Friday, September 30, 2016

RUU 355 – Kenapa Mesti Menghukum, Mengkafirkan Sesama Islam?

Dr Wan Salim...tidak wajar kafikrkan orang Islam
Apakah apabila tiba sahaja perkara berkaitan Ahli Parlimen Marang dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, akan muncul hukuman ‘jatuh akidah’ dan ‘mengkafirkan sesama Islam’?

Tidak serikkah kita masyarakat Islam dengan ‘Amanat Hadi’ yang menyebabkan masyarakat Islam berpecah-belah dan mengkafirkan sesama Islam suatu ketika dahulu?

Kini, ada hukuman terbaru terhadap seseorang Ahli Parlimen Islam yang menolak dan tidak menyokong Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau lebih dikenali sebagai Akta 355 yang bertujuan memartabatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah di negara ini, sebagai 'jatuh akidah' (rosak akidah).

Lebih menyedihkan dikatakan mereka yang menolak RUU 355 sebagai mereka yang layak dikebumikan di jirat (tanah perkuburan Cina).

Isu pindaan Akta 355 ini mula menjadi perhatian apabila  Hadi  mengemukakan usul atau notis bagi membawa RUU Persendirian bagi  meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang mampu memperluas bidang kuasa mahkamah syariah terhadap pesalah jenayah di Dewan Rakyat, 26 Mei lalu.

Namun Abdul Hadi sendiri memohon untuk menangguhkan perbahasan usul tersebut ke sidang Dewan Rakyat bersidang 17 Oktober depan.

RUU 35 ini mulanya menjadi kontroversi dan menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan parti-parti bukan Islam ialah cadangan menangguhkan usul Hadi itu dibawa oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said dan disokong pula oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

RUU yang dibawa Abdul Hadi itu didakwa parti-parti bukan Islam sebagai 'jalan' untuk membenarkan pelaksanaan hukum hudud di negara ini.

Semua pemimpin parti komponen bukan Islam dalam BN memberikan kenyataan secara terbuka bahawa mereka akan melepaskan jawatan dalam kerajaan sekiranya RUU yang dibawa Presiden Pas itu diluluskan oleh Parlimen.

Namun akhir-akhir ini apabila ada permintaan daripada Ahli Parlimen Islam supaya ada penjelasan beberapa perkara sepatutnya diberikan oleh Hadi terhadap RUU itu dan tidak mendapat respons, mula timbul ‘serangan’ terhadap Ahli Parlimen Islam.


 Pada 20 September lalu, Parti Amanah Negara (AMANAH) mendesak Hadi supaya memberi penjelasan berhubung RUU 355 itu.  Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad (gambar atas) mendakwa, RUU itu tidak jelas dan mengelirukan, malah ia dilihat tidak boleh memperkasakan Mahkamah Syariah.

Khalid berkata, Biro Undang-Undang (Kanun) parti itu beri tempoh kepada beliau memberi penjelasan sehingga akhir September. Awal bulan ini, AMANAH mempersoalkan kekeliruan berhubung RUU itu selain cadangan meningkatkan hukuman yang jelas menimbulkan ketakutan dan salah faham di kalangan rakyat.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, empat perkara yang dipersoalkan berhubung RUU berkenaan ialah apakah yang diperkasakan, kenapa diganti seluruh Seksyen 2, kenapa Seksyen 2 (a) tidak menyebut had dan jenis hukuman serta apakah kesan pindaan ini kepada institusi Mahkamah Syariah.

Khalid menjelaskan bahawa desakan itu perlu dilihat secara positif dalam membantu PAS menjawab segala persoalan berikutan penjelasan mereka lebih bersifat retorik.

Persoalannya, kenapa mesti ada kumpulan yang sanggup mengkafirkan orang Islam dengan sewenang-wenangnya mereka yang tidak bersetuju dengan Rang Undang-undang 355 (RUU 355) sedangkan ia belum dibentangkan di Dewan Rakyat?

Kenapakah segelintir agamawan di negara ini dengan begitu mudah dan sewenang-wenang berbuat demikian hanya kerana mereka mengambil pendirian tidak bersetuju dengan rang undang-undang yang dikatakan bertujuan memperkasa serta memartabatkan kedudukan Mahkamah Syariah?

Yang perlu diketahui dan difahami ialah RUU 355 belum lagi dimuktamadkan.

Ia hanya akan dibentangkan oleh Ahli Parlimen Marang di Parlimen yang akan mulai bersidang pada pertengahan bulan Oktober ini.


Kerana itu, biarlah ia dibincang dan diperincikan terlebih dahulu dengan teliti dari pelbagai aspek oleh pihak legislatif dengan tujuan penambahbaikan. 

Kita mengharapkan perbahasan yang bebas akan menghasilkan satu undang-undang  yang adil untuk dilaksanakan ke atas seluruh warganegara.

Kita tidak menolaj seseorang Muslim sememangnya wajib menerima hukum yang ditetapkan oleh Allah SWT namun RUU 355 bukanlah hukum Allah SWT.

RUU 355  hanya satu langkah ke arah memperkasa dan memartabatkan Mahkamah Syariah di Malaysia.

Tindakan berani menegur oleh Mufti Pulau Pinang Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor terhadap segelintir agamawan yang mengkafirkan orang Islam yang tidak bersetuju dengan Rang Undang-undang 355 (RUU 355) membuka jalan kepada perbahasan yang sedail-adilnya.

Bagi beliau, adalah tidak wajar mana-mana Ahli Parlimen dipaksa menerima RUU 355 termasuk mengugut kononnya sesiapa tidak menyokong akan menjejaskan akidah.

RUU 355 dibentangkan untuk perbincangan daripada pelbagai aspek oleh pihak legislatif bagi tujuan penambahbaikan.

 26 September lalu, Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad menyeru orang Islam agar menyokong pindaan RUU355 itu.


Mohamad Shukri (gambar atas) pada masa yang sama, turut menasihati anggota Parlimen khususnya yang beragama Islam agar menyokong pindaan tersebut apabila ia dibahaskan di sidang Dewan Rakyat pada sesi akan datang.  
     
“Memang wajib (menyokong)... kenapa tidak mahu melihat perkara baik berlaku dalam Mahkamah Syariah. Kalau sebelum ini, bidang kuasa Mahkamah Syariah rendah, kalau beri sedikit kuasa, apa masalahnya.

“Dalam al-Quran ada menyebut, bertolong, membantu dalam hal-hal kebaikan, kebajikan dan taqwa merupakan benda yang baik, jadi semua patut sokong perkara baik (Akta 355),” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Mahabbah Ulama di Kota Bharu.
         
Mufti Kelantan itu melihat tentangan terhadap pindaan Akta 355 banyak dikemukakan oleh parti politik yang disifatkan mempunyai kepentingan masing-masing.

Kenyataan Dr Wan Salim yang dikeluarkan hari ini dipercayai merujuk kepada kuliah sebuah kuliah Yang Dipertua PAS  Padang Serai Shaharuddin Ibrahim yang menyifatkan ahli parlimen yang tidak menyokong RUU 355 sebagai 'jatuh akidah' (rosak akidah) dan layak dikebumikan di jirat (tanah perkuburan Cina).

"Saya amat sedih mendapati segelintir agamawan di negara ini yang dengan sewenang-wenang mengkafirkan orang Islam hanya kerana mengambil pendirian tidak bersetuju dengan rang undang-undang yang bertujuan memperkasa serta memartabatkan kedudukan Mahkamah Syariah.

"Saya tidak menafikan tentang peri pentingnya gagasan  sedemikian dilaksanakan dan justeru sepatutnya ia mendapat sokongan semua pihak.

Dr Wan Salim menjelaskan, kemungkinan wujud kekurangan dan kelemahan tertentu di dalam RUU 355 yang perlu diperbaiki sebelum dijadikan undang-undang.

Malah beliau memberi pendapat, adalah baik pihak kerajaan sendiri mengambil daya usaha membentangkannya supaya kelihatan lebih serius dan tidak dilihat sebagai gimik politik semata-mata.


Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, akhbar Sinar Harian hari ini melaporkan permintaan maaf Shaharuddin atas keceluparannya 'mengkafirkan' Presiden Keadilan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh jika tidak menyokong RUU 355 di Dewan Rakyat kelak.

Bagaimanapun Shaharuddin menjelaskan permintaan maaf itu dibuat untuk tidak memanjangkan isu itu.

"Dalam kuliah saya baru ini, saya ulas dengan panjang, tak ada tuju khusus kepada siapa-siapa, harap mana-mana pihak yang mahu petik ceramah atau kuliah, dengar sampai habis supaya faham," ujarnya membela diri.

Sahaharuddin pernah  mencetuskan kontroversi apabila mendakwa Pulau Pinang menghalang azan daripada dilaungkan.

Bagaimanapun setelah diberi amaran akan diambil tindakan mahkamah,  pemimpin PAS itu memohon maaf kepada kerajaan negeri Pulau Pinang dan DAP kerana tuduhan berunsur fitnah.

Tuesday, September 27, 2016

Pemuda UMNO Memang ‘Bodoh’, Bangang Atau Takut Kena Saman?


Konon nak buat gempak satu Malaysia...

Semalam ‘geger satu Malaya’ kononnya Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mahu mendedahkan anak tokoh korporat dan proksi sebuah gergasi korporat membantu bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamd mahu menjatuhkan Perdana Menteri.

Kononnya akan berlaku satu pendedahan besar jam 11 pagi ini melalui satu laporan polis.

Bagaimanapun, selepas ditunggu hingga tengah hari ini, tiada apa pun yang berlaku.

Hampeh dan memalukan. Tidak berani pun!

Semalam heboh apabila EXCO pergerakan itu, Datuk Armand Azha Abu Hanifah menyatakan akan membuat  polis terhadap pihak yang  didakwa terlibat dalam gerakan menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak.

Armand berkata, laporan itu akan dibuat  berdasarkan maklumat diterimanya, kedua-dua pihak itu menjadi penaja untuk “gerakan” menyingkirkan Najib.


Walaupun ada media tidak mahu menyebut nama dua individu berkenaan, namun menyebut bahawa mereka diketahui rapat dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini menjadi antara pengkritik paling utama kepimpinan Najib.

Namun hari ini, selepas geger dengan tuduhan ke atas dua individu didakwa bersekongkol mahu menjatuhkan Perdana Menteri, Pemuda UMNO membatalkan niat mereka membuat laporan polis untuk mengelak pertubuhan itu dilihat "bodoh".

Kenapa takut dilihat ‘bodoh’ sedangkan semalam berdegar-degar?

Armand memberitahu media hari ini,  selepas mereka membuat semakan dan akhirnya mendapat maklumat yang dikatakan mereka itu tidak sahih.

"Apabila ada maklumat yang diberikan tak sahih, sebagai parti politik (yang membentuk) kerajaan menjadi tanggungjawab kami sebagai ahli parti untuk tidak melaporkan benda palsu," katanya.

Malah tukang promosi Pemuda UMNO bagi tujuan itu, Raja Petra Kamarudin turut diperbodohkan.

Nampak sangat beliau turut bodoh apabila dengan yakinnya memaparkan nama-nama mereka yang dikatakan terbabit.
  
Jelas, Raja Petra terperangkap dengan sikap gelojoh dan ‘kebencian’ yang amat sangat kepada bekas Perdana Menteri yang akhirnya turut memalukan dirinya sendiri.
Bukan sekadar promosi, Raja Petra turut mendedahkan namayang dijangka akan dimasukkan dalam laporan polis hari ini.

Armand memberi alasan bahawa mereka mahu menunjukkan contoh yang baik melalui pembatalan cadangan membuat laporan polis berkenaan.

"Kalau betul, kita lapor (dan) kalau tak betul (maklumat yang diterima) kita tak lapor. Kita tak mahu mahu jadi macam beri (kepada polis) dokumen palsu. Selepas tu polis check (semak, didapati ia adalah) palsu, nanti nampak bodoh.

Contoh yang baik? Tanpa pemeriksaan rapi, membuat kenyataan akhbar terlebih dahulu?

Bukankah ini juga mendedahkan diri kepada saman malu?

Soal repot polis tidak penting tetapi pihak yang dituduh sudah dipalitkan.

"Kita tak mahu pemimpin muda yang nampak tak bijak (sebab) nak jadi pemimpin (kita) kena bijak dan jangan keluarkan kenyataan kurang bijak," katanya.

Ditanya dari mana mereka memperoleh maklumat itu Armand Azha berkata dia tidak boleh mendedahkannya namun sekali lagi menegaskan ia adalah "dokumen palsu".

Namun, bukankah dengan membuat kenyataan semalam, Armand sudah menggunakan ‘dokumen palsu’ mendakwa seseorang atau dua orang untuk menjatuhkan Perdana Menteri?


Armand berkata  apabila menerima sebarang maklumat sebagai pemimpin pihaknya perlu menilai dan menyemak kesahikan 'bukti' tersebut.

Apabila bukti itu tidak sahih, kata Armand menjadi tanggungjawab untuknya tampil menyatakan dokumen yang diserahkan itu tidak benar.

"Dan saya juga memohon kepada mana-mana rakan yang ada berita gerakan tersirat nak jatuhkan presiden parti, sila serahkan kepada saya untuk saya semak betul atau tak betul," katanya.

Pemuda UMNO sebelum ini, iaitu pada 26 Julai lalu pernah membuat laporan polis berhubung isu sama membabitkan tiga tokoh berprofil tinggi.

Ketika itu laporan polis berkenaan dibuat sendiri naib ketuanya Khairul Azwan Harun.

Menurut Khairul Azwan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akthar Aziz, bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kasim Mohamed dan bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail bersubahat untuk menjatuhkan Najib dan kerajaan.

Yang nyata, apa yang dibuat oleh Exco Pemuda UMNO kali ini menggambarkan bahawa pergerakan itu tidak membuat siasatan terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan akhbar semalam.

Tindakan ini menggambarkan berapa Pemuda UMNO hari ini hanya jenis ‘burung kakak tua’ yang kononnya mahu mempertahakan Najib  tetapi tersilap tertelan ‘dedak’.

Akhirnya ia bukan sahaja terbatuk-batuk tetapi muntah!!!


Malah, ini juga menggambarkan bagaimana Ketuanya, Khairy Jamaluddin tidak dapat mengawal EXCOnya daripada bertindak sesuatu yang boleh memalukan pergerakan itu sendiri.

Kejadian ini bukan kali pertama dan ia mungkin akan berlaku lagi di masa hadapan. Apakah kepimpinan Khairy lemah dalam mengawal dan menerajui pergerakan itu?

Ternyata kini, walaupun mengelakkan untuk dikatakan ‘bodoh’, Pemuda UMNO sebenarnya bertindak ‘bodoh’ dan bangang.

Atau apakah mereka bimbang fakta yang tidak tepat itu akan menyebabkan disaman berjuta-juta ringgit?

Amat jelas Pemuda UMNO bukan jenis bermain politik yang ‘berani berumah di tepi pantai’.

Kenyataan ini membersihkan orang yang dituduh - dua individu yang dikatakan funder gerakan menjatuhkan Perdana Menteri adalah Robin Tan, iaitu anak jutawan Vincent Tan dan Tong Kooi Ong yang menjadi proksi kepada YTL (YTL Corporation Bhd ialah syarikat konglomerat Malaysia).

Namun, apakah mereka berpuas hati dengan tindakan Pemuda UMNO yang  tidak membuat laporan polis terhadap mereka?

Friday, September 23, 2016

BERSATU Lesu, Kepimpinan Muhyiddin Longlai Harapkan Pengaruh Dr M?


Sebuah portal berita hari ini memetik seorang veteran UMNO mempersoalkan kemampuan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau  mengatakan dua minggu selepas permohonan parti itu  diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan, BERSATU dilihat masih lesu.

Berkikutan itu, kepimpinan parti itu  perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk bertapak di kalangan parti pembangkang lain yang lebih berpengalaman.

Juga, BERSATU masih belum menggariskan secara jelas program politiknya.

Kesunyian yang menyambut parti baharu ini berbeza dengan publisiti yang menyelubungi parti itu sebelum penubuhannya, dengan serangan daripada peringkat tertinggi kerajaan diketuai setiausaha akhbar perdana menteri.

Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin juga dilihat longlai dan  tidak menonjol seolah-olah parti itu tidak ada apa-apa jentera.

Seorang pemerhati politik veteran memberitahu FMT, tidak seperti bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang terus mengeluarkan pelbagai kenyataannya mengulangi serangan ke atas pentadbiran Najib.

Beliau mendakwa ramai yang menganggap Muhyiddin masih berfikiran seperti Umno dan belum berubah.


Di pihak BERSATU, semalam diumumkan seramai 110 ahli Umno cawangan dari bahagian Serdang, Kapar dan kota Damansara menyertai parti itu.

Sepuluh daripadanya mengisytiharkan keluar Umno untuk menyertai BERSATU di majlis Malaysia Bersatu bersama Datuk Seri Mukhriz Mahathir di Shah Alam

Manakala seorang daripada mereka - ketua cawangan Umno Semarak di bahagian Kota Damansara, Jefri Bin Salleh - sebagai wakil turut menyerah 100 lagi borang keahlian dari ketiga-tiga bahagian berkenaan untuk menyertai BERSATU, sambil disaksikan naib presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga bekas menteri besar Kedah.

Pengisytiharaan keluar parti itu diketuai oleh bekas Naib Ketua Umno Bahagian Kota Raja, Mohd Hamidi Abu Bakar.

Mohd Hamidi mendakwa, penyertaan 110 ahli parti itu malam tadi hanyalah gelombang pertama. Malah, Mohd Hamidi mendakwa beliau akan menarik lebih ramai ahli Umno supaya keluar daripada parti itu.

Apakah akan ada gelombang seterusnya?

Veteran UMNO itu mempunyai sebab mengatakan kelesuan BERSATU ini.

Pertama, kenapa tiadanya beberapa individu yang sebelum ini lantang dalam Deklarasi Rakyat, gerakan naungan Dr Mahathir, di dalam BERSATU. Mereka termasuk bekas naib ketua Umno Batu Kawan, DatuK Seri Khairuddin Abu Hassan, yang dilihat rapat dengan Dr Mahathir.

Khairuddin enggan mengulas kenapa kelibat beliau tidak kelihatan dengan pimpinan BERSATU.

Kedua, amat nyata BERSATU Amat bergantung pada populariti Tun Mahathir dan tidak dapat berdiri di atas kaki sendiri.

Ketiga, apakah mampu Muhyiddin memimpin BERSATU, apalagi beliau kerap dilihat sebagai seorang yang tidak bekerja dalam pasukan.

Veteran UMNO berkenaan turut mempersoalkan ketiadaan sebarang pengumuman mengenai barisan pemimpin parti baharu itu.

Malah, menurutnya, kaitan Muhyiddin dalam sebuah kes perceraian, yang sudah diselesaikan di mahkamah, juga sedikit sebanyak menambahkan masalah imej yang dihadapinya, di samping menjadi fokus musuh politiknya dari Umno.

Secara umumnya bukan mudah untuk Muhyiddin untuk berdampingan dengan pembangkang, khususnya DAP.

Veteran UMNO itu meramalkan, BERSATU di bawah kepimpinan Muhyiddin mungkin tidak mampu mengadakan persefahaman dengan parti pembangkang lain menjelang pilihan raya umum ke-14.

Malah, katanya, bukan sahaja Muhyiddin banyak mewarisi perkara lampau, jelas beliau juga tidak sangat selesa dengan DAP. 

Kenapa Persoal Apabila Najib Jawab Bagi Pihak Yang Di-Pertuan Agong?


Ada beberapa perkara menarik apabila pemimpin pembangkang mengemukakan pertanyaan, ‘Sejak bila Najib jadi jurucakap Agong?'

Malam kelmarin, Perdana Menteri  berkata Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah telah menjelaskan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa baginda tidak boleh mencampuri usaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam isu Deklarasi Rakyat.

Perdana Menteri berkata, beliau dimaklumkan oleh Seri Paduka bahawa baginda mengambil maklum perkara dibangkitkan tetapi menjelaskan tidak boleh mencampuri usaha itu.

Berikutan itu pembangkang  menyifatkan kenyataan Perdana Menteri itu sebagai pelik kerana kebiasaannya kenyataan Seri Paduka dikeluarkan oleh setiausaha sulit baginda atau istana.

Memburukkan keadaan, kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri tersilap fakta.

Berikutan itu, pemimpin pembangkang menyifatkan Datuk Seri Mohd Najib Razak sudah tidak layak menjadi perdana menteri Malaysia apabila membuat kenyataan dengan fakta yang salah.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Salahuddin Ayub mengemukakan pertanyaan: “Saya ingin bertanya, sejak bila Datuk Seri Najib menjadi jurucakap kepada Yang di-Pertuan Agong?”

Najib berkata, penolakan dibuat kerana  deklarasi itu tidak mengikut perlembagaan.

Selain itu tindakan sepatutnya diuruskan menurut amalan lazim melalui parlimen dan sistem pilihan raya.

Dr Mahathir mengadap Seri Paduka  di Istana Anak Bukit, Alor Setar pada 15 September lalu bagi  menyerahkan Deklarasi Rakyat dalam pertemuan empat mata kira-kira satu jam 15 minit.

Bekas Perdana Menteri itu dilapor turut membawa dokumen didakwa mengandungi tandatangan 1.3 juta rakyat Malaysia bagi menuntut Najib berundur sebagai perdana menteri.

Antara lain, Deklarasi Rakyat anjuran bekas pemimpin UMNO, pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa Najib terbabit dalam skandal kewangan melibatkan syarikat pelaburan negara, 1MDB serta bantahan terhadap kemasukan RM2.6 bilion ke akaun peribadinya.

Ada memperlekehkan pertemuan itu kononnya Dr Mahathir gagal menjawab pertanyaan Seri Paduka dalam isu tandatangan deklarasi berkenaan. Malah bekas Perdana Menteri itu agak terkejut dengan pertanyaan berkenaan. Kerana itu Dr Mahathir senyap untuk beberapa minit.

"Anda dapat melihat bahawa Mahathir sedang mencari kata-kata dan akhirnya, selepas senyap beberapa ketika, beliau kemudian membalas bahawa petisyen itu merupakan apa yang telah diberikan padanya.
  
"Dalam erti kata lain, Dr Mahathir tidak dapat menjamin apa-apa kerana bukan beliau yang mengumpulkan tandatangan tetapi orang lain yang lakukan dan ia telah diberikan kepadanya,” demikian kata Raja Petra Kamarudin melalui blognya.

Akibatnya, Seri Paduka kemudian hanya memberikan senyuman sinis kerana cara Mahathir menjawab tidak meyakinkan dan sudah tentunya berdalih.  Baginda kemudian melihat Mahathir hanya memandang ke bawah dan tidak bercakap lebih tentang Deklarasi Rakyat atau tandatangan sebanyak 1.4 juta itu.


Salahuddin yang mempertikaikan kenyataan Najib itu berpendapat, oleh kerana dalam keadaan Najib menjadi pihak berkepentingan berkaitan dalam protes pada kepimpinannya itu, tidak wajar beliau menjawab bagi pihak Seri Paduka.

“Mana mungkin Datuk Seri Najib yang menjadi subjek dalam Deklarasi Rakyat dan juga menjadi pihak berkepentingan, boleh mengeluarkan kenyataan mewakili Yang di-Pertuan Agong dalam isu melibatkan dirinya sendiri?

“Bagi saya, ianya suatu yang melanggari kebiasaan dan cuba memperbodohkan rakyat,” katanya.

Sementara pemimpin PAS yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata fakta Deklarasi Rakyat yang disebut oleh Najib dalam kenyataannya sebagai Deklarasi PBBM adalah menyimpang sama sekali.

Menurutnya, satu  dunia tahu Deklarasi tersebut diusahakan oleh Gerakan Selamatkan Malaysia (GSM) yang diketuai oleh Dr Mahathir dan disertai oleh individu rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang.

Ia bukan diusahakan oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) kerana ketika itu parti pun belum tubuh lagi.

Malah menurut Mahfuz, Tan Sri Muhyidin Yassin, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Shafie Apdal masih lagi ahli Umno pada waktu pelancaran Deklarasi Rakyat.


Menurutnya, kenyataan Najib seolah-olah Seri Paduka tidak faham fakta sebenar antara Deklarasi Rakyat dengan Deklarasi PBBM dan ia suatu penghinaan kepada Seri Paduka dengan menyatakan Yang di-Pertuan Agong tidak boleh mencampuri usaha yang lakukan oleh BERSATU dalam Deklarasi PBBM.

Najib meletakkan Seri Paduka sama taraf dengan Ahli Parlimen Langkawi yang mentafsirkan MO1 adalah Yang di-Pertuan Agong, tegas Mahfuz.

Beliau merujuk kepada kenyataan akhbar oleh Najib pada 21 September yang mengandungi maklumat salah.

Selain itu, Mahfuz mempersoalkan bagaimana , dalam kenyataan Najib itu, fakta tempat boleh jadi tidak betul?

Peristiwa pertemuan empat mata tersebut berlaku di Istana Anak Bukit. Yang peliknya Najib dalam kenyataannya menyebut pertemuan tersebut berlaku di Istana Bukit Malut.

Fakta berkaitan dengan sesuatu kejadian atau peristiwa yang berlaku tidak seharus salah, kerana ia dilaporkan oleh media. “Peristiwa tidak pernah berbohong di mana tempat berlakunya peristiwa,” katanya.

Beliau hairan kenapa Najib begitu ghairah untuk mengeluarkan kenyataan berkaitan peristiwa pertemuan empat mata antara Seri Paduka dengan Dr Mahathir.


“Kalaupun tujuan kenyataan Najib untuk memperlekehkan Mahathir tetapi tidak seharusnya menunjukan fakta yang salah. Kan berbeza antara Bukit Malut dengan Anak Bukit. Bukit Malut di Langkawi.Anak Bukit dalam kawasan Majlis Bandaraya Alor Setar. Bukit Malut dan Anak Bukit dipisahkan oleh laut,” katanya.

Malah, Mahfuz lebih jauh mendesak Najib mohon maaf pada Seri Paduka atas penghinaannya dan perlu sedari yang beliau sudah tidak layak menduduki kerusi perdana menteri.
.
“Saya harap Najib tahu cara untuk mengundur diri sebagai perdana menteri seperti mana yang di lakukan oleh Tun Abdullah Badawi dan Dr Mahathir,” tegas Mahfuz.

Kenyataan silap itu dikatakan sudah diperbetulkan oleh Pejabat Perdana Menteri, namun apakah persoalan yang dikemukakan oleh Salahuddin dan Mahfuz ini akan mendapat jawapan daripada Istana Negara?

Juga dalam isu yang dikatakan oleh Raja Petra mengenai pertemuan Dr Mahathir dan Seri Pasuka  itu, apakah benar  Dr Mahathir gagal menjawab soalan?

Apakah benar isu Deklarasi Rakyat dibincangkan sambil lalu dalam pertemuan satu jam 15 minit itu sebaliknya perbualan berkisar mengenai perkara lain?

Jika Raja Petra ‘boleh mendengar perbualan empat mata’ antara Seri Paduka dan Dr Mahathir,  apakah kenyataan Najib itu benar-benar menggambarkan sikap dan pendirian Yang Di-Pertuan Agong mengenai Deklarasi Rakyat?

Rakyat ingin tahu perkara sebenar!

Wednesday, September 21, 2016

Untuk Apa Nalla Desak Dr Mahathir Minta Maaf Secara Terbuka?


Anak perempuan kedua ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Nuha berkata kelmarin tuntutan sesetengah pihak supaya Tun Dr Mahathir Mohamad memohon minta maaf kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu diungkit lagi.

Dengan kata lain, isu itu sepatutnya sudah tutup buku.

Namun hari ini, rakan ‘sepermainan tenis Anwar’ , Tan Sri S Nallakaruppan bagikan tidak puas hati. Beliau mendesak bekas Perdana Menteri itu memohon maaf secara terbuka kepada Anwar.
  
Berita Harian melaporkan,  Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MIUP) itu mendesak bekas Perdana Menteri  memohon maaf kepada Anwar  dan penyokong yang telah menjadi mangsa kekejamannya.

Nallakaruppan berkata, permohonan maaf itu juga perlu disiarkan dalam semua akhbar tempatan dan antarabangsa termasuk Wall Street Journal (WSJ).


Jika keluarga Anwar sudah 'tutup buku', kenapa pula Nalla beria-ia?

Kenyataannya itu untuk buktikan kepada siapa?
  
Nurul Nuha ketika bercakap selepas tayangan dokumentari dan Forum Bebas Anwar bersama anak-anak Anwar di Fluent Space, Kelana Jaya malam kelmarin, berkata seperti disebutkan dalam kenyataan sebelum ini bahawa pihaknya akan sokong dengan apa-apa keputusan yang dibuat oleh bapa mereka,

Itu penting, tegas Nurul Nuha.

“Isu itu saya rasa kita terus lihat ke hadapan dan ada reform agenda yang mereka sama-sama bersetuju antara papa dan Tun Mahathir, sekarang kita fokus ke hadapan dan apa yang terbaik negara,” katanya.

Beliau mengulas mengenai kenyataan bersama Anwar dan Mahathir, Isnin lalu yang menentang Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Nurul Nuha sebelum ini menggesa supaya bekas Perdana Menteri itu membuat permohonan maaf secara terbuka dan mengakui kesilapan terhadap bapanya yang sedang meringkuk di penjara.

Nurul Nuha...perlu terus lihat ke hadapan
Nallakaruppan  pula menegaskan,  jika bekas Perdana Menteri itu enggan memohon maaf, beliau akan melihat sejauh mana boleh menyaman Dr Mahathir.

Saman itu adalah bagi mendakwa Dr Mahathir yang salah mengambil tindakan ke atas beliau yang ditahan ISA kerana menjadi penyokong Anwar.

 "Saya juga ada dihubungi beberapa sahabat dan pihak yang pernah dizalimi Dr Mahathir serta pernah menjadi tahanan ISA untuk mengambil tindakan yang sama terhadap bekas pemimpin itu.

 "Saya menjelaskan peguam saya sedang menyemak perkara berkenaan dan selepas itu baru boleh menentukan sama ada saman akan dikemukakan atau tidak,"
Katanya, Dr Mahathir juga perlu memohon maaf kepada semua ahli keluarga Anwar dan penyokong bekas Timbalan Perdana Menteri yang ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

"Saya adalah seorang mangsa yang ditahan mengikut ISA. Dr Mahathir sudah memasukkan saya dan beberapa lagi orang kerana kami menyokong Anwar.

"Malah, Dr Mahathir sudah memecat ramai lagi penyokong Anwar sama ada dalam politik dan kerajaan. Turut jadi mangsa penganiayaan beliau adalah beberapa ahli perniagaan sehingga ada yang diisytiharkan muflis," katanya pada sidang media di pejabatnya.

Mengenai tindakan Dr Mahathir mengadakan pertemuan dengan Anwar awal bulan ini, katanya, beliau tidak menjangkakan perkara itu dan percaya kedua-dua pihak tidak dapat bekerjasama kerana saling mencurigai.


"Saya mengenali Anwar dan beliau sahabat saya. Saya percaya beliau mungkin nampak seperti berdamai dengan Dr Mahathir tetapi sebenarnya sukar bekerjasama dengan orang yang menyebabkan beliau dipenjarakan.

Menurutnya,  Dr Mahathir pula adalah orang yang tiada prinsip dan kini hanya berjuang untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak kerana mahukan anak beliau, Datuk Seri Mukhriz dipilih menjadi Perdana Menteri.

Beliau percaya kedua-duanya (Dr Mahathir dan Anwar) mengambil kesempatan antara satu sama lain.


Tegas Nallakaruppan,  Dr Mahathir akan singkirkan Anwar bagi memberi laluan kepada anaknya.

Tuesday, September 20, 2016

Laporan NYT Rosakkan Reputasi Perdana Menteri, Malaysia & Rosmah...


Adilkah laporan New York Times (NYT) semalam mengaitkan pembatalan anugerah kepada Datin Seri Rosmah Mansor dengan perkara-perkara yang ada kaitan dengan dakwaan rasuah terhadap keluarganya?

Dengan kata lain wajarkah isu perbelanjaan isteri Perdana Menteri dan tindakan pihak berkuasa Amerika Sayarikat terhadap anaknya, Riza Aziz dijadi sebab pembatalan berkenaan?

Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) pada saat akhir membatalkan anugerah yang dirancang diberikan kepada program Pusat Anak Permata Negara (Permata).

Laporan NYT bertajuk “Award cancelled for children's group with ties to Malaysian PM Najib's wife” 
walaupun tidak menyatakan sebab-sebab jelas penarikan anugerah itu oleh pertubuhan berkenaan, namun ia membayangkan ada kaitan dengan tuduhan oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat.

Sama sekali tidak faham apakah NYT atau juga penganjur mengesyaki bahawa pembiayaan PERMATA menggunakan wang yang ada kaitan dengan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB)?

Atau pihak-pihak tertentu di Amerika Syarikat kini menggunakan taktik kesalahan ‘secara menyeluruh’ (blanket) terhadap Perdana Menteri dan isterinya dalam apa juga kegiatan dan tindakan mereka?


Dengan pihak UNESCO tidak dapat memberikan memberikan butiran lanjut tentang pembatalan pemberian anugerah itu, NYT tidak sepatutnya membuat ramalan secara ‘membabi buta’.

Apakah niat NYT berbuat demikian?

Jika sebelum ini Wall Street Jornal (WSJ) melakukan ‘pelbagai dakyah’ terhadap Perdana Menteri dan isterinya dalam kaitan dengan  isu 1MDB, kini NYT turut terpalit.

Anugerah sempena Perhimpunan Agung Ke-71 Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) itu, julung-julung kali diadakan bagi mengiktiraf dan meraikan sumbangan beberapa individu di seluruh dunia yang telah menyumbang kepada keharmonian dan keamanan manusia sejagat.

Ia dijadualkan akan disampaikan di majlis penghormatan kepada wira dalam kempen global menentang keganasan pada 22 September ini, di Muzium Kesenian Metropolitan, New York.

Majlis berkenaan bakal diacarakan bersama oleh Ketua Pengarah UNESCO, Irina Bokova.

Laporan NYT mengenai pembatalan itu  tersebar luas dan dipetik oleh banyak akhbar antarabangsa yang mungkin akan menjejaskan lagi nama Perdana Menteri dan Malaysia di mata dunia.

Tindakan NYT itu sudah pasti memberikan kesan besar kepada reputasi negara, apalagi diri Rosmah sendiri. Ini kerana:

1.    Rosmah dikatakan terkenal dengan perbelanjaan mewahnya termasuk berbelanja membelai barang-barang mahal seperti beg Hermès Birkin;

2.      Kaum keluarga dan sahabat Rosmah dan suaminya dikaitkan dengan tindakan DOJ yang mahu merampas aset bernilai AS$1 billion termasuk  penthouse di Time Warner Centre in New York, bernilai $30.6 million; dan

3.      DOJ turut menyebut mengenai sebuah mansion di Los Angeles bernilai AS$39 juta.

Kesemua ini dikaitkan dengan kononnya wang yang dicuri daripada 1MDB.

Kenyataan mengenai pembatalan pemberian anugerah tersebut dikeluarkan oleh Tudor Parfitt, seorang sarjana yang terlibat dalam acara berkenaan.

Sebelum ini pada Sabtu, Bernama melaporkan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dipilih untuk menerima anugerah 'Lead by Example' oleh UNESCO.

Anugerah itu sepatutnya diberikan atas usaha membangunkan potensi kanak-kanak khususnya di bawah program PERMATA.

Perkara itu, lapor Bernama, dimaklumkan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan merangkap Naib Presiden Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia, Datuk Seri Alias Ahmad dalam satu kenyataan.

Laporan NYT menyebut, persoalan ditimbulkan mengenai sumber pembiayaan PERMATA kerana walaupun penganjur majlis tahu tidak ada sebarang salah laku terhadap permata, mereka tidak punya banyak masa untuk memeriksa dan menilai pertubuhan itu.

NYT menyebut, majlis dianjurkan bersama oleh Ketua UNESCO, Ms Irina Bokova.

Oleh kerana beliau kini turut berminat untuk jawatan Setiausaha Agong Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), sebarang tindakan beliau akan diperhatikan. Malah dikatakan beliau mahu menjauhkan diri daripada terpalit dengan sebarang kontroversi.

Sejak DOJ mengumumkan keputusan untuk bertindak, Perdana Menteri dan isterinya kini mendapat perhatian antarabangsa khususnya di Amerika Syarikat.

Datuk Seri Mohd Najib Razak yang dipercayai sebagai "Malaysian Official 1" disebut dalam dokumen DOJ tetapi Rosmah tidak terpalit.

Namun anak Rosmah daripada perkahwinan pertamanya - Riza Aziz iaitu pengeluar filem – disebut dengan jelas dalam dokumen DOJ.

Sehingga ini, Pejabat Perdana Menteri dan UNESCO masih berdiam diri mengenai perkara itu.

Sunday, September 18, 2016

Pertemuan Dr M, Agong - Raja Petra Atau Khairuddin ‘Berbohong’?


Siapa yang hadir bersama pada pertemuan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Yang di-Pertuan Agong di Istana Anak Bukit, Jumaat lalu?

Apakah pertemuan itu turut 'dilihat dan didengar' orang ketiga dan keempat?
  
Jika tidak bagaimana Raja Petra Kamaruddin boleh memperincikan butiran pertemuan itu?

Apakah bekas Naib Ketua UMNO Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan bertindak melampau apabila mengecam blogger upahan Raja Petra Kamaruddin yang dianggapnya sengaja mengada-ada cerita?

Cara Raja Petra menulis seperti beliau hadir sama pada pertemuan Dr Mahathir dan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Alor Setar itu.


Raja Petra dalam blognya blognya yang bertajuk "Apa yang Khairuddin tidak dedahkan mengenai pertemuan Dr Mahathir bersama Agong" menyedarkan bekas perdana menteri 22 tahun itu bahawa Agong tidaklah ‘dikenakan tahan dalam rumah’.

Dengan persetujuan Agong itu bermakna tiada ‘tahanan’ sedemikian yang belaku.

Kata Raja Petra, “...Mahathir realised the reason why he finally managed to get his audience with the Agong when His Majesty asked whether Mahathir still feels His Majesty is under house arrest. It suddenly dawned on Mahathir that the Agong agreed to the audience to make a point, which is His Majesty is not under house arrest.”

Mengenai pertemuan itu, Raja Petra memperincikan apa yang didakwanya sebagai peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam pertemuan antara Mahathir dan Tuanku Abdul Halim malah turut memperincikan perbualan mereka.

Penulis blog itu turut mendakwa Tuanku meminta Dr Mahathir sekiranya dapat memberi jaminan tentang kesahihan kesemua 1.4 juta tandatangan dalam petisyen Deklarasi Rakyat bagi menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan.

Menurut Raja Petra, Dr Mahathir dengan jelas tidak bersedia untuk perkara ini dan tidak memberikan respon kerana beliau agak terkejut dan senyap untuk beberapa minit.

"Anda dapat melihat bahawa Mahathir sedang mencari kata-kata dan akhirnya, selepas senyap beberapa ketika, beliau kemudian membalas bahawa petisyen itu merupakan apa yang telah diberikan padanya.


"Dalam erti kata lain, Mahathir berkata beliau tidak dapat menjamin apa-apa kerana bukan beliau yang mengumpulkan tandatangan tetapi orang lain yang lakukan dan ia telah diberikan kepadanya.

Kerana itu, Agong kemudian hanya memberikan senyuman sinis kerana cara Mahathir menjawab tidak meyakinkan dan sudah tentunya berdalih.

Baginda kemudian melihat Mahathir hanya memandang ke bawah dan tidak bercakap lebih tentang Deklarasi Rakyat atau tandatangan sebanyak 1.4 juta itu.

Persoalannya, kalaupun Raja Petra TIDAK BERADA di istana itu, apakah beliau mendapat maklumat-maklumat yang dilaporkan ini daripada pegawai istana yang ada pada pertemuan itu?

Siapa pegawai itu?

Berikutan cerita yang sengaja diada-adakan itu, Khairuddin menyelar Raja Petra berhubung butiran pertemuan itu.

Dalam kenyataan medianya, Khairuddin mendakwa Raja Petra sebagai seorang 'pembohong' dan 'mengada-adakan cerita'.

Malah, Khairuddin turut memberitahu, walaupun beliau mengiringi Mahathir ke Istana Anak Bukit, Kedah namun beliau tidak tahu tentang butiran pertemuan negarawan itu bersama Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Jadi, kalau tidak tahu mengenai butiran pertemuan, bagaimana Khairuddin boleh mengatakan Raja Petra BOHONG?


Selain itu jika Raja Petra berbohong atau sengaja mengada-gadakan cerita ini, apakah beliau boleh mempermainkan kedudukan Agong dengan cerita yang sengaja diada-adakan?

Apakah boleh Raja Petra sewenang-wenangnya membuat kenyataan bagi pihak Agong, sedangkan Pejabat Yang Di-Pertuan Agong atau di pihak Dr Mahathir sendiri tidak mengeluarkan sebarang kenyataan?


Kita berharap akan ada suatu kenyataan mengenai perkara ini kerana institusi Di Raja kini semakin dipemainkan demi kepentingan politik dan kedudukan pihak tertentu.

Friday, September 16, 2016

Rakyat Berhak Bentuk Kerajaan Berintegriti, Beramanah – BERSATU


Benarkah Malaysia kini dalam keadaan krisis yang parah?

Benarkah kita pada persimpangan getir yang memerlukan kerajaan baru bagi melaksanakan segala kewajipan dan tanggungjawabnya terhadap rakyat dengan beramanah dan berintegriti?

Menurut bekas timbalan perdana menteri yang  kini Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Malaysia berada di suatu persimpangan yang getir.

Rakyat sudah memberi mandat kepada kerajaan dengan harapan wujud keadaan kerajaan yang beramanah dan berintegriti akan dapat memastikan rakyat hidup selesa dan sejahtera.

Bagaimanapun, kerajaan Barisan Nasional (BN) sekarang tidak melaksanakan kewajipan dan tanggungjawabnya terhadap rakyat.

Lebih teruk, kata Muhyiddin, kerajaan hari ini sedang bergelumangan suatu krisis kepimpinan yang tidak berupaya untuk membantu menyelesaikan permasalahan rakyat.

“Tiada gunanya kita menyerahkan amanah kepimpinan kepada mereka yang pecah amanah,” katanya.

Berikutan itu, rakyat mengharapkan sebuah kerajaan yang mampu membantu meringankan beban rakyat. 


Apa sebenarnya krisis yang parah itu?

1.      Kos sara hidup rakyat kian meningkat.

Harga barangan keperluan harian semakin mahal. Nilai ringit rendah. Pendapatan rakyat terjejas dengan suasana ekonomi yang suram. Rakyat yang berpendapatan rendah paling terkesan dengan keadaan ekonomi hari ini kerana pendapatan yang mereka perolehi tidak dapat menampung beban kenaikan kos sara hidup yang tinggi. Ada yang terpaksa berhutang untuk hidup.

2.      Mahukan pekerjaan dengan pendapatan yang setimpal.

Ini termasuk harga barangan keperluan harian yang patut, pendidikan yang berkualiti, biasiswa dan bantuan pendidikan untuk anak-anak, rumah yang mampu dimiliki, pertumbuhan ekonomi yang rancak dan yang paling penting ialah kehidupan yang selesa.

3.      Ekonomi negara tidak diurus dengan baik, rasuah bermaharajalela, keitirisan dan pembaziran dalam perbelanjaan kerajaan yang menggerunkan.

Keadaan ini menyebabkan sumber kerajaan yang terhad tidak dapat diagih dengan secukupnya kepada sektor-sektor yang penting kepada kesejahteraan rakyat seperti pendidikan, kesihatan, pengangkutan awam, pembangunan luar bandar, kebajikan masyarakat dan lain-lain lagi.

4.      Perbelanjaan kementerian-kementerian dipotong.
Hasil daripada tindakan ini  menyebabkan banyak projek pembangunan serta program bantuan kepada masyarakat tidak dapat dilaksanakan. Namun anehnya, projek-projek mewah yang tidak masuk akal dilaksanakan untuk menguntungkan kroni.
  
Penyelesaian:

1.      Rakyat  mempunyai pilihan.

Kerajaan dibentuk dengan mendapat mandat rakyat. Suatu kerajaan baharu yang beramanah dan berintegriti perlu dibentuk menerusi proses pilihanraya yang bebas, adil dan demokratik.

2.      Keutamaan hendaklah diberikan kepada usaha untuk memulihkan ekonomi negara.

      Ini termasuk menyediakan peluang-peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan rakyat, meringankan beban kos sara hidup, melaksanakan reformasi institusi dan mengurus negara secara beramanah dengan berpandukan prinsip tadbir urus yang baik.

Pilihan kini berada di tangan rakyat:


“Kuasa rakyatlah yang akan menentukan masa depan negara kita. Samada kita mahu Malaysia menjadi sebuah negara yang berjaya dan sejahtera atau sebuah negara yang gagal dan kacau bilau, segalanya terserah kepada kuasa rakyat,” katanya.

“Sempena sambutan Hari Malaysia yang ke-53 ini, marilah kita seluruh rakyat bersatu dalam membuat suatu komitment baharu untuk memulakan perjalanan ke arah Malaysia yang lebih baik.

Katanya, pembentukan Malaysia 53 tahun yang lalu bertujuan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang bersatu, maju, aman dan selamat daripada ancaman geopolitik pada waktu itu.

Dalam tempoh lebih lima dekad ini, Malaysia telah berjaya mengharungi pelbagai cabaran untuk menjadi sebuah negara yang aman, makmur dan harmoni.

“Kejayaan ini adalah berkat komitmen dan usaha gigih rakyat negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama dalam menyumbang tenaga dan kepakaran untuk membangun dan memajukan negara,” katanya.

Kerana itu dengan kedudukan Malaysia yang kini dalam persimpangan getir dan keadaan krisis yang parah, rakyat mempunyai pilihan untuk tidak lagi memberikan mandat kepada kerajaan yang sama untuk mentadbir negara.

Bagi Muhyiddin, suatu kerajaan baharu yang beramanah dan berintegriti perlu dibentuk dan kerajaan yang bakal dibentuk ini mestilah meletakkan kepentingan rakyat mengatasi segalanya!

(Baca kenyataan penuh Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini)