Saturday, November 19, 2016

BERSIH5 - Apakah Polis Akan Tahan Dr Mahathir, Muhyiddin?


Polis sudah mengesahkan bahawa Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah ditahan bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan perkara itu kepada Malaysiakini hari ini.

Sebelum itu, awal petang ini, satu mesej dari kumpulan peguam Lawyers for Liberty memaklumkan perkara sama.

Rang Undang-Undang Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Pindaan) 2015 atau SOSMA diluluskan Dewan Rakyat  pada 8 April 2015.

Setakat ini hanya Maria Chin diumumkan akan dtahan di bawah akta berkenaan.

SOSMA digubal untuk membendung aktiviti seseorang atau kumpulan yang mahu mengguling atau melemahkan negara, apatah lagi dunia hari ini berhadapan dengan ancaman-ancaman baru yang merentas sempadan. 

SOSMA dikuatkuasakan oleh kerajaan "bagi menyediakan langkah-langkah khas berkaitan dengan kesalahan keselamatan bertujuan mengekalkan keamanan dan keselamatan dan bagi hal-hal berkait".

Akta ini digubal bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA). Akta tersebut telah diluluskan di Parlimen pada 17 April 2012, diberikan Perkenan Diraja pada 18 Jun 2012 dan diwartakan pada 22 Jun 2012.

Jangan lupa, akta ini boleh membawa kepada hukuman mati mandatori ke atas sesiapa yang didapati bersalah.


Persoalan kini timbul, dengan penyertaan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa lagi, apakah mereka juga akan ditangkap?

Apakah mereka juga akan dikenakan tahanan dan mungkinkah mengikut akta SOSMA?

Apa yang dianggap ancaman di bawah SOSMA?
  • menyebabkan keganasan terancang terhadap orang atau harta, atau menyebabkan sebilangan besar warganegara takut akan keganasan itu;
  • membangkitkan perasaan tidak setia terhadap Yang di-Pertuan Agong;
  • memudaratkan ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, atau yang memudaratkan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya; dan,
  • mendapatkan perubahan, selain dengan cara yang sah, apa-apa jua yang ditetapkan melalui undang-undang.

Bercakap dari Bagan Datoh, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.berkata polis dijangka menahan lebih ramai pemimpin Bersih 5 dan Baju Merah serta pihak yang bersekongkol dengan kedua-dua kumpulan itu.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, beliau tidak akan mendedahkan senarai nama suspek kerana aspek penguatkuasaan adalah dalam bidang kuasa Ketua Polis Negara.


Menurut mStar, Dr Mahathir Mohamad yang telah kembali ke tanahair dan akan menyertai perhimpunan Bersih 5 di ibu negara.

Pembantunya, Sufi Yusof berkata, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang menghadiri persidangan di Sudan tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang pada 12.30 tengah hari.

Turut serta ialah Naib Presiden parti itu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Pada Rabu, Dr Mahathir menerusi video mengajak rakyat Malaysia menyertai perhimpunan itu. Tahun lalu, Dr Mahathir menyertai Bersih 4 bersama isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Bekas Perdana Menteri itu dilaporkan sudah  tiba di stesen LRT Bangsar untuk menyertai perhimpunan Bersih 5 di Kuala Lumpur.

Maklumat tambahan:

Ada 10 fakta penting yang perlu anda tahu tentang SOSMA:



1. Seorang pegawai polis boleh, tanpa waran, menangkap dan menahan mana-mana pihak yang berkenaan dengannya jika dipercayai terlibat dalam kesalahan keselamatan.

2. Seseorang yang ditangkap hendaklah dimaklumkan dengan seberapa segera yang boleh, mengapa dia ditangkap.

3. Tiada seorang pun boleh ditangkap dan ditahan di bawah seksyen ini semata-mata atas kepercayaan politiknya atau aktiviti politiknya.

4. Pihak yang ditangkap boleh ditahan selama 24 empat jam bagi tujuan penyiasatan.

5. Polis boleh melanjutkan tempoh tahanan untuk tempoh yang tidak lebih daripada 28 hari.

6. Peranti pengawasan elektronik boleh dipasangkan pada tertuduh yang dilepaskan.

7. Jaminan tidak boleh diberikan kepada seseorang yang dipertuduh atas kesalahan keselamatan.

8. Semua kesalahan keselamatan hendaklah dibicarakan oleh Mahkamah Tinggi.

9. Semasa perbicaraan, Mahkamah tidak boleh memerintahkan Pendakwa Raya mengemukakan apa-apa maklumat yang dianggap sensitif dan memudaratkan keselamatan atau kepentingan negara.

10. Seseorang tertuduh yang dipenjarakan di bawah seksyen ini, hendaklah ditahan sehingga semua rayuan dibereskan.


No comments: