Saturday, November 26, 2016

Kartunis DiTangkap - Jangan Kritik Najib, Akan Terima Padah Jawabnya...


Aneh apabila orang yang diserang kini ditangkap. Malah beliau didakwa pula sebagai melanggar keamanan di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan.

Itulah yang terjadi kepada kartunis selepas pamerannya ‘diserang’ oleh beberapa ahli Pemuda Umno Pulau Pinang yang menuntut Zunar menurunkan lukisannya yang dipamerkan di ruang legar Komtar.

Ahli-ahli Pemuda Umno Pulau Pinang berkata, mereka mendapati lukisan Zunar menyinggung perasaan kerana menggambarkan perdana menteri dan pemimpin negara lain dalam keadaan yang buruk.

Ketua Pemuda Umno Nibong Tebal Mohd Norhiesam Ismail membuat laporan polis tidak lama selepas itu dengan mendakwa lukisan Zunar mengganggu keamanan rakyat Malaysia amnya.

Apakah polis bertindak kerana laporan itu?

Bagaimana dengan mereka yang menganggu pameran yang mendapat kelulusan kerajaan negeri?

Pameran 10 karya seni Zunar terletak di tingkat 3 Komtar telah dirasmikan oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng pada tengah hari sebelum ia diganggu oleh sekumpulan anggota Pemuda Umno Pulau Pinang.

Mereka yang terdiri sekumpulan 30 orang melemparkan kata-kata kesat terhadap Zunar dan dua pembantunya seperti "haram jadah" semasa kekecohan yang bermula sekitar jam 3 petang.


Zunar mendakwa semalam beliau dikepung dan diancam sekumpulan kira-kira 30 individu tidak dikenali ketika mempamerkan karya satira mengkritik kepimpinan Datuk Seri Najib Razak di Komtar, Pulau Pinang.

Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque berkata dalam kejadian 2.45 petang itu, beliau hampir ditumbuk, tetapi polis dapat meleraikan kumpulan itu.

“Saya didatangi kira-kira 30 orang bertindak agresif secara fizikal menyuruh saya menurunkan lukisan yang dipamerkan. Mereka mengancam dan mengepung saya.

“Tidak ada kerosakan yang berlaku kerana saya turunkan lukisan saya. Kalau saya masih ada di sana, tidak tahulah apa yang akan berlaku,” katanya.

Berikutan ‘serangan’  itu beliau terpaksa membatalkan pameran atas sebab-sebab keselamatan. Pameran itu sepatutnya berlangsung sehingga Ahad ini.

Mohd Norhiesam mendakwa kartun Zunar sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima kerana menggambarkan pemimpin negara seperti Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam apa-apa cara.

Ketua Pemuda Umno Nibong Tebal itu mendakwa lukisan Zunar mengganggu keamanan rakyat Malaysia amnya.

Norhiesam berkata, ia sesuatu yang tidak boleh diterima untuk Zunar berbuat demikian terhadap pemimpin negara seperti perdana menteri.

Zunar berkata beliau bertindak tenang dan tidak melawan walaupun diancam dan diugut kumpulan itu yang segelintirnya penyokong Umno.


“Saya tidak melawan, kerana ia bukanlah matlamat saya. Saya hanya mahu adakan pameran. Tetapi keadaan sangat ganas hingga memaksa polis dan FRU datang meleraikan kejadian tadi,” katanya.

“Saya tidak pernah lagi mengalami keadaan sebegini, ini kali pertama. Bagi saya kalau mereka tidak setuju, tidak ada masalah, mereka boleh bantah.

“Sepatutnya sampai 3 hari di sini (Komtar), tetapi saya tidak meneruskan pameran kerana isu keselamatan.

“Terima kasih kepada anggota polis yang datang cepat, jika tidak, tak tahulah apa yang akan berlaku,” katanya.

Dianggarkan kira-kira 30 anggota polis dan 10 anggota FRU dikerahkan di bangunan Komtar, Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan Zunar ditahan di Balai Polis Daerah Timur Laut di bawah Seksyen 4 (1) (c) Akta Hasutan 1948.

Peguam Zunar, R S N Rayer berkata polis mungkin akan memohon perintah reman esok.

“Saya tidak boleh mengatakan apa-apa lagi pada masa ini. Apa yang saya boleh katakan, Zunar ditangkap dan polis sedang memproses kertas seperti dikatakan,” kata Rayer.

Sementara itu  Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, polis kini akan merampas karya-karya Zulkiflee atau lebih dikenali sebagai Zunar.

Polis dilaporkan akan ke Komtar bersama-sama dengan Zunar untuk merampas semua karya-karya beliau. Lokasi adalah di Asia Comic Muzium Komtar aras 3.

Sunday, November 20, 2016

Salahkan Dr Mahathir - Salleh Memang Menteri Merapu, Pendendam


"Salleh wajar bertanya kenapa ada rakyat yang sanggup meredah ancaman polis dan kemungkinan menghadapi tindakan pihak bekuasa...kehadiran kira-kira 50,000 rakyat yang TIDAK DIBAYAR atau DIANGKUT cukup memberangsangkan."

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak menyalahkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai punca kehadiran rendah BERSIH5 semalam.

Menurutnya, kesan penyertaan Dr Mahathir dan kroninya (Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir?) dalam perhimpunan BERSIH kali ini menyebabkan jumlah kehadiran menurun hampir 97 peratus.

Namun, kenapa Salleh tidak menyebut pemimpin lain seperti Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail (Presiden PKR), Mohamad Sabu (Presiden AMANAH) serta juga pemimpin DAP yang turut hadir?

Apakah mereka kroni Dr Mahathir? Apakah pemimpin pertubuhan bukan kerajaan dan pemimpin pelajar juga kroni Dr Mahathir?

Menurut Salleh lagi, orang Melayu melihat melalui agenda pentingkan dirinya sendiri dan enggan hadir sementara ribuan rakyat Malaysia keturunan Cina yang menghadiri BERSIH tahun lalu meluat dengan pembabitkan Mahathir (sehinggakan) mereka duduk di rumah.

Betullah kata Muhyiddin bahawa memang dalam Kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak sekarang ramai menteri MERAPU. Dan salah seorang itu pastinya Salleh Said Keruak.

Salleh tidak melihat kepada fakta bahawa BERSIH 5.0 kali ini diancam dengan amaran keras polis serta tangkapan yang dibuat sehari sebelum berlangsungnya perhimpunan itu.


Selain mengancam.  ia diklasifikasikan sebagai HARAM walaupun hakikatnya perhimpunan dibenarkan oleh perlembagaan selain Suhakam mengatakan ia tidak melanggar perlembagaan.

Orang ramai pastinya takut apabila berlaku tangkapan beramai-ramai. Inilah sebenarnya punca utama kenapa orang ramai tidak keluar menyertai BERSIH5.

Salleh sebagai menteri tidak melihat bahawa ‘ancaman yang dibuat oleh pihak berkuasa’ yang beliau turut bertanggungjawab sebagai punca utama kejayaan menyekat lebih ramai penyertaan orang rakyat.

Kira-kira 7,000 anggota polis akan bertugas pada perhimpunan Bersih 5 dan Gerakan Merah di ibu negara semalam. Sewajarnya Salleh ucap tahniah kepada polis.

Amaran daripada Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim dan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh yang menyifatkan ‘perhimpunan haram’ selain bersedia untuk bertindak jika ada peserta perhimpunan yang melanggar undang-undang dan ingkar arahan polis,  adalah amaran dan ancaman kepada peserta BERSIH5.

Selain itu ia dibantu oleh berbagai fatwa mufti yang menyokong kerajaan yang menyifatkannya HARAM,  mengurangkan orang ramai menyertai BERSIH5.

Antara kelmarin dan semalam, kesemuanya seramai kira-kira  20 orang ditahan, malah Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah ditahan bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA. Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan perkara itu.

Lebih kurang enam individu ditahan sepanjang perhimpunan Bersih 5 dan Baju Merah yang diadakan di sekitar ibu negara semalam. Sebanyak 28 laporan polis turut dibuat iaitu 20 laporan tangkapan dan lapan laporan Am.

Tiga lagi individu bersangkut siasatan di bawah Seksyen 147/511 Kanun Keseksaan ialah Hishamuddin bin Md Rais, Howard Lee Chuan How dan Armand Azha Abu Hanifah.

Kini empat kertas siasatan dibuka sepanjang perhimpunan berlangsung tersebut biarpun larangan telah dibuat.

Bukan sekadar itu sahaja, malam semalam Tian Chua dan Ketua Wanita PKR, Zuraida turut ditahan.


Di sebalik itu seharusnya Salleh bertanya diri sendiri  bagaimana masih ada rakyat yang sanggup meredah ancaman polis dan kemungkinan menghadapi tindakan pihak bekuasa dengan menyertai perhimpunan di sekitar Kuala Lumpur.

Kehadiran kira-kira 50,000 rakyat yang TIDAK DIBAYAR atau DIANGKUT oleh parti cukup memberangsangkan dalam kedudukan mereka diancam dan diberikan amaran keras.

Bandingkan dengan penyokong Baju Merah yang kononnnya akan turut beratus ribu, di mana mereka?

Bekas pengerusi BERSIH Datuk Ambiga Sreenevasan mengumumkan lebih 100,000 orang hadir 'menguningkan' ibu kota semalam. Beliau tampil selepas penggantinya Maria Chin yang ditahan polis.

Di kemuncaknya di KLCC, Malaysiakini menganggarkan kira-kira 40,000 penyokong BERSIH hadir, manakala jumlah Baju Merah pula kira-kira 4,000 orang – 10 kali ganda kurang.

Tindakan polis menyekat dan mengubah haluan juga menyebabkan rakyat merasakan ‘destinasi utama mereka seperti biasa’ iaitu Dataran Merdeka, seperti 'hilang arah' dan ini memberikan kesan kepada ‘selera perhimpunan’.

Kegagalan memasuki jalan utama pusat bandar raya turut menjejaskan perhimpunan dan ini juga faktor penting.

Namun fakta penting ialah, mereka yang menyertai BERIH5 semalam adalah yang benar-benar cekal dan mereka adalah ‘wakil’ kepada rakyat lain yang gementar dan takut dengan ugutan.

Walaupun pihak berkuasa mengancam, memberi amaran dan menangkap pemimpin dan penyokong BERSIH5 mereka tetap pasrah dan mara.

Bagi yang tidak hadir, mereka akan tunjuk dan bukti penentangan mereka pada kertas undi dalam pilihan raya umum nanti.


Salleh jangan berbangga kerana menurunnya jumlah bilangan yang hadir pada BERSIH5 semalam tetapi bimbanglah dengan sokongan rakyat kepada kerajaan pada pilihan raya umum nanti.

Polis mematuhi arahan pemerintah. Ini waktu kerajaan Barisan Nasional (BN), bagaimana kelak jika parti lain memerintah negara ini?

Apakah Salleh dan BN boleh perintah  mereka melakukan seperti ancaman dan arahan tangkap seperti dilakukan kelmarin, semalam dan hari ini?

Dengan kejayaan memecah-belahkan tumpuan perhimpunan, polis kali ini berjaya melumpuhkan semangat peserta, malah ramai yang pulang dan tidak meneruskan perhimpunan di sekitar KLCC, walaupun sambutan ribuan rakyat berbagai kaum.

Berbalik kepada pendapat Salleh, Dr Mahathir sebelum ini tidak menjamin akan hadir perhimpunan sekadar menyeru rakyat turun ke perhimpunan itu.

Ini kerana beliau mempunyai acara di luar negara.

Pada ketika kepulangan semalam dan sampai di Dataran Mayban, Bangsar petang semalam, ramai yang sudah meninggalkan tempat itu. Oleh kerana tidak dibenarkan ke Dataran Merdeka, Dr Mahathir mengubah haluan ke KLCC.


Salleh turut membandingkan anggaran polis mengenai kehadiran orang ramai semalam seramai 15,500 berbanding 500,000 orang yang diisytiharkan penganjur BERSIH4 pada tahun lalu.

Jika kerana faktor Dr Mahathir, kenapa tahun lalu yang mana Dr Mahathir turut sertainya, seramai 500,000 orang menyertainya?

Hanya kerana ada hali PAS hadir ke BERSIH4?

Hakikatnya sebelum ini ini tiada tangkapan dibuat sehari sebelum perhimpunan dan amaran polis juga tidak sekeras dua tiga hari kebelakangan ini?

Salleh sewajarnya membuat pengakuan bahawa polis yang menjalankan tugas mereka dengan baik yang menyebabkan kurang penyertaan orang ramai.

Salleh hanya mahu menyalah dan mengutuk Dr Mahathir mungkin kerana dendam, dalam soal kehadiran pada BERSIH5 ini, sedangkan banyak faktor lain yang juga menyebabkan kebimbangan rakyat.

Kenyataan Ketua Baju Merah, Datuk Seri Jamal Yunos yang mengancam akan bertindak balas terhadap peserta BERSIH5 juga menyebabkan mereka yang menyokong BERSIH berfikir dua kali untuk turun gelanggang.

Kejayaan Jamal membuat ugutan sepatutnya menerima pujian Salleh, walaupun Jamal kini ditahan reman tiga hari.


Rakyat kebanyakan tidak mahu mengambil risiko, apalagi yang tidak kuat semangat walaupun memiliki hasrat untuk menyertai BERSIH5.

Salleh langsung tidak melihat faktor psikologi tetapi kerana sebab kebencian yang amat sangat terhadap bekas Perdana Menteri itu, beliau lupa dan menunjukkan geramnya yang tidak boleh dikawal.

Kata Salleh lagi, kehadiran BERSIH5 hari ini adalah kegagalan serius Dr Mahathir dan parti barunya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang didakwa sepatutnya mampu menarik sokongan lebih ramai orang Melayu.

Katanya-kata yang berbunyi, "Syukurlah, demokrasi kini tertancam kuat di Malaysia. Ia tidak dapat ditakluki hawa nafsu seorang lelaki tua yang mengaku diktator ketika berkuasa dulu. Sebahagian besar rakyat Malaysia telah menolak hipokrasi BERSIH dan menolak Pribumi (BERSATU), “ bukan sahaja tersasar tetapi juga menghina.

Salleh juga akan menjadi tua. Jika Dr Mahathir masih diterima sebahagian rakyat, termasuk orang muda seperti ditunjukkan di KLCC petang semalam, apakah Salleh akan dilayan serupa ketika ini, atau apabila  beliau sudah tua atau tidak memiliki lagi jawatan menteri?


Juga, sekiranya Salleh tidak lagi menjadi orang penting dalam UMNO atau parti itu mengalami kekalahan, apakah Salleh masih bersuara?

Sanggupkah Salleh menelan kata-katanya bahawa PPBM ialah parti tercicir dan gagal, dicipta hanya oleh rasa terdesak Dr Mahathir untuk menjadikan anaknya perdana menteri selepas UMNO menolaknya, pada ketika Salleh mahu menyelamatkan dirinya?

Saturday, November 19, 2016

BERSIH5 - Apakah Polis Akan Tahan Dr Mahathir, Muhyiddin?


Polis sudah mengesahkan bahawa Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah ditahan bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan perkara itu kepada Malaysiakini hari ini.

Sebelum itu, awal petang ini, satu mesej dari kumpulan peguam Lawyers for Liberty memaklumkan perkara sama.

Rang Undang-Undang Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Pindaan) 2015 atau SOSMA diluluskan Dewan Rakyat  pada 8 April 2015.

Setakat ini hanya Maria Chin diumumkan akan dtahan di bawah akta berkenaan.

SOSMA digubal untuk membendung aktiviti seseorang atau kumpulan yang mahu mengguling atau melemahkan negara, apatah lagi dunia hari ini berhadapan dengan ancaman-ancaman baru yang merentas sempadan. 

SOSMA dikuatkuasakan oleh kerajaan "bagi menyediakan langkah-langkah khas berkaitan dengan kesalahan keselamatan bertujuan mengekalkan keamanan dan keselamatan dan bagi hal-hal berkait".

Akta ini digubal bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA). Akta tersebut telah diluluskan di Parlimen pada 17 April 2012, diberikan Perkenan Diraja pada 18 Jun 2012 dan diwartakan pada 22 Jun 2012.

Jangan lupa, akta ini boleh membawa kepada hukuman mati mandatori ke atas sesiapa yang didapati bersalah.


Persoalan kini timbul, dengan penyertaan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa lagi, apakah mereka juga akan ditangkap?

Apakah mereka juga akan dikenakan tahanan dan mungkinkah mengikut akta SOSMA?

Apa yang dianggap ancaman di bawah SOSMA?
  • menyebabkan keganasan terancang terhadap orang atau harta, atau menyebabkan sebilangan besar warganegara takut akan keganasan itu;
  • membangkitkan perasaan tidak setia terhadap Yang di-Pertuan Agong;
  • memudaratkan ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, atau yang memudaratkan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya; dan,
  • mendapatkan perubahan, selain dengan cara yang sah, apa-apa jua yang ditetapkan melalui undang-undang.

Bercakap dari Bagan Datoh, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.berkata polis dijangka menahan lebih ramai pemimpin Bersih 5 dan Baju Merah serta pihak yang bersekongkol dengan kedua-dua kumpulan itu.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, beliau tidak akan mendedahkan senarai nama suspek kerana aspek penguatkuasaan adalah dalam bidang kuasa Ketua Polis Negara.


Menurut mStar, Dr Mahathir Mohamad yang telah kembali ke tanahair dan akan menyertai perhimpunan Bersih 5 di ibu negara.

Pembantunya, Sufi Yusof berkata, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang menghadiri persidangan di Sudan tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang pada 12.30 tengah hari.

Turut serta ialah Naib Presiden parti itu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Pada Rabu, Dr Mahathir menerusi video mengajak rakyat Malaysia menyertai perhimpunan itu. Tahun lalu, Dr Mahathir menyertai Bersih 4 bersama isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Bekas Perdana Menteri itu dilaporkan sudah  tiba di stesen LRT Bangsar untuk menyertai perhimpunan Bersih 5 di Kuala Lumpur.

Maklumat tambahan:

Ada 10 fakta penting yang perlu anda tahu tentang SOSMA:



1. Seorang pegawai polis boleh, tanpa waran, menangkap dan menahan mana-mana pihak yang berkenaan dengannya jika dipercayai terlibat dalam kesalahan keselamatan.

2. Seseorang yang ditangkap hendaklah dimaklumkan dengan seberapa segera yang boleh, mengapa dia ditangkap.

3. Tiada seorang pun boleh ditangkap dan ditahan di bawah seksyen ini semata-mata atas kepercayaan politiknya atau aktiviti politiknya.

4. Pihak yang ditangkap boleh ditahan selama 24 empat jam bagi tujuan penyiasatan.

5. Polis boleh melanjutkan tempoh tahanan untuk tempoh yang tidak lebih daripada 28 hari.

6. Peranti pengawasan elektronik boleh dipasangkan pada tertuduh yang dilepaskan.

7. Jaminan tidak boleh diberikan kepada seseorang yang dipertuduh atas kesalahan keselamatan.

8. Semua kesalahan keselamatan hendaklah dibicarakan oleh Mahkamah Tinggi.

9. Semasa perbicaraan, Mahkamah tidak boleh memerintahkan Pendakwa Raya mengemukakan apa-apa maklumat yang dianggap sensitif dan memudaratkan keselamatan atau kepentingan negara.

10. Seseorang tertuduh yang dipenjarakan di bawah seksyen ini, hendaklah ditahan sehingga semua rayuan dibereskan.


Saturday, November 12, 2016

PPBM Sah Sertai Pakatan Harapan, DAP Bukan Masalah - Dr Mahathir


Sekali lagi usaha The Star untuk menggagalkan usaha Pakatan Harapan mengumpulkan parti pembangkang gagal. itu namanya KANTOI!!!

Sah sudah bahawa Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) memang ingin menyertai Pakatan Harapan.

Berucap di Konvensyen Pakatan Harapan hari ini, Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan partinya memang ingin menyertai Pakatan Harapan.

Beliau menafikan dakwaan kononnya Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin keberatan menyertai Pakatan Harapan, kerana ingin bekerjasama dengan PAS.

“Memang niat kita untuk bersama dengan parti lain dalam Pakatan Harapan. Ini keputusan PPBM. Tak betul sama sekali (dakwaan) yang menentang perpaduan Pakatan Harapan dan PPBM adalah Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Dia bersama-sama saya setuju yang kita akan menyertai Pakatan Harapan secara langsung,” katanya disambut tepukan gemuruh lebih 1000 hadirin.

Amat  nyata permainan akhbar The Star dan kolumnisnya, Joceline Tan sekali lagi gagal dalam membuat onar terhadap Pakatan Harapan.


Jelas The Star berbohong dalam ramalannya seprti pernah dilakukan terhadap Perdana Menteri dan Menteri Besar Terengganu sebelum ini.

Menurut akhbar itu semalam, rancangan untuk menandatangani 'perjanjian kerjasama' antara Pakatan Harapan  dan PPBM  pada konvensyen hari ini  mungkin tidak akan menjadi kenyataan ketika ini.

The Star mengatakan Muhyiddin meminta penangguhan dan tiada kenyataan langsung  Muhyiddin mengenai perkara itu.

Joceline mengatakan Presiden PPBM yang sebelum ini telah bersetuju untuk turut serta, dipercayai telah meminta penangguhan kerana inginkan lebih banyak masa untuk berfikir tentang kerjasama yang dirancang.

Malah menurutnya pendirian Muhyiddin itu bakal  memberi tamparan hebat kepada konvensyen Pakatan Harapan.

Blog Lawi Ayam mengulas perkara itu berkata seperti biasa, Joceline yang gemar memetik sumber mengatakan Muhyiddin mulanya bersetuju dengan rancangan itu pada mesyuarat dengan pemimpin tertinggi Pakatan Harapan pada petang Selasa.


Bagaimanapun, sehari selepas mesyuarat itu, Muhyiddin diberitakan berucap pada satu ceramah di Sijangkang, Kuala Langat, di samping Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru,  Dr Rani Osman dan Ahli Dewan Undangan (Adun) Sijangkang Dr Ahmad Yunus Hairi dari PAS. ADUN Kota Anggerik, Yaakob Sapari (PKR), juga menjadi salah seorang penceramah.

Menurut  Joceline,  keesokan harinya, Muhyiddin telah menghubungi pemimpin Pakatan Harapan bagi meminta penangguhan perjanjian kerjasama, bagaimanapun beliau menekankan bahawa beliau tidak mempunyai masalah dengan kandungannya. Difahamkan Muhyiddin mahukan  lebih banyak perbincangan dengan pemimpin Pakatan Harapan mengenai hubungan mereka dengan DAP dan AMANAH.



Apakah laporan Joceline melalui akhbar yang dimiliki MCA itu untuk menggambarkan bahjawa PPBM menolaj AMANAH dan DAP?

Apakah The Star berusaha membawa perkhabaran buruk bahawa PBBM tidak dapat duduk semeja dan bekerjasama antara mereka?

Apakah kerjasama sementara seperti ditunjukkan pada pilihan raya kecil dua Parlimen – Sungai Besar dan Kuala Kangsar – sebagai sesuatu yang sudah berakhir?

Joceline turut menyebut bahawa  Muhyiddin lebih berminat untuk membentuk pakatan pembangkangnya sendiri yang terdiri daripada PPBM, PKR dan PAS.

Dengan penafian apa yang disebutkan oleh Joceline dan The Star itu jelas pendirian PPBM tidak ada masalah untuk bekerjasama dengan sesiapa.

Tanpa menamakan sesiapa, Dr Mahathir mengecam pihak yang menjadikan DAP sebagai alasan untuk tidak menyertai Pakatan Harapan.

“Jangan kata tidak mahu sertai (Pakatan) kerana DAP.

Saya dulu musuh ketat Lim Kit Siang (Ketua Ahli Parlimen DAP), tetapi itu hal kecil berbanding menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak,” katanya.

Dr Mahathir berkata beliau gembira melihat perpaduan parti komponen Pakatan Harapan yang ditunjukkan dalam konvensyen hari ini.

“Saya kagum tengok ramai yang hadir. Selepas ini, saya harap PPBM diterima dalam Pakatan Harapan untuk bersama-sama (melawan BN),” katanya.

Malah, beliau berkata tiada masalah untuk menyokong reformasi – slogan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menentangnya lebih dua dekad lalu – yang disambut dengan laungan “Reformasi” daripada para hadirin.

Sebaik Mahathir menamatkan ucapannya dan turun dari pentas, sejumlah hadirin melaungkan “bebas Anwar” berulang kali sebelum diminta pengerusi majlis supaya bertenang.

Friday, November 11, 2016

MLA - Mahu Lindungi Siapa Apabila AG Tolak Permohonan OAG Switzerland?


Sebelum ini ada soalan, “Bolehkah Peguam Negara (AG) Malaysia tolak permintaan Bantuan Guaman Bersama (MLA) pihak berkuasa asing?”

Ia berkaitan dengan permohonan bantuan Malaysia untuk menyiasat skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kenyataan Peguam Negara Switzerland (OAG) , Michael Lauber (gambar atas)  jelas menyebutnya sebagai ‘memohon bantuan’.

Akhbar The Telegraph United Kingdom dengan tajuk Swiss seek Malaysian help probing $4 billion financial scandal  mengatakan siasatan itu perlu dijalankan kerana skandal kewangan itu melanggar undang-undang negara berkenaan.

Persoalannya apa kesan dan telahan pihak asing kepada Pejabat AG dan Malaysia jika permintaan itu ditolak?

Apakah dengan menolak permintaan OAG  itu Malaysia dilihat cuba melindungi pihak tertentu dalam kes 1MDB? 

Sudah pasti akan timbul berbagai pertanyaan, dengan keputusan AG Malaysia itu, apakah ia usaha untuk terus ‘membersihkan Perdana Menteri’?

Ini kerana siasatan Switzerland tertumpu kepada penipuan termasuk satu bentuk skim "Ponzi", di mana pulangan bagi pelaburan asal dibayar daripada dana yang diperolehi daripada pelabur berikutnya, dan bukannya daripada hasil sah pelaburan berkenaan.

Siasatan mengenai syarikat pelaburan 1MDB yang dibebani hutang dan dikaitkan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sedang dijalankan di beberapa buah negara di seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat, Switzerland dan Singapura.
 
Malah perbicaraan bekas pegawai bank BSI Singapura yang sudah ditutup sedang berlansung selain beberapa orang lagi akan dihadapkan ke mahkamah dalam tempoh terdekat.

Pada  13 Oktober  2016, lalu, Malaysiakini menyiarkan persoalan mengenai perkara ini dengan mengemukakan soalan apakah  Malaysia cuba mengelakkan diri berhubung permintaan OAG Switzerland buat kali kedua, untuk mendapatkan MLA dalam siasatan terhadap dakwaan penyelewengan dan pengubahan wang haram membabitkan 1MDB?

Persoalan yang berlegar selepas permintaan kedua untuk bantuan mengikut Perjanjian Bersama Bantuan Perundangan Antarabangsa adalah sama ada Malaysia cuba menjarakkan diri, atau sama ada kertas diplomatik "didapati telah hilang".

Sebelum itu pada pada 6 Oktober, Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam jawapannya berkata pihaknya belum menerima sebarang permohonan tambahan MLA daripada OAG Switzerland.

"Bagaimanapun, Peguam Negara ingin menekankan komitmen kami dalam kerjasama antarabangsa dan akan mempertimbangkan sebaik mungkin permintaan ini berlandaskan undang-undang sedia ada apabila ia diterima menerusi saluran diplomatik, seperti mana ditetapkan undang-undang negara berhubung bantuan bersama perundangan," kata AGC dalam satu kenyataan.

Undang-undang yang berkaitan mengenai perkara ini ialah Akta Bantuan Bersama Dalam Perkara Jenayah 2002.

Di bawah Akta ini, permohonan itu perlu dibuat oleh peguam negara di negara asing yang berkenaan kepada Peguam Negara Malaysia, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Hari ini, Financial Times United Kingdom melaporkan secara rasminya Malaysia menolak permintaan Switzerland untuk mendapatkan MLA dalam siasatan penyelewengan dan pengubahan wang haram yang didakwa melibatkan 1MDB.

Dengan tajuk ‘Malaysia Rebuffs Swiss Inquiries Into 1MDB’, Peguam Negara  Switzerland itu memberitahu akhbar berkenaan dalam satu temu bual yang disiarkan hari ini mengatakan pihaknya baru-baru ini mendapat respon yang pihak berkuasa Malaysia tidak akan bersetuju dengan permintaan kami.

"Mereka hanya berkata bahawa di bawah undang-undang mereka, mereka tidak boleh menjawab," katanya.

Dilaporkan, Jabatan Peguam Negara Malaysia menafikan ia cuba menggagalkan siasatan pihak berkuasa Switzerland itu tetapi menyebut kerajaan akan meneruskan siasatan jenayah oleh polis Malaysia berhubung perkara berkaitan 1MDB.

Apandi...tolak permintaan Peguam Negara Switzerland.
FT memetik pejabat AG sebagai berkata, "peguam negara berpendapat bahawa permintaan ini boleh menimbulkan prejudis berlaku perkara jenayah di Malaysia," dan menambah, "tiada isu Malaysia menyekat siasatan jenayah Swiss".

Sedangkan CNBC yang memetik FT pada 23 Ogos bahawa OAG sudahpun melancarkan siasatan jenayah terhadap 1MDB.

Laporan CNBC itu menyebut: “Attempts by Najib Razak, Malaysia's embattled prime minister, to contain a financial scandal have taken a knock after Swiss authorities said they had opened criminal proceedings related to the state development fund at the center of the affair.

Switzerland's Office of the Attorney-general said its case involved "suspected corruption of public foreign officials, dishonest management of public interests and money laundering".

Its confirmation of proceedings involving 1Malaysia Development Berhad, or 1MDB, which has $11 billion in debt, marks the potential internationalization of a case that has so far received mainly domestic scrutiny. The fund, established in 2009 by Malaysia's finance ministry, is supervised by an advisory board chaired by the prime minister.”

Dan pada 12 Oktober  2016 pula, OAG Switzerland mengatakan pihaknya memulakan prosiding jenayah terhadap Falcon Private Bank kerana gagal menghalang kesalahan berkaitan dengan penyelewengan dana 1MDB.

Keputusan memulakan prosiding adalah berdasarkan maklumat yang didedahkan oleh siasatan dalam kes 1MDB dan isu-isu yang dibangkitkan dalam keputusan Pihak Berkuasa Penyeliaan Pasaran Kewangan Switzerland atau Swiss Financial Market Supervisory Authority (FINMA) dari awal Oktober 2016.


FINMA,  sehari sebelum itu,  mendedahkan kira-kira AS$ 3.8 bilion dana berkaitan 1MDB disalurkan melalui Falcon Private Bank.

Menurut FINMA, dana itu termasuk melalui urusniaga AS$681 juta dan pembayaran balik AS$620 juta enam bulan kemudian.

Pihak berkuasa kewangan itu tidak memberikan butirannya tetapi jumlah itu sepadan dengan AS$ 681 juta yang diterima oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang dirujuk sebagai RM2.6 bilion berdasarkan kadar pertukaran ketika itu apabila perkara berkenaan didedahkan pada Julai tahun lalu.

Najib mendakwa wang itu adalah "derma dari Arab" dan AS$620 juta daripada wang itu kemudiannya dikembalikan.

Pada 28 Oktober lalu ketika mengesahkan pejabatnya telah menerima permintaan daripada OAG  Switzerland di bawah MLA,  Peguam Negara tidak mengulas panjang.

Dilaporkan pada 6 Oktober bahawa pejabat peguam negara Switzerland telah menghantar permintaan MLA kedua untuk Malaysia.

Ini merupakan  permintaan kedua untuk mendapatkan bantuan daripada rakan sejawatannya dari Malaysia di bawah Bantuan Perundangan Bersama, selepas pejabat peguam negara di negara ini mendakwa ia tidak menerima permohonan pertama.

Apandi sebelum ini membersihkan Najib daripada sebarang salah laku.

Perjanjian Bersama Bantuan Perundangan Antarabangsa adalah perjanjian antara dua atau lebih negara bagi tujuan pengumpulan dan pertukaran maklumat dalam usaha untuk menguatkuasakan undang-undang awam atau undang-undang jenayah.

Dengan pendrian Pejabat Peguam Negara Malaysia kini, apakah kita sebenarnya tidak lagi mahu bekerjasama dan tidak peduli dengan persepsi antarabangsa?

Atau memang tidak penting bagi kita untuk menjayakan Bantuan Perundangan Bersama selain menghormati Perjanjian Bersama Bantuan Perundangan Antarabangsa?


Nampak gayanya, kerajaan ketika ini sedang menuju ke arah itu.

Tuesday, November 8, 2016

Bincang & Bahas Isu Rakyat - Jika Tidak Di Dewan Rakyat, Di Mana Lagi?


Pelik dan aneh apabila Parlimen, khususnya Dewan Rakyat bukan lagi tempat untuk membincangan isu dan masalah negara.

Segala-galanya adalah kerana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kebetulan tiga Ahli Parlimen yang memperkatakannya baru-baru ini adalah daripada parti pembangkang. Mereka bekas Menteri yang pernah menjadi pemimpin UMNO.

Amat nyata parti pembangkang berkenaan, walaupun baru sangat ditakuti oleh Barisan Nasional (BN) dan UMNO ketika ini.

Mereka berpengaruh dan rakyat akan percaya kata-kata mereka, apalagi ucapan dan kata-kata itu dilafazkan di Dewan Rakyat.

Sepatutnya, isu yang membabitkan rakyat dan negara diberikan ruang untuk dibahaskan di Dewan Rakyat, tidak sebaliknya.

Malah, di Dewan Rakyat jugalah, Perdana Menteri dan Menteri-Menteri boleh menjelas dan menjawab isu yang dikemukakan. Di Dewan Rakyat, ahlinya tidak boleh berbohong dan setiap patah perkataan akan dipercayai oleh rakyat.

Namun sayang, medan ‘suci’ ini tidak mahu digunakan oleh pihak kerajaan untuk menjawab dan menjelaskan kepada kerajaan kedudukan sebenar 1MDB yang kini menghantui politik dan kerajaan yang memerintah hari ini.

Semua tahu bahawa Dewan Rakyat adalah tempat paling ‘suci’ untuk memperkatakan sebarang isu yang berkaitan dengan rakyat sejak institusi itu ditegakkan di negara ini.’

Juga ahli-ahli Parlimen tahu bahawa mereka mempunyai kebebasan dan keistimewaan untuk memperkatakan sesuatu perkara tanpa rasa gusar atau dikecam di luar dewan.

Di situlah ‘wakil rakyat’ yang dipilih oleh rakyat melalui sistem demokrasi menyatakan pendirian, membuat cadangan dan juga menetapkan pendirian mengenai sesuatu isu membabitkan rakyat dan negara.


Jika tidak di Parlimen, khususnya di Dewan Rakyat, di manakah lagi suara rakyat boleh diketengahkan?

Lagipun, Dewan Rakyat mempunyai imunitinya sendiri bagi membolehkan ‘wakil rakyat’ menyatakan apa yang dirasakan sesuai untuk kepentingan rakyat dan jika terbabas, sudah tentu mereka dikenakan tindakan.

Selalunya tindakan dikenakan kerana ‘menghina Dewan Rakyat’ dan sebab-sebab yang dikira sebagai bertentangan dengan peraturan Dewan Rakyat.

Namun dalam isu bertanya dan menyatakan pendirian mengenai isu yang sudah menjadi ‘isu rakyat’ dan ‘isu antarabangsa’ seperti isu penyelewengan, rasuah, salah guna kuasa serta pengubahan wang haram dalam kaitannya dengan 1MDB,  ia bukan sesuatu yang kekal sebagai rahsia dan memang berkepentingan umum.

Lebih memalukan, wang 1MDB itu bagaikan seketul kek yang dibahagi-bahagikan dengan sewenang-wenangnya oleh pihak tertentu di peringkat antarabangsa.

Ia adalah milik rakyat dan negara dan apabila ada yang mahu perkara ini diatasi, kerajaan bagaikan cuba melindungi pihak berkenaan apabila melarang ia dibincang dan diperkatakan di Dewan Rakyat.

Jadi apabila Dewan Rakyat juga mahu disekat daripada menjadi medan perbincangan awam demi kepentingan rakyat, apakah kerajaan Malaysia kini sudah tidak meletakkan kepentingkan rakyat sebagai keutamaan selain menghormati demokrasi?

Juga apakah kerajaan yang ada hari ini berusaha mengekang suara rakyat atau wakil yang membawa hasrat rakyat?

Apakah kerajaan yang memerintah sekarang – Barisan Nasional - sudah meletakkan Dewan Rakyat di bawah kuasa multaknya yang membolehkan mereka mengawal semua perkara, termasuk isu membabitkan rakyat jelata?

Hari ini, mesyuarat parti pembangkang membabitkan lima parti menghadirinya di Parlimen meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghentikan tindakan memanggil dan mengambil keterangan daripada mana-mana ahli parlimen yang berucap di Dewan Rakyat yang menyentuh isu 1MDB, Jabatan Keadilan Amerika (DOJ) dan wang RM2.6 billion yang dimasukkan dalam akaun peribadi ahli parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak merangkap menteri kewangan dan perdana menteri.


Mesyuarat dihadiri Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Presiden Tan Sri Muhyidin Yasin, Presiden Parti Pembangunan Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafei Apdal, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dan Naib Presiden Amanah Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa serta lebih 20 ahli parlimen pembangkang yang lain.

Melain itu, mesyuarat juga mengambil ketetapan untuk meminta Speakar Dewan Rakyat mengkaji semula ‘petua yang dikeluarkan beliau pada 20 Oktober 2016’ atas perkara: Tafsiran Sub Judice bagi Pertanyaan Jawab Lisan, Jawab Bukan Lisan dan Usul membabitkan Isu Tindakan Sivil in Rem oleh DOJ pada mesyuarat ketiga, Penggal Keempat, parlimen ke-13 ini.

Mengikut ‘petua’ yang dikeluarkan beliau, ahli parlimen telah tidak dibenarkan berbahas atas isu yang menyentuh 1MDB, DOJ, dan wang RM2.6 billion.

Menteri-menteri juga disekat dan terbatas dalam memberi jawapan kepada soalan-soalan berhubung perkara tersebut.

Pertemuan dan keputusan lima parti itu - PKR, DAP, AMANAH daripada Pakatan Harapan dan dua parti baharu – BERSATU dan Warisan - diumumkan pada sidang media selepas mesyuarat khas berkaitan hak-hak dan kekebalan anggota parlimen di parlimen hari ini.

Lima parti itu  mahu semua pihak mengiktiraf dan mengembalikan hak ahli parlimen sebagai wakil rakyat untuk berbahas.

Kelima-lima parti ini mengingatkan semua pihak agar tidak menyekat kebebasan ahli parlimen supaya rakyat dan negara mendapat faedah daripadanya dan kedudukan parlimen Malaysia dipandang tinggi oleh masyarakat antarabangsa.

Mesyuarat khas berkaitan hak-hak dan kekebalan anggota parlimen diadakan ekoran tindakan Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia menyifatkan tindakan tiga bekas menteri Kabinet membangkitkan isu 1MDB dan beberapa isu lain dalam parlimen adalah satu tindakan yang melanggar sumpah mereka sebagai menteri kabinet.

Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Datuk Seri Shafie Apdal disiasat atas dakwaan membocorkan rahsia kerajaan ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2017 di Dewan Rakyat, dua minggu lalu.

Siasatan itu dibuat mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 kerana mendedahkan rahsia kerajaan, termasuk berkaitan 1MDB.

Pertemuan hari ini besar maknanya yang membuktikan pada ketika pihak kerajaan cuba menyekat kebebasan bersuara demni isu rakyat dan negara, pembangkang bukan sahaja mahu isu berkenaan diperkatakan dengan sewajarnya tetapi juga menuntut agar demokrasi dikekalkan.

Memang kerajaan mempunyai berbagai kuasa melalui berbagai akta untuk bertindak tetapi sesuatu tindakan itu jika dilakukan dengan ‘tidak waras dan melenaggar peraturannya’ ia akan menjadi ‘boomerang’ yang akan  mencederakan tuan badan yang membalingnya!

Tuesday, November 1, 2016

Johari, Betulkah SRC Boleh Dapat Balik Wang Untuk Bayar Hutang KWAP?

 

Lagu 60-an A Halim & The Fictions, ‘Doa dan Harapan’ sesuai untuk dikaitkan dengan kes SRC International Sdn Bhd untuk dapatkan kembali pelaburannya dalam BSI Bank Ltd (BSI Bank).

Kuasa menentukan sama ada SRC akan dapatkan balik wang daripada BSI sama ada di Singapura atau Switzerland,  bukan boleh diputuskan oleh kerajaan Malaysia atau sesiapa juga pemimpin di Malaysia.

Ini kerana bank itu sudah lenyap. Walaupun ada entity baru yang mungkin mengambil alih, ia memerlukan masa dan kerja yang sukar buat memenuhi harapan SRC.

Jika ada pun namanya (BSI) disebut, ia adalah di mahkamah Singapura dan mungkin di Switzerland atau mungkin  Amerika Syarikat kerana siasatan yang ada kaitan dengan salah laku dan penyelewengan kakitangan bank berkenaan sedang berjalan.

Pada 24 Mei lepas, Pihak Berkuasa Kewangan Singapura mengarahkan penutupan BSI milik Switzerland di republik berkenaan.

Ia berikutan perlanggaran serius syarat antipengubahan wang haram, pengawasan pengurusan operasi bank yang lemah serta salah laku serius oleh sebahagian kakitangan bank berkenaan.

SRC yang ditubuhkan pada awal 2011 untuk meneroka pelaburan strategik di seberang laut dalam sumber tenaga menggunakan bank berkenaan untuk tujuan perniagaannya.

Sebelum ini SRC  adalah anak syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB) tetapi diambil alih Kementerian Kewangan berikutan program penstrukturan semula 1MDB.

Yang nyata ialah, penyelewengan serta kes pengubahan wang haram BSI banyak dikaitkan dengan SRC dan 1MDB yang pastinya akan mengambil masa yang lama.



Hari ini Menteri Kewangan II Datuk Johari Abdul Ghani berkata SRC International kini dalam proses mendapatkan balik wang yang disimpan di BSI dengan harapan yang begitu tinggi untuk mendapatkannya.

“Kami sedang berusaha melalui pelbagai cara untuk mandapatkan wang yang telah disimpan di BSI Bank,” katanya kepada pemberita pada Sidang Kemuncak Pasaran Modal Malaysia Ke-21 anjuran Institut Kepemimpinan Strategik Asia di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun Johari dimaklumkan oleh pengurusan SRC yang wangnya disimpan di BSI tetapi mempunyai masalah untuk mendapatkannya kembali.

Menteri itu berkata, perkara itu sedang disiasat dan beliau tidak dapat mendedahkan butiran terperinci.

Ditanya mengenai penutupan BSI Bank, Johari berkata, “BSI Bank tidak ditutup, ia dijual kepada entiti lain.”

“BSI masih di sana, oleh itu sebarang dana yang mereka (SRC International) telah laburkan, kita sedang menelitinya,” katanya.

Laporan menyebut Pihak Berkuasa Penyeliaan Pasaran Kewangan Switzerland (FINMA) turut mengarahkan siasatan selain meluluskan pengambilalihan penuh BSI oleh EFG International.

Ini dilakukan dengan syarat BSI dibubarkan dalam tempoh 12 bulan melalui penyerapan dalam EFG International.

Ini bermakna kalau ada harapan pun, ia selepas 12 bulan apabila EFG International akan melihat semula semua akaun membabitkan bekas bank itu.

Namun bukan soal SRC sahaja mahu dilihat oleh EFG International kerana banyak lagi perkara lain yang perlu dilayah, apa lagi siasatan terhadap BSI akan terus berjalan.

Johari sudah mengakui bahawa wang pelaburan SRC tidak dapat dikeluarkan dari BSI selepas bank Switzerland itu berdepan siasatan berkaitan 1MDB.

“Oleh kerana Bank BSI sedang disiasat, saya diberitahu oleh pengurusan SRC bahawa wang itu berada di BSI Bank tetapi dibeku dan oleh itu mereka tidak dapat ambil balik,” katanya.

SRC sebelum ini meminjam RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan walaupun mempunyai rancangan untuk membayar pinjaman termasuk faedah ia berdepan dengan kedudukan SRC semakin merosot pendapatannya.

Selain pelaburan yang tidak mendatangkan keuntungan dikatakan SRC kini membayar  RM164 juta faedah tahunan kepada KWAP tetapi jumlah itu dianggarkan akan meningkat kepada RM660 juga tahun depan, untuk melangsaikan pinjaman pokok.

Dalam kedudukan yang dilihat menyulitkan SRC, BSI setakat ini berdepan prosiding jenayah, antaranya susulan kegagalan mematuhi peraturan antipengubahan wang haram dalam menguruskan transaksi berkaitan 1MDB.


Malah dengan perbicaraan melibatkan bekas pegawai bank BSI Singapura Yeo Jiawei, baru bermula semalam yang didakwa membantu transaksi haram melibatkan 1MDB, SRC mungkin kesuntukan masa.

Pendakwa berkata mereka mahu memanggil sembilan orang saksi, malah menyifatkan kes membabitkan BSI ini sebagai kes pengubahan wang haram paling rumit, canggih dan terbesar yang dikendalikan oleh CAD (bahagian hal ehwal komersial polis Singapura).

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Tan Kiat Phen berkata semalam Yeo diwawancara oleh CAD pada Oktober 2015 dan ditangkap pada 17 Mac 2016.

Dua lagi bekas rakan sekerja Yeo – Yak Yew Chee and Yvonne Seah – juga berdepan pendakwaan jenayah.

Mereka didakwa atas salah laku terlibat dalam pemindahan wang kepada pelanggan-pelanggannya, termasuk hartawan kelahiran Pulau Pinang Low Teak Jho, yang lebih dikenali sebagai Jho Low yang turut dikaitkan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.