Saturday, June 2, 2018

Apa Akan Dijawab Oleh Rosmah Kepada Soalan SPRM?


Ramai rakyat Malaysia yang menunggu apa jawapan Rosmah Mansor kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selasa ini.

Mereka menunggu apa reaksi Rosmah terhadap soalan SPRM di mana sesi kali ini adalah sebahagian daripada siasatan ke atas SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB.

Ia dikatakan membabitkan aliran wang sebanyak RM42 juta yang melalui satu akaun bank atas nama suaminya, Datuk Seri Najib Razak, pada 2012.

Tenang atau berpeluh-peluhkah Rosmah nanti? Berapa jam pula beliau akan disoal?

Siasatan ini menarik kerana minggu lalu, SPRM menyoal-siasat Najib dua kali berhubung kes SRC International itu.


Najib disoal SPRM mengenai SRC International 2 minggu lalu. Dia kemudian disoal lagi oleh SPRM selama 7 jam 2 hari kemudian.

Najib pada 2016 menafikan sebarang salahlaku dan menafikan duit dimasukkan ke akaun banknya.


SRC International sekarang diletakkan secara terus bawah Menteri Kewangan (Diperbadankan), yang turut memiliki 1MDB, syarikat cetusan idea Najib semasa menjadi perdana menteri dan menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

Pada 2015, SPRM telah mengendalikan kes yang berkaitan dengan SRC International berhubung dana yang mengalir masuk ke akaun bank peribadi Najib.


Pada masa itu, laman web Sarawak Report mendakwa terdapat beberapa kad kredit yang digunakan berkait dengan akaun peribadi tersebut.

SRC International telah memperoleh dua pinjaman RM2 bilion berasingan daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP pada tahun 2011 ketika SRC masih lagi menjadi anak syarikat 1MDB dan pada tahun 2012 selepas ia diserap oleh Kementerian Kewangan.

Dana pinjaman tersebut dibelanjakan untuk pelbagai pelaburan di luar negara.

Pentadbiran Najib tidak mengumumkan jika mana-mana pelaburan ini telah menghasilkan hasil.

Apakah Rosmah atau keluarganya ada kaitan dengan perbelanjaan wang oleh SRC itu?


Malaysiakini melaporkan pada Rabu lalu, SRC International tidak mampu membayar hutang dan asetnya tidak dapat menghasilkan pulangan yang diperlukan bagi membayar pinjaman RM4 bilion daripada KWAP.

Oleh itu, Kementerian Kewangan telah membuat pembayaran tetap kepada KWAP.

Menurut sumber, notis perintah agar Rosmah hadir ke ibu pejabat SPRM diserahkan oleh pegawai suruhanjaya berkenaan di kediaman beliau di Jalan Langgak Duta,  Kuala Lumpur semalam.

Sumber itu berkata pegawai SPRM meninggalkan kediaman itu dengan membawa sebuah beg dipercayai mengandungi dokumen yang diambil dari kediaman itu.
“Semua pegawai berkenaan meninggalkan kediaman itu pada jam 5.30 petang (1 Jun 2018),” kata sumber.

Najib  minggu lalu memberikan keterangan selama lebih kurang 11 jam di ibu pejabat SPRM di Putrajaya dalam rentas dua hari pada 22 dan 24 Mei.

Siasatan terhadap pasangan ini dibuka semula beberapa hari selepas Najib hilang kuasa setelah Barisan Nasional tersungkur dalam pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei lepas.

Beberapa hari selepas Najib hilang jawatan, polis turut menyerbu beberapa premis yang ada kaitan dengan pasangan itu dan menyita 72 bagasi berisi wang tunai dan barangan kemas serta 284 kotak mengandungi beg tangan berjenama mewah.

Selepas pihak polis membuat pengiraan dengan bantuan pegawai Bank Negara Malaysia dan sebuah bank komersial, wang tunai yang dirampas dianggarkan bernilai RM114 juta dalam pecahan 26 mata wang pelbagai negara, kebanyakannya dalam ringgit Malaysia dan dolar Singapura.

Pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, melalui Majlis Penasihat Kerajaan yang dipengerusikan oleh bekas menteri kewangan Daim Zainuddin, menubuhkan dua jawatankuasa bagi meneliti dan menyiasat pelbagai aspek berhubung dengan 1MDB.

Pasukan tersebut juga  mendapat kerjasama Biro Penyiasatan Persekutuan dan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat serta penyiasat Singapura bagi menyempurnakan siasatan ke atas kes berkenaan.

Najib dan Rosmah kini disekat ke luar negara dan bekas perdana menteri itu disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2011.

(sumber Malaysiakini & FMT)

No comments: