Saturday, January 3, 2009

PERJANJIAN PANGKOR 3

http://nobisha.blogspot.com (3 Januari 2009)

Membaca laporan Malaysiakini yang menyebut Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng meminta Dato' Seri Anwar Ibrahim mendisiplinkan ahli-ahli PKR, saya fikir ada sesuatu yang tidak kena dalam Pakatan Rakyat. Lebih-lebih lagi isu yang dibangkitkannya adalah mengenai pertelingkahan antara PKR dan PAS; bukannya melibatkan DAP.

Sepatutnya, Lim Guan Eng risau dengan isu perbalahan antara Speaker DUN Selangor Teng Chang Kim dan Ahli Parlimen Klang Charles Santiago, bukannya campur tangan dalam rumahtangga PAS dan PKR.

Atau, mungkinkah Lim Guan Eng mula bimbang dengan pelbagai isu keretakan dalam Pakatan Rakyat sehingga membuatkan beliau membuat desakan itu kepada Anwar?

Selepas satu, timbul satu isu. Antara isu yang masih panas ialah Ahli Parlimen Kapar S Manikavasagam menuduh pemimpin Pakatan Rakyat sebagai tidak mengendahkan kepentingan rakyat, khususnya kaum India, dan tidak mahu bertemu beliau bagi membincangkan isu yang dihadapi. Sekiranya seorang ahli parlimen tidak boleh bertemu pemimpin dengan mudah, bagaimana pula dengan rakyat marhain?

Perbalahan terbuka ini tidak menguntungkan Pakatan Rakyat. Saya fikir lebih banyak lagi perbalahan sebegini akan berlaku dari semasa ke semasa. Pemimpin dan ahli Pakatan Rakyat adalah manusia. Mereka juga ada kepentingan. Ada kepentingan umum. Ada kepentingan peribadi. Usah nafikan. Apabila berlaku pertembungan kepentingan, maka orang politik akan melaungkannya kuat-kuat. Dalam blog. Dalam media massa. Dalam ceramah. Dan, kepada sesiapa sahaja yang nak mendengar.

Apabila isu pertelingkahan ini timbul, maka penyokong-penyokong Pakatan Rakyat akan menyalahkan Barisan Nasional. "Sebenarnya tak ada isu pun, ia hanya dibesar-besarkan oleh media massa dan Barisan Nasional," kata mereka.

Wah, hebatnya Barisan Nasional sehingga boleh membuatkan Lim Guan Eng mendesak Anwar Ibrahim. Wah, hebatnya Barisan Nasional sehingga boleh memaksa S Manikavasagam mengkritik PKR secara terbuka dan kemudiannya terbang ke India untuk bertemu pemimpin HINDRAF. Wah, hebatnya Barisan Nasional sehingga boleh membuat Teng Chang Kim dan Charles Santiago berbalah.

Saya fikir, sudah sampai masanya untuk Pakatan Rakyat berhenti menyalahkan orang lain. Berhenti menjadi burung unta yang membenamkan kepala ke dalam pasir dan berpura-pura tidak melihat masalah. Sekiranya mereka inginkan Pakatan Rakyat utuh, mereka kena belajar menerima realiti dan teguran. Usah melenting apabila orang kata Pakatan Rakyat semakin retak. Usah menjadi maharaja yang seronok dan merasakan dia berpakaian cantik di tengah bandar semata-mata kerana rakyat memujinya, sedangkan dia bertelanjang bogel.

Apa kata kalau saya cadangkan Pakatan Rakyat mengadakan Perjanjian Pangkor 3 untuk memantapkan hubungan sesama mereka? Mengapa Perjanjian Pangkor 3? Eh, saya fikir itu nama yang sesuai kerana Perjanjian Pangkor 2 tidak ada. Sekurang-kurangnya itu yang disebutkan oleh Menteri Besar Perak.

PAS, PKR dan DAP harus menyelesaikan semua isu-isu yang ada antara mereka "once and for all" supaya tidak ada sesiapa yang harus melangkah mayat antara satu sama lain. Bukan kata saya, itu kata Pengerusi DAP Karpal Singh kepada PAS. Adakah mereka mengharapkan rakyat akan lupa kata-kata itu. Saya tidak fikir begitu.

Anda mungkin bertanya mengapakah saya mencadangkan nama Perjanjian Pangkor 3, bukannya Perjanjian Ipoh Timur, Perjanjian Marang atau Perjanjian Permatang Pauh?

Aha, itu soalan yang baik. Pada masa ini saya berada di tepi pantai di Pulau Pangkor. Terlintas di fikiran saya, bukankah baik sekiranya Pakatan Rakyat damai dan tenang seperti keadaan di tepi pantai ini. Kalau ada pun hembusan angin, biarlah sepoi-sepoi bahasa dan menambah kedinginan pagi.

Mengapa saya ke Pangkor, bukannya Pulau Pinang. Soalan yang menarik juga tu. Saya kerap ke sana. Cuma di situ agak sibuk. Banyak kenderaan dan penuh debu. Rimas dan sukar untuk mencari ketenangan. Oleh kerana rimas itulah agaknya maka Lim Guan Eng mengingatkan Anwar untuk berbuat sesuatu!

Thursday, January 1, 2009

UNDI SIAPA BOLEH DAPAT PAHALA?

( hambali1.blogspot.com)

Semalam ketika berbual-bual sambil menikmati bihun goreng dan kopi-O pada ketika hujan renyai-renyai bersama beberapa rakan dari Kuala Lumpur di Kuala Terengganu - termasuk bekas ‘orang kuat’ Utusan Malaysia dan Kosmo, Haji Hamzah Sidek - antara perkara yang diperkatakan ialah apakah Amanat Haji Hadi masih terpakai.

Amanat Haji Hadi yang menyebabkan perpecahan besar umat Islam – kafir-mengkafir – di beberapa tempat di Kelantan dan Terengganu masih sebati dengan pemikiran dan tindakan orang Islam – sebenarnya semakin dilupakan oleh generasi baru.

Amanat yang merujuk kepada suatu sedutan ceramah umum yang disampaikan oleh Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang di Kampung Benggol, Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981 itu dicetak dalam bentuk poster dan ditampal di dinding markas PAS sekitar tahun itu.

Daripada bukti kertas putih mengenai Memali bertarikh 26 Februari 1986, Amanat Hadi telah dicetak dalam empat versi. Pertama dalam tulisan jawi, dicetak oleh bahagian Penerangan PAS Kelantan untuk sebaran pilihan raya kecil Selising, Kelantan pada tahun 1983.

Versi latar belakang hitam dengan tulisan rumi, dicetak oleh PAS Pusat dan dua versi lagi (rumi dan jawi) dicetak oleh Sekretariat Pemuda PAS Pusat. Versi latar belakang hitam dapat dilihat dalam rakaman video polis mengenai peristiwa Memali pada 19 November 1985.

Sedutan ucapan Hadi yang dijadikan Amanat adalah seperti berikut:

Saudara-Saudara Sekelian Percayalah,

Kita menentang UMNO, bukan kerana nama dia UMNO. Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah kerajaan. Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan Perlembagaan Penjajah, mengekalkan Undang-Undang Kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka.

Perjuangan kita adalah Jihad, ucapan kita adalah jihad, Derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (Menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah Syahid. Mati kita adalah Islam. Kita tidak perlu masuk Buddha, Kita tidak perlu masuk Hindu, Kita tidak perlu masuk Kristian, Tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan 'Politik Suku, Agama Suku'.


Namun, apakah ia akan kembali muncul pada pilihan raya kecil Kuala Terengganu ini?
Sejauh ini amanat berkenaan tidaklah menjadi perkara penting dalam ceramah PAS sebaliknya isu-isu semasa dan tempatan menjadi tumpuan, khususnya wang royalti minyak.
Dalam menilai apakah Amanat Haji Hadi akan timbul semula, tiba-tiba timbul perbincangan mengenai 'fatwa' sesiapa mengundi PAS mendapat pahala daripada Allah”.

Persoalannya, jika orang Melayu menolak Barisan Nasional (BN) berdasarkan 'fatwa' itu, bagaimana pula kedudukan orang Melayu di negeri lain yang menyokong DAP dan parti bukan Islam lain?

Perkara ini diperkatakan calon BN yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri, Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang meminta Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menjelaskan kedudukan orang Melayu yang menyokong DAP sedangkan ia secara terang-terangan menentang Islam.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu berkata, jika Menteri Besar Kelantan itu boleh mengeluarkan 'fatwa' sesiapa mengundi Pas mendapat pahala daripada Allah, maka beliau perlu menjelaskan kedudukan orang Melayu yang menyokong parti bukan Islam.
Wan Farid meminta penjelasan Nik Aziz bagi mengelakkan kekeliruan kerana selagi penjelasan itu tidak dibuat, maka 'fatwa' beliau mengenai dosa dan pahala terbukti semata-mata bertujuan untuk memancing undi.

''Saya fikir kenyataan Menteri Besar Kelantan itu tidak mungkin boleh mempengaruhi pengundi Melayu di sini kerana mereka semua tentunya berniat baik, mengundi BN kerana inginkan kebaikan dan kesejahteraan.

''Apakah mengundi BN mendapat dosa? Beliau harus buat penjelasan berhubung Melayu yang menyokong DAP," katanya selepas menziarahi penghuni Rumah Pangsa Seri Kolam di Kuala Terengganu semalam.

''Yang anehnya fatwa menghukum hanya dikeluarkan kepada Melayu di Kuala Terengganu tetapi di negeri lain tidak," katanya.

Dalam ceramahnya di mana-mana juga, Nik Abdul Aziz konsisten dalam mendakwa mana-mana pengundi yang mengundi PAS akan mendapat pahala daripada Allah.

Wan Ahmad Farid mempersoalkan adakah berdosa jika masyarakat Melayu mengundi BN yang sentiasa melaksanakan pelbagai program untuk kebaikan dan kesejahteraan umat.

''Apakah mereka yang menyokong kerajaan BN yang ternyata banyak melaksanakan pembangunan, sekolah, masjid dan kemudahan lain itu berdosa hukumnya," ujarnya.
Menurutnya, beliau tidak hairan dengan 'fatwa' berkenaan kerana pemimpin PAS sering mengeluarkan fatwa menjelang pilihan raya.