Thursday, September 19, 2013

Tengku Adnan Bidas Media Cina Pertikai Agenda Memperkasa Ekonomi Bumiputera

"Janganlah ada orang mainkan cerita dalam akhbar khususnya akhbar Cina (yang) kononnya bila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengeluarkan kenyataan berkenaan Dasar Ekonomi Bumiputera, kita (kerajaan) tidak peduli kepada bangsa Cina.(Itu) tidak (benar)...Saya tidak boleh baca akhbar Cina tetapi daripada laporan yang saya terima, saya terkejut."
- Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada Khamis membidas media berbahasa Cina yang katanya cuba menimbulkan isu perkauman mengenai agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang dilaksanakan kerajaan.

Beliau kesal kerana tindakan media vernakular itu dan mendakwa ia boleh memecah-belahkan perpaduan kaum di negara ini, yang sedia terjalin erat.

"Janganlah ada orang mainkan cerita dalam akhbar khususnya akhbar Cina (yang) kononnya bila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengeluarkan kenyataan berkenaan Dasar Ekonomi Bumiputera, kita (kerajaan) tidak peduli kepada bangsa Cina.(Itu) tidak (benar).

"Bila kita bantu kaum Bumiputera, kita tidak pernah meminggirkan kaum Cina atau India, tidak pernah dalam sejarah kita," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perbarisan sempena Hari Penguatkuasa Ke-44 Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) 2013 di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr Loga Bala Mohan Jaganathan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib.

Tengku Adnan berkata sebenarnya pelaksanaan agenda itu ialah untuk mewujudkan keseimbangan ekonomi antara kaum di negara ini kerana kedudukan ekonomi Bumiputera lemah berbanding kaum Cina. 

"Keseimbangan ekonomi kaum penting untuk mengekalkan perpaduan dan keharmonian dalam negara," tambahnya.

"Saya tidak boleh baca akhbar Cina tetapi daripada laporan yang saya terima, saya terkejut," katanya.

Sabtu lepas, Najib melancarkan agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera bagi mencipta serta menjana kekayaan baharu agar nikmat dan kemakmurannya diraih dan dirasai semua rakyat Malaysia secara adil dan saksama.

Malah Najib dalam ucapan pelancarannya meminta rakyat supaya tidak salah sangka dan salah faham terhadap usaha Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera itu yang dilaksanakan bukan dengan jalan memintas atau mengambil hak orang lain mahupun menafikan kepentingan sesiapa.

Di bawah agenda itu, sebanyak lima strategi utama bagi memperkasa ekonomi Bumiputera turut diumumkan, meliputi modal insan, pemilikan ekuiti, pemilikan aset bukan kewangan, keusahawanan dan penyampaian perkhidmatan.

Saturday, September 14, 2013

Ops Cantas - Tuduhan Jahat, Tidak Berasas Terhadap Polis

Ops Cantas pagi ini di sebuah pusat hiburan di Georgetown.
Tidak guna menafi, ambil tindakan terahadap mereka yang membuat tuduhan.

Sudah-sudahlah dengan amaran dan penafian.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata hari ini, Ops Cantas yang sedang dijalankan oleh pihak polis tidak mempunyai sebarang unsur perkauman dan tidak mensasarkan kaum India sahaja.

Menurutnya, cakap-cakap orang ramai yang mendakwa hanya satu kaum disasarkan adalah tidak benar dan merupakan "komen-komen nakal yang tidak sepatutnya dibuat".

"Tangkapan yang paling ramai adalah terhadap orang Melayu.

"Kita telah tangkap paling ramai Melayu iaitu 15,000 orang berbanding bangsa India sekurang-kurangnnya 3,000...adakah itu rasis? Jangan buat tuduhan kata kita rasis kerana ia tuduhan yang jahat.

"Kita jalankan tanggungjawab mengikut lunas undang-undang yang ada dan kita 'colour blind'.

Dalam kes di Melaka polis berjaya menembak mati dua suspek, kita bertindak demikian kerana suspek bertindak ganas, tidak mungkin kita akan berpantun dahulu dengan suspek sebelum bertindak," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan inisiatif 'National Blue Ocean Strategy: Go To Safety Points' dekat Kuala Lumpur,  hari ini.

Bercakap lebih lanjut, Khalid berkata polis sehingga kini telah mengenal pasti sekurang-kurangnya 130 orang yang akan didakwa di bawah Akta Pertubuhan 1966 manakala 56 orang lagi akan didakwa di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 susulan Ops Cantas.

Ops Cantas bermula pada 17 Ogos lalu untuk membanteras jenayah gangster dan masih lagi berterusan sehingga hari ini. Amat nyata dakwaan kononnya PDRM melaksanakan Ops Cantas Khas dengan menyasarkan kaum tertentu adalah dakwaan jahat dan tidak berasas.

Khalid berkata berdasarkan tangkapan yang dibuat dalam Ops Cantas Khas di seluruh negara, sekurang-kurangnnya 130 orang akan didakwa di mahkamah mengikut Akta Pertubuhan 1966.

"Sebanyak 50 orang akan didakwa mengikut Akta Pencegahan Jenayah dan banyak lagi tangkapan lain, tangkapan yang akan kita tuduh mengikut pelbagai lagi kesalahan jenayah lain.

"Bagaimanapun, kita masih belum berpuas hati dengan apa yang diperoleh dalam operasi ini selagi jenayah masih ada... inisiatif ini dan pelbagai lagi inisiatif dalam memerangi jenayah akan dilaksanakan secara berterusan," katanya.

Beliau berkata dalam meneruskan inisiatif Ops Cantas Khas yang dijalankan sejak Ogos lepas, usaha terus dipertingkat bagi mengesan 'kepala' kumpulan kongsi gelap ini seterusnya mengambil tindakan berdasarkan apa jua peruntukan undang-undang termasuk Akta Pengubahan Wang Haram. Ops Cantas Khas yang bermula 17 Ogos lalu menahan 4,806 orang daripada 122,255 orang yang diperiksa sehingga 6 Sept lepas. 

Naib Presiden MIC Datuk M Saravanan berkata Ops Cantas Khas yang dilaksanakan PDRM sejak 17 Ogos lepas akan membendung gejala gangsterisme di kalangan belia India.

Saravanan yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata tindakan itu juga akan meningkatkan kepercayaan rakyat kepada PDRM dalam mengatasi masalah jenayah terutamanya melibatkan gangsterisme.

"Ia merupakan satu tindakan yang begitu baik untuk 'membersihkan' belia kita dan pujian harus diberikan kepada Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) atas ketegasan beliau melaksanakan operasi ini.

"Walaupun ada yang tidak puas hati dengan operasi ini, saya seru mereka supaya berikan kerjasama sepenuhnya kepada PDRM demi memastikan belia harapan kita ini mampu menjadi tunjang negara satu hari nanti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kem Badminton Astro di Ayer Keroh di Melaka,  hari ini.

Saravanan berkata PDRM tidak sepatutnya dibiarkan berseorangan dalam melaksanakan operasi itu dan orang ramai perlu tampil memberikan maklumat bagi bersama PDRM membendung masalah jenayah terutamanya di kalangan belia.

Sumber Bernama, Malaysiakini