Thursday, May 31, 2012

Shahrizat Bersih...Rafizi, Zuraida Semakin Gelabah

 

Dua pemimpin kanan Parti Keadilan Rakyat (PKR) memang ‘tak reti bahasa’.

Panel Penilaian Operasi (PPO) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggugurkan penglibatan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dalam memberikan projek Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) bernilai RM250 juta kepada syarikat yang dikendalikan ahli keluarganya.

Namun Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dan Ketua Wanitanya, Zuraida Kamaruddin mempersoal dan kesal dengan keputusan SPRM yang mengisytiharkan Shahrizat bersih daripada tuduhan isu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) manakala kes rasuah 17 tahun lalu Azmin Ali mahu dibuka semula.

Pengerusi PPO Tan Sri Dr Hadenan Abdul Jalil berkata hari ini, siasatan terhadap penglibatan Shahrizat dalam NFC kini ditutup.

Keputusan itu berikutan beliau didapati tidak terlibat dalam proses pemberian pinjaman atau kontrak kepada syarikat tersebut.

Rafizi dan Zuraida berkata : “Kami berasa kesal dengan dua keputusan penting yang dibuat SPRM pada hari ini berhubung kes NFC dan penglibatan Shahrizat serta tuduhan terhadap Azmin Ali.”

"Rakyat boleh menilai tindakan tangkas SPRM berhubung tuduhan terhadap Azmin walaupun laporan dan siasatan Badan Pencegah Rasuah (kini SPRM) telah menyatakan bahawa tidak ada unsur rasuah ketika siasatan dibuat dalam tahun 1995.

"Berbeza pula dengan pelbagai dolak dalih yang diberikan SPRM dalam kes NFC dan Shahrizat walaupun NFC dan menteri bertanggungjawab membuat keterangan di Parlimen mengenai proses pemberian tender kepada sebuah syarikat milik keluarga beliau," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Kedua-dua mereka berkata, sungguhpun rata-rata rakyat Malaysia sudah menjangkakan bahawa SPRM akan melepaskan Shahrizat dari tuduhan rasuah bersabit NFC, keputusan SPRM membuka siasatan terhadap Azmin benar-benar mendedahkan wajah sebenar SPRM.

Memang menghairan sikap Rafizi dan Zuraida ini kerana hari ini juga SPRM turut mengisytiharkan kes membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Muda, Mat Suhaimi Shafiei dan rakan sejawatannya kerusi Batu Caves, Amirudin Shari, yang disiasat berhubung isu penyelewengan pasir di Selangor, dengan rasminya telah ditutup. Kedua-dua merupakan wakil rakyat PKR di Selangor.

Kenapa Rafizi dan Zuraida tidak melihat kes ini?

SPRM berpendapat walaupun sebelum ini kes itu telah dibuka semula namun hasil siasatan terkini mendapati kedua-dua Adun tersebut tidak bersalah di bawah undang-undang SPRM.

Sepatutnya dua pemimpin PKR itu memberikan pujian dan menghargai keputusan SPRM ini apabila dua wakil rakyat PKR dibersihkan.

Shuhaimi telah didakwa kononnya beliau terlibat dalam penyelewengan pasir bermula pada 23 Mei 2009 apabila Adun Sri Muda itu bertemu wakil syarikat yang terlibat dalam pembinaan Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE) di Hotel Sunway, Seberang Prai.

Sikap ‘tak reti bahasa’ Rafizi dan Zuarida sewajarnya mendapat reaksi Shahrizat apabila meminda pernyataan tuntutan samannya di Mahkamah Tinggi berikutan tiada bantahan daripada Zuraida dan Rafizi.

Pada 19 Januari lalu, Shahrizat memfailkan saman terhadap Zuraida dan Rafizi berhubung kenyataan yang didakwa memfitnah beliau berhubung isu projek NFC.

Shahrizat menuntut ganti rugi am sebanyak RM50 juta dan RM50 juta lagi bagi ganti rugi teladan dan teruk daripada kedua-dua defendan.

Wednesday, May 30, 2012

Najib Benarkan Saifuddin Berbeza Pendapat Dengan Beliau, Pemimpin UMNO Lain?


Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak membenarkan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah berbeza pendapat dengan beliau sendiri dan  pemimpin UMNO lain mengenai Bersih 3.0?

Apa istimewanya bekas pemimpin belia ini sehingga mendapat kebenaran ekslusif itu?

Sebuah akhbar versi online Singapura melaporkan , terus berbeza pandangan dengan anggota Umno lain apabila beliau secara terbuka mengatakan bahawa perhimpunan Gabungan bagi Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 3.0 bulan lalu bukan bertujuan menggulingkan kerajaan sekarang atau berkaitan dengan komunisme.


 "Saya tidak bersetuju kalau Bersih 3.0 dituduh sebagai dipengaruhi komunis atau ingin menjatuhkan kerajaan dengan demonstrasi jalanan.Jauh sekali kalau ia dianggap seakan-akan Arab Spring. Ini kerana faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya Arab Spring tidak wujud di sini.

"Kalaupun ada yang hendak dibandingkan, maka, ia mungkin berupa sedikit elemen anti-Marcos atau, yang terdekat, anti-Suharto. Tetapi, pokoknya bukan Arab Spring," kata Datuk Saifuddin, melalui kolumnya dalam akhbar Sinar Harian, semalam.


Menyusuli perhimpunan 'Duduk Bantah' Bersih 3.0 pada 28 April lalu, ramai pemimpin Barisan Nasional (BN), khususnya daripada Umno, telah mengutuk acara itu.

Malah, Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak, sendiri mendakwa bahawa perhimpunan Bersih 3.0 itu bertujuan mahu menggulingkan kerajaan yang dipimpin beliau.

Pandangan Datuk Seri Najib itu dikongsi oleh mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan tiga bekas pemimpin kanan polis negara itu - bekas ketua polis negara Malaysia, Tun Hanif Omar, mendakwa pesimpati komunis turut terlibat dalam perhimpunan tersebut.

Saifuddin berkata beliau tidak menyokong Bersih 3.0 tetapi bersetuju dengan banyak tuntutannya dan berasa "amat teruja apabila Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPP) berhubung dengan penambahbaikan proses pilihan raya ditubuhkan".

"Kita perlu sedaya upaya mempunyai pandangan yang benar dan adil terhadap Bersih 3.0. Oleh itu, wajar meneliti pelbagai video, tulisan, maklum balas dan post mortem daripada pelbagai sumber, termasuk daripada pihak yang tidak sealiran dengan kita," tegasnya.

"Saya mengalu-alukan resolusi Mesyuarat Agung Luar Biasa Majlis Peguam Malaysia. Begitu juga langkah Suhakam (Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia) bagi mengadakan pendengaran awam.

"Saya tidak bersetuju kalau Bersih 3.0 dituduh sebagai dipengaruhi komunis atau ingin menjatuhkan kerajaan dengan demonstrasi jalanan," tambahnya.

Najib Benarkan Saifuddin Berbeza Pendapat Dengan Pemimpin UMNO Lain?

Saturday, May 26, 2012

Nazri : Saya Tak Nampak Untungnya Anwar Ambil Yusof Sebagai Peguam


"... saya difahamkan Anwar panggil dia (Yusof) kononnya untuk menguatkan kes dia (Anwar) (untuk) mempertahankan diri, tapi yang menentukan sama ada orang itu bersalah ataupun tidak, bukan peguam yang mewakili tapi hakim di mahkamah...Tapi saya tak nampak untungnya ambil Yusof sebagai peguam kerana Yusof bukan pendakwa yang disegani, tak ada siapa kenal dia,"
  - Datuk Mohd Nazri Aziz

Benar juga kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz bahawa bekas Peguam Cara Negara II, Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden bukan peguam terkenal.

Jika demikian, kenapa pula Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedia mengambil Mohd Yusof sebagai peguammnya bagi membela beliau dalam kes berkaitan perhimpunan 28 April itu?
Apa kelebihan Mohd Yusof?
Mohd Yusof yang meletak jawatan Februari lalu, menyifatkan pembabitannya dengan Anwar di atas urusan profesional dan perniagaan semata-mata.
Namun, di pihak Anwar rasanya beliau mempunyai sebab tersendiri, bukan semata-mata kerana kedudukan Mohd Yusof yang sudah bersama.
Kata Nazri: "... saya difahamkan Anwar panggil dia (Yusof) kononnya untuk menguatkan kes dia (Anwar) (untuk) mempertahankan diri, tapi yang menentukan sama ada orang itu bersalah ataupun tidak, bukan peguam yang mewakili tapi hakim di mahkamah.
"Tapi saya tak nampak untungnya ambil Yusof sebagai peguam kerana Yusof bukan pendakwa yang disegani, tak ada siapa kenal dia," kata beliau hari ini.
Terdahulu beliau merasmikan program ekspedisi berakit Sungai Perak sempena Tahun Melawat Malaysia di Kuala Kangsar.
Dalam laporan Selasa lalu, Yusof berkata, beliau tidak mempunyai hubungan politik dengan ketua pembangkang itu tetapi sekadar menjalankan tugas sebagai seorang peguam profesional.
"Saya seorang peguam dan setiap orang berhak berbuat demikian. Saya tidak teragak-agak atau mempunyai masalah untuk mengambil kes ini," katanya.

Yusof, yang mengetuai pendakwaan pada perbicaraan kes liwat kedua ketua pembangkang itu berkata, beliau tidak mempunyai masalah peribadi dengan sesiapapun ketika bersetuju mewakili Anwar.
Mahkamah Tinggi pada 9 Januari lepas memutuskan untuk melepas dan membebaskan Anwar daripada pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Yusof yang bersara Februari lepas, berkata, Anwar menghubunginya pada kira-kira 10 malam Isnin lalu dan beliau tidak teragak-agak menerimanya.

Beliau turut menolak dakwaan bahawa tindakan itu dilakukan sebagai bantahan terhadap Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail. Yusof berkata, beliau tidak mempunyai sebarang masalah peribadi dengan Abdul Gani, dan enggan mengulas lanjut.

Wednesday, May 23, 2012

Muzakarah PAS-UMNO : Dr Ismail Ibrahim Kata Elok Batalkan

Oleh  Dr Ismail Ibrahim (Bekas Ketua Pengarah Ikim dan bekas Duta Malaysia ke Arab Saudi).
Saya setuju dengan pendirian Presiden Pas bahawa muzakarah yang dibicarakan dengan heboh sekarang ini di antara Pas dan Umno itu haruslah dibatalkan sahaja.

Kalau diteruskan juga dalam segala prejudis dan keritikan yang tidak beretika sekarang ini, maka dengan sendirinya muzakarah itu tidak lagi bersifat keislaman dan amat menyimpang dari etika serta nilai akhlak Islam.

 Islam di negara kita ini bukan HANYA kepunyaan Umno atau Pas tetapi kepunyaan semua umat Islam tanpa mengira keturunan dan fahaman politik masing-maisng. Oleh itu sebarang muzakarah, dialog, diskusi, seminar, persidangan, wacana, konvensyen dan namakan saja apa-apa perbincangan lain tentang Islam, maka semua pihak berhak dan sepatutnya mengambil bahagian, bukan Umno atau Pas sahaja.

Pendirian Pas yang menyatakan bahawa Pas hanya akan mengadakan muzakarah dengan NGO memang boleh diterima kerana hal itu adalah haknya, tetapi tidak membawa erti bahawa Pas sahaja yang berjuang untuk Islam sehingga dengan itu Pas sahaja yang boleh menentukan sebarang isu mengenai Islam dan agendanya.

Kalau Pas boleh bermuzakarah dengan NGO, maka haruslah diterima bahawa Umno juga boleh bermuzakarah dengan NGO kerana Umno juga mempunyai agenda pembangunan Islam, malah telah berjuang untuk Islam sejak puluhan tahun kewujudannya lagi.

Untuk mencari kebaikan, terlepas dari persoalan politik kepartian, maka Islam tidak haruslah dipolitikkan, dan tidaklah seharusnya merupakan satu perjuangan politik yang diberikan gambaran seolah-olah terdapat pihak yang membolot perjuangan Islam, dan terdapat sebuah parti politik Melayu sahaja yang memperjuangkan Islam sedangkan parti lain tidak mempunyai agenda keislaman. Islam tidak seharusnya dilebalkan sebagai Islam ala Pas, ala Umno, ala Melayu, Arab dan sebagainya, malah Islam adalah Islam yang satu; syariah, akidah, rukun Islam, rukun Iman, ihsan, nilai akhlak dan keseluruhannya adalah mempunyai persamaan dari segi prinsip dan dasar umumnya. 

Alangkah baiknya kalau dalam keadaan sekarang, ketika Islam telah banyak disalahertikan, dipolitikkan sebegitu rupa, maka umat Islam sendiri keseluruhannya yang seharusnya mengadakan muzakarah sesama sendiri, secara ilmiah dengan fakta dan data yang berasaskan penyelidikan dan kajian menyeluruh tentang pembangunan Islam di negara kita ini.

Mungkin gabungan dari beberapa buah institusi pengajian tinggi, badan-badan bukan Kerajaan yang bebas, tokoh-tokoh akademik dan profesional, para pendakwah dan aktivis masyarakat dan Islam yang ikhlas, perlu berganding bahu untuk mengadakan muzakarah atau dialog ini tanpa sebarang prejudis dan berat sebelah, malah muzakarah diadakan dengan penuh jujur untuk mengupas dan berbincang tentang apakah pengertian Islam yang sebenarnya, apakah agendanya, apakah kemajuan dan kelemahannya selama ini, apakah perjuangan Islam dalam dunia ibadat, dunia akhirat, fenomena fizikal dan spiritualnya, aktiviti pendidikan, perbankan, kewangan, kerohanian, media, sosial, politik dan sebagainya, dan bagaimanakah Islam dapat dibangunakn dengan lebeh baik lagi dalam negara kita yang secara umumnya telah pun terkehadapan dalam penghayatan dan perlaksanaan Islam ini.

Islam bukanlah hanya ritual dan fardu 'ain semata-mata, malah Islam merangkumi segala hal ehwal kehidupan keseluruhannya. Islam bukan hanya terletak kepada lambang dan retorik, tetapi perlaksanaanya yang praktikal dan menjadi amalan harian di dalam masyarakat.

Istilah2 Kebangsaan, Sekular, Tidak Islamik, Tak Mahu Islam, ekstrem, radikal, sempit dan sebagainya haruslah dianalisa dengan baik, bukan menjadi permainan bibir untuk tuduh menuduh tanpa bukti dan asas yang kukuh. Orientasi pembicaraan tentang Islam ialah orientasi ilmu, bukan propaganda dan emosi melulu.

Kesimpulannya, dalam keadaan sekarang, ketika hampir semua negara Islam di dunia ini mengalami kerisis identiti, kerisis pemikiran, konflik diantara mazhab, pertumpahan darah sesama sendiri, pembunuhan dan sebagainya, maka telah tiba masanya pihak masyarakat Islam yang ikhlas dan jujur, penuh insaf dan sedar, dengan penuh ilmu dan akhlak, haruslah segera bangun membetulkan keadaan dan menunjukkan jalan yang benar, malah menjelaskan dengan sepenuhnya apakah Islam itu yang sebenarnya dan apakah agenda, 'worldview'nya kerana Islam tidak lagi hanya dapat dipelajari melalui pentas-pentas politik, pentas-pentas kempen pilihan raya, iklan-iklan jual ubat, kalangan yang memperalatkan agama untuk kepentingan tertentu, atau melalui orang-orang yang taksub politik, tertutup akal mindanya kerana Islam adalah kepunyaan seluruh ummah, maka muzakarah ummah saja yang dapat menjernihkan keadaan dan membetulkan pemikiran ummah juga.

Batalkan saja muzakarah politik, kerana muzakarah ini mungkin hanya akan membawa lebih banyak kekeliruan dan perpecahan, dan sekali gus menghapuskan kesepaduan dan kesatuan umat Islam di negara kita ini, terutamanya ketika negara kita berada di ambang pilihan raya, maka sebarang muzakarah mungkin hanya akan digunakan sebagai alat untuk memancing undi, tujuan politik yang sempit dan tidak sesuai dengan matlamat syariah dan cara hidup Islam yang sebenarnya.

Cukuplah dengan perpecahan dan kecelaruan yang berlaku selama ini dalam masyarakat kita.

Cukuplah!

Friday, May 18, 2012

Hanya 'Tok Guru' Haji Hadi Addin, Pemimpin UMNO Terengganu Tidak Islamik???


Rencana Mengenai 'Sumbangan' Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Ahli Parlimen Marang dan ADUN Rhu Rendang.

Pemimpin PAS khususnya Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Marang merangkap ADUN Rhu Rendang Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan menepis sekuat-kuatnya jika dikatakan beliau melebihi kerja dan membuat kenyataan politik daripada menjaga kawasan.

Hadi sudah menjadi ADUN lebih 30 tahun dan Ahli Parlimen berbelas tahun, bertukar ganti dengan Datuk Abdul Rahman Bakar.

Akhir-akhir ini banyak contoh dan kejadian yang mencabar Hadi, apakah beliau MENGAMALKAN ADDIN SEPERTI YANG BELIAU GEMBAR GEMBURKKAN?.

Apakah beliau prihatin terhadap pengundinya?

Adakah beliau membuat cadangan kepada Kerajaan Negeri untuk membangun dan menyelesaikan masalah rakyat Marang?

Apakah beliau melawat, mendengar keluhan rakyat sebagai pemimpin yang ‘mengamalkan Addin’? Apakah kerana kawasan seperti Alor Limbat dan Pengkalan Berangan yang diwakili BN, beliau sebagai Ahli Parlimen tidak perlu melawat atau meninjau masalah penduduk di situ dan serahkan bulat-bulat kepada ADUN berkenaan.

Yang Hadi tekankan ialah soal pilihan raya bersih dan pengundi hantu.

Nampak sangat beliau berharap untuk terus menjadi wakil rakyat dan menjamin pakatan pembangkang menang.

Hadi berkata jika menang pilihan raya akan datang pakatan pembangkang akan menukar ISLAM dalam Perlembagaan itu bukan berbantuk ‘agama’ seperti sekarang tetapi kepada suatu cara hidup Islam – Addin.

Tanpa dapat memberikan contoh, Hadi berteori dan bercakap mengenai Islam sebagai cara hidup.

Namun apakah Hadi sendiri mengamal atau menunjukkan contoh ke arah itu?

Apakah sebagai ADUN Rhu Rendang, apalagi sebagai Ahli Parlimen Marang yang begitu lama, beliau membuktikan sebagai pejuang beliau menamal dan menunjukkan contoh sebagai seorang Muslim yang ‘mempraktikkan’ Addin?

Lihat Kes-kes Berikut: 

1. Penderitaan Zainon Mamat, 69, yang hanya mampu terbaring di ruang tamu di rumahnya di Kampung Gong Merawang, Rhu Muda.

Ia mendapat perhatian beberapa pihak sempena Program Sehari Jalinan Mesra Amal Bakti diadakan di situ.

Program bersama ahli Kelab Pemilik Proton Saga BLM (Prosboc) dari Kuala Terengganu dan Puteri serta Wanita Umno cawangan Rhu Muda itu turut mendapat kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rhu Muda.

Rombongan lawatan ke rumah Zainon diketuai Ketua Puteri Umno cawangan Rhu Muda, Nor Faridah Osman, 33, bagi menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian kepada warga emas itu, yang lumpuh dan menderita akibat penyakit itu sejak lapan tahun lalu. 


Keluarga malang itu bergantung dengan bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan, ibu sebanyak RM200 manakala bapa sebanyak RM300 kerana menjaga ibu.

Faridah yang juga merupakan Ketua Penerangan Puteri Umno Dewan Undangan Negeri (Dun) Rhu Rendang berkata, bagi pesakit yang sudah mendapat bantuan sewajarnya pihaknya berharap agar kunjungan itu dapat menceriakan pesakit terbabit.

UMNO Jugak!!!

2. Mangsa kebakaran di Marang bakal dapat rumah baru.

Pada 27 April 2012 lalu, Kerajaan negeri Terengganu meluluskan peruntukan segera sebanyak RM53,000 kepada satu keluarga mangsa kebakaran di Kampung Tebakang di Marang bagi membolehkan mereka membina semula rumah mereka.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata sebanyak RM33,000 daripada bantuan itu ialah peruntukan Tabung Darul Iman manakala bakinya RM20,000 melalui dana Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Limbat.


Kerja-kerja pembinaan rumah tiga bilik itu dimulakan segera, kata Menteri Besar selepas melawat mangsa kebakaran itu Tun Mamat Tun Jambol, 56, dan isterinya Fatimah Said, 44. Fatimah, ketika ditemui melahirkan rasa terharunya atas kesudian menteri besar meluangkan masa melawatnya sekeluarga dan amat bersyukur dengan peruntukan segera itu yang membolehkan mereka membina rumah baru di tapak rumah yang terbakar itu. Hanya ucapan terima kasih mampu saya ucapkan di atas keprihatinan menteri besar yang sudi datang melawat kami," katanya yang bekerja sebagai penenun songket.

Menteri Besar Jugak!!!

 3. Lebih 500 rumah di tiga daerah di Terengganu mengalami kerosakan akibat dilanda ribut dan hujan lebat, petang Sabtu (5 Mei 2012).

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu, Zuhami Omar, berkata sekurang-kurangnya lima rumah dilaporkan dihempap pokok dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu di Bukit Payong.

 Zuhami berkata, JKM sedang menilai kerosakan rumah berkenaan sebelum menyalurkan bantuan. Di Kampung Undang, sebanyak 104 buah rumah mengalami kerosakan seperti atap dan dinding.


Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang ditemani Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawasan Bukit Payong, Zaidi Muda meluangkan masa melawat beberapa kediaman yang dilanda ribut di sekitar kawasan berkenaan sehari selepas itu.

Nasib mangsa-mangsa ribut yang melanda sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong, Marang itu mendapat perhatian Ahmad Said yang berjanji bantuan segera akan dihulurkan kepada golongan berkenaan. Ahmad Said memberitahu, bantuan daripada pihak kerajaan negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta pihak lain yang prihatin dapat meringankan beban mangsa bagi meneruskan kehidupan seharian.

Bantuan membaiki rumah, ganti atap baru akan disalurkan dan diselesaikan dalam tempoh sehari dua ini. Kita telah membuat tinjauan, banyak atap rumah tercabut. Malah ada rosak teruk dihempap pokok besar.  

Menteri Besar Jugak!!!

4. Isu penerokaan tanah pertanian sekitar Rusila lebih 11 hektar itu sejak 1976.

Apakah yang dilakukan Hadi?

Ketika PAS memerintah Terengganu antara 1999 hingga 2004, masalah ini sudah wujud tetapi PAS ‘pejam mata sahaja’ kepada 23 peserta tanah berkenaan.lagi.

Pertengahan April lalu, Ahmad Said meminta agar 23 peserta terlibat dalam penerokaan tanah pertanian di Kampung Bukit Anak Ring yang sudah lebih 40 tahun menanti untuk mendapatkan geran hak milik. Menteri Besar berjanji Kerajaan Negeri akan bertindak menyelesaikan masalah penduduk Rusila itu.


Sehubungan itu, Menteri Besar, meminta mereka segera membuat permohonan baru bagi menyelesaikan masalah itu, manakala pihak berkuasa tempatan diarahkan membuat semakan semula status tanah berkenaan.

Beliau sudah dimaklumkan oleh pegawai daerah, (A Rahman Che Ali) ada satu permohonan lama, tahun 70-an. Ada tanah 11 hektar di Kampung Bukit (Anak) Ring. Daripada 23 peserta di peringkat awal dulu, 11 orang telah pun meninggal dunia.

Menteri Besar Jugak!!!

5. Isu nelayan Marang yang majoritinya penyokong pembangkang.

Majoriti kumpulan nelayan di Marang adalah penyokong pembangkang dan jika dibuat perbandingan daripada 1,000 nelayan, kira-kira 700 daripada mereka memilih Pas.

Namun, Kerajaan negeri dan Pusat menjalankan pelbagai pembangunan dan kemudahan kepada nelayan supaya mereka dapat terus bekerja dan mencari rezeki mereka.

Antara projek berkaitan termasuk mendalamkan Sungai Marang yang dilaksanakan Kerajaan Pusat dengan kos RM30 juta, selain peruntukan tambahan kira-kira RM500,000 bagi mendalamkan semula sungai itu. Selain itu, projek membangunkan prasarana longkang Sungai Kerok bernilai kira-kira RM5 juta, longkang Sungai Riting (fasa i) RM500,000, (fasa ii) RM300,000 dan projek yang terbaru, longkang Sungai Riting (fasa iii) menghala ke Kelulut dan Sungai Marang melibatkan kira-kira RM3juta.

Kerajaan Negeri dan Pusat turut menyiapkan Marang Waterfront (fasa i) bernilai kira-kira RM4 juta, longkang di Bandar Marang, Alor Pok Bang dan banyak lagi dalam proses membangunkannya dari masa ke semasa kerana peruntukan bagi tujuan itu sudah disediakan.

Kerajaan BN Jugak!!!

6. Pembinaan jalan baru dan pembesaran jalan kampung di seluruh daerah Marang

Pada lawatan ke daerah Marang pada 7 Februari 2012 lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said meluluskan peruntukan serta-merta RM3 juta bagi tujuan pembinaan jalan baru dan pembesaran jalan kampung di seluruh daerah itu.

Peruntukan itu tidak termasuk projek pembesaran parit dan longkang di daerah tersebut yang memerlukan pembinaan segera bagi mengatasi pelbagai masalah seperti banjir kilat.

Kerajaan negeri turut menyediakan peruntukan RM750,000 bagi setiap DUN di Parlimen Marang tahun ini untuk membina jalan-jalan kampung dan membesarkan jalan sedia ada.

Kerajaan BN Jugak!!!


7. Menggantikan Jambatan Marang sedia ada kepada empat lorong. Jambatan empat lorong bernilai RM80 juta bakal dibina bagi menggantikan Jambatan Sungai Marang sedia ada.

Pegawai Daerah Marang, A. Rahman Che Ali berkata 19 Mac 2012 lalu, jambatan yang dirancang pembinaannya setinggi lapan meter itu menjadi nadi laluan penting daerah berkenaan. Ia bagi mengatasi masalah trafik di sekitar bandar Marang sekali gus menaikkan imej bandar ini sebagai bandar berkembar kepada Kuala Terengganu.

Beliau berkata kepada pemberita selepas taklimat pembangunan Daerah Marang kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang melawat ke pejabat daerah itu Katanya, dengan ketinggian sehingga lapan meter itu, ia membolehkan laluan bot besar persiaran dan bot nelayan di sungai berkenaan walaupun dalam keadaan air pasang.
  
Kerajaan BN Jugak!!!

8. Syarikat China labur RM1 bilion di Marang

Kerajaan Terengganu berjaya menarik syarikat dari China untuk memajukan projek akuakultur ternakan udang dengan pelaburan bernilai RM1 bilion, di daerah Marang.

Projek kerajaan negeri dengan usaha sama Ocean Aquatic Marine (M) Sdn Bhd dan syarikat China berkenaan, Zhanjiang Guolian Aquatic Products Co Ltd, itu u dijangka bermula pertengahan tahun ini.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata pada 1 Mac 2012 lalu, projek ternakan udang di kawasan seluas 1,000 hektar dijangka menyediakan lebih 1,000 peluang pekerjaan untuk masyarakat tempatan. Katanya Marang dipilih sebagai lokasi sektor akuakultur memandangkan kawasan tersebut yang berdekatan laut, sesuai untuk menternak udang. 

"Syarikat China ini merupakan pengusaha udang terbesar di negaranya, dan mendapat pensijilan eksport oleh badan Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat. Hasil projek itu dijangka dieksport ke Amerika Syarikat dan Eropah, selain dipasarkan ke negaranya sendiri kerana penggunaan di negara mereka juga besar," katanya. 

Ahmad Said Jugak!!! 


9. Kem tentera bakal rancakkan pembangunan Marang

Rancangan membina kem tentera di Marang, yang akan menempatkan 5,000 anggota dijangka melonjakkan proses pembangunan daerah ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita Terengganu Datuk Yahya Khatib Mohamad pada 24 Januari 2012.

Apa komen PAS? Kem itu akan menguntungkan BN dari segi undi pilihan raya.

Yahya Khatib yang juga Anggota Dewan Undangan (ADUN) Pengkalan Berangan berkata kerajaan negeri telah meluluskan kawasan seluas 800 hektar di Kampung Tebuang Jenang bagi pembinaan kem berkenaan.Projek akan dapat menjadi kenyataan selewat-lewatnya selepas pilihan raya umum akan datang.

Pembinaan kem tentera itu juga secara tidak langsung akan membantu menambah jumlah pelajar Sekolah Kebangsaan Jenang yang menghadapi ketandusan pelajar. Yahya Khatib berkata kerajaan negeri juga telah meluluskan pembinaan sebuah masjid baru berharga RM5 juta yang dapat menampung lebih 1,000 jemaah tahun ini di kampung Pengkalan Berangan.

Dengan adanya kem tentera itu serta Institut Latihan Perindustrian (ILP) di daerah itu akan mewujudkan pelbagai peluang perniagaan yang dapat menambah pendapatan penduduk di daerah ini.

Kerajaan BN Jugak!!!

10. Kejohanan Drive Ride (DR) 4x4 Ranggok Antarabangsa di Marang


Kejohanan akan disenaraikan dalam kalendar pelancongan Terengganu bermula tahun depan dalam usaha meningkatkan daya tarikan daerah ini sebagai sebuah destinasi sukan ekstrem antarabangsa.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said baru-baru ini berkata, kejohanan itu bakal dijadikan acara tahunan berdasarkan sambutan luar dugaan yang diterima dengan penglibatan membabitkan sehingga 1,250 orang peserta dari dalam dan luar negara.

Kejohanan memperlihatkan potensi sukan tersebut yang cukup besar dan litar sukan lasak Gong Cempedak seluas 60 hektar menjanjikan pengalaman yang mencabar. Sehubungan itu, bagi menaik taraf kejohanan tersebut, beliau mempelawa Kelab 4x4 Ranggok Marang yang bertindak sebagai penganjur kejohanan berkenaan mengadakan perbincangan lanjut bersama Kerajaan Negeri dan agensi berkaitan.

Ahmad Said Jugak!!!

11. Marang jelapang padi kedua Terengganu
 
Daerah Marang bakal dijadikan jelapang padi kedua Terengganu kerana kawasan itu sesuai untuk diusahakan dengan tanaman itu namun pada masa yang sama dibiarkan oleh pemiliknya. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Asha'ari Idris yakin bekalan padi untuk menampung keperluan di Terengganu akan mencukupi sekiranya kesemua kawasan itu diusahakan.

Katanya kawasan pengeluaran padi yang paling luas setakat ini di Terengganu ialah di Jelapang, Setiu yang melibatkan kawasan lebih 100 hektar dan kos kemudahan asas hampir RM50 juta.

Terengganu memerlukan kawasan seluas 24,000 hektar pada tahun 2020 bagi tanaman padi untuk menampung keperluan dalam negeri.

Kerajaan BN Jugak!!!
 


Penduduk Marang terutama Rhu Rendang perlu berubah supaya zaman kegemilangan ketika Datuk Abdul Rahman Bakar dari Barisan Nasional (BN) menjadi Ahli Parlimen selama dua penggal(1999-2008), pelbagai projek Kerajaan Pusat dapat dijayakan dan dilaksanakan dengan lancar.


Sepanjang 1999-2004 pelbagai projek Kerajaan Pusat berjaya dilaksanakan di Marang termasuk Bangunan Mara, jeti pendaratan ikan, projek mendalamkan muara sungai Marang, Institut Latihan Perindustrian, Institut Latihan Belia, bangunan Ibu Pejabat Polis Daerah Marang dan Institut Latihan FRU. 

Secara umumnya, Daerah Marang dan Pusat Bandar Marang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang merupakan antara bandar yang paling ketinggalan di segi pembangunan sejak 30 tahun lalu.



Puncanya mudah. Ia berada di bawah pemerintahan pembangkang.Rhu Rendang antara kawasan yang paling ketinggalan dalam arus pembangunan dan segala yang dikecapi hari ini merupakan `ehsan’ daripada Kerajaan Pusat. Peruntukan dari aspek bantuan dan menyediakan kemudahan yang disediakan kerajaan negeri kepada rakyat mungkin sama sebagaimana kawasan lain, tetapi banyak pembangunan yang mahu dilaksanakan Kerajaan Pusat seperti Kolej Matrikulasi yang diluluskan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU )Ke-12, terbengkalai selepas Parlimen Marang jatuh ke tangan Pas,kata Pegawai Pembangunan DUN Rhu Rendang, Haji Nik Dir Nik Wan Ku.

Proses menyalurkan peruntukan bagi membangunkan kolej berkenaan yang dikatakan sudah mempunyai kontraktor itu terbantut apabila Marang yang sebelum ini di bawah Kerajaan Barisan Nasional beralih kepada Pas selepas PRU 12.

Selain Kolej Matrikulasi, Pusat Kesihatan Marang, Pejabat Pelajaran Daerah Marang, Pejabat Gunasama Persekutuan, Mahkamah Majistret, Pejabat Pendaftaran Negara, Sekolah Menengah Sains dan Mini Stadium yang mana semuanya sudah ditentukan kawasan bagi pembangunan projek oleh Kerajaan Pusat itu gagal diteruskan. “Inilah akibatnya apabila penduduk Marang sendiri yang menggadai kawasan mereka kepada pembangkang pada PRU 12 yang lalu."


Pendek kata semua pejabat kerajaan dan agensi berkenaan sudah ada peruntukan dan tanah masing-masing, serta hanya menunggu untuk dibangunkan sahaja. Tetapi malang sekali, peranan wakil di peringkat Parlimen gagal meneruskan kesinambungan perjuangan membangunkan Marang serta Rhu Rendang sendiri,” ujarnya.

Perkara-perkara yang disebut di atas hanya beberapa contoh tidak termasuk pemberian BR1M, e-Book kepada pelajar sekolah rendah, bantuan Dana Remaja, Bantuan Hari Raya, Bantuan One-Off untuk ke IPTA dan IPTS, dana untuk warga emas, Bantuan Penyakit Kronik dan banyak lagilah…

Persoalan ialah apakah dengan kedudukannya sebagai Presiden PAS dan dianggap ‘Tok Guru’ oleh pengikutnya, Hadi tidak perlu melihat ‘masalah rakyat yang dianggap hanya perkara kecil’ sedangkan isu Islam dan kerjasama dalam pakatan rakyat lebih besar?

Siapa melihat masalah belia dalam konteks sukan, pembelajaran, keusahawanan dan aktiviti roada lain kalau bukan pemimpin UMNO dan BN seperti Senator Datuk Abdul Rahman Bakar (kiri), Datuk Yahya Khatib Mohamad, ADUN Alor Limbat, Alias Abdullah, Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawasan Bukit Payong, Zaidi Muda dan Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang, Nik Dir Nik Wan Ku?

Malah, perbahasan Hadi pada Sidang Dewan Undangan Negeri  yang lebih bersifat ‘ceramah’ tidak pun menimbulkan isu rakyat dan pembangunan di Marang.

Apakah Hadi meletakkan dirinya sebagai orang yang hanya layak untuk berbahas mengenai isu-isu agama semata-mata?


Tidakkah Hadi merasa berdosa membiarkan rakyat di Marang lebih bergantung kepada kerajaan BN dalam mendapatkan sokongan, bantuan atau apa sahaja keperluan mereka kerana Hadi meletakkan kefahaman bahawa memang kerajaan perlu mengambil tahu semua masalah rakyat?

Jadi jika demikian, untuk apa Hadi mahu terus menjadi Ahli Parlimen Marang dan ADUN Rhu Rendang?

Makan Gaji Buta dan mengharapkan kerajaan BN Terengganu dan Pusat ‘mencuci segala kekotoran kelembapan pembangunan dan masalah rakyat di Marang?

Ternyata PAS mempunyai Presiden, Ahli Parlimen di Marang yang juga ADUN Rhu Rendang yang hanya bijak bercakap tetapi TIDAK MENGOTAKAN KATA-KATANYA BAGI MENGAMALKAN ADDIN YANG diperjuangkannya! Inikah jenis wakil rakyat atau pemimpin Islam yang wajar diagung-agung dan disanjung?

Kerana itu, BN Marang kini begitu bersemangat dan penuh yakin untuk menang semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payung daripada parti PAS selain kerusi Parlimen Marang yang kini disandang Abdul Hadi.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Yahya Khatib Mohamad (kanan), berkata dalam usaha merampas semula DUN Bukit Payung dan Parlimen Marang, dua kerusi DUN iaitu DUN Pengkalan Berangan dan DUN Alor Limbat, yang kini disandang BN tidak mempunyai masalah untuk dipertahankan.

Katanya, jika BN berjaya mempertahankan Pengkalan Berangan dan Alur Limbat selain, merampas kembali DUN Bukit Payung, selain mengurangkan majoriti di DUN Rhu Rendang yang kini disandang Abdul Hadi, tidak mustahil Parlimen Marang juga akan kembali bersama BN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti. 

hambali1  (Bahagian 1, Bahagian 2 & Bahagian Akhir

TEGANUKINI

Monday, May 14, 2012

Negara Akan Kembali Ke Tahun 1511 Jika Pakatan Pembangkang Menang PRU-13


Negara akan kembali ke era tahun 1511, dengan agenda bumiputera tidak lagi diwujudkan, sekiranya Barisan Nasional (BN) kalah pada pilihan raya umum ke-13, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Beliau berkata negara berkemungkinan kembali kepada zaman pemerintahan Francis Light dan Alfonso de Albuquerque jika pakatan pembangkang mengambil alih tampuk pemerintahan kerana mereka dilihat tidak mampu memperjuangkan agenda bumiputera.

"Kita tahu bahawa agenda bumiputera satu perkara penting pada tahun sebelum tahun 1511. Selepas itu, selepas 446 tahun kita tak cakap mengenai agenda bumiputera dan selepas merdeka baru kita kembali memperjuangkan agenda bumiputera.

"Kita tak pasti sama ada parti yang memerintah (pakatan pembangkang) akan pegang kepada konsep agenda bumiputera.

Kalau mereka memerintah automatik kita akan balik ke zaman 1511," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Projek Usahawan Gemilang anjuran Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Berhad di Tasik Gelugor, semalam.

Beliau berkata perkara itu kini boleh dilihat di Pulau Pinang apabila masyarakat Melayu seakan-akan dipinggirkan dan agenda bumiputera juga tidak diperjuangkan di negeri ini.

Nor Mohamed yang juga Anggota Parlimen Tasek Gelugor berkata hal sedemikian tidak akan berlaku jika BN kekal sebagai kerajaan memandangkan sejak negara memperoleh kemerdekaan pada tahun 1957, pelbagai usaha telah dijalankan untuk memperjuangkan agenda bumiputera bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat itu.

Katanya beliau yakin BN akan kekal berkuasa di Putrajaya dan negeri lain kerana sokongan dan keyakinan rakyat kepada parti itu semakin meningkat.

Beliau berkata BN akan memastikan rakyat akan terus bersama menyokong kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam menjadikan negara sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Tuesday, May 8, 2012

Muka Tak Malu! Ostat Khalwat Badrulamin Masih Beri Ceramah Di Masjid?

 "Bagaimana agama Islam ini memandu ustaz untuk berfikir di luar kotak pemikiran dan falsafah politik. Saya terfikir sendirian, apakah ustaz tidak malu kepada umat Islam, ketika ustaz berkhutbah di atas mimbar, maka berkemungkinan yang terbayang di kepala ahli jemaah, adalah kes khalwatnya yang ternyata nampak belum menyebelahinya."

Pada Jumaat lepas, saya bersolat Jumaat di masjid Taman Ehsan. Sebaik saja melangkah masuk ke masjid, saya agak terkejut apabila melihatkan Ustaz ,yang terkenal sebagai orang kuat PKR yang didakwa berkhalwat baru-baru ini sedang rancak berkhutbah.

Saya jadi pelik, bagaimana ustaz sanggup berdiri di atas mimbar, sedangkan kes khalwatnya itu masih lagi berjalan dan belum selesai. Bagi saya, ini bukan isu undang-undang, tetapi ini adalah isu kredibiliti dan maruah seorang Muslim.

Saya tertanya-tanya, bagaimana cara ustaz berfikir.

Bagaimana agama Islam ini memandu ustaz untuk berfikir di luar kotak pemikiran dan falsafah politik. Saya terfikir sendirian, apakah ustaz tidak malu kepada umat Islam, ketika ustaz berkhutbah di atas mimbar, maka berkemungkinan yang terbayang di kepala ahli jemaah, adalah kes khalwatnya yang ternyata nampak belum menyebelahinya.

Saya masih terngiang-ngiang pengakuan ustaz dipukul dan teraniaya di dalam kes tersebut.

Namun apa yang jelas, ketika muncul di kaca tv, wajahnya tidak berubah. Tidak ada bengkak atau kecederaan yang terzahir di wajah Ustaz.

Malah, tidak ada tersiar di dada akhbar atau media alam maya, mendedahkan tubuhnya yang bengkak-bengkak akibat dipukul oleh 20 orang lelaki, seperti yang didakwanya itu.

Timbul persoalan, apakah Ustaz kini sudah pandai menipu?

Apakah sejak masuk politik, maka berbohong tidak lagi menjadi dosa? Apakah setelah ustaz menyertai politik, maka segala-galanya boleh menjadi halal sekiranya keadaan darurat politik untuk menyelamatkan karier dan undi memerlukannya?

Sekiranya Ustaz menipu, maka apakah peribadinya, dan hatinya serta jiwanya seorang ustaz, yang sanggup menebalkan muka, malah berkhutbah Jumaat dan bercerita tentang agama, sedangkan dia sendiri sedang begelut dengan kes maksiat?

Ini mengingatkan saya bagaimana mentor pujaan beliau, Anwar Ibrahim juga pernah melakukan perkara yang sama.

Apakah layak seorang ustaz yang menipu naik di atas mimbar lalu memberi khutbah Jumaat? Jika dulu, ustaz cukup lantang membantai, mengutuk malah juga menghina orang-orang yang tidak selari pendapat dengan ustaz, apatah lagi dengan orang-orang yang mempunyai masalah moral, maka ustaz akan mencerca dan membuka aib mereka tanpa ada segan silunya.

Bahkan, ustaz sendiri pernah mahu memancung kepala seorang ulama, hanya kerana perbezaan pendapat dalam politik. Tetapi hari ini, ustaz sendiri terpalit dengan isu-isu maksiat dan ternyata isu ini lebih memalukan.

Bukan sahaja terhadap diri ustaz, tetapi kepada keseluruhan umat Islam di negara ini. Bagaimana seorang ustaz boleh ditangkap bersama-sama dengan seorang isteri orang, pada jam dua pagi di bilik hotel mewah?

Apakah ustaz mahu menyalahkan UMNO sedangkan ustaz sendiri tahu bahawa kita dilarang untuk berada di dalam keadaan yang boleh menimbulkan fitnah?

Tidakkah seorang ustaz tahu akan perkara itu? Sudah pasti ustaz tahu, namun ustaz sendiri yang buat-buat tidak tahu kerana mengikut nafsu sepertimana ustaz selalu mengikut nafsu politik ustaz bila berceramah dan berkata-kata. Kata ustaz, ini adalah propaganda politik untuk menjatuhkan imej ustaz.

Apakah ustaz fikir bahawa rakyat ini terlalu bodoh, untuk membezakan kebatilan dan kebenaran di dalam negara ini. Semua orang tahu tentang kes ustaz yang mempunyai isteri dua.

Semua orang tahu bahawa kelemahan ustaz untuk menjadi seorang suami yang berpaksikan contoh Rasulullah saw apabila tersebarnya cerita keganasan rumahtangga di dalam kendalian ustaz.

Sebagai salah seorang umat Islam yang kerdil dan hina, saya minta agar ustaz bergeraklah di dalam masyarakat seperti seorang pendakwah biasa.

Pendakwah yang hanya mengharapkan ganjaran dari Ilahi semata-mata dan bukannya ganjaran dunia.

Keluarlah dari dunia politik kerana ia terlalu kuat dugaannya terhadap ustaz. Sekali ustaz silap, Islam akan tercemar di mata masyarakat. Fitnah akan menular di kalangan akar umbi umat Islam yang lebih banyak yang buta dari yang celik. Ustaz…kembalilah ke pangkal jalan.

 Ingatlah ikrar ini bahawa Solatku, Ibadahku, Hidupku dan Matiku hanya kerana Allah semata-mata…Ingatlah… Faqir Illalah…

parpukari

Wednesday, May 2, 2012

Itu Azmin Ali - Ummi Hafilda Yakin 99.9 Peratus


Adik kepada Timbalan Presiden PKR Azmin Ali, Ummi Hafilda hari ini berkata, beliau yakin sehingga tahap 99.9 peratus bahawa gambar lelaki terbabit dalam skandal seks yang tersiar dalam akhbar dan laman blog adalah imej abang kandungnya itu.
 
Sehubungan itu, beliau mencabar Azmin membuat laporan polis untuk menafikan gambar yang tersiar di akhbar dan beberapa laman blog tempatan adalah bukan dirinya.

"Sebagai adik, saya kenal benar dengan abang saya. Dari aspek potongan rambut, susuk badan dan cara berpakaian itu memang dia," katanya kepada pemberita di KualaLumpur.

Beliau turut mendesak Azmin mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar dan blog terbabit bagi membersihkan nama baik keluarga mereka dalam tempoh tujuh hari.

Katanya, jika Azmin tidak berusaha untuk membersihkan namanya, beliau sendiri akan membuat laporan polis bagi mengetahui perkara sebenarnya dan jika Azmin didapati memang terbabit dalam skandal seks itu, abangnya haruslah meletak jawatan sebagai wakil rakyat.

Katanya, jika benar Azmin berkelakuan seperti itu, dia telah mencemarkan nama keluarga dan tidak layak untuk menjadi pemimpin masyarakat sebaliknya harus meletak jawatan dan memberi tumpuan kepada keluarga.

Ummi berkata, Azmin telah lama tidak pulang untuk menziarahi ibu mereka, Che Tom Yahaya, 78, yang semakin uzur.

Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak, dipetik oleh akhbar tempatan sebagai berkata, imej lelaki dalam gambar lucah itu bukanlah dirinya dan menganggap ia sebagai fitnah terhadap beliau menjelang Pilihan Raya Umum ke-13.