Tuesday, January 28, 2014

Tidak Ada Pemimpin Kita Yang Berani Bertindak Mempertahankan Musuh Islam?


"Lebih menjengkelkan lagi, ketika isu dibangkitkan, kita diminta sabar, siasat dahulu, jangan bertindak terburu-buru, perlu berhikmah dan bermacam-macam alasan. Inilah sifat orang Melayu, terlalu bertolak ansur, sehingga ditolak beransur-ansur."

Pada zaman Nabi, apabila seorang Muslimah dipermainkan oleh Yahudi sehingga terselak kain dan menampakkan auratnya, jawapannya, PERANG!

Hari ini kita tidaklah sampai ke peringkat perang. Tetapi menjadi tanggungjawab seorang pemimpin negara untuk memastikan bahawa tidak ada mana-mana rakyat Islam di bawah pemerintahannya dianiaya oleh musuh-musuh Islam. Ingatlah! maruah dan keadaan umat Islam semakin tercabar.

Malangnya, tiada pemimpin yang berani bangkit dan dengan tegas bersuara mempertahankan maruah umat Islam yang tercalar.

Lebih menyedihkan, penghinaan itu berlaku di bumi kita sendiri yang berasaskan Melayu dan Islam.

Baca seterusnya:



Di mana letaknya maruah kita? 

RIDHUAN TEE ABDULLAH 27 Januari 2014

MULANYA saya cuba bersangka baik dengan apa yang menimpa seorang guru mualaf di SJKC Nan Ya, Kota Tinggi, Johor, atas nama dakwah. Tetapi setelah lama mengikuti isu ini, ditambah oleh sebuah syarikat pembinaan yang menghalau artis bertudung dalam majlisnya, menjadikan saya jadi geram.

Mana tidaknya, lembaga sekolah tersebut telah memaksa guru mualaf untuk membuka tudungnya dan diancam keselamatannya jika tidak berbuat demikian.

Sedihnya, apabila guru tersebut melaporkan kepada pihak berkuasa, beliau ditukarkan serta-merta ke sekolah lain.

Peliknya, tiada tindakan tegas dikenakan terhadap kepimpinan SJKC tersebut. Mana keberanian kita? Mana dia pemimpin yang memperjuangkan Islam dan hak asasi manusia ini?

Kejam sungguh kita semua. Kena pada orang Islam, tak apa. Kena pada bukan Islam, heboh 1Malaysia. Saya ingatkan orang bukan Islam telah insaf dan memahami perkara asas mengenai Islam. Maklumlah sudah lama tinggal di tanah air tercinta ini.

Paling kurang memahami kedudukan Islam selaku agama negara. Rupa-rupanya tidak.

Apabila ada desakan mahukan tindakan disiplin diambil terhadap ahli lembaga sekolah tersebut, maka kita pun berkata ini isu kecil dan hanya permainan politik untuk mengalihkan pandangan rakyat dari isu ekonomi yang lebih meruncing. 

Apa semua ini?

Lebih meloyakan, ketika pengerusi lembaga dan guru besar sekolah tersebut memohon maaf secara terbuka, maka kita pun beramai-ramai datang memberikan sokongan dan tepukan.

Sambil bersalaman dengan guru mualaf tersebut, guru besar itu berkata: “Saya harap isu ini selesai dan dapatlah kita semua hidup dalam harmoni, sesuai dengan slogan 1Malaysia”. Kita pun tutup fail. Wah… senang sungguh. Mudah sangat hidup di Malaysia.

Bila bukan Islam buat salah, minta maaf, selesai, atas alasan 1Malaysia. Bila kita buat silap, maka dikatakan bertentangan dengan 1Malaysia. Maka kita terus salah, mereka terus betul.


Apakah kita sudah lupa isu pengetua SMK Tunku Abdul Rahman, Kulaijaya yang didakwa mengeluarkan ‘ucapan rasis’ pada tahun 2010?

Seluruh media ultra kiasu menghentam habis-habisan pengetua tersebut. Langsung tidak diberikan peluang untuk membela diri.

Desakan demi desakan dilakukan agar beliau dipecat dan ditukar. Julai dan Ogos 2013, pengetua SMK Alam Megah, Shah Alam, turut menerima nasib sama kerana dikatakan memberi ucapan rasis.

September 2013, guru penolong kanan SMK Engku Husin Semenyih, Kajang, pun turut menjadi mangsa. 

Pada Julai 2013 apabila gambar murid bukan Islam SK Sri Pristana “makan di tandas” semasa bulan Ramadan tersebar, sekali lagi seluruh media ultra kiasu dikerah untuk melondehkan isu tersebut sehingga habis FB guru besar turut digodam.

Pelbagai tuduhan dibuat tanpa langsung memberi peluang kepada beliau membela diri. Beliau dan keluarga dimalukan, dihina dan dikecam sehingga anak beliau sendiri merayu dan menulis di status FB jangan diganggu ayah beliau lagi.


Namun, dalam isu guru mualaf dan SJKC ini, semua media ultra kiasu senyap sepi.

Kenapa tidak sensasikan isu ini dan memaksa guru besarnya dipindahkan atau meletakkan jawatan?

Jawapannya mudah, mereka sekapal.

Saya yakin, penghinaan ke atas guru mualaf tersebut, dan artis bertudung, sengaja dilakukan.

Peliknya, guru mualaf tersebut yang ditukarkan ke sekolah lain, bukan guru besar itu.

Lebih menjengkelkan lagi, ketika isu ini dibangkitkan, kita diminta sabar, siasat dahulu, jangan bertindak terburu-buru, perlu berhikmah dan bermacam-macam alasan. Inilah sifat orang Melayu, terlalu bertolak ansur, sehingga ditolak beransur-ansur.

Benar, memaafkan seseorang itu satu sifat yang baik. Tetapi itu bukan bermakna, pesalah boleh terlepas begitu sahaja.

Masih ingatkah kita pada zaman Nabi, apabila seorang Muslimah dipermainkan oleh Yahudi sehingga terselak kain dan menampakkan auratnya?

Apa tindakan selepas itu? Jawapannya, perang.

Hari ini kita tidaklah sampai ke peringkat perang.

Tetapi menjadi tanggungjawab seorang pemimpin negara untuk memastikan bahawa tidak ada mana-mana rakyat Islam di bawah pemerintahannya dianiaya oleh musuh-musuh Islam.

Ingatlah! maruah dan keadaan umat Islam semakin tercabar.

Malangnya, tiada pemimpin yang berani bangkit dan dengan tegas bersuara mempertahankan maruah umat Islam yang tercalar.

Lebih menyedihkan, penghinaan itu berlaku di bumi kita sendiri yang berasaskan Melayu dan Islam.

Sunday, January 26, 2014

Kes Ahmad Said Ke Antartika - Iktibar Daripada Kenyataan Akhbar Yang Mengelirukan...

Kenyataaan atau komen di media, apa lagi kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh pihak berwajib perlu tepat dan jelas.

Kita boleh belajar atau mengambil iktibar daripada apa yang berlaku kepada Kenyataan Akhbar yang dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Besar Terengganu 15 Januari lalu.

Kalaulah kenyataan akbar itu 'tidak mengelirukan' mungkin lawatan Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said tidak dipertikaikan seperti kenyataan, ulasan, sindiran terhadap beliau di media sosial khususnya menjadi begitu hebat.

Namun kerana kenyataan akhbar yang mengelirukan, Ahmad Said terpaksa menerima 'bala,' gara-gara tindakan pegawai beliau sendiri.

Baca di teganuku seperti berikut:

Kalut Ahmad Said Ke Antartika - Kalaulah Kenyataan Akhbar Menyebut YPASM...


KUALA LUMPUR (26 Januari 2014) - Mungkin jika tidak kerana berlaku 'sedikit kesilapan' pada kenyataan akhbar Pejabat Menteri Besar pada 15 Januari 2014 lalu, isu pemergian Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said ke Antartika tidak menjadi 'kalut' seperti sekarang.

Kesilapan itu berlaku mungkin kerana kekeliruan pada nama iaitu antara Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) dan Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM).

Dan mungkin juga mereka yang menyediakan bahan untuk Kenyataan Akhbar itu tidak memberikan gambaran yang jelas kepada pihak yang menyediakan kenyataan akhbar.

Memandangkan ia sesuatu baru dan agak teknikal dalam dasar kerajaan negeri dan Menteri Besar sendiri, kenyataan itu 'dilepaskan' dengan anggapan ia betul atau tepat dari segi faktanya. (Apapun, pembetulan sudah dibuat dengan merujuk YDSM sebagai YPASM, kelmarin).

Idea penubuhan YPASM tercetus selepas lawatan rasmi Sultan Mizan yang ketika itu merupakan Yang di-Pertuan Agong ke Antartika pada 20 hingga 23 November tahun 2011. Lawatan itu turut mendapat kerjasama kerajaan New Zealand.

Jika dilihat kepada kegiatan YPASM, ia sangat aktif menggerakkan usaha ke arah penyelidikan khutub selatan itu seperti titah Sultan Terengganu, Sultan MIzan Zainal Abidin pada perasmian atau pelancaran YPASM pada 2012 di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Selain itu, pada Seminar Antarabangsa Antartika Malaysia Keenam di Universiti Sains Malaysia pada 8 Oktober 2013, beberapa perkara yang dititahkan Sultan Mizan seiringan dengan usaha Kerajaan Terengganu ketika ini. (Yang turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Ewon Ebin dan Pemangku Naib Canselor Universiti Sains Malaysia, Prof. Datuk Dr. Ahmad Shukri Mustapha Kamal).

Titah Sultan Mizan yang juga Penaung YPASM ketika merasmikan Seminar Antarabangsa Antartika Malaysia Keenam itu ialah:

1.  Biarpun tidak memiliki stesen penyelidikan sendiri di Antartika, sebanyak 150 penyelidik muda dari Malaysia yang sedang membuat kajian peringkat sarjana dan ijazah doktor falsafah di benua itu mampu membanggakan negara. Jika kecemerlangan tersebut diteruskan tidak mustahil Malaysia mampu memiliki stesen penyelidikan sendiri di Antartika sekali gus melonjak nama negara di peringkat antarabangsa.

2. Menjadi visi kerajaan kejayaan di Antartika dikongsi bersama seluruh dunia dan penyelidikan berkenaan dapat dikekalkan. "Hasil usaha yang ditonjolkan Malaysia menerusi 'Persoalan Tentang Antartika' yang dibangkitkan dalam Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu secara tidak langsung menjadikan Sistem Perjanjian Antartika (ATS) lebih telus kepada negara ahlinya. Penyertaan Malaysia dalam ATS juga adalah langkah tepat untuk membolehkan negara mempelbagaikan sumber bagi meneruskan penyelidikan di Antartika."



Sementara itu ketika melancarkan YPASM di UMT pada 19 Julai 2012, Sultan Terengganu menyatakan harapannya:

1. Lebih ramai rakyat Malaysia khususnya penyelidik muda menyertai usaha membongkar misteri saintifik yang tersembunyi di benua Antartika. Baginda bertitah, penerokaan dan penemuan itu perlu dilakukan secara berterusan kerana banyak lagi rahsia di benua itu yang belum didedahkan. "Antartika menyediakan satu peluang yang baik untuk menjalankan penyelidikan saintifik yang bermanfaat bagi manusia. "Benua itu juga merupakan makmal asli yang penting dan membolehkan penyelidik mengesan dan memantau fenomena alam sekitar di peringkat global seperti penipisan ozon atmosfera, pemanasan global serta perubahan paras laut."

2. Pihak-pihak lain khususnya sektor swasta menyokong dan bekerjasama dengan YPASM meningkatkan penyertaan Malaysia dalam penyelidikan saintifik di Antartika. "Bagi para saintis di Malaysia, yayasan ini bertujuan memberi ruang bagi pembiayaan penyelidikan di Antartika. Oleh itu, penglibatan aktif pihak terlibat amat dihargai."

Pengarah Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan, Profesor Datuk Dr. Azizan Abu Samah berkata pada seminar di USM itu, Malaysia akan menjadi negara Asia pertama menganjurkan Persidangan Jawatankuasa Saintifik bagi Penyelidikan Antartika yang menggunakan format baharu pada 2016.

Menurutnya, penyelidikan dan penerokaan Antartika mampu membawa faedah kepada negara dan sejagat yang menghasilkan pelbagai fenomena unik seperti lohong ozon, ikan yang mempunyai protein penghalang beku dan pelbagai fenomena yang belum dikaji sebelum ini.

Pada masa ini terdapat 27 negara yang telah memiliki stesen penyelidikan di Antartika dan kita akan menyertai mereka, namun apa yang penting adalah sokongan kerajaan serta kajian menyeluruh mengenai keperluan pembinaan stesen berkenaan,"

Amat dikesali kekalutan ini menyebabkan Ahmad Said menjadi sasaran.

Baca tulisan berikut seperti disiarkan melalui blog teganukini :

Lawatan ke Antartika - Ahmad Said Tidak Amanah, Berbohong Kepada Rakyat Terengganu?



"Menteri Besar bukan milik UMNO dan Barisan Nasional (BN) semata-mata tetapi juga kepada ketua pentadbir negeri dan semua penjawat awam. Lainlah kalau ada pentadbir negeri dan penjawat awam ‘benci atau anti Menteri Besar’, mereka akan berdiam diri atau mengambil sikap ‘lantak kaulah’ atau ‘pergi mampuslah’!"

Penafian oleh Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) semalam bahawa ia tiada kena mengena dengan lawatan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said ke Antartika memang sewajarnya diumumkan.

Ini kerana YDSM memang tidak terlibat dengan sebarang program atau rancangan di luar negara.

Sebaliknya YDSM hanya menjalankan kerja amal bagi memberi sumbangan ke arah meningkatkan taraf sosioekonomi, kesejahteraan hidup dan pendidikan rakyat, selain melakukan program penyelidikan sejarah, pembangunan seni warisan serta pemuliharaan alam sekitar negeri itu.

Apakah Ahmad Said selaku Menteri Besar bercakap bohong dan menipu rakyat Terenggnu mengenai lawatannya ke khutub selatan itu?

Apakah Ahmad Said sebagai Menteri Besar sudah melanggar etika beramanah dan bercakap benar di mana pembohongan tidak sepatutnya menjadi akhlak pemerintah?

Ahli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah menyifatkan tidak wajar Ahmad Said menyalahgunakan nama Yayasan Diraja Sultan Mizan sebagai ‘justifikasi’ kepada lawatan beliau ke Antartika.

Beliau menegaskan, lawatan tersebut tidak ada kena mengena dengan negeri dan rakyat Terengganu.

Ketua Penerangan PAS Terengganu Mohd Nor Hamzah memohon penjelasan daripada Menteri Ahmad Said bagi merungkai kekeliruan berkenaan penjelasan beliau mengenai program lawatan ke Antartika dan juga penafian penglibatan oleh YDSM melalui Setiausaha Kerjanya Mohd Azrul Ismail semalam.

Persoalan-persoalan yang perlu dijawab ialah bagaimana berlaku percanggahan kenyataan ini sedangkan didalam laporan akhbar pada 15 Januari 2014, jelas dilaporkan bahawa lawatan ini adalah anjuran Kementerian Sains Teknologi dan Inovas melalui inisiatif dari YDSM, kata Mohd Nor.

Sultan Terengganu melancarkan Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan pada 19 Julai 2012 di Universiti Malaysia Terengganu. 
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Dr Kahiruddin Aman Razali pula , berkata penafian oleh Yayasan DiRaja Sultan Mizan berhubung penglibatan mereka dengan lawatan oleh Menteri Besar Terengganu ke Antartika mewajarkan mempertikaikan kedudukan beliau.

“Penafian oleh Yayasan DiRaja Sultan Mizan tentang penglibatan mereka dengan lawatan oleh Menteri Besar Terengganu ke Antartika memerlukan penjelasan daripada pihak kerajaan negeri dan Menteri Besar,” kata Khairuddin.

Tegasnya, pemerintah melibatkan etika beramanah dan bercakap benar dan pembohongan tidak sepatutnya menjadi akhlak pemerintah.

Penafian oleh Setiausaha Kerja YDSM, Mohd Azrul Ismail memang tepat dan wajar untuk menjaga nama baik YDSM yang apabila memperkatakan yayasan berkenaan sudah pasti akan menarik sama nama Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Nama YDSM dan Sultan Terengganu tidak wajar dipergunakan sewenang-wenangnya, apa lagi jika YDSM dan Sultan Terengganu tidak terlibat langsung dengan lawatan itu.

Datuk Seri Haji Ahmad Said di majlis MoU antara National Antartic Research Center of Malaysia dengan Institut Antartico Chileno.
Bagaimanapun, oleh kerana YDSM dan Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) adalah dua entity berbeza, Mohd Azrul tidak menyebut langsung mengenai pembabitan YPASM dalam isu lawatan itu.

Apa yang kita dapat lihat dan baca ialah kritik dan persoalan yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin PAS Terengganu khususnya berasaskan kepada mungkin kesilapan pada kenyataan akhbar oleh Pejabat Menteri Besar pada 15 Januari 2014 lalu yang mengarahkan kepada penafian oleh Setiausaha Kerja YDSM itu. Sebaliknya Pejabat Menteri Besar semalam sudah memperbetulkan kenyataan sebelum ini dengan merujuk YDM kepada YPASM. Malah kesilapan itu diakui 'tidak disengajakan dan amaat dikesali'.

Jadi sudah jelas penafian oleh Setiausaha Kerja YDSM itu tepat dan Menteri Besar membuat lawatan itu dikendalikan YPASM di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Amat jelas, tidak wajar isu penafian YDSM dijadikan bahan untuk menghentam Ahmad Said.

Kita sewajarnya menunggu 'tuan badan' pulang dan menjelaskan segala-galanya.

Jangan kita mempergunakan kesilapan kenyataan Pejabat Menteri Besar itu ‘menghodohkan’ kerajaan negeri dan Ahmad Said. Juga jangan buat prasangka melulu dengan pelbagai cemuhan dan tuduhan, lebih-lebih lagi oleh pemimpin yang datang daripada parti yang mendakwa memperjuangankan Islam.

Memetik kenyataan Khairuddin sekali lagi : “Penafian oleh Yayasan DiRaja Sultan Mizan tentang penglibatan mereka dengan lawatan oleh Menteri Besar Terengganu ke Antartika memerlukan penjelasan daripada pihak kerajaan negeri dan Menteri Besar.”

Yang kita hairan ialah kenapa pegawai pentadbir negeri yang mengetahui mengenai lawatan ini, termasuk SUK sesiapa juga tampil memperjelaskan isu ini.

Kenapa mereka terus MENGUNCI MULUT?

Atau apakah SUK, dua timbalannya atau sesiapa sahaja yang maklum mengenai lawatan dan perbelanjaan MERAHSIAKAN SESUATU?

Di mana mereka yang sering mendakwa ‘orang kuat dan yang rapat dengan Menteri Besar’ dalam kekalutan seperti ini? Jika kesemua mereka ‘mendiamkan diri’ akan menyebabkan rakyat tertanya-tanya apakah Ahmad Said ke Antartika ‘melalui PINTU BELAKANG’ tanpa pengerahuan pegawai utama kerajaan negeri?

Di manakah ‘ikatan rapat’ antara Menteri Besar dan penjawat awam negeri Terengganu yang dikatakan rapat selama ini.

Tentunya di waktu seperti inilah mereka yang berkuasa di peringkat Kerajaan Negeri perlu tampil menjelaskan isu ini.

Sidang media Menteri Besar sebelum ke Antartika 15 Januari lalu . Di kanan beliau ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah.
Kita lihat bagaimana Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara (KSN) sering bercakap mengenai isu yang sama dan KSN menjelaskan bagaimana 11 langkah penjimatan yang menjadi kecaman beberapa pihak diperjelaskan dengan begitu baik oleh KSN.

Perlu ada penjelasan yang baik mengenai ‘kemelut lawatan ini’ ini daripada kerajaan negeri kerana serangan yang ditujukan kpada Ahmad Said bukan ke atas dirinya tetapi kepada kedudukannya sebagai Menteri Besar. Menteri Besar bukan milik UMNO dan Barisan Nasional (BN) semata-mata tetapi juga kepada ketua pentadbir negeri dan semua penjawat awam.

Lainlah kalau ada pentadbir negeri dan penjawat awam ‘benci atau anti Menteri Besar’, mereka akan berdiam diri atau mengambil sikap ‘lantak kaulah’ atau ‘pergi mampuslah’!

Kita melihat beberapa Exco Kerajaan Negeri berusaha menjawab isu ini tetapi jawapaan mereka masih kabur.

Mereka juga seolah-oleh tidak diberikan ‘pengetahuan secukupnya’ mengenai lawatan ini?

Rasanya dengan makluman bahawa YPASM yang terbabit dalam lawatan ini ‘mencerahkan sedikit suasana’.
Namun jawapan yang jelas dan tepat tetap diperlukan untuk menafikan tuduhan bahawa Ahmad Said tidak beretika, tidak amanah dan menipu rakyat Terengganu khususnya.

Kita tunggu jawapan Ahmad Said, kerajaan negeri dan mungkin selepas ini akan ada kenyataan daripada YPASM untuk menafi, mematahkan serangan pembangkang selain memberitahu rakyat bahawa lawatan ke Antartika itu sangat BERBALOI untuk kepentingan iklim, kajian khutub, akademik serta penyelidikan untuk rakyat Terengganu dan Malaysia amnya.

Juga Ahmad Said perlu buktikan bahawa pemikiran ke hadapannya perlu disambut oleh rakyat Terengganu dengan sikap dan pemikiran yang se arah dengannya, bukan pemikiran pembangkang yang terus berusaha mencemuh, memperkecil serta mencerca usaha beliau demi memaju dan mengangkat pemikiran dan martabat negeri ke satu tahap yang lebih maju dan ke hadapan berbanding sekarang.

Thursday, January 23, 2014

Anwar, PKR Ajar Anak Muda Menjadi 'Kurang Ajar'!


Blog hambali1 menyebut, semakin jelas bahawa Parti Keadilan Rakyat (PKR) memang parti yang mengajar anak muda menjadi ‘kurang ajar.’

Pemimpin pembangkang, khususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajar anak muda menjadi ‘kurang ajar’ dengan melakukan pelbagai perbuatan biadap, selain mengadakan perhimpunan haram.

Bagi Anwar, yang penting ialah menunjukkan kepada rakyat bahawa pemimpin UMNO lemah dan pemimpin pembangkang lebih berkarisma.


Kelmarin, Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, mempertahankan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machang Bubuk, Lee Khai Loon yang menyumbat kangkung ke mulut patung menyerupai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak

Anwar mempertahankan perbuatan ‘kurang ajar’ itu dengan berkata, tindakan Lee itu bukan bertujuan menghina perdana menteri, oleh itu beliau tidak perlu memohon maaf.

Anwar juga bertegas tidak akan memohon maaf di atas perbuatan sekumpulan penyokongnya yang memijak dan membakar bendera Jepun bagi membantah halangan yang dikenakan terhadap beliau.

Bagaimanapun Penasihat PKR itu tetap menyelar tindakan kumpulan kecil berkenaan yang memijak lakaran bendera tersebut.

"Kenapa saya pula perlu minta maaf? Bukan saya yang buat...malah saya yang dihina. Orang yang hina itulah yang perlu minta maaf," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di Ibu Pejabat PAS di Kuala Lumpur, semalam.

Dengan menyebut HINA itu, beliau merujuk kepada Kerajaan Jepun yang menghalangnya memasuki negara itu.

Benarkah pemerintah Jepun itu HINA seperti yang dikatakan Anwar?

Pada Selasa, sekumpulan penyokong Anwar bertindak agresif memijak dan membakar lakaran bendera Jepun kerana berang dengan tindakan kerajaan negara berkenaan yang menghalang pemimpin mereka memasuki Jepun pada Ahad lalu.

Menurut Anwar, beliau menyokong hak kumpulan itu untuk berhimpun tetapi menyelar tindakan mereka dengan menyifatkan ia sebagai perbuatan melampau.


"Saya setuju mereka berhimpun di hadapan Kedutaan Jepun tetapi membantah perbuatan memijak bendera tersebut. Saya fikir tidak perlu buat begitu," katanya.


Mengenai sokongannya kepada ADUN Machang Bubuk itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, turut yakin insiden itu tidak akan mencetuskan ketegangan kaum seperti tragedi 13 Mei 1969.

"Saya menafikan ia bertujuan menyakiti atau menghina perdana menteri. Beliau hanya nak sampaikan mesej tentang derita yang dilalui rakyat pada hari ini" katanya pada sidang media selepas mesyuarat pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat, semalam.

Menurutnya, kejadian itu berkait rapat dengan masalah ekonomi dan kenaikan harga barang yang perlu dihadapi rakyat pada hari ini.

Pada 15 Januari lalu, Lee mengetuai 'flash mob' kangkung di Pulau Pinang dan bertindak menyumbat sayur itu ke dalam mulut patung menyerupai Najib.

Tindakan tersebut turut membangkitkan kemarahan Umno Pulau Pinang yang kemudiannya mengadakan demonstrasi di negeri itu serta mengancam akan melakukan rusuhan kaum kedua.

Pada Selasa, Lee menegaskan beliau tidak akan memohon maaf atas perbuatannya menyuapkan kangkung ke dalam mulut patung menyerupai perdana menteri sebagaimana digesa Penasihat DAP Lim Kit Siang. 

Beliau sekali lagi mengulangi tindakan itu merupakan cara untuk menagih keprihatinan Najib supaya memahami kesusahan rakyat yang tertekan dengan kenaikan harga barang dan tidak bertujuan menghina sesiapa. “Saya tidak akan tunduk kepada kenyataan perkauman dan keganasan Umno.

Mereka adalah pencetus kepada apa yang berlaku baru-baru ini," kata Lee. Tidak kiralah sama ada dia Melayu, Cina atau India – modus operandinya sama – cakap dan buatlah apa cara sekali pun asalkan boleh memalu dan mengaibkan pemimpin UMNO dan BN.

Tujuannya ialah dengan cara mempersenda dan memperlekehkan pemimpin UMNO dan BN, rakyat akan dapat diyakinkan bahawa kerajaan sekarang lemah.

Kalimah Allah: Tindakan 'Pakar Perundangan' Pertikai Titah Sultan Diselar


Daripada teganuku

Seorang ilmuan semalam menyelar kenyataan seorang "pakar perundangan" bahawa titah pemerintah di sesebuah negeri berhubung kalimah Allah tidak terpakai kepada bukan Islam di luar negeri berkenaan. 

Timbalan Pengarah Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir Mohamad, Universiti Utara Malaysia Dr Ahmad Zaharuddin Sani Sabri menyifatkan kenyataan itu boleh mengelirukan rakyat, selain menjadikan kalimah Allah sebagai polemik yang tidak berkesudahan sekiranya pemerintah diketepikan.

Katanya titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Sultan Kedah, yang juga Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenaan isu itu baru-baru ini tentunya telah mengambil kira pelbagai aspek termasuk kandungan Al-Quran dan sunnah serta kuasa mereka sebagai ketua agama. 

"Justeru, tidak timbul isu sama ada titah Sultan Selangor hanya relevan kepada orang Islam sahaja kerana dalam hal ini apa yang dilarang adalah pengembangan agama lain terhadap umat Islam, serta menjaga keharmonian hidup dalam pelbagai anutan agama," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur.

November lepas, Sultan Sharafuddin mengarahkan supaya penggunaan kalimah Allah di dalam Bible dan penerbitan majalah The Herald versi Bahasa Melaysia dihentikan serta-merta, selain menegaskan semua rakyat Selangor perlu patuh terhadap larangan penggunaan kalimah itu oleh mereka yang bukan beragama Islam.

Sementara Tuanku Abdul Halim menegaskan kalimah Allah merupakan hak eksklusif umat Islam dan ia perlu dihormati semua pihak.

Semalam, Dewan Ulama PAS dilaporkan menyokong Sultan Kedah mengenai isu Kalimah Allah ini.


'Pakar perlembagaan' Dr Abdul Aziz Bari pada pertengahan November 2013 berkata pemerintah negeri di Malaysia tidak mempunyai kuasa untuk menggantung atau menafikan hak beragama bukan Islam yang telah dijamin Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, undang-undang telah jelas menyebut kuasa pemerintah negeri setelah beberapa hari Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan bukan Islam di negeri itu tidak menggunakan kalimah Allah merujuk kepada tuhan seperti diputuskan Mahkamah Rayuan kira-kira sebulan lalu.

“Kuasa pemerintah semestinya perlu berdasarkan konteks Perlembagaan Persekutuan. Sultan selaku ketua agama hanya terpakai kepada orang Islam dalam negeri itu,” katanya kepada The Malaysian Insider.

“Tetapi bukan Islam yang tinggal di negeri itu adalah di luar daripada arahan pemimpin berkenaan. Malah kepada orang Islam sendiri, titah yang dikeluarkan oleh pemimpin itu tidak bersifat mutlak kerana perlu berlandaskan undang-undang Islam,” katanya.

Sebagai contoh, beliau berkata seseorang pemerintah tidak boleh meminta penduduk negeri itu melakukan perkara bertentangan dengan undang-undang Islam.

Meskipun Perlembagaan Persekutuan menyatakan dengan jelas majlis agama tertakluk kepada kuasa pemerintah namun ia tidak berlaku sehingga menjadikan seseorang pemerintah itu boleh mengeluarkan undang-undangnya sendiri.

Abdul Aziz (kanan) berkata apabila Perlembagaan Persekutuan dirangka, ketua negeri atau sultan dibenarkan mengekalkan kuasa agama di peringkat negeri tanpa gangguan kerajaan persekutuan.

Tetapi Perlembagaan Persekutuan dengan jelas tidak menggambarkan sultan menjangkaui apa yang telah digariskan dalam rukun Islam, katanya

 “Undang-undang Islam tidak menyatakan dengan jelas berhubung isu kalimah Allah. Pihak berkuasa agama di Timur Tengah yang lebih dahulu menerima Islam telah menyatakan pandangannnya bahawa larangan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam satu perbuatan tidak berasas,” katanya.

Katanya, meskipun Mahkamah Rayuan memutuskan 14 Oktober tahun lalu bagi membatalkan larangan Kementerian Dalam Negeri terhadap penerbitan Kristian, Herald bagi penggunaan kalimah Allah namun adalah lebih baik mahkamah yang lebih tinggi di Malaysia membuat keputusan akhir.

“Biarpun sultan bebas daripada dinasihati kerajaan bagi menggunakan kuasanya sebagai ketua agama di negeri tertentu, namun mereka masih di dalam batasan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

“Sultan tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang,” katanya yang menambah Majlis Agama Islam hanya mempunyai kuasa membantu dan menasihatkan pemerintah.

Larangan penggunaan kalimah itu pertama kali diperkenalkan pada 1982 selepas Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil alih tampok pemerintahan namun tidak pernah dikuatkuasakan sehingga beberapa tahun selepas itu.

Ahmad Zaharuddin (kiri) menegaskan, tindakan menentang Raja, yang boleh dikategorikan sebagai kesalahan terhadap negara, boleh dihukum penjara seumur hidup ataupun hukum bunuh.

Beliau menegaskan larangan penggunaan kalimah Allah oleh mereka yang bukan beragama Islam telah diperkenalkan buat kali pertama pada 1982 namun tidak dikuatkuasakan sehingga beberapa tahun selepas itu.

Bertitik tolak daripada larangan itu, Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan dan Sekatan Pengembangan di Kalangan Orang Bukan Islam) diluluskan di Selangor pada 1988, yang menetapkan 25 perkataan yang tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam.

Perkataan itu adalah Allah, Illahi, Rasul, Fatwa, Firman Allah, Wahyu, Iman, Ulama, Mubaligh, Dakwah, Nabi, Hadith, Syariah, Injil, Sheikh, Ibadah, Qiblat, Solat, Kaabah, Haji, Khalifah, Kadi, Mufti, Wali dan Ibadah.

Ahmad Zaharuddin berkata dakwaan enakmen itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan adalah tidak tepat kerana ia diwujudkan berasaskan Perkara 11(4) yang menetapkan undang-undang negeri dan Persekutuan boleh digubal bagi mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama dalam kalangan umat Islam.

Tambahnya, pada 1986 Majlis Fatwa Kebangsaan juga telah membuat ketetapan bahawa beberapa istilah serta kalimah menjadi hak eksklusif milik umat Islam dan perlu dihormati semua pihak.

Tuesday, January 21, 2014

Surat Nurul Izzah Kepada PM - "Jangan Mendiamkan Diri..."


"Tidak boleh berdiam diri berkenaan isu-isu yang menggugat ketenteraman dan kesejahteraan hidup rakyat. Apakah dengan mendiamkan diri membolehkan Datuk Seri meninggalkan warisan yang lebih bermakna yang Datuk Seri sendiri inginkan?"

21 Januari 2014

SAYA harap Datuk Seri berada dalam keadaan sihat dan tenang. Saya mendoakan Datuk Seri dilimpahkan kerahmatan dan keberkatan daripada ALLAH SWT.

Ingin saya sampaikan bahawa saya memahami keadaan Datuk Seri yang mungkin tersasul semasa memberikan ucapan di Kemaman tempoh hari.

Saya akui, saya juga tertawa kecil, tapi dalam masa sama, saya sedar kita semua manusia, tidak lepas daripada melakukan kesilapan.

Bagaimanapun, Datuk Seri perlu sedar, apa yang Datuk Seri katakan itu cumalah salah satu daripada banyak kenyataan yang keluar daripada mulut Menteri Kabinet Malaysia kebelakangan ini.

Dulu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek pernah berkata, “jika harga ayam mahal, jangan makan ayam”.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar juga pernah berkata, pengguna jalan raya boleh memilih untuk menggunakan jalan biasa lain sekiranya menganggap kenaikan tol terlalu tinggi.

“Bagi mereka yang fikirkan ia terlalu mahal, mereka ada pilihan untuk tidak gunakan jalan tersebut.

"Datuk Seri, cuba tanyakan soalan ini dengan ikhlas kepada diri Datuk Seri sendiri, adakah ini kenyataan daripada mereka yang prihatin dengan masalah rakyat?

Laporan media arus perdana mengatakan kadar inflasi di Malaysia sudah mencapai kemuncaknya pada 2.9 peratus pada November 2013.

Rakyat negara ini sudah lali dengan berita ini. Tetapi, tugas kerajaan bukan sahaja untuk mengawal kadar inflasi ini, tetapi juga untuk memberi penerangan kepada rakyat apakah makna inflasi ini, bagaimanakah kadar inflasi ini dikira dan seterusnya, apakah kesan-kesannya kepada rakyat.

Sebagai ahli ekonomi, saya percaya Datuk Seri tahu akan kepentingan Indeks Harga Konsumer (CPI) kepada penentuan kadar inflasi ini.

Rakyat marhaen dapat melihat harga barang semakin meningkat dari hari ke hari, tapi perkara ini tidak langsung dicerminkan dalam kadar inflasi.

Mengikut perkiraan pakar ekonomi, kadar inflasi yang sebenar di Malaysia berada pada kira-kira 8 peratus. 

Dalam soal gaji dan upah, pekerja Malaysia juga jelas terseksa dengan kadar gaji rendah.

Pada ketika ini pekerja Malaysia cuma menikmati 28 peratus daripada KDNK, berbanding keuntungan perniagaan pada 67.1 peratus.

Bandingkan dengan negara jiran kita, Singapura yang pada 1997 mempunyai pecahan gaji berbanding KDNK sebanyak 42 peratus.

Nampaknya pecahan ini amat tidak seimbang. Jika kita bandingkan dengan beberapa negara maju lain, pecahan ini lebih besar, contohnya pekerja-pekerja di Jepun menikmati gaji dan upah sebanyak 52 peratus daripada KDNK keseluruhan.

Datuk Seri, saya pelawa Datuk Seri sendiri turun melihat sendiri keadaan rakyat.

Baru-baru ini, saya ternampak sebuah iklan jawatan kosong di sebuah restoran makanan segara yang popular, menawarkan gaji RM900 sebulan.

Saya ingin tanya, bagaimanakah seseorang itu boleh hidup di kawasan Lembah Kelang dengan gaji RM900 sahaja?

Pada hemat saya komen tentang kangkung tempoh hari melihatkan betapa Datuk Seri dan Kabinet Datuk Seri terputus daripada realiti kehidupan rakyat marhaen.

Masalah pendapatan ini juga membawa kepada suatu masalah yang lebih besar.

Orang miskin nampaknya tidak ada ruang untuk melepaskan diri daripada belenggu kemiskinan, kerana pendidikan yang berkualiti tiada dalam jangkauan mereka.

Saya fikir, sekiranya mahukan Malaysia yang terus-menerus mengeluarkan sumber manusia berkualiti secara mampan, isu pendidikan perlu diberi perhatian secara serius, bukan sekadar penukaran kosmetik.

Datuk Seri, saya juga amat bimbang sekali dengan retorik perkauman serta sentimen kebencian yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini

Isu-isu seperti hak keistimewaan orang Melayu dan isu-isu keagamaan sudah menjadi permainan ahli-ahli politik yang tidak peduli akan hak-hak kemanusiaan sejagat.

Saya amat bimbang anak-anak Malaysia akan terpengaruh dengan sikap perkauman yang melampau, sehinggakan ada semakin berani guna kata-kata kesat atau berbaur ugutan ke atas bangsa-bangsa lain. Justeru, Datuk Seri perlu menjadi pemimpin kepada semua rakyat Malaysia.

Tidak boleh berdiam diri berkenaan isu-isu yang menggugat ketenteraman dan kesejahteraan hidup rakyat.

Apakah dengan mendiamkan diri membolehkan Datuk Seri meninggalkan warisan yang lebih bermakna yang Datuk Seri sendiri inginkan?

Pilihan di tangan Datuk Seri. Tepuk dada, tanya selera.

Nurul Izzah Anwar

Friday, January 17, 2014

Kangkong - Penjawat Awam, Pemimpin Politik Turut Mentertawakaan Najib?


"Ini baru peringkat awal Kerajaan Barisan Nasional memerintah, mungkin empat tahun akan datang semakin dekat Pilihan Raya Umum ke-14, banyak lagi Najib akan dipersenda dan diperlekehkan. Apakah penjawat  awam, ketua cawangan, ketua bahagian, Pengerusi Perhubungan serta pemimpin BN akan terus menerus diam tetapi dalam diam  mentertawakan Najib?"

Daripada hambali1

Petang tadi anak saya yang sedang belajar di tingkatan tiga menunjukkan satu video bagaimana ucapan Perdana Menteri di Kemaman pada 12 Januari lalu dijadikan sebuah lagu.

Katanya, dia mendapat bahan itu selepas dihantar oleg cik gunya (anak saya tidak bawa handphone ke sekolah).

Bayangkan bagaimana pihak-pihak tertentu (tentunya bukan prokerajaan) cuba menarik minat golongan muda untuk memperlekeh dan mempersendakan Datuk Seri Mohd Najib Razak melalui media baru.

Dia bertanyakan saya isu sebenar. Saya jelaskan dengan harapan dia akan sebar pula di kalangan rakan-raknnya. Namun, ada juga anak-anak kita, khususnya remaja yang akan terus menyebarkan video seperti ini untuk mereka jadikan bahan ketawa.

Jika berlaku seperti ini, remaja atau orang muda tidak boleh dipersalahkan kerana menelan bulat-bulat apa yang disebarkan.

Dengan sendirinya, apabila ini belaku, sumbangan dan bakti kepada rakyat seperti diumumkan oleh Perdana Menteri, lenyap begitu sahaja.


Bayangkan hanya dengan lagu kangkong atau apa juga ‘joke’ mengenai kangkong akan menenggelamkan pengumuman kerajaan termasuk:

1. Bantuan untuk mangsa banjir sebanyak RM96 juta;

2. Bantuan barangan sebanyak 5,000 kepda 19,205 keluarga di Terengganu sahaja, tidak termasuk di negeri-negeri lain kelak; serta,

3. Bantuan wang tunai RM1,500 dan RM500 masing-masing dari kerajaan Pusat dan kerajaan Negeri. 

Bantuan itu secara khusus untuk 14,000 keluarga di Kemaman yang akan menerima sumbangan itu secara berperingkat.

Ini belum lagi pengumuman mengenai projek tebatan banjir yang membabitkan seluruh negara termasuk di Terengganu dan Pahang demi memastikan keselamatan rakyat.

"Untuk melaksana projek tebatan banjir yang keperluannya amat mendesak, kos amat tinggi. Di Chukai RM480 juta, di Kuantan RM700 juta...(ia) memakan belanja berbilion tidak termasuk jalan, jambatan, sekolah dan lain-lain kemudahan yang rosak," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian bantuan banjir dan meraikan sukarelawan banjir di Padang Astaka Chukai pada Ahad lalu.

Menurutnya kerajaan sentiasa mahu melihat rakyat hidup dalam keadaan selamat dan sejahtera, namun katanya adalah tidak adil untuk menyalahkan kerajaan di atas setiap bencana yang berlaku.

Tidak ada negara di dunia ini yang terlepas daripada bencana akibat perubahan iklim dunia sehingga mengakibatkan banjir besar, katanya.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said pula berkata laporan lengkap untuk membina sistem tebatan banjir di Chukai telah siap dan projek itu akan dilaksanakan selepas pihaknya menerima peruntukan.

Jabatan Pengairan dan Saliran menganggarkan RM480 juta diperlukan untuk membina sistem tebatan banjir itu, katanya.

Di pihak kerajaan, sehingga hari ini pun isu kangkong ini tidak dapat dineutralisedkan, malah persendaan oleh puak pembangkang semakin bersifat ‘kurang ajar’.

Berikutan kegagalan pihak-pihak yang sepatutnya ‘membersihkan imej PM dalam isu kangkong ini’, pembangkang semakin berani mengetengah dan mempermainkan isu ini secara besar-beesaran.


Pergerakan Pemuda UMNO Pulau Pinang yang tidak tahan Perdana Menteri mereka dipersendakan semalam, mengutuk sekeras kerasnya perbuatan biadap dan ‘kurang ajar’ sekumpulan kecil penyokong PKR yang dikelolakan oleh ADUN PKR Machang Bubuk itu.

Gambar bagaimana mereka menyumbat masuk sayur kangkung ke mulut replika Perdana Menteri sungguh tidak sopan.

Ketuanya, Rafizal Abd Rahim berkata, sikap biadap kumpulan ini merupakan tindakan mentaliti kelas rendah dan tidak akan membantu pun ke arah menurunkan kos saraan hidup. Tindakan ini hanya dilihat sebagai tindakan untuk meraih populariti murahan tatkala isu kenaikan harga barang menjadi topik hangat didalam negara kita.

“Jika mereka ini bertanggungjawab, seharusnya mereka ini berganding bahu dengan Kerajaan untuk mencari punca kenaikan ini dengan melihat ‘supply chain’ khususnya kegiatan ‘orang tengah’ yang memonopolikan barang keperluan seharian.

Pergerakan Pemuda UMNO Negeri meminta semua pihak agar segera berhenti mempolitikkan isu sayur kangkung ini dalam semua saluran media.

Pemuda sanggup berdepan dengan sesiapa sahaja untuk mempertahankan pemimpin negara daripada dihina dan dikotak katikkan,” ujarnya.

Sehubungan dengan itu, Pergerakan Pemuda UMNO Negeri ingin memberi amaran dan pilihan kepada PKR Machang Bubuk untuk tidak lagi melakukan penghinaan kepada pemimpin negara atau mereka perlu berdepan dengan Pemuda UMNO jika masih berdegil.

Bagi orang politik, inilah yang dilihat mereka cara berkesan tetapi sebagai sebuah kerajaan, apakah tindakan pegawai kerajaan atau menjawat awam khususnya peringkat atasan mempertahankan Perdana Menteri mereka?

Atau apakah penjawat awam turut mentertawakan Najib? Sebagai ahli atau pemimpin politik, sejauh ini kita tidak melihat dengan nyata apa yang dilakukan oleh ketua-ketua cawangan, Bahagian atau juga Pengerusi Perhubungan UMNO mempertahankan Presiden UMNO.

Bagi parti komponen pula, apa dilakukan oleh pemimpin mereka mempertahankan Pengerusi Barisan Nasional itu dalam isu seperti ini.

Ini baru peringkat awal Kerajaan Barisan Nasional memerintah, mungkin empat tahun akan datang semakin dekat Pilihan Raya Umum ke-14, banyak lagi Najib akan dipersenda dan diperlekehkan.

Apakah ketua cawangan, ketua bahagian, Pengerusi Perhubungan serta pemimpin BN akan terus menerus diam tetapi dalam diam  mentertawakan Najib?

Mainan DAP - Semua GiatMara Di Selangor Bakal Ditutup

Pemimpin DAP membawa kontraktor Cina ke Pusat GiatMara Selayang. Untuk apa?
Semua pusat latihan GiatMara di Selangor dipercayai akan mengalami nasib yang sama seperti GiatMara Selayang Baru dan GiatMara Sabak Bernam yang diarah tutup oleh Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor pada akhir tahun ini.

Ahli Majlis Amanah Rakyat (Mara), Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, tindakan itu adalah sebahagian daripada perancangan kerajaan negeri terbabit untuk menutup semua pusat latihan di bawah kelolaan Mara itu menjelang akhir tahun ini.

"Kami dapat tahu bukan hanya pusat latihan GiatMara seperti dilaporkan media akan ditutup, bakal ada tempat lain dan berkemungkinan di seluruh negeri Selangor.

Kami kesal dengan tindakan Kerajaan Negeri Selangor. Mereka tidak sewajarnya menganggu GiatMara memandangkan pusat latihan itu merupakan platform terbaik untuk membantu pelajar miskin," katanya. 

Beliau menyatakannya dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian Konvensyen Kepemimpinan Siswa Institusi Pendidikan Mara (IPMa) kali ke-2 di Tanjung Malim kelmarin (15 Jan 2014).

Yang turut hadir Pengarah Kanan Pendidikan Tinggi Mara, Datuk Abdul Rahim Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Poly-tech Mara, Profesor Dr. Azali Mohamed.

Pelajar-pelajar giat menjalani latihan bagi sijil kemahiran Pendawaian Elektrik di Pusat GiatMara Selayang, dekat Kuala Lumpur, semalam. Pusat berkenaan diarah tutup akhir tahun ini.
Semalam, media melaporkan Kerajaan Negeri Selangor didakwa bertindak mengarahkan pusat latihan GiatMara di Taman Selayang Baru ditutup akhir tahun ini menerusi satu surat yang dikemukakan Pejabat Tanah dan Daerah Gombak kepada Pengurus pusat latihan di bawah Mara itu yang bertarikh 2 Disember tahun lalu.

Dalam surat tersebut, kerajaan negeri memberikan tempoh kepada pengurus pusat latihan tersebut untuk berpindah tanpa sebarang ganti rugi dan pampasan dalam tempoh 12 bulan bermula 9 Disember 2013 hingga 10 Disember 2014 atas alasan tanah seluas 11,396 meter persegi yang diduduki pusat itu sejak 20 tahun lalu tidak mendapat kebenaran daripada kerajaan negeri.

Mengulas lanjut, Nazir yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO menyifatkan tindakan Kerajaan Negeri Selangor itu sebagai melampau dan tidak berperikemanusiaan.

"Isu ini tidak wajar dipolitikkan kerana ia membabitkan pendidikan dan tindakan kerajaan negeri adalah melampau.

Sebelum ini Mara mungkin boleh bertolak-ansur dalam isu-isu yang sensitif, tetapi jika membabitkan pelajar Mara, saya tidak rasa kami perlu bertolak ansur," jelas beliau.

Dalam pada itu, Abdul Rahim memberitahu, selain pusat latihan GiatMara di Taman Selayang Baru, Selangor yang diarahkan tutup, dua lagi pusat latihan GiatMara yang turut menerima notis sama.

 Katanya, salah satu pusat latihan itu adalah di Sabak Bernam dan sebuah lagi pusat latihan GiatMara akan didedahkan kemudian.

Sehubungan itu, kata beliau, pentadbiran GiatMara akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat untuk membincangkan langkah yang harus diambil bagi mempertahankan pusat-pusat latihan berkenaan di Selangor.