Tuesday, November 1, 2016

Johari, Betulkah SRC Boleh Dapat Balik Wang Untuk Bayar Hutang KWAP?

 

Lagu 60-an A Halim & The Fictions, ‘Doa dan Harapan’ sesuai untuk dikaitkan dengan kes SRC International Sdn Bhd untuk dapatkan kembali pelaburannya dalam BSI Bank Ltd (BSI Bank).

Kuasa menentukan sama ada SRC akan dapatkan balik wang daripada BSI sama ada di Singapura atau Switzerland,  bukan boleh diputuskan oleh kerajaan Malaysia atau sesiapa juga pemimpin di Malaysia.

Ini kerana bank itu sudah lenyap. Walaupun ada entity baru yang mungkin mengambil alih, ia memerlukan masa dan kerja yang sukar buat memenuhi harapan SRC.

Jika ada pun namanya (BSI) disebut, ia adalah di mahkamah Singapura dan mungkin di Switzerland atau mungkin  Amerika Syarikat kerana siasatan yang ada kaitan dengan salah laku dan penyelewengan kakitangan bank berkenaan sedang berjalan.

Pada 24 Mei lepas, Pihak Berkuasa Kewangan Singapura mengarahkan penutupan BSI milik Switzerland di republik berkenaan.

Ia berikutan perlanggaran serius syarat antipengubahan wang haram, pengawasan pengurusan operasi bank yang lemah serta salah laku serius oleh sebahagian kakitangan bank berkenaan.

SRC yang ditubuhkan pada awal 2011 untuk meneroka pelaburan strategik di seberang laut dalam sumber tenaga menggunakan bank berkenaan untuk tujuan perniagaannya.

Sebelum ini SRC  adalah anak syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB) tetapi diambil alih Kementerian Kewangan berikutan program penstrukturan semula 1MDB.

Yang nyata ialah, penyelewengan serta kes pengubahan wang haram BSI banyak dikaitkan dengan SRC dan 1MDB yang pastinya akan mengambil masa yang lama.



Hari ini Menteri Kewangan II Datuk Johari Abdul Ghani berkata SRC International kini dalam proses mendapatkan balik wang yang disimpan di BSI dengan harapan yang begitu tinggi untuk mendapatkannya.

“Kami sedang berusaha melalui pelbagai cara untuk mandapatkan wang yang telah disimpan di BSI Bank,” katanya kepada pemberita pada Sidang Kemuncak Pasaran Modal Malaysia Ke-21 anjuran Institut Kepemimpinan Strategik Asia di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun Johari dimaklumkan oleh pengurusan SRC yang wangnya disimpan di BSI tetapi mempunyai masalah untuk mendapatkannya kembali.

Menteri itu berkata, perkara itu sedang disiasat dan beliau tidak dapat mendedahkan butiran terperinci.

Ditanya mengenai penutupan BSI Bank, Johari berkata, “BSI Bank tidak ditutup, ia dijual kepada entiti lain.”

“BSI masih di sana, oleh itu sebarang dana yang mereka (SRC International) telah laburkan, kita sedang menelitinya,” katanya.

Laporan menyebut Pihak Berkuasa Penyeliaan Pasaran Kewangan Switzerland (FINMA) turut mengarahkan siasatan selain meluluskan pengambilalihan penuh BSI oleh EFG International.

Ini dilakukan dengan syarat BSI dibubarkan dalam tempoh 12 bulan melalui penyerapan dalam EFG International.

Ini bermakna kalau ada harapan pun, ia selepas 12 bulan apabila EFG International akan melihat semula semua akaun membabitkan bekas bank itu.

Namun bukan soal SRC sahaja mahu dilihat oleh EFG International kerana banyak lagi perkara lain yang perlu dilayah, apa lagi siasatan terhadap BSI akan terus berjalan.

Johari sudah mengakui bahawa wang pelaburan SRC tidak dapat dikeluarkan dari BSI selepas bank Switzerland itu berdepan siasatan berkaitan 1MDB.

“Oleh kerana Bank BSI sedang disiasat, saya diberitahu oleh pengurusan SRC bahawa wang itu berada di BSI Bank tetapi dibeku dan oleh itu mereka tidak dapat ambil balik,” katanya.

SRC sebelum ini meminjam RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan walaupun mempunyai rancangan untuk membayar pinjaman termasuk faedah ia berdepan dengan kedudukan SRC semakin merosot pendapatannya.

Selain pelaburan yang tidak mendatangkan keuntungan dikatakan SRC kini membayar  RM164 juta faedah tahunan kepada KWAP tetapi jumlah itu dianggarkan akan meningkat kepada RM660 juga tahun depan, untuk melangsaikan pinjaman pokok.

Dalam kedudukan yang dilihat menyulitkan SRC, BSI setakat ini berdepan prosiding jenayah, antaranya susulan kegagalan mematuhi peraturan antipengubahan wang haram dalam menguruskan transaksi berkaitan 1MDB.


Malah dengan perbicaraan melibatkan bekas pegawai bank BSI Singapura Yeo Jiawei, baru bermula semalam yang didakwa membantu transaksi haram melibatkan 1MDB, SRC mungkin kesuntukan masa.

Pendakwa berkata mereka mahu memanggil sembilan orang saksi, malah menyifatkan kes membabitkan BSI ini sebagai kes pengubahan wang haram paling rumit, canggih dan terbesar yang dikendalikan oleh CAD (bahagian hal ehwal komersial polis Singapura).

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Tan Kiat Phen berkata semalam Yeo diwawancara oleh CAD pada Oktober 2015 dan ditangkap pada 17 Mac 2016.

Dua lagi bekas rakan sekerja Yeo – Yak Yew Chee and Yvonne Seah – juga berdepan pendakwaan jenayah.

Mereka didakwa atas salah laku terlibat dalam pemindahan wang kepada pelanggan-pelanggannya, termasuk hartawan kelahiran Pulau Pinang Low Teak Jho, yang lebih dikenali sebagai Jho Low yang turut dikaitkan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

No comments: