Thursday, June 30, 2016

Biar Saya Mati Berdiri Daripada Hidup Melutut


"Negara apa yang kita mahu anak-anak kita membesar sedangkan orang yang mendapat manfaat dan sumbangan berjumlah berbilion ringgit tidak dikenakan tuduhan rasuah manakala mereka yang tidak mendapat sebarang ganjaran pula didakwa kerana rasuah?"

Oleh LIM GUAN ENG
(Ketua Menteri Pulau Pinang dan Setiausaha Agung DAP)

Kedua-dua pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kanun Keseksaan kerana perbuatan rasuah adalah jelas penganiayaan atau pendakwaan politik yang semata-mata untuk memusnahkan saya sebagai ketua menteri Pulau Pinang.

Saya telah menjelaskan kepada SPRM bahawa pembelian banglo dari Phang Li Koon adalah berdasarkan kerelaan pembeli dan penjual tanpa sebarang paksaan atau ganjaran khas yang diberikan daripada saya atau kerajaan negeri.

Phang adalah kawan isteri saya tidak mempunyai hubungan niaga yang aktif dengan kerajaan negeri. Dia bukan seorang pemaju perumahan dan banglo dia menjual saya untuk RM2.8 juta telah dibina pada tahun 1980-an.

Terdapat percubaan untuk menarik persamaan antara kes saya dengan bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo. Ini adalah salah.


Tidak seperti kes Khir Toyo, Phang tidak kerugian sebanyak RM5 juta tetapi mencatatkan keuntungan kecil RM300,000 hasil pembelian asalnya pada harga RM2.5 juta.

Tidak seperti kes Khir Toyo, Phang bukan seorang pemaju perumahan yang bergantung kepada kerajaan negeri untuk meneruskan perniagaannya.

Bagi pertuduhan kedua berkaitan dengan kelulusan kepada permohonan Magnificent Emblem Sdn Bhd (MESB) untuk pengezonan semula tanah daripada pertanian kepada kediaman, MESB tidak berjaya dalam usaha itu. Tanah itu masih kekal sebagai tanah pertanian.

Apa gunanya kepada MESB apabila ia gagal mendapatkan kelulusan untuk menukar staus tanah itu kerana tidak mendapatkan kelulusan akhir oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang.

Saya juga hairan dengan apa yang bermula sebagai serangan politik ganas terhadap saya menjual tanah Taman Manggis yang dimaksudkan untuk golongan miskin tidak mendatangkan sebarang hasil.

Mengapa semua gembar-gembur mengenai tanah Taman Manggis oleh menteri-menteri BN itu?

Jelas tidak ada yang salah dengan penjualan tanah Taman Manggis dan sebaliknya saya didakwa kerana membuat keputusan berhubung MESB yang akhirnya tidak mendapat sebarang faedah.


Malangnya, tidak ada rasuah besar dengan hutang RM50 bilion atau RM2.6 bilion atau RM4 bilion dalam akaun bank peribadi anda. Namun, ia adalah rasuah sedangkan pihak didakwa korup itu tidak mendapat apa-apa faedah.

Saya tidak akan melutut

Saya tidak akan tunduk kepada permainan politik kotor dan ganas ini untuk memusnahkan reputasi saya atau imej Pulau Pinang sebagai negeri paling bersih dan pentadbiran yang terbaikdi negara ini.

Kami berbangga dengan tender terbuka berdaya saing dan berbangga dengan pujian daripada Transparency International serta Laporan Ketua Audit Negara tahunan.

Kami tidak akan membenarkan BN untuk mempalitkan lumpur demi menyembunyikan skandal rasuah mereka. Kami akan membuktikan kami tidak bersalah di mahkamah.

Kami akan berjuang untuk membuktikan bahawa kerajaan Pakatan Harapan adalah kerajaan yang berpaksikan rakyat serta menjunjung prinsip integriti, keadilan, kebebasan dan demokrasi.

Masih ada harapan untuk Malaysia yang bersih dan bebas daripada rasuah, salah guna kuasa dan penindasan. Kita tidak boleh membenarkan BN untuk mencuri masa depan anak-anak kita kerana mereka telah mencuri daripada kita.

Negara apa yang kita mahu anak-anak kita membesar sedangkan orang yang mendapat manfaat dan sumbangan berjumlah berbilion ringgit tidak dikenakan tuduhan rasuah manakala mereka yang tidak mendapat sebarang ganjaran pula didakwa kerana rasuah?

BN boleh mendakwa saya tetapi tidak akan membunuh semangat saya untuk membebaskan Malaysia daripada rasuah.

BN boleh menjadikan saya mangsa tetapi ini tidak akan menghancurkan semangat saya untuk membebaskan Malaysia dari mereka yang mencuri masa depan anak-anak kita.

BN juga boleh menghina saya dengan mengurung saya semalaman tetapi tidak akan berjaya mengubah putih menjadi hitam dan hitam menjadi putih. Betul tidak boleh menjadi salah dan yang salah tidak boleh menjadi betul.

BN tidak akan mematahkan keutuhan parti saya - kita berdiri bersama-sama sebagai pemimpin dan ahli demi perjuangan untuk pembaharuan ke arah Malaysia yang lebih baik dengan kebebasan, keadilan dan demokrasi.

Jika BN fikir bahawa mereka boleh memaksa saya melutut dengan tangkapan ini, mereka adalah salah! Saya rela mati berdiri daripada hidup melutut.

Negara Malaysia yang bebas, adil dan makmur adalah sesuatu yang berbaloi untuk diperjuangkan.

Monday, June 27, 2016

Husni Letak Jawatan Parti, UMNO Semporna Lumpuh...


Apakah UMNO sedang  bergolak dan pergolakan akan menjadi lebih besar?

Bendahari UMNO-Barisan Nasional (BN) petang ini letak jawatan sementara  300 Ketua Cawangan UMNO Semporna keluar parti.

Buka setakat itu sahaja, Timbalan Ketua Bahagian,  Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri bahagian Semporna juga turut letak jawatan.

Huhhh...selepas menunggu pengumuman rombakan Kabinet yang dijangkakan ‘meletup’ dengan nama-nama hebat ditampilkan, rupa-rupanya tiada perkara besar yang berlaku.

Selain hadiah kononnya kerana jasa memenangkan UMNO-Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil Sungai Besar, nama lain yang tersenarai tidak mengejutkan.

Pelantikan  Timbalan Menteri dari UMNO Bahagian Jerlun tidak mengejutkan. Ia untuk mendinginkan kehangatan pemecatan Datuk Mukhriz Mahathir – Ketua UMNO Bahagian Jerlun.

Namun hanya beberapa jam selepas pengumuman Perdana Menteri itu, bekas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Husni Hanazlah yang diumumkan menarik diri daripada Kabinet kerana sebab-sebab peribadi, tiba-tiba ‘meletupkan bom’ terhadap UMNO-BN.

Shahbudin Husin melalui blognya  memberikan jawapan melalui beberapa pertanyaan  kenapa Husni tidak berhasrat menjadi menteri dalam Kabinet Najib.

“Benarkah Husni memilih untuk bersara secara sukarela?”

“Kenapa beliau bersara sekarang dan tidak berundur saja pada pilihanraya umum akan datang yang hanya kira-kira dua tahun lagi tempohnya? Adakah beliau tidak sihat atau ingin berehat?”

Menurut beliau, seorang rakan memberitahu, Husni sebenarnya tidak memilih untuk bersara secara sukarela tetapi terpaksa membuat keputusan itu sebagai tanda protes, kecewa dan kecil hati terhadap Najib.

Beliau dikatakan tidak setuju dengan hasrat Najib mahu menukarkannya daripada Kementerian Kewangan ke Jabatan Perdana Menteri bagi mengambil alih tempat Abdul Wahib Omar yang sebelum ini sudah pun memilih tidak mahu dilantik lagi menganggotai Kabinet.

Bekas Pengarang New Straits Times, Mustapha Kamilmengulas keputusan Husni di Facebooknya berkata, “OK dengar khabarnya Datuk Seri Husni Hanadzlah yang terpaksa pikul tugas yang maha mustahil untuk terangkan pada masyarakat apa kah makhluknya itu 'UNITS' yang disimpan oleh tabung bencana alam 1MDB itu di Singapura telah letakan jawatan.

“Dia gagal dan tiada siapa yang percayakannya. Bintangnya terus malap selepas peristiwa malang tersebut. Sayang sebab Husni adalah antara menteri yang cerdik.

Tempat Husni kini digantikan oleh Johari Abdul Ghani, Ahli Parlimen Titiwangsa yang sebelum ini merupakan Timbalan Menteri Kewangan.

Sementara Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan kini adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab kepada Unit Perancang Ekonomi yang mulanya dicadangkan untuk Husni.

Ingatkan setakat itu sahaja kisahnya.

Petang ini beliau turut melepaskan jawatan dalam parti di peringkat pusat dan negeri termasuk sebagai Bendahari UMNO Malaysia dan  Bendahari Agung Barisan Nasional (BN).

Beliau juga melepaskan jawatan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Timbalan Pengerusi BN Perak, Ketua UMNO Bahagian Tambun dan Pengerusi BN Parlimen Tambun.

Setiausaha Politiknya, Datuk Shamsul Zairil Kamaruddin mengesahkan dalam satu kenyataan petang tadi.

Di Semporna, 300 ketua cawangan Umno Semporna keluar parti dan tindakan sama diambil naib ketua bahagian dan tiga ketua sayap.

Ia susulan penggantungan keahlian Ketua Umno Bahagian Semporna Datuk Seri Mohd Shafie Afdal.


Naib Ketua Umno Bahagian Semporna,  Datuk Dr Jaujan Sambakong bersama-sama  tiga ketua sayap iaitu Ketua Pemuda Mohd Aziz Jamman, Ketua Wanita Manis Muka Dara dan Ketua Puteri Zakiah Kalipunya bertindak keluar parti hari ini.

Keputusan itu dibuat mereka selepas mesyuarat Ahli Jawatankuasa (AJK) bahagian itu dipengerusikan Jaujan yang juga ADUN Sulabayan.

Pada sidang media, Jaujan berkata keputusan itu dibuat susulan tindakan Majlis Tertinggi (MT) Umno pada Jumaat lepas menggantung keahlian Naib Presiden Umno yang juga Ketua Umno Bahagian Semporna berkenaan.

Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Samporna, Datu Eranza Datu Saribu juga mengumumkan peletakan jawatannya.

“Maka dengan ini kami meletakan jawatan di dalam parti dan keluar parti kerana sudah hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan parti berkuatkuasa serta-merta,” kata Datu Eranza dalam satu kenyataan pada  sidang media di Semporna.

Beliau juga mengecam tindakan MT UMNO yang bersifat kuku besi dan tidak membenarkan perbezaan pendapat sehingga pengkritiknya dibuang parti hanya semata-mata kerana menyatakan kebenaran dan melawan kebatilan.

Mereka juga menzahirkan kekecewaan terhadap penindasan kepada seorang tokoh yang bertanggungjawab membesarkan UMNO di Sabah tetapi akhirnya dibuang tanpa sempat diberikan peluang membela diri.

Shafie tidak hadir pada mesyuarat itu kerana sedang mengerjakan umrah. Turut tidak hadir Timbalan Ketua Bahagian Datuk Nasir Tun Sakaran.

Umno Bahagian Semporna mempunyai 481 ketua cawangan.

Mungkin dalam kepada Najib dan pemimpin tertinggi UMNO sekarang tidak heran dengan perkembangan ini.

Satu pemimpin dan atu bahagian, apa ada?


Namun tenguklah bagaimana perkembangan selepas ini khususnya di bahagian-bahagian lain dan apakah ketua-ketua bahagian dan cawangan nekad untuk mengambil tindakan sama.

Sunday, June 26, 2016

Tutup Kilang High5 Buktikan Tabung Haji Memang Hilang RM100 Juta?


"Tabung Haji perlu menyatakan statusnya dalam syarikat ini dan buktikan dakwaan Rafizi itu tidak benar sama sekali kerana jika benar mengalami kerugian dan menggunakan duit pencarum untuk melabur, ia suatu perbuatan khianat dan tidak bertanggungjawab."

Kilang roti jenama High 5 ditutup serta merta mulai kelmarin tanpa sebarang makluman awal dan tiada pampasan serta baki gaji dilunaskan.

Pekerja dikatakan diberikan cek gaji setengah bulan dan diberitahu mereka tidak perlu melaporkan diri untuk bekerja mulai 24 Jun dan seterusnya.

Pekerja Melayu-Islam di syarikat ini sedang menjalankan ibadah puasa dan akan menyambut Hari Raya dengan hanya setengah bulan gaji.


Apa perasaan mereka dengan keputusan ini?

Jika faktor ekonomi menjadi alasan, apakah ini menggambarkan sesuatu tidak kena dengan ekonomi negara?

Bagaimana nasib kira-kira 1,00 perkerja dan keluarga mereka akibat tindakan syarikat berkenaan?

Roti jenama High 5 ini adalah jenama syarikat Siverbird Group Berhad yang merupakan syarikat pelaburan Tabung Haji (TH). Diulangi, Tabung Haji.

Wakil pekerja Mohd Rosnizam Abu Said mendakwa 60 pekerja telah menerima surat dari syarikat itu pada 22 Jun, memaklumkan kepada mereka bahawa syarikat itu akan menghentikan operasi pada 23 Jun.

Surat tanpa tarikh itu, bagaimanapun, menyatakan ia memberi mereka sebulan notis.
Ini, dakwa Rosnizam, adalah satu pembohongan.

"Kami mahu tahu apa yang akan berlaku kepada kami. Bagaimana dengan pampasan kami, hak kami sebagai pekerja?" kata Rosnizam.

Pemberhentian mereka dibuat tanpa dimaklumkan terlebih dahulu.

Pekerja amat tidak berpuashati kerana hanya ditawarkan gaji 1/2 bulan tanpa apajua jaminan bahawa pampasan berhenti kerja dan baki gaji akan dibayar.

Isu ini bakal mengundang kontroversi kerana TH membeli saham-saham di dalam Siverbird Group yng kini telah gulung tikar dan mengalami kerugian hampir 100 juta.

Mungkin juga kini hanya nama TH digunakan tetapi hakikatnya ia bukan lagi milik syarikat berkenaan kerana sudah menjual sahamnya pada 2014.

Namun mengapa membiarkan TH terus dikaitkan dengan syarikat ini jika tidak lagi memilikinya?

Banyak kemungkinan – ia juga mungkin strategi bisnes pihak tertentu yang memungkinkan kepada pembelian semula asset syarikat  oleh pihak tertentu (tentunya bukan Melayu-Islam).  Kebanyakan pekerja Melayu-Islam dibuang  itu akan digantikan dengan pekerja asing, kemungkinan Bangla.

Juga apakah ini bukti sayarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebenarnya ‘tak reti berniaga’?

Bak kata Syed Akbar Ali melalui blognyanya bertajuk  “Hi5 Bubuh Pasir Dalam Periuk Nasi Pekerja Melayu - 2 Minggu Sebelum Raya”:   “Its just  another example that the GLCs tak tahu niaga.  Tabung Haji bought this company from the Chinese (part of the psycho-stupid "buying up Chinese businesses" strategy). Folks, this is what I think will happen.  Someone will buy this Hi5 company. It is a super hi tech bread factory in Shah Alam.  The people who buy it back will make a success of it.”  

Why? Because they have to pay only 4 sen to buy one share in this company.   Their acquisition cost will be so cheap - they will be able to turn things around. I hope so.”

Apabila timbulnya isu mengenai pembuangan pekerja oleh High 5 ini, teringkat kita kepada kenyataan Rafizi Ramli pada 23 Februari lalu yang mengatakan ‘Tabung Haji rugi hampir RM100 juta kerana terlibat dalam perniagaan roti’.

Lantas Rafizi mempersoalkan mengapa Tabung Haji mengambil keputusan agresif dengan pelaburan terhadap syarikat ini pada 2007.

Beliau juga mahu tahu bagaimana berlakunya kesilapan pelaburan sedemikian dan sesiapa yang dipertanggungjawabkan.

Menurut Setiausaha Agong PKR itu:


“Pembelian aktif saham Silverbird Group Berhad oleh Tabung Haji secara meluas di antara September dan Oktober 2007, menyaksikan kenaikan saham syarikat membuat roti itu daripada 39 sen (awal September 2007) kepada RM1.08 pada 16 Oktober 2007.

Langkah agresif Lembaga Tabung Haji melabur dalam syarikat membuat roti pada 2007 menyebabkan kerugian hampir RM100 juta.

Pembelian aktif saham Silverbird Group Berhad (kini dikenali sebagai Hi-5 Conglomerate Berhad) Tabung Haji secara meluas di antara September dan Oktober 2007, yang menyaksikan kenaikan saham syarikat membuat roti itu daripada 39 sen (awal September 2007) kepada RM1.08 pada 16 Oktober 2007.

Tabung Haji kemudian muncul sebagai pemegang saham terbesar pada akhir tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2007. Dana jemaah haji itu melabur kira-kira RM98 juta bagi 90.483 juta saham, atau 28.81% dalam syarikat itu.

Apakah  usaha itu wajar dilakukan kerana ketika Tabung Haji mengeluarkan pelaburan pada 2014, harga saham menurun kepada antara RM0.07 dan RM0.08 sesaham.

Pada Februari 2016,  saham Hi-5 Conglomerate Berhad berharga RM0.04 sesaham.

Syarikat itu menghadapi masalah (selepas 2007) dan Tabung Haji hilang pelaburan, tetapi bertahan (pelaburan) sehingga pertengahan 2014 sebelum menjualnya.

Ini memberikan idea jika Tabung Haji melakukan usaha yang wajar, ia akan menjadi lebih berhati-hati kerana tindakan wajar akan menekankan kemungkinan ini. Jelas sekali ia tidak dilakukan.

Silverbird terkeluar daripada senarai Bursa Malaysia pada 2011 adalah disebabkan beberapa insiden termasuk pertuduhan Jenayah Pelanggaran Amanah terhadap pengurusan atasan.

Pertama, 3 pengurusan kanan diseret ke mahkamah kerana didakwa menggelapkan RM167 juta wang syarikat."

Kemudian pada 2015, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mengheret syarikat itu ke mahkamah berhubung dakwaan penyelewengan kontrak Koperasi Permodalan Felda Malaysia.

Mereka juga terlibat sebagai pembekal logistik untuk program Felda, melalui satu lagi anak syarikat."
  
Lebih memalukan dalam isu High5 ini ialah. pekerja tidak menerima komisen mereka sejak dua bulan lalu.

Rosnizam mendakwa walaupun caruman Kumpulan Wang SimpananPekerja (KWSP) telah ditolak daripada gaji mereka, tetapi akaun KWSP mereka merekodkan bayaran tertunggak sejak lapan bulan lalu.

Beliau kesal tunggakan caruman KWSP mereka telah menyebabkan pekerja menghadapi masalah untuk mendapatkan pinjaman bank, kerana bank enggan memberikan sebarang pinjaman kerana rekod pembayaran caruman KWSP.

Beliau juga mendakwa ini berlaku kepada pekerja High 5 di semua 12 cawangan syarikat itu seluruh negara.

Terdapat kira-kira seribu pekerja High 5 di seluruh negara.


Kerajaan, khususnya Kementerian Sumber Manusia untuk mengambil tindakan segera bagi pihak pekerja-pekerja berkenaan.

Juga dalam isu KWSP ini, tindakan segera perlu dilakukan oleh pihak berwajib agar pekerja High 5 ini tidak mengalami 'sudah jatuh ditimpa tangga'.

Lebih penting, TH perlu menyatakan statusnya dalam syarikat ini dan buktikan dakwaan Rafizi itu tidak benar sama sekali.

TH perlu ingat, jika benar mengalami kerugian dan menggunakan duit pencarum untuk melabur dan rugi seperti ini, ia suatu perbuatan khianat dan tidak bertanggungjawab.

Tuesday, June 21, 2016

Dr M Berikrar Tindakan Membersih Maruah Malaysia Menjadi Lebih Keras


"...tidak dapat terima seorang Perdana Menteri yang menjatuhkan maruah bangsa dan negara setelah akhbar dan TV seluruh dunia menyiar dengan terang dan bukti yang jelas akan salah laku Najib."

Pada ketika ramai pemimpin UMNO menyerangnya, selain bekas ketua hakim negara, Tun Abdul Hamid Mohamad turut menyelarnya,  bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad  menegaskan pendiriannya tidak berubah.

Beliau tidak heran dengan pelbagai cemuhan dan kritikan terhadapnya. Kekalahan parti yang disokong dalam dua Pilihan Raya Kecil (PRK) Sabtu lalu,  bukan penamat segal-galanya untuk beliau.

Malah beliau berikrar untuk membersih dan menggembalikan Kerajaan Malaysia melalui apa cara sekalipun.

"Maruah bangsa dan negara sudah dimusnah sehingga rakyat Malaysia yang dahulu bermaruah sudah turut mencontohi  yang ditunjuk oleh pemimpin,’ katanya.

Malah beliau menegaskan, selepas ini pendirian dan perjuangannya akan menjadi lebih keras.

Demikian  reaksi beliau dalam menegaskan  pendiriannya selepas Barisan Nasional (BN)  menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sabtu lalu.

Abdul Hamid mendakwa bekas perdana menteri itu merosakkan integriti dan pencapaian beliau dengan menyokong pembangkang pada PRK ini.


“Janganlah menyusahkan orang untuk terus menghormati beliau. Lebih baik Dr Mahathir berehat supaya orang boleh terus menghormatinya,” katanya seperti di petik oleh FMT kelmarin.

Selain Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan kalangan beberapa menteri ‘belasah’ Dr Mahathir hasil kemenangan BN di dua PRK itu, Setiausaha Kerja Umno Datuk Seri Ab Rauf Yusoh turut berpendapat Deklarasi Rakyat tidak relevan dan ditolak rakyat.

Kemenangan Barisan Nasional (BN) di dua kerusi Parlimen Kuala Kangsar, Perak dan Sungai Besar, Selangor pada Pilihan Raya Kecil (PRK) pada Sabtu membuktikanya.

Rakyat sebaliknya lebih yakin dengan deklarasi yang dibawa BN dan menterjemahkannya dalam undi mereka yang membawa kemenangan besar pada BN.

"Masa telah berubah. Apa yang dibuat oleh Tun (Mahathir) sebenarnya mencerminkan bahawa rakyat sekarang tidak lagi berada pada landasan politik seperti masa yang dibawa oleh kepimpinan DAP atau Parti Amanah Negara (Amanah) yang disokong Tun.

"Deklarasi Rakyat yang dibawa Tun tidak relevan kerana ia merupakan satu deklarasi yang mengaburkan mata rakyat untuk menjatuhkan kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sedangkan beliau merupakan pemimpin yang masih lagi mendapat sokongan pada PRK di dua negeri itu," katanya.

Amat nyata bagi pemimpin UMNO, Deklarasi Rakyat bertujuan ‘menjatuhkan Najib’ sebaliknya bagi Dr Mahathir, apa yang diperjuangkannya bukan sekadar itu sahaja.

Beliau tidak dapat terima Najib yang berpegang kepada konsep “Cash is King” - Wang Tunai itu Raja – iaitu mengamal rasuah sebagai prinsip politiknya.


 Dalam entri terkini diblognya bertajak 'PENDIRIAN SAYA', Dr Mahathir menjelaskan beliau tidak dapat terima seorang Perdana Menteri yang menjatuhkan maruah bangsa dan negara setelah akhbar dan TV seluruh dunia menyiar dengan terang dan bukti yang jelas akan salah laku Najib.

Ia berkaitan duit 1MDB di mana  institusi-institusi Kerajaan di Switzerland, Singapura mendakwa berkenaan kesalahan 1MDB pimpinan Najib dalam pengurusan wang 1MDB; pembayaran berbillion ringgit kepada syarikat palsu, yang menyebabkan 1MDB disaman oleh badan milik kerajaan Qatar di Abu Dhabi supaya dibayar gantinya sebanyak RM20 billion lebih.

Kerana itu tidak mungkin baginya untuk menyokong perbuatan salah guna kuasa oleh kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri apabila dakwanya menubuh dana kekayaan negara dengan berhutang; pengurusan dana yang rugi berbillion-billion ringgit selain beberapa perbuatan lain, termasuk:


     1.      pembelian oleh 1MDB tanah Kerajaan bernilai RM3000 pada harga RM60 sekaki persegi; penglibatan Jho Low dalam pengurusan 1MDB;

2.      pemindahan bermillion dollar Amerika kepada syarikat milik Jho Low;

3.      pengakuan Najib bahawa adalah benar wang sebanyak RM2.6 billion ada dalam akaun peribadinya;

4.      kegagalan Najib menjelas dari mana datangnya wang ini serta

5.      kehilangan berbillion Ringgit wang 1MDB; pemindahan beban bayaran hutang 1MDB kepada Kerajaan.

"Saya juga tidak mungkin sokong penyalahgunaan kuasa oleh Najib dengan menangkap, memasukkan dalam tahanan, menuduh dengan mengguna undang-undang yang salah iaitu undang-undang anti-terrorist yang kemudian ditukar kepada undang-undang mensabotaj ekonomi kononnya, membuang Penguam Negara supaya dapat diganti dengan Peguam Negara yang sanggup berbohong dan berselindung di belakang OSA, ‘ katanya.

Mengulas kemenangan luar biasa BN dalam PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar, Dr Mahathir berpendapat ia jelas dihasilkan dari pemberian wang dan barang-barang kepada pengundi.

"Perbuatan ini dilihat oleh orang ramai. Tidak ada perasaan segan silu atau malu apabila membuat penipuan untuk mendapat kemenangan.

"Maruah bangsa dan negara sudah dimusnah sehingga rakyat Malaysia yang dahulu bermaruah sudah turut contohi yang ditunjuk oleh pemimpin,’ katanya.

Bagi Dr Mahathir, bagi mereka yang bertanya akan pendirian dirinya, mereka  perlu bertanya diri sendiri apakah maruah kamu sudah tidak ada lagi sehingga sanggup berbangga dengan kemenangan hasil penipuan, hasil rasuah yang terbuka dan salah guna kuasa yang ketara?


Beliau berikrar untuk membersih Kerajaan Malaysia dan akan diteruskan olehnya dengan apa cara sekalipun.

Monday, June 20, 2016

Akan Tiba Waktunya Rakyat Tidak Lagi Percaya Najib


"Rakyat yang dihimpit kemiskinan, kenaikan harga barang dan pelbagai kekurangan infrastruktur sudah pasti akan menyokong BN yang menjanjikan banyak perkara. Persoalannya, siapa yang menyebabkan kesulitan dan kepayaan rakyat itu berlaku secara berterusan? Diakibatkan oleh PAS, AMANAH, DAP atau PKRkah?"

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak  berpesan supaya semua pihak dalam Barisan Nasional (BN) jangan terbawa-bawa dengan kemenangan dalam dua Pilihan Raya Kecil  (PRK) Parlimen Sungai besar dan Kuala Kangsar.

Bagaimanapun, biarlah  sehari dua ini semua pihak dalam BN menghayati kemenangan dan seronok sikit. Namun jangan lama sangat seronok kerana banyak tugas yang patut dilakukan untuk terus berkhidmat sebaik mungkin kepada rakyat.

Najib juga berkata pihaknya akan membuat analisis mendalam mengenai kemenangan BN pada kedua-dua PRK itu.

"Saya hendak kita jangan terbawa-bawa dengan kemenangan ini, kita mesti bawa sikap rendah diri, sikap mendekati rakyat, sikap rajin membantu rakyat, kalau kita pegang pada prinsip ini, sokongan kepada BN akan terus meningkat," katanya.

Pesanan jangan terbawa-bawa itu baik tetapi Najib sendiri menunjukkan ‘marah dan dendamnya’ yang amat sangat kepada Tun Dr Mahathir Mohamad. Dengan itu tetap membara dan seakan tidak akan dapat disejukkan dengan kemenangan di dua PRK itu.

Di Kuala Krai semalam, Najib terus menerus mengulangi bahawa majoriti besar pada PKR itu membuktikan rakyat menolak pungutan suara dan deklarasi bekas Perdana Menteri itu.
  
Dr Mahathir menandatangani Deklarasi Rakyat di Sungai Besar, 17 Jun lalu
Katanya,  kedua-dua PRK itu menjadi luar biasa kerana pembangkang khususnya Dr Mahathir menjadikannya platform bagi mendapatkan pungutan suara mengenai kepimpinannya (Najib).

"Dia (Dr Mahathir) berkempen secara terbuka supaya pengundi menolak BN tetapi dengan kemenangan dan peningkatan majoriti berlipat ganda kepada BN, terbukti apa yang disarankan itu, ditolak oleh rakyat.

"Kalau pungutan suara, deklarasi rakyat kononnya dapat banyak pihak menyokong tetapi ia tidak diterjemahkan dalam bentuk Pilihan Raya Negeri Sarawak dan PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar," katanya kepada pemberita selepas majlis Penyerahan Kunci Rumah Kekal Mangsa Banjir di Tapak Maju Ternak, Kampung Staponal, Batu Jong.

Jika diteliti, BN mempertahankan kedua-dua kerusi berkenaan kerana sudah mempunyai penyokong tetapnya walaupun majoriti sebelum ini sebanyak 399 undi di Sungai Besar dan di Kuala Kangsar sebanjyak 1,082 undi.

Di PRK Kuala Kangsar, calon BN Datin Mastura Mohd Yazid mengekalkan kerusi Parlimen Kuala Kangsar yang disandang oleh suaminya, Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dengan majoriti 6,969 undi.

Dalam pertandingan empat penjuru, Mastura meraih 12,653 undi, calon Pas, Dr Najihatussalehah Ahmad (5,684), calon Parti Amanah Negara (Amanah), Prof Dr‎ Ahmad Termizi Ramli (4,883) manakala calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary‎ mendapat 54 undi.

Di Sungai Besar pula, Budiman Mohd Zohdi mengekalkan kerusi BN dengan majoriti 9,191 undi, jumlah yang jauh lebih besar berbanding 399 undi yang‎ diraih BN menerusi Allahyarham Tan Sri Noriah Kasnon pada PRU13.

Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, memperoleh 16,800 undi untuk mengalahkan dua pencabarnya, Dr Abdul Rani Osman‎ (Pas) yang menerima 6,902 undi dan calon Amanah, Azhar Abdul Shukur yang memperoleh 7,609 undi.


PAS juga sudah ada pengaruh di dua kawasan Parlimen itu kerana pernah bertanding melalusi sokongan PKR dan DAP sebelum ini, walaupun kalah.

Pakatan Harapan yang mempertaruhkan Parti Amanah Negara (AMANAH) baru kali pertama bertanding selepas sembilan bulan ditubuhkan. Ia memang baru ‘memperkenalkan diri’ dan dengan track recordnya yang ‘zero’ sudah pasti tidak dapat menjanjikan banyak perkara.

Masih belum ada jasa dan sumbangan yang dapat dibuktikan, sekadar memperjuangkan isu rakyat.

Namun bagi BN yang turun dengan jenteranya yang lebih tersusun, jentera-jentera kerajaan dan permainan isu perkauman yang menonjol – mengundi AMANAH seperti menyokong DAP – dengan taktik mengugut dan menakut-nakutkan orang Melayu dan Islam, ternyata berjaya dari segi kempennya.

Namun kesan yang ditinggalkan sangat buruk kepada perpaduan rakyat, malah pergaduhan di Kuala Kangsar, jelas diakibatkan oleh sentimen perkauman.

Perpecahan pembangkang ketara dengan PAS bersendirian sementara DAP dan PKR menyokong AMANAH. Serang menyerang antara PAS dengan AMANAH dan DAP juga merugikan pembangkang. PKR pula seperti tidak bermaya.

Serentak itu, pemimpin BN menyerang Dr Mahathir dengan mengatakan bekas Perdana Menteri itu sebagai pengkhianat UMNO dan BN serta mahu menjahanamkan negara ini.

Di sebalik serangan itu, BN mampu menjanjikan ‘bulan dan bintang’ untuk pengundi di dua kawasan Parlimen itu kerana mereka kerajaan.


Rakyat yang dihimpit kemiskinan, kenaikan harga barang dan pelbagai kekurangan infrastruktur sudah pasti akan menyokong BN yang menjanjikan banyak perkara.

Janji pembinaan jambatan, memperbesarkan laluan, menyediakan kemudahan kesihatan dan sebagainya adalah remedi memperbetul atau memperbaiki kelemahan mereka sendiri yang bukan diakibatkan oleh pembangkang.

Persoalannya, bagaimana keadaan yang menyebabkan kesulitan dan kepayaan rakyat itu  berlaku secara berterusan? Diakibatkan oleh PAS, AMANAH, DAP atau PKR?

Sedangkan di dua kawasan Parlimen itu dimenangi oleh BN sejak kesekian lama. Siapa yang mencipta atau membiarkan kesusahan dan penderitaan rakyat di dua kawasan itu selama ini?

BN datang melalui kempennya seolah-olah masalah itu diakibatkan oleh pembangkang. Ia adalah pembohongan dan penipuan sama sekali.

Yang nyata, kenyataan Najib menyindir dan memperkecilkan populariti Dr Mahathir itu hanya untuk melepaskan geram dan ternyata dia sudah semakin dikhayalkan oleh kemenangan berkenaan.

Juga Najib lupa bahawa sokongan kepada Deklarasi Rakyat itu bukan dari Sungai Besar dan Kuala Kangsar semata-mata dan pencapaian AMANAH yang memberangsangkan itu sudah menunjukkan titik-titik keberkesanan Dr Mahatir.

Mungkin rakyat belum mengetahui kesan sebenar isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tetap[ perkembangan selepas ini hingga sampai Pilihan Raya Umum nanti, bukan menyenangkan Najib, sebaliknya menyukarkannya.

Dengan meminta Dr Mahathir diminta terus berkempen untuk pembangkang kerana ia akan menguntungkan BN adalah cakap-cakap berunsur riak.


Cabaran sebegini tidak seharusnya dibuat oleh Najib apalagi kata-katanya "Lebih kerap Tun Mahathir turun (berkempen), (ia) lebih menguntungkan BN, saya harap beliau jangan berhenti turun (berkempen) lagi,” benar-benar membuktikan bahawa beliau tidak dapat membaca apa yang sedang menunggu di hadapannya dalam isu 1MDB ini.

Menjawab soalan wartawan di Kuala Krai hari ini, Perdana Menteri berkata signal daripada dua pilihan raya kecil di Sungai Besar dan Kuala Kangsar adalah jelas.

“Saya harap beliau tidak berhenti," katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian kunci rumah baharu kepada 31 keluarga yang terlibat banjir pada 2014.

Sindiran sinis Perdana Menteri itu untuk membuktikan bahawa kehadiran bekas Perdana Menteri itu di dua pilihan raya, termasuk berkempen untuk membuat pengutan suara menyingkirkannya, jelas gagal.

Najib jangan terus terbawa-bawa dengan kemenangan di dua PRK berkenaan kerana Dr Mahathir bukan berjuang untuk menang pilihan raya semata-mata.

Beliau berjuang demi rakyat dan membela rakyat yang kini teranianya kerana dibohongi pemimpin yang menggunakan pelbagai bentuk cara dan media yang dikawal demi kuasa untuk mempertahankan kedudukan mereka.

Kedudukan untuk apa?

Kedudukan untuk menyatakan tidak ada rasuah, tidak ada penyalahgunaan kuasa, tiada pengubahan wang haram selain menghalalkan “Cash Is King’.

Perjuangan menuntut keadilan rakyat tidak akan terhenti. Dan begitulah juga dengan perjuangan Dr Mahathir.

Najib boleh terus khayal dengan kemenangan di dua PRK berkenaan tetapi jangan lupa kepada sokongan rakyat yang semakin padu dengan bertitik-tolak daripada undi Sungai besar dan Kuala Kangsar.

Juga, tidak perlu Najib berharap Dr Mahathir meneruskan ‘serangannya’ kerana bekas Perdana Menteri itu sudah berikrar walau menang atau kalah, perjaungan beliau akan diteruskan.

Kata-kata sinis Najib itu menggambarkan bahawa kalau boleh beliau mahu tidak ada lagi serangan terhadapnya. Tetapi sebaliknya, Dr Mahathir tidak akan berhenti begitu sahaja.

Pada kempen bersama calon Amanah Azhar Ab Shukur dan pemimpin-pemimpin pakatan Harapan  di Tali Air Lapan, Sekinchan pada pagi  Jumaat 17 Jun 2016, Dr Mahathir mendakwa Najib masih lagi tidak berhenti daripada melakukan kesilapan dalam pentadbirannya walaupun deklarasi rakyat Selamatkan Malaysia itu telah berjaya mengutip 1.2 juta tandatangan rakyat seluruh negara.

Bercakap mengenai Deklarasi Rakyat, Dr Mahathir menegaskan, kandungan deklarasi rakyat terbaru itu adalah lanjutan daripada 30 isi kandungan deklarasi rakyat yang perlu dijawab oleh Najib dan kerajaan.

"Sambungan deklarasi kali ini lebih menjurus kepada 1MDB kerana beliau masih lagi melakukan banyak kesilapan walaupun kita telah tulis semuanya. Saya akan terus menyerang Najib kalau BN menang.
Kemenangan BN untuk menambah dua orang yang hanya akan mengiyakan apa yang dikatakan Najib,” katanya.

Turut sama menandatangani sambungan Deklarasi Rakyat ini Tun  Dr Siti Hasmah Ismail, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Penasihat DAP Lim Kit Siang, Presiden GKCM Kamarul Azman Habibur Rahman dan diikuti beberapa pemimpin Pakatan Harapan.

Dengan ikrar Dr Mahathir itu, tunggu dan bertahan sahajalah Najib setakat yang terdaya.

Yang nyata, Najib juga terus diserang oleh media dan pihak asing yang semakin yakin Perdana Menteri itu ada terbabit dengan isu rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram melalui 1MDB.

Kalaupun Dr Mahathir gagal mempengaruhi rakyat tetapi dengan adanya sesuatu yang besar didedahkan dalam tempoh antara sekarang hingga PRU akan datang, pengundi di Kuala Kangsar dan Sungai Besar akan tersedar bahawa mereka membuat kesilapan besar menyokong BN – bererti menyokong Najib.

Pada ketika itu khayalan Najib sudah tidak lagi berguna. Ini kerana rakyat menolaknya dan tidak lagi terbawa-bawa dengan ‘mimpi indah ciptaan Najib’.

Sebaliknya mereka kembali kepada realiti bahawa selama ini mereka dibohongi dan ditipu mentah-mentah demi oleh pemimpin BN yang mahu menutup kelemahan dan keburukan ciptaan mereka!!! 

Saturday, June 18, 2016

Risalah PAS Sudah Terlambat, Teruskan Dengan Hanya Menjadi Penasihat...


Pada hari akhir kempen semalam, PAS yang mendakwa partinya sebagai parti PENASIHAT dengan mengaitkan lima perkara membabitkan isu hutang negara, perbelanjaan boros serta isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Dalam konteks hutang negara dan 1MDB, PAS menganggap ia hilang  barakah kerana melibatkan riba.

PAS berkata cara berhutang oleh Kerajaan Persekutuan adalah riba yang dimurkai  oleh Allah sehingga kehilangan barakah sehingga terpaksa membayar amaun pengurusan hutang termasuk bunga Riba setiap tahun melebihi RM20 bilion.

Setakat ini, risalah  PAS ini adalah paling jelas kerana sepanjang kempen di Kuala Kangsar atau Sungai besar sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) berkembar kali ini, PAS dilihat lebih menumpukan kepada isu dan penjelasan membabitkan usul rang undang-undang persendirian iaitu Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016.

Ketua Penerangan, Dewan Ulamak PAS Pusat Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri (dari Seberang Takirlah tu agaknya), semalam berkata PAS membawa politik berhikmah dengan tegas pada tempat yang memerlukan ketegasan dan berlunak pada tempat yang memerlukan kelunakan.

Berikutan itu, PAS mengajak seluruh rakyat di Kuala Kangsar dan Sungai Besar daripada pelbagai parti bersama dengan PAS dalam menegaskan prinsip-prinsip berkenaan.

Katanya, penyertaan PAS dalam mana-mana pilihan raya mempunyai misi yang sangat jelas iaitu membawa dua risalah, iaitu Politik Islam yang diungkapkan sebagai “menegakkan agama dan mentadbir bumi dengan agama” selain Dakwah Islam dengan memperkenalkan Aqidah, Syariat dan Akhlak Islam serta membawa risalah keadilan dan kesejahteraan Islam untuk seluruh rakyat muslim dan bukan muslim.

Menurut Dr Mohd Khairuddin,  risalah PAS ini adalah dokumen selepas selama hampir dua minggu ahli dan jentera PAS dari seluruh negara berlumba-lumba atas nama jihad politik dan dakwah menyumbang segala keringat tenaga, harta dan masa yang mereka ada,  berkempen membawa risalah politik dan dakwah Islam demi meraih ganjaran daripada Allah.

Nasihat semasa yang PAS mahu peringatkan adalah:

1. Bahawa negara sedang berhadapan dengan krisis ekonomi akibat pengurusan kewangan negara yang tidak menepati saranan Islam iaitu boros ketika mewah untuk tempoh yang panjang puluhan tahun khususnya selepas krisis ekonomi 1997, sedang al-Quran mengajar bahawa hamba-hamba Allah ialah :
وَالَّذِينَ إِذَا أَنفَقُوا لَمْ يُسْرِفُوا وَلَمْ يَقْتُرُوا وَكَانَ بَيْنَ ذَٰلِكَ قَوَامًا (67)
“Dan mereka yang apabila berbelanja tidak boros dan tidak pula kedekut dan adalah perbelanjaan itu pertengahan antara keduanya” (surah al-Furqan ayat 67)

2. Kerajaan Persekutuan berhutang dengan amaun yang besar RM630 bilion (rm630,000,000,000) akibat tunggakan hutang yang semakin meningkat daripada rm90 bilion sejak 1998. Ia berpunca daripada prinsip pegangan yang salah bahawa negara tidak ada masalah untuk berhutang bagi menyuntik kemajuan bagi negara. Sedang al-Quran menyatakan :
لِيُنْفِقْ ذُو سَعَةٍ مِنْ سَعَتِهِ ۖ وَمَنْ قُدِرَ عَلَيْهِ رِزْقُهُ فَلْيُنْفِقْ مِمَّا آتَاهُ اللَّهُ ۚ
“hendaklah berbelanja orang berkemampuan berdasarkan kemampuannya dan sesiapa yang disempitkan rezkinya maka berbelanjalah mengikut kadar yang diberikan oleh Allah”
(surah al-Talak ayat 7)

3. Bahawa kerajaan persekutuan telah berhutang dengan cara yang diMURKAI oleh Allah sehingga kehilangan BARAKAH iaitu secara RIBA sehingga terpaksa membayar amaun pengurusan hutang termasuk bunga Riba setiap tahun melebihi rm20 bilion. Sedang Allah menyatakan:
فَإِن لَّمْ تَفْعَلُوا فَأْذَنُوا بِحَرْبٍ مِّنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ ۖ
“Maka sekiranya mereka tidak melakukan (perintah meninggalkan riba) maka isytiharkanlah perang daripada Allah dan Rasul-Nya”
(surah al-Baqarah ayat 279)



4. Bahawa kegagalan 1MDB berpunca daripada prinsip yang salah iaitu berhutang secara RIBA bagi mendapatkan modal perniagaan sehinggakan syarikat yang hanya bermodal rm1 juta mencipta hutang RIBA melebihi rm42,000 juta.

5. Bahawa Cukai Barangan & Perkhidmatan (GST) adalah cara yang salah dalam mendapatkan sumber kewangan negara kerana ia dikenakan kepada semua golongan kaya dan miskin lalu menyebabkan pula inflasi kenaikan harga barang. Sedang ruang dan cara yang lebih barakah bagi mendapatkan hasil negara diketepikan seperti cukai simpanan korporat dan orang yang berkemampuan serta cukai keuntungan jual beli saham oleh golongan korporat dan orang yang berada.

SERUAN

Justeru, PAS dengan penuh rendah diri mengajak seluruh rakyat di Kuala Kangsar dan Sg Besar daripada pelbagai parti bersama dengan PAS dalam menegaskan prinsip-prinsip tersebut.

Friday, June 17, 2016

PRK Kuala Kangsar - Kehadiran Dr M Makna Besar Kepada Amanah


Keputusan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turun ke Kuala Kangsar menggesa pengundi menjadikan PRK ini sebagai referendum menolak kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membawa makna besar kepada Amanah.

Pengerusi Amanah Perak Asmuni Awi berkata, ini kerana Dr Mahathir masih mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam kalangan akar umbi Umno.

“Kita dapat lihat dalam program di Manong semalam di mana kebanyakan yang hadir adalah veteran dan pemimpin Umno akar umbi tempatan.

“Malah, mereka juga mempunyai pengikut yang ramai dalam kalangan ahli Umno. Maka ia pasti akan dapat membawa undi mereka kepada Amanah,” katanya.

Beliau turut mensasarkan 40% daripada 22,496 pengundi Melayu di kawasan Parlimen ini akan mengundi Amanah.

Dengan kedudukan menjelang hari pengundian esok, Presiden Amanah, Mohamad Sabu memberitahu sokongan pengundi terhadap calon Pakatan Harapan kini melepasi 50 peratus mendahului calon Barisan Nasional (BN) dan Pas di Kuala Kangsar kali ini.

"Kita harap menang sahaja, sekarang ni 55/45 peratus, BN dibelakang kita, Pas dah jauh terkebelakang.

"Kalau kita menang, Amanah akan teruskan keyakinan politik di kalangan pengundi dan penyokong baru yang akan menambah bilangan ahli kita kelak," ujarnya ketika ditemui Malaysia Dateline.

Beliau ditemui ketika menghadiri siri Kempen Tun Mahathir bersama grup Deklarasi Rakyat di Tali  Air Lapan, Sekinchan pagi tadi.

Dalam kempen yang berbaki hanya sembilan jam lagi sebelum malam ini,Pakatan Harapan katanya akan terus berkempen seperti yang telah dijadualkan.

Sepanjang tempoh berkempen yang bermula 5 Jun lalu, Dr Mahathir turun dua kali ke Kuala Kangsar.

Khabar angin juga bertiup kencang mengatakan pencalonan Datin Mastura Mohd Yazid tidak disenangi oleh pihak di dalam Umno sendiri sehingga dijangka mengganggu perjalanan kempen BN.


Dalam pada itu, calon Amanah, Dr Ahmad Termizi Ramli dalam sidang media berkata beliau yakin partinya mampu mencipta kejutan dengan memenangi PRK ini.

“Di peringkat akhir kempen, kami akan lebih teliti bagi memastikan apa sahaja rancangan kita akan dilaksanakan tanpa sebarang gangguan.

Termizi berhadapan dengan Mastura BN), Dr Najihatussalehah Ahmad (PAS) dan Izat Bukhari Ismail Bukhari (Bebas).

Bagaimanapun, daripada keempat-empat calon itu hanya Mastura yang berdaftar sebagai pengundi di Parlimen Kuala Kangsar, manakala Dr Najihatussalehah merupakan pengundi di Parlimen Parit, Dr Ahmad Termizi (Shah Alam, Selangor), manakala Izat Bukhary (Kelantan).


Mastura dalam sidang media hari ini berkata beliau sedia untuk keluar menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengundi esok di Sekolah Kebangsaan Raja Perempuan Muzwin. 

Calon BN itu sedang dalam tempoh edah selama empat bulan 10 hari berikutan kematian suaminya Wan Mohammad Khair-il Annuar.

Parlimen Kuala Kangsar mempunyai sebanyak 32,949 pengundi berdaftar dan daripada jumlah itu 22,496 adalah Melayu; Cina (7,757); India (2,287); Orang Asli (330); Bumiputera Sarawak (16); Bumiputera Sabah (13) dan lain-lain 50.

Esok 32,632 daripada 32,949 pemilih berdaftar itu layak mengundi bagi memilih wakil rakyat mereka dalam pilihan raya kecil berkenaan.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebanyak 23 pusat mengundi dengan 21 daripadanya adalah sekolah, manakala dua lagi dewan orang ramai akan dibuka mulai pukul 8 pagi hingga 5 petang.

Sebanyak 11 daripada pusat mengundi itu terletak di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Chandan, manakala 12 lagi di DUN Manong yang semuanya melibatkan 69 saluran.

Sebanyak 312 daripada pemilih berdaftar itu merupakan pengundi awal yang menunaikan tanggungjawab itu pada 14 Jun lepas manakala lima ialah pengundi tidak hadir.

Sementara itu, Pengarah SPR Perak Ahmad Adli Abdullah menasihati para pengundi supaya keluar awal bagi mengelak cuaca panas pada tengah hari.

"Walaupun masa mengundi itu panjang, tapi kalau boleh kita minta pengundi keluarlah lebih awal dan jangan tunggu sehingga saat akhir," katanya hari ini.

Ahmad Adli turut mengingatkan pengundi supaya tidak sewenang-wenangnya memberikan kad pengenalan mereka kepada mana-mana individu kecuali petugas SPR.

Katanya peti undi pertama yang dijangka tiba di pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Jubli Perak adalah dari Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford memandangkan jarak antara kedua-dua tempat hanya kira-kira 500 meter. 

PRK Kuala Kangsar diadakan serentak dengan PRK Parlimen Sungai Besar, Selangor esok berikutan kematian Angggota Parlimen masing-masing iaitu Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dan Tan Sri Noriah Kasnon dalam nahas helikoper di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu. 

SPR menjangkakan peratusan keluar mengundi bagi kedua-dua PRK itu adalah 75 peratus. 

Semasa Pilihan Raya Umum ke-13, peratusan keluar mengundi di Parlimen Kuala Kangsar adalah 84.3 peratus, manakala di Sungai Besar 88.3 peratus.