Friday, March 31, 2017

EXCO PAS Tidak Wajar Tinggalkan Kerajaan Negeri Selangor


Tekanan di media sosial jangan dijadikan ukuran untuk PAS keluar kerajaan Selangor.

Kenyataan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad bahawa PAS Selangor menunggu arahan daripada kepimpinan pusat sama ada kekal atau keluar dari kerajaan negeri adalah keputusan yang baik.

Lagipun dengan langkah seperti itu PAS Selangot tidak bertindak atau mahu mendahului arahan parti, walaupun berdepan tekanan di media sosial.

Oleh kerana ketika ini tiada arahan untuk keluar daripada kerajaan negeri, adalah elok untuk PAS Selangor terus berada dalam kerajaan negeri. Lagipun, ada berbagai kemungkinan dalam kerjasama PAS dengan PKR dan kemungkinan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang juga anggota Pakatan Harapan (PH).

Walau ada pelbagai desakan, kepimpinan PAS Selangor mesti bijak mengatur strategi, apalagi dalam hubungannya dengan PKR. Setidak-tidaknya mendahulukan PKR!!!

Pada PRU13, PAS dan DAP masing-masing menang 15 DUN dengan PKR mendapat 14 kerusi sementera BN menang hanya 12 kerusi di Selangor.

Bagaimanapun PAS kini tinggal 13 ADUN selepas dua melompat ke PAS dan bekas Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dari PKR menjadi ADUN Bebas. DAP kekal dengan 15 ADUN sementara PKR juga 13 ADUN seperti PAS.


Pada  24 Mac lalu, Pemuda PAS Kuala Selangor, Subang, Serdang dan Pandan sebulat suara meluluskan usul memutuskan hubungan dengan PKR, selepas usul sama diluluskan di Tumpat (Kelantan), Permatang Pauh dan Bayan Baru (Pulau Pinang).

Ketua Pemuda PAS Kuala Selangor Ahmad Hakimi Othman berkata keputusan pihaknya dicapai berdasarkan tiga peristiwa membabitkan hubungan PAS dan PKR negeri.

1. Pemimpin PKR Melayu Islam memandang sinis usaha memartabatkan mahkamah syariah dan memejamkan mata dalam penerangan yang diberikan.

2. Pilihan Raya Kecil Sungai Besar melihatkan pengkhianatan jelas terhadap unsur-unsur tahaluf siyasi PAS yang digariskan dalam Majlis Syura Ulama, dan

3. Isu air Selangor dan pertikaian dengan Splash masih tidak diselesaikan hingga menyeret PAS dalam krisis keyakinan rakyat terhadap tindak tanduk kerajaan yang ada.

AZMIN...Bincang masalah secara tertutup.
Iskandar yang juga EXCO kerajaan negeri berkata: “Sekarang ini ramai orang yang lebih presiden daripada presiden,” tambahnya, yang juga exco kerajaan negeri.

PAS mengekalkan hubungan politik dengan PKR, walaupun selepas Pakatan Rakyat terkubur dan bertegas tidak akan bekerjasama dengan DAP dan Amanah, sekutu PKR dalam PH. 

 PKR memimpin kerajaan Selangor, yang disertai PAS, DAP dan AMANAH, hasil daripada persetujuan dalam kalangan pembangkang sejak pilihan raya umum ke-12.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini (25 Mac 2017) menggesa PAS dan PKR menghentikan perbalahan dalam media, sebaliknya kedua-dua parti perlu membincangkan masalah mereka secara tertutup.

“Ini bukan masanya untuk kita berbalah secara terbuka. Saya menggesa semua pihak duduk dan berbincang,” kata timbalan presiden PKR itu.

“Paling penting, letak kepentingan negara dan rakyat di tempat pertama kerana keutamaan kita ialah hadapi pilihan raya akan datang,” katanya.

Ketegangan antara kedua-dua parti semakin memuncak di Selangor selepas Azmin mengejek kekalahan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dalam pemilihan PAS Kawasan Pengkalan Chepa di Kelantan, pada 18 Mac lalu.

Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengesahkan nasib kerjasama antara kedua parti akan ditentukan pada mesyuarat agung tahunan yang dijadualkan pada 29 April hingga 1 Mei di Kota Sarang Semut, Kedah, selepas beberapa kawasan termasuk di Selangor meluluskan usul memutuskan kerjasama dengan PKR.

Iskandar sebelum ini memberi amaran tindakan memutuskan kerjasama dengan PKR hanya akan membuka laluan kepada AMANAH.

“Kita tidak takut hilang jawatan…tapi kita takut AMANAH akan masuk (ke dalam pentadbiran kerajaan Selangor).”

Sudah nyata bahawa tiga anggota EXCO Selangor daripada PAS tidak akan keluar daripada kerajaan negeri yang diterajui PKR selagi tidak menerima arahan pucuk pimpinan tertinggi parti.

Selain Iskandar dua lagi Exco sedang menunggu keputusan muktamar PAS bulan depan, sebelum memutuskan langkah seterusnya.

“Saya ikut arahan presiden parti sebab kita hanya ada satu presiden sahaja… buat masa ini tiada arahan untuk itu, jadi kita bertugas seperti biasa,” katanya.

Selain Iskandar, dua lagi anggota Exco kerajaan negeri daripada PAS ialah Zaidy Abdul Talib dan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.

Hubungan PAS-PKR tegang susulan ada cadangan daripada beberapa PAS kawasan yang menuntut pucuk pimpinan memutuskan kerjasama dengan PKR selepas parti itu bertegas untuk menjalin kerjasama dengan AMANAH dan DAP.

Nik Abduh pula baru-baru ini mengesahkan rancangan presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk menawan Selangor.

Sunday, March 26, 2017

“Tak Tanya’ Atau Nazri Kelu Berdepan Cendol, Dr Mahathir?


Pertamuan antara bekas ‘Bos’ dengan ‘anak buahnya’ di tepi Sungai Perak di Kuala Kangsar kelmarin sangat menarik.

Walaupun dialog dibatalkan, dan kedua-duanya  sekadar menghirup semangkuk cendol petang semalam, pertemuan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Nazri Aziz tetap berlaku.

Dr Mahathir mendedahkan bahawa Nazri berusaha bertemunya apabila berhenti untuk menikmati cendol dan laksa di sebuah gerai terkenal di Kuala Kangsar.

Bagaimanapun, dilaporkan  Nazri hanya mendiamkan diri atau 'kelu' semasa pertemuan itu.

Itulah ketentuan Allah. Namun di sebalik pertemuan itu satu perkara yang masih diperkatakan ialah kenapa Nazri diam dan Dr Mahathir pun tidak membuka mulut untuk berbual dengannya.

Dr Mahathir mengatakan beliau sendiri  hairan mengenai suasana 'sepi' antara kedua-dua mereka pada pertemuan semalam.

"Dia bertekad jumpa dengan saya tetapi apabila kami bertemu di tempat cendol, dia tidak berkata apa-apa. Apa gunanya berjumpa tetapi tidak kata apa-apa," jelas Mahathir.

Lantas Dr Mahathir malam kelmarin membandingkan mikrofon dengan 'mulut Nazri'.

"Mikrofon ini seperti Nazri, hilang suara", kata Dr Mahathir berjenaka.


Kata-kata Dr Mahathir itu disambut dengan  gelak ketawa oleh hadirin pada  program ceramah anjuran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada sebelah malam di Kuala Kangsar itu.

Kata-kata Dr Mahathir itu dibuat secara sepontan apabila ketika berucap itu tiba-tiba mikrofon yang digunakannya tidak berfungsi.

Selepas seminit lebih, setelah pihak penganjur bergegas untuk menyelesaikan masalah, Dr meneruskan ucapannya.

Dr Mahathir turut  menceritakan kesungguhan Nazri untuk berdebat dengannya. "Tetapi saya nampak partinya tidak sokong, kerajaan tidak sokong, tiada siapa yang sokong dia supaya dia tidak boleh berdebat dengan saya,"

Nazri pula hari ini berkata hanya mendiamkan diri ketika pertemuannya dengan bekas Perdana Menteri, itu semalam kerana tidak ditanya sebarang soalan.

Menurut Nazri, beliau mahu menghormati majlis kerana terdahulu, Naib Presiden PPBM, Datuk Hamidah Osman berkata, tiada ucapan akan disampaikan di kawasan gerai-gerai berkenaan.



"Ia adalah kesempatan bagi mereka, bukan saya, jadi saya hormati apa yang mereka tanya saya, jadi saya tak berkata apa-apa.

"Tetapi saya banyak bercakap dengan orang di sebelah kanan saya, kerana dia tanya soalan, jadi saya jawab. Tetapi Mahathir tak tanya apa-apa kepada saya," kata Nazri.

"Jadi saya hanya menunggu dia bertanya apa-apa kepada saya. Dia tak tanya dan saya tak mahu ganggu privasi dia sedang menikmati cendol.

"Sebagai penghormatan, saya hanya menunggu dia, (tetapi) dia tak bertanya," kata Nazri ketika dihubungi Malaysiakini.

Nazri berkata, Dr Mahathir kemudian menyebut mengenai Sungai Perak dan mahu melihat kawasan berkenaan.

"Kami hanya ikut dia, kemudian dia bercakap dengan orang yang berdiri dekat kami dan kata dia nak pergi, dan saya ucapkan selamat jalan, itu sahaja," katanya.


Apapun kedua-duanya dijangka bertemu lagi pada debat di Shah Alam pada 7 April nanti. 

Wednesday, March 22, 2017

Laporan Kononnya Persediaan Untuk Dakwa Jho Low Hanya Spekulasi?


Ini semua mungkin tidak benar dan sengaja dibuat spekulasi.
 Jangan percaya bahawa sepasukan dari Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) sudah selesai menemuramah beberapa pihak di Singapura berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) baru-baru ini.

Hasilnya, pihak berkuasa itu sudah  bersedia untuk mendakwa Low Taek Jho, atau Jho Low, jutawan rakyat Malaysia kelahiran Pulau Pinang yang dinamakan Jabatan Kehakiman AS (DOJ) tahun lalu dalam kertas siasatan salah guna wang 1MDB.

The Wall Street Journal  (WSJ) sengaja memperbesar-besarkan berita kononnya kumpulan Jho Low terlibat dalam apa yang mereka percaya sebagai "salah satu penipuan kewangan terbesar dalam sejarah".

Dengan memetik sumber-sumber biasa dengan siasatan, WSJ berkata, pendakwa AS merancang memfailkan tuduhan jenayah penipuan dan pengubahan wang haram terhadap Low dan beberapa rakan-rakannya yang berpotensi.

DOJ baru-baru ini berusaha memasukkan beberapa harta milik keluarga Jho Low ke dalam senarai aset yang mahu disitanya.

Hotel Park Lane di New York milik Joho Low
Ia termasuk kapal layar mewahnya, Equanimity, bernilai AS$165 juta (RM730 juta).

Ahli keluarga Jho Low sebaliknya bertindak menentang usaha itu dengan melibatkan proses mahkamah iautu melawan tindakan DOJ itu.

Kenapa ambil sumber dari Singapura? Ini tidak benar dan tidk adil. Sepatutnya datang ke Malaysia menemuramah tiga pihak penting – Polis diRaja Malaysia (PDRM), Peguam Negara (AG) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

Tiga serangkai ini lebih tahu mengenai 1MDB berbanding institusi tertentudi Singapura.

Kalau individu pula, beberapa orang ini sepatutnya ditemuramah iaitu Ketua Setiausaha Negara, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, bekas Ketua Audit Negara serta beberapa menteri, termasuk Menteri Penerangan dan Komunikasi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri serta Menteri Kewangan sendiri.

Kenapa ‘bodoh’ sangat pihak bekuasa ke Singapura untuk mendapat maklumat benar?

Lagipun yang mengatakan Jho Low akan diheret ke mahkamah ialah akhir The Wall Street Journal (WSJ) yang tidak ada kredibiliti  di mata pemerintah Malaysia dan semua pihak yang disebutkan di atas.

WSJ pula memetik hanya sumber di Singapura yang berkata pasukan DOJ baru-baru ini selesai melakukan soal siasat di republik itu dalam persediaannya mendakwa Jho Low, yang dilihat berat sebelah.

20 Julai tahun lalu , DOJ menerusi siasatannya mendapati lebih AS$3.5 bilion dilencongkan daripada dana 1MDB, syarikat milik Kementerian Kewangan yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 2009.

Rizal Aziz...turut dikaitkan.
Walaupun tidak ada bukti lengkap DOJ tiba-tiba  memfailkan saman sivil di Los Angeles untuk merampas sejumlah AS$1.2 bilion aset yang dibeli dengan dana didakwa digelapkan daripada 1MDB itu.

Dana itu kemudian dipindahkan ke AS menggunakan syarikat kosong, dan menamakan beberapa individu.

WSJ dianggap ‘jahat’ apabila menamakan beberapa individu, selain  Jho Low, seperti anak tiri Najib (anak Rosmah Mansor) Riza Aziz, dan pegawai kerajaan Abu Dhabi Khadem al-Qubaisi dan Mohamed Ahmed Badawy Al-Husseiny.

WSJ turut melaporkan sejak pengumuman DOJ mengenai hasil siasatannya ke atas 1MDB tahun lalu, Jho Low, 35 tahun, kerap berulang alik dari China ke Thailand, setelah “diarahkan mengelak Malaysia”.

Ia memetik seorang pekerja Hotel Peninsula di Shanghai sebagai berkata kapal layarnya kini berlabuh di perairan Thai sejak Oktober lepas.

WSJ turut memetik ucapan Tahun Baharu daripada Jho Low kepada temannya di aplikasi WeChat.

“2016 merupakan ribut, tetapi ketenangan dan keazaman Kapten kami memastikan pelayarnya yang yakin penuh terhadap kepimpinannya melalui ribut itu.”

Apa yang melegakan keluarga Jho Low dan mereka yang didakwa terlibat, termasuk keluarga Rizal Aziz ialah, WSJ tidak melaporkan dengan jelas bilakah tuduhan jenayah itu akan difailkan.

Apakah ia hanya spekulasi dan mahu menghangatkan kembali isu penipuan kewangan terbesar dalam sejarah ini selepas dingin beberapa ketika?

Selain itu rancangan itu juga boleh diubah atau digugurkan memandangkan siasatan masih diteruskan, menurut laporan itu.

Di sebalik itu semua, apakah WSJ sebuah akhbar antarabangsa tidak berintegriti, DOJ tidak bermaruah dan penangkapan serta keputusan mahkamah di Singapura sebagai tidak telus?

Jawapan di fikiran anda bukan percaya bulat-bulat kenyataan pendokong dan 'penjilat' Najib di Malaydia!!!



Tuesday, March 14, 2017

PPBM Cadang PH Guna 1 Logo, 1 Manifesto Serta 1 Calon Hadapi BN...


Persetujuan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang sebulat suara bersetuju untuk membentuk gabungan rasmi dengan Pakatan Harapan (PH) akan  meletakkan keadaan yang semakin kukuh kepada gabungan parti-parti politik menentang Barisan Nasional (BN).

Di bawah cadangan itu, semua tiga  parti komponen PH, bersama dengan PPBM akan menyertai pilihan raya umum (PRU) akan datang di bawah 1 logo, 1 manifesto, dan seorang calon bagi setiap kerusi yang mereka putuskan untuk bertanding.

Walaupun bersetuju untuk menyertai PH, cadangan yang dicapai oleh PPBM masih belum dibentangkan kepada PH.

Ini bukan kali pertama pemimpin berusia 91 tahun itu mencadangkan gabungan membabitkan semua parti pembangkang yang mempunyai matlamat hampir sama iaitu menewaskan kerajaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Malah, Dr Mahathir berkali-kali menegaskan satu-satunya cara pembangkang boleh membentuk kerajaan ialah dengan syarat semua bekerjasama memastikan pertandingan 1 lawan 1 terhadap BN pada PRU14.

Pada September tahun lalu, Timbalan Presiden PPBM Datuk Seri Mukhriz Mahathir membuat desakan sama dan mencadangkan gabungan pembangkang baharu yang dinamakan “Barisan Rakyat”.

Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata gabungan tiga  pihak itu “sudah tahu mengenainya”.


“Mesyuarat hari ini fokus kepada satu perkara sahaja, iaitu penyertaan PPBM dengan PH, di bawah satu pakatan besar pembangkang,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi PPBM di Petaling Jaya hari ini.

Dr Mahathir berkata perkara itu bagaimanapun belum diputuskan namanya. “Tetapi kami setuju selain nama baharu, kami juga perlu ada logo baharu dan simbol untuk PRU akan datang.”

Perkara ini akan dimaklumkan secara rasmi kepada PH mengenai keputusan kami tidak lama lagi.

PPBM juga akan mengemukakan permohonan rasmi menyertai gabungan PH namun meminta nama itu ditukar.

"(PPBM) juga bersetuju bahawa polisi yang kita persetujui ialah, kita perlu - selain daripada mengadakan nama yang baru - kita juga ingin ada suatu logo dan simbol untuk (menghadapi) pilihan raya dan mempunyai satu manifesto," kata Dr Mahathir.

Pengerusi BERSATU itu berkata, secara dasarnya BERSATU bersetuju selain nama pakatan baru, mereka juga ingin suatu logo bersama yang baru serta manifesto untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Menurut Dr Mahahir, pemimpin PH sudah mengetahui niat PPBM  mahu menyertai gabungan berkenaan. Justeru, katanya, beliau berharap, penyertaan rasmi parti berkenaan dalam HARAPAN dapat menjadi kenyataan tidak lama lagi.

Ditanya sama ada beliau percaya PH akan bersetuju dengan cadangan itu, terutama membabitkan seorang calon mewakili pakatan di setiap kerusi, Dr Mahathir menjawab dengan nada positif.


Dr Mahathir yang juga perdana menteri paling lama berkhidmat berkata ini kerana PH sudah sedar kegagalan mereka menyatukan semua parti dan bertanding di bawah satu simbol, adalah alasan mereka kalah pada PRU lalu.

“Kami akan berbincang lanjut mengenai perkara ini bila kami berada dalam pakatan. Tetapi prinsipnya di sini ialah kami akan hanya meletakkan seorang calon bagi setiap kerusi bagi mewakili pakatan.

“Kemudian kami akan mendesak semua ahli pakatan untuk menyokong dan undi calon tunggal itu,” katanya.

Berkaitan dengan PAS, Dr Mahathir berkata parti itu amat dialu-alukan untuk menyertai pakatan baharu, walaupun perkara itu masih belum dibincangkan lagi.

“Kami terbuka untuk menubuhkan sekutu dengan mana-mana parti. Bukan saja PAS, tetapi ada dua atau tiga parti lain yang berminat,” katanya.

Sunday, March 12, 2017

Kenapa Kerajaan BN Takut Sangat Dengan Konvensyen FELDA 19 Mac???


Kenapa Konvensyen FELDA anjuran Pakatan Harapan (PH) dianggap sebagai agenda hasut rakyat?

Apabila sahaja ada perbincangan mengenai isu negara, pembangkang dianggap sebagai penghasut yang cuba mengkhianati kerajaan Barisan Nasional (BN).

Apakah sesuatu isu yang menjadi kepentingan rakyat – apabila dibahaskan – boleh menjadi sesuatu yang membawa kebencian kepada kerajaan?

Apakah pengurusan FELDA termasuk Pengerusinya, Tan Sri Shahrir Abdul Samad bimbang sangat akan ‘tergugat dan tercungap-cungap’ untuk menjawab persoalan yang akan dikemukakan?

Apakah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga bimbang akan ‘tempias’ persoalan yang akan dikemukakan di konvensyen berkenaan?

Kerana itu, apabila sesuatu persoalan membabitkan agensi kerajaan ditimbulkan, kerajaan denga kadar segera yang mungkin mahu membatalkannya.

Persoalannya apakah sesuatu perbincangan atau konvensyen seperti yang hendak diadakan ini perlu mendapat kebenaran agensi berkenaan?

Semakin pelik apa yang berlaku di negara ini. Jika mahu membincangkan mengenai ‘kemusnahan yang dilakukan BN’, apakah perlu meminta kebenaran BN untuk menggunakan namanya?


Semakin kalut dan haru-biru jadinya politik dan pentadbiran di Malaysia sekarang.

Jelas kerajaan bimbang PH akan mendedahkan kegagalan dan ‘suasana keburukan’ dalam FELDA yang sepatutnya menjadi pelindung kepada peneroka.

Semalam Shahril menyifatkan tindakan PH menganjurkan Konvensyen FELDA di Shah Alam, Selangor pada 19 Mac ini, hanya bermotifkan agenda politik.

Shahrir - Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional – menganggap konvensyen itu sebagai sesuatu yang ingin menghasut rakyat, khususnya peneroka bagi membenci kerajaan.

Malah konvensyen itu dianggap tidak perlu serta merumitkan keadaan dan tidak akan menaikkan harga getah atau sawit.

Sebelum ini Kami Anak FELDA (KAF) turut membantah konvensyen itu yang dianggap hanyalah sebagai agenda politik pembangkang.

Timbalan presidennya, Datuk Mohamad Sahfri Ab Aziz berkata, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan terhadap penganjur ini kerana dikatakan telah menyalahgunakan nama FELDA untuk mengelirukan rakyat dan warga FELDA.

“Umum mengetahui kawasan FELDA didiami majoritinya oleh bangsa Melayu. Tindakan mengadakan konvensyen ini menunjukkan kerakusan parti DAP menggunakan pemimpin Melayu dari kalangan pembangkang untuk merosakkan perpaduan dan keutuhan silaturahim di kalangan warga peneroka yang telah lama wujud di kawasan tanah rancangan itu.

“Penglibatan DAP yang diketuai Lim Kit Siang dengan menggunakan pemimpin-pemimpin Melayu pembangkang seperti Datuk Seri Dr Wan Azizah, Tun Dr Mahathir Mohamad, Rafizi Ramli dan Mohamad Sabu untuk masuk ke kawasan FELDA jelas menunjukkan pakatan koperasi ‘Ali Baba’ mereka,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin (10 Mac 2017).

Jelasnya, sebagai generasi penerus Legasi FELDA, segala kepercayaan diberikan kepada  Shahrir dan pengurusan FELDA untuk melakukan transformasi terbaik untuk kemajuan FELDA dan warganya.

Sebelum ini, peneroka FELDA Wilayah Jengka membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Pusat Jengka, Pahang bagi membantah penganjuran Konvensyen FELDA ini. Laporan polis dibuat untuk membantah konvensyen itu kerana ia terang-terangan telah salah guna nama FELDA.

Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang sebaliknya berkata FELDA seharusnya tidak rasa takut dan bimbang dengan konvensyen berkenaan, sebaliknya pengurusan agensi itu wajar mengalu-alukan usaha pihak pembangkang itu jika mereka berada di landasan betul.

Mereka (FELDA) wajar menghantar pegawai-pegawai tertinggi untuk menghadiri konvensyen bagi menjamin kedudukan 100,000 peneroka FELDA adalah baik selari dengan slogan ‘berani kerana benar.

Beliau hairan dengan kenyataan Pengarah Besar FELDA, Datuk Hanapi Suhada kelmarin bahawa pengurusan FELDA menyuarakan bantahan dan menegaskan organisasi itu sama sekali tidak terlibat dengan penganjuran Konvensyen FELDA oleh PH.

Hanapi dalam satu kenyataan dikeluarkan semalam, yang dipetik Bernama, berkata, pihaknya tidak pernah memberi sebarang kebenaran untuk menggunakan nama FELDA sebagai tajuk konvensyen tersebut.

Selanjutnya, Hanafi menegaskan, kebelakangan ini terdapat pihak yang berusaha untuk mengganggu-gugat kesejahteraan dan keharmonian masyarakat peneroka. Yang terbaru, Pakatan Harapan dijadual mengadakan Konvensyen FELDA, Kelangsungan FELDA Melalui Pengupayaan dan Pendidikan.

“Penggunaan nama FELDA sebagai tajuk konvensyen tersebut akan mengelirukan peneroka dan masyarakat awam amnya,” kata beliau.

Johari meminta pengurusan FELDA perlu
 mengambil tindakan ke atas PH.
 “Saya rasa hairan apabila membaca berita Bernama bahawa pihak FELDA tersinggung dengan Konvensyen FELDA anjuran Pakatan Harapan di Shah Alam pada Ahad, 19 Mac, dengan menyatakan bantahan sambil menegaskan FELDA sama sekali tidak terlibat dalam Konvensyen FELDA (dimaksudkan),” kata Kit Siang.

Berucap menyatakannya pada satu majlis Dewan Sri Cheeding selepas melawat Kg Jenjarom dan Kg Sri Cheeding ketika Jelajah Desa ke kawasan Dewan Undangan Negeri Teluk Datuk, Selangor semalam.

FELDA dikatakan memandang berat perkara ini kerana kemungkinan terdapat pembentangan yang tidak tepat dan dikhuatiri akan mengganggu-gugat keharmonian dan kesejahteraan masyarakat di rancangan-rancangan FELDA.

Katanya, sejak ditubuhkan pada 1956, FELDA tidak pernah lari daripada objektif utamanya bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat peneroka di 317 rancangan di seluruh negara.

Kit Siang menambah, apa yang diperkatakan oleh Hanapi itu adalah kenyataan yang paling luar biasa dan juga bersifat histeria, yang mencerminkan mentaliti sempit dan tidak berfikiran jauh.

“Saya akan sangat terkejut jika kenyataan Hanapi ini telah mendapat restu Pengerusi FELDA yang baru (Shahrir), di mana ahli politik veteran Umno ini telah berubah dengan ketara sejak menjadi Pengerusi FELDA.”

Kit Siang sebaliknya berharap kepimpinan baik Shahrir akan terserlah manakala pengurusan FELDA akan menerima pakai pendekatan positif dengan menghulurkan kerjasama kepada Konvensyen FELDA pada 19 Mac ini, dengan memastikan mereka akan menghantar wakil untuk menyertai bersama.

Sementara itu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani meminta pengurusan FELDA perlu mengambil tindakan ke atas PH kerana tidak mendapat kebenaran untuk menggunapakai nama lembaga itu bagi penganjuran Konvensyen FELDA pada 19 Mac ini.

Katanya PH sepatutnya meminta kebenaran daripada pengurusan FELDA sebelum menerus atau memutuskan menganjurkan apa jua program membabitkan nama FELDA.


Beliau bimbang nama FELDA selaku organisasi kerajaan yang banyak membantu peneroka akan disalahgunakan pakatan pembangkang jika penganjuran konvensyen itu semata-mata memburukkan FELDA kepada orang ramai.

Thursday, March 9, 2017

Najis Rasuah Penjawat Awam Serius, Keyakinan Rakyat Terhakis?

Azam...sbimbang rasuah dalam kalangan penjawat awam 
Sebanyak 665 kertas siasatan rasuah dibuka sepanjang 2016 hingga Februari tahun ini melibatkan penjawat awam.

Daripada 665 kertas siasatan itu, seramai 548 penjawat awam ditangkap dan 63 kes dituduh di mahkamah.

Ini menunjukkan betapa seriusnya rasuah dalam kalangan penjawat awam dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) khuatir jumlah ini akan terus meningkat sekiranya tidak dibendung dari sekarang.

Pengakuan ini dibuat oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki semalam pada majlis Kementerian Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Bersama SPRM di KKLW di Putrajaya.

Mungkin hanya Azam dan kakitangannya sahaja yang khuatir kerana jelas menteri dan ketua-ketua pentadbiran sama ada di Putrajaya atau di negeri-negeri melihatnya sebagai gejala biasa.

Apakah mereka tidak bimbang dengan gejala ‘najis rasuah ini’?

Diakui bahawa SPRM sudah mengorak langkah yang baik malah kekhuatiran SPRM itu jelas mempunyai asas yang turut mempersoalkan integriti penjawat awam.

Soalnya mereka ini adalah penjawat awam dengan kerajaan yang ada sekarang yang  menerima mandapt rakyat melalui pilihan raya umum ke-13 lalu.

Dzulkifli Ahmad berkata pihaknya akan terus melipatgandakan usaha 
Bermakna kerajaan Barisan Nasional (BN) perlu bertanggungjawab dalam kes ini.

Apabila didedahkan kedudukan ini apakah pemerintah di Putrajaya atau kerajaan pembangkang yang memerintah di Pulau Pinang dan Kelantan yang wajar dipersalahkan?

Rasuah yang sedang membarah ini bukan mudah untuk ditangani dan kerajaan BN perlu serius memeranginya.

SPRM  menetapkan tiga tahun untuk membersihkan perkhidmatan awam daripada gejala rasuah khususnya dalam kalangan agensi penguat kuasa, badan pengawal, pihak berkuasa negeri dan tempatan.

“Tempoh tiga tahun dipilih kerana pada 2020 Malaysia seharusnya sudah mencapai status negara maju,” kata beliau.

Azam turut merujuk kepada kes rasuah Jabatan Air Sabah sebagai indikator yang tidak baik apabila seorang penjawat awam boleh “tidur” dengan wang sebanyak lebih RM50 juta di rumahnya.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis berkenaan, Azam berkata sasaran membersihkan rasuah dalam kalangan penjawat awam dalam masa 3 tahun merupakan faktor utama SPRM lebih agresif menjalankan operasi sejak tahun lepas.

Ditanya mengenai faktor yang menyebabkan perlakuan rasuah dalam kalangan penjawat awam, beliau berkata keadaan negara yang semakin membangun dan banyak transaksi ekonomi berlaku membuka banyak peluang untuk rasuah.

“Dalam keadaan ini apabila seorang diberi kuasa, dia mudah terjebak dalam rasuah atau penyalahgunaan kuasa. Kalau tidak ada duit, orang tidak akan melakukan rasuah, mereka akan melakukan jenayah lain seperti merompak, jual dadah dan sebagainya,” katanya.

Apakah keadaan ekonomi yang berkembang wajar dipersalahkan?

Bagaimana dengan amalan integiriti kerajaan yang memerintah?

Kelnarin, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad berkata pihaknya akan terus melipatgandakan usaha memerangi penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa sebagaimana titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V kelmarin.

Agensi itu juga bertekad untuk membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan seiring dengan titah baginda.

"Sebagai satu-satunya agensi penguatkuasa yang dipertanggungjawabkan untuk memerangi rasuah di negara ini, SPRM akan memastikan titah Seri Paduka terlaksana sepenuhnya menggunakan segala kemampuan yang ada," katanya dalam kenyataan kelmarin.

Sultan Muhammad V dalam titah baginda ketika perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-13 di Dewan Rakyat, menzahirkan rasa dukacita kerana masih berlaku penyelewengan, ketirisan dan rasuah serta pembocoran maklumat kerajaan yang melibatkan penjawat dan bekas penjawat awam.

Seri Paduka bertitah walaupun kegiatan itu dilakukan segelintir mereka yang terbabit, namun ia menghakis kepercayaan rakyat kepada kerajaan.

Menurut Dzulkifli, SPRM menjunjung titah Seri Paduka sebagai satu cabaran untuk SPRM melaksanakan tugas memerangi rasuah dengan lebih komited dan efisien.

Sehubungan itu beliau berharap rakyat Malaysia khususnya seluruh jentera kerajaan untuk bersama-sama tanpa kompromi, berganding bahu bersama SPRM untuk melaksanakan titah baginda