Sehari dua ini PAS, khususnya Presidennya Datuk Seri
Abdul Hadi Awang akan ‘meroyan gila’ dan ‘mengamuk habis’.
Apa tidaknya, kerana cita-citanya untuk membentangkan usul
Rang Undang-Undang Persendirian iaitu Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah
(Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 atau RUU 355 di Dewan Rakyat mungkin tidaK
akan menjadi kenyataan.
Sedangkan riuh satu Malaysia - beliau dan pemimpin PAS
sudah mengatakan RUU 355 akan dibentangkan pada minggu pertama. Mesyuarat
Ketiga Penggal Keempat Parlimen Ke-13 bagi Dewan Rakyat akan berlangsung selama
25 hari bermula hari ini sehingga 24 November depan.
Berbagai pendapat dikemukakan, malah ada permintaan
supaya Ahli Parlimen Melayu dan Islam menyokong rang undang-undang itu. Ada sehingga menghukum kafir sesama Islam.
Bagaimanapun bagi pihak yang menentangnya mereka
menganggap ia suatu kaedah pintu belakang untuk secara rasmi menguatkuasakan
enakmen hudud Kelantan.
Ini bermakna bahawa Hadi dan PAS terpaksa berdepan
bantahan dan halangan banyak peringkat. Dan inilah yang dijelaskan oleh
Penasihat DAP, Lim Kit Siang bahawa ada enam kemungkinan sekiranya Hadi
membentangkan RUU 355 itu.
1. Hadi akan datang untuk membentang dan membahas
mengenainya pada minggu pertama pembukaan sidang Parlimen, sama ada pada hari
Isnin (hari ini), Selasa atau Rabu dan diluluskan dengan sokongan majoriti mudah;
2. RUU itu dibahaskan pada minggu pertama di
Parlimen dan ditolak dengan undi majoriti mudah;
3. Hadi tidak membahasakan RUU pada minggu pertama
sidang Parlimen bermula dan ditangguhkan sehingga selepas perbahasan Bajet
2017, dan kemungkinan akan dibahaskan pada minggu akhir sidang Parlimen pada
November nanti (21-24 November).
4. Perbahasan diilakukan pada minggu terakhir dan
diluluskan dengan keputusan majoriti mudah.
5. Perbahasan dilakukan pada minggu terakhir dan ia
ditolak dengan majoriti mudah; atau
6. RUU ini tidak dibahaskan dan akan ditunda pada
persidangan Parlimen tahun hadapan.
Hadi yang diberikan ruang pada persidangan Dewan Rakyat Mei
lalu, membentangkan usul untuk meminda Seksyen 2 akta tersebut untuk menyebut
Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa terhadap orang Islam dan dalam hal-hal
kesalahan di bawah perkara yang disenaraikan dalam Butiran 1 Senarai Negeri di
bawah jadual kesembilan Undang-Undang Persekutuan.
Ia juga bagi memasukkan Seksyen 2A yang menyebut dalam
melaksanakan undang-undang jenayah di bawah seksyen tersebut, Mahkamah Syariah
mempunyai hak untuk menjatuhkan hukuman berkaitan kesalahan yang disenaraikan
di bawah seksyen berkenaan selain hukuman mati.
Sejak 18 Julai lalu Hadi mengatakan beliau dan PAS
bersedia membantangkan usul itu dan perlaksanaan Akta 355 hanya akan melibatkan
orang Islam.
Menurutnya, Mahkamah syariah tidak melibatkan orang bukan
Islam, jadi mereka tidak perlu menentang.
“Tapi (yang) lagi pelik (adalah) apabila melihat orang
Islam sendiri menentang Akta 355 ini. Mereka (orang Islam) lebih menyokong
bukan Islam,” kata Hadi.
Menurut Hadi, walaupun perkara dibentangkan itu
melibatkan pindaan Akta 355 dan bukannya hudud, namun ia sekali gus memberi
ruang kepada mahkamah syariah meningkatkan hukuman berbanding sedia ada.
Menarik sehari dua ini juga ialah timbul berbagai
pendapat mengenai kemungkinan sama ada RUU 355 itu akan dibentangkan atau
sebaliknya.
Sehingga hari ini pendirian UMNO dan Barisan Nasional
(BN) masih tidak jelas. Yang menaruh harapan tinggi hanya pemimpin PAS yang
sanggup menuduh pihak lain, terutamanya yang beragama Islam sebagai tidak faham
dan yang tidak menyokongnya, menentang hukum Islam.
BN melalui Setiausaha Agung Umno mengatakan telah
mencapai konsensus mengenai rang undang-undang
ahli persendirian bertujuan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa
Jenayah) 1965, yang juga dikenali sebagai Akta 355.
Menurutnya, apa juga keputusan itu, ia dibuat secara
konsensus, ia telah dibincangkan dan "kami telah mendapat keputusan, jadi
anda tunggu dan lihat."
Tengku Adnan memberitahu "kesepakatan" yang
dimaksudkannya ialah, sebarang keputusan yang dibuat mestilah atas dasar konsensus semua pihak dan
turut mengakui BN belum membuat pendirian rasmi mengenai usul berkenaan.
Sedangkan, sebelum ini, parti-parti komponen BN, MCA, MIC
dan Gerakan menentang keras RUU itu, dengan pemimpin tertinggi mereka berkata
akan meletak jawatan jika RUU itu diluluskan.
Dengan kedudukan di mana Tengku Adnan enggan mendedahkan
apakah keputusan yang dicapai melalui mesyuarat BN dan sekadar mengatakan
mencapai consensus, sukar untuk diteka apakah pendirian sebenar.
Kelmarin (15 Oktober 2016) MCA menegaskan akan tetap
menentang RUU hudud' sambil menafikn parti itu tidak akan menentang rang
undang-undang dikemukan Presiden PAS itu.
Pengerusi Biro Publisiti parti itu Chai Kim Sen
menegaskan, parti komponen BN secara konsisten menentang pembentangan rang
undang-undang Hadi, yang biasanya dirujuk sebagai 'rang undang-undang hudud.
Malah menurutnya pendirian awal bahawa menteri-menteri
kabinet MCA yang pernah mengumumkan bahawa mereka bersedia untuk melepaskan
jawatan kabinet jika rang undang-undang itu diluluskan di Parlimen masih kekal.
Selain itu, Wanita MCA berkempen untuk sejuta tandatangan
di seluruh negara dan Pemuda MCA juga telah menjalankan kempen 'Memartabatkan
Perlembagaan Persekutuan' serta-merta.
Malah katanya, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai juga
telah bertemu rakan sejawatannya dari parti-parti komponen lain untuk membantah
rang undang-undang pada hari yang sama usul itu dibentang untuk dipercepatkan.
Mereka juga menimbulkan bantahan terhadap rang
undang-undang dalam mesyuarat kabinet kerana mendukung Perlembagaan
Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi di negara ini, katanya.
Jika demikian, kenapa pula Presiden MIC Datuk Seri S
Subramaniam tidak berterus terang terhadap pendirian MIC semalam apabila berdolak-dalik dengan berkata parti itu berharap agar BN dapat
'mengikuti' persetujuan yang disepakati semasa perbincangan parti itu berhubung
Akta 355 yang akan dibentang di Dewan Rakyat.
Katanya: "Perkara itu kita ada dibincangkan dalam BN
dan saya berharap apa yang dibincangkan di BN akan diikuti. BN dah bincang dan
ada persetujuan macam mana ia akan ditangani dan akan dibuat. Itu sahaja komen
saya," katanya ringkas pada sidang media selepas perasmian Perhimpunan
Agung MIC ke-70 di ibu negara semalam.
Subramaniam bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut
mengenai komennya itu.
Apabila MIC berkata pihaknya berharap BN patuh pada janji
dan MCA pula menyebut, MCA jamin RUU Hadi tidak akan dibahaskan bermakna bahawa
RUU 355 tidak akan sampai ke mana-mana?
Maknanya hasrat Presiden PAS untuk membentangkan usul rang
undang-undang itu tidak akan jadi kenyataan?
Presiden MCA semalam mengesahkan akan memastikan rang
undang-RUU meminda Akta 355 tidak akan dibahaskan di Parlimen walaupun telah
disenaraikan sebagai perkara keempat dalam kertas aturan mesyuarat.
Tiong Lai, tidak mendedahkan sama ada sebarang langkah
melambatkan 'RUU Hudud' itu adalah keputusan konsensus 13 parti komponen BN
seperti yang diputuskan pada yang mesyuarat pra-majlis kelmarin.
"Ia adalah sangat jelas bahawa BN membuat keputusan
konsensus RUU undang-undang kerajaan akan mendahului RUU persendirian.
"Kami akan memastikan RUU tersebut tidak akan dapat
dibahaskan kerana kita tahu RUU kerajaan mesti didahulukan di Parlimen,"
ujar beliau kepada pemberita di Wisma MCA, Kuala Lumpur selepas merasmikan
Perhimpunan Agung Tahunan Wanita MCA Selangor.
Pendirian MCA yang ditegaskan semalam selari dengan
hasrat DAP yang menolak pindaan Akta 355 untuk memperluaskan bidang kuasa
mahkamah syariah kerana bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata di Ipoh semalam,
perkara itu hanya akan terlaksana jika pindaan Perlembagaan dibuat menerusi
sokongan dua pertiga ahli Parlimen di Dewan Rakyat.
Bagi DAP, keputusan yang dibuat tidak melibatkan
sentimen agama sepertimana yang didakwa segelintir pihak sebelum ini. Ia sengaja diperbesarkan bagi menerbitkan rasa
kebencian masyarakat terhadap DAP.
"Isu ini sengaja dimainkan bagi memperlihatkan DAP
ini merupakan parti yang tak hormati Islam. Sebenarnya tidak, kita tolak kerana
ia bercanggah (Perlembagaan) bukan kerana sentimen," katanya.
Kerana itu DAP berharap rakyat memahami perkara sebenar
yang menyebabkan DAP menolak pindaan berkenaan.
"Perkara ini berkaitan undang-undang dan secara
automatik mesti dilaksanakan mengikut lunas perundangan yang tertakluk di bawah
Perlembagaan. Kita tak boleh langgar sesuka hati kerana ia menjadi asas kepada
pembentukan Malaysia hingga ke hari ini," katanya.
Di sebalik semua ini, sewajarnya semua pihak memahami
bahawa apa yang cuba dibentangkan Hadi
adalah usul persendirian semata-mata untuk dibahaskan mendapat persetujuan
Dewan Rakyat agar ia menjadi rang undang-undang untuk dibahaskan secara rasmi.
Selepas diterima usul, ia akan dijadikan rang
undang-undang yang perlu dibentangkan secara rasmi dan baharulah dibahaskan.
Itupun belum pasti diterima atau tidak.
Persoalan sekarang ialah, berdasarkan kata-kata Tiong Lai,
selain bantahan parti-parti komponen terhadap rang undang-undang itu, bantahan
juga ialah kenapa ia dipercepatkan.
No comments:
Post a Comment