Sunday, October 30, 2016

Kenapa Razak Baginda Bantah Pindaan Kenyataan Bapa Altantuya?


Apakah bekas pegawai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Abdul Razak Baginda berjaya untuk membuat bantahan pindaan kenyataan Shaariibuu Setev dalam saman sivil berkaitan pembunuhan anaknya Altantuya Shaariibuu?

Salinan pindaan terhadap penyata tuntutan itu berjaya diserahkan kepada dua pembunuh model Mongolia itu di mana masing-masing berada di penjara Kajang dan pusat  tahanan di Australia.

Apakah ia ada kaitan seperti dalam dokumentari Al Jazeera bahawa Altantuya bukan dibunuh oleh kedua mereka itu tetapi orang lain?
  
Persoalannya  kenapa Abdul Razak membantah?

Apakah kerana beliau dilibatkan secara langsung dalam pembunuhan itu seperti yang disebut  oleh salah seorang yang dihukum, Sirul Azhar Umar?

Peguam keluarga Altantuya, Ramkarpal Singh sudah memberitahu hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Ahmad Nasfy Yasin yang menetapkan 16 Disember  depan untuk keputusan terhadap permohonan pindaan Shaariibuu.

Setev, isterinya Altantsetseg Sanjaa dan dua  cucu mereka sebelum ini menyaman kerajaan, penganalisis politik Abdul Razak Baginda, bekas anggota polis Azilah Hadri dan Sirul Azhar, yang turut disabitkan bersalah membunuh Altantuya, sebanyak RM100 juta.

Abdul Razak...bantah pindaan kenyataan bapa Altantuya
Mereka mendakwa wujudnya konspirasi dalam pembunuhan model dari Mongolia itu antara 18 Oktober dan 19 Oktober 2006 berhampiran Puncak Alam..

Tuntutan saman pada 2007 itu tertangguh kerana perbicaraan kes berlangsung di Mahkamah Tinggi yang kemudiannya dibawa ke Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Sirul dan Azilah kemudian berjaya membatalkan sabitan itu di Mahkamah Rayuan pada 23 Ogos 2013.

Bagaimanapun pada 13 Januari 2015, Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap mereka kerana membunuh model sambilan itu.

Razak yang pernah menjadi rakan rapat Najib, pernah didakwa bersubahat dalam pembunuhan itu. Beliau kemudian dibebas tanpa dipanggil membela diri kerana keterangan dikemukakan tidak cukup bagi membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Sirul, anggota polis yang pernah bertugas sebagai pengawal peribadi Najib kini berada di Pusat Tahanan Imigresen Villawood di Sydney sejak 21 bulan lalu.

Dia  berjaya melarikan diri dari negara ini sebelum hakim Mahkamah Persekutuan menyabitkan dia atas kesalahan membunuh Altantuya pada awal 2015 itu.

Peguam Abdul Razak pada 26 Oktober lalu membayangkan pihaknya akan membuat bantahan ke atas pindaan kenyataan Setev dalam saman sivil berkaitan pembunuhan Altantuya itu.

Peguam Abdul Razak, Kuan Chee Foo memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam, mereka akan memfailkan afidavit balas untuk tujuan itu.

Tidak diketahui sama ada affidavit  balas itu sudah difailkan atau sebaliknya.

Itulah antara keputusan yang sedang ditunggu pada ketika peguam keluarga Altantuya turut menunggu keputusan apakah Sirul Azhar akan dibawa pulang ke Malaysia.

Sirul (kiri), Ramkarpal (kanan)
Sebelum itu, pada 21 Oktober lalu, Ramkarpal meminta Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan sama ada kerajaan berhasrat mengekstradisi Sirul Azhar dari Australia.

Undang-undang Australia menghalang kerajaan mengekstradisi seseorang yang berdepan dengan hukuman mati di sesebuah negara lain.

Ramkarpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu mengangap keluarga Altantuya terpaksa menunggu dua tahun untuk mendapatkan jalan bagi mengekstradisi Sirul Azhar.

Ia juga tidak memberikan keadilan kepada keluarga berkenaan selepas meminda tuduhan.

Ramkarpal yang  meminta Dr Ahmad Zahid menjelaskan mengapa kerajaan belum membuat sebarang permohonan rasmi kepada Canberra untuk mengekstradisi Sirul Azhar sehingga kini belum mendapat sebarang jawapan.

Sebelum ini, kerajaan mengesahkan mereka tidak membuat sebarang permohonan mengekstradisi Sirul Azhar  kepada kerajaan Australia.

Jawapan kerajaan di Dewan Rakyat itu dianggap oleh Ramkarpal sebagai bercanggah dengan jaminan diberi kerajaan sebelum ini yang menyatakan mereka dalam proses berunding dengan kerajaan negara itu.

Ramkarpal berkata jawapan tidak konsisten kerajaan kepada soalannya sejak 2015 menimbulkan kesangsian bahawa Putrajaya tidak berminat membawa Sirul Azhar pulang.

Katanya alasan diberi kerajaan yang mendakwa proses mengekstradiri itu rumit juga menunjukkan betapa tidak cekapnya Pejabat Peguam Negara.

Ramkarpal yang juga anggota parlimen Bukit Gelugor turut memaklumkan secara rasmi kepada mahkamah bahawa firma guamannya berjaya menyerahkan permohonan meminda kenyataan itu kepada defendan kedua, Sirul Azhar di Pusat Tahanan Imigresen Villawood di Sydney, Australia.

Setev, bapa Altantuya...mencari kebenaran dan keadilan untuk anaknya.
Permohonan itu diserahkan kepada Sirul selepas Kementerian Luar pada tahun lalu tidak menghubungi pihaknya untuk memaklumkansama ada mereka berjaya menyerahkan dokumen berkenaan kepadanya atau tidak.

Mengenai pindaan kenyataan Setev, peguam kanan persekutuan Tengku Intan Suraya Tengku Ismail yang mewakili kerajaan sebagai defendan keempat sudah menegaskan pihaknya tidak akan membantah permohonan Shaariibuu.

Jelas kini Razak baginda sahaja yang membantah  pindaan kenyataan bapa Altantuya.

Mengenai apa? Inilah antara jawapan yang sedang ditunggu.

Pada 2 April 2015, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kenyataanSirul Azhar bahawa dia hanya menjalankan arahan ketika membunuh Altantuya harus disiasat.
Dr Mahathir berkata, perkara itu melibatkan nyawa manusia dan “amatlah zalim” jika Sirul dibiar menjalani hukuman mati hanya kerana menjalankan arahan.
“Rakyat tertanya-tanya siapa yang memberi arahan. Sebagai pengawal peribadi Datuk Sri Najib (Razak), dakwaan Sirul perlu disiasat untuk menentukan siapa yang memberi arahan, “ tegas bekas Perdana Menteri itu.

No comments: