Wednesday, October 12, 2011

Bob Lokman Pertikai Tindakan Jais Menahannya...

Gambar di atas memceritakan seribu makna. Mengajar agama atau mengajar ‘politik’?

Kesian dengan Bob Lokman sampai mengatakan : “...mengapa Jais menahan beliau setelah menjadi baik sekarang, tetapi tidak ketika dia sedang bergelumang dalam arus keduniaan sewaktu berada dalam dunia hiburan dulu.”

Soal baik atau jahat kitakah yang mengukurnya? Berceramah politik tanpa tauliah itu kerja baik dan tidak melanggar peraturan? Orang melanggar peraturan itu baikkah?

Dia semakin hilang ingatan apabila mengatakan ditangkap Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bukan kerana agama, tapi UMNO.

Apa kena mengena Jais dengan UMNO?

Apakah Jais di bawah UMNO atau Kerajaan Selangor. Ingat Bob, Jabatan Agama Islam Selangor dinaungi Sultan Selangor.

Jaga-jaga ‘ terlajak perahu boleh diundur, telajak kata parah padahnya!

Bob Lokman - pelawak, pengacara dan penulis lirik terkenal itu semalam menyatakan hairan dengan tindakan sambil mendakwa beliau ditahan Jais malam kelmarin bukan kerana isu agama tetapi “untuk Umno.”

Sehubungan itu, beliau juga mempersoalkan mengapa Jais menahan beliau setelah menjadi baik sekarang, tetapi tidak ketika dia sedang bergelumang dalam arus keduniaan sewaktu berada dalam dunia hiburan dulu.

Pada 19 Februari lalu, Bob Lokman atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman menyerahkan borang menjadi ahli PAS.

Beliau menyerahkan borang itu kepada Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Seri Azizan Razak yang juga Menteri Besar Kedah pada majlis Himpunan 30,000 Pemuda PAS di Kompleks PAS Kota Sarang Semut, Alor Setar.

Bob Lokman merupakan penulis lirik lagu terkenal Isabela nyanyian Amy Search.
Bob Lokman dan ustaz yang ditahan malam tadi dilepaskan selepas dibawa ke balai polis tetapi disoal siasat Jais semalam.

Tindakan Jais itu disifatkan oleh beliau seolah-olah mahu menyekatnya supaya tidak menjadi baik, sebaliknya untuk mendorongnya agar terus hanyut dalam arus keduniaan seperti masa lalu.

Menurut Bob Lokman, walau apa pun halangan yang menimpa, beliau tidak akan berganjak dengan pendiriannya sekarang untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah dan terus meninggalkan kehidupan glamour serta penuh kelalaian.

Sehubungan itu, Bob Lokman berkata beliau akan terus melakukan kerja-kerja dakwah dengan mendekati pelbagai golongan dalam masyarakat termasuk para penagih dadah untuk mengajak mereka kembali ke jalan Allah.

Kata Bob Lokman, sekiranya terdapat undangan daripada pelbagai pihak untuk menyampaikan ceramah, beliau juga bersedia memenuhi undangan itu sekadar terdaya untuk menyampaikan mesej Islam, di samping tidak mahu menghampakan pihak terbabit.

“Saya tidak kira soal larangan dari Jais atau sebarang pihak untuk saya berceramah.

Jika larangan itu bukanlah yang patut saya ikut, saya tak akan ikut,” katanya dipetik Harakahdaily.

Begitu juga dengan sekatan yang dikenakan oleh Jabatan Agama Islam ke atas beliau untuk menyampaikan ceramah disebabkan tidak mempunyai tauliah, perkara itu juga tidak berbangkit dalam kehidupannya.

“Tauliah itu bukanlah satu perkara yang penting. Perkara yang penting bagi saya adalah melakukan pekerjaan yang baik iaitu kerja-kerja Islam.

“Jadi, kenapa mesti ada sekatan ke atas saya dan kenapa pula saya mesti patuhi sekatan-sekatan itu sedangkan yang saya sampaikan kepada orang ramai itu adalah perkara yang betul,” katanya.

Bob Lokman ditahan oleh Jais malam tadi kerana dipercayai atas alasan menyampaikan ceramah agama tanpa tauliah setelah beliau selesai berucap ketika solat Maghrib di hadapan kira-kira 70 jemaah di Masjid Kampung Sungai Lui, Hulu Langat.

Selepas ditahan beliau dibawa ke Balai Polis Batu 18 Hulu Langat dan dilepaskan kemudiannya.

Bob Lokman juga diminta hadir di Pejabat Agama Daerah Hulu Langat sebelum tengah hari ini bagi memberikan kenyataan.

Selain beliau, Pengarah Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Pusat, Mohd Sany Hamzan bagi pihak penganjur majlis ceramah itu diminta hadir di pejabat agama tersebut bagi memberikan kenyataan.

Mengulas perkara itu, Bob Lokman yang juga cucu ulama terkenal Kelantan, Tok Kenali mengesahkan penahanannya malam tadi dan turut menegaskan tidak hadir ke Pejabat Agama Daerah Hulu Langat seperti yang diarahkan itu.

Baginya, menghadirkan diri ke pejabat agama tersebut seperti yang diarahkan itu merupakan satu tindakan tidak perlu, malah hanya membuang masa dan wang.

“Saya juga tidak merasakan perlu mematuhi arahan itu kerana pada saya mereka yang melakukan tangkapan ke atas saya itu bukan melakukan kerja untuk agama, tetapi untuk Umno,” katanya.

Sebelum ditahan dan dibawa ke balai polis, menurutnya, beliau telah bertanyakan beberapa soalan kepada Kadi Hulu Langat tetapi soalan-soalan tersebut tidak dapat dijawab.

“Mereka yang datang untuk menangkap saya itu juga mengakui saya tidak menyampaikan perkara yang salah dalam ceramah saya tetapi hanya kerana tanpa tauliah.

“Pada saya, apa yang dilakukan ke atas saya itu jelas arahan politik. Jadi tak perlulah saya ikut arahan mereka itu, malah pada saya mereka bukanlah orang yang wajar saya hormati,” katanya.

Beliau secara tegas menjelaskan, mereka yang melakukan tangkapan dan mengenakan sebarang larangan terhadap seseorang yang melakukan pekerjaan baik untuk Islam bukanlah pihak yang wajar dihormati.

Menyentuh tentang tauliah untuk menyampaikan ceramah, beliau juga menegaskan tidak perlu baginya untuk mendapatkan tauliah tersebut kerana tindakan itu juga jelas mempunyai kaitan dengan permainan politik Umno BN.

“Amat pelik dengan apa yang dilakukan ke atas saya. Saya ditangkap setelah saya selesai menyampaikan ceramah. Pada hal jika mereka tak mahu saya berceramah di masjid itu, mereka sepatutnya menangkap saya sebelum berceramah.

“Saya pula hadir ke majlis itu atas undangan. Kalau saya dilarang berceramah sebelum saya masuk ke masjid oleh pihak Jais, saya tak akan berceramah.

“Jadi, ini amat jelas tangkapan atas arahan politik Umno BN, bukannya tangkapan kerana kerja-kerja Islam, manakala saya pula melakukan kerja-kerja Islam, jadi tak perlulah saya ikuti arahan mereka itu,” tegas beliau.

Jais semalam mengesahkan pihaknya menahan Bob Lokman kerana menyampaikan ceramah agama tanpa tauliah agensi itu di Hulu Langat malam semalam.

Pengarah Jais Marzuki Hussin berkata Bob Lokman ditahan di bawah Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor.

“Jais mengesahkan satu tangkapan telah dibuat ke atas pelakon dan penghibur, Bob Lokman atas ceramah yang dlakukannya di Masjid Sg. Lui, Hulu Langat pada 10 Oktober (semalam).

“Bob Lokman didapati tidak mempunyai tauliah dan tidak pernah memohon tauliah daripada Jais. Tangkapan dibuat berdsrkan maklumat awam,” kata beliau dalam satu kenyataan semalam.

Sumber – The Malaysian Insider

Monday, October 3, 2011

Mat Sabu Lebih Ingat Mat Indera Daripada Asri Haji Muda

Mungkin PAS sekarang begitu marah kepada Tan Sri Asri Haji Muda, Presiden PAS ke 4 sehingga pada perayaan parti itu ke 60 tahun di Kepala Batas, nama Asri bagai mahu dilupakan.

Kenapa begitu sekali sikap PAS berbanding UMNO? UMNO tetap kenang jasa Dato Onn Jaafar sebagai pengasasnya biarpun beliau selepas itu berjuang menentang UMNO.

Anehnya dalam kata pengantar buku Kongres PAS ke 60, nama Asri tercicir seolah-olah tiada jasanya kepada PAS.

Lebih menyerlah, nama Asri tercicir terus daripada Pengerusi Kongres Sambutan 60 Tahun PAS apabila Timbalan Presiden PAS dan Pengerusi Kongres Mohamad Sabu tidak menyenaraikan langsung nama Asri.

Kata Mohs Sayuti Omar (MSO) dalam blognya: "Mat Sabu dalam kata pengantar tidak menyebut atau sengaja meninggalkan nama Mohd Asri Muda dari disenaraikan bersama nama-nama bekas Presiden Pas yang lain. Mat Sabu hanya menyebut nama Burhanuddin, Zulkifli, Yusuf Rawa dan Fadzil Nor tetapi lupa nama Asri yang menjadi presiden Pas ke empat. "

Ikuti tulisan MSO selanjutnya:

Kenapa Mat Sabu Lupa Asri?

PETANG tadi saya berkesempatan meneliti buku cenderamata Kongres Sambutan 60 Tahun Pas yang berlangsung di Dewan Milenium Kepala Batas pada Ahad lepas. Ada sedikit yang saya rasakan buku berkenaan tidak lengkap dan tidak sepatutnya berlaku. Walaupun buku itu hanya beberapa helai saja dan ia mencatat program atau susun atur mengenai kongres berkenaan tetapi ia merupakan satu dokumen penting di masa depan.

Buku itu akan menjadi dokumen sejarah penting untuk seratus tahun akan datang. Buku itu akan dipamerkan kepada umum di masa depan bila ada majlis yang akan mengisahkan kronologi perjuangan dan juga catatan-catatan mengenai apa yang pernah dilakukan pemimpin Pas di sepanjang usia parti itu.

Betapa pun ianya kecil buku itu tetap akan menjadi bahan rujukan kepada pengkaji dan penganalisa perjuangan Pas di masa depan. Mereka yang menjadikan dokumen sebagai sumber dalam hidup ia penting.

Kerana kepentingan itu maka saya merasakan tidak wajar kalau kesalahan yang saya rasakan itu berlaku. Ada dua perkara itu yang saya terkesan. Pertama tentangan ketinggalan nama jawatan Mursyidul Am Pas dan juga kelupaan Pengerusi Kongres Mohamad Sabu menyebut nama Mohd Asri dalam kata pengantar di ruangan Sekapur Sireh.

Buku itu turut menyenaraikan Ahli jawatankuasa kerja Pas Pusat sesi 2011 - 2013, bersama Pesuruhjaya Negeri-Negeri dan juga Wilayah Persekutuan. Tetapi malangnya buku itu tidak sama menyenaraikan kepimpinan tiga Dewan; Ulamak, Pemuda dan Muslimat. Paling dikesalkan ialah buku itu tidak mencatat penjawat Mursyidul Am Pas yang pada masa kini dipegang oleh Nik Abdul Aziz Nik Mat dan timbalannya Dr Haron Din.

Jawatan atau tokoh sepenting Nik Aziz dan Dr Haron tidak sepatutnya dipinggirkan dari buku itu. Nama dan wajah mereka perlu diabadikan untuk melengkapkan hierarki kepimpinan Pas sesi 2011 - 2013.

Begitu juga Mat Sabu dalam kata pengantar tidak menyebut atau sengaja meninggalkan nama Mohd Asri Muda dari disenaraikan bersama nama-nama bekas Presiden Pas yang lain. Mat Sabu hanya menyebut nama Burhanuddin, Zulkifli, Yusuf Rawa dan Fadzil Nor tetapi lupa nama Asri yang menjadi presiden Pas ke empat. Kenapa?

"Dikesempatan ini kita memperingati dan belajar dari Burhanuddin Helmi, Zulkifli Mohamad, Abbas Alias, Mohd Yusuf Rawa, Fadzil Noor dan sejumlah mujahid yang telah pergi." Begitulah kata Mat Sabu.

Mungkin nama Asri alergik kepada Mat Sabu di atas apa yang berlaku maka Mat Sabu merasakan tidak wajar nama Asri keluar dari mulutnya. Tetapi Mat Sabu dan Pas serta sekalian orang dalam Pas yang benci Asri perlu ingat dan sedar bahawa ada juga mereka yang terkenang kepada Asri.

Mungkin pengikut Asri sudah tidak ramai dalam Pas. Apa lagi generasi muda yang lahir pada tahun 80-an sudah tidak tahu dan jauh dengan Asri. Mereka yang menjadikan Mat Sabu sebagai idola tidak kenal siapa Asri.

Tetapi mereka yang kini berusia 80 atau 90 tahun yang pernah bersama Asri naik bukit turun bukit, seberang sungai termasuk dikejar gajah semasa berceramah masih mengingati nama itu. Mereka ini kalau disebut Asri dan diungkit kehebatan bekas Presiden Pas ke empat itu akan meriding bulu roma.

Saya faham didalam Pas ada yang benci nama Asri. Ada orang yang takut untuk menyebut nama Asri kerana nama itu tidak disenangi oleh pemimpin tertinggi Pas. Tetapi itu bukan alasan untuk melupai jasa dan budi Asri didalam Pas. Mereka (setengah pemimpin) tidak suka kepada Asri ialah kerana peribadi. Isu peribadi di antara mereka berdua tidak wajar diheret dan diturut sama oleh orang lain.

Inilah sikap yang tidak baik yang ada kepada orang Pas. Kalau pemimpin mereka tidak senang kepada sesuatu keadaan atau perkara - bukan pun mutlak di tolak perlembagaan, mereka juga akan ikut sama membencinya. Senario pak turut ini dapat dilihat kepada corak pemakaian dan pemilihan jenis kopiah. Perhatikanlah... mana-mana jenis kopiah dipakai pemimpin Pas itulah yang menjadi idaman mereka. Inilah unsur taksub dalam Pas.

Berbalik kepada Asri tadi, Pas tidak sepatutnya melupai akan jasa dan pengorbanannya. Sejarah tidak boleh disapu begitu saja. Setiap sejarah ada catatan ada ingatan. Kalau kita tidak menyebut dan cuba menafinya tetapi masih ada catatan dan orang lain mengingatinya.

Kalau Mat Sabu benar sengaja melupai Asri berdasarkan catatan di ruangan Sekapur Sireh itu ini satu kesengajaan yang yang tidak perlu diteruskan. Ia perlu diperbetulkan di lain kali. Orang juga akan bertanya dan mempersoalkan akan moral dan kredibiliti Mat Sabu. Kalau beliau boleh ingat dan kenang Mat Indera, tetapi kenapa boleh terlupa untuk menyebut nama Asri?

Kita semua akan marah kalau kerajaan UBN cuba menggelapkan sejarah orang yang berjuang kemerdekaan negara ini. Tetapi anihnya dalam masa sama kita melupai nama-nama orang yang membesar dan berkorban untuk parti sendiri, Pas.

Saya dapat tahu tidak ada pengkisahan agak mendalam tentang perjuangan bekas-bekas pemimpin Pas itu termasuk Asri pada kongres berkenaan. Cuma Salahuddin Ayub semasa majlis forum perdana khabarnya ada menyebut dan menyanjungi akan jasa dan bakti Asri kepada Pas. Syabas kepada Sallahuddin atas ingatan itu setidak beliau mewakili pemimpin lain yang mudah memandang rendah kepada pemimpin yang mereka tidak suka walaupun ia adalah realiti.

Mulai hari ini jangan dipertikaikan mengenai takdir yang menimpa Asri itu. Apa lagi menjadikan takdir menimpa dirinya mati dalam Umno untuk marahkannya. Sesiapa pun di antara kita (kalangan pemimpin Pas hari ini) tidak dapat memastikan akan mati berlapikkan bendera warna apa?

Jadi soal mati di mana, atas bendera warna apa bukan alasan untuk kita mengambus sejarah seseorang yang selama hayatnya bersama kita. Belajarlah jujur kepada diri sendiri dan orang lain juga. [wm.kl.8:46 pm 03/10/11]