Friday, October 21, 2016

Tarik Balik Subsidi Minyak Masak – Kenapa Kerajaan, KPNKK Lambat Nafi?


Kenapa kerajaan lambat memperbetulkan laporan salah mengenai dakwaan kerajaan akan menghentikan subsidi minyak masak yang sudah berlegar di kalangan media rasmi dan media sosial sejak beberapa hari lalu?

Kenapa dibiarkan ia diviralkan yang membawa kesan kurang baik kepada kerajaan?

Sedangkan kerajaan atau kementerian bertanggungjawab sepatutnya bertindak segera memperbetulkan kenyataan itu.

Ketika ini, penggunaan minyak masak adalah sekitar 45,000 metrik tan sebulan, manakala kerajaan keluarkan subsidi hampir 85,000 metrik tan sebulan.

Rabu lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK)Datuk Seri Hamzah Zainudin hanya menyebut lesen perniagaan pemborong dan pembekal minyak masak akan ditarik balik jika mereka didapati menyorok bekalan bahan tersebut bagi mengaut keuntungan.

Melalui amaran itu beliau langsung  tidak menafikan hasrat kerajaan menarik balik subsidi ketika ditanya pemberita dan jawapannya itu merujuk kepada viral bahawa harga minyak masak akan naik berikutan kerajaan menarik balik subsidi minyak masak. 


Dengan isu yang sebegini besar kerajaan membiarkan ia berlegar di kalangan rakyat – pengguna dan peniaga – menimbulkan pertanyaan.

Pertama, selain lambat bertindak, apakah memang ada rancangan kerajaan untuk menarik subsidi minyak masak dan sudah diketahui oleh pekilang dan peniaga?
tergesa-gesa atau segera menarik balik hasrat itu bimbang akan merugikan atau menyebabkan rakyat membantah?

Aneh juga apa Hamzah yang menjawab soalan wartawan mengenai viral kerajaan akan menarik balik subsidi harga minyak hanya menjawab dari segi tindakan dan penguatkuasaan, bukan menafikan kerajaan tidak akan menukar dasar itu.

Ketiga, apa tindakan kerajaan terhadap kenyataan Persatuan Pekilang-pekilang Minyak Makan Malaya (Meoma) yang jelas seperti cuba ‘memfitnah dan memburuk-burukkan kerajaan’?; dan

Keempat, tindakan media cetak menyiarkan laporan secara besar-besaran, termasuk oleh Oriental Daily The Star dan mStar dilepaskan begitu sahaja?


Ia juga dilaporkan oleh Malaysiakini, malah Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menjangkakan harga makanan akan naik berikutan pemansuhan subsidi minyak masak yang dijangka bakal diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan Bajet 2017, hari ini.

Sehubungan itu, Timbalan Presiden Fomca Mohd Yusof Abdul Rahman berharap pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan memantau pengusaha makanan dari menaikkan harga sesuka hati.

“Kita menjangkakan kenaikan harga makanan akan berlaku, harap KPDNKK ambil tindakan, kalau peniaga ambil kesempatan naik harga harga sewenang-wenangnya, gunakan akta pencatutan,” katanya kepada Malaysiakini.

mStar melaporkan semalam, hanya dalam tempoh 12 hari lagi, kos memasak di negara ini akan bertambah apabila harga minyak masak meningkat.

Turut dijangka meningkat adalah harga makanan di kedai, dengan restoran dan premis makanan cuba 'mengalihkan' kos berkenaan kepada pelanggan. Kenaikan ini adalah yang pertama bagi minyak masak dalam tempoh 10 tahun.

Pada 1 November depan, subsidi untuk semua kecuali dua saiz bungkusan minyak masak akan dimansuhkan.


Subsidi kedua-duanya akan kekal sehingga akhir tahun ini, membabitkan botol 5 kilogram (kg) dan pek plastik (polybag) 1kg. Bermula tahun depan, hanya harga bagi bungkusan 1kg akan diberikan subsidi.

Kesemua saiz lain seperti botol 500 gram, 1kg, 2kg dan 3kg, tidak lagi disubsidikan oleh kerajaan.
"Semua harga runcit bagi minyak masak campuran dalam pelbagai jenis bungkusan juga tidak lagi diberikan subsidi," menurut  Meoma dalam satu kenyataan semalam dipetik oleh mStar.

Presiden Persatuan Penjaja Persekutuan Malaysia, Yaw Boon Choon berkata, pemansuhan subsidi bagi minyak masak akan menjejaskan peniaga makanan.

"Ini terutama peniaga yang menggunakan banyak minyak seperti peniaga cakoi," katanya.

Berita mengenai kerajaan menarik subsidi minyak masak ini mulanya dilaporkan oleh akhbar berbahasa Cina, Oriental Daily  yang memetic kenyataan Meoma.

Persatuan itu dalam satu kenyataan yang dipetik berkata, di bawah program penstabilan minyak masak baharu yang akan mula dilaksanakan November ini, harga 1kg minyak masak peket plastik dinaikkan 40 sen kepada RM2.90, manakala minyak masak botol 5kg naik RM1.90 kepada RM15.25.

Program baharu itu dibahagikan kepada dua  peringkat, di mana peringkat pertama mulai 1 November ini sehingga 31 Disember nanti, manakala peringkat kedua mulai 1 Januari 2017 dan hanya minyak masak peket plastik akan menikmati subsidi kerajaan pada tahun depan.

Kebimbangan rakyat ialah penarikan subsidi itu akan menyebabkan banyak kesan, bukan sahaja harga minyak masak akan melambung tetapi harga makanan yang dijual juga akan mengalami kenaikan harga.


Keadaan ini akan semakin menekan rakyat yang sudahpun mengalami berbagai masalah termasuk kenaikan harga barang keperluan dan cukai.

Hari ini Menteri Kewangan kedua, Datuk Johari Abdul Ghani menegaskan kerajaan tidak usik rakyat dan mereka terus akan dapat subsidi.

“Apa yang berlaku, subsidi minyak masak kerajaan beri diguna pakai untuk jualan eksport, itu yang kita nak kawal,” katanya.

Bercakap di lobi Parlimen, menteri berkenaan berkata langkah bagi mengatasi ketirisan subsidi minyak masak perlu diberi perhatian serta memuji ketegasan langkah KPDNKK dalam menangani isu berkenaan.

Berikutan itu, rakyat akan terus menerima subsidi minyak masak daripada kerajaan.

Beliau mengulas kenyataan Meoma mendakwa harga beberapa kategori minyak masak akan dinaikkan mulai bulan depan, susulan pemansuhan subsidi oleh kerajaan.

Johari yang  menyangkal laporan bahawa kerajaan akan memansuhkan subsidi untuk minyak masak menjelaskan, setakat ini, tiada sebarang keputusan untuk memansuhkan subsidi minyak masak dan harganya masih kekal seperti biasa.

Katanya, subsidi dan harga minyak masak kekal seperti biasa, sebaliknya KPDNKK mahu pastikan subsidi yang diberikan kepada pengguna itu tidak disalah guna untuk tujuan eksport. Itu yang mahu dan sedang dikawal.


Menurut Johari, apa yang dilakukan adalah KPDNKK ialah berusaha memastikan subsidi minyak masak tidak disalah guna oleh pihak tertentu. 

No comments: