewa-dewakan perjuangan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) sebuah parti berhaluan kiri dalam usaha memperlekehkan parti UMNO. Tetapi siapa yang berani menceritakan kebenaran bahawa Presiden PKMM yang pertama iaitu Mokhtaruddin Lasso ialah seorang komunis. Begitu juga sebahagian besar ahli jawatankuasanya menganut fahaman komunisme. Bukankah dasar wahid PKMM dari lapan dasar yang diluluskan di kongres pertamanya di Ipoh dari tanggal 30 November hingga 3 Disember 1945 ialah mempersatu padukan bangsa Melayu, menanamkan semangat kebangsaan dalam sanubari orang Melayu dan bertujuan untuk menyatukan Malayadalam keluarga yang besar iaitu Republik Indonesia Raya.

Jika tercapai matlamat itu, maka hari ini agama Islam tidak akan menjadi agama rasmi negara, Raja-Raja Melayu akan diturunkan takhta dan assimilasi berbanding integrasi akan menjadi panduan kepada dasar perhubungan kaum di negara ini.

Percubaan historical revisionism oleh Mat Sabu ini perlu dilihat dari konteks yang lebih luas. Ia sebenarnya adalah percubaan fraksi 'Anwarisme' dalam Pas untuk menjadikan parti tersebut lebih diterima oleh orang bukan Islam, terutama oleh rakan pembangkangnya DAP.

Langkah pertama mereka telah berjaya dicapai apabila Mat Sabu menang jawatan Timbalan Presiden Pas mengalahkan penyandang dari kalangan ulama. Akibatnya dasar kepimpinan ulama yang dibawa generasi Allahyarham Yusof Rawa dan Fadzil Noor telah diketepikan. Mat Sabu sudah tentu bukan seorang ulama sama ada dari segi ilmu mahupun pembawaan.

Kedua, golongan ini telah berjaya menukar matlamat perjuangan Pas daripada negara Islam kepada negara berkebajikan. Sepatutnya umat Islam menitiskan air mata sebak mengenangkan selama 30 tahun akibat amanat Haji Hadi Awang, individu telah dikafirkan berdasarkan pendirian sama ada mereka menyokong konsep negara Islam yang dibawa Pas atau tidak.

Amanat ini telah memecahbelahkan umat Islam sehingga berlaku pertelingkahan antara ibu bapa dan anak-anak, antara suami dan isteri, antara adik-beradik, antara jiran tetangga dan antara ahli kariah.

Namun hari ini demi kepentingan politik dengan sekelip mata Pas tanpa segan silu ataupun memohon maaf kepada mereka yang dizalimi akibat amanat Haji Hadi dengan mudah menggugurkan perjuangan negara Islam dan sebaliknya digantikan dengan konsep negara berkebajikan yang telah dipelopori UMNO semenjak merdeka lagi.

Ketiganya apabila Pas sanggup menjadi Pak Turut dan Pak Sanggup DAP. Hari ini ukhuwah umat Islam tidak penting, DEB atau sebarang dasar afirmatif tidak adil, kedudukan bahasa Melayu tidak perlu, kedudukan agama Islam mampu dikompromi kerana yang penting adalah kuasa dan kedudukan.

Segala-galanya hatta prinsip serta teras perjuangan boleh dikorbankan demi matlamat rakus tersebut.

Utusan Malaysia