Tuesday, September 6, 2016

Akurkah Najib Bahawa Taman Dan Tugu Suatu Dosa Besar, Pembaziran Besar?


Taman Tugu yang merupakan projek taman rimba kota di tengah-tengah ibu negara bakal menampilkan pelbagai kemudahan bertaraf dunia di beberapa zon khusus meliputi alam sekitar, rekreasi dan pembelajaran.

Menurut perancangannnya, Taman Tugu akan turut  meliputi pusat informasi hutan hujan, tapak perkhemahan, titian silara, kawasan permainan air, laluan joging, pejalan kaki serta basikal, gazebo, pelantar pemandangan dan kedai makanan.

Taman itu juga bakal menempatkan pusat pembelajaran dan inovasi termasuklah sebuah perpustakaan awam, auditorium dan galeri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir merasmikan pelancaran projek tersebut kelmarin. Yang turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa.

Projek Taman Tugu merupakan inisiatif tanggungjawab korporat yang bertujuan memulihara, meng­aktifkan dan menghubungkan taman hutan hujan seluas 26.7 hektar di tengah-tengah ibu negara.

Projek tersebut merupakan inisia­tif perkongsian yang diterajui oleh Khazanah Nasional Berhad dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta beberapa organisasi awam dan swasta.

Itu pandangan Perdana Menteri dan pihak kerajaan.

Namun semalam, Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria menganggap membina tugu adalah sebagai "dosa besar".
  

Harussani berpendapat peruntukan besar bagi projek pengindahan taman di sekitar Tugu Negara juga  pembaziran besar negara.

Harussani menjelaskan kesalahan itu menjadi lebih besar apabila binaan tugu itu mengundang manusia untuk memuja binaan tersebut.

“Dari awal dulu lagi kita tak bersetuju (dengan pembinaan Tugu Negara kerana kita adalah negara Islam. Kenapa kita nak memuja tugu? Tugu berbentuk manusia pula adalah haram," tegasnya semalam.

Mufti Perak sudah menyatakan pendiriannya dan kerajaan, khususnya Perdana Menteri jangan mengambil enteng dan melihat sebelah mata dengan pandangan ini.

Bagi Harussani, membina tugu menyerupai haiwan sebenar sudah haram, apatah lagi berbentuk manusia.

Tegas Mufti Perak itu, membina tugu berbentuk manusia memang jelas haram hukumnya dan suatu ketika nanti tuhan akan menuntut supaya binaan itu diberi nyawa.

Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam mengumumkan suntikan dana RM650 juta untuk projek Taman Tugu di atas kawasan seluas 66 ekar di sekitar Tugu Negara.

Sebahagian besar daripada peruntukan itu - atau RM500 juta - akan dibiayai Khazanah Nasional.

Malah Mufti Perak itu berhujah, suntikan dana itu sebagai satu pembaziran terbesar negara dan adalah lebih baik wang tersebut digunakan bagi tujuan pembangunan kehidupan rakyat di negara ini.

“Menyediakan sampai RM650 juta pula satu pembaziran. Ia sepatutnya ia boleh membantu membangunkan hidupan rakyat, malah itu lebih mudah dan baik daripada membina serta mencantikan tugu supaya orang ramai datang memuja tugu.

“Banyak lagi orang miskin di negara ini. Kalau dengan jumlah tersebut kita buat untuk perumahan atau bangunkan tanah-tanah yang (terbiar) ia lebih berfaedah serta hidup rakyat lebih bahagia,” tegas Harussani.


Sebenarnya isu ini mendapat perhatian rakyat ramai apabila banyak pertanyaan dikemukakan, “apa perlunya kerajaan dan  agensinya membelanjakan peruntukan yang besar untuk projek yang tidak berimpak tinggi tersebut?”

Penganalisis politik Dr Mazlee Malik menyifatkan tindakan kerajaan menyuntik dana sebanyak RM650 juta bagi memperindahkan Tugu Peringatan Negara tidak kena pada masanya.

Mazlee berkata ini kerana dalam keadaan ekonomi hari ini rakyat sedang bergelut dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

"Waktu kurang sesuai di kala rakyat sedang bergelut dengan kemelut ekonomi dan kos hidup yang semakin meningkat," kata Mazlee.

Pemimpin UMNO dan kerajaan sewajarnya perlu memberikan jawapan balas kepada Perdana Menteri dan kerajaan apakah projek ini benar-benar diperlukan ketika ini?

Tidakkah peruntukan itu jika diagihkan kepada sektor rangsangan ekonomi yang lebih besar akan mendatangkan manfaat kepada rakyat khususnya dalam konteks perbelanjaan kepada golongan miskin dan mudah terjejas ketika ini.

Kontroversi kepada projek Tugu Negara ini dijangka akan berpanjangan ketika isu mengenai kewajaran tugu menggambarkan makhluk hidup dianggap haram dalam Islam yang sedang diperkatakan sekarang.

Najib sewajarnya memikir semula projek ini yang nyata rakyat memberikan sambutan dingin.


Selain mengharapkan kerajaan menyediakan perancangan pembangunan yang lebih mendatangkan manfaat kepada mereka, jangan ambil mudah dengan pendapat alim ulama yang turut melihatnya sebagai projek pembaziran.

No comments: