Friday, September 23, 2016

BERSATU Lesu, Kepimpinan Muhyiddin Longlai Harapkan Pengaruh Dr M?


Sebuah portal berita hari ini memetik seorang veteran UMNO mempersoalkan kemampuan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau  mengatakan dua minggu selepas permohonan parti itu  diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan, BERSATU dilihat masih lesu.

Berkikutan itu, kepimpinan parti itu  perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk bertapak di kalangan parti pembangkang lain yang lebih berpengalaman.

Juga, BERSATU masih belum menggariskan secara jelas program politiknya.

Kesunyian yang menyambut parti baharu ini berbeza dengan publisiti yang menyelubungi parti itu sebelum penubuhannya, dengan serangan daripada peringkat tertinggi kerajaan diketuai setiausaha akhbar perdana menteri.

Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin juga dilihat longlai dan  tidak menonjol seolah-olah parti itu tidak ada apa-apa jentera.

Seorang pemerhati politik veteran memberitahu FMT, tidak seperti bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang terus mengeluarkan pelbagai kenyataannya mengulangi serangan ke atas pentadbiran Najib.

Beliau mendakwa ramai yang menganggap Muhyiddin masih berfikiran seperti Umno dan belum berubah.


Di pihak BERSATU, semalam diumumkan seramai 110 ahli Umno cawangan dari bahagian Serdang, Kapar dan kota Damansara menyertai parti itu.

Sepuluh daripadanya mengisytiharkan keluar Umno untuk menyertai BERSATU di majlis Malaysia Bersatu bersama Datuk Seri Mukhriz Mahathir di Shah Alam

Manakala seorang daripada mereka - ketua cawangan Umno Semarak di bahagian Kota Damansara, Jefri Bin Salleh - sebagai wakil turut menyerah 100 lagi borang keahlian dari ketiga-tiga bahagian berkenaan untuk menyertai BERSATU, sambil disaksikan naib presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga bekas menteri besar Kedah.

Pengisytiharaan keluar parti itu diketuai oleh bekas Naib Ketua Umno Bahagian Kota Raja, Mohd Hamidi Abu Bakar.

Mohd Hamidi mendakwa, penyertaan 110 ahli parti itu malam tadi hanyalah gelombang pertama. Malah, Mohd Hamidi mendakwa beliau akan menarik lebih ramai ahli Umno supaya keluar daripada parti itu.

Apakah akan ada gelombang seterusnya?

Veteran UMNO itu mempunyai sebab mengatakan kelesuan BERSATU ini.

Pertama, kenapa tiadanya beberapa individu yang sebelum ini lantang dalam Deklarasi Rakyat, gerakan naungan Dr Mahathir, di dalam BERSATU. Mereka termasuk bekas naib ketua Umno Batu Kawan, DatuK Seri Khairuddin Abu Hassan, yang dilihat rapat dengan Dr Mahathir.

Khairuddin enggan mengulas kenapa kelibat beliau tidak kelihatan dengan pimpinan BERSATU.

Kedua, amat nyata BERSATU Amat bergantung pada populariti Tun Mahathir dan tidak dapat berdiri di atas kaki sendiri.

Ketiga, apakah mampu Muhyiddin memimpin BERSATU, apalagi beliau kerap dilihat sebagai seorang yang tidak bekerja dalam pasukan.

Veteran UMNO berkenaan turut mempersoalkan ketiadaan sebarang pengumuman mengenai barisan pemimpin parti baharu itu.

Malah, menurutnya, kaitan Muhyiddin dalam sebuah kes perceraian, yang sudah diselesaikan di mahkamah, juga sedikit sebanyak menambahkan masalah imej yang dihadapinya, di samping menjadi fokus musuh politiknya dari Umno.

Secara umumnya bukan mudah untuk Muhyiddin untuk berdampingan dengan pembangkang, khususnya DAP.

Veteran UMNO itu meramalkan, BERSATU di bawah kepimpinan Muhyiddin mungkin tidak mampu mengadakan persefahaman dengan parti pembangkang lain menjelang pilihan raya umum ke-14.

Malah, katanya, bukan sahaja Muhyiddin banyak mewarisi perkara lampau, jelas beliau juga tidak sangat selesa dengan DAP. 

No comments: