Sunday, October 30, 2016

Kenapa Razak Baginda Bantah Pindaan Kenyataan Bapa Altantuya?


Apakah bekas pegawai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Abdul Razak Baginda berjaya untuk membuat bantahan pindaan kenyataan Shaariibuu Setev dalam saman sivil berkaitan pembunuhan anaknya Altantuya Shaariibuu?

Salinan pindaan terhadap penyata tuntutan itu berjaya diserahkan kepada dua pembunuh model Mongolia itu di mana masing-masing berada di penjara Kajang dan pusat  tahanan di Australia.

Apakah ia ada kaitan seperti dalam dokumentari Al Jazeera bahawa Altantuya bukan dibunuh oleh kedua mereka itu tetapi orang lain?
  
Persoalannya  kenapa Abdul Razak membantah?

Apakah kerana beliau dilibatkan secara langsung dalam pembunuhan itu seperti yang disebut  oleh salah seorang yang dihukum, Sirul Azhar Umar?

Peguam keluarga Altantuya, Ramkarpal Singh sudah memberitahu hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Ahmad Nasfy Yasin yang menetapkan 16 Disember  depan untuk keputusan terhadap permohonan pindaan Shaariibuu.

Setev, isterinya Altantsetseg Sanjaa dan dua  cucu mereka sebelum ini menyaman kerajaan, penganalisis politik Abdul Razak Baginda, bekas anggota polis Azilah Hadri dan Sirul Azhar, yang turut disabitkan bersalah membunuh Altantuya, sebanyak RM100 juta.

Abdul Razak...bantah pindaan kenyataan bapa Altantuya
Mereka mendakwa wujudnya konspirasi dalam pembunuhan model dari Mongolia itu antara 18 Oktober dan 19 Oktober 2006 berhampiran Puncak Alam..

Tuntutan saman pada 2007 itu tertangguh kerana perbicaraan kes berlangsung di Mahkamah Tinggi yang kemudiannya dibawa ke Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Sirul dan Azilah kemudian berjaya membatalkan sabitan itu di Mahkamah Rayuan pada 23 Ogos 2013.

Bagaimanapun pada 13 Januari 2015, Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap mereka kerana membunuh model sambilan itu.

Razak yang pernah menjadi rakan rapat Najib, pernah didakwa bersubahat dalam pembunuhan itu. Beliau kemudian dibebas tanpa dipanggil membela diri kerana keterangan dikemukakan tidak cukup bagi membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Sirul, anggota polis yang pernah bertugas sebagai pengawal peribadi Najib kini berada di Pusat Tahanan Imigresen Villawood di Sydney sejak 21 bulan lalu.

Dia  berjaya melarikan diri dari negara ini sebelum hakim Mahkamah Persekutuan menyabitkan dia atas kesalahan membunuh Altantuya pada awal 2015 itu.

Peguam Abdul Razak pada 26 Oktober lalu membayangkan pihaknya akan membuat bantahan ke atas pindaan kenyataan Setev dalam saman sivil berkaitan pembunuhan Altantuya itu.

Peguam Abdul Razak, Kuan Chee Foo memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam, mereka akan memfailkan afidavit balas untuk tujuan itu.

Tidak diketahui sama ada affidavit  balas itu sudah difailkan atau sebaliknya.

Itulah antara keputusan yang sedang ditunggu pada ketika peguam keluarga Altantuya turut menunggu keputusan apakah Sirul Azhar akan dibawa pulang ke Malaysia.

Sirul (kiri), Ramkarpal (kanan)
Sebelum itu, pada 21 Oktober lalu, Ramkarpal meminta Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan sama ada kerajaan berhasrat mengekstradisi Sirul Azhar dari Australia.

Undang-undang Australia menghalang kerajaan mengekstradisi seseorang yang berdepan dengan hukuman mati di sesebuah negara lain.

Ramkarpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu mengangap keluarga Altantuya terpaksa menunggu dua tahun untuk mendapatkan jalan bagi mengekstradisi Sirul Azhar.

Ia juga tidak memberikan keadilan kepada keluarga berkenaan selepas meminda tuduhan.

Ramkarpal yang  meminta Dr Ahmad Zahid menjelaskan mengapa kerajaan belum membuat sebarang permohonan rasmi kepada Canberra untuk mengekstradisi Sirul Azhar sehingga kini belum mendapat sebarang jawapan.

Sebelum ini, kerajaan mengesahkan mereka tidak membuat sebarang permohonan mengekstradisi Sirul Azhar  kepada kerajaan Australia.

Jawapan kerajaan di Dewan Rakyat itu dianggap oleh Ramkarpal sebagai bercanggah dengan jaminan diberi kerajaan sebelum ini yang menyatakan mereka dalam proses berunding dengan kerajaan negara itu.

Ramkarpal berkata jawapan tidak konsisten kerajaan kepada soalannya sejak 2015 menimbulkan kesangsian bahawa Putrajaya tidak berminat membawa Sirul Azhar pulang.

Katanya alasan diberi kerajaan yang mendakwa proses mengekstradiri itu rumit juga menunjukkan betapa tidak cekapnya Pejabat Peguam Negara.

Ramkarpal yang juga anggota parlimen Bukit Gelugor turut memaklumkan secara rasmi kepada mahkamah bahawa firma guamannya berjaya menyerahkan permohonan meminda kenyataan itu kepada defendan kedua, Sirul Azhar di Pusat Tahanan Imigresen Villawood di Sydney, Australia.

Setev, bapa Altantuya...mencari kebenaran dan keadilan untuk anaknya.
Permohonan itu diserahkan kepada Sirul selepas Kementerian Luar pada tahun lalu tidak menghubungi pihaknya untuk memaklumkansama ada mereka berjaya menyerahkan dokumen berkenaan kepadanya atau tidak.

Mengenai pindaan kenyataan Setev, peguam kanan persekutuan Tengku Intan Suraya Tengku Ismail yang mewakili kerajaan sebagai defendan keempat sudah menegaskan pihaknya tidak akan membantah permohonan Shaariibuu.

Jelas kini Razak baginda sahaja yang membantah  pindaan kenyataan bapa Altantuya.

Mengenai apa? Inilah antara jawapan yang sedang ditunggu.

Pada 2 April 2015, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kenyataanSirul Azhar bahawa dia hanya menjalankan arahan ketika membunuh Altantuya harus disiasat.
Dr Mahathir berkata, perkara itu melibatkan nyawa manusia dan “amatlah zalim” jika Sirul dibiar menjalani hukuman mati hanya kerana menjalankan arahan.
“Rakyat tertanya-tanya siapa yang memberi arahan. Sebagai pengawal peribadi Datuk Sri Najib (Razak), dakwaan Sirul perlu disiasat untuk menentukan siapa yang memberi arahan, “ tegas bekas Perdana Menteri itu.

Sunday, October 23, 2016

Jamal Memang Seorang ‘Hero’ Atau Sedang ‘Sakit’?


Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos kini menjadi ‘hero’ secara tiba-tiba.

Bukan  kerana menuntut hak rakyat atau berjuang demi memperkuatkan UMNO tetapi gerakan Baju Merahnya menjadi satu ‘force’ yang dilihat cuba menggagalkan perhimpunan Bersih 5.

Isu ‘parang terbang’ yang dinafikan olehnya melonjak namanya kerana ia mendapat perhatian polis apalagi selepas diviralkan di media sosial.

Viral yang dikatakan sebuah kemaskini Jamal - yang turut dilampirkan Khalid dalam tweetnya - ketua Umno Sungai Besar itu membayangkan tragedi rusuhan 13 Mei dan "parang terbang" akan berulang jika BERSIH 5 dilangsungkan mengikut jadual asal.

"Saya berjanji Tragedi 13 MAY akan berulang dan PARANG TERBANG akan terjadi jika BERSIH 5 dibuat pada masa, tarikh dan tempat sama dengan perhimpunan #BERSIH5 yang dijadualkan pada 19 November ini.

Jamal menafikannya dan kes ini menyebabkan banyak pihak membuat laporan polis dan kes masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Jamal disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan, Seksyen 500 dan 503 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Siasatan itu dibuat berdasarkan laporan polis beberapa pihak berhubung kenyataan berbaur hasutan yang dimuat naik ke Facebook mengenai rusuhan kaum 13 Mei 1969 bakal berulang dan akan berlaku kejadian parang terbang, jika perhimpunan Bersih 5 diteruskan pada 19 November nanti.


Selain itu Jamal juga membuat kenyataan yang dilihat ‘berani dan bersifat provokatif’ serta mendapat sokongan banyak pemimpin UMNO.

Tindak tanduk Jamal yang menjadi juara bagi menentang pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain mengangkat nama Jamal yang dikenali di seluruh negara.

Dia juga kini berani mencabar polis dan menyifatkan pemimpin yang menentang UMNO sebagai ‘musuhnya’.

Apakah Jamal berani bertindak kerana dia memang ‘jaguh’? Atau dia mendapat perlindungan seseorang sehingga dilihat ‘tidak makan saman’?

Atau Jamal sudah merasakan dirinya mengatasi undang-undang dan seronok melakukan perbuatan provokatif untuk mendapat nama?

Jamal ‘sakit atau sedang mengejar glamour’ kerana hasil sokongan dan ‘kekayaan’ yang dianugerahkan oleh parti dan kerajaan?

Hari ini Jamal berkata kalau dia jumpa Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau akan ludah tangan bekas Perdana Menteri 22 tahun itu.

Pemimpin gerakan Baju Merah menyatakan kesalnya  kerana pernah bersalaman dan mencium tangan Tun Dr Mahathir Mohamad satu ketika dahulu.

"Inilah seorang pemimpin yang kita hormati selama 22 tahun menjadi PM yang dahulu saya pernah jumpa dengan beliau, cium tangan beliau, tapi kali ni kalau saya jumpa beliau, saya ludah tangan dia.

"Saya menyesal cium tangan dia dahulu," kata Jamal kepada penyokongnya di perhimpunan anti-BERSIH di Kapar, Selangor hari ini.

Menurut Jamal, dia akan meludah tangan Mahathir sekiranya bertemu dengan bekas perdana menteri itu sekarang.


Kenapa tidak ludah muka Dr Mahathir? Rasional Jamal ialah sebab dia cium tangan Dr Mahathir sebelum ini.

Dr Mahathir sebelum ini menyatakan perang terbuka kepada Datuk Seri Najib Razak dan mendakwa perdana menteri itu mengamalkan rasuah.

Jamal marah dengan tingkah laku Dr Mahathir dan menganggap  tidak wajar bagi seorang negarawan yang sudah tua.

Jamal bukan sahaja mengamuk dengan Dr Mahathir tetapi juga mengumumkan peperangan dalam skala besar-besaran terhadap kumpulan BERSIH 5.0.

Selepas semalam di lokap Jamal berkata 20 Oktober lalu  kumpulan baju merah akan menggerakkan jentera di seluruh negara untuk menggempur kumpulan BERSIH 5.0.

“Dengan pembebasan reman ini, saya isytiharkan peperangan secara habis-habisan dengan kumpulan BERSIH 5.0.  Penahanan saya tidak sedikit pun melemahkan semangat saya dan selepas ini, saya akan gerakkan seluruh jentera baju merah di seluruh negara untuk menggempur dan berperang dengan BERSIH 5.0 yang cukup-cukup menjadi dajal dalam negara kita ini,” katanya.

Jamal turut menggesa supaya kerajaan tidak berat sebelah terhadapnya menyebabkan gerakan baju merah akan menentang BERSIH 5.0 habis-habisan.

Menurutnya, polis perlu berlaku adil jangan double standard. “Baju merah dikenakan tindakan, baju kuning diagung-agungkan, inilah yang menyebabkan kami akan menentang mereka habis-habisan,” katanya sambil disambut sorakan pengikut kumpulan itu.

Jamal berkata demikian kepada para penyokongnya di luar ibu pejabat Polis Daerah Dang Wangi selepas dibebaskan pada jam 4.45 petang hari tersbut.

Pada  sidang media, Jamal turut mengumumkan gerakan tersebut akan mengadakan himpunan di Dataran Merdeka pada 5 November ini sebelum menuju ke perhimpunan besar-besaran pada 19 November.

Untuk langkah seterusnya, Baju Merah akan mengadakan satu perhimpunan di Dataran Merdeka pada 5 November akan datang ke arah Gerakan merah yang lebih besar pada 19 November akan datang di mana BERSIH 5.0 berhimpun.

Perhimpunan BERSIH 5.0 dijadualkan diadakan pada 19 November ini dan dalam masa yang sama, kumpulan baju merah juga akan turut berhimpun. BERSIH 5.0 pada ketika ini sedang mengadakan siri jelajah di seluruh negara.
  

Mengejutkan juga apabila Jamal turut mendakwa, lelaki yang menyerang penyokong BERSIH di Sabak Bernam dan mengasari petugas media di Kuala Selangor sebenarnya adalah daripada BERSIH.

"Saya ingin menyatakan bahawa kekerasan adalah provokasi daripada BERSIH. Apa yang berlaku di Sabak Bernam, penunggang berbaju kuning yang diterajang dari belakang itu adalah diupah oleh BERSIH dengan pakai T Shirt sama seperti yang kami pakai. Boleh didapati di mana-mana," kata Jamal.

Jamal turut menegaskan,  kekasaran terhadap wartawan minggu lalu, ia juga adalah daripada BERSIH.

Jamal berkata beliau tidak akan terkejut jika BERSIH tiba-tiba "diserang" oleh penyamar yang memakai T-shirt merah.

Walaupun Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar tidak merujuk kepada Jamal secara khusus apabila mengatakan polis tidak memerlukan sesiapa untuk mengajar mereka menjalankan tugas, tempiasnya juga sampai kepada Jamal.

Khalid menegaskan, anggota pasukan keselamatan itu tahu apa yang perlu dilakukan mengikut tanggungjawab mereka.

Kita hanya boleh berdoa kepada Allah s.w.t.agar Jamal cepat sedar siapa dirinya dan ‘segera mengubati penyakitnya’ itu.

Ini kerana jika berterusan bersikap seperti sekarang bukan sahaja mengaibkan UMNO tetapi juga irang Melayu dan Islam.

Apakah pemimpin Melayu dan Islam wajar bersikap seperti Jamal?

Apakah penentangan terhadap pembangkang dan Bersih 5 wajar dibuat secara sebegini?

Apakah mencabar polis sebagai cara terbaik pemimpin UMNO dan orang Melayu mendapatkan simpati dan sokongan rakyat ramai terhadap parti itu kerajaan.

Pertanyaan kini ialah apakah Jamal benar-benar seorang juara atau ‘hero’?

Atau dia sedang ‘sakit’?

Saturday, October 22, 2016

‘Hantu Altantuya’ Dalam Badan Sirul Lebih Ngeri Berbanding Azilah?

 

Apakah ada ‘hantu  Altantuya Shaariibuu’ dalam tubuh dua pembunuhnya - Cif Inspektor Azilah Hadri dan Kpl Sirul Azhar Umar?

Malah, apakah hantu yang ada dalam badan Sirul lebih mengerikan yang menyebabkan ada kalangan tertentu takut untuk dia dibawa kembali ke Malaysia?

Siapa yang tersangat takut dengan ‘hantu’ Sirul yang kini berada di Australia?

Dan kenapa pula mereka ini tidak takut dengan ‘hantu dalam badan’ Azilah yang sedang menjalani hukuman penjara di negara ini?

Walaupun sudah hampir dua tahun diusahakan untuk membawa kembali Sirul ke negara ini tetapi dia masih kekal di Australia dan tidak diketahui apakah dia akan berjaya dibawa pulang atau sebaliknya.

Kelmarin peguam keluarga Altantuya berkata pihaknya sedang menunggu makluman rasmi daripada penghantar saman Australia.

Selepas itu beliau akan maklumkan kepada mahkamah pada tarikh pengurusan kes minggu depan.

Sirul diberi tempoh 14 hari dari tarikh penerimaan dokumen itu untuk membalasnya, sama ada mahu mencabar pindaan terhadap tuntutan itu.

Selepas menyatakan berjaya menyampaikan dokumen,  semalam peguam keluarga Altantuya mengemukakan persoalan baru iaitu: “ Kenapa Sirul belum diekstradisi ke Malaysia’?

Mereka berpendapat perkara ini memerlukan perhatian segera kerana hampir dua tahun sejak Sirul didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Persekutuan, Sirul masih berada di negara asing.

Bekas anggota polis yang pernah bertugas sebagai pengawal peribadi Datuk Seri Najib Razak itu kini berada di Pusat Tahanan Imigresen Villawood di Sydney sejak 21 bulan lalu selepas dia melarikan diri dari negara ini sebelum hakim Mahkamah Persekutuan menyabitkan dia atas kesalahan membunuh Altantuya.

Turut disabitkan kesalahan jenayah pada antara 19 dan 20 Oktober 2006 ialah Azilah.
  

Undang-undang Australia menghalang kerajaan mengekstradisi seseorang yang berdepan dengan hukuman mati di sesebuah negara lain.

Berikutan itu peguam berkenaan menggesa Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan jika kerajaan bercadang mengekstradisi Sirul.

Berdasarkan kenyataan peguam berkenaan, keluarga Altantuya dan pihaknya sering diberikan jawapan tidak konsisten oleh kerajaan berhubung isu itu.

Berikutan itu, ia  menambahkan lagi kesangsian yang kerajaan  tidak berminat mengekstradisi Sirul atau sekurang-kurangnya berunding untuk membawanya pulang ke Malaysia.

Kenapa terjadi sedemikian? Apa yang ada pada Sirul berbanding Azilah?

Malah, laporan memetik peguam berkenaan berpendapat dengan  alasan proses ekstradisi adalah rumit menunjukkan ketidakcekapan Jabatan Peguam Negara.

Peguam berkenaan, Ramkarpal Singh yang juga Ahli Parlimen DAP itu berhujah, memang logiknya kerajaan Australia tidak menyokong hukuman mati.

Ia boleh menolak permohonan ekstradisi Sirul atas alasan itu, namun ia tidak bermakna kerajaan boleh melepaskan tanggungjawabnya untuk cuba membawa Sirul pulang.

“Kerajaan berulang kali memberi jaminan di Parlimen yang ia akan berbuat demikian.  Sudah tentu tidak perlu mengambil hampir dua tahun untuk tahu cara mengekstradisi seseorang,” katanya.


Ramkarpal berkata jawatan tidak konsisten kerajaan kepada soalannya sejak 2015 menimbulkan kesangsian bahawa Putrajaya tidak berminat membawa Sirul Azhar pulang.

Katanya alasan diberi kerajaan yang mendakwa proses mengekstradiri itu rumit juga menunjukkan betapa tidak cekapnya Pejabat Peguam Negara.

"Sudah pasti tidak mungkin merundingkan kepulangan Sirul jika permohonan untuk itu belum dibuat kepada Australia," katanya.
  
Malah, menurut Ramkarpal, sudah berkali-kali beliau bertanya menteri dalam negeri dan perdana menteri status prosiding ekstradisi itu dan kini lima dakwaan dilemparkan Sirul sejak tahun lalu hingga tahun ini, tetapi gagal.

Ramkarpal yang dipetik FMT berkata setiap kali, kerajaan memberi jawapan standard, iaitu kerajaan dalam proses berunding dengan kerajaan Australia dan perkara itu adalah rumit.

Dr Ahmad Zaid juga dituntut jawapan kenapa  Sirul masih tidak diekstradisi ke Malaysia, sehingga kini.

“Perkara ini sudah tentu menjadi kepentingan awam dan memerlukan perhatian segera kerana sudah hampir 2 tahun sejak Sirul didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Persekutuan,” katanya dalam kenyataan semalam.
  
Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu berkata, sudah tentu keluarga Altantuya berhak mendapat jawapan serta-merta kerana perkara itu sudah lama tertangguh.

Friday, October 21, 2016

Tarik Balik Subsidi Minyak Masak – Kenapa Kerajaan, KPNKK Lambat Nafi?


Kenapa kerajaan lambat memperbetulkan laporan salah mengenai dakwaan kerajaan akan menghentikan subsidi minyak masak yang sudah berlegar di kalangan media rasmi dan media sosial sejak beberapa hari lalu?

Kenapa dibiarkan ia diviralkan yang membawa kesan kurang baik kepada kerajaan?

Sedangkan kerajaan atau kementerian bertanggungjawab sepatutnya bertindak segera memperbetulkan kenyataan itu.

Ketika ini, penggunaan minyak masak adalah sekitar 45,000 metrik tan sebulan, manakala kerajaan keluarkan subsidi hampir 85,000 metrik tan sebulan.

Rabu lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK)Datuk Seri Hamzah Zainudin hanya menyebut lesen perniagaan pemborong dan pembekal minyak masak akan ditarik balik jika mereka didapati menyorok bekalan bahan tersebut bagi mengaut keuntungan.

Melalui amaran itu beliau langsung  tidak menafikan hasrat kerajaan menarik balik subsidi ketika ditanya pemberita dan jawapannya itu merujuk kepada viral bahawa harga minyak masak akan naik berikutan kerajaan menarik balik subsidi minyak masak. 


Dengan isu yang sebegini besar kerajaan membiarkan ia berlegar di kalangan rakyat – pengguna dan peniaga – menimbulkan pertanyaan.

Pertama, selain lambat bertindak, apakah memang ada rancangan kerajaan untuk menarik subsidi minyak masak dan sudah diketahui oleh pekilang dan peniaga?
tergesa-gesa atau segera menarik balik hasrat itu bimbang akan merugikan atau menyebabkan rakyat membantah?

Aneh juga apa Hamzah yang menjawab soalan wartawan mengenai viral kerajaan akan menarik balik subsidi harga minyak hanya menjawab dari segi tindakan dan penguatkuasaan, bukan menafikan kerajaan tidak akan menukar dasar itu.

Ketiga, apa tindakan kerajaan terhadap kenyataan Persatuan Pekilang-pekilang Minyak Makan Malaya (Meoma) yang jelas seperti cuba ‘memfitnah dan memburuk-burukkan kerajaan’?; dan

Keempat, tindakan media cetak menyiarkan laporan secara besar-besaran, termasuk oleh Oriental Daily The Star dan mStar dilepaskan begitu sahaja?


Ia juga dilaporkan oleh Malaysiakini, malah Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menjangkakan harga makanan akan naik berikutan pemansuhan subsidi minyak masak yang dijangka bakal diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan Bajet 2017, hari ini.

Sehubungan itu, Timbalan Presiden Fomca Mohd Yusof Abdul Rahman berharap pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan memantau pengusaha makanan dari menaikkan harga sesuka hati.

“Kita menjangkakan kenaikan harga makanan akan berlaku, harap KPDNKK ambil tindakan, kalau peniaga ambil kesempatan naik harga harga sewenang-wenangnya, gunakan akta pencatutan,” katanya kepada Malaysiakini.

mStar melaporkan semalam, hanya dalam tempoh 12 hari lagi, kos memasak di negara ini akan bertambah apabila harga minyak masak meningkat.

Turut dijangka meningkat adalah harga makanan di kedai, dengan restoran dan premis makanan cuba 'mengalihkan' kos berkenaan kepada pelanggan. Kenaikan ini adalah yang pertama bagi minyak masak dalam tempoh 10 tahun.

Pada 1 November depan, subsidi untuk semua kecuali dua saiz bungkusan minyak masak akan dimansuhkan.


Subsidi kedua-duanya akan kekal sehingga akhir tahun ini, membabitkan botol 5 kilogram (kg) dan pek plastik (polybag) 1kg. Bermula tahun depan, hanya harga bagi bungkusan 1kg akan diberikan subsidi.

Kesemua saiz lain seperti botol 500 gram, 1kg, 2kg dan 3kg, tidak lagi disubsidikan oleh kerajaan.
"Semua harga runcit bagi minyak masak campuran dalam pelbagai jenis bungkusan juga tidak lagi diberikan subsidi," menurut  Meoma dalam satu kenyataan semalam dipetik oleh mStar.

Presiden Persatuan Penjaja Persekutuan Malaysia, Yaw Boon Choon berkata, pemansuhan subsidi bagi minyak masak akan menjejaskan peniaga makanan.

"Ini terutama peniaga yang menggunakan banyak minyak seperti peniaga cakoi," katanya.

Berita mengenai kerajaan menarik subsidi minyak masak ini mulanya dilaporkan oleh akhbar berbahasa Cina, Oriental Daily  yang memetic kenyataan Meoma.

Persatuan itu dalam satu kenyataan yang dipetik berkata, di bawah program penstabilan minyak masak baharu yang akan mula dilaksanakan November ini, harga 1kg minyak masak peket plastik dinaikkan 40 sen kepada RM2.90, manakala minyak masak botol 5kg naik RM1.90 kepada RM15.25.

Program baharu itu dibahagikan kepada dua  peringkat, di mana peringkat pertama mulai 1 November ini sehingga 31 Disember nanti, manakala peringkat kedua mulai 1 Januari 2017 dan hanya minyak masak peket plastik akan menikmati subsidi kerajaan pada tahun depan.

Kebimbangan rakyat ialah penarikan subsidi itu akan menyebabkan banyak kesan, bukan sahaja harga minyak masak akan melambung tetapi harga makanan yang dijual juga akan mengalami kenaikan harga.


Keadaan ini akan semakin menekan rakyat yang sudahpun mengalami berbagai masalah termasuk kenaikan harga barang keperluan dan cukai.

Hari ini Menteri Kewangan kedua, Datuk Johari Abdul Ghani menegaskan kerajaan tidak usik rakyat dan mereka terus akan dapat subsidi.

“Apa yang berlaku, subsidi minyak masak kerajaan beri diguna pakai untuk jualan eksport, itu yang kita nak kawal,” katanya.

Bercakap di lobi Parlimen, menteri berkenaan berkata langkah bagi mengatasi ketirisan subsidi minyak masak perlu diberi perhatian serta memuji ketegasan langkah KPDNKK dalam menangani isu berkenaan.

Berikutan itu, rakyat akan terus menerima subsidi minyak masak daripada kerajaan.

Beliau mengulas kenyataan Meoma mendakwa harga beberapa kategori minyak masak akan dinaikkan mulai bulan depan, susulan pemansuhan subsidi oleh kerajaan.

Johari yang  menyangkal laporan bahawa kerajaan akan memansuhkan subsidi untuk minyak masak menjelaskan, setakat ini, tiada sebarang keputusan untuk memansuhkan subsidi minyak masak dan harganya masih kekal seperti biasa.

Katanya, subsidi dan harga minyak masak kekal seperti biasa, sebaliknya KPDNKK mahu pastikan subsidi yang diberikan kepada pengguna itu tidak disalah guna untuk tujuan eksport. Itu yang mahu dan sedang dikawal.


Menurut Johari, apa yang dilakukan adalah KPDNKK ialah berusaha memastikan subsidi minyak masak tidak disalah guna oleh pihak tertentu. 

Thursday, October 20, 2016

Irmohizam Desak Polis Hanya Demi Politik, Publisiti Murahan...

Budiman datang memberikan sokongan morak kepada Jamal.
Inilah politik orang baru dalam UMNO hari ini.

Dan cara bertindak politik seperti inilah antara sebab sesetengah pihak cukup menyampah dengan pemimpin UMNO!

Akibat bersimpati dan cuba mempertahankan seseorang dengan mengatakan penganjur Bersih 5 juga harus ditahan susulan penahanan Ketua UMNO  Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos, dapat dlihat sebagai tindakan terdesak..

Jelas ia pendapat tidak bijak dan usaha mendapatkan publisiti secara murahan.

Ber "andai" atau menyebut "jika" adalah tindakan  tidak matang bagi Anggota Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim.

Irmohizam yang melonjak naik di era Datuk Seri Mohd Najib Razak menjadi Perdana Menteri dengan mendapat berbagai kedudukan.  jangan berlebih-lebih dengan mengatakan penganjur Bersih 5 wajar ditahan, "jika" Jamal disiasat mengikut Akta Hasutan 1948.

Dalam satu kenyataan semalam, Irmohizam berkata, ini kerana konvoi Bersih lebih ketara mengheret orang ramai untuk berhimpun sambil berdakwah untuk membenci kerajaan.

Irmohizam...politik tidk matang
Rasanya menggunakan perkataan berdakwah untuk membenci kerajaan juga tidak tepat.

Sedangkan, hakikatnya, kita semua belum tahu apa yang akan dilakukan oleh polis terhadap Jamal kerana pemimpin gerakan anti-Bersih, yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi semalam direman dua hari.

Ia  bagi membantu siasatan berhubung entri berunsur hasutan yang dimuatnaik di laman sosial.

Selain kenyataan dalam Facebook itu, perintah tahanan reman itu diperoleh bagi membantu siasatan yang dijalankan melibatkan tiga kesalahan lain.

Kesalahan yang disiasat termasuk mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan, Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah, Seksyen 504 kanun sama atas kesalahan menggugat keamanan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. 

Turut ditahan Presiden Pertubuhan Mesra Setiakawan Malaysia (PMSM), Mohd Azli Jaafar yang didakwa mengendalikan laman facebook milik Jamal.

Pasukan Bukit Aman semalam dalam proses mengambil keterangan kedua-duanya di IPD Dang Wangi.

Tindakan Irmohizam berbeza dengan kenyataan Ahli Parlimen Sungai Besar Budiman Mohd Zohdi yang turut  hadir di IPD Dang Wangi bagi memberikan sokongan terhadap penahanan Jamal,

Budiman yang  turut hadir ke IPD itu turut mengulas mengenai penahanan Jamal tetapi menyerahkannya  kepada perundangan negara.

“Saya hadir bagi memberikan sokongan moral kepadanya dan saya yakin kita mempunyai sistem perundangan yang adil,” katanya.

Ini yang dikatakan cara mengulas dan memberikan pendapat secara matang. Menyerahkan kepada perundangan dan tidak mendesak polis..

Irmohizam kalaupun tidak berpuashati sepatutnya menyerahkan kepada kebijaksanaan polis untuk bertindak.

Kenapa mesti menekan polis dan cuba menganggu siasatan mereka?

Apakah Irmohizam lebih bijak daripada polis dalam menggendalikan kes Jamal? Atau apakah Irmohizam sangat bersimpati dengan gerakan Baju Merah?

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh sudah memaklumkan bahawa Jamal ditahan berkaitan tindakan kumpulan anti-Bersih di Teluk Intan dan Sabak Bernam.


Polis bertindak kerana ada laporan polis di mana pada 11 Oktober lalu, laporan polis terhadap Jamal dibuat kerana kenyataan di laman sosial Facebook yang berbau ugutan mengenai rusuhan kaum 13 Mei akan berulang.

Jamal bagaimanapun  menafikan memuatnaik kenyataan itu dan mendakwa ia dari akaun palsu.

Persoalannya apakah siasatan polis berkaitan kenyataan mengenai ‘ugutan rusuhan kaum 13 Mei akan berulang’ sebagai suatu perkara kecil?

Sedarkah Irmohizam mengenai perkara ini dan dalam soal mahu menuduh atau menghjukum Bersih 5 itu haknya.

Tetapi mendesak polis tidak adil kepada pasukan keselamatan kita dan dilihat melampau.

Mengenai Bersih 5, Irmohizam berkata kita akan melihat lebih banyak insiden perpecahan rakyat dan pencabulan keharmonian negara.

Bersih 5 hanyalah medium untuk pembangkang berpolitik yang secara zahirnya murni pada mata rakyat (sedangkan) hakikatnya meninggalkan kesan kotor kepada kesejahteraan negara, katanya.

Irmohizam berkata, sekiranya himpunan itu diteruskan, ia berkemungkinan turut mengundang ancaman pengganas seperti Daesh yang mensasarkan tempat tumpuan ramai.

"Jika perhimpunan ini dibenarkan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2011, maka kerajaan perlu pertimbangkan juga Akta Majlis Keselamatan Negara," katanya.

Ancaman pengganas yang akan mensasarkan tempat tumpuan ramai?

Dari mana Irmohizam mendapat maklumat itu? Polis sendiri tidak menyebutnya.

Apa yang menyebabkan Irmohizam begitu terdesak dan bimbang kumpulan pengganas seperti Daesh akan menggunakan peluang itu untuk menyerang?

Bagaimana dengan perhimpunan lain, termasuk perhimpunan Baju Merah dan perhimpunan rasmi oleh kerajaan?

Tidak yakin dengan polis menjaga keamanan?
http://bcp.crwdcntrl.net/5/c=5593/b=34380172

Tuesday, October 18, 2016

Beranikah Kerajaan Naikkan GST Menjadi Lapan Peratus?

 
“Kalau boleh kerajaan mahu laksanakan tahun ini untuk belanjawan tahun depan 2017, namun  pelaksanaannya bergantung kepada sejauh manakah keberanian kerajaan melaksanakannya." - Prof Barjoyai Bardai

Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST)  sudah membuktikan ia penyelamat ekonomi negara. Kerana itu peratusnya  tidak akan dikurangkan.

Sebaliknya kerana ia begitu penting kepada ekonomi negara, apakah GST akan dinaikkan pada kadar tambahan yang sedikit untuk meningkatkan pendapatan kerajaan?

Di Dewan Rakyat semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan tanpa  GST ekonomi Malaysia akan lumpuh.

GST yang mula dilaksanakan pada April tahun lepas, dari segi makronya merupakan penyelamat kepada kewangan dan ekonomi negara pada keseluruhannya.

Begitulah pentingnya GST kepada ekonomi negara dan kerajaan secara jelas menegaskan tidak akan menurukkan kadar yang dikenakan sekarang iaitu sebanyak enam peratus.

Perdana Menteri membuat penegasan kali kedua kerana pada 8 Januari lalu, Najib yang juga Menteri Kewangan, pernah berkata bahawa GST penyelamat ekonomi negara.

Di sebalik itu, pakar ekonomi berpendapat kerajaan memang merancang untuk menaikkan kadar GST daripada enam (6)  peratus kepada lapan (8)  peratus memandangkan ketika ini kerajaan tidak mampunyai sumber cukai produktif yang lain.

Petronas turunkan jangkaan dividen bayaran cukai 
Jika tidak, kerajaan mungkin terpaksa menjual sebahagian aset Khazanah Nasional Berhad bagi menampung pendapatan kerajaaan buat sementara bagi tahun 2017.

Pensyarah Universiti Tun Abdul Razak Prof Dr Barjoyai Bardai berkata memandangkan ekonomi dunia menuju kegawatan, GST satu-satunya cukai yang sangat produktif dan berdaya maju, ketika cukai korporat dan cukai individu golongan berpendapatan tinggi dijangka menurun.

“Kalau boleh kerajaan mahu laksanakan tahun ini untuk belanjawan tahun depan (2017),” kata Barjoyai seperti dilaporkan FMT.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, pelaksanaannya bergantung kepada sejauh manakah keberanian kerajaan melaksanakannya.

“Mungkin kerajaan pun tak ada pilihan lain sebab tidak ada sumber pendapatan lain untuk diharapkan,” katanya.
  
Sehingga Disember 2015, pelaksanaan GST dilaporkan telah mendapat kutipan kasar sebanyak RM37.67 bilion dengan unjuran kutipan bersih RM27.126 bilion.

Kutipan bersih GST itu dianggarkan meningkat kepada RM39 bilion pada tahun ini.

Perdana Menteri turut menjelaskan,  eksport Malaysia, terutamanya dalam sektor komoditi seperti minyak dan gas, kelapa sawit dan mineral menurun ekoran ekonomi global yang semakin lemah.

Bagi mengatasi isu-isu tersebut dan meningkatkan daya tahan domestik, kerajaan akan memberi tumpuan kepada perkara asas seperti meningkatkan eksport, produktiviti dan inovasi, kata Najib, sambil menambah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara bagi tahun ini dijangka menjadi antara 4 hingga 4.5 peratus.

Kerana itu bukan sesuatu yang mengejutkan Perdana Menteri menegaskan jika tiada GST, ekonomi Malaysia akan lumpuh.

Beliau turut menolak cadangan pengurangan cukai GST daripada enam kepada tiga peratus.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan oleh Liew Chin Tong (DAP-Kluang) yang berhujah GST mengurangkan perbelanjaan domestik yang disifatkan oleh Perdana Menteri sebagai tafsiran negatif daripada pembangkang.

Liew...penyelamat adalah ekonomi domestik.

Liew menolak dakwaan Perdana Menteri, bahawa cukai barangan dan perkhidmatan (GST) adalah penyelemat ekonomi negara.

Bercakap di Lobi Parlimen kemudian, Liew menegaskan, penyelamat ekonomi negara bukannya GST tetapi ekonomi domestik.

“Bila saya tanya Perdana Menteri untuk kurangkan GST kepada 3% beliau jawab GST tak perlu dikurangkan kerana ia adalah penyelamat ekonomi negara. Saya tak percaya jawapan yang diberikan oleh Najib ini kerana saya percaya ekonomi negara hanya boleh diselamatkan melalui ekonomi domestik.

“Tetapi disebabkan oleh GST permintaan domestik telah menurun dan sebab itulah masalah ekonomi negara tidak selesai,” kata Liew .

Semalam adalah hari pertama sesi Dewan Rakyat  dan menurut Najib: "GST menyebabkan kemerosotan ekonomi domestik adalah tafsiran pembangkang. Hakikatnya, GST adalah penyelamat ekonomi Malaysia. Tanpa GST, ekonomi negara akan lumpuh," ujarnya.

Pelaksanaan GST dari segi aspek makro dilihat mampu menampung hasil kerajaan daripada pengurangan hasil cukai petroleum.

Kerana itu kerajaan menganggap GST sangan petning dalam konteks makro yang merupakan penyelamat kepada keadaan kewangan dan ekonomi negara pada keseluruhan.

Menurut laporan kerajaan, jika  tiada GST, defisit negara dijangka  meningkat kepada 4.8 peratus dan bukan lagi 3.1 peratus pada tahun ini.

Dengannya ada hasil tersebut, kerajaan dikatakan dapat melaksanakan projek-projek pembangunan seperti jalan raya, hospital, sekolah, memberi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan sebagainya kepada rakyat.

Pada pendapat Barjoyai, penurunan sehingga 3 peratus GST akan menyebabkan jumlah kutipan GST berkurangan kepada RM20 bilion.

Jika dikurangkan kadar GST, ia akan menyebabkan pendapatan kerajaan terlampau rendah sehingga tidak dapat menampung perbelanjaan yang besar, dan akan menyebabkan defisit belanjawan naik sampai 4 peratus atau lebih, katanya.

Barjoyai tidak yakin kerajaan akan dapat mencapai sasaran kutipan GST sebanyak RM39 bilion kerana jumlah perbelanjaan persendirian yang merosot.

Kemungkinan berkurang hampir RM6 bilion hingga RM8 bilion.

Keadaan ini akan menyebabkan sasaran defisit perbelanjaan rakyat meleset sebab dijangkakan akan mencapai sasaran 3.1 peratus. tegasnya.

Pada masa yang sama PETRONAS telah menurunkan jangkaan dividen bayaran cukai yang akan mereka buat daripada RM60 bilion kepada RM30 bilion.

Ini juga satu cabaran besar buat kerajaan selain kutipan GST yang dilihat tidak akan mencapai sasaran sebanyak RM39 bilion.

Monday, October 17, 2016

Gagal Bentang RUU 355 – Presiden PAS, Penyokong Akan Meroyan Gila...

 
Sehari dua ini PAS, khususnya Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan ‘meroyan gila’ dan ‘mengamuk habis’.

Apa tidaknya,  kerana cita-citanya untuk membentangkan usul Rang Undang-Undang Persendirian iaitu Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 atau RUU 355 di Dewan Rakyat mungkin tidaK akan menjadi kenyataan.

Sedangkan riuh satu Malaysia - beliau dan pemimpin PAS sudah mengatakan RUU 355 akan dibentangkan pada minggu pertama. Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen Ke-13 bagi Dewan Rakyat akan berlangsung selama 25 hari bermula hari ini sehingga 24 November depan.

Berbagai pendapat dikemukakan, malah ada permintaan supaya Ahli Parlimen Melayu dan Islam menyokong rang undang-undang itu. Ada sehingga menghukum kafir sesama Islam.

Bagaimanapun bagi pihak yang menentangnya mereka menganggap ia suatu kaedah pintu belakang untuk secara rasmi menguatkuasakan enakmen hudud Kelantan.

Ini bermakna bahawa Hadi dan PAS terpaksa berdepan bantahan dan halangan banyak peringkat. Dan inilah yang dijelaskan oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang bahawa ada enam kemungkinan sekiranya Hadi membentangkan RUU 355 itu.



1.    Hadi akan datang untuk membentang dan membahas mengenainya pada minggu pertama pembukaan sidang Parlimen, sama ada pada hari Isnin (hari ini), Selasa atau Rabu dan diluluskan dengan sokongan majoriti mudah;

2.    RUU itu dibahaskan pada minggu pertama di Parlimen dan ditolak dengan undi majoriti mudah;

3.   Hadi tidak membahasakan RUU pada minggu pertama sidang Parlimen bermula dan ditangguhkan sehingga selepas perbahasan Bajet 2017, dan kemungkinan akan dibahaskan pada minggu akhir sidang Parlimen pada November nanti (21-24 November).

4.   Perbahasan diilakukan pada minggu terakhir dan diluluskan dengan keputusan majoriti mudah.

5.   Perbahasan dilakukan pada minggu terakhir dan ia ditolak dengan majoriti mudah; atau

6.   RUU ini tidak dibahaskan dan akan ditunda pada persidangan Parlimen tahun hadapan.

Hadi yang diberikan ruang pada persidangan Dewan Rakyat Mei lalu, membentangkan usul untuk meminda Seksyen 2 akta tersebut untuk menyebut Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa terhadap orang Islam dan dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara yang disenaraikan dalam Butiran 1 Senarai Negeri di bawah jadual kesembilan Undang-Undang Persekutuan.

Ia juga bagi memasukkan Seksyen 2A yang menyebut dalam melaksanakan undang-undang jenayah di bawah seksyen tersebut, Mahkamah Syariah mempunyai hak untuk menjatuhkan hukuman berkaitan kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen berkenaan selain hukuman mati.

Sejak 18 Julai lalu Hadi mengatakan beliau dan PAS bersedia membantangkan usul itu dan perlaksanaan Akta 355 hanya akan melibatkan orang Islam.

Menurutnya, Mahkamah syariah tidak melibatkan orang bukan Islam, jadi mereka tidak perlu menentang.


“Tapi (yang) lagi pelik (adalah) apabila melihat orang Islam sendiri menentang Akta 355 ini. Mereka (orang Islam) lebih menyokong bukan Islam,” kata Hadi.

Menurut Hadi, walaupun perkara dibentangkan itu melibatkan pindaan Akta 355 dan bukannya hudud, namun ia sekali gus memberi ruang kepada mahkamah syariah meningkatkan hukuman berbanding sedia ada.

Menarik sehari dua ini juga ialah timbul berbagai pendapat mengenai kemungkinan sama ada RUU 355 itu akan dibentangkan atau sebaliknya.

Sehingga hari ini pendirian UMNO dan Barisan Nasional (BN) masih tidak jelas. Yang menaruh harapan tinggi hanya pemimpin PAS yang sanggup menuduh pihak lain, terutamanya yang beragama Islam sebagai tidak faham dan yang tidak menyokongnya, menentang hukum Islam.

BN melalui Setiausaha Agung Umno mengatakan telah mencapai konsensus mengenai rang undang-undang  ahli persendirian bertujuan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, yang juga dikenali sebagai Akta 355.

Menurutnya, apa juga keputusan itu, ia dibuat secara konsensus, ia telah dibincangkan dan "kami telah mendapat keputusan, jadi anda tunggu dan lihat."

Tengku Adnan memberitahu "kesepakatan" yang dimaksudkannya ialah, sebarang keputusan yang dibuat mestilah atas dasar konsensus semua pihak dan turut mengakui BN belum membuat pendirian rasmi mengenai usul berkenaan.

Sedangkan, sebelum ini, parti-parti komponen BN, MCA, MIC dan Gerakan menentang keras RUU itu, dengan pemimpin tertinggi mereka berkata akan meletak jawatan jika RUU itu diluluskan.

Dengan kedudukan di mana Tengku Adnan enggan mendedahkan apakah keputusan yang dicapai melalui mesyuarat BN dan sekadar mengatakan mencapai consensus, sukar untuk diteka apakah pendirian sebenar.

Kelmarin (15 Oktober 2016) MCA menegaskan akan tetap menentang RUU hudud' sambil menafikn parti itu tidak akan menentang rang undang-undang dikemukan Presiden PAS itu.


Pengerusi Biro Publisiti parti itu Chai Kim Sen menegaskan, parti komponen BN secara konsisten menentang pembentangan rang undang-undang Hadi, yang biasanya dirujuk sebagai 'rang undang-undang hudud.
Malah menurutnya pendirian awal bahawa menteri-menteri kabinet MCA yang pernah mengumumkan bahawa mereka bersedia untuk melepaskan jawatan kabinet jika rang undang-undang itu diluluskan di Parlimen masih kekal.

Selain itu, Wanita MCA berkempen untuk sejuta tandatangan di seluruh negara dan Pemuda MCA juga telah menjalankan kempen 'Memartabatkan Perlembagaan Persekutuan' serta-merta.

Malah katanya,  Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai juga telah bertemu rakan sejawatannya dari parti-parti komponen lain untuk membantah rang undang-undang pada hari yang sama usul itu dibentang untuk dipercepatkan.

Mereka juga menimbulkan bantahan terhadap rang undang-undang dalam mesyuarat kabinet kerana mendukung Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi di negara ini, katanya.

Jika demikian, kenapa pula Presiden MIC Datuk Seri S Subramaniam tidak berterus terang terhadap pendirian MIC  semalam apabila berdolak-dalik dengan  berkata parti itu berharap agar BN dapat 'mengikuti' persetujuan yang disepakati semasa perbincangan parti itu berhubung Akta 355 yang akan dibentang di Dewan Rakyat.


Katanya: "Perkara itu kita ada dibincangkan dalam BN dan saya berharap apa yang dibincangkan di BN akan diikuti. BN dah bincang dan ada persetujuan macam mana ia akan ditangani dan akan dibuat. Itu sahaja komen saya," katanya ringkas pada sidang media selepas perasmian Perhimpunan Agung MIC ke-70 di ibu negara semalam.

Subramaniam bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut mengenai komennya itu.

Apabila MIC berkata pihaknya berharap BN patuh pada janji dan MCA pula menyebut, MCA jamin RUU Hadi tidak akan dibahaskan bermakna bahawa RUU 355 tidak akan sampai ke mana-mana?

Maknanya hasrat Presiden PAS untuk membentangkan usul rang undang-undang itu tidak akan jadi kenyataan?

Presiden MCA semalam mengesahkan akan memastikan rang undang-RUU meminda Akta 355 tidak akan dibahaskan di Parlimen walaupun telah disenaraikan sebagai perkara keempat dalam kertas aturan mesyuarat.

Tiong Lai, tidak mendedahkan sama ada sebarang langkah melambatkan 'RUU Hudud' itu adalah keputusan konsensus 13 parti komponen BN seperti yang diputuskan pada yang mesyuarat pra-majlis kelmarin.

"Ia adalah sangat jelas bahawa BN membuat keputusan konsensus RUU undang-undang kerajaan akan mendahului RUU persendirian.

"Kami akan memastikan RUU tersebut tidak akan dapat dibahaskan kerana kita tahu RUU kerajaan mesti didahulukan di Parlimen," ujar beliau kepada pemberita di Wisma MCA, Kuala Lumpur selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Wanita MCA Selangor.

Pendirian MCA yang ditegaskan semalam selari dengan hasrat DAP yang menolak pindaan Akta 355 untuk memperluaskan bidang kuasa mahkamah syariah kerana bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.



Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata di Ipoh semalam, perkara itu hanya akan terlaksana jika pindaan Perlembagaan dibuat menerusi sokongan dua pertiga ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Bagi DAP,  keputusan yang dibuat tidak melibatkan sentimen agama  sepertimana yang didakwa segelintir pihak sebelum ini. Ia  sengaja diperbesarkan bagi menerbitkan rasa kebencian masyarakat terhadap DAP.

"Isu ini sengaja dimainkan bagi memperlihatkan DAP ini merupakan parti yang tak hormati Islam. Sebenarnya tidak, kita tolak kerana ia bercanggah (Perlembagaan) bukan kerana sentimen," katanya.

Kerana itu DAP berharap rakyat memahami perkara sebenar yang menyebabkan DAP menolak pindaan berkenaan.

"Perkara ini berkaitan undang-undang dan secara automatik mesti dilaksanakan mengikut lunas perundangan yang tertakluk di bawah Perlembagaan. Kita tak boleh langgar sesuka hati kerana ia menjadi asas kepada pembentukan Malaysia hingga ke hari ini," katanya.

Di sebalik semua ini, sewajarnya semua pihak memahami bahawa apa yang cuba  dibentangkan Hadi adalah usul persendirian semata-mata untuk dibahaskan mendapat persetujuan Dewan Rakyat agar ia menjadi rang undang-undang untuk dibahaskan secara rasmi.

Selepas diterima usul, ia akan dijadikan rang undang-undang yang perlu dibentangkan secara rasmi dan baharulah dibahaskan. Itupun belum pasti diterima atau tidak.

Persoalan sekarang ialah, berdasarkan kata-kata Tiong Lai, selain bantahan parti-parti komponen terhadap rang undang-undang itu, bantahan juga ialah kenapa ia dipercepatkan.